::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Mar 5, 2012

Jelaskan Matlamat Itu


~Menjadi hamba Allah yang sejati; menyediakan hati untuk dididik dan mengajak hati-hati yang lain untuk dididik adalah satu matlamat kebahagiaan yang infiniti.~


~Jelaskan matlamat hidupmu, nescaya kau tahu tempat yang dituju dan prioriti langkahanmu~


"Lepas ni nak kerja jadi lecturer ke?" tanya ibu kepada Uzma. Ibu pernah menyarankan untuk pergi saja temuduga jawatan itu tapi Uzma tetap dengan keputusannya.

"Taklah, nak kerja di klinikal dulu. Nak cari pengalaman banyak-banyak." Begitulah jawapan yang seringkali diberikan.

Setelah mendapat kerja yang dicita-citakan, Uzma amat gembira. Walau pada mulanya agak kekok, namun, dia amat bahagia membantu mereka yang memerlukan. Walaubagaimanapun, atas kekangan pengangkutan serta jadual yang tidak menentu, hampir berbulan lamanya dia tidak menghadirkan diri untuk usrah. Tidak berkesempatan berjumpa dengan tautan hati yang sentiasa memberi kekuatan di kala hati di dalam kelemahan. Tidak berkesempatan untuk mendidik hati di dalam bulatan kebahagiaan.

Hatinya rasa gelisah. Rasa juga seperti tin yang semakin kosong.

'Pengisian, pengisian, pengisian.. 'desis hati berulang kali.

Lalu, dia bersolat istikharah di sepanjang malam serta munajat yang tiada henti, dengan harapan agar Tuhan campakkanlah dirinya ke mana pun agar hatinya tidak sunyi dari diisi. Takut hatinya semakin keras seperti tanah liat yang sudah lama tidak diuli.

Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Dia memberikan jalan keluar.

Dan akhirnya Uzma di sini.

Allah telah mencampakkannya ke suatu daerah di pedalaman. Mungkin bukan mencampakkan tetapi meletakkan dirinya di suatu tempat yang jauh dari hiruk pikuk bandar seperti dulu.


Allah tidak buat sesuatu itu dengan main-main sahaja. Itu adalah satu perkara yang terpahat jelas di hatinya.

Di sini, sentiasa ada program untuk memproses diri menjadi hamba-Nya. Syukur kepada Allah kerana Dia telah memberi apa yang dihajati.

Di sini juga, banyak hati-hati yang minta diisi dengan keimanan. Banyak hati-hati yang minta ditunjukkan jalan untuk mengenal Tuhan yang sebenar; Allah yang satu.

Ya, Uzma benar-benar bahagia di sini. Hatinya dididik dan diminta untuk mendidik.

Setelah beberapa tahun, dia terdetik untuk menyambung ke pendidikan yang lebih tinggi di mana dia perlu meninggalkan daerah ketenangan ini.

"Biarlah kehadiran kita di suatu tempat itu akan meninggalkan kesan dakwah kita sebelum kita meninggalkannya." ujar Murabbi pada suatu hari kepada Uzma.

Ya, masyarakat di sini sudah mula untuk menerima. Hati-hati mereka sudah mula untuk menerima Islam dalam kehidupan mereka. Apakah dengan hanya berbasa-basi tugas menyampaikan ini diselesaikan dan dia kemudian pergi dari sini?

'Uzma, setiap manusia punya impian. Namun, apakah yang lebih baik daripada menunjukkan manusia jalan keimanan hingga ia benar-benar terkesan di hati mereka? Apakah ia lebih baik daripada dunia dan seisinya?
Allah pasti akan menunaikan hasrat dan impianmu satu hari nanti. Lihatlah mereka dan pimpinlah mereka. Allah tidak meletakkanmu di sini sia-sia belaka. Jelaskan kembali apakah matlamatmu ketika kau diminta untuk bertapak di sini.'

Suara hatinya berbisik.


Pembungkus

Setiap manusia punya impian dan cita-cita. Dan semua ingin mengejar impiannya. Namun, tatkala ada manusia yang menginginkan nyalaan iman itu, apakah kita terus beredar setelah nyalaan itu belum lagi dapat menyuluhkan dirinya sendiri apabila ia ditinggalkan?

"Dan apa sahaja (kekayaan, jabatan, keturunan) yang diberikan kepada kamu, maka itu adalah kesenangan hidup duniawi dan perhiasannya; sedang apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal. Tidakkah kamu mengerti?"
(Al-Qasas; 28; 60)

~Ke mana saja kaki ini melangkah atau ingin melangkah, jelaskan dahulu matlamat itu.~


0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino