::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-
Showing posts with label Master PhD. Show all posts
Showing posts with label Master PhD. Show all posts

Feb 6, 2025

Fokus dan Jaga Emosi!


 ~Saya sedar saya makhluk yang ada hati dan perasaan. Dan hati dan perasaan tu adalah amanah untuk saya menjaga dan mengurusnya~


Matlamat Besar

Insya Allah tahun 2025 ini, saya ada matlamat besar untuk diri saya, keluarga, ummah dan untuk dapatkan redha Allah. 

Dan matlamat itu adalah satu perkara yang besar. 

Saya sedar emosi mempengaruhi tindakan saya. 

Salah satu ilmu daripada mentor pengurusan tesis yang saya pegang: Emotion affects Motion. 

Sebelum ni saya sedar tentang itu tetapi mungkin tak berapa yakin dengan fakta itu. Dan bila ada mentor yang mengvalidasikannya, saya lebih yakin tentangnya. 


Bersinar atau Hilang Dari Radar?

Bukan senang kan nak jadi manusia sebab kita ada hati dan perasaan yang kita perlu jaga. Emosi kita tak selalunya dalam kadar stabil. Kita tak mampu kawal perkara yang mencuit hati dan perasaan kita. 

Tapi kita boleh pilih cara kita untuk bereaksi dengannya. 

Berapa ramai yang telah kecundang dek kerana emosi yang tidak terkendali, walhal mereka dahulu merupakan pemegang cita-cita dan impian besar? 

Saya menyaksikan perkara itu berlaku di kalangan sahabat dan kenalan. Yang antaranya dahulu menjadi tauladan untuk saya jejaki mereka. Tahun demi tahun berlalu, ada yang terus bersinar, dan ada yang terus hilang dari radar. 


"Sikit lagi Nadiah. Kau dah nak sampai dah. Sikit lagi, jangan putus asa dan bersedih dengan apa yang terjadi. Jalan terus."


Ah, terus saya teringat ketika zaman akhir-akhir tahun ijazah pertama. Bertimpa-timpa ujian datang. Sampai baca buku pun menangis, tengok cerita pun menangis, makan pun menangis, nak tidur pun menangis. Dua minggu saya tak boleh tidur baring, sebab rasa sesak nafas, dan perlu tidur separa duduk (45 darjah dari katil). Tapi Alhamdulillah saya buat comeback untuk jadi lebih kuat. Saya teruskan training dalam futsal, dan dapat bersama pasukan UIA Kuantan dapat tempat kedua di Pertandingan Sukan IPT Pantai Timur. Semester yang sama dapat jadi antara penerima Anugerah Dekan. Saya nak tamatkan zaman pelajar ijazah saya dengan momen yang indah. 


Waktu tu walaupun diri masih belum betul-betul matang, saya katakan 'kalau itu pun saya telah dapat lalui, kenapa bukan kali ini?'

Dan berapa banyak lagi episod setelah itu terutama perkara-perkara besar yang mengganggu emosi ini yang telah saya hadap dengan baik dengan izin ALLAH swt. 

Memang saya lemah tapi saya ada Allah sebagai tempat saya mengadu dan berharap. 


Tugas Hari Ini

Hari ini, saya ada tugas yang lebih berat dari kelmarin. 

Syukur, zaman ijazah pertama, saya masih ada kawan-kawan sekuliyyah, dan luar universiti yang boleh distract kesedihan saya. Dan zaman sarjana, saya ada rakan-rakan sekerja yang juga sama ambil sarjana di tempat yang sama untuk kongsi rasa. Dan Alhamdulillah, untuk habiskan Phd kali ni, Allah kurniakan lebih ramai orang-orang positif di sekeliling saya, tambah lagi ada mentor dan proses untuk saya terus belajar.


"Nadiah, kau nak capai benda besar dan masa dah hampir ke garisan penamat. Jangan sampai emosi negatif tu hancurkan momentum kau. Kau dah nak sampai. Kalau kau berhenti dan layan sedih kau, momentum kau akan jadi perlahan, jatuh. Kau kena laju sebab waktu tak tunggu kau." 

Kalau boleh memang kita nak cakap, boleh tak jangan uji perasaan aku waktu ni? 

Tapi saya sedar semua orang berhadapan dengan ujian. Itu tanda Allah sayangkan? 


~Yakin, insya Allah, hari tidak selalu cerah, tapi akan datang hari-hari indah~



Feb 7, 2024

Life of Being Coached


Hidup dengan ada jurupandu berbeza dengan hidup tanpanya. 

Macam nak panjat Gunung Kinabalu tanpa ada guider, agaknya macamana rasanya ye? 

Coaching one to one dalam sesi istimewa dengan my mentor hampir berminggu-minggu yang lalu, masih terkesan lagi hingga kini. Walaupun tengah bercakap tu cuba tahan air mata daripada menitis, tapi ia terus mengalir tanpa dipinta. Terima kasih pada sahabat-sahabat yang cepat-cepat bagi tisu. Tak tahu bila last nangis depan orang macam tu. Lower down your guards and expressing your feelings and challenges adalah bukan sesuatu yang seorang introvert mudah untuk lakukan. 

Saya simpan hingga kini dan insya Allah sampai bila-bila: 
"NADIAH, FOKUS PADA BENDA-BENDA BEST DALAM HIDUP."

Allahu, gratitude. 

Terlalu banyak nikmat yang best untuk disyukuri dalam hidup ini. 

Terlalu banyak perkara best yang boleh ingatkan saya untuk terus produktif sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya yang masih banyak amanah dan tanggungjawab.

Saya faham bila emosi negatif ambil alih akan menyebabkan diri saya overwhelm dan lari daripada fokus, walhal kerja-kerja masih banyak untuk dilakukan. 

Perkongsian hadith tentang 'berterus terang memberikan ketenangan' daripada mentor saya dalam kelas malam kami sebagai anak murid 2 minggu lepas, bukan sahaja perlu dalam tesis tapi juga dalam kehidupan ini. (Maaf tak ingat bahasa arab hadith tu). 

~Terima kasih pada doa guru saya, Dr Roket: "Nadiah, insan kecil yang berjiwa besar," Ameen, insya Allah.~

Life goes on, perlu capai target insya Allah untuk siapkan data collection PhD saya tahun ini. 

Semoga Allah permudahkan PhD ini untuk ummah 💖. 


Update:
Kepada sesiapa sahaja di luar sana, yang nak rasa journey Master Phd seperti journey saya atau sahabat-sahabat dengan 'coach' yang sama yang telah Viva dan serta beberapa orang lagi yang telah dapat pelbagai anugerah termasuk Tesis Cemerlang, saya sarankan anda untuk jumpa kami di Program Postgraduate Transformation Program (PTP) Oktober 2024, bertempat di Shah Alam, Selangor, ini di link ini. 'Sesi Klinik' untuk cabaran tesis anda juga disediakan. 

Jom!

Dec 7, 2023

Ibrah Proposal Defense : Open Up


~Alhamdulillah, syukur atas kurniaan Allah semuanya.~ 

"Ambillah hikmah itu walau dari bekas mana pun ia keluar." (Hadith) 
Buku Generasi Muda dan Perubahan oleh Syeikh Fathi Yakan


Syukur

Alhamdulillah syukur semalam selesai Proposal Defense di Kulliyyah of Nursing. Tak jangka pun untuk dapat proposal defense without correction sebab selepas 2 minggu lepas hantar projek research proposal ke admin Kulliyyah, dan baca semula dok cakap "Aduh, kenapa lah boleh tersilap ni."

Ala kulli hal Alhamdulillah, cuma perlu perincikan bahagian metodologi kajian untuk pembetulan. Syukur sangat. 

Rasa terharu juga untuk Chairman yang bagi support sempat bagi hint bila masa tinggal 10 minit, dan puji slide saya (walaupun diri sendiri rasa macam ada je tak kena kat slide tu). Dan kepada examiners yang memulakan feedback dengan kata-kata positif, "Good job", "I can see your hard work from this." Walaupun diri sendiri rasa macam belum 100% hard work lagi, sebenarnya saya sangat terharu. 

Rasa terharu untuk semua support daripada team supervisory saya, Dr Firdaus, Dr Siti, dan Dr Redzuan. 
"Congrats, boleh jawab semua soalan tadi." kata Dr Siti.

Rasa nak rakam je bila Chairman buat pengumuman "You have passed your proposal defense." Alhamdulillah Penyelia Utama saya seorang extrovert, jadi dapatlah bergambar bersama dengan semua asbab cadangan penyelia utama saya. Kalau diri sendiri, asyik tak terluah je. 

~Semoga Allah berkahi perjalanan ilmu ini~

Ibrah

Apa yang satu perkara penting saya belajar daripada Proposal Defense ni?

'Open up'

Sebagai makhluk introvert, untuk luahkan adalah satu struggle saya daripada dulu. 

Sebab rasa :

'tak perlu kot cakap sekarang,' 

'nantilah'

'penting ke untuk cakap tentang tu?'


Kadang-kadang saya akui saya tak tahu perkara tersebut penting untuk orang itu atau orang lain tahu. Sebab mungkin saya rasa tak penting untuk orang itu tahu, (kot?)

Jadi di akhir sesi feedback pada Bab 3, examiner ada bertanya tentang bagaimana saya nak handle spesimen, suhu, dan sebagainya. 

Ye, se'simple' Nadiah Shamsuddin ini adalah saya letakkan dalam penulisan bahawa saya akan handle sample dalam data collection seperti disarankan oleh expert bernama A tahun XYZ. Dan saya memang jangkakan untuk examiner bertanya tentang itu dalam pembentangan nanti. 

Cuma ia tidak diletakkan secara terperinci dalam Bab 3, sebab saya menganggap nanti dalam tesis sebenar boleh cerita lebih terperinci. 

Jadi, ya, untuk 'open up' sebenarnya memberi kesan bukan saja dalam hidup tapi juga dalam tesis saya. 


Flashback

Teringat dulu roomate zaman degree saya kata (selepas majlis makan malam hujung semester), tak cakap pun dengan dia dapat Dean's List semester itu. Yelah,  roomate saya tu hampir setiap semester dia Dean's List. Setakat saya ni apalah sangat, kan...hu. Dan waktu tu rasa 'kenapa saya perlu bagitahu?' Macam juga apabila setelah apply Phd,  pensyarah degree saya terasa hati sebab tak bagi tahu sebab dia anggap saya dah macam rakan dia. 

Bak kata mentor saya Dr Roket dalam seminar RIC 2 (Untuk beberapa orang geng-geng yang seperti saya yang dipanggil ke depan waktu tu sebab susah nak kongsi): "Learn to share it."

Maaf sangat sekiranya saya seorang yang 'clueless'. Insya Allah saya akan terus belajar. 

~Alhamdulillah apa pun syukur untuk segalanya, perjalanan untuk Ummah ini diteruskan~

Update:
Kepada sesiapa sahaja di luar sana, yang sedang berhdapan 'stuck' atau 'negative vibes' dalam journey Master Phd, dan ingin rasa seperti journey saya atau sahabat-sahabat saya dengan 'coach' yang sama yang telah Viva dan serta beberapa orang lagi yang telah dapat pelbagai anugerah termasuk Tesis Cemerlang, saya sarankan anda untuk jumpa kami di Program Postgraduate Transformation Program (PTP) Oktober 2024, bertempat di Shah Alam, Selangor, ini di link ini. 'Sesi Klinik' untuk cabaran tesis anda juga disediakan. 


Jom!


Nov 23, 2023

Sabar dan Nikmatilah Perjalanan Ini


Alhamdulillah seronok tengok dinding Facebook dan suapan entri orang-orang berkonvokesyen. Insya Allah, we'll be there, soon. Ambil vibes mereka. Lalui setiap milestone dan hentian untuk menuju ke situ. 

Sempena mengambil vibes mereka yang bergraduasi, Alhamdulillah telah dapat tarikh Proposal Defense 2 minggu lagi. Walaupun sebenarnya dah hantar permohonan tu hujung bulan Ogos, masih tak berani nak tanya admin Kulliyyah. Sebab rasa research proposal belum habis baik siap pembetulan lagi. 

Ditambah pula dengan kesibukan sebagai penulis menyiapkan manuskrip buku teks yang diketuai bekas pensyarah saya dan kolaborasi dengan pensyarah bidang perubatan, saya perlu beri prioriti kepada manuskrip sebab date line lebih awal. 

Dah hantar manuskrip Isnin lepas, baru berani nak tanya admin Kulliyyah tentang status permohonan Proposal Defense samada telah diluluskan di senate meeting. 

Rupanya admin pun terlepas pandang dan Alhamdulillah dah lama rupanya lulus. Lepas tu, baru lah hantar softcopy research proposal tersebut. Alhamdulillah syukur dah dapat tahu tarikh PD dan insya Allah akan melalui next milestone ini dalam journey PhD dalam masa terdekat. 

Teringat kata-kata mentor saya merangkap cikgu tuisyen PhD saya,  bahawa perlu seize the moment perjalanan PhD ini. Memang kita nak sampai destinasi tu dengan cepat, tapi bila dah sampai tu sekejap je sebenarnya. Ambil skrol dan pakai jubah tu sekejap je tapi yang akan kita kenang adalah perjalanan bertahun-tahun untuk naik ke pentas itu sebenarnya. 

~Gambar 2016 GBBT Master. Insya Allah, next bergambar jubah dan topi bulat~

Tapi tidaklah bermaksud berlama-lama duduk dalam perjalanan ini (sampai lebih expected graduation date). Set the goals, timeline, and seize the moment setiap milestone yang kita lalui. Apa yang kita boleh rancang, kita usahakan, manakala rezeki itu daripada Allah SWT. 

Hayatilah dan hargailah momen perjalanan ini, dan nikmatilah ia. Selepas selesai sesi mengambil skrol dan memakai jubah nanti, kita mulakan pula satu lagi perjalanan menuju destinasi yang baru. 

Terima kasih kepada cikgu tuisyen saya Dr Roket, bukan saja untuk tesis juga untuk kehidupan. 

~Be patience and seize the moment~

Update:
Kepada sesiapa sahaja di luar sana, yang nak rasa journey Master Phd seperti journey saya atau sahabat-sahabat dengan 'coach' yang sama yang telah Viva dan serta beberapa orang lagi yang telah dapat pelbagai anugerah termasuk Tesis Cemerlang, saya sarankan anda untuk jumpa kami di Program Postgraduate Transformation Program (PTP) Oktober 2024, bertempat di Shah Alam, Selangor ini di link ini. 'Sesi Klinik' untuk cabaran tesis anda juga disediakan. 



Jom!

Nov 16, 2023

Bekerja Sebagai Hamba-Nya


~Kerjaya juga adalah ibadah.~

Saya terdetik untuk menulis di sini apabila melihat perkongsian ada yang telah mengisi borang sukarelawan KKM semalam untuk ke bumi barakah. (Tulisan entri ini sebenarnya dah beberapa hari lalu, tapi baru nak post hari ni). 

Sewaktu single dulu sukalah pergi program pasukan bantuan paramedik untuk bantuan bencana atau sunat anak-anak kecil bersama NGO mahupun bersama universiti. 

Subhanallah, indah rasa itu. 


Kerjaya Perspektif Si Kecil Nadiah

Sewaktu kecil paling ingat zaman sekolah rendah, jika mak tanya, "Nadiah, dah besar nak jadi doktor?"

Saya jawab, "Tak nak." 

Saya ingin menjawab sebabnya tapi saya diamkan saja. 

'Saya tak nak jadi doktor macam ayah, boleh rawat pesakit, tapi tak ada masa untuk melawat saya.' Itulah getus hati waktu itu. Yelah, walaupun ayah bukanlah doktor perubatan moden, tetapi ayah ada klinik dan jumpa pesakit, jadi macam tu lah fikiran dan sangkaan anak kecil yang tidak memahami. 

Teringat kata-kata Pakcik Rosdi Baharom tentang fenomena anak lapar ayah, bahawa anak-anak perlukan perhatian seorang ayah. 

Anak-anak apabila masuk sekolah rendah, mereka mencari father figure untuk mereka contohi (yang ini tak ingat sumbernya).  

Cuma waktu tu, walaupun tak berminat ikut jejak langkah ayah, saya terinspirasi nak jadi macam abang sebapa, yang belajar di luar negara. Jadi, nak belajar sungguh-sungguh macam beliau. Dah besar sikit darjah 5 ke 6, saya teringin pula nak jadi macam Dr Fadzilah Kamsah (Doktor yang ada PhD). Ha, macam-macamkan. 

Apabila dah besar, belajar dan faham serba sedikit tentang agama, saya lihat pentingnya melihat kerjaya itu satu ibadah. Dan pentingnya melibatkan anak-anak untuk faham tentang pekerjaan kita. Pentingnya anak-anak juga melihat dan faham bahawa ibu bapa yang bekerja itu juga sedang menjalankan sebahagian ibadahnya kepada Allah. Dan bahawa sesungguhnya seluruh kehidupan ini adalah ibadah. Terpulang pada kita bagaimana untuk mengaturnya. 

Pernah juga beberapa kali bawa anak-anak untuk bersama dengan misi bantuan bersama NGO, sambil beritahu anak, kenapa kita perlu jadi orang-orang yang membantu orang lain. Kita kerja, cari rezeki bukan hanya untuk diri sendiri. Tetapi hidup mati kerana Allah dan jadi manfaat kepada ummah. 

~Dah besar (remaja) baru tahu, rupanya Almarhum ayah ada PhD. Semoga diri ini juga menjadi pencinta ilmu lillahi taala, mengikut jejak langkahnya~

Simpan sini kad ini, walaupun klinik ini hanya tinggal kenangan. Semoga anak-anak ambil contoh yang baik dari Ummi, dan arwah atuk. Jadilah generasi yang cintakan ilmu, manfaatkan ilmu untuk dekatkan diri kepada Allah, dan untuk menempah Syurga Allah dan menggapai redha Allah dengan ilmu yang bermanfaat walaupun tidak semestinya dengan ilmu yang formal. 


~Semoga kita semua terus menjadi generasi yang cintakan ilmu yang benar, dan mencambahkan ilmu di dada dan memanfaatkannya seperti air yang terus mengalir~

Aug 24, 2023

Phd: Kuatkan Semangat dan Jalan Terus!


Selalu Penyelia tesis saya berkata sebelum ini, "Bila dah bersedia, boleh submit borang untuk Seminar Gap."

Semalam selepas berakhirnya sesi seminar gap of knowlegde dan method (Pre-Proposal Defense) di bilik konferens di Kulliyyah kami, saya dan tim penyelia berbincang untuk tambah baik. Mereka sangat supportive untuk saya teruskan pula pembentangan Proposal Defense dalam masa terdekat ini. 

Ikutkan penyakit perfectionist saya ni, memang rasa banyak lagi nak dibetulkan ni. Rasa macam banyak lagi yang di laut dalam, belum dikutip dan dimasukkan dalam proposal kajian ini. 

Dan last sekali konklusi penyelia-penyelia saya bersungguh berkata, "Esok hantar borang."
Ya, borang untuk dapatkan tarikh pembentangan Proposal Defense.

...........

"Dah boleh dah bersedia Proposal Defense ni. Ok, boleh vision untuk next grant lepas ni."

"Saya nampak gap of research awak."

"Really interesting dan out of the box study."

"Overall ok sangat."

Saya tepek sini some of the positive words daripada assessor, penyelia dan sahabat yang hadir online semalam.

Terima kasih kepada assessor, chairman dan ketiga-tiga penyelia saya, sahabat-sahabat yang hadir online seminar dan semua sahabat yang sangat positif untuk bagi galakan langkah seterusnya. Dan tak lupa mentor pengurusan tesis saya yang banyak didik kurangkan penyakit perfectionist pelajar Master Phd ni.

Macam biasa, saya tetap nervous, tapi insya Allah saya akan teruskan usaha ini (sambil tarik nafas panjang). 

Infiniti syukur Alhamdulillah.

~Saya simpan sini sebagai memori milestone dalam hidup ini, dan harapan agar sesiapa yang membaca juga akan teruskan perjuangan dan kuatkan semangat anda!~

Aug 2, 2023

Pacsa IICON 2023: Episod Bermakna


 ~Manfaatkan waktu dalam hidup ini, hargai masa bersama orang-orang yang Allah amanahkan untuk kita, dan teruskan perjuangan.~

Alhamdulillah syukur atas segala-galanya. Syukur sangat dapat buat pembentangan konferens buat pertama kali. Berdebar-debar sampai rasa nak muntah. 

Apapun selain dapat membentang, Subhanallah sangat gembira jumpa guru-guru zaman ijazah dulu. Walaupun hampir 13 tahun lepas setelah menjadi anak murid kepada guru-guru, Allah izinkan guru-guru masih ingat lagi anak murid yang kerdil ni. Mungkin agaknya batch kami baru ke-3, senang nak kenal kan siapa tak datang tu. Hu. 

Mengumpul juga energi-energi positif daripada sahabat satu batch Phd di Kulliyyah yang sudah selesai Proposal Defense, semoga Allah mudahkan perjalanan semuanya. 

Alhamdulillah dapat jumpa sahabat-sahabat alumni. Yang jadi pengajar, yang sedang belajar, yang senior, yang junior, dan sahabat sekelas - subahanallah feeling reunion. 

~My lovely classmates 2006~2010~


~Batch Kulliyyah of Nursing 2, 3, 4 dan 6~

Perbualan kami daripada bertumpu kepada diri, sampailah ke organisasi, dan masa depan profesion. Ha, dah lama tak cerita tang tu, dah lama tinggalkan topik-topik berat itu semua sejak last kami anjurkan simposium pertama kebangsaan dulu. 

Saya bertanya juga bila boleh saya buat pembentangan proposal kajian (proposal defense) kepada penyelia utama. Kata beliau, "Esok pun boleh." Haha.
Terima kasih pada SV dan Co-SV yang sangat membantu.

Alhamdulillah berita gembira, Allah mudahkan next milestone insya Allah. 

Seize The Moment

Saya selalu ingat pesan mentor saya, untuk seize the moment walaupun kita sibuk dengan tugasan-tugasan yang belum selesai. 

Walaupun kita sibuk samada dengan kerjaya atau tugasan di luar rumah yang lain; ibu ayah, keluarga mertua, terutama sekali pengorbanan suami dan anak-anak tak boleh dilupakan. 

Terutama sekali apabila due date conference semakin hampir, memang masa tidur saya dengan si kecil Ali pada waktu malam sangat sedikit. Suami memang sangat memahami dan selalu tanya progress. Apabila anak-anak dah tidur, suami siap menjadi assistant saya untuk tolong bacakan data lagi supaya jadi member-checking saya tak tersilap masukkan data. 

What more could I ask for? 

Semoga Allah balas kebaikan semuanya termasuk ahli keluarga yang supportive. Dan si Ali kecik, yang Ummi dia tinggalkan sekejap untuk pergi berjuang. Rewards anak-anak dan suami semasa saya sedang conference, adalah bawa mereka bersama. Sementara Umminya sedang bekerja di dewan hotel, anak-anak bebas mandi kolam, main playground dan gunakan kemudahan di situ. Dan terutama restu dan doa ibu yang Allah angkat ke-sisiNya, semoga Allah rahmati ibu bapa saya. 

Jul 5, 2023

Pengucapan Awam: Menaklukkan Ketakutan


 ~Wahai Allah Yang Maha Permudahkan Segala Urusan, permudahkanlah urusan kami.~

~Gugup vs Percaya Diri~


Gugup

Setiap kali nak buat pembentangan, siapa yang rasa biasa je? 

Dulu macam fikir semua orang akan rasa nervousness tu, tapi rupanya bukan. Kalau tanya Khubaib, dia akan jawab dia takde rasa apa. Haha. 

Kalau tiba-tiba cikgu sekolah dia suruh baca doa di tengah khalayak ramai pun, dia ok je baca. Itupun minggu lepas Fathimah yang balik cerita pada Ummi dia ni. 

"Ummi, tadi cikgu suruh Khubaib baca doa lepas makan dekat dewan terbuka."

"Khubaib tak nervous ke?" tanya Ummi kat Khubaib. 

"Tak ada." selamba je dia. 

.......................................

Cabar Diri

Pertama kali Ummi dia ni masuk pengucapan awam ni waktu darjah 6, konon nak masuk syarahan. Main masuk je tanpa sebarang ilmu. Memang jadi bahan gelak ketawa kawan-kawan lelaki waktu tu. Takpe lah, dapat juga nombor 2, walaupun malulah juga. 

Masuk Tingkatan 1 cabar diri lagi. Masuk pertandingan pantun wakil kelas je, terjadi pemantun terbaik. Alhamdulillah terus jadi pelapis pantun sekolah. Waktu Tingkatan Satu tu masuk juga english debate (konon kan), tapi tak kekal lama, entah macammana masuk debat Bahasa Melayu. Masuk pertandingan sajak pula, kena cipta dan deklamasi sajak sendiri. Terus masuk bertanding Pertandingan Sajak peringkat daerah  tu beserta seorang lagi abang senior Tingkatan 3. Abang senior dapat nombor 1, syukur Alhamdulillah Ummi dapat nombor 4, dapat pengalaman baru. 

Bila tengok semangat Khubaib tu, sangat mirroring Ummi. Cuma Ummi membina keyakinan diri bila masuk sekolah menengah. Tak ada mentor, tak ada siapa yang galakkan suruh masuk. Semuanya dengan izinNya. Dan kadang-kadang mungkin terinspirasi sebab ibu suka tulis sajak ni. 

....................................

Bermula Semula

Lama dah tak buat pengucapan awam aka public speaking ni. Last buat pembentangan kajian, depan pakar-pakar penyelidik ni zaman jadi pegawai penyelidik tahun lepas. Itupun online saja. Terima kasih sangat kepada principal investigator aka pensyarah zaman ijazah dulu yang bagi peluang untuk sama-sama bantu buat penyelidikan di peringkat antarabangsa. Rasa kecil sangat, tapi beliau mempercayai saya. 

Selepas itu, hanya jadi moderator berkala program online Persatuan Pelajar Siswazah Kulliyyah hingga kini. 

Sangat lama tak buat pembentangan secara fizikal. Minggu depan nak bentang, minggu ni dah rasa berdebarnya. Insya Allah, doakan pembentangan saya di conference berjalan lancar minggu hadapan. Nak balik semula berjumpa semua pensyarah-pensyarah yang saya sayangi waktu ijazah dulu di conference nanti, serta jumpa sahabat, senior, dan junior yang sudah bergelar pensyarah dan penyelia klinikal di Kulliyyah. 

Doa Nabi Musa a.s yang dinukilkan dalam Al-Quran, Surah Thoha; 20: 25-28: 

'Nabi Musa berdoa dengan berkata, "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku; Supaya mereka faham perkataanku."


~Semoga Allah rahmati guru-guruku dengan rahmat kasih sayang-Nya yang telah memberi peluang untuk percaya diri~


Jun 21, 2023

Catatan Phd 01: Maraton Round 2


 

~Perjalanan ini adalah untuk ummah~

Hari ini saya tinggal berbaki screening lebih kurang 10% baki artikel kajian yang perlu direviu. Dalam pada masa yang sama sedang menyiapkan beberapa subtopik dalam bab kajian literatur. Makin perlu kepada speed sebab saya mengejar dateline. 

https://cdn.shortpixel.ai/spai/q_lossless+w_794+h_529+to_webp+ret_img/https://whitestarrunning.co.uk/wp-content/uploads/2020/01/white-star-running-dorset-invader-marathon-2019.jpg
~Maraton sambil melihat hijau alam. Photo credit to White Star Running~

Hanya siang waktu saya yang boleh saya buat deep focus untuk siapkan kerja. Apabila petang dah jemput anak-anak balik sekolah, saya perlu pakai topi ibu. Fokus kepada anak-anak dan suami serta rumahtangga. Apatah lagi apabila telah menjemput Ali si kecil balik daripada rumah pengasuh, dia balas dendam nak Ummi nya saja. 

Walaupun kadang-kadang ada rasa stress untuk siapkan dalam masa yang ada, namun fungsi saya sebagai ibu dan isteri serta anak kepada ibu bapa saya tidak pernah saya lupakan dan masih lagi berfungsi dengan baik. PhD bukan permanent head damage (seperti beberapa pengalaman dari blog yang saya baca), jika kita pandai menguruskannya.

Alhamdulillah, Allah jumpakan saya dengan mentor pengurusan tesis saya, Dr Hj Khairul Nizam dan Dr Mardiana, pengasas Dr Roket. Bukan perjalanan ini tiada cabaran, tetapi cabaran itu memberi pengalaman hidup dan menambah kualiti kepada daya tahan diri.

Subhanallah, nikmat Allah manakah ingin saya dustakan? 

Saya nampak cahaya sepanjang perjalanan pengajian ini. Dan ini adalah marathon yang di mana saya sentiasa bersemangat untuk berlari hingga ke garisan penamat. 

Teringat zaman merentas desa tingkatan 1 dulu, waktu kita tak bersaing dengan orang lain. Saya hanya terus berlari tanpa berhenti, sambil menikmati suasana kampung dan sepanjang larian hingga sampai ke destinasi.

Insya Allah saya nampak artikel kajian saya sedang dalam persiapan, dan tesis proposal saya yang semakin nampak 'grow' dengan sangat baik. 

Cukuplah beberapa minit ini saya berkongsi. Had masa 20 minit saja untuk menulis di blog. 

Semoga Allah sentiasa jaga kita semua. 

Jun 7, 2023

Baitul Muslim: 10 Tahun Kita


Sejujurnya saya suka orang yang simple dan tidak banyak bermain emosi, sebab sebagai INFJ saya rasa penat apabila berhadapan dengan manusia sekeliling yang banyak bermain emosi. Ia mengambil energi saya. 

****

~2 Jun 2013~

10 tahun lalu....

"Saya tak nak pakai baju macam tu, saya nak yang macam..." mesej itu saya baca daripada telefon. 

Nasiblah nak pakai baju apa pun, yang penting pakai baju. Haha. Jawab saya sendiri. 

Sahabat yang bersama saya ketika itu, yang telah lama menjadi BFF bertanya kepada saya (dan saya percaya BFF saya ni type INTP), secara ringkas saya ceritakan tentang mesej daripada tunang saya ketika itu berkenaan persiapan perkahwinan. Yelah, saya bukan kisah sangat bakal suami nak pakai baju apa pun waktu tu. Yang penting tutup aurat. 

"Ok, yang penting tutup aurat." balas saya sesimple mungkin. 

****

Kami kenal tak lama. Cuma sebelum kenal saya dah pernah bertanya rakan sekerjanya bagaimana bakal suami saya tu nanti. 

Ketelitian dia tu memang saya jangkakan. 

Oklah. Boleh lah melengkapkan diri saya yang simple ini.

Sehingga kini, hiasan rumah, pattern langsir, kasut, memang saya tanya dia. Haha. Sebab saya seorang yang simple je. Yang penting ia memenuhi fungsi sesuatu perkara tersebut. Kalau tak ada fungsi, tak perlu beli. 

Dan saya juga jarang nak beremosi. 

Cuma bila dah emosi, macam botol air gas yang penuh, kocak-kocak, sampai boleh meletup. 

Saya percaya menjadi tenang tu bagus dalam setiap perkara. Dan saya cuba sedaya upaya untuk kekal tenang. 

Dalam pelayaran bahtera kami, saya lebih suka kekal mendengar cerita-cerita suami saya. Anak-anak juga lepas je balik sekolah, penuh bercerita sampai ikut mak dia pergi sana sini nak bercerita. Kadang-kadang dalam kereta terutama perjalanan yang jauh, berebut anak-anak dengan bapanya nak cerita pada ibunya ni. Hu. 

****

Cuma seminggu dua ini, saya perlu siapkan banyak task berkaitan tesis untuk mengejar dateline proposal defense, dateline menghantar abstrak untuk konsferens, di samping suami pula pergi outstation dan anak-anak juga di rumah sebab cuti sekolah. 

Ya, saya seketika meletakkan diri saya sebagai pesilat superwoman di rumah. Alhamdulillah, sempat menulis tesis, kemas rumah, masak, join dua seminar secara atas talian sepanjang tempoh itu. 

Tiada daya dan upaya melainkan daripada Allah semata.

Selepas suami saya balik, esoknya suami saya tanya satu soalan.

"Ummi, ada gosok baju pergi masjid Abi?"

Saya memandang suami saya. "Tak sempat nak gosok....bla bla bla bla." Dan saya penuhkan jawapan kepada suami saya berperenggan-perenggan termasuk lah kerja-kerja tesis saya, dan keadaan bersama anak-anak di rumah.

Suami saya tergelak-gelak. Katanya tanya satu soalan, jawab ya atau tidak je. Tapi panjang betul jawapan saya bagi. 

Haha. Yelah, sebenarnya isteri ni nak certita luahan hati ni. Habis tu, nak cerita kat siapa lagi. 

Malam suami balik saya tak cerita apa-apa sebab tahu dia pun dah penat, dan tengah teruja bercerita keadaan dia sepanjang outstation.

****

Dan biasanya apabila suami saya bercerita, suami tak suka dengar saya bagi solusi terutama yang kontra dengan pandangan dia (kecuali jika suami kata 'apa pendapat Ummi...'). Dan saya dengar je lah seperti biasa. Cuma adalah kadang-kadang tu saya nak menyakat juga, nak bagi solusi juga, lepas tu tengok dia annoying dengan saya. Huhu.

Begitulah 10 tahun kami bersama. 

Syukurlah atas segala-galanya. Itulah belahan jiwa pasangan Allah ciptakan untuk kita. Dan Dia Maha Mengetahui apa yang tidak kita ketahui.

~Wahai Allah, rahmatilah kami dan masukkan kami ke dalam Syurga yang Engkau redhai~

Mar 14, 2023

The Power of Rejection


~Menangani rejection dengan baik, percayalah kita sedang mendaki tangga kejayaan. 

Lagi tinggi kita mendaki puncak yang indah, lagi tinggi tekanan udara. Itu fitrah.~


Subhanallah, Alhamdullillah.

Tiada daya upaya kita melainkan kekuatan yang diberikan oleh Allah.

Allah izin saya ke seminar Dr Roket Program Postgraduate Transformation Program pada 3 hingga 6 Mac lepas.

Ia membuka suatu insight yang sangat bermakna sebenarnya untuk saya iaitu "the power of rejection." 


Kisah Sepanjang Zaman 

Dan kisah "the power of rejection" ini sebenarnya sangat banyak Allah nukilkan dalam Al-Quran, dan dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w yang sepatutnya menjadi ikutan kita. 

Nak buat baik, nak tegakkan kebenaran dalam perjuangan hidup bukan jalannya macam lebuhraya yang lurus je gitu. Ia jalan yang penuh berliku, penuh cabaran dan penolakan. 

Dakwah Nabi di'reject' dengan bermacam cara. Tapi adakah baginda mengalah?

Tidak, sebab Allah bersama baginda. 

Semakin dakwah Nabi nak disebarkan, semakin kuat tentangan dan rejection, tetapi rejection ini terus menguatkan Nabi dan para sahabat dengan bimbingan daripada Allah s.w.t. 


~Melihat rejection sebagai positive reinforcement untuk berjaya~

Ibrah

Jadi, dalam hidup ini, kita akan banyak menerima penolakan. Tetapi itu semua adalah hanya sebahagian daripada bab-bab kejayaan dalam kehidupan kita. 

Insya Allah, lebih banyak rejection, lebih bertahan kita dan terus mara untuk berjaya. Rasulullah s.a.w sangat tenang apabila berhadapan rejection. 

Semoga kita pun begitu juga. 

Selawat dan salam atas junjungan baginda Rasulullah s.a.w. 


~Menghayati, mengangumi dan menuntuni sebahagian kisah dan perwatakan baginda Rasulullah s.a.w. Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala ali sayyidina Muhammad~

May 17, 2019

Cikgu Bermotivasi Itu Inspirasi!


~Hingga akhir waktu, guru-guru akan tetap menjadi inspirasi penuntut ilmu~

Terima kasih kepada semua cikgu-cikgu yang sentiasa bersemangat di alam jagat ini untuk mengajar kerana cintakan penyebaran ilmu yang berteusan, kerana ingin meraih keredhaan Tuhan, kerana ingin berkongsi dan melihat kejayaan mereka yang ingin menuntut ilmu.

Bukan saja kepada guru-guru yang bergelar Cikgu di institusi pendidikan dan pengajian tinggi, bahkan di mana jua seorang insan itu mendidik dengan penuh keikhlasan, semoga Allah saja yang dapat membalas dan memberi ganjaran.

~terima kasih cikgu, semoga ilmu yang disampaikan akan dimanfaatkan untuk dunia dan akhirat~


Guru Inspirasiku

Ini realiti.
Mungkin ada pelajar yang tinggi resilience nya tidak tergugat dengan pengaruh motivasi dari seorang guru.

Namun, bagi saya seorang guru itu memang boleh mempengaruhi saya untuk belajar dan berusaha.
Saya pernah gagal.

Banyak kali juga. Paling banyak rekod gagal adalah dalam Matematik Tambahan.

Tiga kali saja pernah lulus Matematik Tambahan zaman sekolah. Satu kali lulus peperiksaan Tingkatan Empat, satu kali lulus peperiksaan Tingkatan Lima dan satu kali lulus yang paling terbaik untuk rekod diri sendiri sewaktu peperiksaan SPM. He. Alhamdulillah.

Sewaktu Tingkatan Lima, apabila tiba waktu jadual Matematik Tambahan, kami semua akan bergerak keluar dari kelas ke kelas masing-masing mengikut tahap pencapaian. Yang paling bagus masuk kelas pertama iaitu set 1. Sehinggalah ada yang ke set 6. Saya masuk kelas set 5. 

Pernah juga menumpang kelas set 6  sebab waktu tu Cikgu set 5 tiada. MasyaAllah, hebat  guru-guru  mengajar set 5 dan 6 ni lemah lembut dan kesabaran mereka ni memang sangat tinggi. Sangat terharu.

Waktu tu, apabila nak dekat hujung tahun, rasa sedih kalau tak boleh jawab soalan sebab Cikgu saya sangat bersungguh-sungguh membimbing kami  (saya yang lambat ni).

Rasa nak nangis pula tengok Cikgu yang berusaha bersungguh-sungguh untuk kami. Bagi banyak set latih tubi tapi saya yang dok jawab ni macam kura-kura atau mungkin tahap siput.

Sampai sekarang masih lagi ingat nada suara Cikgu yang lembut ajar kami. Sayu je rasa. Terima kasih Cikgu. Kasih sayang cikgu melunakkan hati kami untuk terus berusaha.

Cikgu Permata

Nak kerja apa pun dalam dunia ni kena ada sabar. Tiada sabar, kerja apa-apa pun bukan saja kita tak gembira, yang di sekeliling kita pun dapat ketidak- gembiraan tersebut.

Cikgu yang tidak penat berceloteh untuk menyampaikan ilmu memang disukai ramai. Dapat guru ibarat permata itu adalah rezeki yang tidak ternilai daripada Allah SWT.

Cabaran Universiti

Waktu zaman ijazah, tak banyak cabaran sebab waktu itu rasa masih dekat dengan guru-guru a.k.a pensyarah.

Pakcik driver bas pun jadi cikgu juga sebab suka cerita pengalaman beliau hampir setiap kali kami naik bas untuk pergi ke kuliah hampir setiap hari di universiti. Biasanya saya akan duduk bahagian hadapan bas, jadi memang banyak dengar cerita pakcik-pakcik.

Rakan-rakan zaman ijazah pertama dulu pun rapat semuanya. Jadi, masalah sokongan untuk belajar itu bukan satu masalah.

Namun, apabila di peringkat Sarjana, di semester 3 hingga akhir, rakan-rakan sekelas tidak lagi dikenali. Hanya kenal nama sahaja. Rakan-rakan sekelas ibarat touch and go.

Di jabatan saya ini, ada pensyarah-pensyarah yang sangat humble. Ada seorang pensyarah yang memang sangat bermotivasi merangkap koordinator program.

Paling terbaik waktu perjumpaan semua pelajar pascasiswazah peringkat jabatan.

"Don't you ever give up or thinking of extending your semester." Kata Profesor Madya kami yang digemari ramai.

Dan macam-macam lagi kata-kata mutiara yang macam faham-faham je perasaan kami yang bercampur baur ketika itu.

Kalau nak daftar masuk kelas beliau, silalah buat segera sebab insyaallah memang biasanya penuh.
She was admired by many people because of her motivation. And we're all inspired.

Keperluan untuk masuk kelas statistik sekali lagi di peringkat Sarjana juga bukanlah perkara yang menggembirakan. Di sekolah dan peringkat ijazah sarjana muda dulu pun dah belajar, dan keputusan peperiksaan saya berkaitan statistik pun biasa-biasa saja.

"Em, kena belajar lagi subjek ni." Keluh sendiri waktu tengok daftar subjek untuk semester tersebut.

Untuk subjek statistik, kami diberi pilihan beberapa kelas yang dikendalikan oleh pensyarah yang berlainan. Kalau tanya senior, semuanya ada kekuatan masing-masing. Saya redha sajalah pilih kelas Profesor pada hari yang sesuai dengan jadual waktu kerja hakiki yang masih terluang.

Allah izin, masuk kelas seorang Prof ini ibarat menyelesaikan semua masalah keserabutan berkenaan statistik yang bersarang di kepala saya semenjak waktu sekolah dulu.

"Mana datang formula P1-p2 ni?" Tanya *Prof pada kami.
"Macammana kita boleh dapat formula ni?"

Semua soalan itu berada dalam otak saya semenjak sekolah lagi.

Profesor jelaskan semua satu-satu. Alhamdulillah memang rasa seronok sangat belajar statistik ketika itu.

Hampir setiap formula dihuraikan sepanjang semester kami belajar. Ibarat satu anugerah daripada Allah untuk saya yang baru nak faham setelah bertahun-tahun meninggalkan zaman persekolahan.

Suatu hari dalam kelas selepas separuh semester berlalu dan ketika kami diberikan semula keputusan kertas Peperiksaan Statistik Pertengahan Semester, Prof ada datang bertanya pada saya.

"Awak pernah belajar statistik ke sebelum ni?"
"Belajar basic saja waktu degree." Jawab saya, tetapi sebenarnya saya bukan nak jawab begitu. 

Saya sebenarnya nak jawab yang saya suka sangat belajar dengan Prof sebab saya dapat faham semuanya.

Terima kasih pada Allah memberi ilmu ini pada saya asbab saya berguru di kelas Prof ini. Terima kasih Prof.

Ini hanyalah sepotong bahagian tentang cikgu-cikgu hebat dalam hidup ini, dan masih banyak lagi tetap dalam hati dan memori.

*Prof NoorAzlan

Inspirasi Hingga Akhir Waktu

Pada guru-guru, ataupun hanya bergelar ibu bapa mendidik anak-anak, guru mengaji, atau guru tadika sekalipun atau rakan sebaya kumpulan belajar sama-sama hatta guru dalam ilmu kehidupan, insyaallah ilmu itu akan sampai ke hati jika disampaikan dari hati.

Kita tidak tahu hati siapa dan bila yang akan kita sentuh.

Kita tidak tahu ilmu mana yang akan diterima dan dimanfaat dalam kehidupan mereka.

Apa yang kita tahu adalah kita adalah penyampai ilmu.

Hanya Allah yang menghitung segala usaha kita.
Hanya Allah yang memegang hati manusia dan menentukan pada siapa dan bila Dia akan beri kefahaman atas ilmu yang diberi.

Selamat Hari Guru buat semua pendidik.

~Hidup tidak akan berhenti mendidik, hatta kepada diri kita sendiri~

Apr 18, 2018

Tahun Ketiga Khubaib Adi


- Moga hadirmu mampu membantu Ummah, membantu Ummi dan Abi dengan dua' dan amal Soleh apabila kami tiada, dan jadi insan yang diredhai Allah-

Alhamdulillah genap tiga tahun sudah Muhammad Khubaib Adi dilahirkan.

Perjalanan sebelum, semasa dan selepas melahirkan anakanda Khubaib penuh dengan memori untuk Ummi.

Setahun Ummi menunggu cahaya mata. Namun, Ummi yakin Allah bagi tepat pada waktunya sekiranya ada rezeki zuriat Ummi di dunia ini.



Hadiah Ramadhan 1435 Hijrah

Waktu itu Ummi ambil keputusan untuk bercuti selama enam bulan dan berpindah ke Mersing daripada Bandar Penawar atas sebab-sebab tertentu.

Bulan Ramadhan yang baru saja tiba dan bermulalah proses berpindah. Alhamdulillah rezeki Allah bagi, diizinkanNya mohon lori 1 tan untuk bawa barang tetapi Tuan Lori yang baik hati bawa lori 3 tan untuk berpindah (dengan harga lori 1 tan). Besar sampai rasa boleh muat Kereta Waqiah (WUQ Viva Ummi) masuk sekali dalam lori. Semoga Allah membalas kebaikan Tuan Lori dengan kebaikan yang banyak, Insya Allah.

Ummi tolong juga angkat barang sikit-sikit naik ke rumah Tingkat 1 di kuarters. Barang paling besar dan paling akhir yang Ummi tolong bawa adalah mesin basuh untuk 6.5kg baju. Tanpa Ummi perasan, rupa-rupanya Allah dah bagi Khubaib dalam perut waktu tu. Maha Suci Allah, Dialah sebaik-baik penjaga.

Dua minggu kemudian, Ummi bersama-sama sahibah-sahibah yang dikasihi ke program tiga hari menimba ilmu membentuk jiwa-jiwa di Selangor. Ummi jadi tukang pandu juga waktu malam hari semasa pulang dari program menuju ke Johor semula. Masih lagi tak tahu rupanya ada Khubaib dalam perut Ummi.

Alhamdulillah, mengetahui kehadiran Khubaib di awal Ramadhan adalah antara hadiah paling indah yang Allah bagi.

Alhamdulillah.

Sarjana Dengan Khubaib

Tuntutan pengajian sarjana masih lagi diteruskan. Ummi pilih kelas hari Ahad, Rabu dan Khamis petang. Mersing ke Skudai jaraknya lebih kurang 160 km dan Ummi adalah antara pelajar yang paling jauh datang di antara lokaliti para pelajar yang lain.

Memang jalan Mersing ke Skudai bukanlah jalan yang best sebab banyak lori dan tiada lebuhraya. Jadi, Ummi bergantung harap bulat-bulat pada Allah s.w.t.

Ada masanya Abu Khubaib akan hantar Ummi pada hari Ahad manakala hari Rabu dan Khamis Ummi pergi sendiri. Setelah habis kelas petang Rabu yang memang biasanya habis pukul 7 petang, Ummi akan balik terus ke rumah Tok Wan dan Tok Bah Khubaib dalam 45 minit perjalanan daripada UTM. Biasanya Ummi memang singgah makan sorang-sorang di kedai mamak di berhampiran destinasi sebab asyik teringin makan nasi goreng mamak dan kuey teow goreng mamak. Esok harinya bertolak ke Skudai semula daripada rumah Tok Wan dan Tok Bah Khubaib.

Setelah habis kelas Khamis petang, Allah beri kekuatan untuk berusrah bersama tautan hati di Johor Bharu pula. Hari Jumaat pagi baru Ummi pulang semula ke Mersing.

Nomad hidup kita.
Khubaiblah peneman yang Ummi bawa ke mana saja pada waktu itu.

Khubaib dan Ummi Berdua

Setelah 6 bulan bercuti dari kerja, Ummi kembali semula bekerja dan perlu bersedia hamil jauh daripada Abu Khubaib. Perlu bersedia secara secara mental dan emosi.

Kali ini, Ummi pilih untuk tinggal serumah bersama kawan-kawan berbanding tinggal seorang seperti sebelum ini atas sebab keselamatan.

Ada ketikanya Ummi tidak sama hari kelas dengan rakan-rakan sepejabat belajar di UTM, Ummi tawakkal saja pada Allah untuk pergi sendiri belajar di Skudai dan balik Bandar Penawar pada waktu malam.

Kemalangan di Lebuhraya Senai-Desaru bulan 9, tahun 2013 masih lagi menyebabkan rasa berdebar-debar tiap kali nak memotong kenderaan mahupun pandu melebihi 100km/j. Namun, trauma itu perlu dihadapi.

Pada usia kandungan 34 minggu (8 bulan setengah) Ummi mengalami kontraksi semenjak pagi hingga petang ketika bekerja di pejabat.

Ummi tunggu Abu Khubaib datang dan terus ke Hospital Kluang. Allah izin Ummi bermalam di situ selama beberapa hari. Ummi pujuk Khubaib dalam perut supaya tunggu sampai masa bersalin 36 minggu dan ke atas.

Alhamdulillah menghampiri masa bersalin, Ummi cuti seawal 38 minggu. Dan Khubaib lahir pada minggu ke 40. Allah izin Ummi tak mengalami simptom mengandung yang teruk tetapi mungkin bahagian ujian masing-masing, diuji ketika melahirkan dan selepas kelahiran.

Disebabkan Ummi banyak travel sewaktu mengandung, kadang-kadang dengar Khubaib yang masih bayi macam buat bunyi brek kereta. Hehe.

Terima Kasih, Sayangku Muhammad Khubaib Adi 

Terima kasih Khubaib menjadi peneman Ummi tanpa berpisah selama 10 bulan dalam rahim dan jadi teman berdua selama setahun berjauhan dari Abu Khubaib serta jadi anak yang taat tanpa banyak ragam bersama Ummi.
Terima kasih kerana sanggup menunggu tanpa banyak karenah di rumah pengasuh hingga lewat jam 9 malam kerana menunggu Ummi pulang daripada pengajian.

Apabila Adik Khubaib lahir, Khubaib masih tetap manja sampai sekarang. Ummi tahu apa yang Khubaib lalui bersama Ummi dan Ummi terima kalau sekali sekala Khubaib meragam menebus perhatian yang Ummi kurang beri dulu.

Maafkan Ummi.

Semoga Khubaib akan jadi anak soleh dan menyolehkan dan menjadi hamba yang diredhai Allah dunia dan akhirat.

Ummi sayang Muhammad Khubaib Adi fillah.

Nov 28, 2017

Towards A Doctorate: A Page Break


Sila baca betul-betul, a page break tapi bukan a heart break. :)

Seronok bila tengok kawan-kawan seuniversiti dan adik-adik serta kakak bekas teman se'dorm' STJ dulu melanjutkan pengajian sampai ke PhD. Barakallahufik. 

Tersuntik semangat nak sambung PhD.
Rindu pula zaman remaja dulu. He. Zaman bergurau sama-sama sebilik. Sekarang, semua dah membesar dan menua.

Baiklah, bukan itu sebenarnya isi kandungan entri ni sebab itu hanyalah lintasan kenangan saja.

Timeline Pengajian

Pada usia 16 tahunlah, saya mula-mula pelan kehidupan saya menurut timeline. Timeline tentang apa yang saya nak capai dalam hidup. Dan salah satu daripadanya adalah timeline untuk melanjutkan pengajian.

Impian saya adalah saya nak menyambung pelajaran di peringkat Sarjana pada usia 24 tahun. Impian waktu tu, usia 35 tahun dah dapat PhD.

Dah namanya pun timeline kehidupan, memang kehidupan bukan kita penentunya. Kita hanya merancang dan membuat pilihan tapi selebihnya Allah yang tentukan.

~Usaha dan mohon petunjuk dari Dia~


Sarjana Yang Tertunai

Pada tahun 2011, saya dah merancang untuk melanjutkan pengajian setelah setahun bergraduasi. Walaupun mulanya nak ke oversea sebab impian asal umur 16 tahun tu nak sambung Master di luar negara. 

Bertemankan sahabat saya Humm Salleh, kami pergi ke pejabat agensi pendidikan. Namun dek kerana ibu susah nak lepaskan dengan status masih single, jadi hasrat itu dibatalkan. TakdirNya, 2012 saya berdaftar sebagai pelajar Sarjana di UTM Skudai pada usia 26 tahun.

Sekarang, usia saya dah mencecah 31 tahun. Walaupun ada yang kata macam muka macam 24 tahun tapi itu tetap tak mengubah hakikat sebenar diri yang sudah tua ini.

Kalau ikut timeline, dapat PhD umur 35. Tapi 4 tahun lagi nak mencapai PhD tu macam suatu yang impossible.

Saya telah berusaha ke arah itu sebaik saja selepas graduasi Februari 2016. Saya juga dah siapkan kertas proposal dan mencari bakal supervisor. Gembira bila calon supervisor juga seronok baca paper kita. Namun, bila sampai hasil perbincangan melalui skype selama hampir 30 minit berlangsung tu, saya tertanya diri sendiri;
"Betul ke bidang ini yang aku pilih dan yang aku minat untuk teruskan?"

Sebulan selepas itu ketika bulan Syawal; saya mendapat emel panggilan temuduga Fellowship daripada salah sebuah IPTA untuk berkhidmat di jabatan yang saya mohon. Proposal paper yang sama saya telah hantar pada hujung tahun lalu. 

Apabila saya tengok emel, rupanya tarikh temuduga dah terlepas 3 hari lalu walhal emel baru saja masuk ke inbox. Tak tau nak sedih atau nak gembira (boleh ke macam tu?). Sedih sebab terlepas temuduga dan bukan rezeki saya. Gembira sebab itu bukan ditakdirkan terbaik untuk saya.

Terbaik Dunia dan Akhirat

Setelah sekian muhasabah diri, mungkin inilah jawapan istikharah saya. Sebelum ini saya sendiri sebenarnya tak tau bidang apa yang terbaik untuk saya, dunia dan akhirat.
Hati berbelah bagi apa yang terbaik? Semoga Allah mudahkan.

Buat masa ini saya akan teruskan tapi cuma ambil break sekejap sebab InsyaAllah suami akan pergi menunaikan haji tahun 2018 atau 2019. 

Buat pembaca yang sudi membaca entri ini, terus doakan saya ya supaya terus diberi hidayah-Nya dan terus termotivasi untuk meneruskan impian ke program kedoktoran, insyaAllah.

Berserah dan Terus Maju



Cepat atau lambat,
Apa nak dirisaukan,
Maju seperti biasa,
Kuatkan keimanan.
-Ya Rabbi Ya- Inteam ft Adik Viral
Setiap kali dengar lagu Inteam ni, menyuntik motivasi diri. InsyaAllah boleh jadi OST entri untuk kali ini dan juga untuk sesiapa saja yang bercita-cita, teruskan usaha!

Berdasarkan kajian saintifik terbaru yang dikemukakan oleh saintis saraf dan ahli piskologi; Dr Aubele, Dr Wenck dan Dr Reynolds  dalam buku Train Your Brain To Get Happy bahawa:

"...if you envision it - thouroughly and often enough - it can come."
InsyaAllah.

~sedang dalam proses pembacaan~



Feb 18, 2016

Pengajian: Di Sebalik Kesulitan Ada Kemudahan


~Perjuangan ini tidak akan berhenti. Ia belum selesai. Semoga Allah sentiasa meredhai dan menuntuni perjuangan ini~


~Ya Allah, jadikan ilmu kami ilmu yang bermanfaat~


Alhamdulillah,  alhamdulillah,  alhamdulillah. 
Di sebalik kesulitan pasti ada kemudahan.  Bukan hanya kata-kata manusia tetapi janji Allah yang Maha Kuasa seperti yang dinukilkan di dalam Surah Insyirah ayat 5 dan 6. 

"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan." (Insyirah; 5-6)

Selesai sudah pengajian Sarjana saya. Agak lama sehingga 3 tahun setengah, boleh lepas sijil ijazah  sarjana muda. Maha Suci Allah yang memudahkan segala urusan. Berjauhan dari suami bersama anak kecil yang masih bergantung pada umminya, bekerja, belajar, berusrah; rasa tak cukup masa 24 jam sehari yang Allah bagi, kerdilnya saya di sisi-Nya.

Bukan Superwoman

Saya bukan superwoman, yang boleh lakukan kesemua tanggungjawab itu dengan sempurna walau hakikatnya saya ingin semuanya sempurna.

Keadaan teruji lagi apabila kerjaya mencapai kemuncak kesibukan, apabila si kecil demam berminggu-minggu hingga terpaksa dimasukkan ke wad, apabila pelajaran menuntut tugasan dan mendekati dateline tesis yang perlu disiapkan.

Orang mungkin kata ini menjadikan kita lebih independent. Tapi tidak pada saya!
Saya berubah menjadi lebih dependent!

Saya lemah, saya tak kuat. Saya tak tahu nak bergantung pada manusia mana lagi. Saya hanya ada Allah.
Waktu di titik kelemahan itu, Tuhan menanti-nanti saya mendongak padaNya.

Tiada superman yang boleh membantu saya tatkala itu. Waktu hujung malam menghabiskan baki penulisan tesis untuk dihantar keesokan hari, mujahid kecil saya demam lagi. Menangis-nangis ingin menemani umminya membuat tesis.

Allah lebih Mengetahui, betapa saya menghantar tesis itu dalam ketidaksempurnaan. Impian untuk membuat yang terbaik mungkin hanya angan-angan kosong. Namun, hanya itulah yang terbaik yang mampu saya lakukan walaupun saya tahu bukan itu yang terbaik.

Ya, impian untuk menjadi pakar dalam bidang keilmuan seperti yang dituntut. Seperti kata penulis Solikhin dan Kang Puji Hartono dalam buku Spiritual Problem Solving bahawa:

"Batas menjadi kekuatan kerana kita tidak bisa menjadi yang terbaik dalam segala hal yang kita lakukan. Kita mesti menentukan bidang yang kita kuasai dengan baik sehingga bisa menjadi yang terbaik di bidang kita. Lebih baik menjadi nombor satu di bidang kita yang sesungguhnya, daripada menjadi nombor dua di bawah sukses orang lain".

Sedih dan syukur.
Sedih kerana hanya itulah keterbatasan saya sebagai manusia yang lemah.
Syukur, akhirnya saya mengakhiri jua episod perjalanan ini.

Keajaiban Milik Tuhan 

Namun, hujan yang disangka turun kerana mendungnya awan tidak menjadi. Segala puji bagi Allah.
Memang kemampuan manusia tidak mampu berfikir lebih dahulu untuk menentukan natijah pada perjalanan hidup kita sendiri.

Keputusan yang saya terima di luar jangkaan. Maha Suci Allah atas segala kekuasaanNya.
Terima kasih pada pemeriksa dan supervisor serta pensyarah-pensyarah yang memberi dorongan.

Pada Allah yang sentiasa mendidik diri, ucapan syukur tidak terhingga dan doa untuk sentiasa menjadi hamba yang diredhaiNya diharapkan. Pada zawj yang sering menyalakan kembali impian yang sering malap, terima kasih. Pada anak ummi yang soleh dan musleh, terima kasih kerana sentiasa menjadi peneman dan penghibur hati ummi. Pada ibu bapa dan ahli keluarga yang tidak berhenti mengutus doa, dan pada sesiapa saja yang mendoakan yang terbaik, semoga Allah memberi kebaikan yang lebih banyak untuk semua.

~Benar, natijah pada setiap usaha bukan kita yang tetapkan. Kita perlu usaha dan usaha dan bertawakkal. Biarpun ia selalu disebut, dalam keadaan tertentu, ia mungkin sukar untuk di amalkan. Doa, doa dan doa semoga Allah berikan kekuatan~

Dec 16, 2012

Bila Dunia Melelahkan Jiwa


~Siapakah yang mampu menolong tatkala kamu menemui kebuntuan, kesakitan, kesusahan? Sungguh, hanyalah pada Allah penawar segala kesukaran, gelisah dan kebuntuan.~

Tiada Kekuatan Melainkan Daripada-Nya

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberikan nikmat Iman dan Islam, dua nikmat yang paling bermakna dalam kehidupan seorang hamba.

Allah, Dialah pemberi nikmat untuk terus bernafas, memberi nikmat kesihatan walau jadual hidup selalu terisi ke sana ke mari, Dialah yang memberi tenaga ketika diri diperlukan untuk terus bekerja sebagai khalifah-Nya.

Maha Suci Allah, yang menjadi sumber kekuatan kepada insan yang serba lemah ini.
La haw lawala quwwata illa billah.

Benar, ada masa-masa ingin menangis sepuasnya, terasa penat dan lelah merajut dada. Namun, segala-gala dengan izin-Nya jua, Mungkin, inilah masanya yang tepat untuk menangis dengan penuh harap kepada Tuhan Penguasa Alam Semesta. Agar hamba yang lemah ini tidak pernah melupakan Pencipta-Nya.

Wahai Allah, ampunilah diri ini.

Dia Pemegang Segala Urusan

Tinggal seminggu lagi kelas semester 1 di UTM akan berakhir. Alhamdulillah. Kelas awal semester untuk mengajar pula sudah bermula 2 minggu dan minggu ini bertungkus lumus menjadi ahli jawatankuasa bagi kursus para peserta termasuk dari pihak CEO hinggalah ke kakitangan sebuah syarikat pembekal instrumen hospital dan medikal.

Allah... berturut-turut semuanya. Minggu depan bersedia pula untuk menerima kedatangan MQA dan penghantaran tugasan sarjana yang bagi 2 subjek.

Alhamdulillah, meminta daripada-Nya agar dipermudahkan segala urusan. Dan Dialah yang memberi ilham apabila hamba-Nya memerlukan. Alhamdulillah, sudah hampir 50% tugasan yang pertama siap dalam masa beberapa jam ini.

Maha Suci Allah. Maha Suci Allah. Maha Suci Allah.

Adakan masa untuk Allah dan Allah akan memberi masa kepada kita.
Jagalah Allah dan Allah dan Allah akan menjaga kita.

Wahai dunia,
Jangan engkau mengejarku dengan permintaanmu
Kerana permintaanmu
Takkan pernah cukup dari satu
Akan sentiasa meminta waktu
Dari diriku

Wahai Allah
Jangan biarkan dunia itu mengikat hatiku
Hingga terisi hati dengannya
Bukan dengan diri-Mu yang sesungguhnya

Wahai Allah
Hamba hanya akan kuat
Dengan diri-Mu
Jangan biarkan hamba jauh
Dan meninggalkan-Mu
Kerana sesungguhnya nikmat hidup itu
Ada apabila hatiku dekat pada-Mu

"Dan bersabarlah engkau (Muhammad) bersama orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia; dan janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya telah kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti keinginannya dan keadaannya seudah melewati batas."
(Al-Kahf; 18: 28)
Moga Allah sentiasa menjaga hati ini.


Lagu Hamza Namira- Hansa
(untuk terjemahan inggeris, klik pada kotak putih di bahagian bawah video)
Sesungguhnya kebahagiaan hakiki itu hanya akan hadir dengan adanya Dia di hati,
Bukan dunia yang mengisi.
Moga tertaut hati tetap pada-Nya,
Bukan pada dunia
Yang sentiasa meminta dan menggusarkan.

~Tatkala dirayu dunia dengan pelbagai cara, meneduhkan hati dibawah rahmat dan kasih-Nya benar-benar pengubat jiwa yang berkesan di kala kelelahan dikejar dunia yang penuh permintaan~

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino