Pilihanraya Umum 13 adalah pilihanraya setakat ini banyak mencatat sejarah.
Alhamdulillah, pertama kali saya mengundi.
Semoga Allah mengira undian kita semua di akhirat nanti sebagai saksi.
~Sebahagian daripada sejarah terbesar Malaysia~ Credit image to: http://tunkuaisha.blogspot.com |
Perasaan PRU13
Selama 13 kali pilihanraya diadakan, jumlah tertinggi mereka yang keluar mengundi adalah 80% daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar.
Sokongan yang sangat hebat datang daripada kedua-dua belah pihak.
Namun, sokongan pihak yang inginkan perubahan di ambang pilihanraya tidak pernah saya lihat sebegini meriah semenjak kecil. Ia bagaikan ombak besar yang datang berkali-kali.
Dan mereka adalah kebanyakannya generasi atau komuniti siber yang kebanyakannya berusia sekitar usia saya.
Keputusan pilihanraya umum ke-13 dimenangi oleh Barisan Nasional yang kini sudah menjadi kerajaan Malaysia dengan 133 kerusi Parlimen. Selebihnya 89 kerusi diduduki Pakatan Rakyat.
Bagi mereka yang mahukan perubahan, kebanyakannya melahirkan kedukaan.
Walaubagaimanapun, undi popular pilihanraya ke-13 kali ini dimenangi oleh pihak Pakatan Rakyat pula (yang sememangnya agak popular di kalangan komuniti siber mutakhir ini).
Undi keseluruhan Pakatan Rakyat: 5.5 juta.
Undi Keseluruhan Barisan Nasional: 5.2 juta.
Muhasabah PRU13
Buat yang berjaya, tahniah! Allah mengizinkan anda menggalas amanah. Amanah adalah satu perkara yang sangat besar kepada seorang pemimpin. Semoga amanah yang dikurniakan menjadi pembantu ke arah Jannah dan bukan sebaliknya. Semoga kemenangan yang diperolehi adalah kemenangan yang telus.
Ingat, Allah itu Maha Melihat.
Bagi yang kecundang di pilihanraya kali ini, mungkin ada yang perlu kita muhasabahkan. Bagi seorang Muslim, mungkin kemenangan ditangguhkan oleh Allah kerana ia adalah menguji insan.
"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."
(Surah Al-Mulk; 67:2)
Pembungkus
Adakalanya kita inginkan sesuatu daripada Pencipta tapi kita lupa untuk mendekatiNya. Adakalanya kita ingin luaran atau sekeliling kita diperbaiki untuk jadi lebih baik tapi kita lupa untuk memperbaiki diri sendiri ke arah kebaikan. Pesan Hasan Al-Banna, seorang pemimpin tersohor Ikhwan Muslimin;
'Perbaikilah diri kamu di samping kamu mengajak orang kepada kebaikan.'
Kadang-kadang kita impikan dan cita-citakan negara Islam tertegak di atas tanah air kita, tetapi kita lupa untuk menegakkan Islam dalam diri kita. Seperti apa yang telah diperkatakan oleh Syeikh Hassan Al-Hudaibi:
"Tegakkanlah Islam di dalam dirimu, nescaaya akan tertegak Islam di tanah airmu."
Ingatan ini adalah untuk diri saya juga.
Mungkin kita banyak mengusahakan secara external hingga kita terlupa usaha internal kita yang perlu diperhebat lagi.
Mungkin kita lupa tuntutan Allah pada diri yang masih belum kita selesaikan lagi sehingga Allah menangguhkan dahulu makbul doa kita dan menunggu waktunya kita benar-benar bersedia.
Introspeksi ini bukan saja perlu dilihat pada pihak satu lagi. Namun, amat perlu kepada introspeksi diri; hubungan kita dengan Pencipta dan sesama kita.
Sayugianya, marilah bersama kita introspeksi diri kita sebagai hamba-Nya. Pasti ada hikmah. Kerana Allah tidak pernah salah.
~Fenomena 'Ini Kalilah' sebenarnya sudah pun bermula~ |
Sajak PRU13: Fajar Menyinsing @ Breaking Dawn
(Khas buat generasi yang mahukan perubahan ke arah kebaikan)
Fajar menyinsing
Mentari masih sembunyi
Hanya cahayanya berserakan
Terangi langit dan awan gemawan
Bila suria sinari buana
Ayam berkokok membangunkan
Manusia; masih ada yang lena
Manusia; ada yang terjaga tetapi kembali menutup mata
Namun, ada juga yang bangkit untuk bekerja
Fajar kini mula menyinsing
Suria tidak terus menunjuk rupa
Tapi sudah cerahkan daratan
Sedikit demi sedikit
Mengeluarkan manusia dari kegelapan
Usaha, yakin dan doa
Tanah ini pasti akan disinari
Kegelapan tak selama menjadi raja
Kerana janji-Nya suria pasti menyimbah cahaya
Breaking dawn
The sun is rising
~ Fajar menyinsing; hanyalah satu permulaan untuk cahaya bersinar terang.~
0 comments:
Post a Comment