::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Aug 31, 2009

Anak Merdeka


~Ramadhan, bertitik tolak memerdekan diri dari belenggu-belenggu dunia yang melekat di cerminan jiwa~

Hari ini bertarikh 31 Ogos 2009 / 10 Ramadhan 1430 H, sahabatku Mawaddah selamat melahirkan little mujahid Subuh tadi. Little mujahid nampaknya amat istimewa; lahir pada bulan umat Islam menyambut Ramadhan dan warga Malaysia menyambut Hari Kemerderkaan ke 52 tahun.

Semoga kelahirannya dalam bulan yang mulia menjadikan little mujahid seorang anak yang soleh dan musleh; dan kelahirannya pada Hari Kemerdekaan menjadikan little mujahid seorang anak yang merdeka dari belenggu-belenggu dunia yang memesongkan.

Rindu rasanya nanti sebab little mujahid tidak lagi dibawa ke kelas oleh uminya setiap hari. Rindu juga pada sahabatku yang sudah mula bercuti. Cuti hilang sementara 'geng' kami di kelas.

Moga kemerdekaan dan Ramadhan ini bukan saja memberi seribu erti buat sahabatku sekeluarga. Malah, erti merdeka jiwa dan hati yang memekarkan iman 'in conjunction with' Ramadhan memberi 2 kali ganda makna yang lebih mendalam pada umat Islam.

Alhamdulillah, sambutan kemerdekaan di Malaysia tahun ini rasanya lain sekali. Tiada bunga api yang kedengaran di malam hari kerana sambutan memeriahkan malam Ramadhan tu lebih hebat lagi. Tiada juga sambutan contohnya di KLCC dan diganti dengan majlis kesyukuran di masjid dan surau -surau. Merdeka kali ini disambut dengan pengabdian kepada Tuhan yang memberi nikmat keamanan dan kedamaian. Semoga sambutan merdeka kali ini 'lebih suci' berbanding tahun-tahun sebelumnya.


~Indahnya Ramadhan ini...~


-little mujahid Mawaddah & Hafiz-

Aug 30, 2009

Malu Mahkota Diri


~Malumu mahkota yang tidak perlukan singgahsana, tetapi ia berkuasa menjaga diri dan nama. Tiada siapa yang akan boleh merampasnya melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri.~


Lirik lagu Hijjaz itu begitu menyentuh perasaan ketika saya masih lagi berada di tingkatan. Benar, malu itu memang amat berkuasa. Tanpa rasa malu, wanita hanya seperti buah strawberi yang sudah lisut dan dijual secara lelong di pasaraya.

Malu itu sebahagian dari iman. Malu juga bertempat. Tidak berlebihan dan tidak terlalu kurang. Tidak sampai malu untuk berucap mahupun tidak terlalu kurang hingga merendahkan maruah dan martabat diri.

Wanita merupakan fitnah besar di akhir zaman. Peliharalah dirimu sebaiknya. Batasi pergaulan mengikut apa yang telah Islam gariskan. Andai diri pernah menjadi Zulaikha yang mengejar Yusof maka kembalilah menjadi Zulaikha yang menangisi dosa-dosanya pada Pencipta. Kerana cinta manusia semata itu hanya indah pada gelodak nafsu dan jiwa yang tidak cukup subur dengan baja iman dan taqwa.

Jadilah wanita yang membawa lelaki kembali menjadi pemimpin Islam dan mujahid yang sebenar dengan ikatan pernikahan yang terbina. Usah menjadi penggoda yang Maha Hebat untuk menunjukkan kecantikan, kelembutan, kebaikan dan segala kelebihan pada lelaki yang bukan ditakdirkan menjadi suami atau mahrammu.

Buat para daie, baik lelaki mahupun wanita yang seringkali tidak terlepas dari cubaan cinta berlampiaskan nafsu, hati-hati menjaga diri dan hati. Setiap cubaan yang datang menunjukkan Allah sedang menguji keteguhan singgahsana iman di hati. Semoga Allah memelihara insan-insan yang sentiasa memohon perlindungan dengan-Nya.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, dia berkata Rasulullah s.a.w bersabda:
'Cubaan selalu menimpa seorang mu'min, baik lelaki mahupun perempuan, baik hal itu terhadap dirinya, anaknya mahupun hartanya, sehingga dia menemui Allah dan tiada lagi kesalahan padanya."

Bayi Ramadhan



Sudah 10 tahun usia perkenalan dan persahabatan ini. Mawaddah dan Hafiz; semenjak di bangku sekolah hinggalah di ijab qabul kan dan sekarang menanti untuk menimang cahaya mata pertama.

Jumaat lalu, baru saja berseloroh dengan Mawaddah, "aku rasa little mujahid ni lahir 31 Ogos la Mawaddah."

"Aku pun harap macam tu. Biarlah minggu ni," jawabnya.

Penggunaan 'kau aku' hanya digunakan apabila kami bersembang berdua dan tidak digunakan dengan sahabat-sahabat lain yang menggunakan 'saya awak'.

Selalu saja kami bersembang tentang little mujahid mahupun pahit manis menjadi seorang ibu mengandung.

Selesai kelas, kami berpisah. Menuju untuk balik ke rumah masing-masing minggu ini. Sempat saya berseloroh kembali ketika bersalam dengannya, "Selamat bersalin Mawaddah."

Alhamdulillah, malam tadi mendapat berita yang Mawaddah sudah ada tanda-tanda untuk bersalin. Dah ada 'bloody show' (turun darah). Bukaan rahim sudah 1 cm. Nampaknya little mujahid sudah bersedia untuk melihat dunia.

Syukur kepada Allah. Semoga Allah membantu urusanmu, Mawaddah dan Hafiz. Buat Mawaddah dan Hafiz, setelah 9 bulan menunggu, kini masanya hampir tiba. Penantian untuk melihat little mujahid yang mula mewarnai hidup kalian berdua sudah hampir sampai masa.

Buat little mujahid, makcik juga tertunggu-tunggu kelahiran little mujahid. Tentu little mujahid sudah biasa mendengar suara makcik bila bersembang dengan umi kan. Semoga little mujahid menjadi anak yang soleh dan musleh, menjadi khalifah Allah di muka bumi dan hamba yang dicintaiNya. Juga menjadi penyejuk mata dan pententeram jiwa ayahanda dan bonda. Ameen.

"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: 'Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh daripada isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertaqwa'."
(Surah Al-Furqan, 74)

Aug 26, 2009

Pelangi untuk Ibu



~Bebunga kembang di hatimu melahirkan aromanya ke taman hatiku~

Seminggu dua ini, ibu nampaknya sangat bahagia. Ibarat berbunga kembang di taman hati. Saya menumpang gembira. Hampir tiap malam kami bersembang. Bersembang seperti sahabat sejati yang tidak pernah renggang.

Ibu, tika dulu hujan lebat membasahi daerah hati, dirimu turut terasa tempiasnya. Turut basah bersama anakmu biarpun cuba ku payungi setiap jalanmu bersamaku. Biarpun cuba ku tunjukkan betapa anakmu ini gagah menghadapi lopak air di jalanan, tetap dirimu memapah diri ini bersama merentasi tiap detik berjalan.

Ibu, kini anakmu berharap agar sinar mentari yang persis memancar dari awan yang berbalam bisa mendamaikan hatimu. Agar cahaya yang bersinar membias melalui titik-titik air hujan yang berbaki bisa menjadi pelangi bahagia dalam tiap hari-harimu. Semoga cahaya yang berserak itu bukan ilusi mahupun fatamorgana yang disalah tanggap diri.

Ibu, biar hujan lebat, musim kemarau mahupun musim bunga dalam tiap hari yang tiba, anakmu ini akan tetap tabahkan hati, menempuh jalan bersama denganmu. Biarpun setiap musim yang berganti bukan dalam jangkauan diri.

Ibu, moga pelangi yang tiba ini bukan kerana rabunnya pandangan, namun atas anugerah kebahagiaan dariNya untukmu...


~ Moga bukan pelangi sementara di taman hatimu~

Aug 25, 2009

Surau di Tepi Sungai


~Hilangnya saat itu membekas di hati. Namun, manisnya setiap Ramadhan yang datang memberi diri seribu erti.~


Beberapa hari lalu saya menelefon ke kampung, menanyakan khabar nenek tercinta. Selesai menelefon, rasa rindu yang teramat untuk berpuasa Ramadhan di kampung seperti di waktu zaman kecil dulu.

Sejak kecil lagi, saya suka bila tibanya Ramadhan. Rasa meriah menyelubungi kampung halaman dan juga sewaktu di zaman persekolahan.

Apabila Ramadhan sudah mula menampakkan tirainya, saya akan bertanya pada nenek akan bila kami akan bergotong-royong mengemas dan membersih surau untuk bertarawikh bersama ketika Ramadhan nanti. Surau di tepi sungai itu sudah lama. Berdirinya di situ semenjak saya masih sangat kecil lagi. Entah bila dibina saya pun tidak tahu. Yang saya tahu, saya sudah dibesarkan dengan kehadiran surau itu yang hanya berjarak 200m dari rumah.

Apabila tiba waktu bergotong-royong, rakan-rakan kecil saya juga akan turun padang membantu jiran-jiran yang bertandang. Rasa seronok bagi kanak-kanak kecil seperti kami; mengelap cermin tingkap, membantu mengangkat 'carpet' surau, membasuh pinggan mangkuk dan sebagainya. Kehadiran Ramadhan bagi kami ketika itu benar-benar terasa.

Tidak banyak kenangan berpuasa saya ketika di sekolah. Hanya yang saya ingati setiap kali di sekolah, guru-guru akan bertanya kepada kami tentang siapakah yang berpuasa pada hari itu.

Adakalanya di bulan Ramadhan itu demi menyelesaikan urusan-urusan tertentu, nenek dan saya akan ke bandar menaiki bas dari pekan kecil yang jauhnya 4 km dari rumah kecil kami. Dari pekan ke bandar mengambil masa 15 minit. Setiap kali kami berjalan jauh di sekitar bandar untuk membayar bil elektrik, air, atau ke bank, nenek akan bertanya kepada saya adakah saya mahu berbuka puasa atau tidak kerana melihatkan cucunya ini sudah nampak keletihan.

Saya juga masih rindu untuk bersolat terawikh di kampung seperti waktu kecil dahulu. Rindu untuk bersahur dan berbuka puasa dengan nenek. Rindukan waktu bergotong-royong bersama-sama seperti dulu. Namun, surau lama di tepi sungai itu sudah tidak digunakan lagi. Semakin usang namun masih menyimpan seribu kenangan.

Aug 24, 2009

Hypoglycaemic Day in Early Ramadhan



Hari ini hari pertama berpuasa sewaktu pembelajaran kembali bermula setelah cuti hujung minggu. Ditambah dengan assignment yang agak banyak untuk dihantar minggu ini, rakan-rakan sekelas kelihatan resah gelisah, terutama apabila berusaha sedaya upaya untuk menyiapkan presentation proposal quantitative research bermula esok hari.

Menjelang kelas petang, hanya tinggal beberapa orang yang stay di kelas untuk menyiapkan assignment dan mencari sumber dari internet.

Salah satu tanda-tanda 'hypoglycaemic' yang jelas kelihatan adalah ketika majoritinya mengalami confusion dan restlessness menjelang petang. Ada yang tidak keruan, wondering around, repetetive speech and behaviour dan macam-macam lagi.

Apa-apa pun, semoga kita semua selamat bermujahadah biarpun penat lelah bertungkus lumus di siang hari dan usaha berjaga di malam hari.

Salam mujahadah buat semua. Bersahurlah kerana terdapat keberkatan padanya.

Madrasah Ramadhan


"Apabila tibanya Ramadhan, terbukalah segenap pintu syurga, tertutup rapatlah segala pintu neraka dan syaitan dibelenggu kesemuanya."
Riwayat Bukhari dan Muslim

Pagi 1 Ramadhan itu, embun dan titisan hujan masih membasahi bunga-bunga dan dedaunan. Menyegarkan pepohon yang kehausan setelah berbulan berpanas di bawah terik mentari. Langit dan awan redup memayungi. Nyamannya alam terus menerjah ke hati.

Fizikalnya, kedatangan Ramadhan hadirnya begitu indah. Ramadhan ini memberikan harapan, membuka luas pintu rahmat dan keampunan buat hamba-hamba yang mendambakan kasih dan sayangNya.

Pembukaan Ramadhan ini ibarat sekolah tarbiyah bagi umat Islam dan menunjukkan bahawa Allah tidak pernah meninggalkan hamba-hambaNya begitu sahaja di dunia tanpa 'complete training' yang diadakan setiap setahun sekali ini. Madrasah ini menyediakan berbagai ujian, galakan dan mata pahala berganda bagi yang melepasi setiap ujian ibadah yang diberi.

Ramadhan ini mengajak manusia kembali kepada fitrah membersihkan hati, akal dan nafsu. Proses pembersihan ini menyahkan kotoran serta habuk-habuk dunia yang melekat di cerminan jiwa.

Semoga kita tergolong dalam kelompok manusia yang bisa keluar lulus dengan taqwa cemerlang di hujung persekolahan ini nanti.


"Solat fardhu lima waktu, Jumaat ke Jumaat berikutnya dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya adalah merupakan penghapus dosa bagi dosa yang berada di antara keduanya selagi mana seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar."
Riwayat Muslim
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino