::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Dec 9, 2015

Ujian: Pahit Yang Sihat


~Katakan Allah itu Tuhanku, yang menyayangiku, dan apa yang diberiNya dan dipilihNya untukku adalah hanya untuk kebaikanku semata. Maha Suci Allah~
"Sebanyak dan segelap pekat apa pun awan yang hitam, sederas apa pun hujan yang turun, sedasyat apa pun guntur dan kilat yang menggelegar, kita belum pernah menjumpai badai yang tidak pernah reda."

-Spiritual Problem Solving; Kang Puji Hartono & Solikhin Zero to Hero-

~Ujian: Ingatan kasih sayang Tuhan~

Pahit Itu Ubat

Orang-orang zaman dahulu sukakan ulam-ulaman. 
Generasi muda hari ini  bukan setakat tidak gemarkan ulam malah ada antaranya sayuran tidak ada dalam menu makanan.  
Betul ke?  

Walaupun saya penggemar makan sayur-sayuran tetapi tetap kalah dengan sayur bernama Peria. 
Kepahitannya agak sukar untuk ditelan.  
Waktu balik kampung dan membuka peti ais nenek saya,  satu jug berisi air hijau pekat sedikit menarik perhatian.  Namun, apabila mengetahui ianya jus peria, mati terus nikmat di tekak saya. 

Orang tua-tua kata yang pahit itulah bagus, buat ubat!

Pahit Penawar Hati

Tak dapat dinafikan bila sebut ubat, rasanya pahit dan tidak sedap. Mungkin itulah fitrah yang tidak dapat dipisahkan. Bahawa ubat dan pahit itu saling berkaitan. 

Ujian kesusahan dalam kehidupan kita sebenarnya lebih pahit daripada peria atau apapun ubat yang pernah kita telan hingga hari ini. Ia tidak terasa di lidah, tetapi kepahitannya terasa hingga ke lubuk hati. 

Kepahitan itulah yang Allah ajar kita untuk menjadi penawar hidup kita ini. Penawar pada kita yang selalu lupa jaga diri, menjaga diri kita daripada melalui jalan-jalan Lupa Tuhan. Penawar untuk membaiki hati yang sakit. Pahit tetapi itulah ubatnya. 

Setiap kali kita menelan pahitnya ubat, kita berharap ia akan terus masuk ke dalam perut tanpa sempat lidah merasanya. Begitu juga dengan ujian kesusahan hidup, setiap kali kita melaluinya, kita berharap ia akan segera berlalu kerana kita tidak mampu lagi menampung pahitnya ujian itu. 

Dan tika kita telah melaluinya, tidaklah ia berlalu melainkan dengan izin Allah s.w.t.  Kita rasa kita tak mampu menanggung bebannya, namun, bila ia berlalu, kita rasa seolah sekejap saja ia berlaku. 

Segala Puji Bagi Allah yang memberi kemudahan untuk kita. 

Pahit Itu Ingatan Sayang Tuhan

Allah memberi banyak nikmat untuk kita. Tidak terkira. 

365 hari setahun, hanya 30 hari saja mungkin kita tidak sihat. Selebihnya kita nikmati nikmat sihat kita. 
30 hari Allah beri sebulan pada kita, mungkin hanya 3 hari saja Allah uji dengan ujian berat pada kita. 

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
[Surah Ibrahim: 7]

Ibrah Pahit Untuk Diriku

Baru-baru ini, si mujahid kecil saya kurang sihat hampir sebulan. Dimasukkan ke wad akibat jangkitan paru-paru (pnuemonia). Seperti ibu-ibu lain, memang hati saya bersedih melihat keadaannya. 

Saya berusaha mengingatkan diri. 
Sepanjang saya menjaganya sendirian (berjauhan dari suami), Allah memberi sangat banyak kemudahan menjaga Khubaib. Tidak kira dari segi ragamnya atau kesihatan, Alhamdulillah mudah. Selepas hampir 8 bulan Allah beri nikmat sihat, Allah beri pula ujian. Takkan sebab ujian yang sedikit ini, nikmat yang sebelum ini saya nafikan.

"Mana nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu dustakan?"
[Ar-Rahman; 13]

Allahu Akbar, ini juga ujian buat si kecil mujahid serta kami sekeluarga. 
Dengan berbekal ilmu perubatan yang Allah beri, saya tabahkan hati. Melihat suami di sisi yang lebih halus jiwanya dari saya, saya memberi semangat.
"InsyaAllah, takda apa-apa."
Di saat saya juga mengumpul kekuatan dari hati... hanya pada Tuhan jua tempat menyandarkan hati. 

Pahit ujian ini. Namun, ini hanyalah sedikit berbanding mereka yang lain. 

Allah dah siap ukur kepahitan ini sesuai dengan si perasa. Takkan Allah bagi yang tidak mampu kita menanggungnya. 

Nikmatnya melebihi ujiannya. 
Ujian adalah tempat kita diuji.
Semoga kita kekal dalam redhaNya.

~Hati pun nak selalu kena bagi ubat agar ia boleh berfungsi dengan lebih baik. 
Wahai Allah, pandulah hati-hati kami hanya untukMu~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino