::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Nov 16, 2009

Impak Komunikasi Pada Dunia



~Communication problem is like malignant cancer cells that if it is untreated at early stage, it will metastasise to other parts of the body till you only have little chance to survive~

Komunikasi sangat penting dalam kehidupan. Sesuatu yang diperlukan manusia sebagai fitrah untuk kelangsungan hidup. Antara elemen komunikasi ialah penghantar, penerima, mesej dan respon / feedback daripada penerima mesej.
Komunikasi juga boleh disampaikan secara asynchronous dan synchronous.

Synchronous communication bererti komunikasi yang berlaku di mana penerima dan penghantar terlibat dalam waktu yang sama semasa komunikasi sedang berlaku. Contohnya semasa perbualan, panggilan telefon, chat, dan sebagainya. Manakala asynchronous communication pula berlaku ketika mesej yang dihantar pada bila-bila masa dan data mesej yang diterima oleh penerima boleh berlaku kemudian atau waktu berlainan daripadanya. Contohnya seperti email, surat menyurat dan sebagainya.

Seorang pensyarah saya, yang mengajar Health Information System bertanya pada kami semua pelajar nursing dan allied health sciences ketika itu - "yang manakah lebih baik bagi anda; asynchronous atau synchronous?
Pelbagai jawapan didengari dari kami. Bagi saya kedua-duanya ada pro dan kontra tersendiri, bergantung kesesuaian keadaan dan situasi.

Komunikasi mempunyai pelbagai saluran, sama ada melalui auditory (pendengaran), visual (penglihatan) mahupun kinestetik (sentuhan).

Ada beberapa tahap pemprosesan data komunikasi. Ini termasuk tahap yang paling mudah (simplest level), tahap seterusnya (next level) atau tahap yang paling tinggi (highest level).

Pada tahap yang paling rendah seseorang akan melaporkan apa yang ia nampak, dengar atau sentuh sahaja. Tahap seterusnya ialah apabila seseorang itu akan mengolah dan mengstruktur sesuatu informasi dan input yang didapati dan akan diintegrasikan bersama stimulus (peransang). Kemudian, di tahap yang paling tinggi data dan informasi yang diterjemah dan diintegrasikan itu akan membawa kepada sebuah pandangan, pendapat mahupun terjemahan.

Beberapa skill atau kemahiran dalam komunikasi ialah attending, responding, clarifying dan confronting.

Dalam attending, penerima mesej perlu menjadi seorang pendengar yang setia. Bukan jasadnya saja yang ada tetapi hatinya juga perlu berada di situ.

Responding pula bermakna respon atau feedback daripada penerima mesej itu tadi. Ini termasuk questioning dan rephrasing - bertanya atau cuba menyimpulkan kembali mesej yang disampaikan dalam bentuk respon kepada penghantar mesej.

Clarifying juga termasuk pertanyaan, menyatakan kembali atau menyimpulkan mesej itu kepada penghantar mesej agar ia menjadi jelas dan terang.

Confronting pula amat diperlukan apabila sesuatu konflik atau masalah berlaku.

Impak komunikasi bukan hanya diri individu sahaja. Ia boleh melibatkan keluarga, masyarakat, negara mahupun dunia.

Komunikasi yang kurang berkesan atau tidak baik boleh melumpuhkan hubungan atau sesebuah institusi dan organisasi. Kerana komunikasi yang tidak baik, hubungan persahabatan menjadi renggang, institusi kekeluargaan berantakan, masyarakat hidup dalam keadaan tidak aman, negara bermusuhan antara satu sama lain.

Besarnya impak komunikasi kepada dunia. Komunikasi boleh menciptakan sebuah atmosfera kedamaian atau penyebab kepada sebuah kehancuran. Ia tidak harus dipandang enteng dan remeh sahaja.

Masalah komunikasi yang tidak dirawat semenjak dari mula boleh menyebabkan masalah yang lebih besar. Ia umpama kanser sel yang jika tidak dirawat semenjak di peringkat awal akan menyebabkan kanser itu merebak ke seluruh badan dan seterusnya melumpuhkan pertahanan sistem badan. Kemudian, di tahap yang kritikal, kelangsungan hidup menjadi semakin tipis.


Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar.
(Al-Ahzab: 70)


Nov 14, 2009

Harga Sebuah Persahabatan



~Sahabat yang baik umpama permata bersinar anugerah dariNya. Hargailah ia.~

Semalam saya mengemas bilik setelah selesai minggu peperiksaan berlangsung. Apabila saya mengemas buku-buku, saya terjumpa diari lama saya yang dicoret semenjak di tingkatan 3 dahulu.

Rasa sebak menerpa apabila membaca nukilan sebuah perjalanan persahabatan yang banyak membantu saya erti mencari redha Tuhan dan makna kehidupan. Hilangnya sahabat yang banyak bersabar dengan saya yang masih banyak kurang sabarnya. Sebuah persahabatan yang telah saya sia-siakan.

Lantaran diri yang penuh keegoan tika itu, tidak sekali saya mengucapkan kata penghargaan untuknya. Hanya indirect ucapan dan perbuatan saja yang saya lahirkan agar ia dapat dibaca. Namun, manusia diciptakan bukan perterjemah fikiran dan perasaan yang tepat dan jelas melainkan hanya Allah yang mengetahui segala isi hati. Kurangnya penjelasan hanya membawa kepada pelbagai andaian. Andaian itu mungkin hampir tepat atau jauh sekali dari mesej yang ingin disampaikan.

Manusia juga suka memilih untuk lebih indirect daripada direct ketika menjelaskan sesuatu. Terlalu banyak lapisan juga boleh menghilangkan ketulenan sesuatu yang hendak disampaikan.

Saya tahu pasti ada hikmah yang tersembunyi dari semua ini.

Sahabat yang baik itu sukar dicari. Mungkin harga nilaiannya tidak terbanding dengan kata-kata. Namun, andai benar kita hargai, maka ucapkanlah kata-kata penghargaan itu padanya.

Sahabat yang salih itu ibarat penjual minyak wangi, bila engkau tidak mendapat minyak wangi darinya, maka engkau akan mendapatkan harumnya. Dan sahabat yang jahat itu ibarat tukang besi, bila engkau tidak terkena percikan apinya, maka engkau akan terkena asapnya.

(Hadith Riwayat Abu Daud)

Nov 10, 2009

Mencari Sudahnya Sebuah Episod



~Hakikat manusia itu amat lemah dan tiada kekuatan melainkan yang diberikanNya kepada hamba-hambaNya~

Adakalanya kita ingin lihat episod semalam yang pedih dan melukakan hanya akan tinggal sejarah. Sejarah yang tidak mahu diulang tayang. Ceritanya persis sebuah cerpen kisah sedih tentang harapan sebuah kehidupan yang membahagiakan, namun, tidak semua itu menjadi, lantas hanya ditakdirkan sebagai ujian buat kita.

Apa yang akan kita lakukan jika ia berulang kembali?

Andaikan dalam cerita itu kita seorang detektif, watak utama dalam kes penyiasatan pembunuhan dan perlu mencari jalan penyelesaiannya termasuk pesalah dan motifnya sebenar. Namun, akhirnya kita tersilap membuat perkiraan. Gagal menemukan jalan penyelesaian.

Kini, jika kes yang hampir sama berlaku lagi dan situasi itu seolah-olah menyerupai keadaan yang telah kita lalui, apakah kita masih dihantui dengan kegagalan tadi? Mungkin underlying assumption yang dibina dalam episod ini juga sama seperti yang sebelumnya. Setiap helaian cerita seolah-olah menuju arah yang sama. Apakah kita masih ingin memilih jalan penyelesaian yang dulu pernah menemui jalan gagal atau pilih jalan lain yang tidak diketahui natijahnya?

Mungkin dalam soal ini, kita boleh melakukannya. Boleh mengambil langkah berani berhadapan sekali lagi dengan kes ini dan ambil risiko atau boleh saja undur diri dan serahkan saja pada yang lain mengendalikannya.

Ya, kehidupan itu memang tidak semudah yang disangkakan perjalanannya. Dan kerana banyak pilihan jalan dalam kehidupan, neraka dan syurga diciptakan. Pilihan itu ditangan kita. Kita yang memilih buruk dan baiknya.

Saya juga tidak pakar dalam mencari jalan yang terbaik untuk diri sendiri. Kadang-kadang kita mampu menuturkan nasihat pada yang lain tetapi gagal mencari jalan yang terbaik untuk diri sendiri kerana tidak tahu apa yang terbaik ditakdirkanNya untuk diri kita.

Kadang-kadang hanya mampu berserah diri padaNya apabila jalan penyelasaian hanya menemui jalan buntu.

Saya juga manusia. Adakalanya timbul perasaan mahu lari dari perkara-perkara yang tidak mampu saya tangani. Namun, seringkali juga lupa bahawa Dialah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Lupa untuk percaya dengan rukun iman dalam hafalan; untuk beriman (percaya) pada Qada' dan QadarNya.

Sesungguhnya, hati ini milikNya.

Tiada kekuatan pada diri hamba melainkan apa yang diberikan kepada kita.

Allah, hanya Dialah sebaik-baik Pelindung...


"Dan mengapa ketika engkau memasuki kebunmu tidak mengucapkan "Masya Allah, la quwwata illa billah" (Sungguh, atas kehendak Allah, semua ini terwujud,) tidak ada kekuatan kecuali dengan (pertolongan) Allah...." (Al-Kahf; 18:39)



Nov 7, 2009

Haruman Taman Larangan



Bicara tanpa kata
Madah tanpa suara
Hampir serupa nilaian dan pujangga

Hati menafsir
Tak pasti
Ku tunggu lagi dalam perhati.

Jalan-jalan kulalui
Ada harum singgah di hati
Kuntuman mawar segar mewangi

Taman ini
Empunya siapa?
Adakah untukku indahnya?
Bertamu indah dalam jalanan suasana

Takut singgahku di sini
Andai taman larangan berduri
Nanti tangan luka kembali
Kedua kali

Kelu lidah tanpa kata,
Patutkah derap langkah berlalu?
Tinggal indahnya tanpa bertanya,
Dari ku nanti pasti.

Atau hanya konklusi sendiri
Yang harumnya hanya singgah di jalanku ini
Ditiup bayu berlalu pergi.


Nov 6, 2009

Usaha vs Natijah Di Medan Juang Ilmu



~Setiap hari aku memiliki kebiasaan. Bila ia jahat kepadaku, aku bersabar dan bila ia membahagiakanku, aku bersyukur.~
-Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni-

Minggu peperiksaan masih sedang berjalan. Rata-ratanya para pelajar UIAM Kuantan sudah melalui beberapa kertas peperiksaan.

Sejauh mana pun usaha kita, harus diingat bahawa semuanya adalah di tangan Allah jua. Manusia tiada upaya untuk mengawal sesuatu pun sebenarnya tanpa izin-Nya.

Ramai yang berusaha melakukan persediaan tapi jangan dilupa bahawa ketika dalam jihad itu nanti, Dialah pembantu kita. Tawakkal kepada Allah setelah usaha adalah sebaik-baiknya. Berserahlah dan mohon padaNya.

Peperiksaan juga menjadi medan muhasabah diri.

Renungi keadaan pada pejuang Islam yang berjuang dengan jumlah yang sedikit dan kelengkapan yang serba tidak sehebat mana, namun keteguhan hati dan tawakkal pada Allah mengharap pertolonganNya amat tinggi.

Mari kita ambil iktibar dari kisah-kisah perjuangan dan peperangan Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabat baginda agar kita yang berjihad menuntut ilmu tidak terlepas pandang pada kuasaNya yang Maha Berkuasa atas segala tiap-tiap sesuatu.

Usaha itu di tangan kita, natijah adalah milik-Nya.

Kembali padaNya, agar kita selalu menjadi hamba yang bersyukur dan meletakkan hujung usaha itu kembali pada Tuhan yang Maha Penentu.

Jangan bersedih atas apa yang telah berlaku. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar.


~Berfikiran positif dan optimislah anda bila suatu hari nanti semua urusan anda terlihat amat buruk, kerana hal itu merupakan pertanda akan datangnya hari lain yang dekat waktunya, yang semuanya dipenuhi kegembiraan dan keceriaan.~

-Jangan Bersedih, Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia-
-Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni-

Nov 4, 2009

Yang Paling Ditakuti



Dari Umar Al-Khattab r.a mengisahkan 'Ketika datang rombongan tawanan perang ke hadapan Rasulullah s.a.w, tiba-tiba salah seorang di antara mereka (tawanan wanita), lari untuk menyusui bayi yang tergeletak di antara para tawanan.
Maka Rasulullah s.a.w bersabda: "Lihatlah, sanggupkah wanita ini melemparkan bayi itu ke dalam api?"
Kami serentak menjawab, "Demi Allah, tidak mungkin!"
Baginda kemudian bersabda lagi: "Bahkan Allah sendiri lebih menyayangi hambaNya yang beriman melebihi kasih sayang wanita itu pada si bayi."
(Muttafaq 'Alaih)


Perkara yang paling saya takuti dalam hidup ini adalah tercabutnya nikmat yang paling besar dalam diri iaitu nikmat Iman dan Islam. Tanpanya, tak mungkin saya merasakan kasih sayang Allah meliputi diri, tak mungkin saya bertafakkur pada alam meneliti kebesaran ciptaanNya, tak mungkin saya menikmati nikmatnya hidup menjadi seorang Muslim dan dambaan menjadi hamba pada Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Tidak ada fitnah yang lebih besar dari fitnah seorang wanita di akhir zaman. Juga perkara yang paling saya takuti jika diri tergolong menjadi wanita yang membawa lelaki kepada dekatnya api neraka daripada dekatnya ke gerbang syurga.

Juga saya takut andai pengakhiran hidup saya dalam keadaan 'su'ul khatimah', mati dalam keadaan murkaNya Dia pada saya, hilang redhaNya pada diri, dan mati dalam keadaan amal yang sia-sia. Umpama abu-abu yang diterbangkan angin yang bertiup kencang.

Lihatlah setiap apa yang Allah datangkan pada kita dengan pandangan dan teguran kasih sayang dariNya. Setiap ujian, cubaan dan musibah itu didatangkan bukan dengan Dia menghendaki keburukan bagi orang-orang yang beriman kepadaNya, walhal Dialah sebenarnya yang amat menginginkan kebaikan untuk kita. Bersangka baiklah pada Allah.

Saya juga takut jika saya kehilangan pandangan kasih sayang Allah dalam setiap derap langkah, dalam setiap buah fikiran dan lontaran kata-kata. Tidak mahu timbul rasa bersangka buruk padaNya sedang Dialah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba ciptaanNya.

Ingin saya telusuri sirah-sirah Nabi yang penuh suri tauladan dan hikmah bagi yang ingin mengerti.

Kisah Nabi Nuh yang hidupnya mencapai usia ratusan tahun, tidak pernah mengeluh dan berputus harap pada rahmat Allah biarpun di hujung dakwahnya hanya sedikit sahaja bilangan manusia yang ingin mengikutinya. Nabi Nuh dengan taat dan gigih membina kapal yang diarahkan. Sekalipun ramai yang mencaci, menghina dan mengeji, Dia sabar dalam mengerjakan perintah Tuhan. Dan akhirnya itulah sebenarnya yang menyelamatkan diriNya dan orang-orang beriman tika Allah membinasakan kaumnya yang ingkar dengan banjir yang besar.

Kisah Ibu Nabi Musa juga penuh dengan rasa penyerahan hati dan diri pada Allah tatkala ingin menyelamatkan anaknya dan melepaskan anaknya mengikut arus Nil. Hilangnya anak itu hanya sementara. Dan Allah jugalah yang mengembalikan anaknya ini kembali pada si ibu untuk disusui. Allah jugalah memelihara anaknya itu, Nabi Musa a.s di dalam istana Firaun yang kejam.

Begitu juga dalam banyak kisah-kisah Nabi dan Junjungan Mulia; Nabi Muhammad s.a.w. Kisah-kisah yang penuh tawakkal pada Allah, redha dengan ketentuanNya, berusaha dan meletakkan harapan yang tinggi pada Allah yang Maha Memerhati. Semuanya memandang hidup ini dipenuhi dengan kebaikan yang Allah hadiahkan pada mereka yang benar-benar percaya dan beriman. Tidak mungkin seorang Kekasih yang benar-benar mencintai akan menzalimi cinta yang diberikan kekasihnya. Begitulah Dia.

Saya benar-benar berharap perkara yang saya takuti ini tidak akan pernah terjadi kerana saya takut kehilangannya; kehilangan nikmat Iman dan Islam, amal yang berpanjangan hingga ke akhir hayat, pandangan kasih sayang terhadap Tuhan dan hilangnya malu seorang wanita. Saya juga berharap perkara yang sama tidak akan terjadi buat sahabat-sahabat saya dan sesiapa saja.

Percayalah setiap cubaan yang datang pada diri adalah kerana Dia menguji sejauh mana teguhnya cinta hamba pada Dia. Sungguh, beruntunglah diri orang-orang merasa cintaNya dan merasa bahawa setiap teguran Allah adalah untuk mengembalikan dirinya pada jalanNya yang benar; menyuci setiap titik dosa di hati.

~Moga Allah memimpin setiap hati-hati yang dimiliki (hakikatnya adalah milikNya) kembali pada fitrah yang suci dan murni.~


"Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Az-Zumar: 53)

Nov 1, 2009

Indahnya Sabar (Beautiful Patience)



Dan orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara sembunyi atau secara berterang-terang dan mereka pula menolak kejahatan dengan kebaikan; orang itulah mendapat tempat kesudahan (yang baik), (yaitu) syurga-syurga 'Adn, mereka masuk ke dalamnya bersama dengan orang yang saleh dari nenek moyangnya, pasangan-pasangannya dan anak cucunya, sedang malaikat masuk ke tempat mereka dar semua pintu; (sambil mengucapkan), "Selamat sejahtera atasmu karena kesabaranmu." Maka alangkah nikmatnya tempat kesudahan itu.
(Ar-Ra'd; 13: 22-24)


Allah s.w.t mempunyai 3 jawapan pada Doa':

Pertama: Ya

Kedua: Ya, tapi bukan sekarang

Ketiga: Ada perancangan yang lebih baik untuk dirimu


Tidak ada yang 'tidak', teruskan berusaha dan berdoa.
Wahai hati, percayalah pada-Nya...

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino