::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Sep 25, 2017

Petanda Penyakit Masyarakat: Peranan Kita?


~Sebuah kisah dari Tuhan bukan hanya sebagai ingatan dan pelajaran tetapi musibah ini mengajak kita semua untuk kembali kepada Allah~

Sebuah Kisah Dari Tuhan

Kisah yang berlaku di Darul Quran Ittifaqiyah Khamis 2 minggu lalu benar-benar menyentap hati kita sebagai insan. Sedih, pilu, terkilan bukan saja ditanggung oleh keluarga mangsa bahkan turut dirasai oleh kita di Malaysia. Bahkan mungkin juga di luar negara.

Setelah penangkapan suspek dibuat dan kronologi ceritanya diikuti, lebih sakit lagi rasa hati.

Reaksi Kita?

Apakah kata-kata paling awal dari lubuk hati anda apabila membaca kronologi  pengkhianatan remaja-remaja ini?

"Tangkap mereka dan campak saja ke medan perang."

"Bunuh saja lagi senang. Jangan simpan perosak masa depan ni."

"Ini bukan manusia."

Ya, hati kita menjadi berang. Hati kita melemparkan kebencian dan kemarahan. 

Tetapi kita lupa, masih ramai lagi remaja dan anak-anak di luar sana yang sedang dirosakkan akal dan fikiran mereka. 

Mereka juga mangsa dan sedang sakit tanpa pertolongan kita. Apa yang mereka tunjukkan ini hanyalah simptom atau petanda penyakit dalam masyarakat.

Kita hanya marah pada simptom kehancuran yang kita sedang lihat akibat penyakit ini pada masyarakat kita.

Kita tak mampu lari dari masyarakat ini sebab kita adalah sebahagian daripadanya.

~Di mana jua kita berada, semoga kita menjadi jiwa yang membaiki diri dan mengajak orang pada kebaikan~


Simpan Telunjuk Sebelum Menuding

Masyarakat ibarat tubuh badan. Kita adalah anggotanya. Kita mungkin hanya jadi mata yang melihat saja. Kita hanya mungkin jadi telinga yang mendengar saja. Atau kita hanya jadi mulut yang menasihat atau yang mencemuh. Namun, yang lebih baik kita cuba jadi menjadi kaki tangan yang membantu membersihkan hati dan fikiran sejernih-jernihnya berbekalkan keimanan.

Dalam dunia ini memang ada masalah. Dan ramai orang bagi pelbagai solusi. Tapi solusi yang paling utama adalah kembali kepada Allah.

Saya teringat kisah seorang tukang gunting (atheis) dan seorang lelaki yang menjadi pelanggan di kedainya.

Tukang gunting: Bagi saya, Tuhan tidak wujud. Banyaknya perang. Manusia saling berbunuhan. Orang yang tidak bersalah menderita. Tiada Tuhan di dunia ini. Kerana jika ada tentu dunia aman dan semua orang gembira.

Lelaki: Cuba lihat lelaki di luar sana. (Seorang lelaki berjambang, berambut panjang dan tidak terurus). Agaknya kenapa dia berambut panjang begitu. Tentu tukang gunting tidak wujud.

Tukang gunting: Macammana anda boleh cakap macam tu? Tukang gunting wujud. Saya sedang menggunting rambut anda. Itu salah dia kerana tidak datang pada tukang gunting untuk menggunting rambutnya.

Lelaki: Betul. Itulah juga yang saya maksudkan. Tuhan itu wujud. Manusia memang perlukan Tuhan dan bermohon padaNya untuk hidup aman dan bahagia. 

Firman Allah dalam Surah At-Taghabun; 64:11:  

"Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."

~Perbaikilah dirimu sendiri di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino