::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Feb 28, 2010

Belajar Berkata Cinta



~Teman-teman akhirat diikat hati-hati dengan iman dan cinta kepada-Nya~

"Apabila salah seorang di antara kamu mencintai saudaranya, maka hendaklah ia memberitahukannya."
(HR Abu Daud dan Tarmidzi).

Cerita 1

Malam sudah larut. Diri sudah lena.

Kedengaran lantunan bunyi mesej masuk menggegarkan gegendang telinga.

Mata yang separuh terbuka mencari telefon bimbit di sisi.

Mesej dibaca.

Isinya: 'I love you'.

'Silap bagi mesej ke budak ni?' getus hati.

Sistem pesanan ringkas ditutup kembali. Telefon bimbit diletak tepi.

Mata ditutup rapat menanti lena.


Belajar Berkata Cinta

Hari ini saya nak bercerita tentang belajar mengungkapkan rasa cinta. Mengungkapkan rasa cinta kepada saudara-saudara kita yang telah diikat hati-hati kita oleh-Nya. Sebagaimana cintanya sahabat-sahabat Nabi kepada baginda Rasulullah s.a.w, seperti itu jugalah cinta yang ingin diungkapkan di sini.

Peringatan ringkas ini juga ditujukan kepada diri sendiri sebagai medan muhasabah. Kerana saya terlalu malu untuk mengungkap rasa cinta kepada sahibah-sahibah yang amat saya kasihi dan cintai dengan ikatan iman di hati. Mengapa ya? Adakah malu atau ego sebenarnya?

Dari Anas r.a, ia berkata: Ada seorang lelaki duduk di hadapan Nabi s.a.w, kemudian ada seorang sahabat lain berlalu.
Laki-laki tersebut lalu berkata; "Ya Rasulullah, sungguh saya mencintai orang itu (kerana Allah).
Maka Nabi s.a.w bersabda: "Apakah engkau telah memberitahukan kepadanya?
"Belum" jawab laki-laki itu.
Nabi bersabda: "Maka bangkit dan beritahukanlah kepadanya, niscaya akan mengukuhkan kasih sayang antara kalian."
Lalu ia bangkit dan memberitahukan: "Sungguh saya mencintai anda kerana Allah."
Maka orang ini berkata: "Semoga Allah mencintaimu, yang engkau mencintaiku kerana-Nya."
(HR Ahmad)


Cintailah mereka kerana Allah, maka Allah juga akan mencintai kita. Jujurnya, ada golongan manusia yang sukar mengungkap rasa tapi belajarlah. Mungkin kita lebih suka menunjukkkan dengan perbuatan bahawa kita mencintai teman-teman kita kerana Allah. Hakikatnya, apa yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w itu tentu ada keberkatannya. Baginda menganjurkannya kerana baginda cinta akan perbuatan itu, lalu contohilah baginda, nescaya Allah juga pasti akan mencintai kita.

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda:
Sesungguhnya ada seseorang akan berkunjung ke tempat saudaranya yang berada di desa lain. Kemudian Allah taala mengutus malaikat untuk mengujinya. Setelah malaikat itu berjumpa dengannya, ia bertanya: "Hendak ke manakah kamu?"
Ia menjawab: "Saya akan berkunjung ke tempat saudaraku yang berada di desa itu."
Malaikat bertanya lagi: "Apakah kamu merasa berhutang budi padanya sehingga merasa perlu mengunjunginya?"
Laki-laki itu menjawab: "Tidak. Aku mengunjunginya semata kerana Allah ta'ala.
Malaikat kemudian berkata: "Sesungguhnya saya adalah utusan Allah untuk menjumpaimu, dan Allah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah."
(HR Muslim)


Saya merasakan cinta yang terikat dengan iman ini sangat dalam kerana apabila sahabat menangis dan bersedih, saya juga turut merasa pedihnya. Kebahagiaan mereka adalah kebahagiaan saya. Teman-teman yang amat dikasihi dan dicintai, ana uhibbukunna fillah. Saya sayang dan cinta kamu kerana Allah.


~Moga ikatan hati-hati dengan iman ini mendapat redha-Nya jua~

Feb 26, 2010

Rasulullah, Dirimu Begitu Istimewa



~Malu rasanya mengatakan cinta kepada dia kekasih Allah, kerana dia insan mulia sedangkan diriku insan biasa~

Selawat dan salam atas Nabi junjungan, Muhammad s.a.w, ahli keluarganya serta para sahabat baginda.

Pagi 12 Rabiulawal Tahun Gajah, hening subuh bercahaya menerangi seluruh alam. Kelahiran seorang bayi yang dinanti-nanti. Ribuan tahun nyalaan api sembahan Majusi juga terpadam. Itulah istimewanya kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Biarpun tidak pernah melihatnya, sesiapa saja yang mengenali personalitinya, yang membaca sirahnya pasti akan terpesona dengan watak dan akhlaknya. Semua sifat-sifat mahmudah itu ada padanya. Padanya ada suri tauladan. Pada baginda itu ada qudwah hasanah untuk diteladani umat sepanjang zaman.

Jika tidak kerana pengorbanan dan perjuangan Nabi Muhammad, serta limpahan air mata dan darah baginda serta para sahabat, tentu sekarang ini tiada nikmat Iman dan Islam yang dikecapi oleh diri ini.

Rasa malu dengan diri sendiri. Sekiranya Rasulullah masih ada di sini dan melihat umatnya begini, maka apakah perasaan baginda Nabi?

Kalimat terakhir dari mulut Rasulullah sebelum menghembus nafas terakhir adalah "Ummati, ummati, ummati..." iaitu umatku, umatku, umatku. Betapa istimewanya kita pada diri Rasulullah yang amat mencintai umatnya. Sekiranya kesakitan maut itu juga boleh digalas oleh Nabi untuk semua umatnya pun baginda masih sanggup. Hanya saja Allah yang tidak mengabulkan permintaannya.

Saya juga bertanya pada diri. Sejauh mana kita kata kita cinta pada Nabi Muhammad s.a.w dan kita benar-benar menjunjung cinta itu? Sejauh mana kita benar-benar ingin menjadi pewaris perjuangan Nabi? Sejauh mana kita benar-benar mengingati baginda dalam tiap hari yang kita lewati?

Ya Rasulullah, maafkanlah kami. Kami berasa malu terhadap diri kami setelah begitu banyak limpahan keistimewaan yang Allah beri kepada kami hanya kerana kami ini umatmu, ya Rasulullah.

Ya Nabi Allah, kami punya banyak kelemahan diri. Pohon agar kami tetap menjadi ummatmu, menghargai nikmat Iman dan Islam yang kami miliki dengan limpahan darah dan air matamu. Sesungguhnya engkau Muhammad utusan Allah, menjadi tauladan sepanjang zaman. Tiada yang dapat mengganti keistimewaanmu pada kami ya Rasulullah. Kami adalah ummatmu dan kami ingin kembali menemuimu kembali di negeri abadi. Kerana kami cinta padamu. Kerana kami rindu bertemu denganmu.

Semoga Allah melimpahkan rahmat atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan sahabat baginda.

Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.
(Ali-Imran; 3:31)


~Rasulullah, kau begitu istimewa~

Feb 24, 2010

Jalan Hidup Penuh Hikmah



~Dia Maha Tahu. Serahkan hatimu pada-Nya. Yakinlah!~

22. Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa diri kamu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah.

23. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri,

24. Yaitu orang-orang yang kikir dan menyuruh orang lain berbuat. Barangsiapa yang berpaling (dari perintah-perintah Allah), Dia Mahakaya, Maha Terpuji.
(Al-Hadid; 57:22-24).


Segala puji bagi Allah yang mengurniakan nikmat Iman dan Islam, bahkan banyak lagi kenikmatan yang tidak dapat ditulis dengan pena.

Saya cuma nak berkongsi suatu cerita untuk kita fikir-fikirkan.

Cerita Si Pengembara

Al-kisah seorang pengembara merentasi sebuah negeri. Si pengembara merancang untuk meneruskan pengembaraan ke seluruh pelusuk negeri yang luas ini.

Oleh kerana si pengembara ini masih asing di negeri itu, maka, didatanginya pusat perkhidmatan pelancongan bagi memandu arah si pengembara tadi. Lalu, datanglah 3 orang penduduk negeri tersebut yang ingin menawarkan perkhidmatannya sebagai pemandu pelancong kepada si pengembara.

Pada mulanya, datang si pemandu pelancong yang pertama. Entah mengapa, setelah dilihatnya dari pandangan pertamanya, ternyata si pengembara tadi sukar mempercayai pemandu pelancong ini.

Kemudian, pengembara bertemu pula pemandu pelancong yang ke-2 dan ke-3. Ketua pusat pelancongan ini tiba-tiba meminta si pengembara menerima pelawaan pemandu pelancong yang ke-3. Dengan keyakinan yang telah diberi oleh ketua pusat pelancongan itu, maka, si pengembara bersetuju mengikut pemandu pelancong yang ke-3.

Ketiga-tiga pemandu pelancong ini membawa 'client' masing-masing melalui jalan yang berlainan.

Pemandu pelancong yang ke-3 ini membawa si pengembara melalui kawasan hutan. Pemandangannya sangat indah. Pohon-pohon tumbuh segar dan liar. Namun, tidak semena-mena, si pengembara tadi terpijak duri di atas jalan. Lalu, berjalanlah dia dengan kaki yang terhincut-hincut. Baru separuh perjalanan bermula, pemandu pelancong yang ke-3 itu terpaksa menghantar pulang si pengembara tadi.

"Kalau aku ikut pemandu pelancong yang ke-2 tadi atau pun yang pertama tadi mesti tak jadi macam ni." Getusnya sendiri.

Setelah pulang dari perjalanannya dan berpatah balik, si pengembara ingin segera mengadukan masalah tersebut kepada ketua pusat pelancongan tadi. Dalam hatinya tertanya-tanya mengapa ketua pusat pelancongan meminta dia memilih pemandu pelancong yang ke-3 tadi.

Lalu, sementara menunggu ketibaan ketua pusat pelancongan, maka ketemulah si pengembara dengan orang-orang yang mengikut pemandu pelancong pertama dan ke-2 tadi yang juga ingin mengadukan hal mereka.


Cerita orang yang mengikut pemandu pelancong yang pertama:

Pelanggan itu dibawa menikmati keindahan pantai di negeri itu. Kemudian, datang seorang kapten kapal mewah yang berlabuh menawarkan pekerjaan baru yang lebih lumayan gajinya kepada pemandu pelancong pertama. Pemandu pelancong pertama langsung menerima tawaran itu dan membiarkan pelanggannya sendiri di situ.

Cerita orang yang mengikut pemandu pelancong ke-2:

Pelanggan pemandu pelancong yang ke-2 pula dibawa jauh ke hujung negeri. Katanya, ada kawasan yang lebih menarik di situ. Rupa-rupanya, di situ pelanggan itu dirompak oleh pemandu pelancong tadi. Kemudian, dia melarikan diri.

Si pengembara termenung sebentar... Rupa-rupanya ada hikmah mengapa dia disuruh mengikuti pemandu pelancong yang ke-3 ini.

Hikmahnya?

Kadang-kadang kita rasa kita sudah melalui jalan yang cukup berliku. Tapi mungkin inilah jalan yang paling kurang durinya yang Allah mahu bagi pada kita.

Jika kita berhadapan dengan kesusahan setelah memilih satu-satu jalan dalam hidup setelah bertawakkal kepada Allah, kita harus yakin pada Allah.

Bila berhadapan dengan ujian atau masalah, kita mungkin fikir alangkah bagusnya jika dulu aku buat begini. Atau alangkah bagusnya jika dulu aku tak pilih jalan ini. Tidak perlu mengeluh. Bila kita sudah minta petunjuk Allah, kita sudah yakin pada Allah, kita perlu tawakkal.

Kadang-kadang mungkin kita tak tahu sebenarnya Allah nak selamatkan kita daripada bencana yang lebih besar. Sebab itu Allah beri bencana yang kecil sebagai tanda kasih dan sayang-Nya pada kita.

Allah sebenarnya sangat sayangkan kita. Hatta lebih dari sayang kita pada diri sendiri.

Bila kita belum nampak hikmahnya, bersabarlah. Suatu hari, insyaAllah, Allah akan tunjuk kepada kita hikmah dalam setiap apa yang telah kita serahkan kepada Allah.

Jika kita serah sepenuhnya takdir kita pada Allah, kita harus percaya bahawa Dialah pengatur terbaik dalam hidup kita. Dia tahu apa berada pada waktu semalam kita dan Dia juga Maha Tahu apa yang berada nun jauh di hadapan kita. Seluruh langit, bumi dan isinya ini adalah dalam genggaman-Nya.


~Wahai Tuhan, syukurku pada-Mu...~

Feb 21, 2010

Nota Buat Saudaraku



~Sebaik-baik Muslim itu adalah yang sentiasa memperbaiki dirinya~

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Allah yang mengurniakan hidayah dan Allah beri petunjuk pada manusia. Allah juga yang memilih siapa di antara kita yang diberikan nikmat Iman dan Islam.

Kata-kata Dr. Azizan masih saya ingati:
"Orang yang ikhlas akan istiqamah. Tetapi orang yang tidak ikhlas, Allah akan menyingkirkan dia."

Selesai Usul Isyrin, hati rasa sangat lapang. Sangat tenang. Bersyukur pada Allah kerana diberitahu dan faham apa itu 'faham'.

Banyak yang saya perlu perbaiki. Semakin banyak kita tahu dan faham, semakin kita kenal diri bahawa semakin banyak yang perlu kita tahu dan pelajari. Semakin banyak yang perlu dikoreksi.

Maka dengan rendah hati, dan dengan jiwa yang penuh kelemahan serta perlu banyak pembaikan diri, saya menuliskan nota ini.

Nota Buat Saudaraku

Saya adalah manusia biasa. Yang juga ada jatuh bangunnya. Saya teringat kisah seorang sahabat Rasulullah yang sudah hampir membunuh seorang musyrik ketika perang antara orang Islam dan orang Musyrikin. Ketika pedang yang dihunuskan hampir mengenai, musyrik itu meludah ke muka sahabat tadi. Maka, sahabat itu menarik kembali pedangnya. Kerana beliau tidak mahu membunuh kerana marahnya, dan bukan kerana Allah.

Maafkan saya saudaraku. Andai buat pertama kali saya jelas mengikut emosi diri. Nasihat yang berupa emosi jarang dipandang sebagai nasihat. Maafkan diri ini yang banyak khilafnya.

Saya sudah lama berlapang dada dengan anda. Tiada lafaz 'tiada maaf untukmu' yang pernah terbit di hati saya. Jika ada kesilapan tidak akan saya simpan ia sebagai dendam kesumat atau kebencian yang hanya menghancurkan diri. Saya sentiasa mengharapkan ada perubahan. Ada pembaikan. Biarpun pembaikan itu tidak dapat mengubah sejarah semalam dan keadaan. Anda berhak melakukan pembaikan diri. Kerana anda adalah seorang Muslim, dan setiap Muslim itu perlu bergerak ke arah yang lebih baik.

Jika kedamaian yang anda mahukan, tiada hunusan pedang dari saya untukmu saudara. Saya berlapang dada dengan anda. Saya mahu anda jadi Muslim yang terbaik dalam hidup ini. Jadi hamba yang Allah redha dalam hidup ini. Kerana itulah pengakhiran hidup yang kita cari.

Jika kita benar, Allah pasti membuktikan isi hati kita.

Maaf sekali lagi dari hamba-Nya yang kerdil ini.
Akhir kalam, semoga Allah meredhaimu dan kamu menjadi orang-orang yang dicintai-Nya.

Feb 19, 2010

Tetap Pendirian



~Indah hidup bila matlamat hidup juga jelas; Mardhatillah~

Kepala saya pening bila berhadapan dengan manusia-manusia yang tidak tetap pendirian. Manusia yang dianggap it's complicated ni memang wujud sebenarnya.

Apabila matlamat tidak jelas, jalan arah tujunya pun tidak jelas.

Cerita 1

"Macammana ya kita nak buat keputusan ni?"tanya seorang rakan pada suatu hari. Air matanya merembes.

Masalahnya ialah tidak tahu memilih lelaki yang mana untuk dibuat suami. Seorang amat disayangi namun, hubungan terhalang oleh ibu dan ayah. Seorang lagi berada berdekatan dan amat rela pula menyayanginya, sanggup terus berjumpa ibu bapa.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Bukan sekali dua kami bertemu untuk membincangkan masalah ini. Tapi dah banyak kali. Walaupun dah banyak kali, saya harap dia berubah. Berubah untuk lebih tegas pada diri.

Akibat tiada keputusan yang jelas dibuat, lalu, kedua-dua lelaki ini terus dihubungi.

"Tak payahlah nasihat dia tu. Kita pun dah rasa malas dah." Ujar seorang rakan lagi.

Namun, dalam hati saya bukan begitu. Dari jauh, saya masih berharap ada perubahan pada dirinya sendiri.

Tetap Pendirian

Dalam hidup ini, kita harus berani membuat keputusan. Serta berani untuk berhadapan dengan risiko keputusan kita.

Tidak kiralah dalam mencari pasangan hidup ke, atau membeli barang ke, atau merancang untuk bercuti ke dan lain-lain. Apa-apa saja perlu ketetapan pendirian. Jika tidak satu hari nanti kita jadi seperti Lebai Malang dalam cerita Melayu lama. Nak kejar ke kenduri di hulu tak dapat, nak kejar ke kenduri di hilir tak sempat.

Bila kita tetap pendirian, kita punya matlamat yang jelas untuk apa yang ingin kita capai. Bila sudah ada matlamat, kita tahu perancangan yang sepatutnya yang harus kita buat untuk capai matlamat tersebut. Sertakan sekali 'time frame' nya kalau boleh. Perkara sebegini juga memang selalu kita buat kalau kita buat program.

Tapi jika melibatkan 'program' dalam hidup, kita kena lebih disiplin. Kena lebih tegas pada diri. Kita berbincang dan merancang untuk sebuah kehidupan. Hidup ini amanah Tuhan. Allah tak jadikan kita hidup ini sia-sia atau main-main saja.

Cakap Secara Jelas

Seorang yang tetap pendirian biasanya akan terus melahirkan pendapatnya secara jelas. Bukan sekadar cakap di atas angin atau di atas pagar. Berlapik-lapik hingga tiada kejelasannya.

Mungkin ada yang kata bila cakap berlapik-lapik ini atau sengaja 'beat around the bush' ini lebih sopan bunyinya. Tapi jika hingga hilang kejelasan apa yang hendak disampaikan, maka hilanglah maknanya.

Usah sampai kata-kata yang sangat tidak jelas itu bertukar menjadi perkara yang menyusahkan.

Lihat saja Rasulullah sendiri, dalam menyampaikan wahyu baginda amat tegas biarpun penuh dengan kelembutan. Jika baginda tiada ketegasan dalam menegakkan yang haq, maka dakwah Rasulullah pada hari ini mungkin tidak sampai pun kepada kita.

Fikir-fikirkanlah...

"Dan apabila ada dua golongan orang mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu daripada keduanya berbuat zalim terhadap (golongan) yang lain, maka perangilah (golongan) yang berbuat zalim itu, sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara kedunya dengan adil, dan berlakulah adil. Sungguh, Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil."
(Al-Hujurat; 49:9)

Feb 18, 2010

Al-Quran Bujukan Hamba


~Bacalah Al-Quran, nescaya jelas bicara-Nya pada kita.~


"Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu. Masuklah ke dalam syurga-Ku."
(Al-Fajr; 89 : 29-30)


Pernah merasai hati yang sakit dan jiwa yang terhimpit?

Tiada ubat 'anti-depressant' atau ubat penenang yang mujarab untuknya. ECT (Electroconvulsive therapy) atau rawatan kejutan otak pada pandangan saya juga bukanlah terbaik menjadi penawar penyakit ini.

Apa yang terbaik?

Ubat yang paling mujarab ialah Al-Quran.

Apabila kita ingin berbicara dengan Allah, kita berdoa pada-Nya, kita sujud dan menghadirkan diri dalam solat untuk-Nya. Apabila kita ingin membaca kiriman surat cinta dari Allah, kita baca Kalam-Nya; Al-Quran.

Dia mengingatkan kita tentang azab seksanya api neraka supaya kita meninggalkan laranganNya dan sentiasa mentaatiNya. Dia memberitahu kita ganjaran dan kenikmatan syurga bagi orang-orang yang bertakwa supaya kita selalu meningkatkan keimanan kita padaNya. Supaya rasa rindu dan cinta kita yang utama itu hanya untukNya.

Apabila kita dilanda kesah, dilanda sendu, kita berinteraksi dengan Allah. Dan sering kita dapati Allah mendengar rintihan kita. Dari ayat-ayat yang kita baca melalui Kalam-Nya, Dia sedang berbicara dengan kita. Dia sentiasa bersama kita.

Apabila kita berhadapan dengan masalah, Dia menunjukkan jalan penyelesaiannya kepada kita melalui Al-Quran. Dia menasihati kita. Dia menegur kita. Kerana Dia tahu isi hati kita. Kita adalah hamba-Nya.

Petunjuk itu ada di dalam bicaraNya, di dalam Al-Quran tinggalan Rasulullah s.a.w kepada kita.

Pernahkah bila kita membaca Al-Quran, kita menangis, mengalirkan air mata deras ke pipi? Walhal kita tidak memahami isi kandungan yang dibaca. Itulah sebenarnya jiwa kita. Jiwa kita sedang menangis. Al-Quran sedang meleburkan karat di hati, menjernihkan ia kepada fitrah yang suci.

Sesekali juga saya sering dilanda dilema membuat keputusan, tapi Allah tunjukkan jalan. Kita perlu yakin dengan Allah. Perlu bersama dengan Allah. Kerana orang-orang yang beriman dan berkeyakinan dengan pertolongan Allah, pasti akan diberikan petunjuk dan hidayah untuknya.
Allah pasti akan membantu.

Merintihlah dan menangis akan kelemahan kita dengan Allah. Allah pasti mendengar dan mengetahui isi hati kita.

"Allah (pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya-Nya, seperti sebuah lubang yang tidak tembus yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam tabung kaca, (dan) tabung kaca itu bagaikan bintang yang berkilauan, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang diberkahi, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di timur dan tidak pula di barat, yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah memberi petunjuk kepada cahanya-Nya bagi orang-orang yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan bagi manusia. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
(An-Nur; 24: 35)

~Al-Quran itu cahaya-Nya yang menerangi jalanmu yang kelam dan sepi.~

Feb 17, 2010

Redha Allah dan Redha Ibu Bapa


~Untuk menggapai redha Allah, usah dibelakangi ibu dan ayah.~

Daripada Abdullah Amru, Rasulullah s.a.w bersabda:
Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.
(Hadith Riwayat Tarmizi)

Alangkah terpuji kisah Uwais Al-Qarni yang amat berhajat menemui Rasulullah kerana cintanya pada baginda. Beliau hanya pemuda miskin yang tidak dikenali di tempatnya, namun cukup disebut-sebut seluruh penghuni langit kerana ketaatannya pada ibunya. Ke mana-mana dia pergi, ibu tua dan tiada daya itu digendongnya.

Hingga kini, nama Uwais Al-Qarni terus menjadi sebutan, kerana dia seorang anak yang soleh.

Allah memuliakan kedudukan ibu dan bapa kepada kita. Kita hanya punya satu ibu dan satu bapa saja di dunia. Buruk atau baiknya, dialah orang tua kita. Yang wajib kita taat padanya melainkan hal-hal yang bercanggahan dengan perintah dan larangan Allah dan Rasul-Nya. Hatta pada seorang mualaf yang memeluk Islam sementara ayah dan ibunya masih belum beriman kepada Allah dan Rasul, hak-hak mereka sebagai ibu dan bapa harus ditunaikan selagi tidak menyalahi perintah dan larangan-Nya.

Ibu bapa menyayangi anak-anak yang telah mereka besarkan dengan susah payah selama ini. Mereka inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Sebab itu juga mereka ingin melindungi anak-anak mereka, iaitu diri kita.

"Bersyukurlah kepada Aku dan kedua ibu bapa kamu."
(Luqman:14)

Adakalanya kita bercanggah pendapat dengan ibu dan bapa. Mungkin ibu bapa kita kurang faham atau mungkin kita yang tidak faham mereka. Carilah puncanya. Tentu ada rasional di sebalik tentangan mereka. Berbincanglah.

Bagaimanapun, mereka tetap ibu dan bapa kita.

"Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah dan pohonkanlah keampunan untuk mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal."
(Ali-Imran; 3:159)


Bacaan lanjut:
Ustaz Hafiz Firdaus
Ustaz Hasrizal
Usrah Keluarga

~Gembira bercuti bersama ibu dan abah. Melihat wajah mereka juga kita beroleh pahala.~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino