Setelah Syawal, kita menantikan Zulhijah. Juga Hari Raya kedua untuk umat Islam seluruhnya.
Ya, itulah juga definisinya kepada saya suatu masa dahulu. Hari Raya Aidiladha, mengingati simbol pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s.
~Here I am, response to Your call~ |
Mana Rinduku?
Sesudah mendirikan Baitul Muslim beberapa bulan, tiba musim haji tahun 2013. Kerap iklan dan rancangan tentang ibadah haji bersiaran di televisyen.
"Rindu sangat nak ke sana." Ulang siar juga kata-kata suami setiap kali iklan, rancangan atau talbiah berkumandang di TV.
Saya hanya memandangnya. Saya juga suka dengar talbiah. Bercita-cita suatu hari nak menunaikan haji atau umrah.
Tetapi saya cemburu dengan suami saya...
'Kenapa aku tiada perasaan rindu tu ye?' lama saya bertanya pada diri.
Suatu nikmat yang saya rasakan hilang dari diri saya. Bila sebut tentang kursus haji, suami saya memang excited nak pergi. Namun, bagi saya, lambat lagi nak pergi, jadi, niat nak pergi kursus haji tak pernah ada dalam kotak fikiran.
Dek kerana rasa kecemburuan itu, saya berdoa agar Allah beri jua rasa itu pada saya.
Itulah rindu yang perlu dicari.
Rindu Itu Hidayah
Ada orang mampu menunaikan haji tetapi tidak pernah terlintas untuk menunaikan ataupun sekurang-kurangnya mendaftar haji.
Bagi saya, rindu yang terdetik di hati itu juga adalah satu hidayah yang Allah bagi pada hamba-hamba-Nya.
Beberapa minggu lalu, kami sekeluarga menghantar ibu bapa mertua saya ke masjid bagi pendaftaran ke Kursus Haji Perdana Negeri Johor.
Waktu itu, baru terasa getaran dan debaran di hati ini. Saya pernah menghantar nenek dan pakcik menunaikan umrah tahun lepas di KLIA tetapi perasaan pada hari itu biasa-biasa saja.
Namun, ketika rasa 'itu' datang beberapa minggu lalu, tiada rasa kesyukuran yang lebih tinggi lagi perlu dipanjatkan pada Dia, Tuhan Yang Maha Kaya.
Semoga saya juga berpeluang menjadi tetamu di rumahNya suatu hari nanti.
Bila Rindu...
Jadi bila rindu itu hadir, jangan biar ia pergi begitu saja. Perasaan itu juga makhluk. Jom kita doa agar Allah terus meletakkan rasa rindu bertamu di Masjidil Haram, menziarahi makan Baginda Rasulullah s.a.w, dan menziarahi suatu tempat bermulanya peradaban agama yang benar bersejarahkan cinta dan air mata Rasulullah dan seluruh sahabat dan keluarganya.
Jom daftar haji!
Dulu saya ingat bila dah ada akaun tabung haji bermaksud automatik kita dah ada nama digilirkan untuk menunaikan haji. Rupanya perlu daftar juga. Minimum duit dalam akaun Tabung Haji RM1,300 dah boleh mendaftar dan masuk dalam sistem giliran.
Tahun ini, mereka yang mendaftar seawal tahun 2008 ada yang sudah dapat panggilan menjadi tetamu Allah.
Saya pun ibu yang daftarkan tahun 2011.
Anda dah mendaftar? Kalau belum, jom daftar. Kalau sudah, mari kita doa semoga rezeki kita menjadi tetamu-Nya, Insya Allah.
~Bila rindu, hati mahu. Bila mahu, kita usahakan agar mampu. Bila mampu, kita doa pada-Nya agar Dia menunaikan dan mengizinkan hati melepaskan rindu menjadi tetamu~
0 comments:
Post a Comment