::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Nov 25, 2023

Sahabat: Mari Kita Berjiran Di Syurga


 ~ Kita tak mampu berpisah dengan kenangan, ia akan dijadikan sejarah atau tauladan untuk masa depan. Dan rakan-rakan seperjuangan dulu tidak mampu kita lupakan, moga perjuangan kita semua sampaikan kita ke Syurga yang berkekalan~

Kadang-kadang rasa rindu pada sahabat-sahabat lama saya menerpa. Rasa rindu nak bertemu, nak bersembang seperti dulu, rasa rindu nak berteman dan berjalan petang-petang bersama. Ada juga kami bertelingkah tetapi tidak lama. Bila kenang kenangan lama, ada yang buat saya tersenyum sendiri. 

~Ya Allah, rahmatilah semua sahabat-sahabat saya~

Dulu

Ketika itu saya baru masuk ke Tingkatan 4:

"Prefect ni dah rampas kau dari aku." kata seorang rakan saya yang kami bersahabat semenjak dari Tingkatan 1. 

"Haha." Saya tertawa mendengar ngomelannya. Sahabat saya, Nisa, itu suka bercerita, gaya mak-mak kadang-kadang walaupun itulah personalitinya semenjak kami berkenalan di Tingkatan 1.  Jadi omelannya tu membuat saya tertawa. 

Apabila naik Tingkatan 4 ,saya dilantik menjadi pemimpin pelajar. Jadi, ada masa-masa seperti mulai awal pagi saya perlu lakukan tugas sebagai pemimpin pelajar seperti cek asrama selepas pelajar keluar ke sekolah atau cek kebersihan kelas di awal pagi. Jadi, kami tak dapat jalan ke sekolah bersama-sama seperti dulu. Dah bertukar jadual waktu. 

Ada juga sahabat lain dalam kalangan pemimpin pelajar yang rapat dengan saya, memandangkan kami juga sekelas. Jadi, selepas buat tugasan, kami ke kelas bersama. 

"Prefect dah rampas kau dari aku. Shera pun rampas kau dari aku." selalu ujar Nisa pada saya tiap kali kami bertemu. 

"Lah...Mana ada rampas. Kan aku kawan dengan kau lagi." Pujuk saya. 

Ia berlanjutan sehingga kekadang memang saya perlu bahagikan masa sama rata untuknya dan sahabat saya yang satu lagi. 

"Nisa ada bagi surat kat aku." Kata Shera pada saya pada suatu hari. 

"Aik, surat apa?"

"Surat luahan hati dia. Dia kata aku rampas kau dari dia. Haha." Kata Shera sambil ketawa. Saya lega sebab Shera jenis happy-go-lucky dan tak ambil hati dengan Nisa.

Dan saya pun tak  minta untuk baca surat tu dan tak tahu apa isi kandungan sebenar di dalamnya.

Sekarang

Kami masih bertegur sapa lagi. Kali terakhir saya keluar dengan sahabat-sahabat saya ini ketika saya sudah bekerja dan masih bujang. Keduanya bekerja di bidang yang tak sama dengan saya. Saya belajar di bidang kesihatan. Nisa pula di bidang kejuruteraan. Shera pula dah jadi peguam di firma GLC sekarang. Saya masih rindu sahabat-sahabat saya. 

Masih ada lagi gambar yang saya simpan di mana kami makan bersama-sama sewaktu program rasmi di sekolah dan di meja yang sama. Tak silap saya di tahun akhir persekolahan. Keduanya masih lagi saya bertegur sapa di alam maya hingga kini. 

Edit post:
Entri ni dah sangat lama saya simpan, cuma tak tahu bila nak post. Dan kali terakhir sebenarnya saya jumpa Nisa di masjid di Batu Pahat tahun ini di tempat ambil wudhu' asbab beliau sekeluarga keluar daripada highway Utara Selatan yang sangat sibuk dalam perjalanan JB ke rumahnya di Cyberjaya.
Sambil nak berwudhu', saya terpandang seseorang di pintu masuk. Dan saya terus bertanya, "Khairunnisa Khairil Mokhtar?"
Dan berlangsunglah kemeriahan kami bercerita  di situ.

Dan kali terakhir jumpa Shera sewaktu ke majlis walimahtul urus beliau yang pernah saya ceritakan dulu. 

Akan Datang

"Teman-teman pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa." 

(Surah Az-Zukhruf; 67) 

'Hari itu' adalah pada hari yang akan datang. Semoga kita semua bersama dengan ahli keluarga kita, sahabat dan kenalan kita di Syurga sana. 

Sudah beberapa ketika kami semua tidak berhubung. Hampir beberapa tahun semenjak awal saya mula berumahtangga. Namun, akhir-akhir ini memang menebal semula rindu pada teman-teman saya. Kerana mereka itulah telah mencorak sebahagian episod hidup ini. Dan saya berharap mereka akan menjadi sebahagian episod saya di alam yang kekal di sana. Sebagai sahabat dan jiran di Syurga. 

Semoga persahabatan dan ukhuwah itu akan kekal hingga ke Syurga. 

~Doa kepada teman-teman yang kita sayang agar menjadi teman dan jiran kita di Syurga adalah suatu hadiah yang amat bermakna~ 

Nov 23, 2023

Sabar dan Nikmatilah Perjalanan Ini


Alhamdulillah seronok tengok dinding Facebook dan suapan entri orang-orang berkonvokesyen. Insya Allah, we'll be there, soon. Ambil vibes mereka. Lalui setiap milestone dan hentian untuk menuju ke situ. 

Sempena mengambil vibes mereka yang bergraduasi, Alhamdulillah telah dapat tarikh Proposal Defense 2 minggu lagi. Walaupun sebenarnya dah hantar permohonan tu hujung bulan Ogos, masih tak berani nak tanya admin Kulliyyah. Sebab rasa research proposal belum habis baik siap pembetulan lagi. 

Ditambah pula dengan kesibukan sebagai penulis menyiapkan manuskrip buku teks yang diketuai bekas pensyarah saya dan kolaborasi dengan pensyarah bidang perubatan, saya perlu beri prioriti kepada manuskrip sebab date line lebih awal. 

Dah hantar manuskrip Isnin lepas, baru berani nak tanya admin Kulliyyah tentang status permohonan Proposal Defense samada telah diluluskan di senate meeting. 

Rupanya admin pun terlepas pandang dan Alhamdulillah dah lama rupanya lulus. Lepas tu, baru lah hantar softcopy research proposal tersebut. Alhamdulillah syukur dah dapat tahu tarikh PD dan insya Allah akan melalui next milestone ini dalam journey PhD dalam masa terdekat. 

Teringat kata-kata mentor saya merangkap cikgu tuisyen PhD saya,  bahawa perlu seize the moment perjalanan PhD ini. Memang kita nak sampai destinasi tu dengan cepat, tapi bila dah sampai tu sekejap je sebenarnya. Ambil skrol dan pakai jubah tu sekejap je tapi yang akan kita kenang adalah perjalanan bertahun-tahun untuk naik ke pentas itu sebenarnya. 

~Gambar 2016 GBBT Master. Insya Allah, next bergambar jubah dan topi bulat~

Tapi tidaklah bermaksud berlama-lama duduk dalam perjalanan ini (sampai lebih expected graduation date). Set the goals, timeline, and seize the moment setiap milestone yang kita lalui. Apa yang kita boleh rancang, kita usahakan, manakala rezeki itu daripada Allah SWT. 

Hayatilah dan hargailah momen perjalanan ini, dan nikmatilah ia. Selepas selesai sesi mengambil skrol dan memakai jubah nanti, kita mulakan pula satu lagi perjalanan menuju destinasi yang baru. 

Terima kasih kepada cikgu tuisyen saya Dr Roket, bukan saja untuk tesis juga untuk kehidupan. 

~Be patience and seize the moment~

Update:
Kepada sesiapa sahaja di luar sana, yang nak rasa journey Master Phd seperti journey saya atau sahabat-sahabat dengan 'coach' yang sama yang telah Viva dan serta beberapa orang lagi yang telah dapat pelbagai anugerah termasuk Tesis Cemerlang, saya sarankan anda untuk jumpa kami di Program Postgraduate Transformation Program (PTP) Oktober 2024, bertempat di Shah Alam, Selangor ini di link ini. 'Sesi Klinik' untuk cabaran tesis anda juga disediakan. 



Jom!

Nov 16, 2023

Bekerja Sebagai Hamba-Nya


~Kerjaya juga adalah ibadah.~

Saya terdetik untuk menulis di sini apabila melihat perkongsian ada yang telah mengisi borang sukarelawan KKM semalam untuk ke bumi barakah. (Tulisan entri ini sebenarnya dah beberapa hari lalu, tapi baru nak post hari ni). 

Sewaktu single dulu sukalah pergi program pasukan bantuan paramedik untuk bantuan bencana atau sunat anak-anak kecil bersama NGO mahupun bersama universiti. 

Subhanallah, indah rasa itu. 


Kerjaya Perspektif Si Kecil Nadiah

Sewaktu kecil paling ingat zaman sekolah rendah, jika mak tanya, "Nadiah, dah besar nak jadi doktor?"

Saya jawab, "Tak nak." 

Saya ingin menjawab sebabnya tapi saya diamkan saja. 

'Saya tak nak jadi doktor macam ayah, boleh rawat pesakit, tapi tak ada masa untuk melawat saya.' Itulah getus hati waktu itu. Yelah, walaupun ayah bukanlah doktor perubatan moden, tetapi ayah ada klinik dan jumpa pesakit, jadi macam tu lah fikiran dan sangkaan anak kecil yang tidak memahami. 

Teringat kata-kata Pakcik Rosdi Baharom tentang fenomena anak lapar ayah, bahawa anak-anak perlukan perhatian seorang ayah. 

Anak-anak apabila masuk sekolah rendah, mereka mencari father figure untuk mereka contohi (yang ini tak ingat sumbernya).  

Cuma waktu tu, walaupun tak berminat ikut jejak langkah ayah, saya terinspirasi nak jadi macam abang sebapa, yang belajar di luar negara. Jadi, nak belajar sungguh-sungguh macam beliau. Dah besar sikit darjah 5 ke 6, saya teringin pula nak jadi macam Dr Fadzilah Kamsah (Doktor yang ada PhD). Ha, macam-macamkan. 

Apabila dah besar, belajar dan faham serba sedikit tentang agama, saya lihat pentingnya melihat kerjaya itu satu ibadah. Dan pentingnya melibatkan anak-anak untuk faham tentang pekerjaan kita. Pentingnya anak-anak juga melihat dan faham bahawa ibu bapa yang bekerja itu juga sedang menjalankan sebahagian ibadahnya kepada Allah. Dan bahawa sesungguhnya seluruh kehidupan ini adalah ibadah. Terpulang pada kita bagaimana untuk mengaturnya. 

Pernah juga beberapa kali bawa anak-anak untuk bersama dengan misi bantuan bersama NGO, sambil beritahu anak, kenapa kita perlu jadi orang-orang yang membantu orang lain. Kita kerja, cari rezeki bukan hanya untuk diri sendiri. Tetapi hidup mati kerana Allah dan jadi manfaat kepada ummah. 

~Dah besar (remaja) baru tahu, rupanya Almarhum ayah ada PhD. Semoga diri ini juga menjadi pencinta ilmu lillahi taala, mengikut jejak langkahnya~

Simpan sini kad ini, walaupun klinik ini hanya tinggal kenangan. Semoga anak-anak ambil contoh yang baik dari Ummi, dan arwah atuk. Jadilah generasi yang cintakan ilmu, manfaatkan ilmu untuk dekatkan diri kepada Allah, dan untuk menempah Syurga Allah dan menggapai redha Allah dengan ilmu yang bermanfaat walaupun tidak semestinya dengan ilmu yang formal. 


~Semoga kita semua terus menjadi generasi yang cintakan ilmu yang benar, dan mencambahkan ilmu di dada dan memanfaatkannya seperti air yang terus mengalir~

Oct 18, 2023

Palestin: Ajari Diriku


 
~Hasbunallah wa ni'mal wakeel~

Lebih seminggu perang Palestin-Israel memuncak. Walaupun telah bertahun-tahun penjajahan ini berlaku, kali ini perang ini membawa satu pengajaran (ibrah) baru untuk saya. 

Beberapa ketika yang lalu, saya sering mengikuti keadaan bumi Palestin yang berkah dan indah. Pesisir pantainya, kedai-kedai di bandar Gaza, serta ada tanaman strawberi yang menjadi. 

Dalam sekelip mata, hilang semuanya. Hilang pekerjaan, hilang tanaman, hilang orang-orang tersayang, hilang anggota badan. Semuanya terlalu singkat. 

Ibrah daripada Allah untuk saya renungkan. 

*****


Dalam keadaan itu, mereka tak sempat nak overthinking. Tak sempat untuk rasa terlalu takut kepada apa yang bakal berlaku dalam hidup mereka dalam masa yang singkat ini jika mereka hilang orang tersayang, jika mereka hilang pekerjaan, atau hilang sumber pendapatan. 

Mereka ada tawakal yang besar kepada Allah. Yang mungkin tidak ada pada kebanyakan kita hari ini termasuk saya. Takut dan harap mereka hanya pada Allah s.w.t. 

Hidup mereka, pasangan hidup mereka, anak-anak mereka, bahkan diri mereka sendiri - mereka telah letakkan bahawa semua itu milik Allah s.w.t. Dan Allah berhak mengambilnya bila-bila masa. 

Kadang-kadang saya fikir kita di sini punyai banyak masa untuk overthinking. Walaupun tidaklah salah untuk berfikir tentang contingency planning iaitu back-up plan sekiranya apa-apa berlaku pada masa akan datang. Tetapi apabila ketakutan dan kerisauan menakluk diri lebih besar daripada tawakal kepada Allah yang membuat kita overthinking atau rasa gelisah menghadapi masa depan. 

Inilah nasihat yang terdetik di hati saya untuk diri ini sendiri.  

Subhanallah, daya tahan hati mereka sangat kuat kerana Allah s.w.t. Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana mendidik diri ini. 

~Suatu hari nanti, kita akan berada di sini, insya Allah~

*****

Insya Allah selepas ini mereka akan bounce back dengan lebih kuat. Dan Palestin yang barakah akan menjadi indah lagi. 

Dan kita di sini masih berjuang untuk menjadi setawakal dan sehebat mereka dalam menghadapi setiap sesuatu yang datang dalam hidup ini. 

"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sungguh Allah beserta dengan orang-orang yang sabar."
(Surah Al-Baqarah 2: 153)




Sep 26, 2023

'Pause' Ummi: Anak-Anak Perlukan Kebersamaan


 ~Ada masa kita perlu pause dan renung sejenak. Dan pasti sering ada waktunya kita perlu meluahkan segala rasa yang bergelojak pada Pencipta kita, sebab tiada siapa yang benar-benar tahu apa yang kita hadapi, alami dan rasai melainkan Dia Yang Maha Mengetahui~

Nak mendidik ni bukan hanya sekadar cakap atau beri nasihat pada anak. 

Minggu lepas, apabila anak-anak terpaksa bersekolah tahfiz online, dan perlu mengaji dan belajar di rumah,  Allah memberi saya lihat perkembangan pelajaran anak-anak. 

Fathimah Alhamdulillah lebih mudah dan lancar mengaji dan menghafaz. Manakala Khubaib pula prestasi mengaji dan menghafaz sudah menurun. 

Apabila saya minta Khubaib menghafaz biasanya dia buat tak tahu. Yalah, waktu tu kita fikir kita buat kerja kita, dan mereka buat kerja mereka. 

Ada anak terus ikut, tapi ada juga anak yang buat tak tahu dan main je. 

Jadi, selepas beberapa hari, sambil layan Ali lepas anak-anak balik sekolah petang dan tunggu Maghrib, saya ajak Khubaib berada  di sebelah sambil menghafaz surah-surah dalam Juzuk Amma sama-sama. (Tapi mak dia buka Al-Quran dalam telefon sambil pejam-pejam celik mata baca). 

Al-maklumlah kali terakhir betul-betul menghafaz juzuk Amma waktu zaman belajar degree di UIAM. Sebab kami ada subjek perlu hafaz Juz ke-30 dan ada ujian hafazan selepas tu. 

Mungkin juga ini cara Allah untuk tarbiyah diri supaya ulangkaji semula surah-surah hafazan dulu. (Dulu banyak kali berazam nak sambung ulang kaji, tapi tak buat-buat). 

Anak-Anak Perlukan Kebersamaan

Ada masa apabila layan si kecil Ali, Fathimah cemburu. Ada masanya apabila layan Ali, sambil Khubaib tanya soalan-soalan trivia dia, mak dia ni tak larat nak jawab. Umminya ni introvert, bateri pun dah lemah nak menjawab di hujung-hujung hari. 

"Ummi suka negara mana satu, Norway ke Finland?"

"Ummi, apa momen paling bahaya dalam hidup Ummi?" 

Itulah antara soalan-soalan dia. 

Waktu malam, jika tidurkan Ali, biasanya tertidur sekali, sambil kononnya buka telefon supaya tak terlelap bersama (dan telefon pun terbuka sampai pagi). 

Ha, belum masuk layan Ali jam 1 pagi main mainan walaupun ibunya ni dah terlelap sekejap sebelum itu. 

Hari Ahad hingga Khamis selepas waktu anak-anak balik daripada sekolah adalah waktu sepenuhnya untuk mereka. 

~"Ummi, jom-jom." Ajak Ali minta main sekali.~

Konklusinya, apabila nak minta anak-anak buat sesuatu, ibu atau bapa kena buat sama-sama dengan anak. Walaupun hakikatnya mula-mula kita berharap anak-anak kita boleh bermain sendiri, boleh menelaah pelajaran sendiri. 

Hal-hal berkaitan menulis tesis, artikel atau pun berkaitan dengannya perlu ditolak masuk waktu hari siang keesokannya. 

Walaupun banyak keserabutan kerja-kerja yang menunggu bersarang di kepala, tetapi telah diperuntukkan waktunya siang hari.

Yalah, kerja ni ada masa tenang. Ada masa ia datang bertubi-tubi macam ombak-ombak yang datang bergelombang. 

Dan minggu ni gelombangnya pun dah mula nampak garang. Insya Allah, semoga Allah permudahkan stage akhir untuk Proposal Kajian, artikel Scopus, dan penerbitan buku yang semuanya bertindan ini, termasuklah kerja-kerja persatuan Kulliyyah termasuk yang terbaru perlu kolaborasi dengan universiti lain. 

Kadangkala rasa macam semua datang dalam satu masa, dan tak terlayan. Overwhelmed. 

Tapi yakin bahawa Allah tak bagi ujian yang hamba-hamba-Nya ini tak mampu menanggungnya. 

Allahumma laa sahla illa maa ja'altahu sahlan wa anta taj'alul huzna idzaa syita sahlan.

Artinya: “Ya Allah, tidak ada sesuatu yang mudah kecuali memang Engkau yang memudahkannya dan Engkaulah yang menjadikan segala sesuatu yang sulit itu menjadi mudah jika memang Engkau kehendaki.” (HR. Ibnu Hibban dan Ibnu Sunni)

~Masa bersama anak-anak adalah pelaburan jangka masa panjang dan tak akan pernah tergantikan~

Sep 15, 2023

Apa Rahsia Mendidik Anak?


~Menjadi ibu bapa memang memenatkan tetapi juga  ia perjalanan yang menggembirakan~

"Saya sebenarnya nak tahu apa ye rahsia ibu bapa Fathimah didik Fathimah di rumah? Saya tanya juga Fathimah di rumah belajar macam mana. Tapi dia jawab sikit je."

Komentar cikgu yang mengajar Fathimah waktu di sekolah tahfiz dalam sesi Temu Kasih dua hari lepas (bincang tentang anak-anak di samping ambil report card. Kata beliau, Fathimah agak pantas dalam menghafaz Quran. Tak lama lagi dah boleh masuk silibus menghafaz Darjah 2. 

Alhamdulillah, syukur sangat. 

Sejujurnya tak ada rahsia apa pun sebagai ibu anak-anak ni nak cerita pada cikgu atau orang yang bertanya. 

Ummi dia pun tak expect Fathimah dapat nombor 1 dalam kelas. 

Khubaib pun sama.

"Khubaib ni sangat genius. Dia boleh hafal 30 perkara dalam masa (berapa minit entah, Ummi pun tak ingat 3 minit atau berapa  lama). "

Bersungguh cikgu Khubaib di sekolah rendah bercerita sewaktu tahun lepas Ummi jumpa cikgunya. 

Sebagai ibu, pertama sekali memang syukur sangat atas apa yang Allah kurniakan. Namun, bukan objektif utama Ummi membesarkan anak-anak untuk dapat nombor satu dalam kelas masing-masing. 

Apa yang orang sekeliling nampak tu adalah hanya the tip of the iceberg. 

Cuma Ummi dia akan annoyed apabila mereka asyik tengok cerita lagi-lagi kalau yang merepek tu atau yang bercakap kat youtube tu menggunakan perkataan yang tidak sopan. Ini biasanya khas untuk Khubaib. Sebab Fathimah lebih taat dan patuh bab mematuhi peraturan Ummi di rumah. 

Parenting is a tiring and daunting task. 

Waktu anak-anak umur 5, 6 tahun dulu selalu komen kenapa mereka tak dapat telefon masing-masing macam kawan-kawan atau sepupu mereka. 

Bukan mudah nak yakinkan mereka yang usia mereka belum sesuai lagi. Last sekali Ummi kata, "Ok, kalau nak telefon masing-masing, Ummi akan kerja semula. Nak Ummi ke nak telefon?" 

Dan lepas tu, mereka dah jarang bangkitkan perkara itu. 

Apabila dah besar ini, lain pula ujiannya. Hujung minggu lepas je Khubaib memberontak dengan Ummi sebab tak nak buat latihan Matematik. Sebab sebelum tu, dia mengadu tak suka kelas Matematik banyak sangat dalam satu hari sebab tak suka topik darab yang makin susah. Sampaikan waktu pagi nak pergi sekolah nangis sebab hari tu ada 2 kelas Matematik.  

Jadi, hujung minggu Ummi rancang nak bantu dia mendarab tu. But end up dia sibuk nak tengok cerita dan marah Ummi sebab suruh buat latihan, siap koyak bahagian buku latihan Matematik yang dibeli. Dan Ummi pun quite emotional lepas Ummi tahu tu, dan Ummi buang buku tu selepas tahu apa yang dia buat pada buku tu (buku tu kami beli di Popular dan bukan buku sekolah).

Ummi tahu apa yang Ummi buat tu salah. Mungkin Ummi dah burn out physically dan emotionally waktu tu, sebab Ali muntah-muntah dan cirit-birit bermula hari Khamis hingga hujung minggu lepas, dengan jadual tidur Ummi yang menjadi haru biru, di tambah lagi perlu buat banyak kerja mencuci sebab Ali asyik termuntah-muntah. Terima kasih kepada Abi yang tolong basuhkan Toto waktu malam, sambil Ummi melayan Ali. 

~Menunaikan hajat anak-anak nak main playground selepas pertemuan Temu Kasih~

Ummi harap Allah pandang usaha dalam mendidik anak-anak supaya jadikan mereka anak-anak yang soleh dan bermanfaat untuk ummah, dan dapat masuk Syurga yang tertinggi sama-sama. 

Ummi selalu teringat Abi cerita pada Ummi tentang kawan Abi pergi haji (dah berpangkat ayah pada kami) tentang beza pendidikan ibu pada anak-anak. Berdasarkan dua kali perkahwinan beliau, katanya pendidikan ibu itu sendiri beri kesan yang berbeza kepada karakter dan pencapaian anak-anaknya (yang berlainan ibu). 

Bagi Ummi, tak ada resepi rahsia untuk mendidik. Ummi pun masih banyak perlu baiki diri. Dan berbanding mengharapkan Abi yang dah penat mencari rezeki, Ummi percaya ibu adalah tonggak pertama dalam mendidik anak-anak bermula di rumah. 

~Perjalanan mendidik ini masih panjang, dan akan ada lagi liku-liku cabaran di hadapan~

Sep 6, 2023

Firasat Atau Lintasan Hati


Pernahkah kita ada lintasan hati atau firasat tentang sesuatu yang akan terjadi dan ia benar-benar terjadi?

~Lebuhraya Senai Desaru~

Kadang-kadang lintasan hati atau firasat itu yang datang hanya dalam sepintas lalu, membuatkan kita tertegun sejenak ibarat melihat suatu anak panah yang lalu dengan laju di depan mata. 

Saya pernah mengalaminya tetapi jarang-jarang sekali. Dan biasanya jika Allah hadirkannya, ia adalah tentang peristiwa-peristiwa penting dalam hidup ini. Samada ia memberi kesan hanya kepada diri atau melibatkan orang lain. Tetapi biasanya ia turut melibatkan orang lain. Yelah, kita kan hidup bersama manusia dan bukan hanya diri sendiri. 

Ada yang ambil masa hanya beberapa hari untuk ia terjadi, ada juga sehingga ke beberapa tahun. 

Ada masa saya takut sendiri, tetapi waktu itu hanya fikir mungkin Allah nak beritahu sesuatu. Ada masanya, saya cuba ignore saja. Walaupun adakalanya  semakin hari, ia semakin nyata. 

Saya tiada kuasa melainkan apa yang Allah takdirkan untuk saya. 

Mungkin itu cara Allah nak saya bersedia untuk menghadapinya. 

******

Antara salah satu lintasan hati yang terjadi dalam jeda masa yang singkat adalah sewaktu saya dan kawan-kawan sepejabat terlibat dalam kemalangan sewaktu kami dalam perjalanan balik daripada kuliah di UTM. 

Ketika dalam perjalanan pergi, saya tiba-tiba terlintas tentang 'apa saya perlu buat jika accident?' 

Maka, saya letak beg laptop di kaki sebab duduk di hadapan sebelah pemandu. Saya fikir jika kemalangan, harapnya bahagian depan kereta jika remuk tak terus terkena kaki saya. 

Saya juga pesan pada kawan saya di tempat duduk belakang yang masih dalam tempoh berpantang, untuk pakai tali pinggang. 

Alhamdulillah kami selamat sampai di UTM. Namun, ada lagi perjalanan pulang daripada JB ke Bandar Penawar yang kami perlu lalui setelah habis kelas dan selepas tunaikan solat Maghrib di UTM. Sempat saya berpesan berkali-kali pada sahabat di belakang untuk pakai tali pinggang. 

Dan Allah izin, dalam keadaan hujan itu, kami terbabas selepas kereta memotong dan masuk ke longkang dalam di tepi lebuh raya. Namun, rakan saya di belakang tidak pakai tali pinggang sebab dah terlena, dan tercampak keluar tidak jauh daripada kereta. 

Semua itu pernah saya ceritakan di entri ini. Dan ketika kejadian itu berlaku, ia seperti satu tayangan semula yang pernah saya lihat dalam mimpi suatu ketika dulu. 

Ada juga beberapa lagi peristiwa yang berlaku selepas Allah berikan firasat atau lintasan hati. Berdasarkan semua yang telah terjadi, hakikatnya saya tak mampu mengubahnya walaupun saya cuba dan usaha. Apa yang saya lihat adalah Allah beritahu saya, bahawa itulah kehendak-Nya atau mungkin itulah yang telah tertulis. 


'Katakanlah: "Siapakah yang dapat melindungi kamu daripada kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan Allah jika Ia hendak memberi  rahmat kepada kamu?) Dan (ingatkan lah) mereka (yang munafik) itu: bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapa pun - yang lain dari Allah - yang akan menjadi penolong dan pelindung mereka." 

 

(Surah Al-Ahzab ayat 17). 

 

~Ya Allah, kuatkanlah hati kami, teguhkan tali kami dengan-Mu, dan bimbinglah kami.~

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino