::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jul 11, 2012

Bulatan Gembira Pertama Kami


~Bulatan gembira kerana-Nya membuat hati bahagia~ 

~Bulatan gembira kerana-Nya buat hati bahagia~

'Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.'
(Ali 'Imran; 3: 190-191)

Apakah kasih sayang dan hubungan yang lebih indah daripada bersandarkan semata-mata kerana Allah?

Jawapannya; tiada.

Kerana cukup hanya dengan Allah dan kerana Allah, semuanya akan terasa indah.

Hari ini saya hanya mampu tersenyum lebar hingga ditenung oleh rakan serumah apabila melihat wajah kebahagiaan ini.

Ya, saya bahagia. Alhamdulillah.

Hari ini bulatan gembira pertama kami.

Bulatan Gembira Pertama Kami

Sudah lama saya letakkan dalam perancangan. Tapi hanya perancangan tanpa perlaksanaan, tidak akan ke mana-mana.

Suatu hari di awal semester ketika saya bertemu dengan salah seorang anak murid yang sering saya bawa jika ada program-program tazkirah.

"Miss sebenarnya nak bincang sikit pasal bulatan gembira..." saya berhenti seketika. Mencari penyambung kata yang sesuai.

"Miss, boleh tak kalau kita buat bulatan gembira kita sendiri? Sikit orang pun takpe lah Miss."

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Hati saya memuji kebesaran Allah. Betapa Allah tahu hasrat di lubuk hati yang tersembunyi.

Saya terus tersenyum. Lalu kami merancang bersama. Dan meminta sekiranya anak murid saya itu mahu mengajak rakan-rakan yang lain. Juga turut saya sampaikan kepada anak murid lain yang pernah menyatakan minatnya.

Alhamdulillah, hari ini Allah benarkan ia terjadi setelah ia berada lama hanya dalam perancangan.

"Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya "Jadilah!"Maka jadilah sesuatu itu."
(Yasin; 36: 82)

Mewujudkan Suasana Islami

Sewaktu saya berada di sekolah menengah, saya mula mengenal indahnya Islam kerana suasana yang agak Islami di sekolah saya. Walaupun bukan sekolah agama, tetapi ada hari-harinya kami akan menghadiri tazkirah pada sebelah petang, perlu memakai stokin bagi perempuan dan seluar di bawah lutut ketika bersukan bagi lelaki. Menghadiri usrah adalah perkara wajib setiap hari Jumaat dan solat sunat serta bacaan Yasin pada hari Khamis malam. Ditambah juga dengan Minggu Kesenian dan Kebudayaan Islam yang amat saya nanti-nantikan saban tahun.

Kerana bahagia dengan suasana sebegitu, Allah izinkan kemahuan saya tercapai untuk ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pilihan ini kerana saya masih ingin memperbaiki diri dalam suasana Islami atau dalam biah solehah.

Namun, apabila keluar daripada suasana tersebut dan bekerja di tempat yang agak asing dari suasana yang islami tadi, saya tercari-cari. Apatah lagi menjadi seorang guru, melihat pemandangan yang tidak islami dalam membangunkan generasi adalah satu perkara yang amat merisaukan.

"Kasihan dengan mereka ni sebab mereka jahil. Mereka tidak tahu. Tak ada siapa yang mahu bimbing."

Mungkin ada yang suka menuding jari seperti menyalahkan pendidikan ibu bapa serta mungkin sistem pendidikan kita.

Ya, tetapi di suatu sudut lain yang lebih positif adalah kita melihat dari sudut sumbangan kita sendiri.  Bermula daripada diri kita sendiri.

Ada hikmahnya kita berada di dalam suasana ini. Rasulullah diutus oleh Allah di celah-celah masyarakat yang pekat jahiliyyah. Dan baginda bermula dengan dirinya sendiri dan kepada keluarganya sendiri dan juga sahabat-sahabatnya.

Teringat pesan Sheikh Hassan Hudaibi:
"Tegakkanlah Islam di dalam dirimu, nescaya tertegaklah Islam di watanmu."

Apabila kita letak peristiwa itu dalam keadaan kita sendiri pada hari ini, kita perlu rasa kasihan pada mereka yang belum atau tidak rasa nikmat Iman dan Islam, pada yang belum merasa indahnya hidup apabila mencintai Allah dan mencari redha-Nya.

Kita perlu sebarkan nikmat terbesar ini dengan rasa kasih dan sayang. Kerana tidak ada nikmat apa pun di dunia ini yang mampu mengatasi nikmat Iman dan Islam. Mari melihat semua manusia dengan kasih sayang. Dan ini terdapat dalam mana-mana jua pun sirah Rasulullah s.a.w.

Indahnya kasih sayang antara manusia kerana Allah. Semoga kita dapat bersama-sama ke Syurga dengan orang-orang di sekeliling kita. Jika lebih indah, dengan seluruh manusia pun di dunia ini.

Hidayah Milik Allah, Kita Manusia Terus Berusaha

Hari ini menyaksikan kebahagiaan terukir di wajah saya. Sesungguhnya  hidayah milik Allah. Ada juga kadang-kadang rasa sedih itu pernah terbit di hati apabila apa yang kita nasihatkan itu seperti mencurah air ke daun keladi.

Alhamdulillah, saya bermohon agar Allah menetapkan hati bagi anak-anak murid saya yang bersama-sama dalam bulatan gembira kami ini, terutama pada diri saya sendiri.

Moga apa yang disampaikan  juga adalah untuk memperbaiki diri sendiri.

Kata Imam Hassan Al-Banna:
"Perbaikilah diri kamu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan."

Teringat anak-anak murid lelaki saya yang turut berkata sewaktu saya utarakan tentang bulatan gembira kepada anak-anak puteri saya:

"Miss, tak adillah macam ni. Kitaorang nak juga bulatan gembira."

Saya hanya tersenyum.
Insya Allah, moga Allah akan menghadirkan seorang lelaki yang datang bersama memacu bulatan gembira untuk kamu juga suatu hari nanti.


~Ukhwah kerana Allah itu indah~
Bulatan gembira kerana-Nya membuat hati ini bahagia.

~Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan hati kami untuk berada di atas jalan menyebarkan nikmat Iman dan Islam-Mu dan berikanlah kami kefahaman di dalam agama-Mu.~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino