::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Mar 30, 2025

Nota Ramadhan-Syawal 1446H: Catatan Yang Sukar Dilupakan


~Sungguh, saya bersyukur Allah pilih bulan ini untuk saya diuji. Dan saya tahu itu bukan kebetulan tapi hakikatnya susunan Allah yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim~


Nota Ramadhan 1446H

Hari ini hari ke-27 saya menjaga mak. Hari pertama lebih kurang jam 10 pagi bawa mak ke bahagian kecemasan hospital, kemudian ke bahagian pengimejan, kembali semula ke bahagian kecemasan, dan akhirnya masuk wad pada jam 8 malam. Saya tidur hanya 1 jam di rumah, ambil barang keperluan dan kembali semula ke hospital jam 2 pagi, dapat terlelap sebentar 30 minit lebih kurang jam 4 pagi, dan 30 minit lagi terlelap waktu Dhuha. 

Hari pertama yang mencabar. 

Dan bermula lah cabaran Ramadhan saya pada hari tu, Ramadhan yang sangat produktif kerana menjaga mak di wad, ulang alik ke rumah yang 40 minit jauhnya dari hospital. Berharap saya tak terlelap sewaktu memandu. 

Alhamdulillah hari ketiga, mak keluar dari wad. Cabaran saya juga bermula apabila berjauhan dengan anak-anak. Upaya mak tak seperti dulu, mak lemah sebelah kiri kaki dan tangan,  perlu bantuan asas rutin harian. 

Ya, cabaran saya ini bermula sebagai anak, ibu, dan juga pelajar akhir semester PhD. 

Allahu, besar dugaan ini buat mak, dan juga saya sendiri. Mungkin juga buat anak-anak terutama Ali si kecil. 

Minggu awal di rumah, emosi mak awalnya haru biru. Daripada seorang cergas, kini mak perlu bergantung pada orang lain melakukan rutin hariannya, tentu mak rasa kecewa. Mak kata mak dah lumpuh. 

Berkali-kali walaupun anaknya ni kata mak tak lumpuh, hanya lemah sebelah badan, mak tetap rasa dirinya begitu. Setiap tengah malam mak akan terjaga, katanya ternampak macam-macam, rasa tak selesa bernafas dan tak selesa tidur, hinggalah menghampiri jam 4 pagi. Alhamdulillah usai solat Isyak, mak terus tidur, dan saya berkesempatan menunaikan solat terawih. 

Tenang?

Saya cuba kekal tenang, walaupun tidak mudah. Ada masa juga saya menangis sendiri. Alhamdulillah, minggu pertama dan kedua di rumah, beberapa hari nenek, pakcik dan makcik datang bermalam di rumah. Memberi sokongan pada mak dan saya sendiri. 

Bila mak bersendirian saja, emosi negatif mak datang lagi. Syukur beberapa hari ada teman ahli keluarga di rumah, mak dan saya boleh bergelak ketawa lagi. Kami ni suka tease each other, walaupun berbagai lapisan generasi. 

Saya ambil jalan cepat untuk pulihkan emosi mak dengan beri harapan bahawa mak boleh pulih semula dengan bawa ke pusat rehabilitasi swasta. Sebab waktu menunggu untuk ke hospital kerajaan bagi sesi terapi fisio adalah selepas Raya, jadi untuk memberi harapan pulih pada mak, saya perlu bawa mak cepat untuk terapi fisio. 

Waktu perjalanan pergi dan pulang ke pusat fisioterapi yang jauhnya hampir 1 jam perjalanan, adalah juga waktu terapi alam juga untuk mak. Lihat langit dan lihat alam. Sesi pertama terapi fisio, saya bawa mak sebaik saja hanya kami berdua di rumah. Harapnya itu ikhtiar terbaik untuk pulihkan semangat mak. Sesi kedua terapi, makcik yang drive, hantar mak ke pusat terapi, bersama saya ditemani pakcik dan nenek. Sebaik saja nenek lihat mak lebih baik setelah waktu terapi fisio, nenek kata nampak mak dah lebih baik, dan nenek pun mengajak makcik dan pakcik balik semula ke kampung. 

Kata makcik saya iaitu makcik bongsu saya, "kalau ada apa-apa, mesej atau call je dia." 
Dan apabila buat pertama kali saya hampir tak mampu lagi emosi ini bertahan, saya mesej makcik, baru bagi salam di Whatsapp, Alhamdulillah terus makcik call bertanya khabar diri dan mak. 

Alhamdulillah selesai sudah sesi keempat terapi mak di pusat tersebut, tinggal menunggu untuk sesi di hospital kerajaan selepas raya nanti. 

Saya bukan robot, saya juga manusia. Ada hati dan perasaan. Saya bukan sentiasa tenang. Ada masa saya menangis sendiri, terutama di awal-awal dugaan ini. 

Tapi Alhamdulillah saya ada Allah, ahli keluarga yang menyokong, ada mentor yang ingatkan saya untuk banyakkan masa dengan Al-Quran, dan ada sahabat-sahabat yang menguatkan. Masa banyak saya dengan Al-Quran sangat menguatkan hati ini dan beri ruang untuk saya rehat dan rawat diri. 

Syawal Ini

Saya memang masih mengharapkan mak kembali sembuh. Cuma emosi mak masih lagi turun naik. Dan mak tak suka ditinggalkan bersendirian terlalu lama. 

Mak masih lagi disorientasi dengan masa. Walaupun, jam loceng kecil telah saya bekalkan dengan mak, mak masih lagi bertanya tentang waktu. Ada juga masa mak lupa mak dah solat atau belum. Mak juga kata mata mak dah tak selesa pakai cermin mata yang lama, walaupun dah tukar cermin mata baru beberapa minggu lalu, tetap mak kata tak selesa. Ada masa mak bersemangat, ada masa mak down. Kadangkala mak bertanya jika dah Zohor, walhal masih baru jam 10 pagi, dan selalunya begitulah. Kadangkala jam 1 pagi mak kejutkan saya dan bertanya adakah saya dah sahur atau dah Subuh. Tekanan darah mak juga masih belum normal, dan setiap hari hampir sama bacaannya walaupun tetap akur dengan rutin ubatan. 

Perasaan? Tentu saja dalam hati saya sedih. Saya membawa emosi sedih ini di dalam hati. Tesis saya masih progress tapi sekarang mungkin selambat siput, fokus saya kini untuk mak. 

Syawal kali ini tiada juadah istimewa seperti rendang melainkan yang asas sahaja. Hanya saja saya mengemas rumah dan menyediakan sedikit kuih raya jika ada tetamu yang bertandang. 

Selamat hari raya Aidilfitri dan maaf zahir dan batin bagi yang sudi membaca entri ini. Mohon doakan mak dengan segala doa-doa kebaikan. 
Taqabbalallahu minna wa minkum. Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu. 

~Mungkin setelah musibah ini, Allah sedang siapkan hadiah~


May 6, 2020

Ramadhan: Yang Sama Dan Yang Berbeza


Ramadhan kali ini berbeza daripada Ramadhan tahun-tahun sebelumnya.

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang menggembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya."
(Hadith Riwayat Muslim) 

Ramadhan kali ini kita terawih jemaah di rumah saja.
Ramadhan kali ini majoriti berimamkan ketua keluarga atau sendiri saja.
Ramadhan kali ini tiada deretan motorsikal dan kereta berbaris di parkir masjid dan surau-surau kampung dan ibu kota.
Ramadhan kali ini tiada iftar besar-besaran makan di luar.
Ramadhan kali ini tiada bazar di jalan-jalan.
Ramadhan kali ini tiada hingar-bingar manusia pulang petang berpusu-pusu membeli makanan.

Ramadhan kali ini tetap sama perlu diimarahkan.
Cuma berbeza adat dan tempat.
Yang tetap sama adalah ibadat.
Puasa, solat, zikir dan kebaikan tetap diteruskan.
Walaupun mungkin nampaknya seperti hilang kemeriahan.
Pahala tetap Allah beri pada mereka yang istiqamah dan tekun beribadah.

Ramadhan kali ini tetap meriah.
Walau bukan di jalan tetapi meriah di rumah.
Meriah dengan anak-anak seharian.
Meriah dengan solat berjemaah bersama keluarga.

Bagi yang sedang kesusahan,
Tetap Ramadhan ini ada yang datang memberi bantuan.
Kerana Tuhan dan kerana ihsan.

Ramadhan ini Tuhan tidak pernah lupakan kita.
Makin dekat kita kepadaNya,
Semakin Allah hampir pada kita.

~Pertama kali buat Ramadhan corner untuk anak-anak~


~Ramadhan ini tetap sama walaupun nampak lahiriahnya berbeza.~

Jun 22, 2019

Lebaran: Istiqamah Kursus 30 Hari Ramadhan




Masih ada yang sambut beraya Aidilfitri? Rumah terbuka juga hingga sebulankan...

Eid Mubarak. Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu. Semoga Allah pertemukan kita dengan Ramadhan sekali lagi.

Manis sangat sewaktu Ramadhan. Hingga apabila dah masuk Syawal pun masih teringat dan rindu nak berpuasa lagi.

Apabila tiba Ramadhan, ramai di antara kita nak pasang gol atau matlamat nak dicapai hujung Ramadhan. Ada yang nak kurus, ada yang nak banyakkan sedekah, ada yang nak jadi lebih baik dan pastinya nak capai tahap taqwa yang level-up selepas Ramadhan.


Follow-Up Gol Pasca Ramadhan

Selepas Ramadhan, Syawal pun tiba.

Syawal setakat beraya sahaja atau lebih dari itu? Hanya kita dan Allah saja tahu.

Pada yang nak terus istiqamahkan amalan atau tingkatkan lagi setelah masuk Syawal, syabas dan tahniah diucapkan.

Ramai yang kata berpuasa sunat selepas Ramadhan ni lagi besar cabarannya kan berbanding berpuasa di bulan Ramadhan.

Betul sangat lah tu. Itu juga mungkin sebabnya ramai wanita-wanita muslimah ni bila nak tiba Ramadhan, baru sibuk nak ganti puasa Ramadhan yang setelah 11 bulan berlalu tu. He.

Itu baru cerita puasa, belum lagi bab sedekah, solat berjemaah, jaga lisan dan mata, yang biasa kita sangat jaga sewaktu bersekolah dalam Ramadhan untuk diaplikasikan selepas Ramadhan.

Bulan Ramadhan tu hanya sekolah dan latihan untuk kita. Selepas Ramadhan, bagaimana pula?

Bagi yang terlupa, jom kita muhasabah sama-sama...
Semoga kita jadi insan yang lebih baik pada pandangan Allah.

Hakikatnya kita bukan hamba Ramadhan, tapi hamba Allah s.w.t.

Istiqamahkan Dalam Garis Masa Kehidupan

Matlamat akhir kita adalah hidup menuju Allah. Kita semua akan kembali pada Allah.

"Ummi, kenapa orang meninggal dunia?" tanya Khubaib beberapa hari lepas selepas melihat gambar Almarhum Atuk Shamsuddin dalam gambar handphone Ummi.

"Semua orang akan meninggal dunia, Khubaib. Kalau nak masuk Syurga, kenalah meninggalkan dunia. Dunia ni tempat kumpul pahala je. Kalau dah banyak pahala, barulah boleh masuk Syurga."
Seringkas mungkin Umminya ceritakan pada Khubaib. Semoga difahami Khubaib yang banyak tanya ni. :)

Biasanya dalam tempoh pembelajaran dan pekerjaan, kita dihantar ke kem-kem bina semangat, dan kursus-kursus untuk peningkatan diri dan meningkatkan semangat untuk terus berprestasi tinggi.

Semoga kursus 30 hari di sekolah Ramadhan tidak sia-sia dan tidak luntur semangat untuk kita jadi lebih baik: hubungan kita dengan Allah dan hubungan dengan manusia.

Kita pun tidak tahu sampai bila garis kehidupan kita akan terus berjalan di atas dunia ini. 

Semoga Allah sentiasa kuatkan kita untuk terus berada di jalanNya. Selamat beristiqamah dan bermujahadah semua!


May 12, 2019

Hadiah Pertama Ramadhanku


~Daku hanyalah hambaNya yang biasa-biasa, tetapi rahmahNya padaku sungguh luar biasa~

Fasa Ramadhan yang sedang melalui penghujung minggu pertama.


Beberapa hari lalu sebelum hari ibu hari ini, Allah memberi saya hadiah indah di bulan Ramadhan ini.

Bermimpi melihat Allahyarham ayahanda dengan muka bersih tersenyum tanpa kata menyebabkan saya tidak ingin bangun dari lena.

Setelah beberapa tahun tanpa mimpi ayahanda, bermimpi ayahanda kali ini sudah cukup buatku tersenyum gembira bangun dari tidur. Di dalam mimpi, banyak yang saya katakan padanya tetapi hanya senyumannya yang terukir di wajahnya. (Apabila dia tiada, baru rasa nak cerita macam-macamkan..).

Segala puji bagi Allah. Syukur Allah pertemukan kami walau hanya dalam mimpi. Mungkin di bawah sedar saya merindui Allahyarham ayahanda.

Ingatan juga bagi saya untuk berusaha jadi anak yang solehah agar sampai doa dan amal jariah padanya yang berada di alam sana.

Ibnu Taimiyyah apabila ditanya: "Adakah Ruh orang yang telah mati akan bertemu semula?"
Beliau menjawab: "Ruh orang yang hidup apabila ditarik (mati) akan bertemu dengan ruh orang telah lama meninggal dunia, mereka bertanya tentang keadaan orang yang masih hidup."
Rujuk Majmu' Al-Fatawa (24/303 & 368)
~Semoga suatu hari kita akan bertemu lagi dan berbicara apa yang tidak dapat dilafazkan tika di dunia~ 




Jun 10, 2018

Aku, Kamu dan Malaysia Baharu


Masih belum reda nampaknya panas pasca Pilihan Raya Umum di Malaysia.

           Sesungguhnya mukmin itu bersaudara

Pertempuran Alam Maya

Jika dulu, melayari media sosial seperti Facebook ibarat melihat atau membaca tulisan genre autobiografi. Segala aktiviti harian dinukilkan. Sekarang melayari media sosial ibarat membaca buku atau melihat filem bergenre complicated seperti The Da Vinci Code atau cerita Lord of The Rings ketika puak-puak Middle Earth yang masih bertelagah dan tidak bersatu.

Ketika peperangan pendapat dan persepsi sedang hebat berlaku di medan pertempuran alam maya, masih ramai lagi menjadi pemerhati. Berbagai spekulasi yang dikeluarkan.

Ada yang mengatakan ia perang antara golongan Islamis dan Liberalis.
Ada yang mengatakan ia perang sentimen dan polemik semata. 
Ada yang mengatakan ia perang antara mereka yang kurang matang dalam menilai isu semasa.
Ada yang mengatakan ia perang di antara mereka yang 'uneducated' atau tidak berpendidikan. 


Apapun sebabnya, saya sendiri tidak dapat tentukan mana satu perincian utama yang lebih sesuai untuk keadaan ini. 
Allahu'alam. Hanya Allah saja yang mengetahui.

Walaupun begitu, jika ia dikatakan melibatkan golongan Islamik, kurang matang atau 'uneducated', dari sudut pandang yang lain, saya tetap bersyukur sebagai Muslim di Malaysia masih ramai lagi yang sayangkan agama yang satu ini biarpun golongan apa jua mereka. Mungkin kita jelek dengan sesetengah sikap individu yang agak kurang sopan ketika menaip di laman sosial, tapi dari sudut pandang yang lain ialah mereka tetap mahukan kebaikan untuk agama dan negara.

Kalau ada antara mereka pekerja am,  bukan professional atau tidak berpelajaran tinggi mengeluarkan pendapat, jangan pula kita cepat melabel mereka sebagai 'uneducated' dan tidak berpelajaran tinggi seperti kita. Maka kita mempersampahkan pendapat mereka. Rendahkan sedikit hati kita ini.

Memanglah orang berilmu ini Allah kata darjatnya tinggi di sisi Allah tetapi ingat, yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang bertakwa. Ilmu tanpa amal soleh juga tidak bermakna.

Allah SWT berfirman:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."
(QS. Al-Hujurat 49: Ayat 13)

Mungkin juga kiranya wujud golongan Liberalis atau kurang jelas kefahaman Islam di negara Malaysia ini, anggaplah ia satu peluang yang besar untuk kita sebagai umat Islam yang ada kefahaman Islam untuk terus melakukan dakwah.
 
Kisah Dua Syeikh

Saya teringat sebuah kisah benar beberapa tahun dahulu ketika bulan Ramadhan apabila beberapa orang Imam dari negara Arab datang ke Malaysia. 

Kisah Syeikh yang pertama apabila dibawa ke sebuah tempat di mana ramai di kalangan warga tempatan dengan pakaian terlihat auratnya. Syeikh tersebut lantas mengucapkan "Astaghfirullah."

Ya, itu reaksi biasa.

Namun, di satu tempat yang lain ketika Syeikh yang kedua dibawa ke pusat membeli-belah dan pengunjung yang tidak menutup aurat sepenuhnya juga kelihatan. 
Syeikh tersebut berkata, "Alhamdulillah."

Lantas, pemuda yang membawa Syeikh kedua ini agak terkejut sebab reaksi Syeikh yang luar biasa.
"Kenapa Syeikh ucap Alhamdulillah?"

Kata Syeikh kerana banyaknya medan dakwah di Malaysia.

Masya Allah. Hebat. Luar biasa.
Itulah getus hati saya apabila mendengar kisah itu.


Benar, banyak lagi kerja-kerja dakwah yang kita perlu lakukan. 

Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain pada kebaikan. 

Kalau kita rasa kita tak baik atau kurang baik untuk ajak orang lain pada agama kita, kita baiki diri kita. Sambil kita baiki diri, kita pun ajak orang lain buat baik sama-sama. Ibarat jalan dua hala. 

Sebagai Kesedaran

Pada hemat 20 sen saya ini, tidak semua entri atau post di Facebook tidak relevan. Ada yang baik untuk dibuat tauladan. Kita lupakan sekejap siapa yang berkata tapi lihatlah apa yang dikata. Kemudian analisalah kesahihan beritanya.

Jika baik dan sahih, Alhamdulillah. Jika tidak baik, tidak perlu dibalas pula dengan cacian dan makian. Nasihatlah dengan berhikmah. Kalau risau jika persahabatan kita mengundang luka, boleh bincang bila bersemuka. Sebab tulisan hanya dapat dibaca dan tidak boleh didengar nada bunyinya. Bersemuka dan cakap baik-baik dengan dia. Atau kita diam saja dan doa baik-baik untuk dia. 

Kita semua ni sayangkan agama dan negara, tidak bolehkah kita juga lihat sahabat-sahabat kita dengan pandangan kasih sayang dariNya?

Melewati 10 Malam Terakhir

Tinggal berbaki beberapa hari lagi Ramadhan ini. Kita rebut peluang hidupkan malam. Allah bagi tempoh malam sehingga sebelum waktu Subuh. Lepas solat malam, kita doakan kebaikan untuk semua. Semoga Allah tautkan hati-hati kita dengan keimanan dan kasih sayang keranaNya. 

Saya berhajat berkongsi salah satu doa yang dinukilkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dianjurkan untuk dibaca bersama. 

Aisyah r.a berkata:
"Apabila Rasulullah s.a.w melakukan qiamullail, baginda berdoa:
'Ya Allah! Tuhan Jibril, Mikail dan Israfil, pencipta langit dan bumi, yang Maha Mengetahui yang ghaib dan disaksikan. Engkau memutuskan perselisihan yang terjadi kepada para hamba-Mu, tunjukkan lah pada ku kebenaran dalam sesuatu yang diperselisihkan dengan izin-Mu. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk kepada siapa saja yang Engkau kehendaki menuju jalan yang lurus.' 

Sahih Muslim, Abu Daud dan Tirmizi

Golongan apa pun kita dan mereka, tidak semua pisang pada satu tandan itu busuk. Jangan sampai kerana sesikat pisang yang busuk, habis sebatang pokok pisang kita tebang 😀. 

May 23, 2018

PRU 14, Ramadhan dan Hari Guruku


~Maka, jadilah orang yang selalu berfikir baik, berkata baik, berbuat baik, berhati baik, kerana semua kebaikan akan kembali kepada kita -Aa Gym- ~


PRU14

Kali ini kali kedua saya mengundi sempena Pilihan Raya Umum (PRU) di tanah air saya di Malaysia. Boleh katakan juga, kali ini saya lebih banyak berfikir dan menelaah daripada ketika menjadi pengundi kali pertama. Ya, pada mulanya memang keliru walaupun kita dah buat keputusan untuk cenderung memilih peneraju Negara. Alhamdulillah dengan adanya musyawarah dengan mereka yang lebih arif dan berpengalaman beserta solat dan doa, keputusan siapa untuk diundi telah ditentukan.

PRU14 kali ini menunjukkan kempen di media sosial yang sangat hebat. Sama ada oleh Parti A, B dan C. Kempen bukan saja oleh ahli parti bahkan oleh penyokong yang tidak berdaftar atau bakal pengundi yang telah menentukan parti pilihan hati.

Sedihnya, ada yang terlupa adab dan akhlak berdiskusi atau mengepos status hingga sampai bertukar menjadi pahlawan papan kekunci. Ada yang tidak pernah bertaring terus menjadi singa di laman media sosial.

Itulah cabaran dan ujian dalam kehidupan. Kita semua diuji. Mungkin tagline “adab kat mana?” seperti iklan di TV sudah tidak berguna lagi.



Ramadhan

Pilihan Raya kali ini diadakan lebih seminggu sahaja sebelum Ramadhan. Kadang-kadang mungkin kita terlupa bahawa kempen pilihan raya lebih hebat dari kempen mempersiapkan diri untuk Ramadhan. Harapnya masa itu kita tak lupa belek Al-Quran kerana terlalu sibuk kempen di twitter, youtube ataupun Facebook.

Ramadhan datang, hanya tinggal diri kita sendiri berjuang dengan melawan hawa nafsu. Tiada lagi syaitan di sebelah untuk dipersalahkan atas kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan di bulan Ramadhan ini.

Inilah diri kita yang sebenar.

Semoga kita menjaga lisan bukan sahaja melalui tutur kata bahkan melalui tulisan yang terpapar di laman media sosial. Semua itu dicatat dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Sekejap saja sebulan Ramadhan ini akan berlalu. Ketika kita sibuk, sekejap saja 1/3 Ramadhan telah meninggalkan kita. Ketika kita sibuk membeli kelengkapan hari raya lalu meng’update’ di laman media sosial, 2/3 Ramadhan telah meninggalkan kita. Dan ketika kita sibuk hendak pulang ke kampong halaman sambil ‘update’ jalan raya yang sesak, Ramadhan sudah pun tinggal baki beberapa hari bersama kita. Entah ada atau tidak, Ramadhan tahun depan untuk kita lagi.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia kerugian melainkan nasihat kepada kebenaran dan kesabaran." 
(Al-Asr: 1-3)

Semoga Ramadhan ini kita penuhi dengan perkara-perkara kebaikan. Ramadhan adalah pesta ibadah. Moga menjadi 'recharge' untuk terus istiqamah di bulan-bulan akan datang.

Hari Guruku

Seperti tahun-tahun sebelumnya saya pernah cerita tentang guru-guru yang saya sayangi semenjak di sekolah rendah hingga ke universiti. Guru-guru yang sangat awesome, masya Allah. Semoga Allah anugerahkan mereka semua kebaikan yang banyak.


Sempena sambutan hari guru kali ini, guru-guru atau murabbi yang ingin saya perincikan adalah mereka yang benar-benar menyentuh hati saya.

Sepanjang pra-Pilihan Raya Umum hingga pasca Pilihan Raya, mereka lah orang yang banyak memberi contoh teladan kepada saya untuk: 
- berlapang dada, 
- tidak melabel dengan perkataan yang menghina orang-orang yang tidak sependapat, 
- sentiasa memberi peluang untuk melihat potensi kebaikan, 
- bersangka baik pada saudara muslim yang lain selagi mereka ingin menegakkan kebenaran dan menjadikan redha Allah sebagai panduan, 
- menjadi pendamai di antara mereka yang berkelahi kerana pendapat yang berbeza 
- dan banyak lagi yang tidak terungkapkan.

Saya hanya pemerhati. Namun, apa yang saya perhatikan benar-benar membentuk dan mengetuk hati ini. Kadang-kadang saya berfikir, adakah saya mampu menjadi sebaik itu.

Kalianlah tauladan dan murabbi untuk saya yang masih banyak kekhilafan diri.

Alhamdulillah, yakin bahawa saya tidak silap memilih 'jalan'. InsyaAllah, semoga Allah sentiasa rahmati dan berkati Murabbi-murabbi yang saya sayangi kerana Allah.

Segala puji bagi Allah, dari dulu hingga kini, saya tetap gembira dengan bulatan gembira saya.

~Ketenangan hati adalah suatu perkara yang tidak mampu dijual beli~

Jun 19, 2017

Bazar Ramadhan vs Bazar Ramadhan


~Berdoalah ketika berpuasa. Doa semoga Allah maafkan kita sekeluarga ataupun muslimin seluruhnya. Berdoalah apa saja asal kita tetap di jalanNya~

Corat-coret 25 Ramadhan 1438H.

Doa Yang Terkabul

Ramadhan kali ni Allah dah makbulkan salah satu doa suami saya.

Bulan Ramadhan saya memang suka pergi Bazar Ramadhan. Kalau zaman universiti dulu, kalau tak mampu beli nasi beriani, pergi beli nasi kerabu. Paling koman pun mini murtabak.

Sampai berkahwin pun siap ajak suami pergi bazar sekali. Ya lah, kadang-kadang teringin nak cari air soya lah terutamanya waktu mengandung anak pertama dulu dengan morning sickness yang agak teruk dan asyik teringin nak minum air soya, maka suami ikutkan saja.

Encik suami ada juga kata kami ni kena kurangkan pergi ke bazar. Banyak kebaikan kurangkan aktiviti ke bazar Ramadhan. Boleh berjimat, boleh jaga hati dan mata, boleh tumpukan tenaga lebih untuk beribadah malam hari dan lain-lain lagi.

Itulah, walaupun dah empat tahun kahwin, baru tahun ni saya dapat merealisasikan impian suami tu. Itupun dengan izin Allah.

Sebab apa? Sebab Allah tu Maha Mendengar.

Tahun ini Allah takdirkan bayi kedua ada alahan macam umminya. Kalau ummi alahan, tetap makan juga sikit buat 'rasa'. He. Namun, bila fikirkan anak, memang saya macam orang pantang lagi dalam bab pemakanan. Kesian tengok anak kalau gatal-gatal satu badan. Jadi, tahun ni kita masak di rumah saja. Lebih jimat dan lebih sihat, insyaAllah.

Itulah cerita tentang Bazar Ramadhan yang telah ditinggalkan. Memang pecah rekod tak pergi langsung jalan petang-petang ke bazar.

Bazar Ramadhan Dia

Bazar Ramadhan manusia telah saya tinggalkan.

~Promosi Ramadhan oleh manusia vs promosi Ramadhan dari Tuhan~ 

Semakin nak dekat raya semakin banyak sale.  Semakin nak dekat raya jugalah, Allah tawarkan ganjaran istimewa untuk sepuluh malam terakhir Ramadhan.

Maka samada kita berlumba tinggalkan tarawikh di masjid dan hadir berjemaah ke shopping complex atau sebaliknya. Ataupun mungkin sibuk buat kuih untuk sambut raya melebihi sibuk menyambut malam Al-qadar.

Walaupun saya dapat hidayah (kiranya macam jadi 'budak baik' sikit) ni lebih awal daripada suami, Alhamdulillah suami yang banyak bertegas soal tak nak tinggal tarawikh berjemaah di masjid.

Ramadhan ni datang setahun sekali. Andainya kita tahu dan boleh nampak ganjaran tu depan mata kita, tentu kita lebih fokus untuk menyambutnya kan? Tapi itulah 'hadiah misteri' yang Allah janjikan untuk kita. Memang kena ada kesabaran yang kuat untuk terus jadi hambaNya yang taat dan istiqamah.

Semoga kita semua terus berteguh hati. Cubaan memang banyak. Jom kita doa agar kita berusaha untuk terus fokus pada Ramadhan yang dah nak pergi. Kita pun belum tahu rezeki Ramadhan tahun depan dengan kita macammana lagi...
Ayuh!

~Ramadhan ibarat marathon. Semakin hampir ke garisan penamat, paling perlukan pecutan berganda. Kalau tak mampu pecut sekalipun, jangan berjalan keluar dari landasan~

Jul 18, 2013

Ramadhan: Merancanglah!


~Ramadhan; aku mengumpul kembali kekuatan diri, membersihkan karat-karat di hati. Wahai Allah, berilah kami kekuatan untuk terus istiqamah di jalan-Mu~. 

~Ramadhan: If you fail to plan, you plan to fail~


Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)."
(Hadith Riwayat Muslim)  

Cerita Ramadhan 1: 

"Apa matlamat atau misi dan visi kamu pada bulan Ramadhan ini?", tanya Cikgu Tipah.

Kelas yang hingar-bingar sunyi seketika.

Ada juga para pelajar yang ingin menjawab tapi apabila dilihat Cikgu Tipah, hanya gerak-gerak bibir tanpa suara yang berkata.

"Tahukah kamu bulan Ramadhan ini ibarat durian runtuh? Bulan Ramadhan ini Allah melipatgandakan pahala. Sesiapa yang berjaya keluar dari bulan ini dengan bekal taqwa, mereka itulah orang-orang yang beruntung."

Semua terdiam. Teliti dalam mendengar di pagi hari kedua Ramadhan itu.

"Baiklah, semua keluarkan kertas. Kita akan rangka sama-sama target Ramadhan kita." ujar Cikgu Tipah memecah keheningan.


Ramadhan: Adakah Kita Merancang?

Semenjak kecil, ramai antara kita sudah punya cita-cita atau matlamat untuk 20 tahun akan datang.

'Saya nak jadi peguam.'

'Saya bercita-cita jadi doktor.'

Dan macam-macam lagi cita-cita kita untuk berapa tahun akan datang.

Kita merancang untuk satu kehidupan yang kita sendiri tidak tahu akan sempatkah kita bertemu dengannya.

Namun, adakah kita sudah merancang apabila bulan penuh rahmat dan keberkahan ini telah datang ke dalam hidup kita?

Saya sendiri merasa sedikit kesal dengan diri kerana tidak memanfaatkan bulan-bulan sebelumnya untuk menyambut tetamu Allah ini.

Kini, Ramadhan sudah bertamu, apakah kita menyambutnya dengan gembira?
Apa yang kita rancang untuk meraikannya?
Apakah rancangan kita di sepanjang bulan ini agar kita mendapat keampunan MaghfirahNya, agar kita menjadi hamba-hamba yang menerima limpahan rahmat-Nya?

Renungan untuk kita terutamanya buat diri saya sendiri:
Rebutlah Ramadhan seolah-olah kita tidak akan berjumpanya lagi selepas ini.
Mereka yang gagal merancang, ia merancang untuk gagal - moga kita menjadi antara hamba-hamba-Nya yang keluar dari madrasah Ramadhan ini sebagai orang-orang yang berjaya (muflihun)..

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu. "
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Sudah Merancang?

~Semoga Allah meneguhkan hati-hati kita~

Bagi mereka yang sudah melakukan persediaan beberapa bulan sebelum Ramadhan, tahniah. Mabruk alaik wahai sahabat!

Bagi yang sudah merancang, ayuh sama-sama kita mujahadah!

Bermujahadah melaksanakan matlamat dan perancangan menyuburkan keimanan dan ketaqwaan.
Semoga Allah memberi kekuatan dan memudahkan segala urusan.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah (berjuanglah) di jalan-Nya, agar kamu beruntung."
(Al-Ma'idah; 5:35)

Moga Allah memperteguhkan langkah kita.
Ramadhan; tanda kasih Allah kepada kita. Mari hargai kehadirannya.

~Mengintrospeksi di minggu kedua Ramadhan ini; ah, berapa banyak sudah masa kita bazirkan begitu saja? Wahai Allah, ampunilah kami yang lalai dan alpa.~


Aug 11, 2012

Di Penghujung Ramadhan Ini


~Ramadhan akan pergi sekali lagi, meninggalkan manusia sama ada menjadi orang untung atau mereka yang rugi~
~Hari-hari terakhir Ramadhan 1433H~
Ramadhan sudah sampai ke penghujungnya. Sekolah ini akan berakhir penggalnya sekali lagi, meninggalkan kita untuk terus berjuang di baki bulan-bulan seterusnya, Insya Allah.

Di penghujung Ramadhan ini, mari sejenak kita memuhasabah diri.

Di Mana Puasa Kita?

Menurut Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin, terdapat tiga tingkatan atau kedudukan orang-orang yang berpuasa.

Tingkatan 1: Puasa Orang Awam (Umum)
Yakni puasa hanya dengan menahan lapar dan dahaga sahaja. Puasa orang awam hanya menahan diri dari makan, minum, dan nafsu syahwat sahaja.

Tingkatan 2: Puasa Khowas (Khusus)
Puasa menahan lapar dan dahaga serta menjaga pancaindera dari perkara-perkara batil. Puasanya sama dengan yang pertama, namun, puasanya telah mampu mencegah pancainderanya iaitu pendengaran, lisan, penglihatan dan anggota tubuhnya daripada perbuatan yang mendatangkan dosa.

Tingkatan 3: Puasa Khowasil Khowas (Sangat Khusus)
Puasa ini adalah seperti puasa tingkatan yang kedua dan ketiga tetapi hati-hati orang di tingkatan ini juga ikut berpuasa daripada nita-niat atau lintasan yang tidak baik seperti iri hati, riak dan sebagainya.

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapakan rahmat Allah taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu."
(Hadith  Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lalu, di manakah puasa kita? Di manakah letaknya diri kita ketika penggal Ramadhan ini sudah hampir berakhir.

Bazar Ramadhan

Setiap kali Ramadhan kita akan ke bazar membeli juadah makanan yang bermacam-macam. Bazar ini meriah dan ada pada setiap hari.

Ramadhan juga diumpamakan seperti bazar. Terlalu banyak tawaran untuk kita rebutkan. Namun, apakah sudah cukup hingga ke hari ini kita berjual beli di Bazar Ramadhan ini untuk kita bawa ke akhirat menjadi bekal?


Ketika malam-malam terakhir Ramadhan, ada yang kesibukan mencari malam kemuliaan, ada yang kesibukan membuat persiapan menunggu tibanya lebaran.
Dan lagu raya semakin rancak berkumandang daripada bacaan Al-Quran dan alunan puji-pujian kepada Tuhan.


"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan." (Al-Qadr; 97:1)

Ganjaran yang lebih baik daripada 1000 bulan, apakah kita tidak mahu merebutnya?

Ramadhan ini mungkin yang terakhir bagi kita.
Rebutlah. Mujahadahlah.
Pesanan ini juga buat diri saya sendiri.
Benar, mujahadah itu susah.
Kerana jalan ke Syurga itu hanya untuk mereka yang bersusah payah.
Mari kita mohon kekuatan daripada Allah.

La haw lawala quwwata illa billah.

Tragedi  Ramadhan 1433H 

Khas buat saudara-saudara Muslim diluar sana yang menderita dan tiada berupaya untuk sahur dan berbuka seperti kita, moga Allah melimpahkan pertolongan dan rahmat-Nya kepada mereka.

Khas buat saudara-saudara Muslim di Rohingya yang telah mengalami penderitaan di sepanjang Ramadhan ini, marilah kita doakan pertolongan dan kemenangan untuk mereka. Setiap kali kita mendapat nikmat, marilah kita beringat untuk mensyukuri nikmat ini.


Ya Allah limpahkan kepada saudara-saudara Muslim kami ini pertolongan dan kekuatan.
Berilah mereka kekuatan iman dalam hati-hati mereka.
Dan lembutkanlah hati-hati kami untuk sentiasa mengirim pertolongan berbentuk fizikal mahupun doa kepada mereka.
Ameen. Ameen. Ameen.

~Ya Allah, moga kami keluar dari Ramadhan ini dengan nilaian taqwa dan iman yang lebih baik dari sebelumnya untuk kami persembahkan diri kami kepada-Mu~

Sep 5, 2011

Dia Telah Pergi; Syawal Kini Mengganti


~Wahai diri, Ramadhan telah pergi. Teruskan dan perhebatkan usahamu biarpun Syawal kini datang mengganti.~


~Moga Kita Bertemu Lagi~

Ramadhan telah pergi.

Pada hujung senja 29 Ramadhan, selesai berbuka terakhir Ramadhan itu baru saya sedari bahawa esok harinya tiada Ramadhan lagi.

Rasa sedih yang amat.

Ramadhan telah pergi. Tetapi hati bertanya sendiri apakah saya sudah benar-benar mengucapkan selamat tinggal kepadanya berbekal ketaqwaan yang sebenar-benarnya. Entah kenapa hati merasa 'grieving' yang amat kehilangannya. Hinggakan terasa 1 Syawal yang datang itu begitu sepi.

Ya, alhamdulillah, Allah masih kurniakan umur kepada saya dan kepada kita semua. Kehidupan dan perjuangan ini masih perlu diteruskan hingga Izrail datang mencabut nyawa.

Syawal; memang menjadi tempat berkumpulnya sanak saudara, waktu pertemuan hati-hati dan wajah-wajah yang sudah lama tidak bersua. Bukan saja untuk yang masih ada , namun, juga kepada mereka yang telah tiada.

Petang Syawal, saya dan keluarga besar menziarahi tanah perkuburan di atas bukit di kampung berhampiran. Satu peringatan yang saya dapati ketika itu bahawa nanti saya juga akan berada di sini. Kerana mati itu pasti. Sewaktu kunjung mengunjung juga, ada yang terdetik di hati. Orang-orang yang biasa diziarahi dulu juga sudah tiada, sudah pergi mengadap Ilahi.

Terasa masa itu tidak pernah panjang untuk kita. Bila-bila saja; esok atau lusa, atau mungkin saja beberapa saat lagi; kita pasti pergi menyertai.

Syawal yang datang ini memang sepatutnya menjadi hari kemenangan dan hari kegembiraan bagi orang-orang yang beriman. Namun, hati masih tidak mampu melindungi rasa hiba di hati. Kerana nyata Ramadhan telah pergi.


Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan
Selamat Hari Raya Aidilfitri & Maaf Zahir Batin
kepada semua rakan dan taulan, 'followers' serta kenalan-kenalan yang sudi membaca blog ini.

"Taqabballahu Minna Wa Min Kum."
 Moga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu. 

 ~Moga Allah menerima amalan kita semua. Ameen.~

Aug 7, 2011

Apabila Pintu-Pintu Syurga Dibuka


~Ramai mahukan Syurga, tetapi tidak ramai yang menempuh jalan menuju-Nya~


~Ramadhan; hari yang nyaman.~
Duduk di luar rumah sewaktu langit sudah pekat membiru seperti tidak lama lagi hujan akan turun ke bumi. Tiada kilat yang kelihatan namun, hanya sesekali bunyi guruh kedengaran. Bunyi daun-daun bergemersik apabila angin yang sesekali keras dan lembut, tenang dan sejuk datang. Ketenangan dan kedinginan tidak hanya menyentuh kulit bahkan menyelinap terus ke hati.

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda; "Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu Syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekalian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat."
(H.R Bukhari & Muslim)
Puasa Di Bulan Ramadhan Itu Istimewa

Ramadhan ini, pintu-pintu Syurga dibuka dan pintu-pintu neraka yang penuh bara yang tiada tertahan dek manusia dikunci.

Dan tika ini membuatkan saya terfikir sejenak akan kenyamanan dan ketenteraman di bulan ini. Sememangnya tidak sama dengan hawa di bulan-bulan yang lain.

Seorang rakan serumah kami berkata sewaktu sedang mengadap hidangan berbuka.
"Puasa di bulan Ramadhan ni dengan puasa di bulan lain memang tak sama rasanyakan."

Saya hanya tersenyum sambil mengangguk-angguk tanda setuju.

Ya, walaupun hakikatnya dalam puasa itu kita menahan lapar dan dahaga, kita masih cuba meninggalkan perbuatan tidak baik ketika berpuasa dan berkata 'Sungguh  aku berpuasa' apabila berdepan mehnah mencabar, namun, tetap berpuasa di bulan ini memberi erti yang berbeza. Puasa di bulan Ramadhan punya keistimewaannya.

Seolah-olah di bulan Ramadhan ini, kita diletakkan di tempat asing di dunia atau di suatu planet yang lain.

Ketika Pintu Syurga Dibuka

Ramadhan, ia memberi motivasi untuk sesiapa yang ingin mempertingkatkan diri untuk menjadi hamba-Nya yang diredhai. Ramadhan, ia bulan yang tenang dan penuh rasa nyaman. Hinggakan ia membuat saya terfikir adakah kerana semua pintu Neraka ditutup dan semua pintu-pintu Syurga dibuka, maka hembusan angin kenyamanan dan ketenteraman yang keluar dari pintu-pintu Syurga itu bertebaran hingga sampai kepada kita di dunia?

Waallahu'alam. Hanya Dia yang mengetahui.

Namun, jika benar begitu.
Apakah kita tidak mahu untuk terus merasakan kenyamanan dan ketenteraman ini bahkan yang lebih hebat lagi di akhirat nanti?

Rasulullah s.a.w dan para sahabat amat gembira dengan kedatangan Ramadhan, dan juga amat bersedih apabila hendak diinggalkan Ramadhan. Moga kita turut sama merasakannya.

~Sungguh, Ramadhan adalah suatu nikmat kepada hamba yang tidak terhitungkan.~

Aug 2, 2011

Menyemai Benih Pohon Berakar Iman


~Semoga benih-benih keimanan yang tersebar ibarat debunga-debunga dandelion yang diterbangkan angin ke serata tanah yang subur melata~

Tegakkanlah Islam di dalam diri kamu, lalu akan tertegaklah Islam di watanmu.
-Syeikh Hassan Hudaibi-


Sejarah 

Saya masih teringat bagaimana mulanya saya ingin masuk ke UIAM.

Sewaktu masih di sekolah menengah, senior-senior saya amat mempengaruhi untuk kami sama-sama ke sana.
Lalu, beberapa orang rakan-rakan turut bercadang untuk pergi bersama.

Mengapa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang menjadi pilihan?
Kerana biah atau suasananya.
Saya yang pada ketika itu ibarat lalang hanya bertahan pada tempatnya tetapi masih meliuk-lentuk ke kanan dan kiri dibawa angin. Lalu, saya jadikan ia sebagai nazar saya sekiranya saya mendapat sekian keputusannya dalam peperiksaan SPM.
Ya, niat saya adalah untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik.

Alhamdulillah, ternyata saya amat tenang sepanjang 6 tahun saya bergelar mahasiswanya.

Kini, saya telah keluar ke dunia yang lebih nyata. Dunia ini jauh berbeza dari dunia yang saya kenali.

Saya tahu bahawa kini tidak lagi hanya boleh bersuka ria dan bersenang-lenang bersama rakan-rakan yang sama-sama punya matlamat sebuah kehidupan yang hakiki. Ini kerana hakikatnya hati ini menjadi amat sedih apabila melihatkan mereka di luar sana yang masih tidak jelas tujuan kehidupannya diciptakan di dunia.

Apakah penciptaan kita di dunia ini hanya sia-sia dan permainan belaka?

Harapan Ramadhan Ini

Ramadhan ini, mungkin saya terlalu meletakkan harapan dan jangkaan terlalu tinggi pada mereka yang bergelar Muslim.

Berfikir bahawa di bulan mulia ini, semua Muslim akan berubah dari mendengar lagu-lagu yang melalaikan dan menggantikan dengan bacaan Al-Quran. Saya berfikir di bulan ini, semua Muslim akan berlumba-lumba ke masjid untuk solat berjemaah bagi mengutip sebanyak-banyak bekalan untuk dikutip dalam kehidupan ini yang mungkin tidak punya usia yang panjang. Saya berfikir mungkin seteruk-teruknya sekiranya mereka yang meskipun tidak berpuasa akan hanya makan sorok-sorok; tetapi sebaliknya di tempat terang-terangan anak-anak muda ini minum tanpa langsung ada rasa keaiban.

Ternyata harapan itu hanya hampa.

Inilah gelanggang dunia yang sebenar. Sekiranya semasa di UIAM, mungkin amat sedikit sekali saya menemui negatif pada jangkaan-jangkaan ini.

Namun kini, saya hanyalah golongan minoriti; asing dan dagang.

Menyemai Benih Pohon Berakar Iman

Wahai diri, saksikanlah bahawa umat ini amat memerlukanmu untuk kau bantu mereka. Untuk ditunjukkan bahawa kehidupan yang sebenar adalah untuk mengabdikan diri kepada Tuhan yang satu. Hanya Allah saja. Bukan nafsu, bukan dunia berupa wang, harta atau pangkat semata.

Lihatlah, betapa hati meruntun pilu melihat pohon-pohon diri yang nampak teguh tetapi hakikatnya lompong batangnya, rantingnya rapuh dan daun-daun yang kekeringan apabila akarnya bukan lagi bertunjangkan iman. Tiada lagi Ilah di dalam hatinya. Kerana dunia telah mengambil tempat di hatinya. Kehidupan di dunia sungguh memikat hatinya hingga buta pada cinta yang sebenarnya. Hingga pandangan kehidupan ini hanya sementara sudah tiada. Hingga ingatan bahawa Syurga dan Neraka itu sudah seperti dongengan belaka. Lupa akan ada kehidupan yang hakiki selepas kematian di dunia ini.  Lupa bahawa setiap amalan di dunia ini pasti akan diperhitungkan.

Mendidik atau mentarbiyah diri dan hati untuk kembali mempertuhankan Allah di hati tidak mengambil masa yang singkat. Ia perlukan kesabaran yang berlipat ganda. Ia perlukan kepada usaha yang berterusan atau istiqamah.

Mendidik dan membentuk hati untuk cintakan Allah sebagai cinta yang tertinggi adalah ibarat menyemai benih-benih keimanan. Perlu siraman yang konsisten, perlu baja yang baik dan secukupnya, perlu dijaga dengan rapi dan penuh kasih sayang agar ia menumbuhkan pohon yang teguh berakarkan keimanan kepada Penciptanya. Dan benih-benih ini juga tidak akan terus tumbuh dalam sesingkat waktu. Perlahan-perlahan tetapi pasti ia akan tumbuh segar suatu hari nanti.

Menyemai benih pohon berakar iman ini adalah satu perjuangan. Agar umat ini tidak hanya menjadi buih-buih di lautan.

Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan.
-Hasan Al-Banna-

~Menjadi agen perubah memang tidak pernah mudah kerana Syurga itu hanya untuk mereka yang bersusah payah~



Jul 26, 2011

Menuju Pintu Gerbang Ramadhan


~Ramadhan, moga dalam beberapa langkahan ini, kami akan sampai kepadamu~


Ramadhan, moga kami sampai kepadamu.
Menuju Pintunya

Hanya tinggal kurang seminggu saja lagi Ramadhan akan tiba.

2-3 hari ini, hari-hari yang dilalui seperti sayu. Hujan merintis sekejap-sekejap. Hari tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Redup-redup saja.

Selesai titis-titis hujan yang jatuh ke bumi, burung-burung menyanyi. Indah bunyinya. Seolah-olah ia sedang menyanyi merdu meraikan kedatangan sesuatu yang bakal tiba.

Teringat sewaktu saya di UIAM, berada di bilik di tingkat 4, apabila Ramadhan bakal menjengah, keadaannya juga begitu. Terasa sayu, redup dan seolah-olah seluruh alam tidak sabar menanti kedatangannya. Melihat alam yang sebegitu indah menanti seperti juga jiwa-jiwa orang-orang mukmin yang tidak sabar menanti kehadiran bulan yang penuh kerahmatan dan keampunan.

"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sungguh, Dia Maha Penyantun, Maha Pengampun."
(Al-Isra' ; 17:44)

Ramadhan Yang Membahagiakan


Ya, Ramadhan ini adalah bulan kemuliaan. Pernah saya terfikir, andai bulan ini tidak pergi meninggalkan kita, tentu ia amat membahagiakan. Andai bulan ini adalah setahun selamanya untuk kita melipatgandakan pahala amalan dan memohon keampunan sebanyak-banyaknya, alangkah bahagianya.

Namun, kedatangannya yang hanya sebentar ini tentu ada hikmahnya kepada kita. Agar kita tidak melepaskan peluang yang sebentar ini yang datang dalam hidup kita.

Jika pada hari ini kita sudah berusia 20 tahun, mungkin inilah Ramadhan ke-20 yang hadir dalam kehidupan kita. Namun, apakah dalam yang keberapa kali ini kita telah memperbaiki diri kita dalam keadaan yang lebih baik setiap kali kita bertemu dengan Ramadhan?

Moga di sekolah Ramadhan ini, kita akan dapat mendidik hati untuk menjadi insan yang lebih bertaqwa, memperbaiki hati yang penuh lompang-lompang dari keimanan, membersihkan hati dari kuman-kuman jahiliyah yang melekat di cerminnya, menggilap hati dengan keimanan agar kita menjadi hamba yang lebih dekat kepada-Nya.

Moga di sekolah ini, kita telah menetapkan matlamat untuk diri kita, dapat melatih diri kita dan mengecas kelelahan dan kelemahan untuk kita kembali menghadapi cabaran-cabaran kehidupan.

Moga Allah mempertemukan kita dengan Ramadhan. Insya Allah.

~Ramadhan, ia adalah tanda kasih sayang Pencipta kepada hamba-hamba-Nya.~

Jul 19, 2011

Ramadhan: Menghitung Hari


~Wahai Tuhan, inilah harapanku pada Ramadhan-Mu~



Hari ini 17 Syaaban 1432 H. Tinggal beberapa hari sahaja lagi Ramadhan akan tiba.

Dalam mengira detik-detik yang akan berlalu hingga menemui Ramadhan, hati terasa amat berdebar-debar juga merasa sayu. Apakah masih ada lagi waktu untuk diri kita mengecapi kemanisan Ramadhan yang mungkin hanya bakal tiba dalam seminggu dua?

Masih adakah hari-hari esok untuk kita bertemu dengan Ramadhan?

Setelah setahun kita menunggu, apakah masih ada Ramadhan untuk kita pada kali ini?

Ramadhan, masih adakah kesempatan waktu untuk kita bertemu?

Ya, debaran ini mungkin lebih indah dari menghitung hari pernikahan. Ia adalah satu kekasih yang ditunggu-tunggu saban tahun. Yang datang hanya sementara. Yang datangnya meminta kita mengorbankan hal-hal keduniaan lalu menumpukan sepenuhnya diri kita kepada Pencipta.

Sungguh, inilah bulan kemuliaan. Moga Allah menyampaikan kita kepada bulan kerahmatan-Nya ini. Moga kita bertemu dengan Ramadhan kali ini. Dan moga kita telah persiapkan diri untuk menemui bulan yang kita nanti. Puasa kita, ibadah kita, tilawah kita,  moga Allah memberi keberkahan atas setiap persediaan diri kita.

Doa daripada Rasulullah s.a.w diriwayatkan daripada Anas r.a:
"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadhan."
(H.R Baihaqi)

Moga dalam keberkahan persediaan ini, Allah menyampaikan kita kepadanya.

~Wahai Tuhan, sampaikanlah kami kepada bulan kerahmatan dari-Mu, Ramadhan Kareem. Hari demi hari dihitung, mogakan bertemu wahai bulan yang dirindu oleh semua kaum mukminin.~

Sep 4, 2010

Diari Ramadhan 1431 H



~Dalam derita pasti ada bahagia. Kerana Dia sentiasa ada. Yakinlah pada-Nya.~

(1)

'Selamat tinggal, Kuala Lumpur, tanah tempat kelahiranku...' desis hati sewaktu meninggalkan Kuala Lumpur dengan kereta yang penuh berisi barang-barang. Saya sudah berpindah, Alhamdulillah!

Sudah dua bulan saya bekerja di sini. Hidup di tengah-tengah kota, hanya hutan batu di kiri kanan. Saya rindukan hutan yang hijau, angin lembut yang berbisik. Saya rindukan ketenangan itu.

Ramadhan ini boleh dikira berapa kali saja solat terawikh secara berjemaah di masjid. Selebihnya melakukan terawikh sendiri sekiranya tidak bekerja malam.

Ada rasa sedih di hati ini. Kelapangan masa di zaman belajar dahulu amat saya rindukan.

Esok balik ke kampung halaman, mengubat sebentar hati yang rindu. Rindu pada suasana kehijauan. Rindu pada alam yang setia menjadi teman.

Terima kasih warga kerja Hospital Al-Islam yang sudi memberi tunjuk ajar dan rakan serumah yang peramah. Cebisan pengalaman akan saya jadikan bekalan.

Destinasi seterusnya saya akan ke Bandar Penawar. Kata ibu, semoga Bandar Penawar akan menjadi penawar buat diri saya. InsyaAllah, moga kehijauan alam di sana akan menjadi penawar dan penenang jiwa. Moga keputusan yang dibuat dengan nekad di bulan ini ada rahmat di sebaliknya.

Perjalanan diteruskan...

(2)

22 Ramadhan 1431H jua menjadi saksi bahawa Allah telah melembutkan hatinya. Saya sentiasa berdoa Allah mengampuni dosa-dosa kedua ibu bapa saya dan orang-orang yang menjaga saya dan mengasihani mereka. Ameen.

(3)

Buat teman yang sudah mula melangkah setapak demi setapak ke alam perkahwinan, saya amat bahagia untuk kamu.

~Itulah kebahagiaan saya apabila orang-orang yang saya sayangi bahagia.~




The Zikr / Nazrey Johani -Perantau

Aug 21, 2010

Fikir Zikir


~Al-Quran itu nasihat dan peringatan...~

'Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring (seraya berkata),



"Ya Tuhan kami, tidaklah kau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.



Ya Tuhan kami, sesungguhnya orang yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sungguh Engkau telah menghinakannya, dan tidak ada seorang penolong pun bagi orang yang zalim.




Ya Tuhan kami, kami mendengar orang yang menyeru kepada iman, (yaitu), "Berimanlah kamu kepada Tuhanmu," maka kami pun beriman. Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan hapuskanlah kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami beserta orang-orang yang berbakti.



Ya Tuhan kami, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasul-Mu. Dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat. Sungguh Engkau tidak mengingkari janji." '


(Ali-'Imran: 190-194)

Ameen...


Sep 15, 2009

Nilai Takwa Di Hujung Ramadhan



Hari ini sudah hari ke-25 Ramadhan. Apakah agaknya perasaan kita ketika ini? Tidak sabar menyambut Hari Raya Aidilfitri? Atau menginginkan Ramadhan ini terus berlangsung sepanjang tahun, atau merasa sedih bakal meninggalkan sekolah tarbiyah ini?

Tinggal 5 hari saja lagi kita bakal meninggalkan sekolah tarbiyyah Ramadhan. Sebaik itu kita akan meraikan Hari Raya sebagai Hari Konvokesyen kita. Kita bakal bergelar graduan dari sekolah ini, namun, masing-masing mungkin tidak mempunyai keputusan yang sama.

Jika kita mengejar untuk cemerlang dalam pelajaran dan mendapat 'title' pelajar terbaik universiti, bagaimana dengan sekolah Ramadhan ini? Mahukah kita keluar dari sekolah yang disediakan Allah dengan hanya keputusan iman dan takwa yang hanya cukup makan saja atau kita mahu mendapat pengiktirafan yang lebih lagi daripada Tuhan Yang Maha Mencipta?

Takwa itu adalah ukuran rabbani. Namun, kesannya boleh terlihat pada diri.

Mari sama-sama kita mengevaluasi diri.

Sepanjang 25 hari latihan Ramadhan ini apakah kita sudah menghindarkan diri daripada berkata-kata keji dan dusta? Atau masih lagi tidak henti menyakitkan hati orang-orang di sekeliling kita dengan kata-kata yang setajam pedang?

Lalu, di manakah letaknya nilai takwa kita...

Sepanjang 25 hari latihan kita di sekolah ini, apakah kita sudah menjadi manusia cermat dan hati-hati dalam setiap tindakan agar hati terjaga dari dosa-dosa? Atau masih suka melekakan diri dengan perkara-perkara yang tiada manfaatnya? Atau kita masih lagi rasa seronok duduk berdua-duaan antara dengan berlainan jantina bukan mahram dari kita, biarpun dengan alasan "bukan buat apa-apa pun".

Lalu di manakah letaknya nilai takwa kita...

Saya juga turut mengevaluasi diri. Mengingatkan kata-kata yang dikongsi oleh teman seperjuangan.

Di manakah letaknya nilai takwa kita...

Setelah graduasi dari madrasah Ramadhan ini, pastinya kita menjadi produk yang telah disediakan untuk beramal dan berbakti. Atau adakah yang rela memilih untuk menjadi penganggur sahaja?

Lalu, mari kita nilai di 'CGPA' manakah nilai takwa kita...

Semoga pakaian taqwa yang dijahit sepanjang Ramadhan akan siap dipakai nanti...

~Ya Allah, jadikanlah hambaMu ini tergolong dalam hamba yang sentiasa menyuci hati dan menilai diri...~

Sep 10, 2009

Buah Cinta Ramadhan


Sudah 19 hari Ramadhan berlalu. Bermulanya Ramadhan dipenuhi dengan tugasan assignment yang berkeping-keping perlu dihantar setiap minggu hinggalah ke pertengahan Ramadhan ini, ditambah pula dengan peperiksaan pertengahan semester yang akan selesai hujung minggu ini.

Memenatkan. Terasa lelah di samping mengejar amalan bulan Ramadhan. Hingga saya sendiri terlupa untuk menghayati buah hikmah dan haruman wangian cinta kekasih Ramadhan yang datang bertandang.

'Ah, mudah saja berkata cintakan Ramadhan. Namun, ibadah dilakukan secara terkejar-kejar, tiada rasa benar-benar untuk menghayati buah tangan cinta kekasih yang datang sekejap ini. '

Saya terlupa menyelami rasa cinta yang dibuahkan Ramadhan. Rasa cinta yang hadir ketika solat terawikh berjemaah. Sedangkan di waktu lutut bertemu lutut dan siku bertemu siku, cas-cas elektron dan proton bertemu meneutralkan 1001 rasa menjadi kembali neutral. Namun, neutral itu tidak dapat diterjemahkan sebagai kesatuan rasa cinta sesama ummah.

Alangkah ruginya diri.

Hati menangisi diri sendiri. Miskin dengan penilaian dari hati dengan alasan sibuk tanpa cuba menghayati hikmah Ramadhan.

Begitu juga ketika bersahur mahupun berbuka puasa. Ketika masing-masing tidak lokek untuk berkongsi hidangan juadah yang dibeli. Sekali lagi diri terlupa, bahawa perkongsian dan pemberian bukan sekadar untuk mengaut keuntungan pahala yang telah Allah janjikan, namun, jua menjalin rasa kasih dan sayang sesama insan.

Keperluan mengaut pahala itu perlu. Namun, usah sampai terlupa untuk mendalami maksud dan hikmah yang tersembunyi. Setiap amal perbuatan itu bergantung pada niat. InsyaAllah, kita akan dapat apa yang kita niatkan.

Namun, cukupkah sekadar itu? Setelah mengkoreksi diri dan niat di hati untuk menyelami erti sebenar buah cinta ini, terasa amat indah untaian ukhwah yang terbina. Memang benar sabda Junjungan Mulia bahawa kita akan dapat apa yang kita niatkan.

Bagi yang belum mencuba, cubalah rasai buah cinta Ramadhan ini! Nescaya akan terlihat seolah-olah rasa cinta dan kasih sayang sesama ummah sedang bertebar luas.

Dari Umar bin Khattab r.a yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda:

"Setiap perbuatan itu hanyalah bergantung dengan niat, setiap orang hanya
mendapatkan apa yang diniatkan. Maka barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan
Rasul-Nya, maka hijrahnya itu (ikhlas) kerana Allah dan Rasul-Nya. Dan
barangsiapa berhijrah kerana faktor duniawi atau untuk memikat hati orang lain,
maka hijrahnya itu kembali kepada apa yang diinginkannya."


(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)









Sep 7, 2009

Muhasabah Ramadhan



"Wahai Mamanda Menteri, sudah difikirkankah penyelesaiannya pada masalah beta kelmarin? Apakah Ladang Iman masih lagi tidak cukup menghasilkan tuaian Taqwa yang tinggi di bulan mulia ini?"
Tanya si Raja Hati kepada Menteri Akal yang dipanggilnya mengadap ke istana.

"Nampaknya masih belum. Namun, patik sudah melakukan beberapa siasatan." Jawab Menteri Akal. Terketar-ketar, takut untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan kerana jawapannya masih belum ada.

"Masih belum? Apakah malangnya diri ini! Di waktu semua Raja-Raja Kegelapan dan Perosak sudah ditawan, Taqwa masih belum lagi dapat dihasilkan mengikut apa yang Tuhan beta mahukan. Di mana beta hendak letakkan wajah ini wahai Mamanda Menteri?"

Ujar Raja Hati dengan rasa kecewa. Pandangannya dilontarkan jauh ke luar jendela.

Menteri Akal tertunduk diam. Namun, otaknya masih berfikir ligat.

"Bagaimana dengan rakyat jelata beta yang lain, adakah mereka juga terkesan dengan keadaan ini?" Tanya si Raja Hati.

"Setakat ini rakyat jelata dalam keadaan selamat, baik di daerah Mata, Telinga, Kaki dan sebagainya. Mungkin kerana di bulan Ramadhan ini, sempadan telah perketatkan."
Jawab Menteri Akal sedikit yakin. Cubaan untuk mengurangkan kegelisahan di hati Raja.

"Wahai Menteri Akal, fikirkanlah sesuatu. Beta malu pada Tuhan beta. Telah dipenjarakan oleh-Nya segala Raja-Raja Kegelapan dan Perosak, namun, beta masih tidak mampu untuk menghasilkan tuaian Taqwa yang berkualiti dan tinggi nilainya sebagai penghargaan pada Tuhan yang telah menjaga Negara Diri ini."

"Beta beri tempoh Mamanda Menteri untuk fikirkan hingga esok hari."

Gelisah hati si Raja nampaknya masih belum dapat dibendung. Perintah itu benar-benar telah menggetarkan hati Menteri Akal.

Menteri Akal mohon beransur. Bulan Ramadhan sudah makin sampai ke hujungnya. Bermakna tempoh menuai sudah dekat pada waktunya.

Menteri Akal bertekad untuk ke Ladang Iman sendiri. Mungkin di situ dia akan bertemu jawapannya. Puas difikirkan tentang punca tuaian Taqwa yang kurang menjadi. Virus perosak tiada. Ladang Iman sudah dibaja.

Menteri Akal sampai ke Ladang Iman. Pohon-pohon Taqwa nampaknya mula tumbuh mekar. Tentu pohon-pohon Taqwa ini akan menghasilkan haruman hingga ke seluruh Negara Diri.

Menteri Akal terus berjalan ke setiap batas Ladang Iman. Beberapa batas yang dilalui, semuanya tumbuh mekar. Tiada cacat cela. Namun, apabila tiba di batas seterusnya, Menteri Akal melihat pohon-pohon Taqwa yang tumbuh lesu. Daunnya kekuningan seperti tidak cukup makan. Apakah sebabnya?

Dalam perjalanan pulang, Menteri Akal masih lagi gusar. Beliau terserempak Pegawai Nafsu di pertengahan jalan.

"Mengapakah Menteri kelihatan berduka cita?" tanya Pegawai Nafsu.

Menteri Akal menceritakan kisahnya. Masih buntu mencari jalan penyelesaian.

"Jika begitu, pergilah ke Klinik Muhasabah. Bukankah itu yang selalu dinasihati oleh Menteri pada diriku dulu. Mungkin Tabib-Tabib di situ dapat membantu." cadang Pegawai Nafsu. Wajahnya kelihatan lebih tenang bila Ramadhan tiba.

Maka, bertemulah Menteri Akal dengan Tabib-Tabib yang ada, baik Zikir Munajat, Kitabullah dan sebagainya. Rupa-rupanya Ladang Iman masih belum mendapat penawar sepenuhnya bagi virus-virus yang masih ada. Ada yang tidak lengkap rawatannya. Tabib Istighfar hanya dijemput beberapa kali saja bulan ini. Kecil betul hatinya apabila tidak dimahukan seperti Tabib-Tabib yang lain.


"Kotoran itu perlu dibuang sepenuhnya. Bukan separuh-separuh.", Ujar salah seorang Tabib.

Menteri Akal kembali menemui Raja Hati, menyampaikan berita gembira ini. Masih berharap sempat menghasilkan Taqwa dan Iman yang benar-benar dimahukan Tuhan yang Mencipta mereka.

~Menyerap yang perlu, menyingkir yang tidak perlu~

Aug 24, 2009

Madrasah Ramadhan


"Apabila tibanya Ramadhan, terbukalah segenap pintu syurga, tertutup rapatlah segala pintu neraka dan syaitan dibelenggu kesemuanya."
Riwayat Bukhari dan Muslim

Pagi 1 Ramadhan itu, embun dan titisan hujan masih membasahi bunga-bunga dan dedaunan. Menyegarkan pepohon yang kehausan setelah berbulan berpanas di bawah terik mentari. Langit dan awan redup memayungi. Nyamannya alam terus menerjah ke hati.

Fizikalnya, kedatangan Ramadhan hadirnya begitu indah. Ramadhan ini memberikan harapan, membuka luas pintu rahmat dan keampunan buat hamba-hamba yang mendambakan kasih dan sayangNya.

Pembukaan Ramadhan ini ibarat sekolah tarbiyah bagi umat Islam dan menunjukkan bahawa Allah tidak pernah meninggalkan hamba-hambaNya begitu sahaja di dunia tanpa 'complete training' yang diadakan setiap setahun sekali ini. Madrasah ini menyediakan berbagai ujian, galakan dan mata pahala berganda bagi yang melepasi setiap ujian ibadah yang diberi.

Ramadhan ini mengajak manusia kembali kepada fitrah membersihkan hati, akal dan nafsu. Proses pembersihan ini menyahkan kotoran serta habuk-habuk dunia yang melekat di cerminan jiwa.

Semoga kita tergolong dalam kelompok manusia yang bisa keluar lulus dengan taqwa cemerlang di hujung persekolahan ini nanti.


"Solat fardhu lima waktu, Jumaat ke Jumaat berikutnya dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya adalah merupakan penghapus dosa bagi dosa yang berada di antara keduanya selagi mana seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar."
Riwayat Muslim
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino