::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-
Showing posts with label corat coret. Show all posts
Showing posts with label corat coret. Show all posts

Sep 5, 2026

Sebuah Buku: Nilai Ilmu


 ~Buku bukan sekadar bernama buku~

Saya pun tak tahu kenapa tiba-tiba teringat peristiwa melihat salah seorang yang saya kenali dulu membuang buku-buku beliau, sama seperti beliau membuang baju-baju terpakai. Daripada buku novel sampailah ke buku kewangan. Bukan buang di tong kitar semula ye. Sama level dengan sampah domestik di luar rumah, tempat pembuangannnya tu. 

Saya sedih. 

Beliau lebih pandai daripada saya kalau nak ikutkan berapa banyak A yang ada dalam peperiksaan SPM. Waktu itu saya faham, rupanya bukan kepandaian seseorang yang menjadikan seseorang tu tahu tentang nilai ilmu. Banyak A dalam SPM pun attitudenya tetap begitu. Mana silapnya ya? 

Saya terus teringat waktu kecil dulu, setiap kali teman nenek ke bandar untuk ambil duit pencen arwah atuk, kami akan lalu di sebuah kedai buku, yang ditepinya ada memaparkan buku-buku. Dan saya akan cakap dengan nenek, boleh tak saya nak tengok kejap. 

Dan nenek akan tanya, "Nak beli ke? Ambillah." Rasa bahagia sangat ye dapat offer daripada nenek macam tu, dan saya akan beli buku Doraemon untuk dibeli. Waktu usia saya sekitar darjah 1 hingga 3. Rasa bahagia tu lebih bahagia daripada nenek offer saya nak makan ayam KFC atau tak, atau beli mainan. 

Tapi waktu buku komik tu dah terlalu banyak di rumah, nenek buang ye buku-buku tu, terus rasa sedih sangat. Dan saya juga akan pergi rumah jiran merangkap saudara saya untuk tengok buku komik Dragonball dan pinjam bawa balik rumah. Buku-buku itu dibeli oleh abang saudara saya yang usia lebih tua 5 tahun daripada saya, tapi saya berkawan baik dengan adik dia, jadi dapatlah pinjam walaupun sebenarnya saya malu dengan abang saudara sendiri. Salah satu sebabnya, abang saudara saya ni pun pemalu dan beliau adalah pelajar terbaik sekolah rendah kami. Dan kiranya dialah antara contoh dalam keluarga besar kami, yang pandai, berkepimpinan walaupun keluarga mereka pun ada struggle sendiri. 

Sampaikan saya siap ada impian nak buat perpustakaan, tulis buku sendiri, dan letak buku saya dan buku-buku lain di perpustakaan tu. 

And balik kepada isu tadi, saya sayang buku dan sedih ye bila buku tu dibuang. Sebab untuk menghasilkan buku, ia tidak semestinya tentang nilai duit yang dibuang macam tu saja, tapi juga nilai usaha dan idea penulis, orang yang menerbitkan, yang menjual hingga sampai kepada kita sebagai pembeli. Nilai usaha dan idea mereka lebih besar dari nilai pembelian kita. 

"Tak sayang ke dengan buku?" 
Itulah yang saya fikirkan. 

Sedangkan saya nak memiliki buku pun, berkira-kira dulu, hingga nak tunggu nenek offer kat saya. 

Sampaikan anak-anak dengan saya pun, saya didik akan bawa ke kedai buku di shopping mall jika ada dan berpeluang. 

~Suka pergi jualan buku yang murah; gambar zaman universiti~


***************

Kembali kepada realiti. 

Di mana sekarang saya sedang buat kajian tentang cuaca panas dan bagaimana tidak semua rumah itu kondusif sebagai tempat belajar pada waktu siang ketika cuaca panas. 

Tiba-tiba saya teringat impian saya dulu nak buat kedai buku, atau perpustakaan mini, dan mungkin sekarang ia jadi keperluan mereka yang memerlukan untuk jadi tempat belajar, macam ibarat kedai Speedmart dengan tagline dekat tapi murah, dan jadikan perpustakaan atau ruang belajar yang dekat dan mesra anak-anak di kawasan perumahan masing-masing. 

Mohon doakan saya mampu untuk jadikan impian itu satu realiti, di samping nak menjadikan anak-anak dapat menghargai nilai ilmu dengan lebih baik. 

~Aameen~


Feb 10, 2025

Tak Perlu Belajar Kemahiran Komunikasi?


 

~"Komunikasi pun nak kena belajar ke? Cakap dan dengar je pun nak belajar?"~

~Doa mohon kelancaran berbicara~

Apabila ada sesuatu yang kita dah biasa buat, kita tak tahu pun dan tak ada kesedaran untuk menambah baik rutin kerja yang kita lakukan. 

Mungkin sebab kita rasa dah biasa. Dah biasa buat. Jadi, buat apa nak belajar kan? 

Tetapi kita lupa, orang yang berlumba lari pun perlu tahu teknik betul untuk berlumba. Orang yang biasa bermain bola pun perlu tahu teknik betul untuk bermain bola. 


Satu kebiasaan bukan sentiasa betul. Tetapi yang betul itu yang perlu kita biasakan. 


Jadi, bercakap dan mendengar ni ada cara betul ke dan tak betul ke? 


Berlatih Cakap Apa Yang Perlu

Kali pertama, saya belajar untuk berkomunikasi atau menyampaikan sesuatu sewaktu dalam arena perdebatan. 

Saya hanya ada 7 minit saja, untuk pengenalan, membalas apa yang telah disuarakan oleh pihak pembangkang, menegakkan semula pendirian kami, dan bentang baki 2 poin utama kami, dan buat kesimpulan ringkas. Tujuh minit saja ye, pandai-pandailah nak buat semua. Kemudian, jadi penggulung di akhir sesi debat, memang pandai-pandailah nak cakap secara 'tepat dan singkat'. 


Kali pertama cakap depan cermin, tak cukup masa nak cakap semua. Meleret-leret, banyak bebel entah hapa-hapa. Berkali-kali praktis, tengok macammana cara pembahas yang hebat-hebat bercakap dan struktur mereka berbahas, akhirnya cukup masa.

Nak bercakap pun kena berstruktur ye. 


Cakap dan Dengar 

Sewaktu masuk tahun pertama ijazah kejururawatan dahulu, ada satu topik Effective Communication in Nursing atau Komunikasi Berkesan dalam Kejururawatan dalam subjek Fundamentals of Nursing. 

Waktu tengok course outline tu rasa macam, "ini pun kena belajar ke?" kan...huhu. 
Alhamdulillah tetapi pensyarah-pensyarah kami jadikan subjek ini lebih menarik sebab kami banyak kena buat 'role-play' dan banyak ye tugasan yang memerlukan kami mengasah bakat menjadi pelakon, produser, pengarah, penerbit, penyunting video untuk menghasilkan video berkualiti. Kumpulan saya mempunyai 5 orang ahli, 4 perempuan dan seorang lelaki. 

Alhamdulillah, di hujung semester perlu bentang hasil lakonan kami di depan pensyarah dan Dekan fakulti, dan ada pensyarah-pensyarah termasuk yang menitiskan air mata melihat lakonan kami. Saya pun tak ingat saya berlakon watak apa kali itu (yang penting bukan watak utama). 

Cuma, ia hanya sekadar lakonan tetapi kami perlu tahu apa perlu kami 'cakapkan', bila waktunya perlu kami jadi 'pendengar', dan bila waktunya perlu kami 'sampaikan'. 

Nampak macam 'simple' kan? Tetapi tidak semudah itu. 

Hatta, soalan-soalan sebegini banyak ditanya di dalam soalan Peperiksaan Lembaga Jururawat Malaysia atau versi peperiksaan kejururawatan antarabangsa National Council Licensure Examination (NCLEX). Bagi saya sendiri, soalan-soalan ini bukanlah soalan yang mudah. 

~Contoh soalan tentang komunikasi, agaknya apa jawapannya?~


Selepas belajar, baru perasan sebenarnya semua ini banyak mengajar saya untuk berkomunikasi dalam hidup ini. 

It's a lifetime lesson. 

 

Kadang-kadang apabila saya marah sesuatu pada anak-anak, dan kemudian jadi ibu 'normal' semula, anak-anak akan tanya dan pelik. 

"Tadi kan Ummi marah." Tanya anak-anak. 

"Waktu bila patut marah memang kena marah, lepas tu dah habis, sabar dan move on. Tak payah emo-emo." Jawab saya. 


Ya, marahlah pada tempatnya. Nasihat pada tempatnya. 

Bercakap dan mendengarlah pada tempatnya. 


Saya belajar bercakap supaya orang faham poin apa yang saya nak sampaikan. 

Saya belajar diam untuk mendengar. Dan bukan bangun dan pergi ketika orang sedang luahkan perasaannya pada saya. 

Saya belajar untuk tidak tiba-tiba memotong percakapan atau membela diri sendiri atau terus bersifat judgmental dalam perkataan. 


Jadi...

Jadi, perlu ke atau tidak sebenarnya belajar berkomunikasi? 

Ya, belajar lah buat sesuatu dengan betul. Hatta dalam mendengar dan bercakap yang kononnya kita dah sangat mahir bertahun-tahun tu. 


Kadang-kadang kita marah, kenapa orang tak dengar apa yang kita cakap? 

Tapi pernah tak kita tanya diri kita, kenapa orang tak dengar apa yang kita cakap? 
Sebab cara kita berkomunikasi ke, atau ada sebab yang lain? 


Belajarlah. 

Doa untuk orang faham perkataan kita pun sering kita baca sejak zaman sekolah, kan? 
Bagaimana Nabi s.a.w bercakap dan dalam keadaan apa pun banyak sebenarnya contoh dalam sirah Nabi? Dalam situasi bagaimana, apa nak cakap, dan perlu cakap apa...

~Tetapi kadang-kadang kita manusia terlalu ego untuk melihat sendiri kelemahan diri kita. Semoga Allah tunjukkan jalan sebaiknya kepada kita untuk mencontohi baginda Rasulullah s.a.w dalam tutur kata dan perbuatan~


Jul 6, 2024

Kerana Dia dan Mendekati-Nya


~Hidup ini bukan saja kerana Allah, tetapi hijrah daripada titik bawah ke titik yang lebih mendekati Allah s.w.t.~

Alhamdulillah saya bersyukur atas nikmat dikurniakan sahabat-sahabat dan orang sekeliling yang saling mengingatkan saya dengan Pencipta. 


Kata-kata seorang kakak tautan hati yang selalu memuji saya banyak membaca kerana sambung belajar walhal sebenarnya saya juga rasa macam saya banyak baca bahan-bahan berkaitan tesis saja, berbanding bahan bacaan yang lain. Saya rasa kakak tersayang saya itu yang juga seorang ustazah mestilah lebih banyak bacaan tentang keagamaan sebab beliau di bidang tersebut berbanding saya. Tidaklah lebih mana saya berbanding beliau, semoga Allah rahmati kami. 


Alhamdulillah, asbab berada di jalan ini, ketika ada tugasan atau perlu memimpin adik-adik usrah, saya rasa itu adalah satu tanggungjawab, amanah bukan saja untuk pimpin orang lain, bahkan sebenarnya untuk memimpin diri ini sendiri. 


Jadi, beberapa hari lepas, saya memberi penyampaian tentang hadith pertama iaitu 'Niat dan Ikhlas' dalam Hadith 40, selain makna, termasuklah dari segi istilah dan bahasa. 

Teringat zaman matrikulasi dulu, ada dengar lagu nasyid untuk senang hafal hadith pertama ini, tetapi saya lupa nama penyanyinya. 


Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab radhiallahuanhu, dia berkata,

“Saya mendengar Rasulullah shallahu`alaihi wa sallam bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan  (tergantung niatnya). Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan.

Siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya.

Dan siapa yang hijrahnya karena menginginkan kehidupan yang layak di dunia atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.”

[Hadith Riwayat Bukhari]


Dan seperti biasa, sebelum penyampaian, saya akan buka dan baca dulu apa yang perlu disampaikan. Bahkan ada kalanya, saya perlu rujuk 2-3 buah buku untuk topik berkenaan untuk lebih faham dan tak tersasar apa yang ingin saya sampaikan. 


Namun, ketika penyampaian hadith tentang niat semalam sebenarnya banyak mengetuk pintu hati sendiri.Tentang niat iaitu tujuan dan tindakan, serta keikhlasan. 

Menariknya, kita selalu buat sesuatu itu kita niat nak buat KERANA ALLAH. Namun, kelainannya dalam hadith hijrah ini, hijrah itu KEPADA ALLAH dan juga KERANA ALLAH. 

~Ke mana kita nak bawa hidup kita ini sebenarnya?~


Kita nak buat sesuatu bukan hanya kerana Allah, tetapi juga sebab kita nak pergi dekat kepada Allah. 

Adakah perkara yang kita nak buat itu atau sedang buat itu bawa kita kepada Allah? 


Saya yang memberi tahu ini pun menghela nafas panjang, terdiam dan merenung diri sendiri. 

Bukan setakat yang amal yang bernama ibadah khusus, seperti solat, puasa, bahkan dalam makan, minum, mendidik anak, perkahwinan, dan semua aspek hidup ini perlu ada niat kerana Allah dan untuk bawa kita dekat kepada Allah.


Contohnya:


Jika dalam konteks mendidik anak, adakah kita sentiasa upgrade diri kita menjadi ibu bapa yang baik? Adakah kita sentiasa upgrade ilmu kita untuk besarkan anak meingkut masanya? 

Hatta, membela ayam pun kita perlu ada ilmu, bermula anak ayam, hingga ke ayam dewasa. Masakan menjadi ibu atau bapa dengan amanah yang besar ini (bukan setakat membela) bahkan membina sebuah legasi pembentukan batu bata ummah, kita buat sambil lewa? 

Begitu juga dengan isu childfree. Mulanya saya tidak terfikir sangat isu ini. Tetapi ia terlintas apabila saya membaca hadith ini.

Apa sebenarnya tujuan kita berkahwin?
Kita nak bawa ke mana sebenarnya perkahwinan ini, untuk seronok-seronok saja menikmati cinta berdua?
Atau kita nak bawa cinta dalam perkahwinan kerana Allah dan kepada Allah?

Ramai di antara kita nak upgrade banyak perkara dalam hidup ini, termasuk rumah, kerjaya, anak, tetapi apabila kita sedang pikul amanah Allah, di mana keinginan kita untuk upgrade kemampuan kita menggalas amanah ini? 

Pembungkus

Tiada kita yang sempurna dalam dunia ini. Kita tidak mengejar sempurna. Kita mengejar untuk buat yang terbaik untuk Pencipta kita. 

~Ya Allah, kami ini adalah pendosa. Kami nak rebut cinta-Mu. Kami nak masuk Syurga dengan redha-Mu~



Aug 18, 2022

Perkahwinan: Bukan Cerita Fairytale


~Happy ending hanya apabila kita tiba di Syurga~

Bukan Cinderella

Kisah perkahwinan atau spesifiknya berumah tangga ini bukan kisah perkahwinan dalam cerita dongeng Disney zaman kanak-kanak yang kita tengok dulu. Yang kisahnya melalui kepahitan, cubaan dan cabaran hidup akhirnya tamat apabila kita disatukan dalam medan perkahwinan. 

Waktu awal perkahwinan dulu, masih PJJ dengan suami, tanya seorang kakak dalam kelas Master saya kepada saya: 

"Dah berkahwin ke?"

"Dah, baru kahwin, masih dalam proses berkenalan lagi." Jawab saya sambil tersenyum. 

"Proses berkenalan dengan suami bukan awal perkahwinan saja tetapi di sepanjang proses perkahwinan." Katanya. 

Terdiam saya sejenak. Satu pencerahan yang baru untuk saya. 

******

Sekali Air Bah, Sekali Pantai Berubah 

Waktu itu belum melalui fasa itu. Ye lah. Masih dapat ilmu secara teori. 

Kini apabila telah lebih 9 tahun usia perkahwinan, sangat bersetuju dengan statement ini. Sangat relatable. 

Kita berkahwin dengan manusia yang dinamik. Manusia yang suka perubahan dan akan ada perubahan pada dirinya walaupun sedikit, selari dengan berubahnya (bertambahnya) digit usia kita. 

Tanggungjawab dan cabaran hidup kita  menggugah jiwa-jiwa kita. Maka, apa yang kita lihat, dengar dan baca setiap hari membentuk diri dan hati kita. Maka, tangki jiwa kita yang diisi secara pasif (daripada persekitaran) dan aktif (daripada inisiatif input kita sendiri) mempengaruhi setiap tindakan dan perlakuan kita. 

People are constantly changing. 
We are what we decide what we want to be. 

Kita sendiri yang memilih kita nak berubah jadi yang lebih baik atau sebaliknya. 

Walaupun banyak kajian mengatakan resilience iaitu daya tahan dipengaruhi oleh cabaran hidup sewaktu kecil, tetapi resilience setiap anak-anak daripada ibu bapa yang sama juga berbeza hingga mereka membesar dan menjadi pasangan hidup individu lain.

Macam berat pula nak cerita tentang resiliencecy atau daya tahan diri seseorang itu, insya Allah mungkin di lain entri boleh sambung lagi.

*******
Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang

Benar, personaliti seseorang dikaitkan dengan masa silamnya. Tetapi ada juga mereka yang berjaya keluar daripada rantaian adversity of childhood  life (zaman gelap kanak-kanak) mereka. 

Sewaktu zaman sekolah di STJ dulu, beberapa rakan saya yang hebat juga datang daripada broken family atau ibu bapa yang telah berpisah. 

Mereka pilih untuk berubah, take the challenge dan jadi orang yang hebat. Semuanya dengan izin Allah. Allah tak pernah kejam. Allah Maha Melihat. Dan Allah Maha Melihat apa yang kita usahakan untuk perbaiki diri kita dan Dia ada menemani langkah kita. 

~Kredit kepada sahabat amazing saya, Puan Maznah Ibrahim atas perkongsian gambar ini~


Stop blaming and move on. Percayalah Allah pilih kita untuk lihat kita berusaha meningkatkan darjat kita di sisi-Nya. Semakin kita dekat dengan Allah dan isi jiwa dan hati kita dengan perkara yang betul dan tindakan yang Allah redha, kita akan lihat cahaya di lorong gelap yang sedang kita lalui.

Ha, apa pula kaitan dengan perkahwinan pula kan? 

*******
Manusia Bukan Robot

Suami atau isteri kita bukan robot. Kita tak boleh kawal suami atau isteri kita. Kita tak boleh kawal dia nak isi masa dia dengan tengok handphone, tengok social media yang mana atau main mobile legend sebab dia adalah orang dewasa. 

Berikan suami atau isteri me-time mereka atau buat apa yang mereka suka selagi masih dalam landasan syarak atau selagi tidak melampaui batas. Kalau dia nak bersukan, sokonglah minatnya. Kalau mereka nak berjumpa rakan-rakan sambil 'mengeteh', berikanlah ruang untuknya. Begitu juga dengan suami kepada isteri.

Isikan sama-sama dalam rumah kita perkara bermanfaat untuk buat bersama. 

Kalau ada yang kita tak berkenan, cakap baik-baik dan elakkan bertekak terutama depan anak-anak. 

Betul, the struggle is real. Orang kata, 'cakap senanglah.'
Tak ada satu penyelesaian yang sama untuk semua isu dan konflik dalam rumahtangga. 

Perlukan tolak ansur dua manusia yang bernama suami dan isteri. Usahakan selagi mampu. Jika tak mampu, ambillah langkah-langkah penyelesaian yang lain.
Move on, jangan terlalu makan hati sampai kita sendiri tertekan, depress. Jika langkah terakhir, melepaskan itu lebih baik, kita serahkan kepada Allah, istikharahlah dan solat hajat agar Allah tunjukkan dan mudahkan jalan yang terbaik. 

Kita hanya mampu ubah diri kita dan doa kepada Allah agar pasangan kita juga berubah menjadi lebih baik. 

******
Panjang pula entri ini. 
Semoga ia bermanfaat. 

Manusia sentiasa ada perubahan. 
Mari kita ubah jadi lebih baik bermula dengan diri sendiri dulu. 
Baiki hubungan kita dengan Allah, dan Allah akan baiki kehidupan kita, insya Allah. 

Jan 7, 2022

Ummi Kembali Kerja


~Hamba yang lemah & kerdil, yang bagi bagus, kuat, hebat semuanya daripada Allah s.w.t~

Wanita dan multitask tu perkara yang biasa yang di dengar. 

Di kala ini, Ummi sedang menulis entri ini, kami dalam proses berpindah rumah. Si kecil Khuzaimah Ali sedang berada di pangkuan Ummi proses melenakan dirinya. Baru sudah Ummi rasa stress dengan laptop Chromebook yang tak boleh mengedit kerja di Microsoft Word secara online. Yang offline tu Microsoft tak sediakan untuk di install.  

Sedang memakai "topi" pelbagai kerja di kepala ini untuk membahagikan tugas. Namun, kadang kudrat dan upaya tak mampu melakukan semua yang telah dirancang dengan baik di dalam kepala.

Melihat rumah bagai separuh siap; dapur meja makan, bilik yang tak terkemas sempurna; Khuzaimah Ali si kecil clingy dan sentiasa rindukan mama di sisinya; abang dan kakak Khuzaimah yang perlu dipantau dan kadangkala suka datang mengganggu lena adiknya - semuanya ini adalah cabaran Ummi untuk kembali bekerja semula. 

Hanya pada Allah sajalah tempat Ummi bergantung harap memohon pertolongan agar dimudahkan segala urusan seharian. 

Terima kasih Abi yang memahami. Hampir semua kerja-kerja pindah randah dan mengemas rumah baru Abi yang buat. Semoga Allah membalas kebaikanmu. 

Ummi percaya semua orang ada cabaran hidup masing-masing. Allah beri sesuai mengikut kesanggupan kita. 

Doakan Ummi juga dipermudahkan urusan semuanya. Ummi harap dapat semula laptop Ummi yang lama agar boleh sambung kerja yang sulit tergendala. 

Nota kaki: tiba-tiba rindu nak jadi sukarelawan banjir bila tengok jemputan sukarelawan di medsos (sempat lagi kan walaupun diri tengah sibuk-sibuk ni). Semoga Allah ganti yang lebih baik pada rakyat Malaysia yang terkesan banjir. 

~Sentiasa fikir yang baik,berkata yang baik, insya Allah semoga Allah datangkan pada kita segala kebaikan, dan mendapat kesudahan yang baik dalam hidup ini~

27 Disember 2021

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino