::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Nov 13, 2024

Cerita: Kuasa Minda Separa Sedar





https://para-athletics.org.sg/disabled-athletes-and-mind-power/
~Kuasa minda; salah satu bukti ciptaan-Nya yang sangat hebat~



"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"
(Surah Ar-Rahman; 55:13)
Latihan Rumah Sukan 

Minggu ni minggu latihan rumah sukan dan kejohanan olahraga di sekolah rendah Khubaib dan Fathimah. 

Kelmarin Khubaib lepas lah dapat nombor dua dalam rumah sukan acara lumba lari. Itupun Ummi terkejut dan suka hati. Sebab walaupun badan dia dah makin berisi, laju juga dia lari. 

Mana taknya, daripada 3-4 seluar sukan Khubaib, tinggal 1 saja yang muat kali ni. Baju-baju pun dah limited. Saiz seluar pun dah last dah untuk kanak-kanak. Lepas ni kena beli yang saiz paling kecil dewasa punya. 

Fathimah, tetap comel, dan bersahaja ja walaupun bila ditanya macamana acara balapan di sekolah. Katanya, ada 4 orang di belakang dia. Hehe, tapi sendiri pun tak ingat dapat nombor berapa. 

Tapi sebenarnya Ummi tahu juga dia sedih. Tak apalah, Fathimah. Ummi tahu setiap orang ada kelebihannya. 

Semalam Khubaib bercerita pula tentang lompat tinggi, tak lepas cubaan kedua, sebab sangkut kaki di palang. Gelak Ummi pada mulanya, terus Ummi tanya.
"Macammana Khubaib angkat badan Khubaib yang berat tu?"

Kemudian, Ummi pesan kalau nak lompat tinggi jagalah kaki tu jangan sentuh palang. 
Tapi itulah Ummi ni mampu pesan je, sebab dulu pun setiap kali nak lompat tinggi acara sukan tara sekolah, ibarat melompat masuk dalam kolam renang. Tak pernah lepas. Haha. 

Hari ini kata Khubaib lepas kedua-dua cubaan lagi dalam lompat tinggi. Em, kalau ikutkan berat badan tu berbanding kawan-kawan yang tak lepas, macam mustahil je dia nak lepas. 
Tapi betullah, di mana ada kesungguhan di situ ada jalan. 

"Hari ni, Khubaib angkat kaki Khubaib waktu lompat tadi." Katanya balik sekolah tadi.
Mungkin mengingati pesan Ummi semalam. 
Alhamdulillah. 


Kuasa Minda Separa Sedar

Ummi terus teringat zaman degree universiti di waktu peringkat akhir futsal tim Ummi Kulliyyah Kejururawatan vs Tim Kuliyyah Perubatan. Boleh kata, Kuliyyah kami ni kedua terkecil diikuti Kulliyyah Pergigian yang baru je wujud di Kampus Kuantan tu. Jadi, tahun tu seorang adik Tahun 1 Kuliyyah Pergigian join tim Futsal Kulliyyah kami. 

Dan setiap kali teringat perlawanan akhir tu, Ummi rasa satu perkara yang Ummi rasa mustahil Ummi buat, telah pun Ummi lakukan waktu tu. Dahlah keliling gelanggang futsal penuh manusia (pelajar-pelajar yang datang menonton). Dan ketika perlawanan tu, masih ingat bola futsal jatuh daripada loop yang jauh ke arah Ummi di tepi garis gelanggang. Ada lagi 3 orang dah ready nak rebut bola ke arah Ummi yang dah hampir di garis tepi. Waktu tu hanya nampak bola di atas, dan fikir macam mana nak dapatkan bola tu dulu sebelum orang lain. 

Masya Allah, tiba-tiba terbuat macamana mereka yang biasa main sepak takraw sambut dan sepak bola tu. Ummi pun tak tahu tu sepak gunting ataupun bicycle kick (bak kata Khubaib). Yang Ummi tahu, Ummi lompat dan sepak bola itu ke arah teammate Ummi sewaktu bola itu di udara, ala-ala sepak takraw. Lepas dah berlaku tu, terus rasa terpaku sekejap, 'macam mana aku boleh buat tu tadi?'. 

Mungkin sebab biasa nampak pemain-pemain sepak takraw buat macam tu sebelah gelanggang futsal di tempat kami berlatih, seolah-olah ia telah printing satu behavior tanpa sedar dalam minda. Setiap kali tengok mereka perform tu terfikir juga, macamana mereka (pemain-pemain sepak takraw) ni boleh buat macam tu? 

Masya Allah hebatnya Allah yang mencipta. Sedangkan tak pernah belajar, dan berlatih pun macam tu, tapi bila keperluan mendesak, keluar printing imej itu dalam bentuk tingkahlaku. 

Itulah juga yang Ummi nampak pada Khubaib. Dan mungkin juga yang lain pernah alami macam ni kan? 

Dan hakikatnya semua yang berlaku adalah dengan izin Allah jua. 
"Nikmat manakah ingin kami dustakan?" 

https://mpowerminds.com/blog/5-strategies-to-boost-mental-toughness-used-by-elite-athletes



~Subhanallah. Anda adalah apa yang anda lihat, dengar  dan baca~

Nota: entri ini ditaip semalam, 12 Nov 2024, Selasa. 

Oct 29, 2024

Nikmati Rasa Sakit Itu


~Kata mereka, no pain, no gain~

Benarlah firman Allah dalam surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6.
"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."

Terima kasih
Kerana tidak mengendahkan luahan kesedihanku
Kerana aku belajar meluahkan segalanya kepada Dia Yang Maha Mendengar 

Terima kasih 
Kerana sering mengatakan bahawa aku ini kuat
Tatkala aku meminta pertolongan 
Kerana aku belajar mengamalkan Zikir Saidatina Fathimah setiap malamku
Memohon pertolongan daripada Dia untuk membantu tiap-tiap hariku

Terima kasih 
Kerana selalu menggelarkan aku si gemuk dan bulat sejak awal kita bertemu
Walaupun katamu itu hanyalah gurauan 
Kerana dari itu aku belajar menjaga diriku sendiri untuk tetap fit dan sihat

Terima kasih
Kerana selalu membiarkan aku keseorangan 
Tatkala aku tidak sihat dan sangat memerlukan seseorang di sampingku
Kerana dari itu aku belajar untuk menjaga kesihatan dan pemakanan ku
Agar dengan usaha ku ini
Dia memberikan aku kesihatan yang baik 
Tanpa memerlukan bantuan manusia yang sekadar sandaran sementara

Terima kasih 
Kerana sering memberi contoh seorang sosok yang tidak sama dengan jangkaanku
Kerana aku yakin yang sempurna hanyalah Dia dan yang ideal hanyalah kekasih-Nya

Terima kasih 
Kerana menyedarkan aku
Bahawa subjek kesihatan mental di zaman ijazah yang kukira akulah pemenangnya
Menunjukkan aku kepada banyak lagi personaliti manusia di luar nalar yang belum aku pelajari

Terima kasih 
Kerana memberi sakit ini
Kerana aku yakin kesabaran ini
Akan diganjari Dia yang Maha Melihat dan Menghitung semuanya

Alhamdulillah
Syukurku atas segala nikmat sakit ini
Setiap sakit yang ku lalui
Aku bangun dan memeluk doa-doaku 
Mengharap pembelaan daripada-Nya
Membaca surat-surat cinta-Nya 
Membaca bujukan kasih sayang-Nya

Dan Dia memberi kekuatan tanpa aku sedar.


~Diriku sekarang adalah proses yang disediakan oleh-Nya untuk diriku, dan juga hasil pilihan reaksiku ke atas segala ujian-Nya. Terima kasih Allah, Tuhanku~



Oct 12, 2024

Nak Sangat ke Nak Sikit Je?


Dalam 2 ke 3 hari ini flashback menyebabkan diri sedikit ter'overwhelm' dan agak menjejaskan momentum bekerja. 

Kadang-kadang tak sedar termenung sendiri beberapa minit teringat peristiwa-peristiwa lalu yang melukakan. 

Ye, bukan mudah sebagai manusia untuk melupakan semuanya. 

Hanya pada Allah tempat mengadu. 

Sungguh, Allah Maha Mengerti, Maha Mendengar. 



Syukur Alhamdulillah, terima kasih Allah. 

Allah hadirkan banyak perkara yang lebih besar dan lebih baik dari perkara semalam. Allah hadirkan ramai orang-orang baik dan positif untuk sebagai tanda sayang dan cinta-Nya. 

Semalam dalam sesi usrah tema 'Uluwwul himmah (keinginan yang tinggi) dan malam ini kelas pascasiszawah bersama mentor kami menjentik hati saya tentang "Pay the Price". 

Apabila kita nak sangat sesuatu, tentu ada sesuatu tindakan atau aktiviti yang perlu kita lakukan untuk mendapatkannya. 

Persoalannya: berapakah kesungguhan kita dalam melakukan aktiviti tersebut sekiranya kita benar-benar nakkan sesuatu itu?

Saya percaya kedua-dua tema yang lebih kurang sama selama 2 malam berturut-turut ini bukanlah satu kebetulan, tapi itulah ibarat nasihat daripada Allah untuk saya belajar dan teruskan perjalanan hidup ini. 


Adakalanya sesuatu itu kita rasakan kebetulan, tapi walhal semuanya telah masuk dalam takwim perancangan Allah untuk kita. Dengan siapa kita bertemu, dengan ilmu apa yang kita ketahui, bentuk petunjuk dan bimbingan apa yang Allah beri semuanya telah digariskan oleh-Nya selagi mana kita berpegang dengan petunjuk-Nya, mengharapkan bimbingan daripada Allah melalui solat, zikir, doa dan segala kebaikan kerana-Nya. 


Kesimpulan

Jadi, 'nak' kita ni adakah sangat bersungguh untuk apa yang kita impikan atau hanya sekadar nak di mulut saja? Itu sangat menyedarkan bahawa waktu untuk berjuang itu perlu diteruskan dengan sungguh-sungguh, walaupun hati masih berat, masih tertahan, teruskan kayuhan perjalanan ini hingga akhir nanti. 


"If I want to, I will; and Allah's will."


<a href="https://stocksnap.io/photo/mountain-view-K9CIXQGE8N">Photo</a> by <a href="https://stocksnap.io/author/51764">Joe Roberts</a> on <a href="https://stocksnap.io">StockSnap</a>
~Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan~

~Syukur, terima kasih Allah, atas anugerah orang-orang baik yang tidak pernah menyerah dan berputus asa dengan diri ini~

Oct 11, 2024

Ceritera Cermin Nan Pecah (Bahagian 1)


~Cermin yang dihempas berkali-kali walaupun tidak pecah berderai pasti retak seribu, dan takkan mampu memantulkan biasan imej yang  indah seperti dulu.~


"Suami awak ni ada anxiety." Kata tuan doktor. 

"Baiklah." Kata Zahra. Akur dengan tahap kesihatan suami yang baru dikahwini tidak sampai beberapa bulan. 

Ada masanya dia melihat suami banyak termenung dan bersendiri. 

Dia cuba sedaya upaya ambil tahu tentang anxiety, penyebab dan rawatan di rumah untuk membantu suaminya. 

Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, suami Zahra makin pulih akhirnya. Badan yang sangat kurus kini sudah nampak semakin berisi. 

Dan kini mereka bukan berdua lagi. 

Alhamdulillah. Mereka sudah berempat. Ada Ali dan Aminah. Mereka hanya selang setahun saja. 

Tapi yang menghairankan Zahra ialah suami Zahra masih suka bersendirian seperti dulu. Hanya bermain sebentar dengan anak-anaknya, dan kemudian bersendirian semula samada di sudut rumah atau di dalam bilik sambil membelek telefon bimbitnya. 

Apabila anak-anak cukup riuh bermain di kelilingnya, dia akan bangun meninggalkan mereka. Seakan tidak tahan dengan bunyi bising. 

Semakin anak-anak membesar dalam lingkungan 2-3 tahun, anak-anak sudah mula tantrum atau bergaduh, terutama Ali si abang yang sangat kuat menangis. 

Tangisannya yang kuat seakan begitu mengganggu suami Zahra. 

Suami Zahra cuba menghentikan tangisan anaknya dengan lisan, tetapi Ali semakin kuat menangis. 

Suami Zahra menarik tangan Ali dengan keras menuju ke pintu rumah. Ali yang sedang menangis diheret ke luar rumah, dan pintu dikunci. Dan Ali dibiarkan menangis beberapa minit di luar rumah. Setiap kali si suami ingin merotan Aminah pula, Aminah akan menangis ketakutan sehingga terbuang air kecil. 

Zahra seperti terkesima. 

Berkali-kali Zahra terdiam. Terpaku melihat keadaan itu dan seolah rasa tidak berdaya. 

Seolah merasakan mungkin suaminya ada rasional sendiri, tetapi semakin hari dia merasakan itu bukanlah satu tingkahlaku yang normal. 

Setiap kali Zahra ingin menyuarakan tentang itu, ia tidak berhujung dengan baik. 

"Boleh tak jangan marah anak-anak macam tu?" Kata Zahra. 

"Mana ada marah. Awak je yang rasa saya marah. Saya tak marah." Begitulah acap kali jawapannya. 

Zahra merasa sangat keliru. Adakah hanya dia saja yang bersangka buruk? 

Kemudian, Zahra menemukan padanan tanda-tanda high functioning autism pada suaminya seperti kurang empati, tidak suka pada kebisingan, mahupun tiada intimasi emosi, tetapi mempunyai sebahagian ingatan memori yang sangat kuat.

Zahra bertahan hingga bertahun-tahun, dengan meyakinkan dirinya tentang mungkin suaminya memang dilahirkan begitu. 

Akhirnya, Zahra bertemu dengan kaunselor untuk membicarakan tentang hal ini. Mendengarkan kata-kata kaunselor, dia mempunyai hak untuk melangkah sekiranya rumahtangga ini mendatangkan kemudaratan dan tidak menjaga Maqasid pernikahan. Namun, semuanya masih dirahsiakan daripada pengetahuan keluarganya. 

Zahra pernah menyuarakan serba sedikit perkara ini pada sahabat karibnya yang juga telah berkahwin tetapi nasihat sahabatnya bahawa 5 tahun perkahwinan adalah kebiasaan pasangan di tahap ini. 

Setelah 5 tahun bertahan dan suami Zahra sudah semakin agresif, sehingga sanggup membaling kerusi kecil milik anak berhampiran dengannya sewaktu dia sedang marah,  Zahra merasakan ini sudah cukup bagi dirinya dan anak-anak. Mungkin akan datang, kemudaratan yang lebih teruk lagi. 

Zahra perlu dapatkan pekerjaan, dan bawa anak-anak jauh daripada suaminya. 

Bersambung...


Sep 1, 2024

Omelan Ummi: Pasca Minggu Interaksi Guru dan Ibu Bapa


 ~Syukurlah!~

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.”

[Surah Ibrahim: ayat 7]

Nak menguruskan anak-anak zaman sekarang dengan adanya telefon bimbit, komputer dan seangkatan dengannya ni bukan mudah. 

Apapun Ummi bersyukur sebab pilihan Ummi menjadi suri rumah boleh pantau anak-anak, boleh jemput, atau hantar anak-anak ke sekolah, boleh pergi bila-bila masa ke sekolah anak-anak jika diperlukan. 

Ummi dulu, Ummi ada nenek biasanya yang teman ke sekolah rendah jika perlu. 

Waktu anak-anak nak hadapi peperiksaan, Ummi bersyukur boleh cek peralatan sekolah anak-anak, boleh ulangkaji dengan anak-anak. 

Tahun lepas Ummi guna latihan dalam internet dan Ummi download, printkan, untuk anak-nak buat latihan. Bab sirah pula ajak-anak-anak tengok kat youtube sekejap melalui skrin TV (sirah Nabi tu dalam bentuk animasi).

Tahun ini Ummi  tukar sikit strategi. Selain print latihan daripada internet, Ummi guna aplikasi Kahoot! buat kuiz ikut silibus yang masuk ujian supaya mereka rasa seronok nak ulang kaji. 

Setelah memulakan kerjaya sebagai Stay At-Home-Mom (SAHM) dan Work-At-Home-Mom (WAHM) ni, memang hati jika disuruh untuk full-time bekerja di pejabat macam kalau boleh tak mahu. Rasa seronok anak-anak membesar depan mata, tak pening nak minta cuti apabila anak tidak sihat, tidak rasa ralat kalau nak keluar pergi sekolah anak sebab jadual semua Ummi atur sendiri. Yang penting kerja tetap berjalan. 


Throwback Menguruskan Anak-Anak Murid Nak Periksa Besar!

Dulu-dulu Ummi seronok jadi guru di kalangan anak-anak murid Ummi. Jadi koordinator peperiksaan sekaligus bertanggungjawab memastikan pelajar lulus 100% peperiksaan kejururawatan. Aturkan subjek yang perlu diajar, siapa dan bila nak diajar, kumpul soalan-soalan tahun-tahun lepas bagi pelajar, buat ulangkaji soalan, buat ujian percubaan dan ulangkaji semula. Macam-macam strategi nak fikir dan nak dibuat untuk bantu anak-anak murid untuk jadi jururawat berlesen. Bertahun-tahun Ummi sandang jawatan koordinator peperiksaan tu. Dan semua ini berlaku biasanya  dalam tempoh berbulan-bulan sebelum para pelajar menghadapi Hari Peperiksaan yang sebenar. 

Alat tulis pelajar pada hari peperiksaan, termasuk sarapan pun kena fikirkan. Itu belum termasuk pengurusan pengawas peperiksaan yang biasanya orang-orang besar dalam bidang kejururawatan yang berkunjung bermula daripada urusan perjalanan pergi dan balik, dan penginapan. 

Apabila kerja Ummi ni terpaksa bercuti je, tentu semua gelabah cari Ummi. Haha. Contoh cuti sebab Khubaib masuk hospital 5 hari dulu, Allahu, hati pun tak tenang. 

Alhamdulillah, ujian pertengahan tahun ini anak-anak direzekikan cemerlang lagi di sekolah Tahfiz sebab ada ujian. Syukur pada-Nya semua subjek A. Paling tak sangka Fathimah yang pemalu dapat tempat pertama dalam hafazan Tahap 1 (kategori campuran). Itulah komen sekolah pagi dan petang daripada cikgu-cikgu, kalau Fathimah ni dia ok semua cuma dia pemalu. Susah nak angkat tangan. Jawab bila ditanya je. Dia duduk tempat dia je, buat hal sendiri. 

Haha. 

Ummi dia dulu pun macam tu juga. Garang dia ni pun macam Ummi dia juga. Nampak je kecik tu. Hu. 


Ekspektasi

Ummi pun sebenarnya susah hati apabila melihat cikgu-cikgu beri harapan terlalu tinggi (expectation) kepada anak-anak. 

Contohnya, apabila ibu kawan sekelas Khubaib yang telah menjadi kawan Ummi, memaklumkan kepada Ummi diberitahu oleh cikgu, yang Khubaib ni bijaknya ajaib. 

Sebab bagi Ummi anak-anak ni biasa je. Mungkin mereka belum jumpa gandingan-gandingan yang lebih hebat lagi di luar sana. Apapun, semuanya dengan izin Allah jua. 

Ummi dulu pun selalu pandang tinggi sahabat-sahabat yang kelas nombor satu di sekolah sendiri, dan mereka yang bersekolah-sekolah hebat daripada kalangan sekolah berasrama penuh. Alhamdulillah, dapat pengalaman berjumpa, berkenalan dan bersahabat dengan mereka daripada sekolah-sekolah  Kolej Tunku Khursiah, Kolej Melayu Kuala Kangsar, Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Kolej Islam Sultan Alam Shah antaranya melalui pertandingan-pertandingan. (Dulu-dulu, sekolah-sekolah SBP ni lah antara sekolah-sekolah yang ranking tinggi.)

Dan tidak kisahlah sekolah mana pun samada sekolah berasrama penuh atau tidak, yang mana kita dapat duduk semeja dan berbicara lama tu biasanya perasan mereka ni ada vibe yang sama antara kami dan mereka, iaitu ceria dan tenang. Orang Melayu kata 'boleh ngam'. 

Yelah, ada juga yang satu sekolah pun, kita tak dapat sama vibe macam tu. 

Hatta, zaman matrik dulu pun, Ummi selalu je larikan diri daripada geng-geng "pandai" ni. Tapi selalu je dicari. Macam magnet. 

"Awak, saya nak jalan dengan awak boleh?"

"Awak, nak pergi makan kat  kafe ke? Saya nak makan sama, boleh?" 

"Saya duduk sini dengan awak, boleh?" 

Tulah antara situasi daripada tiga orang yang berbeza di tempat yang berbeza waktu Ummi di matrikulasi. Semuanya kemudian menjadi circle sahabat Ummi di matrikulasi. 

Apapun siapa kita dan di mana kita berada pada masa lalu, masa sekarang, dan masa depan, mungkin disebabkan oleh doa ibu bapa kita, doa orang-orang sekeliling kita, usaha kita, dan paling penting semuanya terjadi dengan izin Allah s.w.t. 

https://www.deviantart.com/coolarts223/art/Glass-jar-with-natural-landscape-reflection-in-it-986678448
~Kita kumpul renungan kita di sini~

Dan selalu Ummi pesan pada anak-anak: 'Setiap kelebihan yang Allah bagi pada kita ni adalah AMANAH dan akan dipertanggungjawabkan. Kalau tak syukur, Allah bagi orang lain.'

Dan Surah Ibrahim ayat 7 di atas lah yang Ummi akan selalu ulang kat mereka. 

~Itulah yang selalu Ummi nasihatkan. Nasihat diri sendiri, dan juga anak-anak. Muhasabah pasca minggu interaksi.~


Jul 22, 2024

Kawal Diri: Satu Sudut Pandang Yang Menggumamkan


Sebenarnya tak tahu nak letak ini tajuk apa. 



Al-kisahnya, ini ialah dialog minggu lepas tentang kes 302 yang sedang dalam siasatan yang melibatkan Allahyarhamah yang berusia 25 tahun. 

Dan saya bercerita serba sedikit tentang kes Allahyarhamah apabila ditanyakan oleh seseorang yang berlainan jantina dengan saya. 

Dan setelah bercerita, I'm quiet surprised with the response given. 

"Mungkin dia tak sengaja, waktu gaduh-gaduh tu ke."

Tidak sengaja tidak mengawal amarah, atau tidak mampu mengawal diri, tidak sengaja untuk tidak tenang, apakah? 

Jadi, apakah jika itu berlaku, insan ini juga akan tidak tersengaja boleh buat begitu? 

Sejujurnya inilah respon pertama kali yang mengejutkan (sekaligus menakutkan saya). 

Allahu, I'm speechless...

Kepada Allah saja saya serahkan segala urusan ini untuk Dia tadbir dan pelihara dengan sebaik-baiknya. 


Jul 11, 2024

Semaian Perkataan


~Setiap perkataan kita jika tidak meninggalkan kesan pada orang lain, ia pasti meninggalkan kesan kepada diri sendiri.~

-Dan kamu akan dipertanggungjawabkan atas setiap apa yang kamu perkatakan.-

"Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)."
 (Surah Qaf; 50:18)


Agaknya kalau hampir setiap hari anda dengar perkataan ini apa akan jadi: 
"Busuk, busuk, busuk..."
"Asyik buat hal je..."
"Menyusahkan..."

Ye, lama-lama yang wangi akan jadi busuk. Yang baik, akan dilihat sentiasa bermasalah. Yang senang akan jadi susah. 

Kalau yang dewasa pun dengar setiap hari boleh rasa down, apatah lagi anak-anak. 

Kenapa tidak ditukar kepada perkataan-perkataan yang baik: 
"Bagus, bagus, bagus..."
"Tak apa, ada hikmahnya."
"Insya Allah, boleh." 

*****
Alhamdulillah, syukur saya dibesarkan oleh keluarga yang tidak mengeluarkan perkataan-perkataan toksik sebegitu. 

Bahkan jika waktu kecil dulu, impian saya yang selalu kecil saja, Ibu yang selalu minta saya aim yang besar. 

Kalau dapat markah 90, ibu akan tanya kenapa tak dapat 100? Haha. Waktu rasa macam 90 pun dah cukup baik kan. 

Lepas tu, macam-macam lah ibu kita beli nak bagi anak dia ni mengingat dan memotivasi sebagainya kan. 

Alhamdulillah syukur sangat. Asbab tinggal dengan nenek, nenek pun selalu memupuk angan-angan yang bertukar menjadi impian. Selalu dulu, nenek cerita nenek dapat nombor satu dalam kelas. Walaupun tak menggalakkan secara langsung, tetapi cerita nenek zaman kecil dapat jadi ketua kelas dan cemerlang akademik tu memberi inspirasi. 

*****

Petang ini, Khubaib balik daripada sekolah. Dengan muka nampak nak nangis tu, terus datang baring di riba Ummi dan peluk Ummi nya. 

"Ummi, kenapa Khubaib lahir kat dunia ni? Kenapa Khubaib ni tak berguna?" Tanya Khubaib. 

"Dah kenapa pula? Siapa yang cakap kat Khubaib macam tu?" Tanya Ummi. 

"Takde, Khubaib sendiri yang cakap." Jawabnya. 

Dan Ummi pun bertanya kenapa tiba-tiba Khubaib cakap macam tu. 

Al-Kisah nya, rupanya sementara tunggu Abi ambil anak-anak di sekolah tahfiz, dan budak-budak ni bermain-main, dan kata Khubaib, dia tak sengaja terbaling kopiah kawannya ke dalam sungai. 

Dalam pada masa yang sama, Fathimah juga datang mengadukan perkara yang lain pula pada Ummi. 

Jadi, Ummi pun kata, "takpelah, nanti Ummi bagitahu pada mak kawan Khubaib."

"Ummi, kenapa Khubaib ni tak berguna Ummi? Khubaib asyik buat hal je." Tanya Khubaib lagi.

"Semua manusia Allah ciptakan berguna. Yang dah jadi tu, jadikanlah pengajaran. Jangan buat lagi. "

Apabila Khubaib cakap macam tu, baru Ummi dapat kesan kenapa sampai tahap tu dia down

Asbab selalu dikatakan 'asyik buat hal' menjadi rutin pada dirinya, sampai tahap dia rasa dia tak berguna. Allahu, semoga Allah berikan jalan keluar kepada kita. 


Tiada siapa yang boleh lindungi kita dan tunjukkan kita jalan keluar melainkan Allah SWT. 

~Wahai Allah yang Maha Mendengar, perkenankanlah.~


 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino