::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Sep 22, 2012

Ibrah Di Awal Sarjana


~Moga bukan hanya akal yang belajar, tetapi mata hati juga terbuka untuk diterangi oleh hikmah-Nya~


Sudah masuk minggu kedua kelas sarjana saya bermula. Alhamdulillah, saya gembira berada di dalam kelas Kaedah Penyelidikan Dalam Pendidikan 1 pada minggu pertama walaupun pada mulanya tidak mengenali sesiapa. Allah beri seorang pensyarah berpangkat Prof Madya yang punya ciri-ciri kebapaan, rakan-rakan sekelas yang ramah-tamah.  Hanya ada 13 orang pelajar sahaja dan 3 pasang daripadanya adalah pasangan suami dan isteri. Semuanya baru di semester 1.

Alhamdulillah.

~Moga bukan hanya akal yang belajar, tetapi mata hati juga terbuka untuk diterangi oleh hikmah-Nya~


Ibrah (Pengajaran) Pertama

Sebelum saya menyambung pengajian ini, saya sering bertanyakan pada diri sendiri.
"Mampu ke nak seimbangkan antara belajar, kerjaya dan D&T?"

Takut yang dikejar dapat tapi yang dikendong berciciran.
Harapan saya, jika boleh biarlah semuanya itu dilakukan dengan terbaik, Insya Allah.

Apabila masuk kelas pertama saya; kelas Kaedah Penyelidikan ini, saya berkenalan dengan seorang kakak yang merupakan guru wanita dalam lingkungan 40-an dan mempunyai 8 orang anak.

Saya terkedu sendiri.

Kagumnya melihat kegigihan seorang ibu yang masih punya anak-anak kecil dalam pada masa yang sama bekerja dan belajar serta menjadi isteri dan ibu kepada anak-anaknya.
Hanya Allah saja yang mampu memberi kekuatan itu.

Kemudian, bertemu pula dengan 3 pasangan suami isteri yang juga mengambil pengajian separuh masa di dalam kelas yang sama (walaupun mereka berlainan kursus).
Tatkala kedua-duanya belajar dan bekerja dan sama-sama pula menjadi ibu dan bapa mendidik anak-anak dan mengurus rumahtangga.

Subhanallah.... Tentu hanya Allah saja yang mampu berikan kekuatan.

Terutama sekali pada sahabat saya yang tersayang, yang sama-sama belajar semenjak dari zaman universiti hingga sekarang. Beliau punya anak kecil berusia lingkungan 6 bulan dan suaminya juga adalah rakan sekelas kami dari universiti yang Allah takdirkan kedua-duanya menjadi rakan sekerja saya. Apabila anak tidak sihat, kedua-duanya saling bertolak ansur berselang seli mengambil cuti.
Dan yang mengkagumkan saya adalah kegigihan sahabat saya itu untuk terus menghadiri kelas pengajiannya bersama saya.

Gigihnya juga suaminya memberikan sokongan dan dorongan.

Ya Allah, setiap kali melihat keduanya, saya hanya mampu menyebut ini di dalam hati:

"Tabahnya mereka berdua. Dan Allah lah yang mampu memberi kekuatan itu kepada mereka."

Ibrah (Pengajaran) Kedua

Minggu ini kali kedua kelas Pendidikan Psikologi Lanjutan berlangsung. Rakan-rakan sekelas majoritinya tidak sama dengan kelas yang satu lagi.

Saya tertarik dengan penjelasan pensyarah saya tentang menjadi 'Expert Teacher'. Alat untuk membangunkan individu menjadi 'expert teacher' adalah dengan 'reflection' atau muhasabah.
Muhasabah dengan diri sendiri. 

Beliau juga ada menyentuh bahawa menulis blog juga adalah satu medan bermuhasabah kerana ia menyimpan dan merekod perkara yang lama dan baru untuk kita melihat di manakah diri kita di samping berkongsi dengan orang lain.

Pembungkus

Sejenak saya merenung diri ini. Melihat insan-insan tabah di sekeliling saya dan membandingkan dengan diri saya ini. Rasa diri ini kerdil.

Firman Allah:
"Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya...."
(Al-Baqarahl 2: 286)

Lama juga saya meninggalkan blog kerana tiada masa yang diperuntukkan untuknya.

Ya, ada benarnya kata-kata pensyarah saya. Blog juga laman muhasabah diri. Ada masa-masanya saya juga membaca tulisan-tulisan entri terdahulu dan membandingkan ia dengan diri saya masa kini.

Menjadi seorang pendidik atau murabbi perlu banyak muhasabah diri. Untuk membawa orang lain kepada kebaikan, perlu seiring dengan memperbaiki diri sendiri.
Untuk memberi, perlu banyak mendekatkan diri kepada Ilahi agar diri sentiasa beroleh kekuatan untuk terus memberi.

Semoga kelas-kelas berikutnya nanti akan memberi lebih banyak ibrah untuk saya bermuhasabah, Insya Allah.

~Ya Allah, tetapkanlah hati ini untuk terus melihat kebesaran-Mu dan kekuasaan-Mu~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino