::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jan 26, 2014

Baitul Muslim: Jadi Seperti Lebah dan Bunga


~Ibarat lebah dan bunga saling melengkapi. Lebah berbisa menghirup madu dengan tenang lalu bunga terus mekar berkembang~

Alhamdulillah, hari ini berkesempatan meluangkan masa mendengar pengisian berkenaan rumahtangga oleh Ustazah Nohafizah Musa di radio ikim.

Sekadar perkongsian bersama di blog ini, sekaligus mengingatkan diri yang menulis ini tentang apa yang ditulis.



http://www.wired.co.uk/news/archive/2013-02/22/bee-electric-flowers
~ Bunga menarik sang lebah melalui komunikasi cas-cas elektriknya agar bunga berkembang mekar dan lebah dapat manisnya~


Lebah dan bunga

Satu perumpamaan indah yang dinukilkan oleh Ustazah di ikim.fm.

Lebah dikenali sebagai serangga yang kuat dan berbisa.
Namun, apabila ia hinggap di kelopak bunga tidak secarik pun kelopak itu dirosakkannya. Madu dihirup tenang bahkan bunga kian mekar berkembang.

Ketenangan, kesabaran dan  lemah lembut amat penting dalam rumahtangga. Secara amnya, menjadi seorang Mukmin sememangnya  perlukan ketiga-tiga ciri ini.

Alhamdulillah, walaupun masih baru lagi berada di Universiti Baitul Muslim dan masih sekelumit pelajaran yang dikutip sepanjang menjadi pelajar baru ini, saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dikurniakan seorang suami punyai ketiga-tiga ciri ini.

Sungguh, biarpun jodoh saya tidak seawal sahabat-sahabat lain, segala puji bagi Allah, saya tahu kesabaran atas penantian ini tidak akan Allah sia-siakan.



Walaupun begitu, masih banyak perkara yang kami perlu belajar. Pada awal-awal perkahwinan, banyak ralat kami dalam berkomunikasi.  Ralat ini kami baiki dengan izin-Nya sedikit demi sedikit. Alhamdulillah, Allah lah memberi petunjuk kepada hamba-hamba-Nya yang tidak putus harap meminta kepada-Nya.


"(Ingatkanlah peristiwa) tatkala serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami"
(Al-Kahf; 18: 10)

Moga kelebihan dan kekurangan itu menyeimbangkan. Suami dan isteri saling lengkap melengkapi ibarat hidup sang lebah bersama bunga.

"...Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?"
(Al-Mulk; 67: 3)


4 Pola Bicara Cinta Sang Lebah dan Bunga

InsyaAllah, sedikit perkongsian kutipan-kutipan mutiara ilmu di corong radio pagi ini.
Kaulan Sadida, Kaulan Karima, Kaulan Baligha, Kaulan Maisura (istilah-istilah dalam Bahasa Arab, jika ada kesilapan, harap dapat betulkan).

Ini adalah panduan pola bicara dalam rumahtangga.

Kaulan Sadida:

Kata-kata yag penuh komitmen, benar dan ada asas.
Kata-kata yang penuh sunguh-sungguh. Jika kita katakan sesuatu itu, ia adalah sesuatu yang benar. Jika kita menasihati pasangan dan anak-anak, kita juga mengaplikasikan ia dalam diri kita, InsyaAllah.

Kaulan Baligha:

Kata-kata yang mendalam dan menyentuh.
Kata-kata seorang wanita yang dinukilkan dahulu kepada suaminya, "Wahai suamiku, bertakwalah kepada Allah, kami boleh sabar dengan kelaparan tetapi kami tidak boleh sabar dengan panas api neraka."

Kaulan Karima:

Kata-kata yang keluar dari hati yang mulia dan memuliakan pasangan atau anak-anak yang mendengar.

Kaulan Maisura:

Kata-kata yang memudahkan.
Contoh: Suami memudahkan kerja isteri apabila lihat isteri kepenatan bekerja. "Takpelah, biar abang buat."

Pembungkus

Rumahtangga yang bahagia dalam redha Allah adalah rumahtangga yang penuh mawadaah (kasih sayang), rahmah (rahmat) dan sakinah (ketenangan).

Ia rumahtangga yang meletakkan Allah dan Rasul sebagai ikutan, Al-Quran dan Sunnah menjadi kompas pelayaran rumahtangga yang berkemudi di lautan kehidupan menuju kehidupan akhirat yang abadi iaitu kampung halaman Syurga yang menanti.

Moga Allah memberikan kekuatan dalam pelayaran.

Semoga rumahtangga yang didirikan kerana meraih redha Allah adalah rumahtangga yang bercahaya menghidupkan sunnah-sunnah Nabi tanda cinta  jua wasilah meraih redha dan cinta-Nya.

~Wahai Tuhan, persatukan kami selamanya dalam rahmat dan kasihMu hingga ke SyurgaMu~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino