::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Apr 24, 2014

Baitul Muslim: Perkahwinan Jarak Jauh (PJJ)


~Perkahwinan dan percintaan selepas nikah jarak jauh memerlukan komitmen, kepercayaan, kejujuran dan ketabahan yang tidak sedikit. Semoga Allah memberikan kita semua kekuatan dalam Baitul Muslim ini~

Dengarkan...



Zaman Perkahwinan Jarak Jauh

Di zaman semuanya sibuk dengan kerjaya, ramai pasangan suami isteri yang terpaksa memilih untuk hidup berasingan dan berjauhan atas tuntutan ekonomi dan hidup yang semakin mencabar.

Ada yang sejauh merentasi lautan, ada yang jarak berjam-jam perjalanan, ada pula yang di utara-selatan, timur-barat.

Saya dan suami pula walaupun berjauhan tidak sampai ke luar negeri kami bermastautin, namun, kami hanya bersua di hujung minggu. Ditambah dengan masing-masing berlainan hari cuti, banyak tidak dapat dirancangkan bersama.

Hidup Bersama

Namun, perancangan kami bukanlah untuk berputus asa setakat ini. InsyaAllah, semoga Allah memudahkan usaha kami untuk hidup bersama sebumbung.

Tidak dinafikan, hidup bertemu dan kemudian berpisah setelah beberapa hari berjumpa meruntun hati pilu. Semoga Allah menganugerahkan kami ketabahan dan kesabaran.

Semoga Allah memudahkan perkara-perkara yang diredhai-Nya.

Kadang-kadang rasa sedih apabila melihat suami di musim cuti sekolah yang hanya perlu duduk di rumah sementara menantikan isterinya pergi bekerja. Jika tidak pun, encik suami meluangkan masa di masjid berdekatan sementara menjemput isterinya pulang dari tempat bekerja.

Maaf, duhai suamiku, diri ini belum mempunyai kudrat meluangkan masa bermanfaat yang panjang denganmu bersama-sama.

~Semoga Allah merahmati Baitul Muslim ini~


Cinta Selepas Nikah

"Isteri-isteri kamu itu adalah pakaian bagi kamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka."(Al-Baqarah; 2:187)

Sering zawj (suami) bertanya saya di awal perkahwinan dulu tentang perasaan saya. Disebabkan kami hanya berkenalan melalui orang tengah dan hasil istikharah serta izin Allah; kami bertemu, bertunang dan mendirikan rumah tangga.

Perasaan suka saya muncul di fasa pertunangan namun, perasaan cinta dipupuk dengan izin-Nya selepas pernikahan. Banyak lagi perkara yang kami belum terokai bersama. Purata kami hidup bersama dan saling mengenali masih dalam tempoh yang singkat berbanding usia perkahwinan kami sendiri.

Masih teringat sewaktu saya menanti suami di kuartersnya untuk makan bersama semalam. Suami saya balik membawa secawan jagung manis. Dan saya sangat teruja makan jagung manis tanpa disedari suami.

"Baru saya tahu rupanya isteri saya suka makan jagung." balas suami. Suka melihat isterinya makan dengan gembira.

"Dah dekat 8 bulan baru tahukan..." Saya tersenyum sendiri.

"Dah dekat setahun dah," sambung suami saya lagi.

(^___^)

Panjang lagi episod perkenalan ini.

Perkahwinan dan percintaan jarak jauh ini, moga ada hikmahnya.

Banyak lagi yang perlu kami baiki dalam hubungan menuju redha Ilahi. InsyaAllah, kami berusaha menjadi hamba-Nya yang patuh. Berusaha menjaga baitul muslim ini agar sentiasa dalam rahmat-Nya.

Buat suami isteri di luar sana yang sama-sama PJJ seperti kami, semoga Allah juga merahmati dan melindungi Baitul Muslim kalian semua.


~Dia yang ditakdirkan untukku dari-Mu, dan ku ketahui jua bahawa ia adalah hadiah dari-Mu untukku~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino