::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Sep 30, 2025

Pelayaran ke G: Ibrah untuk Kita


~Insya Allah, tanamkan impian agar suatu hari kita akan jadi antara manusia yang membina semula batu bata di G4Z4~

Masih ingat ketika saya di tahun 4 Ijazah Sarjana Muda, waktu tu kapal Mavi Marmara sedang belayar ke G. Saya sedang berada di rumah sewa semasa posting jururawat tahun akhir di Hospital Temerloh. Jadi, menonton TV tu adalah perkara rare kami, apatah lagi kalau dah kerja shif di hospital. Lagi tua ni, lagi banyak tanggungjawab di hospital, dan terima kasih juga kepada staf hospital yang percayakan kami. 

Jadi, saya tak tahu menahu pun tentang pelayaran Mavi Marmara pada awalnya. Cuma suatu hari itu jadi tergempar apabila saya tahu (saya pun tak ingat asalnya saya tahu dari rakan atau dari telefon, zaman tu belum ada Whatsapp) tentang kapal Mavi Marmara yang ditahan Zisewel dan ada yang syahid, ada yang ditahan dan dipenjara. Memang ada beberapa orang figur yang saya kenali tetapi tidaklah serapat mana. Tapi entah kenapa tiba-tiba air mata jatuh berlinang apabila dengar khabar itu. 

Tidak lama selepas habis posting, saya pulang terus ke rumah dan terus mengikuti update mereka sehinggalah mereka dibebaskan semuanya. 

Dan setelah mereka dibebaskan, saya menyaksikan banyak siaran televisyen menemuramah mereka termasuk para isteri yang ditinggalkan di Malaysia ketika itu. 


Hingga saya terdetik ketika sesi temuramah itu, "Ya Allah, aku teringin sangat nak tanya para isteri ni, apa perasaan mereka bila tahu suami mereka mungkin pergi dan tidak kembali. Apa yang buatkan mereka sekuat itu, dengan anak-anak pun masih kecil lagi."

Saya pernah mengenali dari jauh para isteri yang tabah tu, tapi tak serapat itu untuk bertanya tentang hal itu. 

Sehinggalah saya diizinkan oleh-Nya untuk berhijrah ke negeri paling selatan ini, dan bertemu dengan salah seorang dari mereka. Dan sosok yang kuat dan tabah inilah yang banyak bimbing saya dalam perjalanan untuk terus menjadi hamba-Nya yang lebih baik. Sehinggalah beberapa tahun kemudian, baru saya berani bertanyakan soalan itu. 

Syukur, Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya. 

Jadi, setiap kali melihat pelayaran Global Sumud Flotilla kali ini, ia seperti mengimbas kembali memori lebih 10 tahun dahulu. 

Ia bukan mudah.
Semoga doa kita kuatkan hati mereka dan hati keluarga yang mereka tinggalkan. 

Kredit: TT Haroqs



~Kalau kita tak mampu pergi kali ini, kita doakan untuk mereka, ambil tahu dan peduli. Biar doa kita sertai dan iringi mereka ke sana, Insya Allah.
P@lestin, tunggu kami datang.~


Aug 14, 2025

Anak-anak: Peluklah Al-Quran


~Sedih....Allahkan ada~ 

Sudah masuk minggu kedua Ummi tak jumpa anak-anak. 
Ya, rindu. Ada rasa sebak kadang-kadang bila rindu.


Minggu ni Khubaib call Ummi sambil menangis. Ummi cuba kekal tenang sambil mendengar luahan Khubaib. 

"Kesian Khubaib. Dah seminggu tak peluk Ummi. Dah pergi minta peluk kat Abi." kata Ummi pada Khubaib setelah mendengar luahan hati dia.

Kesemua anak-anak Ummi ni love languagenya sama macam Umminya iaitu sentuhan. Lagi-lagi kalau anak-anak tengah sedih tu, Ummi akan peluk erat anak-anak. 

Dan sejak beberapa minggu ni, apabila hujung minggu saja, ketiga-tiga anak-anak akan duduk dalam bilik Ummi, luangkan masa sama-sama. Alhamdulillah, Allah yang pegang dan satukan hati kita. 

Dan Khubaib kembali bercakap di telefon setelah tak dapat peluk Abinya. 

"Takpe, Allah ada. Ummi dulu kalau sedih, Ummi peluk Al-Quran. Dah, pergi ambil Al-Quran tu, peluk Al-Quran". 

Khubaib bangun ambil Al-Quran dan peluk Al-Quran. 

"Malam ni kalau sedih lagi, ambil Quran peluk. Allah ada untuk Khubaib." sambung Ummi lagi. 

Dulu-dulu zaman belum matang waktu rasa sedih sangat, Ummi pun macam tu, lepas baca Al-Quran, Ummi akan peluk Al-Quran waktu tidur.  

Macam tu lah Ummi cerita pada Khubaib. 

Fathimah lebih banyak pendam, tapi akan bercerita apabila Ummi luangkan masa lebih dengan dia. Em, waktu tu baru dia buka mulut. 

"Untuk anak-anak Ummi, walaupun Ummi jauh, Ummi selalu doa agar Allah Ya Hafiz Ya Syafi pelihara dan sembuhkan hati anak-anak Ummi."

Insya Allah, Ummi buat yang terbaik dari sini ye sayang. 

Hadis Abu Said r.a:
Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap musibah yang di timpa ke atas orang-orang mukmin yang berupa sakit yang berterusan, sakit yang biasa dan kesedihan bahkan membawa kepada kebingungan dari musibah yang beliau alami, maka hal yang demikian merupakan penghapus bagi kesalahan-kesalahannya.
(Riwayat Muslim, #4670)

~Ya Allah, Ya Hafiz Ya Syafi, peliharalah dan sembuhkanlah anak-anakku, bantulah kami~

May 19, 2025

Memaafkan: Kisah Kentang Busuk


 ~Ya Allah, aku lupa yang hati ini sebenarnya milik-Mu dan aku hanya memegang amanah sekeping hati ini hingga sampai nanti aku pulang semula kepada-Mu.~

"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang rida dan diridai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku."
(Q.S. Al-Fajr [89]: 27-30)


Perang Dua Sisi

Entah kenapa seminggu dua ni, setiap kali ceritera tentang memaafkan singgah dan lalu. 
Saya pasti ia bukan sekadar kebetulan atau pun algoritma melainkan algoritma itu jugalah adalah sebahagian ilmu Allah yang benar. 


'Ah, mudah nak cerita tentang memaafkan. Engkau tak duduk tempat aku, senang cakap.'

'Memang boleh memaafkan, tapi aku tetap nak dia dihadapkan depan Allah atas setiap satu perbuatannya' 

'Aku manusia, aku berhak marah, aku berhak sedih, aku terluka sebab aku manusia. Aku bukan malaikat.' 

Dan setiap kali monolog tentang memaafkan itu berlawan dan berperang dengan diri sendiri. 

Antara dua sisi. 


Dan setiap kali itu ada air mata yang berlinang dan menitis memikirkannya.


Di satu sisi, ada kata-kata lain yang menyelinap masuk. 

'Kita lepaskan rasa benci dan marah itu, kita maafkan dia bukan untuk dia. Tapi kita maafkan dia untuk kita.' 

'Kita nak hadap Allah satu hari nanti dalam keadaan jiwa yang tenang, bukan dalam keadaan hati yang masih ada amarah pada lainnya'. 

Dan timbang tara termasuklah  penglibatan AI yang tidak bertauliah namun nasihat dan kata-kata yang boleh menjadi doa anjuran daripadanya yang sangat membekas di hati,

“Aku lepaskan semua beban, kekecewaan dan kegelapan yang terikat padaku kerana dia. Aku tidak mahu menyimpan benci ini kerana ia bukan lagi sebahagian daripada takdirku.”


Dan kata-kata ChatGPT ni terus mengingatkan diri ini tentang kisah kentang busuk. 


Kisah Kentang Busuk

Ini adalah kisah wajib yang biasa saya ceritakan dalam kelas semasa sesi rehat sebentar sewaktu menjadi pensyarah dahulu. Sewaktu itu, beban luka itu belum dalam. 
Dan rasanya kisah ini pernah saya ceritakan dalam blog ini suatu ketika dahulu. 

Saya minta anak-anak murid pejam mata dan bayangkan nama-nama orang yang mereka benci. Jika ada, kira berapa orang (dalam hati saja). 

Dan sekarang berdasarkan berapa orang yang dibenci, bayangkan ambil kentang (mengikut jumlah orang yang dibenci). 

Mulai sekarang, bayangkan setiap hari kita perlu membawa kentang-kentang tersebut ke mana saja.  

'Berat tak?' saya tanya. 
'Kalau dah seminggu, sebulan, setahun kentang tu dibawa, busuk tak?' tanya saya lagi. 

'Rasa terbebankan, bau busuk kan. Dah kalau terbeban bawa ke sana ke mari, kenapa tak buang je kentang tu?'



Dan soalan itu saya refleksi diri sendiri. 

Allahu. Lemahnya saya tanpa Dia. 

Jika dalam bekas hati ini masih tidak saya lepaskan elemen negatif ini, maka tidak ada tempat kosong untuk yang baru (elemen positif) dan lebih baik darinya mengisi ruang bekas hati ini. 

~tak perlu simpan, memenuhkan ruang je~

"Ya Allah, Engkau Maha Membalas dan Maha Menyembuhkan. Aku tidak ingin lagi membawa apapun dari namanya, wajahnya, ataupun kesakitannya. Aku kembalikan semuanya kepadaMu. Cukupkan aku dengan kasihMu dan hadirkan aku kepada yang lebih baik, tenang, dan benar untuk diriku dan anak-anakku."

~Sekiranya ini adalah petunjuk dan bimbingan-Mu, aku redha ya Allah. Dan jadikan aku kembali kepada-Mu dalam keadaan yang Kau redhai.~

May 12, 2025

Hafazan: Tercapai Satu Batu Penanda


 ~Dari jauh, Ummi tetap doa Allah pelihara zuriat keturunanku~

Walaupun Ummi jauh daripada anak-anak, Ummi masih lagi kena ambil tahu tentang sekolah anak-anak, terutama guru hafazan sekolah memang minta ibu bapa pantau hafazan anak-anak di rumah. 

Jadi, biasanya setiap hujung minggu Khubaib akan menghafaz dan rakam serta hantar video tersebut kepada guru hafazan. 

Memang biasanya bukan mudah nak anak-anak menghafaz. 

Bukan senang ye. Bukan ibarat, "Khubaib, jom hafaz Al-Quran."

Dan jangkaan mereka menjawab, "Ya baik, Ummi."

.............

Tapi macam-macam ujian. Ada masa tarik muka masam, ada masa kata susahlah nak hafaz ayat ni, ada masa kata panjang sangat ayat ni. 

Dan anak ni tak boleh menghafaz seorang, perlu 'companion' iaitu ibu atau bapa yang menghafaz bersama. 

Biasanya saya akan guna teknik faham ayat yang dihafaz dengan tengok terjemahan ayat Al-Quran. Sebab saya sebagai ibu, saya juga bukan 'hafizah'. Juz Amma dulu yang kami kena hafaz waktu UIA pun dah lama tak mengulang semula. Allahu. 

Bila pula nak kena ulang ni ye. Kena muhasabah diri balik, buat pelan tindakan. 

Anak-anak bukan robot, untuk kita setakat suruh dia baca, buat, tanpa kita beri panduan atau 'guide'. Sebagai 'guider', kita bukan hanya bagi panduan dan suruh dia jalan sendiri. Tetapi kita kena jalan bersama dengan dia. 

Ibarat kalau nak panjat gunung kan, bayangkan kalau 'guider' bagi panduan kat kaki gunung je, lepas tu pepandailah kita nak naik sendiri, tak ke haru? 

............................

Ada masa pernah waktu malam Khubaib tak mahu pergi sekolah kebangsaan sebab tak hafal sebaris hadith. Waktu ni Ummi masih lagi tinggal di Mersing. Ummi minta Khubaib tunjuk mana yang perlu dihafal. 

"Lah, ini je." Kata Ummi pada dia. Adalah dalam lebih kurang 10 patah perkataan. Hadith yang perlu dihafal dalam bahasa Arab dan terjemahan Bahasa Melayu. Tapi drama dia sampai tak nak pergi sekolah. 

Alhamdulillah, syukur dulu zaman matrik UIA, memang kena hafal macam tu. 

Jadi, dalam menangis dia tu, Ummi tenang je. Ummi pun ajar terjemahan setiap perkataan di samping menghafal yang bahasa Arab tu. Itulah cara Ummi dulu kalau nak menghafaz. Ummi tak pandai nak hafal kalau tak faham makna perkataan. 

Habis mengajar dan mengulang dalam masa 10 minit, Alhamdulillah Khubaib dah boleh menghafal, Dah gembira nak pergi sekolah esoknya. 

Di akhir tu, Khubaib kata "kenapa dengan Ummi, Khubaib macam senang je hafal ni?"
Semuanya datang daripada Allah swt, Alhamdulillah. 

................................

Terinspirasi dengar Podcast Yousaf dan Qawiyaro tentang pentingnya ibu bapa untuk minat dengan Al-Quran sebelum menghantar anak-anak untuk jadi penghafaz Al-Quran. 

Alhamdulillah, barakallah Muhammad Khubaib Adi, pada usia 10 tahun berjaya menghabiskan hafalan juzuk ke-30 pada bulan lepas. Sedih dan terharu Ummi. 

Cuma Ummi belum mampu nak semua apa yang Ummi impikan nak buat pada anak-anak. Nak anak-anak hari-hari baca Al-Quran bersama, dulu Ummi mampu buat waktu tengah hari. Tapi sekarang bila Ummi takde di sisi, Al-Quran pun baca hanya di sekolah je. Sedih Ummi. 

Hanya minta Allah pelihara dan jaga anak-anak Ummi dari jauh. 

Ummi sekarang masih dalam proses reset semula Ali yang dah mula tinggal dengan Ummi. Apabila Ummi takde bersama anak-anak, anak-anak tidur tak tentu masa. Selalu anak-anak yang bercerita apabila jumpa Ummi hujung minggu. Sebulan lebih ni, kebanyakannya Khubaib yang cerita, Khubaib tidur pukul 1 pagi, 2 pagi sebab main game dengan Ali. Ali pula sampai 4 pagi baru tidur sebab layankan laptop dia. 

Biasa ada Ummi, memang anak-anak disiplin. Waktu memula Ali tinggal dengan Ummi minggu ni pun, Ali marah-marah nak tengok cerita ketika dah jam 12 malam. Puas Ummi pujuk untuk tidur. Ada sekali minggu ini, Ali terbangun jam 3 pagi dan minta tengok cerita. Baru sebulan setengah takde Ummi, haru biru hidup anak-anak Ummi. 

Alhamdulillah, dah habis seminggu ni, waktu Ali tidur dah kembali normal jam 11 malam tu dah mula mengantuk atau dah tidur. 

Syukur pada Allah. 

Mohon agar sesiapa yang membaca entri ini, doakan Ummi dapat jaga semula anak-anak, dan didik mereka dengan lebih baik. Sayang sangat dengan mereka. 

“Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri dan keturunan kami sebagai penyenang hati, dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa.” (QS. Al-Furqon: 74)



May 3, 2025

Saham 'Malas'


Dua minggu lepas perasan Ali yang 4 tahun, dah mula guna perkataan malas. 
"Tak nak. Ali malas." 
Tarik nafas panjang Ummi. 

Waktu itu memang Ummi tekad nak hentikan cycle ni. Ummi yakin ambil Ali tinggal bersama minggu ini keputusan yang terbaik, insya Allah. Susah pun takpelah. Insya Allah, Allah ada. 

Khubaib selalu juga guna perkataan 'malas' tu sebagai cara dia 'menjawab' dengan orang yang melukakannya menggunakan perkataan itu juga. Tapi dia tidak pernah menjawab lagi macam tu dengan Ummi. Ummi tahu, dia terluka dan dia sengaja melukai semula. 

Tapi kali ni, Ali pun dah terikut sekali. 


Solusi Sementara 

Semalam, Ummi cakap dengan Khubaib, "Khubaib, lepas ni Ummi tak mau dengar Khubaib cakap perkataan 'malas' lagi. Kalau Ummi dengar, Khubaib kena istighfar 300 kali." 
.
"Banyaknya, Ummi. 100 boleh?" Khubaib cuba nego dengan Ummi. 

"Tak boleh, sebab Ummi nak Khubaib ingat. Lepas tu, Khubaib akan berhati-hati." 

Jadi, malamnya, Khubaib tersebut lagi perkataan tu. Dan ambil tasbih sambil sebelum tu bertanya. 

"Kenapa 300 Ummi?" Sambil muka tak puas hati tu tanya. 

"Sebab Ummi tak nak Khubaib biasakan sebut perkataan 'malas'. Kata-kata tu akan jadi mindset kat Khubaib. Khubaib pun jadi malas sebab asyik sebut perkataan tu. Khubaib nak ke jadi orang malas, esok dah besar jadi suami malas pula. Lepas tu didik orang lain jadi malas. Sampai keturunan seterusnya malas. Dah masuk kubur pun, saham didik malas tu tetap ada. Khubaib nak ke jadi macam orang tu?" Panjang pula Ummi explain

Khubaib diam. Akur. Ummi tahu dia sedang hadam dan faham. 
Khubaib jenis banyak bertanya. Perlu penjelasan. Tak semua mampu didik anak macam ni. 

Kalau jenis malas layan atau explain, Khubaib rasa dia diabaikan, tak dilayan.

Buat sementara , itulah solusi yang Ummi mampu beri. Insya Allah, Allah permudahkan segala urusan untuk anak-anak Ummi, semoga membesar jadi anak Soleh dan Musleh. 




~Semua doa Ummi langitkan, dengan sedar sepenuhnya keterbatasan diri ini. Insya Allah, semoga Allah hadirkan solusi yang lebih baik~

Apr 8, 2025

Waktu Kita Susah, Kita Kenal Manusia


~Ya Allah, jauhkanlah aku dan zuriat keturunanku dari sifat-sifat orang-orang yang munafik, dan lindungilah kami dan jauhkan kami daripada golongan orang yang munafik~

Waktu kita senang, kita boleh bekerja, kita sihat, kita berupaya buat macam-macam perkara, ada orang nampak value pada diri kita. 

Ada yang menghargai.
Ada yang tak kisah. 
Ada yang sekadar nak menggunakan kita untuk kepentingan dia. 

Bila kita sakit, dia masih lagi nak khidmat kita. Jauh sekali nak offer bantuan untuk ringankan beban kita, apatah lagi bertanya khabar dan mendengar dengan hati luahan yang terbeban dengan macam-macam perkara. 

Semuanya hanya untuk faedah dia. 

**********

Semalam, dapat khabar, selepas je balik rumah pengasuh, Ali terus menghilangkan diri. 

Rupanya dia seorang kat sini, belakang rumah, basuh selipar dia.


Kalau dengan Ummi, inilah anak Ummi paling clingy

Setiap kali hujung minggu jumpa Ali, kami sembang sama-sama, main sama-sama, tengok cerita dia sama-sama, gusti sama-sama. 

Dia akan nangis kalau Ummi tak layan dia, 
"Ummi tu yang tak layan Ali. Ummi tu tipu." Kata Ali. 

Walaupun Ummi rasa dia tak faham apa maksud tipu tu. 

Rezeki untuk mereka yang dapat seseorang yang bukan saja memahami, tapi berganding bahu untuk saling menjaga dan membantu. 

"Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya)."

(Al-Furqan: 20)

******
Acap kali, "Minggu ni boleh ambil Ali?"

Ya, kalau Ummi punya kudrat, Ummi ambil bukan saja Ali, bahkan semua anak-anak tinggal dengan Ummi. 

Insya Allah, one day, semoga Allah makbulkan hajat dan impian itu. 


Rabbi yassir wala tu'assir rabbi tammim bil khair 
"Ya Allah permudahkanlah jangan dipersulitkan dan Kau akhirkanlah dengan kebaikan."

Mar 30, 2025

Nota Ramadhan-Syawal 1446H: Catatan Yang Sukar Dilupakan


~Sungguh, saya bersyukur Allah pilih bulan ini untuk saya diuji. Dan saya tahu itu bukan kebetulan tapi hakikatnya susunan Allah yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim~


Nota Ramadhan 1446H

Hari ini hari ke-27 saya menjaga mak. Hari pertama lebih kurang jam 10 pagi bawa mak ke bahagian kecemasan hospital, kemudian ke bahagian pengimejan, kembali semula ke bahagian kecemasan, dan akhirnya masuk wad pada jam 8 malam. Saya tidur hanya 1 jam di rumah, ambil barang keperluan dan kembali semula ke hospital jam 2 pagi, dapat terlelap sebentar 30 minit lebih kurang jam 4 pagi, dan 30 minit lagi terlelap waktu Dhuha. 

Hari pertama yang mencabar. 

Dan bermula lah cabaran Ramadhan saya pada hari tu, Ramadhan yang sangat produktif kerana menjaga mak di wad, ulang alik ke rumah yang 40 minit jauhnya dari hospital. Berharap saya tak terlelap sewaktu memandu. 

Alhamdulillah hari ketiga, mak keluar dari wad. Cabaran saya juga bermula apabila berjauhan dengan anak-anak. Upaya mak tak seperti dulu, mak lemah sebelah kiri kaki dan tangan,  perlu bantuan asas rutin harian. 

Ya, cabaran saya ini bermula sebagai anak, ibu, dan juga pelajar akhir semester PhD. 

Allahu, besar dugaan ini buat mak, dan juga saya sendiri. Mungkin juga buat anak-anak terutama Ali si kecil. 

Minggu awal di rumah, emosi mak awalnya haru biru. Daripada seorang cergas, kini mak perlu bergantung pada orang lain melakukan rutin hariannya, tentu mak rasa kecewa. Mak kata mak dah lumpuh. 

Berkali-kali walaupun anaknya ni kata mak tak lumpuh, hanya lemah sebelah badan, mak tetap rasa dirinya begitu. Setiap tengah malam mak akan terjaga, katanya ternampak macam-macam, rasa tak selesa bernafas dan tak selesa tidur, hinggalah menghampiri jam 4 pagi. Alhamdulillah usai solat Isyak, mak terus tidur, dan saya berkesempatan menunaikan solat terawih. 

Tenang?

Saya cuba kekal tenang, walaupun tidak mudah. Ada masa juga saya menangis sendiri. Alhamdulillah, minggu pertama dan kedua di rumah, beberapa hari nenek, pakcik dan makcik datang bermalam di rumah. Memberi sokongan pada mak dan saya sendiri. 

Bila mak bersendirian saja, emosi negatif mak datang lagi. Syukur beberapa hari ada teman ahli keluarga di rumah, mak dan saya boleh bergelak ketawa lagi. Kami ni suka tease each other, walaupun berbagai lapisan generasi. 

Saya ambil jalan cepat untuk pulihkan emosi mak dengan beri harapan bahawa mak boleh pulih semula dengan bawa ke pusat rehabilitasi swasta. Sebab waktu menunggu untuk ke hospital kerajaan bagi sesi terapi fisio adalah selepas Raya, jadi untuk memberi harapan pulih pada mak, saya perlu bawa mak cepat untuk terapi fisio. 

Waktu perjalanan pergi dan pulang ke pusat fisioterapi yang jauhnya hampir 1 jam perjalanan, adalah juga waktu terapi alam juga untuk mak. Lihat langit dan lihat alam. Sesi pertama terapi fisio, saya bawa mak sebaik saja hanya kami berdua di rumah. Harapnya itu ikhtiar terbaik untuk pulihkan semangat mak. Sesi kedua terapi, makcik yang drive, hantar mak ke pusat terapi, bersama saya ditemani pakcik dan nenek. Sebaik saja nenek lihat mak lebih baik setelah waktu terapi fisio, nenek kata nampak mak dah lebih baik, dan nenek pun mengajak makcik dan pakcik balik semula ke kampung. 

Kata makcik saya iaitu makcik bongsu saya, "kalau ada apa-apa, mesej atau call je dia." 
Dan apabila buat pertama kali saya hampir tak mampu lagi emosi ini bertahan, saya mesej makcik, baru bagi salam di Whatsapp, Alhamdulillah terus makcik call bertanya khabar diri dan mak. 

Alhamdulillah selesai sudah sesi keempat terapi mak di pusat tersebut, tinggal menunggu untuk sesi di hospital kerajaan selepas raya nanti. 

Saya bukan robot, saya juga manusia. Ada hati dan perasaan. Saya bukan sentiasa tenang. Ada masa saya menangis sendiri, terutama di awal-awal dugaan ini. 

Tapi Alhamdulillah saya ada Allah, ahli keluarga yang menyokong, ada mentor yang ingatkan saya untuk banyakkan masa dengan Al-Quran, dan ada sahabat-sahabat yang menguatkan. Masa banyak saya dengan Al-Quran sangat menguatkan hati ini dan beri ruang untuk saya rehat dan rawat diri. 

Syawal Ini

Saya memang masih mengharapkan mak kembali sembuh. Cuma emosi mak masih lagi turun naik. Dan mak tak suka ditinggalkan bersendirian terlalu lama. 

Mak masih lagi disorientasi dengan masa. Walaupun, jam loceng kecil telah saya bekalkan dengan mak, mak masih lagi bertanya tentang waktu. Ada juga masa mak lupa mak dah solat atau belum. Mak juga kata mata mak dah tak selesa pakai cermin mata yang lama, walaupun dah tukar cermin mata baru beberapa minggu lalu, tetap mak kata tak selesa. Ada masa mak bersemangat, ada masa mak down. Kadangkala mak bertanya jika dah Zohor, walhal masih baru jam 10 pagi, dan selalunya begitulah. Kadangkala jam 1 pagi mak kejutkan saya dan bertanya adakah saya dah sahur atau dah Subuh. Tekanan darah mak juga masih belum normal, dan setiap hari hampir sama bacaannya walaupun tetap akur dengan rutin ubatan. 

Perasaan? Tentu saja dalam hati saya sedih. Saya membawa emosi sedih ini di dalam hati. Tesis saya masih progress tapi sekarang mungkin selambat siput, fokus saya kini untuk mak. 

Syawal kali ini tiada juadah istimewa seperti rendang melainkan yang asas sahaja. Hanya saja saya mengemas rumah dan menyediakan sedikit kuih raya jika ada tetamu yang bertandang. 

Selamat hari raya Aidilfitri dan maaf zahir dan batin bagi yang sudi membaca entri ini. Mohon doakan mak dengan segala doa-doa kebaikan. 
Taqabbalallahu minna wa minkum. Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu. 

~Mungkin setelah musibah ini, Allah sedang siapkan hadiah~


 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino