::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Feb 10, 2025

Tak Perlu Belajar Kemahiran Komunikasi?


 

~"Komunikasi pun nak kena belajar ke? Cakap dan dengar je pun nak belajar?"~

~Doa mohon kelancaran berbicara~

Apabila ada sesuatu yang kita dah biasa buat, kita tak tahu pun dan tak ada kesedaran untuk menambah baik rutin kerja yang kita lakukan. 

Mungkin sebab kita rasa dah biasa. Dah biasa buat. Jadi, buat apa nak belajar kan? 

Tetapi kita lupa, orang yang berlumba lari pun perlu tahu teknik betul untuk berlumba. Orang yang biasa bermain bola pun perlu tahu teknik betul untuk bermain bola. 


Satu kebiasaan bukan sentiasa betul. Tetapi yang betul itu yang perlu kita biasakan. 


Jadi, bercakap dan mendengar ni ada cara betul ke dan tak betul ke? 


Berlatih Cakap Apa Yang Perlu

Kali pertama, saya belajar untuk berkomunikasi atau menyampaikan sesuatu sewaktu dalam arena perdebatan. 

Saya hanya ada 7 minit saja, untuk pengenalan, membalas apa yang telah disuarakan oleh pihak pembangkang, menegakkan semula pendirian kami, dan bentang baki 2 poin utama kami, dan buat kesimpulan ringkas. Tujuh minit saja ye, pandai-pandailah nak buat semua. Kemudian, jadi penggulung di akhir sesi debat, memang pandai-pandailah nak cakap secara 'tepat dan singkat'. 


Kali pertama cakap depan cermin, tak cukup masa nak cakap semua. Meleret-leret, banyak bebel entah hapa-hapa. Berkali-kali praktis, tengok macammana cara pembahas yang hebat-hebat bercakap dan struktur mereka berbahas, akhirnya cukup masa.

Nak bercakap pun kena berstruktur ye. 


Cakap dan Dengar 

Sewaktu masuk tahun pertama ijazah kejururawatan dahulu, ada satu topik Effective Communication in Nursing atau Komunikasi Berkesan dalam Kejururawatan dalam subjek Fundamentals of Nursing. 

Waktu tengok course outline tu rasa macam, "ini pun kena belajar ke?" kan...huhu. 
Alhamdulillah tetapi pensyarah-pensyarah kami jadikan subjek ini lebih menarik sebab kami banyak kena buat 'role-play' dan banyak ye tugasan yang memerlukan kami mengasah bakat menjadi pelakon, produser, pengarah, penerbit, penyunting video untuk menghasilkan video berkualiti. Kumpulan saya mempunyai 5 orang ahli, 4 perempuan dan seorang lelaki. 

Alhamdulillah, di hujung semester perlu bentang hasil lakonan kami di depan pensyarah dan Dekan fakulti, dan ada pensyarah-pensyarah termasuk yang menitiskan air mata melihat lakonan kami. Saya pun tak ingat saya berlakon watak apa kali itu (yang penting bukan watak utama). 

Cuma, ia hanya sekadar lakonan tetapi kami perlu tahu apa perlu kami 'cakapkan', bila waktunya perlu kami jadi 'pendengar', dan bila waktunya perlu kami 'sampaikan'. 

Nampak macam 'simple' kan? Tetapi tidak semudah itu. 

Hatta, soalan-soalan sebegini banyak ditanya di dalam soalan Peperiksaan Lembaga Jururawat Malaysia atau versi peperiksaan kejururawatan antarabangsa National Council Licensure Examination (NCLEX). Bagi saya sendiri, soalan-soalan ini bukanlah soalan yang mudah. 

~Contoh soalan tentang komunikasi, agaknya apa jawapannya?~


Selepas belajar, baru perasan sebenarnya semua ini banyak mengajar saya untuk berkomunikasi dalam hidup ini. 

It's a lifetime lesson. 

 

Kadang-kadang apabila saya marah sesuatu pada anak-anak, dan kemudian jadi ibu 'normal' semula, anak-anak akan tanya dan pelik. 

"Tadi kan Ummi marah." Tanya anak-anak. 

"Waktu bila patut marah memang kena marah, lepas tu dah habis, sabar dan move on. Tak payah emo-emo." Jawab saya. 


Ya, marahlah pada tempatnya. Nasihat pada tempatnya. 

Bercakap dan mendengarlah pada tempatnya. 


Saya belajar bercakap supaya orang faham poin apa yang saya nak sampaikan. 

Saya belajar diam untuk mendengar. Dan bukan bangun dan pergi ketika orang sedang luahkan perasaannya pada saya. 

Saya belajar untuk tidak tiba-tiba memotong percakapan atau membela diri sendiri atau terus bersifat judgmental dalam perkataan. 


Jadi...

Jadi, perlu ke atau tidak sebenarnya belajar berkomunikasi? 

Ya, belajar lah buat sesuatu dengan betul. Hatta dalam mendengar dan bercakap yang kononnya kita dah sangat mahir bertahun-tahun tu. 


Kadang-kadang kita marah, kenapa orang tak dengar apa yang kita cakap? 

Tapi pernah tak kita tanya diri kita, kenapa orang tak dengar apa yang kita cakap? 
Sebab cara kita berkomunikasi ke, atau ada sebab yang lain? 


Belajarlah. 

Doa untuk orang faham perkataan kita pun sering kita baca sejak zaman sekolah, kan? 
Bagaimana Nabi s.a.w bercakap dan dalam keadaan apa pun banyak sebenarnya contoh dalam sirah Nabi? Dalam situasi bagaimana, apa nak cakap, dan perlu cakap apa...

~Tetapi kadang-kadang kita manusia terlalu ego untuk melihat sendiri kelemahan diri kita. Semoga Allah tunjukkan jalan sebaiknya kepada kita untuk mencontohi baginda Rasulullah s.a.w dalam tutur kata dan perbuatan~


0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino