::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Feb 25, 2015

Bila Kamu Lihat Kehijauan Padang Di Sebelah Sana


~Sering kita terpesona dan cemburu melihat kehijauan di padang sebelah sana. Sehingga kita lupa  akan keindahan walaupun pada sepohon bunga yang tumbuh di celah batu berdekatan kita.~ 

Berjuang. Berkerjaya. Berumahtangga.
Semoga semuanya dalam redha-Nya sentiasa.

 
Alhamdulillah, berjuang, bercinta, bekerja. Semuanya bersatu menjadi satu.

Walaupun ia tidak selengkapnya sempurna tetapi kadang-kadang ketidaksempurnaan itu tampak lebih indah sekiranya kita mengambil masa menghargainya.

Laluan yang susah dan payah yang dirasai ketika ini, apabila ia telah menjadi memori yang lalu dalam kerajang waktu, bila terlihat kembali, ia menjadi saat yang manis untuk dikenang.

Itulah susah payah kita sebagai manusia, hamba-Nya yang sentiasa diuji.
Ujian akan selalu tampil di hadapan.
Apabila kita telah berjaya melepasinya, ia menjadi kejayaan dan kenangan kepada diri.

Cerita Dulu dan Sekarang

Dalam perjalanan pulang berjam-jam dari kampung halaman, saya dan zawj banyak bercerita dan berkongsi.

Melihat kereta Nissan Charade tahun 1980-an di hadapan kami, yang mungkin kini sudah menjadi sangat rare – saya berkata pada zawj – kereta seperti itulah yang salah seorang pakcik / makcik kami gunakan dahulu.

Waktu itu mereka masih punya seorang anak sekitar usia 2-3 tahun. Kata zawj, tengoklah mereka sekarang dengan kehidupan lebih baik. Mereka bersusah-susah dahulu dan keadaan mereka menjadi lebih baik.

Dengan berkat kesabaran mereka, sepanjang 29 tahun saya membesar, saya melihat keadaan mereka yang beransur lebih baik dan kekal ‘humble’ dari dulu hingga kini.

Saya yakin ramai orang-orang yang sebaya ibu bapa bahkan datuk nenek kita telah melalui saat itu. 
Mereka dahulu hidup susah tapi mereka tetap bahagia.

Ramai yang inginkan kesenangan dengan cara cepat – jalan pintas. Namun, dalam kehidupan ini, tidak ada jalan pintas melainkan usaha berterusan, kecekalan dan kesabaran serta tawakal sebulatnya kepada Tuhan. 
  
Ambil Masa Melihat Ke Langit 

Kita terlalu ingin meninggalkan kehidupan yang ada dengan kesusahan yang kita lalui dan bertransformasi terus ke dunia yang lebih baik dan selesa.

Kita sering melihat kesenangan yang dinikmati oleh orang lain dan mengharapkan kesenangan itu beralih kepada kita.
Dengan harapan ia akan memberi kita kebahagiaan.

Mungkin kita terlalu banyak melihat di sekitar kita tanpa merefleksikan pandangan kita kepada Pencipta Langit dan Bumi.

Tanpa ada hubungkait dengan Pencipta, pandangan kita tadi hanya bertukar menjadi hampa hingga ia meninggalkan kesedihan dan kekosongan di jiwa kita.

Jiwa kita kosong kerana tiada Dia.
~Moga kita nikmati setiap sisi kehidupan ini dengan senyuman dan kesyukuran~
Seringkali kita lupa mengisi cahaya dari langit itu ke hati, membuatkan kita tercari-cari destinasi seterusnya yang tidak pernah pasti dan tidak pernah memuaskan hati.

Kebahagiaan Yang Dicari 

Ketenangan itu ada di sini – di hati. Ketenangan - ia perlu dicari.
Letakkan tangan di hati dan rasailah Allah itu sentiasa menemani dan semakin menghampiri apabila kita mengingati.

Serahkan kepada Tuhan Yang Maha Mengerti apa sebenarnya yang kita perlukan. Kita perlukan pergantungan yang sesungguhnya pada Dia.

Hanya Dia yang mampu menyediakan jalan keluar untuk kita.

"Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menyediakan bagiya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan melaksanakan urusan (yang dikehendaki-Nya). Sesungguhnya Dia telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."
(At-Talaq: 2-3)

InsyaAllah, walau terasa susah, jalan menjadi mudah bila kita ada Allah.

Semoga kita tetap istiqamah dalam mencari cahaya-Nya menerangi jalan kehidupan ini.

~Hidup akan terus termotivasi dengan Allah di sisi. Kerana Dialah sumber motivasi yang hakiki dalam kesusahan dan kesenangan. Semoga istiqamah!~ 

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino