~Dari jauh, Ummi tetap doa Allah pelihara zuriat keturunanku~
Walaupun Ummi jauh daripada anak-anak, Ummi masih lagi kena ambil tahu tentang sekolah anak-anak, terutama guru hafazan sekolah memang minta ibu bapa pantau hafazan anak-anak di rumah.
Jadi, biasanya setiap hujung minggu Khubaib akan menghafaz dan rakam serta hantar video tersebut kepada guru hafazan.
Memang biasanya bukan mudah nak anak-anak menghafaz.
Bukan senang ye. Bukan ibarat, "Khubaib, jom hafaz Al-Quran."
Dan jangkaan mereka menjawab, "Ya baik, Ummi."
.............
Tapi macam-macam ujian. Ada masa tarik muka masam, ada masa kata susahlah nak hafaz ayat ni, ada masa kata panjang sangat ayat ni.
Dan anak ni tak boleh menghafaz seorang, perlu 'companion' iaitu ibu atau bapa yang menghafaz bersama.
Biasanya saya akan guna teknik faham ayat yang dihafaz dengan tengok terjemahan ayat Al-Quran. Sebab saya sebagai ibu, saya juga bukan 'hafizah'. Juz Amma dulu yang kami kena hafaz waktu UIA pun dah lama tak mengulang semula. Allahu.
Bila pula nak kena ulang ni ye. Kena muhasabah diri balik, buat pelan tindakan.
Anak-anak bukan robot, untuk kita setakat suruh dia baca, buat, tanpa kita beri panduan atau 'guide'. Sebagai 'guider', kita bukan hanya bagi panduan dan suruh dia jalan sendiri. Tetapi kita kena jalan bersama dengan dia.
Ibarat kalau nak panjat gunung kan, bayangkan kalau 'guider' bagi panduan kat kaki gunung je, lepas tu pepandailah kita nak naik sendiri, tak ke haru?
............................
Ada masa pernah waktu malam Khubaib tak mahu pergi sekolah kebangsaan sebab tak hafal sebaris hadith. Waktu ni Ummi masih lagi tinggal di Mersing. Ummi minta Khubaib tunjuk mana yang perlu dihafal.
"Lah, ini je." Kata Ummi pada dia. Adalah dalam lebih kurang 10 patah perkataan. Hadith yang perlu dihafal dalam bahasa Arab dan terjemahan Bahasa Melayu. Tapi drama dia sampai tak nak pergi sekolah.
Alhamdulillah, syukur dulu zaman matrik UIA, memang kena hafal macam tu.
Jadi, dalam menangis dia tu, Ummi tenang je. Ummi pun ajar terjemahan setiap perkataan di samping menghafal yang bahasa Arab tu. Itulah cara Ummi dulu kalau nak menghafaz. Ummi tak pandai nak hafal kalau tak faham makna perkataan.
Habis mengajar dan mengulang dalam masa 10 minit, Alhamdulillah Khubaib dah boleh menghafal, Dah gembira nak pergi sekolah esoknya.
Di akhir tu, Khubaib kata "kenapa dengan Ummi, Khubaib macam senang je hafal ni?"
Semuanya datang daripada Allah swt, Alhamdulillah.
................................
Terinspirasi dengar Podcast Yousaf dan Qawiyaro tentang pentingnya ibu bapa untuk minat dengan Al-Quran sebelum menghantar anak-anak untuk jadi penghafaz Al-Quran.
Alhamdulillah, barakallah Muhammad Khubaib Adi, pada usia 10 tahun berjaya menghabiskan hafalan juzuk ke-30 pada bulan lepas. Sedih dan terharu Ummi.
Cuma Ummi belum mampu nak semua apa yang Ummi impikan nak buat pada anak-anak. Nak anak-anak hari-hari baca Al-Quran bersama, dulu Ummi mampu buat waktu tengah hari. Tapi sekarang bila Ummi takde di sisi, Al-Quran pun baca hanya di sekolah je. Sedih Ummi.
Hanya minta Allah pelihara dan jaga anak-anak Ummi dari jauh.
Ummi sekarang masih dalam proses reset semula Ali yang dah mula tinggal dengan Ummi. Apabila Ummi takde bersama anak-anak, anak-anak tidur tak tentu masa. Selalu anak-anak yang bercerita apabila jumpa Ummi hujung minggu. Sebulan lebih ni, kebanyakannya Khubaib yang cerita, Khubaib tidur pukul 1 pagi, 2 pagi sebab main game dengan Ali. Ali pula sampai 4 pagi baru tidur sebab layankan laptop dia.
Biasa ada Ummi, memang anak-anak disiplin. Waktu memula Ali tinggal dengan Ummi minggu ni pun, Ali marah-marah nak tengok cerita ketika dah jam 12 malam. Puas Ummi pujuk untuk tidur. Ada sekali minggu ini, Ali terbangun jam 3 pagi dan minta tengok cerita. Baru sebulan setengah takde Ummi, haru biru hidup anak-anak Ummi.
Alhamdulillah, dah habis seminggu ni, waktu Ali tidur dah kembali normal jam 11 malam tu dah mula mengantuk atau dah tidur.
Syukur pada Allah.
Mohon agar sesiapa yang membaca entri ini, doakan Ummi dapat jaga semula anak-anak, dan didik mereka dengan lebih baik. Sayang sangat dengan mereka.
“Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri dan keturunan kami sebagai penyenang hati, dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa.” (QS. Al-Furqon: 74)

No comments:
Post a Comment