::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jan 19, 2026

Membina Semula dari Yang Retak


Betul kata orang-orang lama: ambil masa bertahun-tahun untuk membina sesuatu tapi hanya sekejap waktu untuk meruntuhkannya. 

Iman, akhlak dan ilmu. 

Bukan mudah nak bina dalam diri sendiri. Apabila dah ada anak-anak, kita berimpian untuk membina semua itu dalam diri anak-anak walaupun kita sendiri masih belum sempurna dan masih belajar untuk itu semua. 

Hampir setahun tak bersama Khubaib dan Fathimah. Hanya bersama sekejap sewaktu cuti sahaja. Sejak umminya berpindah ke rumah Tok Wannya, kami hanya dalam long distance relationship.  Dulunya, Ummi bina karakter anak-anak. Tengahari kami solat bersama, tiada handphone semasa makan bersama, anak-anak lebih tenang, dalam kereta adalah masa bercerita. 

Alhamdulillah syukur tahun 2026 ini dapat ambil semula mereka untuk tinggal bersama. Tapi sedih sangat. 

"Kenapa kena sekolah? Kan bagus kalau sekolah tu tak wujud."
"Lepas solat nak tidur, tak nak sekolah."
"Penat lah nak solat."
"Asyik basuh pinggan je, penat."
"Tak nak sekolah sini."

Sedih sangat hati Ummi. Hati ibu mana yang tak sedih, jika anak-anak yang dibina karakter dan akhlak dengan baik, berubah disebabkan oleh didikan mereka yang tidak sepatutnya. 

Kata orang, "biar sajalah mereka tinggal dengan ayah mereka."

Bagi Ummi, anak-anak adalah amanah. Kalau Ummi selfish, pentingkan diri, tentu saja Ummi tinggalkan mereka. Tak perlu susah payah, tak perlu bina semula, tak perlu sabar dan dengar semua rintihan dan keluhan mereka. 

Hanya Allah yang tahu bagaimana rasa itu. 

Ali yang paling kecil, lebih behave waktu pagi, bila tahu Ummi seorang diri uruskan semuanya, dari TokWan yang sakit, dan abang dan kakak yang masih belum beri kerjasama, dan mandikan Ali pula. 

"Ali, sambung pakai baju sendiri boleh? Ummi nak siapkan barang-barang masuk kereta."

Dalam kereta, tiada telefon untuk anak-anak seperti yang diberikan sebelumnya oleh ayah mereka sebelum ini. 

Hanya Ummi dengar zikir pagi. Dan waktu itulah sebenarnya waktu Ummi pula luahkan rasa Ummi dan nasihat pada anak-anak. Seperti dalam buku Prophetic Parenting, waktu dalam perjalanan adalah antara waktu terbaik menasihati anak-anak. 

"Sampai bila awak nak utamakan rehat awak, malas awak, tak nak pergi sekolah, pergi lambat?"

"Hidup ni kena ada matlamat. Jangan asyik tidur, makan, rehat. Hidup ni kena bekerja. Setakat makan, tidur, rehat, itu sama macam binatang ternak yang Allah cerita dalam Al-Quran. Allah ciptakan manusia jadi khalifah, untuk memimpin. Pimpin diri sendiri dan orang lain. Pimpin diri sendiri, lawan nafsu, lawan rasa malas, rasa asyik nak rehat."
.
"Macamana awak nak berjaya dunia akhirat? Kalau solat pun awak malas, besarkan rehat, besarkan tidur. Orang jiwa besar je boleh berjaya. Orang jiwa kecil, disuruh basuh pinggan pun dia mengeluh."

Ya, Ummi pun tak perfect. Tapi Ummi usaha. 

"Kalau kata penat, Ummi pun penat. Baik Ummi rehat je, layan handphone je. Tak payah buat apa. Anak-anak tak nak sekolah, lagi bagus sebab tak perlu hantar. Boleh ke? Jangan sampai menyesal kemudian hari sebab keputusan kita hari ni."



~tiada jalan mudah untuk berjaya hatta untuk dunia dan akhirat~


Fight untuk Perkara yang Benar 

Setiap hari nak minta anak-anak buat kebaikan, pergi sekolah, solat, buat kerja rumah, as parent, Ummi juga fight dengan diri sendiri. 

Fight untuk terus bersabar, terus tak give up nak bentuk anak-anak, fight untuk terus urus anak-anak, ibu yang sakit, dan siapkan phd yang masih berbaki. 

Teringat kata-kata mentor dalam kelas online hujung minggu ini: 
"You don't get what you want, but you get who you are." 

Dan Alhamdulillah syukur minggu ni Allah hadiahkan Ummi untuk dapat siapkan banyak task merangkumi 2-3 minggu tugasan. Allahu akhbar. Nikmat mana nak dustakan. 

Percaya yang Allah lihat dan Allah pandang. 

Allah takkan sia-siakan hamba-hamba-Nya yang berbuat kebaikan. 

~Daku percaya dalam jalan yang tidak mudah ini, ada Allah bersamaku, jika jalan yang ku pilih ini benar dan Dia redha.~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino