::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Apr 12, 2026

April: Ombak Kehidupan dan Akademik


~Ada masa saya diam, tapi sebenarnya hati sedang menangis. Penat fizikal tak sama dengan penat emosi. Semoga Allah bimbing saya untuk terus kuat dan tabah menghadapinya.~ 



Sejak seminggu dua ni, emosi ibu kembali terganggu, ada past unresolved emotion, triggered daripada pihak ketiga, yang tu biarlah saya simpan di sini saja. Ibu lebib banyak melepaskan rasa marah pada mereka, ada kala menangis teresak. Ditambah pula dengan keadaan ibu yang fizikalnya semakin lemah, nak duduk lama pun katanya tak larat dah. Cepat-cepat nak baring semula. 

Saya hanya mendengar walaupun telah menasihati untuk tak hiraukan mereka supaya tak ganggu kesihatan, hanya setakat itu sajalah yang mampu. Sebab hati dan pemikiran adalah empunya tuan badan. 'Ya Allah berilah ibuku ketenangan.' 

Minggu ini juga saya agak sibuk dengan dateline slide yang baru saya dapat untuk dihantar hari Isnin ke Kulliyyah. Kelam kabut juga nak update slide. Alhamdulillah, duduk dalam circle dengan ada guidance Mentor, slide untuk pembentangan sebenarnya dah lama ada, cuma belum update dengan keputusan kajian terbaru. Semoga Allah rahmati guruku dengan ilmu yang diberi. Lagipun zaman sekarang, dengan bantuan teknologi, buat slide lebih mudah. Guna prompt yang betul daripada ChatGPT dan buatkan ia di Google Gemini. 

Disebabkan tarikh pembentangan kajian masih belum dapat, saya bercadang untuk buat mock pembentangan hari Selasa depan bersama sahabat-sahabat pascasiswazah. Tapi terkejut bila tahu jadual dikeluarkan, saya jadi orang keempat yang membentangkan semester ini, iaitu pada Selasa pagi depan. Cepat-cepat saya tukar tarikh mock pembentangan dan Alhamdulillah dapat bentangkan pada Khamis petang lepas menggunakan slide terkini selama 18 minit. Selesai satu bahagian akademik minggu ini, dan saya perlu berdepan satu lagi kerja akademik saya iaitu minggu depan. 

Banyak perasaan dan hati yang perlu jaga. Ketika saya rasa sangat terbeban dengan emosi minggu ini, terutama terkesan dengan orang-orang kesayangan saya, saya berjalan pagi semula di perumahan sampailah ke taman rekreasi di sini, dan kemudian ke deretan kedai untuk urusan dan berpatah semula ke kereta. Senaman sendiri di rumah tak cukup untuk saya turunkan hormon kortisol saya. Sebab tanggungjawab saya masih banyak sebagai ibu dan sebagai anak. Ada kehidupan dan akademik. Dan keduanya ibarat ombak yang bergelora di kiri dan kanan. Saya tak boleh kalah dalam mengendalikan kapal ini, jika tidak saya akan tenggelam sekali. 

Ada masa bersedih, nanti datang si kecil tu tiba-tiba pada ummi dia: "Ummi, Ali just nak hug." 
Dan hari ni juga sensitiviti ibu beralih pula kepada saya. Tak mahu makan. Menangis dan menjerit. Merajuk sebabkan salah faham yang kecil. Saya pujuk dan jelaskan. Tapi ibu masih begitu. Saya juga minta pandangan orang yang lebih profesional. Semoga Allah permudahkan semuanya, Allah jaga hati-hati kami, dan sentiasa dalam peliharaan Dia. Saya peluk sekejap Ali, si kecil kesayangan Ummi dia ni, yang sedang meniarap. Kemudian, kata Ali, "Ummi sedih." He just know, walaupun saya tak menangis, dan hanya diam memeluknya. 

Insya Allah mohon Allah permudahkan urusan pembentangan saya minggu hadapan. Dan satu lagi episod kehidupan yang akan saya tutup dengan baik pada minggu seterusnya April ini. Insya Allah, semoga Allah berikan kelancaran. 

Pembungkus

Saya percaya tak selamanya ombak itu akan terus bergelora, akan ada waktu tenang, walaupun sekarang belum lagi waktunya. Kalau nampak saya kuat, saya gembira, hanya itulah yang saya mampu lakukan untuk terus berfungsi normal sebagai manusia. Sebab saya perlu jaga diri sendiri untuk menjaga amanah ini.

Kisah-kisah Nabi selalu menjadi pedoman untuk saya, cerita-cerita dalam Al-Quran dan firman Allah selalu menjadi petunjuk dalam sedih dan duka. Al-Quran heals. 

~Saya tetap senyum supaya saya boleh menjadi manusia berfungsi menjalankan tanggungjawab dalam hidup ini.~

Jan 24, 2026

Merentas Desa dengan Anak-Anak



 ~For my children, I always be your biggest supporter, sayang~

Tahun lepas ummi tak berada bersama anak-anak jadi biggest supporter untuk mereka. Ummi faham kalau mereka tak perform, tak dapat pingat apa-apa dalam acara sukan sekolah. 

Hanya ummi memang terpaksa korbankan seminggu masa dan balik ke Mersing tahun lepas untuk monitor anak-anak menghadapi peperiksaan. Alhamdulillah kedua-dua dapat cemerlang, tempat pertama dalam kelas masing-masing dan bawa balik 4-5 pingat dan sijil. 

Mendidik anak ni perlukan pengorbanan. 

*****

Minggu ni anak-anak beritahu ada merentas desa di sekolah baru mereka. Dengan konfidennya Khubaib bagitahu merentas desa 3km je. Ummi pun bahagia dengar. Sebab insya Allah setakat 3km mungkin boleh lagi kot nak teman anak-anak ni merentas desa bersama. 

Kononnya nak teman anak-anak berlari. 

Ummi: Khubaib dengan Fathimah, nak ummi teman siapa lari? 
Kalau ummi teman Khubaib boleh juga. Tapi kalau teman Fathimah, mungkin ummi tak lari, jalan-jalan keliling kampung tengok pemandangan je. 

Sebab pengalaman sebelum ni, memang bab sukan Khubaib lebih perform, tetapi Fathimah biasa saja.

 
Pagi ni, sambil menunggu, buat warm up dengan para pelajar sekali. Suka anak-anak nampak mak dia ni join sekali. 
Sambil tu bersembang dengan ibu-ibu lain. 
Rupanya bukan 3km yemerentas desa ni, 7 km jaraknya. Haha. Dahlah mengharapkan morning walk seminggu sekali dan home workout pun 10-15 minit je dua kali seminggu. Emmmm.... 
Last lari-lari merentas desa ni tingkatan 1 jelah yang perform. Yang lain semua short distance je 400m, 800m. Kasut pun pakai sneakers je. 
Takpelah, tak expect pun nak lari, hanya teman anak-anak je. 

******

Mulanya grup tahap 2 lelaki lari iaitu Khubaib, selepas itu tahap 2 perempuan grup Fathimah dilepaskan. Dan lepas mereka pergi barulah Ummi dia ni ikut. Tapi lari-lari tak jumpa pula Fathimah, haha. 
"Aik, ni bukan level jalan dah ni. Memang dia lari ni."
Awal-awal dah terasa sakit kat ligament-ligament jari dan tendon betis kiri. Kaki kiri ni banyak sejarah sakit sebab main futsal dulu, huhu. 

Em, jenuh lah mak dia ni lari cari anak-anak tak jumpa kat depan. 

"Jauh betul ye ummi dia kena tinggal, haha" cakap kat diri sendiri. 

Akhirnya di akhir kurang 1/4 baki perjalanan, baru nampak Fathimah. Nampak penat, dah start jalan. 
"Fathimah, go go." Ummi dia jerit dari belakang. Risau pula dia tunggu ummi dia kan. 
Sekali kat sebelah ada juga pelajar nama Fathimah, haha. 

Dan Fathimah terus berlari untuk habiskan perjalanan. Sempat nak potong abangnya, Khubaib dekat 500m nak sampai tu. Tapi biasalah abang tak nak kalah dengan adik, cepat Khubaib pecut ke depan. Haha. 

Alhamdulillah, dengan cikgu-cikgu bagi semangat kat mak dia ni ye. Bukan nak laju, tapi kejar anak je, kena tinggal dah mak dia ni. 


~Jauh mata memandang, dah around separuh jarak habis. Tak jumpa lagi anak-anakku~


*****

Saja cek dengan ChatGPT tadi: 

Masa larian mula: 8.25am
Masa larian tamat: 9.13am
Tempoh masa: 48min
Jarak larian: 7km
So, pace (min/km) average 6.51

Alhamdulillah oklah untuk yang dah 20 tahun lebih tinggalkan acara larian ni, dan masuk usia tua ni.  Kira beginner baliklah ni. 

~Dah nak akhir habiskan larian tadi, cakap kat diri sendiri, "it's not about the speed, it's about the spirit."~



Jan 19, 2026

Membina Semula dari Yang Retak


Betul kata orang-orang lama: ambil masa bertahun-tahun untuk membina sesuatu tapi hanya sekejap waktu untuk meruntuhkannya. 

Iman, akhlak dan ilmu. 

Bukan mudah nak bina dalam diri sendiri. Apabila dah ada anak-anak, kita berimpian untuk membina semua itu dalam diri anak-anak walaupun kita sendiri masih belum sempurna dan masih belajar untuk itu semua. 

Hampir setahun tak bersama Khubaib dan Fathimah. Hanya bersama sekejap sewaktu cuti sahaja. Sejak umminya berpindah ke rumah Tok Wannya, kami hanya dalam long distance relationship.  Dulunya, Ummi bina karakter anak-anak. Tengahari kami solat bersama, tiada handphone semasa makan bersama, anak-anak lebih tenang, dalam kereta adalah masa bercerita. 

Alhamdulillah syukur tahun 2026 ini dapat ambil semula mereka untuk tinggal bersama. Tapi sedih sangat. 

"Kenapa kena sekolah? Kan bagus kalau sekolah tu tak wujud."
"Lepas solat nak tidur, tak nak sekolah."
"Penat lah nak solat."
"Asyik basuh pinggan je, penat."
"Tak nak sekolah sini."

Sedih sangat hati Ummi. Hati ibu mana yang tak sedih, jika anak-anak yang dibina karakter dan akhlak dengan baik, berubah disebabkan oleh didikan mereka yang tidak sepatutnya. 

Kata orang, "biar sajalah mereka tinggal dengan ayah mereka."

Bagi Ummi, anak-anak adalah amanah. Kalau Ummi selfish, pentingkan diri, tentu saja Ummi tinggalkan mereka. Tak perlu susah payah, tak perlu bina semula, tak perlu sabar dan dengar semua rintihan dan keluhan mereka. 

Hanya Allah yang tahu bagaimana rasa itu. 

Ali yang paling kecil, lebih behave waktu pagi, bila tahu Ummi seorang diri uruskan semuanya, dari TokWan yang sakit, dan abang dan kakak yang masih belum beri kerjasama, dan mandikan Ali pula. 

"Ali, sambung pakai baju sendiri boleh? Ummi nak siapkan barang-barang masuk kereta."

Dalam kereta, tiada telefon untuk anak-anak seperti yang diberikan sebelumnya oleh ayah mereka sebelum ini. 

Hanya Ummi dengar zikir pagi. Dan waktu itulah sebenarnya waktu Ummi pula luahkan rasa Ummi dan nasihat pada anak-anak. Seperti dalam buku Prophetic Parenting, waktu dalam perjalanan adalah antara waktu terbaik menasihati anak-anak. 

"Sampai bila awak nak utamakan rehat awak, malas awak, tak nak pergi sekolah, pergi lambat?"

"Hidup ni kena ada matlamat. Jangan asyik tidur, makan, rehat. Hidup ni kena bekerja. Setakat makan, tidur, rehat, itu sama macam binatang ternak yang Allah cerita dalam Al-Quran. Allah ciptakan manusia jadi khalifah, untuk memimpin. Pimpin diri sendiri dan orang lain. Pimpin diri sendiri, lawan nafsu, lawan rasa malas, rasa asyik nak rehat."
.
"Macamana awak nak berjaya dunia akhirat? Kalau solat pun awak malas, besarkan rehat, besarkan tidur. Orang jiwa besar je boleh berjaya. Orang jiwa kecil, disuruh basuh pinggan pun dia mengeluh."

Ya, Ummi pun tak perfect. Tapi Ummi usaha. 

"Kalau kata penat, Ummi pun penat. Baik Ummi rehat je, layan handphone je. Tak payah buat apa. Anak-anak tak nak sekolah, lagi bagus sebab tak perlu hantar. Boleh ke? Jangan sampai menyesal kemudian hari sebab keputusan kita hari ni."



~tiada jalan mudah untuk berjaya hatta untuk dunia dan akhirat~


Fight untuk Perkara yang Benar 

Setiap hari nak minta anak-anak buat kebaikan, pergi sekolah, solat, buat kerja rumah, as parent, Ummi juga fight dengan diri sendiri. 

Fight untuk terus bersabar, terus tak give up nak bentuk anak-anak, fight untuk terus urus anak-anak, ibu yang sakit, dan siapkan phd yang masih berbaki. 

Teringat kata-kata mentor dalam kelas online hujung minggu ini: 
"You don't get what you want, but you get who you are." 

Dan Alhamdulillah syukur minggu ni Allah hadiahkan Ummi untuk dapat siapkan banyak task merangkumi 2-3 minggu tugasan. Allahu akhbar. Nikmat mana nak dustakan. 

Percaya yang Allah lihat dan Allah pandang. 

Allah takkan sia-siakan hamba-hamba-Nya yang berbuat kebaikan. 

~Daku percaya dalam jalan yang tidak mudah ini, ada Allah bersamaku, jika jalan yang ku pilih ini benar dan Dia redha.~

Oct 16, 2025

Transit Oktober 2025


 ~Alhamdulillah terlalu banyak perkara untuk disyukuri, walaupun hakikatnya berdepan dengan pelbagai cabaran.~

Takpe, kita jalan terus. 

~Surah Ar-Rahman; Allah Maha Penyayang~


Akademik

1) 

Memandangkan penyelia pun target kita untuk submit Disember ini, ye, memang rasa tak cukup tanah nak berlari siapkan pelbagai kerja ni. Dengan tesis, kutipan data objektif kajian satu dan tiga, revision manuskrip, closure untuk objektif kajian kedua, dan macam-macam lagi.

Biasanya, ada sahabat-sahabat PhD mengadu struggle dengan hubungan penyelia, sebab belum dibenarkan untuk menghantar tesis. Bukan mudah nak yakinkan penyelia kita, bahawa kita dah bersedia untuk hantar tesis penyelidikan untuk graduasi. 

Mungkin juga setiap kali hujung semester hantar progress report, memang diri ini jenis hantar je lah progress report yang sampai bab terakhir tu (full thesis chapter), iaitu draf kepada tesis sebenar, mungkin menyebabkan penyelia menjadi yakin. Walaupun beliau tak pernah bagitahu apa-apa. 

Cuma bulan lepas, selepas hantar draf Problem Statement, hasil bengkel seharian yang menyebabkan kepala berasap dikelola oleh guru tuisyen saya, Penyelia tak komen apa-apa tentang Problem Statement dalam tesis. Walhal, selama ini bagi saya part yang paling problem dalam tesis saya adalah Problem Statement!

Cuma satu maklum balas penyelia selepas saya menghantar Problem Statement tu adalah: 

"Nanti dah masukkan results dan discussion, submit tesis!"

Wah, dengan penuh konfiden ye penyelia saya. 

Tapi sebab penyelia dah level Professor Madya, insya Allah saya percaya kredibiliti itu. 


2)

Jadi, Alhamdulillah selesai kutipan data dan analisis data untuk objektif kajian kedua, iaitu fasa paling mencabar dalam perjalanan PhD ni. Tak tahu berapa kali termenung fikir macam mana dari segi waktu yang sesuai (ikut cuaca), kewangan (apabila mula-mula tahu bajet dalam RM14000 untuk jalankan satu fasa kutipan sampel, berdasarkan risik-risik dengan pelajar sekulliyyah yang telah kutip data berkenaan jenis sampel yang sama), dan juga kerjasama daripada pihak tertentu. 

Beberapa alternatif difikirkan tapi bertemu jalan buntu. 

Takpe, kita tak dapat buat jalan A, kita buat jalan B, tak dapat jalan B, kita cari jalan C. 

Bukan mudah ye. Sangat perlukan banyak masa untuk berfikir dan cari solusi. 

Tapi saya percaya jalan itu takkan terbuka hanya dengan usaha sendiri, doa, tapi juga melalui sedekah, istighfar, zikir, bakti kepada ibu bapa, dan bantu orang lain yang memerlukan. 

Allah sendiri akan bukakan jalan. 


Kehidupan

1)

Alhamdulillah, walaupun tengah sibuk ni, ada risik juga sekolah untuk anak-anak, Khubaib dan Fathimah untuk sekolah di sini tahun depan. Ya, Ummi dia dah kena fikir bukan untuk tesis saja, tapi kena fikir kewangan untuk menjaga anak-anak untuk sesi 2026 ini. I'm taking back all my children with me. 

Dan fikir untuk kerja semula, uruskan ibu yang sakit dan persekolahan anak-anak. Ya, ini bukan cerita superwoman, tetapi yang penting kita usaha, di samping mohon Allah mudahkan semuanya. 

Alhamdulillah bulan lepas dapat email di LinkedIn menawarkan jawatan di salah sebuah kolej di Johor Bahru. Allahu, belum habis lagi pengajian ni. Insya Allah sikit lagi. Tapi dengan segala hormatnya tawaran tersebut ditolak dengan baik. Dan kalau habis pun, mungkin minta jawatan downgrade sikit boleh ke? Tiba-tiba dapat jawatan Ketua Jabatan, dahlah lama tak kerja semula ni. 

Apa pun, ala kulli hal, Alhamdulillah, insya Allah pasti ada rezeki lagi 2026 nanti, mungkin lebih awal sekiranya tesis pun dah siap untuk dihantar. 

2) 

Di kesibukan ini, masih perlu juga fikir tentang rawatan dan temu janji ibu. Alhamdulillah, tekanan darah ibu makin terkawal, dan temu janji dengan klinik pun dah dilewatkan lagi hingga tahun depan pula. 

Cuma, ye, saya faham ramai netizen yang berhubung dengan ibu selalu tanya kenapa ibu belum boleh jalan lagi? Rasa nak je jawab: "Ini bukan sakit kaki biasa, ini berkaitan dengan otak, dan sistemik badan."

Maka, banyaklah orang yang cadangkan untuk pergi buat rawatan tradisional, "Cari orang yang boleh urut untuk strok. Si polan tu sakit sekian sekian dah elok dah."

Tekanan tu memang sangat memberi kesan bukan saja kepada orang sakit tapi terutama kepada penjaga ni. Sebab seolah-olah dengan buat rawatan sekali, semua akan baik seperti sedia kala. Seolah-olah disuruh paksa ke seluruh Malaysia ni untuk mencari penyembuhnya. 

Dah macam Kisah Luqmanul Hakim dengan anaknya. Orang mampu berkata-kata, tetapi yang mengalaminya saja yang tahu. 

Jadi, hari ni saya bawa ibu ke Pusat Rehabilitasi di Batu Pahat. Dan sebelum ni pun, pernah buat terapi di sini, sebelum kami dapat temu janji di hospital kerajaan. 

Apabila kita jumpa rakan-rakan yang ahli dalam bidang ni, lega sekejap kan segala tekanan tu. 

"Jadi macam mana kita nak buat treatment plan ni?" tanya jurufisio setelah habis sesi terapi. 

"Sebelum tu saya nak tanya, pada pandangan physiotherapist, ada ke urutan yang boleh terus sembuhkan strok?" tanya saya secara telus. 

Dan kami berbincang empat orang di situ. Berbincang sesama ahli. 

"Akak kan health care professional juga kan, dah nak Dr dah. Mesti akak lagi tahu." kata jurufisio yang dah kenal sebab pernah berbincang dan berkenalan sebelum ni sewaktu awal ibu kena strok dulu. 

"Mana lah tahu kalau betul ada kan. Tapi yelah, kita belajar fisiologi kan, kita tahu strok tu sebab apa. Dan takkan sembuh dengan sekali urut je, perlu ada continous activity, macam exercise di rumah yang train otak. Tapi yelah, masyarakat ada persepsi, macam pergilah berubat dekat tempat sekian cari yang pandai urut strok, macam pergi terus dapat fast result."

Dan setelah sesi perbincangan itu, kami plan sama-sama treatment untuk ibu datang rehab iaitu seminggu sekali mulai hari ini. 

"Acik, kalau ada orang cakap pergi urut sekali tu terus baik, acik jangan percaya." pesan jurufisio kepada ibu. 

Walaupun saya sendiri sedang sibuk dengan nak habiskan Phd, insya Allah dah nak siap nanti fikir anak-anak pula, fikir nak cari kerja pula (atau mungkin kerja cari saya, insya Allah), saya berharap masa saya untuk ibu seminggu sekali yang konsisten ini Allah akan ganjari dan mudahkan urusan yang lain, Ameen. 


Pembungkus

Ya, kadang-kadang kena luahkan dengan journalling. Too many struggle. 

Alhamdulillah, syukur masih dikurniakan pelbagai nikmat. Antaranya saya diterima masuk ke grup Premier ekslusif bawah guru tuisyen saya, Dr Roket, dan banyak sangat dapat insight untuk terus grow walaupun baru masuk 4 hari. Termasuk juga circle tautan hati saya untuk pautan rohani diri, serta orang-orang baik yang saya jumpa hingga hari ini. 

'Nikmat manakah yang ingin saya dustakan?'


Oct 7, 2025

Tanda Cinta Dunia?


~Allah izinkan diriku melihat dan memerhati di kalangan orang-orang terdekat denganku. 
Mungkin inilah yang Nabi rasa, ingin semuanya masuk Syurga termasuk orang yang terdekat dan disayangi, tapi sesungguhnya hidayah itu milik Dia.~

~Perlu doa dan latihan hati yang berterusa untuk sentiasa letakkan dunia itu di tangan dan bukan di hati~


Betapa kita menghabiskan hidup ini berulang-alik dengan rutin kerja, skroll telefon bimbit, mungkin pergi masjid dan menunaikan ibadah juga manjadi ruttin, tapi rutin tanpa jiwa hamba dalam mengharapkan redha Dia semata bukan mudah dan bukan semua mampu merasainya, dengan izin Dia. 

Lebih-lebih lagi, bila Allah bagi sakit, atau bagi kesempitan hidup, jiwa berusaha sedaya upaya untuk terus hidup, rasa takut gelisah bila terfikir sedikit demi sedikit Allah mula ambil kudrat dari diri. Hilang rasa tenang, hilang rasa sepenuhnya bergantung kepada Rabb, hilang rasa menikmati sisa baki masa dan tenaga yang ada untuk melakukan yang terbaik, jiwa hanya bersedih, tanpa melihat bahawa inilah jalan menuju Dia, untuk melepaskan rindu berjumpa sang Pencipta. Gelisah nak cari solusi, nak terus hidup, nak terus sihat, nak terus berduit, nak terus hidup dalam zon yang selesa di dunia ini. 

Aku tak mampu untuk mengubah manusia. Hanya sedikit menitipkan pesanan, tapi berlebihan mungkin pesanan itu dilihat seperti peluru dan bukan penenang hati. 

Ya Allah, aku tersempit dan terhimpit. 

Ya, aku rasa perasaan itu, tentang bagaimana Nabi nak selamatkan semuanya. Aku juga mahu menyelamatkan orang-orang yang aku sayang, tapi kudratku terbatas. 

Hanya doa yang mampu aku langitkan. 

~Betapa cinta dunia itu benar-benar memamah rindu untuk kembali bertemu Dia. Ya Allah, jadikan aku sentiasa rindu untuk bertemu-Mu dan berbuat yang terbaik dalam tempoh masa yang berbaki ini untuk ku bawa pada-Mu~

Sep 30, 2025

Pelayaran ke G: Ibrah untuk Kita


~Insya Allah, tanamkan impian agar suatu hari kita akan jadi antara manusia yang membina semula batu bata di G4Z4~

Masih ingat ketika saya di tahun 4 Ijazah Sarjana Muda, waktu tu kapal Mavi Marmara sedang belayar ke G. Saya sedang berada di rumah sewa semasa posting jururawat tahun akhir di Hospital Temerloh. Jadi, menonton TV tu adalah perkara rare kami, apatah lagi kalau dah kerja shif di hospital. Lagi tua ni, lagi banyak tanggungjawab di hospital, dan terima kasih juga kepada staf hospital yang percayakan kami. 

Jadi, saya tak tahu menahu pun tentang pelayaran Mavi Marmara pada awalnya. Cuma suatu hari itu jadi tergempar apabila saya tahu (saya pun tak ingat asalnya saya tahu dari rakan atau dari telefon, zaman tu belum ada Whatsapp) tentang kapal Mavi Marmara yang ditahan Zisewel dan ada yang syahid, ada yang ditahan dan dipenjara. Memang ada beberapa orang figur yang saya kenali tetapi tidaklah serapat mana. Tapi entah kenapa tiba-tiba air mata jatuh berlinang apabila dengar khabar itu. 

Tidak lama selepas habis posting, saya pulang terus ke rumah dan terus mengikuti update mereka sehinggalah mereka dibebaskan semuanya. 

Dan setelah mereka dibebaskan, saya menyaksikan banyak siaran televisyen menemuramah mereka termasuk para isteri yang ditinggalkan di Malaysia ketika itu. 


Hingga saya terdetik ketika sesi temuramah itu, "Ya Allah, aku teringin sangat nak tanya para isteri ni, apa perasaan mereka bila tahu suami mereka mungkin pergi dan tidak kembali. Apa yang buatkan mereka sekuat itu, dengan anak-anak pun masih kecil lagi."

Saya pernah mengenali dari jauh para isteri yang tabah tu, tapi tak serapat itu untuk bertanya tentang hal itu. 

Sehinggalah saya diizinkan oleh-Nya untuk berhijrah ke negeri paling selatan ini, dan bertemu dengan salah seorang dari mereka. Dan sosok yang kuat dan tabah inilah yang banyak bimbing saya dalam perjalanan untuk terus menjadi hamba-Nya yang lebih baik. Sehinggalah beberapa tahun kemudian, baru saya berani bertanyakan soalan itu. 

Syukur, Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya. 

Jadi, setiap kali melihat pelayaran Global Sumud Flotilla kali ini, ia seperti mengimbas kembali memori lebih 10 tahun dahulu. 

Ia bukan mudah.
Semoga doa kita kuatkan hati mereka dan hati keluarga yang mereka tinggalkan. 

Kredit: TT Haroqs



~Kalau kita tak mampu pergi kali ini, kita doakan untuk mereka, ambil tahu dan peduli. Biar doa kita sertai dan iringi mereka ke sana, Insya Allah.
P@lestin, tunggu kami datang.~


Aug 14, 2025

Anak-anak: Peluklah Al-Quran


~Sedih....Allahkan ada~ 

Sudah masuk minggu kedua Ummi tak jumpa anak-anak. 
Ya, rindu. Ada rasa sebak kadang-kadang bila rindu.


Minggu ni Khubaib call Ummi sambil menangis. Ummi cuba kekal tenang sambil mendengar luahan Khubaib. 

"Kesian Khubaib. Dah seminggu tak peluk Ummi. Dah pergi minta peluk kat Abi." kata Ummi pada Khubaib setelah mendengar luahan hati dia.

Kesemua anak-anak Ummi ni love languagenya sama macam Umminya iaitu sentuhan. Lagi-lagi kalau anak-anak tengah sedih tu, Ummi akan peluk erat anak-anak. 

Dan sejak beberapa minggu ni, apabila hujung minggu saja, ketiga-tiga anak-anak akan duduk dalam bilik Ummi, luangkan masa sama-sama. Alhamdulillah, Allah yang pegang dan satukan hati kita. 

Dan Khubaib kembali bercakap di telefon setelah tak dapat peluk Abinya. 

"Takpe, Allah ada. Ummi dulu kalau sedih, Ummi peluk Al-Quran. Dah, pergi ambil Al-Quran tu, peluk Al-Quran". 

Khubaib bangun ambil Al-Quran dan peluk Al-Quran. 

"Malam ni kalau sedih lagi, ambil Quran peluk. Allah ada untuk Khubaib." sambung Ummi lagi. 

Dulu-dulu zaman belum matang waktu rasa sedih sangat, Ummi pun macam tu, lepas baca Al-Quran, Ummi akan peluk Al-Quran waktu tidur.  

Macam tu lah Ummi cerita pada Khubaib. 

Fathimah lebih banyak pendam, tapi akan bercerita apabila Ummi luangkan masa lebih dengan dia. Em, waktu tu baru dia buka mulut. 

"Untuk anak-anak Ummi, walaupun Ummi jauh, Ummi selalu doa agar Allah Ya Hafiz Ya Syafi pelihara dan sembuhkan hati anak-anak Ummi."

Insya Allah, Ummi buat yang terbaik dari sini ye sayang. 

Hadis Abu Said r.a:
Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap musibah yang di timpa ke atas orang-orang mukmin yang berupa sakit yang berterusan, sakit yang biasa dan kesedihan bahkan membawa kepada kebingungan dari musibah yang beliau alami, maka hal yang demikian merupakan penghapus bagi kesalahan-kesalahannya.
(Riwayat Muslim, #4670)

~Ya Allah, Ya Hafiz Ya Syafi, peliharalah dan sembuhkanlah anak-anakku, bantulah kami~

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino