::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Aug 21, 2022

Anak: Hargai Potensi Diri Mereka


Berhenti membandingkan anak dengan anak yang lain, seperti seorang lebih tinggi darjatnya daripada yang lain. 

Beriman dengan Firman-Nya

Beriman dengan Allah dan percaya kan firman-Nya bahawa yang membezakan manusia di antara manusia lain hanyalah nilaian taqwa di sisi-Nya. 

"Khubaib, kenapa buku-buku ni campur-campur besar dengan kecil? Hari tu kan Ummi dah ajar." Bagitahu Ummi pagi-pagi sambil membetulkan buku-buku Khubaib dalam beg. 

"Dah namanya Khubaib, memanglah macam tu." Jawab Khubaib. 

"Boleh je nak berubah." Balas Ummi. 

Ummi risau sebab nampak red flag kat situ. Macam dah tertanam kat minda dia yang dia memang akan macam tu. 

Bahaya sangat untuk anak. Apabila bapa atau ibu cakap pada anak tentang kekurangannya tanpa ajar anak cara untuk mengatasinya. Beri galakan pada dia. Berhenti rendahkan self-esteem anak-anak.  

Kalau anak lemah pada satu bahagian, tentu ada bahagian lain yang dia sangat bagus. Bagi peluang anak teroka minat dia sendiri, di samping ibu bapa beri galakan pada anak. Yang bahagian lemah tu perlu dibaiki sama-sama. Tak ada result yang akan datang cepat. 

Mendidik ni perlu sabar. Nak didik diri sendiri untuk terus buat baik pun bukan mudahkan? Semua perlukan kesabaran. 

Doa 

Ummi doakan semoga Allah juga berikan kesabaran untuk Ummi baiki diri sebagai seorang hamba, ibu, isteri dan anak yang solehah. Begitu juga pada sesiapa yang sedang membaca entri ini, semoga Allah kurniakan kesabaran yang baik (sobrun Jamil) dalam mengharungi perjalanan hidup ini. 

Doa kepada Allah agar anak-anak juga mudah dididik dengan sebaiknya. 

Hati manusia ni semua Allah yang pegang. 

Pelindung Anak

Insya Allah, Ummi akan terus melindungi anak-anak Ummi. Walaupun mungkin ada perkara yang perlu dikorbankan. 

Insya Allah, tak ada perkara mustahil di dunia ini jika kita terus berusaha, Allah tak pernah sia-siakan usaha kita. 

"Ummi, tadi kat sekolah Cikgu kata ada orang yang dapat markah 0 Akhlak." Cerita Khubaib dalam kereta. 

"Khubaib ke yang dapat 0 tu?" Saja Ummi test dia. 

"Taklah, Khubaib rasa Khubaib betul semua." 

"Haha. Konfiden je." Sakat Ummi dengan Khubaib. Tahap konfiden dia tu memang Ummi pun tak ada macam tu waktu sebaya dia. 


Apapun, tahniah untuk Muhammad Khubaib Adi. Barakallahu fik, sayang ku Khubaib. Semoga Allah berikan kefahaman yang jelas tentang Deen-Nya. 

Keputusan ni ibu bapa je yang tahu dulu. Surprise untuk Khubaib. 


Aug 18, 2022

Perkahwinan: Bukan Cerita Fairytale


~Happy ending hanya apabila kita tiba di Syurga~

Bukan Cinderella

Kisah perkahwinan atau spesifiknya berumah tangga ini bukan kisah perkahwinan dalam cerita dongeng Disney zaman kanak-kanak yang kita tengok dulu. Yang kisahnya melalui kepahitan, cubaan dan cabaran hidup akhirnya tamat apabila kita disatukan dalam medan perkahwinan. 

Waktu awal perkahwinan dulu, masih PJJ dengan suami, tanya seorang kakak dalam kelas Master saya kepada saya: 

"Dah berkahwin ke?"

"Dah, baru kahwin, masih dalam proses berkenalan lagi." Jawab saya sambil tersenyum. 

"Proses berkenalan dengan suami bukan awal perkahwinan saja tetapi di sepanjang proses perkahwinan." Katanya. 

Terdiam saya sejenak. Satu pencerahan yang baru untuk saya. 

******

Sekali Air Bah, Sekali Pantai Berubah 

Waktu itu belum melalui fasa itu. Ye lah. Masih dapat ilmu secara teori. 

Kini apabila telah lebih 9 tahun usia perkahwinan, sangat bersetuju dengan statement ini. Sangat relatable. 

Kita berkahwin dengan manusia yang dinamik. Manusia yang suka perubahan dan akan ada perubahan pada dirinya walaupun sedikit, selari dengan berubahnya (bertambahnya) digit usia kita. 

Tanggungjawab dan cabaran hidup kita  menggugah jiwa-jiwa kita. Maka, apa yang kita lihat, dengar dan baca setiap hari membentuk diri dan hati kita. Maka, tangki jiwa kita yang diisi secara pasif (daripada persekitaran) dan aktif (daripada inisiatif input kita sendiri) mempengaruhi setiap tindakan dan perlakuan kita. 

People are constantly changing. 
We are what we decide what we want to be. 

Kita sendiri yang memilih kita nak berubah jadi yang lebih baik atau sebaliknya. 

Walaupun banyak kajian mengatakan resilience iaitu daya tahan dipengaruhi oleh cabaran hidup sewaktu kecil, tetapi resilience setiap anak-anak daripada ibu bapa yang sama juga berbeza hingga mereka membesar dan menjadi pasangan hidup individu lain.

Macam berat pula nak cerita tentang resiliencecy atau daya tahan diri seseorang itu, insya Allah mungkin di lain entri boleh sambung lagi.

*******
Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang

Benar, personaliti seseorang dikaitkan dengan masa silamnya. Tetapi ada juga mereka yang berjaya keluar daripada rantaian adversity of childhood  life (zaman gelap kanak-kanak) mereka. 

Sewaktu zaman sekolah di STJ dulu, beberapa rakan saya yang hebat juga datang daripada broken family atau ibu bapa yang telah berpisah. 

Mereka pilih untuk berubah, take the challenge dan jadi orang yang hebat. Semuanya dengan izin Allah. Allah tak pernah kejam. Allah Maha Melihat. Dan Allah Maha Melihat apa yang kita usahakan untuk perbaiki diri kita dan Dia ada menemani langkah kita. 

~Kredit kepada sahabat amazing saya, Puan Maznah Ibrahim atas perkongsian gambar ini~


Stop blaming and move on. Percayalah Allah pilih kita untuk lihat kita berusaha meningkatkan darjat kita di sisi-Nya. Semakin kita dekat dengan Allah dan isi jiwa dan hati kita dengan perkara yang betul dan tindakan yang Allah redha, kita akan lihat cahaya di lorong gelap yang sedang kita lalui.

Ha, apa pula kaitan dengan perkahwinan pula kan? 

*******
Manusia Bukan Robot

Suami atau isteri kita bukan robot. Kita tak boleh kawal suami atau isteri kita. Kita tak boleh kawal dia nak isi masa dia dengan tengok handphone, tengok social media yang mana atau main mobile legend sebab dia adalah orang dewasa. 

Berikan suami atau isteri me-time mereka atau buat apa yang mereka suka selagi masih dalam landasan syarak atau selagi tidak melampaui batas. Kalau dia nak bersukan, sokonglah minatnya. Kalau mereka nak berjumpa rakan-rakan sambil 'mengeteh', berikanlah ruang untuknya. Begitu juga dengan suami kepada isteri.

Isikan sama-sama dalam rumah kita perkara bermanfaat untuk buat bersama. 

Kalau ada yang kita tak berkenan, cakap baik-baik dan elakkan bertekak terutama depan anak-anak. 

Betul, the struggle is real. Orang kata, 'cakap senanglah.'
Tak ada satu penyelesaian yang sama untuk semua isu dan konflik dalam rumahtangga. 

Perlukan tolak ansur dua manusia yang bernama suami dan isteri. Usahakan selagi mampu. Jika tak mampu, ambillah langkah-langkah penyelesaian yang lain.
Move on, jangan terlalu makan hati sampai kita sendiri tertekan, depress. Jika langkah terakhir, melepaskan itu lebih baik, kita serahkan kepada Allah, istikharahlah dan solat hajat agar Allah tunjukkan dan mudahkan jalan yang terbaik. 

Kita hanya mampu ubah diri kita dan doa kepada Allah agar pasangan kita juga berubah menjadi lebih baik. 

******
Panjang pula entri ini. 
Semoga ia bermanfaat. 

Manusia sentiasa ada perubahan. 
Mari kita ubah jadi lebih baik bermula dengan diri sendiri dulu. 
Baiki hubungan kita dengan Allah, dan Allah akan baiki kehidupan kita, insya Allah. 

Jul 24, 2022

Yang Sedang Tidur


 ~Jangan mengejutkan 'giant' yang sedang tidur.~

Isu semasa seperti penindasan terhadap barang makanan, kebebasan, dan seumpama dengannya sedang berlaku. 

Mereka yang sedang bermain catur hitam merasakan mereka sedang menang dengan mengatur langkah yag telah berpuluh malah mungkin beratus tahun telah dirancang. 

Lantas, ingatan saya terus mengingat cerita Lord of The Rings kegemaran saya versi Bilbo Baggins yang sedang mengembara ke istana larangan. Naga yang telah hidup dan tidur di istana dengan selesa bersama emas yang melimpah telah dikejutkan bukanlah satu keputusan yang baik. 

Dan inilah yang sedang berlaku. Sleeping giant yang sedang tidur dikejutkan daripada terlena dalam comfort zonenya. Mereka menyangka rancangan mereka yang sedang berjalan akan membunuhnya secara perlahan, namun ia terjadi sebaliknya. Mereka akan mengejutkan sebuah tamadun yang telah di war-warkan akan bangkit menentang kezaliman. 

Dan ia semakin hampir. 

"It's the prophecy!" Jerit mereka yang berada di kampung atas laut berdekatan istana larangan. 

Ia sedang berlaku. 


Bingkisan

Ingatan kita bersama, 

"Dan mereka merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik Perancang."

(Surah Ali-Imran ayat 54)


~Pelan dan bertindak.~

May 20, 2022

Ulul Albab Cilik


~Lihat dan dengar alam melalui mata hati lalu memikirkan kebesaran Ilahi suatu nikmat yang tak terperi.~

Macam biasa Khubaib suka bagi Ummi cerita atau soalan KBKK. Selalunya time Ummi sibuk kemas, sibuk urus baby Ali, tengah bersilat kat dapur, time mak dia kalut suruh pakai stokin sekolah sebab lagi 10 minit pintu pagar sekolah nak tutup. (Pintu pagar sekolah tutup pukul 7:20 pagi.) Huhu, time tulah dia nak terjah dengan soalan-soalan extravaganza. 

Biasanya;
"Ummi, Khubaib nak tanya sikit boleh tak?" 

"Tanya apa Khubaib? Tanya yang penting je." Sebab selalu sangat dia tanya soalan trivia time mak dia dalam keserabutan dan kecemasan. Tak sompek Ummi dia ni nak fikir KBKK banyak benda dalam satu masa. 

"Ummi, apa 3 negara.." 
Hahaha. Jeng terus Ummi dia. 

Soalan tentang Pulau 

Jadi suatu hari yang indah ni, Ummi drive hantar dia pergi sekolah petang, time tu Ali baby bos duduk car seat belakang masih dalam mood yang terkawal lagi. (Kenapa baby bos, sebab ada ciri-ciri panjang akal baby bos tu. Umur 9 bulan ni, dia dah pandai buka pintu sliding rumah, tolak pintu grill, keluarkan straw kat air kotak, keluarkan getah yang Ummi buat ikat macam-macam benda, manjat penghadang yang Ummi buat, keluarkan diri dia daripada walker dan macam-macam lagi.) Yang tak tahan tu, kadang-kadang siap gelak kekek-kekek kalau nak buat projek dia. Ok, yang tu nanti kita cerita di entri lain Insya Allah. 

Sambil kami menelusuri jalan raya tepi pantai sambil lihat keindahan pulau-pulau yang berbalam-balam kat pantai Mersing, Khubaib pun tanya Ummi. 

" Ummi, kenapa bila pulau tu jauh, dia makin kecil?" 

Ha, datang dah soalan fizik dia. Almaklumlah subjek fizik ni ketar lutut dulu mak dia nak jawab dari zaman sekolah sampai zaman universiti. 

Nak explain dalam ilmu fizik, Ummi dia nak kena cari dalam Google dulu. Jadi sebab sedang memandu, Ummi bagilah jawapan dari sudut pandang seorang Ummi. 

"Hebat kan ciptaan Allah. Lagi jauh objek tu, lagi kita nampak kecil. Macam kapal terbang kat langit, Khubaib nampak kapal terbang tu kecil ke besar?" 

"Kecil." 

"Hebat kan. Allah jadikan benda jauh nampak kecil, walaupun dia sangat besar. Sebab itu Khubaib kena menuntut ilmu. Ummi nak explain pun tak pandai sebab Ummi tak pakar dalam bidang tu." 

"Khubaib jadilah orang yang pakar dalam bidang tu. Khubaib boleh cerita dan ajar kat orang lain. Khubaib boleh tahu macamana hebatnya Allah jadikan objek yang besar tu nampak kecil bila jauh." 

Khubaib diam je waktu Ummi explain tu. Tapi Ummi tahu jenis dia sedang digest apa yang Ummi nya cerita. 

Golongan Ulul Albab 

Semoga anak-anak Ummi termasuk dalam golongan Ulul Albab, (bukan Ahmad Albab ye, hu). Jadi pemikir yang suka tadabbur alam dan lihat kebesaran Allah dengan mata melalui mata hatinya. 

"Maka apakah orang yang mengetahui bahwa apa yang diturunkan Tuhan kepadamu adalah kebenaran, sama dengan orang yang buta? Hanya orang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran, (iaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah dan tidak merosak perjanjian, dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mereka takut kepada Tuhannya dan takut kepada hisab yang buruk." 

Surah Ar-Ra'du ayat 19-21.

~Wahai Tuhan kami, jadikan kami dan seluruh zuriat kami sebagai orang-orang mencintaiMu, dan Kau cinta kepada kami dan meredhai kami~

Apr 21, 2022

Aulad: Pemimpin Muda


Kelam kabut Ummi pagi ni.Ummi dah siap gosok baju melayu Khubaib 2 hari lepas. 

"Ummi, hari ni Hari Pemimpin Muda. Cikgu suruh pakai baju biasa." 

Ummi mesej cikgu dulu. Sebab dalam grup whatsapp kelas takde bagitahu.

Rupanya baju uniform Khubaib yang dah gosok 2 hari lepas pun ada lagi. 
Alhamdulillah. 

Galakan Anak-Anak Bercerita

Setiap kali jemput anak-anak, memang Ummi tanya apa berlaku di sekolah hari tersebut. 

Beberapa hari lepas, Khubaib balik dengan kertas di tangan. Ada nama-nama kawan sekelas dalam kertas tu. 

Ummi tanya, "Apa ni?"

"Cikgu suruh Khubaib tulis nama budak yang bising, yang jalan-jalan dalam kelas. Khubaib jadi ketua kelas, Ummi." Cerita Khubaib , macam biasa bersungguh. 

"Khubaib tak bising, tak jalan-jalan ke?" Pelik Ummi. Kalau kat tadika dulu selalu kena rotan dengan cikgunya sebab bising, main je. 

"Taklah, Khubaib behave. Khubaib ikut cakap Ummi." 

Macam ye tak ye je Ummi nak percaya. 
"Hari tu kata kawan seorang lagi ketua kelas. Tak jadi dah?"

"Yang tu tak jadi dah, sebab cikgu letak nama waktu mula masuk sekolah dulu." 

*Oh, macam tu pula." Ummi berbasa-basi. 

Semalam, Khubaib cerita lagi 2 orang je wakil daripada kelasnya yang masuk dewan terbuka untuk sesi perhimpunan. Ketua kelas dan penolong ketua kelas. 

'Oh, betullah kot Khubaib jadi ketua kelas.' fikir Ummi. 

Pagi ni, sewaktu mesej guru kelas Khubaib tentang pemakaian baju hari ni, cikgu bagi sekali video berkenaan Watikah Perlantikan Pemimpin Muda Sekolah. 

Jadi ketua kelas sekarang pun ada watikah perlantikan sekali dengan pengawas sekolah. Tak macam zaman Ummi dulu. Ketua kelas ke penolong kelas ke rasa biasa je. 

Kata Abi dua hari lepas, Khubaib ikut Ummi lah ni dulu, tulis-tulis nama budak bising. 

Huhu, tak ingat pula kalau ada buat zaman sekolah rendah. Sekolah menengah je ada sebab jadi Ketua Asrama, apakan daya, jawatan tulah budak paling tak suka, sebab asyik suruh keluar asrama pagi, petang, malam untuk ke sekolah. 

Ambillah yang baik daripada Ummi ye, yang tak baik tu jadikan sempadan dan tinggalkan jauh-jauh. 

Apa Ada Pada Khubaib

Macam tak percaya pula Khubaib jadi ketua kelas. Bak kata Abi, "Macamana lah cikgu boleh nampak Khubaib jadi ketua kelas?" 

Mungkin ada potensi yang cikgu nampak dan Ummi Abi tak nampak. Tapi bak kata Atuk Khubaib, tang muka 'tempe' (selamba) tu memang ada. 

Haha. Kalau suruh baca doa dalam keramaian ke, suruh pergi temuduga ke, dia takde perasaan nervous. Macam takde apa-apa. 

Apa pun, selamat bertugas Khubaib Adi. Walk the talk ye. Soleh dan musleh sentiasa.

~Semoga menjadi Soleh dan Musleh ye anak Ummi~

Jan 7, 2022

Ummi Kembali Kerja


~Hamba yang lemah & kerdil, yang bagi bagus, kuat, hebat semuanya daripada Allah s.w.t~

Wanita dan multitask tu perkara yang biasa yang di dengar. 

Di kala ini, Ummi sedang menulis entri ini, kami dalam proses berpindah rumah. Si kecil Khuzaimah Ali sedang berada di pangkuan Ummi proses melenakan dirinya. Baru sudah Ummi rasa stress dengan laptop Chromebook yang tak boleh mengedit kerja di Microsoft Word secara online. Yang offline tu Microsoft tak sediakan untuk di install.  

Sedang memakai "topi" pelbagai kerja di kepala ini untuk membahagikan tugas. Namun, kadang kudrat dan upaya tak mampu melakukan semua yang telah dirancang dengan baik di dalam kepala.

Melihat rumah bagai separuh siap; dapur meja makan, bilik yang tak terkemas sempurna; Khuzaimah Ali si kecil clingy dan sentiasa rindukan mama di sisinya; abang dan kakak Khuzaimah yang perlu dipantau dan kadangkala suka datang mengganggu lena adiknya - semuanya ini adalah cabaran Ummi untuk kembali bekerja semula. 

Hanya pada Allah sajalah tempat Ummi bergantung harap memohon pertolongan agar dimudahkan segala urusan seharian. 

Terima kasih Abi yang memahami. Hampir semua kerja-kerja pindah randah dan mengemas rumah baru Abi yang buat. Semoga Allah membalas kebaikanmu. 

Ummi percaya semua orang ada cabaran hidup masing-masing. Allah beri sesuai mengikut kesanggupan kita. 

Doakan Ummi juga dipermudahkan urusan semuanya. Ummi harap dapat semula laptop Ummi yang lama agar boleh sambung kerja yang sulit tergendala. 

Nota kaki: tiba-tiba rindu nak jadi sukarelawan banjir bila tengok jemputan sukarelawan di medsos (sempat lagi kan walaupun diri tengah sibuk-sibuk ni). Semoga Allah ganti yang lebih baik pada rakyat Malaysia yang terkesan banjir. 

~Sentiasa fikir yang baik,berkata yang baik, insya Allah semoga Allah datangkan pada kita segala kebaikan, dan mendapat kesudahan yang baik dalam hidup ini~

27 Disember 2021

Dec 13, 2021

Bukti Cinta Yang Dijanji


 

Cinta...

Penyerahan hati ini, jiwa ini dan segalanya kita serahkan untuk cinta ini. 


Suatu hari nanti, 

Cinta ini akan ditagih. 

Adakah kita cukup untuk membuktikan cinta ini tatkala pertemuan cinta itu?





Layakkah kita kata cinta?

Jika tiada rasa teruja membaca surat cinta, 

Atau melihat surat cinta tanpa rasa?

Jika cinta ini kita ukir ikut suka kita, bukan untuk menjaga cinta sebaiknya? 


Suatu hari itu akan datang. 

Sudahkah kita bersedia membuktikan cinta kita yang sebenarnya?


Layakkah cinta kita dibalas dengan sempurna?

Atau setimpal selayaknya saja? 


~peringatan untuk diriku yang selalu terlupa membina cinta~


 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino