~Kebaikan itu diberi untuk menyucikan hati dan menenangkan jiwa~ |
Pelajaran Kehidupan
Hari ini seorang pelajar bukan Muslim datang bekerja di tempat kerja saya. Dan hari pertama beliau datang bekerja sebagai satu latihan praktikalnya, saya (mungkin juga kami) dapat sesuatu.
Tatkala saya sedang berbincang tentang hal kerja bersama rakan setugas, seorang lagi rakan saya hampir ditimpa fail di sudut bilik pensyarah. Dan ketika kami sedang kecoh terkejut melihatnya, pelajar yang juga kini rakan baru sekerja kami itu dengan segera datang membantu.
Saya malu sendiri. Ada yang saya perlu belajar daripada akhlak seorang bukan beragama Islam. Kesediaannya untuk membantu dan tidak pentingkan diri sendiri mengajar saya sesuatu.
Saya yang sudah lama mengenali rakan saya yang hampir ditimpa fail itu hanya memandang dari jauh dan bertanya. "Awak okay?"
Sedangkan orang yang baru pertama kali bertemu lebih mudah membantu berbanding rakan yang sudah bertahun lama berkenalan.
Belajar Akhlak Islam Dari Orang Bukan Islam
Ia bukan satu perkara baru. Ramai orang bukan Islam di luar sana yang berakhlak Islami. Dan ramai orang Muslim yang sebaliknya pula.
Tidak perlu merujuk mereka di luar sana. Tetapi hari ini saya merasakan bahawa Allah sedang menegur diri ini.
Hari ini saya malu sendiri. Betapa saya merasakan diri ini sendiri belum cukup menumbuhkan sepenuhnya nilai-nilai Islam itu di ladang hati.
Lihat kebaikan yang dilakukan. Dan bandingkan pula kebaikan yang kita pandang pada orang lain dengan diri kita yang lemah ini. Betapa ramai orang yang lebih baik daripada diri kita ini pada hari ini. Kita masih hamba yang lemah dan perlu banyak perbaikan terhadap diri.
~Moga Allah melimpahkan nikmat Iman dan Islam pada mereka yang penuh kebaikan dan suka kepada kebaikan~
0 comments:
Post a Comment