::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Mar 24, 2010

Dilema Graduasi



~Hanya Allah yang Maha Tahu~

(1)

Kata rakan saya, akhir-akhir ini saya asyik termenung. Ya, ramai pelajar-pelajar tahun akhir juga sudah banyak yang termenung.

Ramai yang sudah menghantar resume, cuma saya saja yang baru nak menghantarnya. Hanya sudah menyiapkan resume yang diisi di laman jobstreet saja. Baru tadi, saya hendak memohon kerja untuk ke Timur Tengah. Mana tahu, jika ada rezeki di sana.

Saya bertanyakan pendapat sahabat saya.

"Awak, awak nak pergi seorang?" soalannya buat saya terkejut.

"Tak. Ajak Puteri (bukan nama sebenar) sekali."

"Awak tak kahwin lagi, nak pergi?"

"Tak boleh ke?"

Setelah beberapa minit perbahasan berlangsung, nampaknya permohonan itu saya tangguhkan buat sementara waktu. Akan saya fikir-fikirkan selepas ini.

(2)

Selepas habis menjawab kertas peperiksaan yang kedua, saya dan 2 orang sahabat saya makan bersama. Kemudian, kami bercerita tentang perancangan yang kami selepas graduasi ini.

Saya banyak mendengar, sebab saya mungkin ada cita-cita tetapi cita-cita ini perlu ada banyak pelan A, B dan C nya; perancangan apabila sudah berkeluarga atau perancangan ketika masih single.

Di fasa akhir, saya menyuarakan keinginan dan hala tuju saya ini. Kemudian, balas sahabat saya;

"Naddy kena tunggu ada suami dulu kot. Mana tau kalau minat suami lain pulak."

Saya diam kembali. Menarik nafas panjang.


*****

Ada lagi peristiwa lain yang bersangkutan dengannya, tetapi nampaknya biarlah hanya itu saja yang dapat saya coretkan. Saya sayangkan ilmu kejururawatan ini. Memang sayang. Namun, saya harus fikir panjang.

Saya mahu ada banyak masa dengan keluarga, ada masa untuk agama dan penyebarannya.

Dua tiga hari ini, saya pening-pening. Apabila malam rasa macam sesak nafas dan rasa nak muntah. Rasa macam nak keluar semua 'gastric juice' dari perut saya. Baru saya tahu, rupa-rupanya saya terlalu banyak fikir. Simptom-simptom ini saya pernah alami waktu saya di Tingkatan 5 dulu.

Ya, saya fikir sekarang saya usaha minta kerja mana-mana dahulu, jika di mana Allah tetapkan rezeki untuk saya selagi mana ia halal dan sesuai bagi saya sebagai seorang Muslimah, insyaAllah, saya akan terima.

Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.
(Al-Insyirah; 94:5-6)

Mar 16, 2010

Hidupku, Matiku Hanya Untuk-Mu



~Sesungguhnya Dia amat dekat, maka pohonlah kepada-Nya.~

Cerita 1

Gelap. Sekujur tubuh lemah di sudut dinding itu dirapati Nur Imtiyaz.

"Pergi! Biarkan aku" Di genggaman tangan lembaga genit itu ada serpihan kaca tajam.

"Ira, ingat Allah. Jangan bertindak terburu-buru." Nur Imtiyaz cuba menenangkan.

"Tiada siapa pun lagi yang perlukan aku di dunia ni. Aku hidup pun tak guna."

"Siapa kata tak ada orang yang perlukan awak. Awak hidup untuk Allah, Ira. Awak ada Allah dan awak ada saya."

"Aku rasa dah tak mampu, Nur. Aku lemah. Lihatlah serpihan kaca ini. Begitu lemahnya aku, sampaikan ia terlalu kasihankan aku dan tak nak melukakan aku." ujar Ira. Dia ketawa kecil diikuti esak tangis.

Nur Imtiyaz bergerak beberapa langkah perlahan menghampirinya.

"Allah sayangkan awak, Ira."

"Sayang?" Air matanya yang bergenang jatuh berlinang di pipi.

Tangannya terkulai ke sisi. Serpihan kaca di genggaman jatuh ke lantai.

Melihatkan Ira yang sudah kurang bertindak agresif, Nur Imtiyaz segera memaut dan memeluk sahabatnya itu. Pelukan Nur Imtiyaz tiada balasan. Ira hanya kaku memandang kosong ke lantai.

"Allah bagi aku ujian, tapi mengapa Dia tak bagi aku lenyap darinya?" Ira bersuara perlahan. Antara dengar dan tidak.

"Kita ada Allah, Ira. Dia mahu kita dekat dengan-Nya. Dia saja cukup untuk kita."

Titisan air mata mereka berguguran di situ.


Hidup kita, mati kita untuk-Nya

Pernahkah kita rasa seolah-olah hidup ini sudah tiada maknanya? Pernahkah merasa kesusahan, kesedihan dan ujian datang bertimpa-timpa tanpa batas masa? Pernahkah kita merasa amat lemah hingga kita rela terbaring lemah dari cuba untuk bangun semula menghadapi sisa hari-hari pendek yang Allah beri ini?

Begitu ruginya kita andai cuba mengakhiri sebuah kehidupan yang singkat in dengan mengambil jalan pintas untuk terus luput dari direktori dunia. Mudahnya manusia berputus asa tanpa mahu membangkitkan diri melihat hikmah di sebalik ujian dan dugaan hidupnya. Mudahnya manusia memilih untuk hidup di neraka Allah yang lebih panas membakar dari cuba untuk menghadapi ujian yang sementara dengan balasan dan ganjaran lumayan dari Allah sebagai timbal baliknya.

Jika di dalam cerita-cerita Barat mahupun bukan, kita seringkali ketemu atau mendengar ungkapan "I cannot live without you", ataupun "hidup ini tidak bermakna tanpamu".

Walhal, siapakah sebenarnya yang mampu mengizinkan mudarat ataupun memberi kebaikan kepada kita?

Semuanya hanya berlaku dengan izin Allah semata.

Manusia meletakkan pergantungan hidup kepada manusia lain dan isi-isi dunia yang bersifat sementara. Apakah ada kekuatan atau akan datang kekuatan jika sesuatu yang rapuh bersandar pada sesuatu yang sama sifat rapuhnya?

Kita hanya hidup untuk Allah. Dari Allah kita datang dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Mengapakah pergantungan dan sandaran kita lebih besar kepada isi-isi dunia yang bersifat sementara lebih daripada pergantungan kita kepada Allah yang sifatnya kekal abadi yang Maha Kuasa yang telah menciptakan sekalian alam ini?

Kita diciptakan untuk menjadi hamba kepada-Nya. Hamba yang diberi nikmat yang tidak pernah terhitung. Dan kita tidak diciptakan untuk mengabdikan diri kita selain daripada Allah semata.Mengapa kita mahu bergantung dan bersandaran pada yang lemah sedangkan kita ada Allah yang Maha Perkasa di sisi kita?

Dia sentiasa bersama hamba-hamba-Nya.

Hidup kita ini adalah untuk-Nya. Dan jika kita mati, mati kita itu juga untuk Dia. Untuk mencari redha-Nya dan kerana cinta kepada-Nya.

~Kita tidak dapat mengubah keadaan tetapi kita boleh mengubah persepsi kita dan diri kita kepada keadaan. Semuanya perlukan kekuatan. Dan kekuatan itu hanya datang bila kita bersama-Nya.~

Mar 11, 2010

Rahmat Hujan



"Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang."
(Al-Fatihah; 1:2-3)


Beberapa hari lalu, saya dengar desas-desus bahawa empangan di Kuantan akan kering. Panas terik hingga air tasik depan mahallah juga sudah nampak tebingnya.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah.

Petang ini saya rasa seperti mahu menari-nari di atas jalan tadi.
Hujan turun lebih kurang awal pukul 5 petang. Burung-burung berkicau girang menyambut ketibaan hujan rahmat dari Tuhan. Sengaja saya biar air hujan memukul-mukul muka.

Segala puji bagi Allah.

Walaupun hujan sudah teduh, saya tahu ia sudah merupakan nikmat yang besar Allah turunkan. Bukan sahaja pada manusia, bahkan pada tumbuh-tumbuhan, flora dan fauna.

Saya gembira.

Syukur, walaupun dalam keadaan fenomena El Nino ini di mana keadaan cuaca yang luar biasa kering terjadi di negara-negara tropika seperti di Malaysia, Allah masih turunkan hujan rahmat pada kita.

Semalam saya sedang praktikal di hospital pada waktu pagi, hujan yang turun tidak sampai seminit itu amat disyukuri oleh ramai manusia amnya.

"Alhamdulillah!" itulah ucapan yang saya dengar juga dari pesakit-pesakit di wad semalam.

Segala puji bagi Allah. Hari ini Allah beri lagi hujan yang turunnya mungkin tidak sampai sejam tetapi cukup menjadi rahmat buat hamba-hamba-Nya.

Apakah itu tanda Allah tidak sayangkan kita?

Ketahuilah bahawa Allah amat sayangkan hamba-hamba-Nya.

Bukankah seharusnya kita bersyukur?

~Allah sentiasa merindui hamba-hamba-Nya untuk kembali pada-Nya~

Mar 9, 2010

Episod Bunga Musim Panas


~Sebuah episod bunga musim panas yang mengajak manusia ini berfikir.~

Sudah beberapa hari tanah di UIAM Kuantan tidak disimbah hujan.

Panas sangat terik. Malam hari juga ibarat baru lepas bermain sukan, berpeluh-peluh rasanya.

Suatu hari ketika menuruni anak tangga dari mahallah (kolej kediaman), terbau haruman yang sangat menyegarkan. Saya mendongak ke atas.

'Patutlah, bunga kemboja ni dah berbunga rupanya.'

Jarang sekali pohon kemboja itu berbunga rimbun. Boleh dikira berapa kali saja dalam setahun.

Seminggu ini juga saya mengambil cuti rehat menulis blog.

Ada masa turun ke depan tasik di depan mahallah, menikmati tasbih alam kepada Penciptanya.

Tenang.

Baru perasan bahawa rupa-rupanya hampir di sepanjang jalan itu, bunga-bunga di pohon sedang berkembang mekar.

Antara Bunga Dan Manusia

Biarpun dalam keadaan panas yang terik, pohon-pohon tetap menjalankan tugasnya. Bunga-bunga tetap berkembang menurut perintah-Nya.

Sedangkan kita manusia masih mampu berteduh dari terik panas yang membakar, namun, banyak sekali perintah Allah yang tidak kita tunaikan. Masih banyak larangan Allah yang kita ingkari.

"Sesungguhnya telah kami ciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian."
(Surah At-Tin: 4)

Pohon itu tidak pernah berputus asa menunaikan tanggungjawabnya. Biarpun musim ekstrem melanda; panas terik mahupun hujan mencurah-curah tanpa terlihat matahari, bunga itu terus berkembang mekar memuji Rabbnya.

Bagaimana dengan kita?

Allah kurniakan kita akal untuk berfikir. Allah kurniakan kita anggota untuk bertindak dan beramal. Walhal, kita adalah sebaik-baik ciptaan yang Allah jadikan. Mengapa mesti kita jadikan diri kita lemah dan mudah berputus asa hatta pada rahmat Allah dan usaha-usaha untuk pembaikan diri dan persekitaran kita?

Lihat bunga musim panas ini.

Bandingkan pula dengan diri kita.

Kita punya kudrat. Boleh berteduh tika panas dan hujan. Kita selalu mengeluh, terutama apabila kita ditimpa ujian dan dugaan hatta hanya pada suhu atau cuaca yang tidak menentu.

Bukankah kita patut malu pada ciptaan Allah yang lainnya? Bukankah kita ini makhluk yang paling banyak Allah kurniakan nikmat?

Antara kita dan bunga itu, bukankah kita patut melakukan perkara yang lebih baik dan terbaik berbandingnya?

Ini kerana kita adalah sebaik-baik kejadian seorang hamba dan kita telah dipilih sebagai Khalifah oleh-Nya.

Renung-renungkan. Moga ia bermanfaat.

~Hayati kisah bunga musim panas dan diri kita...~

Feb 28, 2010

Belajar Berkata Cinta



~Teman-teman akhirat diikat hati-hati dengan iman dan cinta kepada-Nya~

"Apabila salah seorang di antara kamu mencintai saudaranya, maka hendaklah ia memberitahukannya."
(HR Abu Daud dan Tarmidzi).

Cerita 1

Malam sudah larut. Diri sudah lena.

Kedengaran lantunan bunyi mesej masuk menggegarkan gegendang telinga.

Mata yang separuh terbuka mencari telefon bimbit di sisi.

Mesej dibaca.

Isinya: 'I love you'.

'Silap bagi mesej ke budak ni?' getus hati.

Sistem pesanan ringkas ditutup kembali. Telefon bimbit diletak tepi.

Mata ditutup rapat menanti lena.


Belajar Berkata Cinta

Hari ini saya nak bercerita tentang belajar mengungkapkan rasa cinta. Mengungkapkan rasa cinta kepada saudara-saudara kita yang telah diikat hati-hati kita oleh-Nya. Sebagaimana cintanya sahabat-sahabat Nabi kepada baginda Rasulullah s.a.w, seperti itu jugalah cinta yang ingin diungkapkan di sini.

Peringatan ringkas ini juga ditujukan kepada diri sendiri sebagai medan muhasabah. Kerana saya terlalu malu untuk mengungkap rasa cinta kepada sahibah-sahibah yang amat saya kasihi dan cintai dengan ikatan iman di hati. Mengapa ya? Adakah malu atau ego sebenarnya?

Dari Anas r.a, ia berkata: Ada seorang lelaki duduk di hadapan Nabi s.a.w, kemudian ada seorang sahabat lain berlalu.
Laki-laki tersebut lalu berkata; "Ya Rasulullah, sungguh saya mencintai orang itu (kerana Allah).
Maka Nabi s.a.w bersabda: "Apakah engkau telah memberitahukan kepadanya?
"Belum" jawab laki-laki itu.
Nabi bersabda: "Maka bangkit dan beritahukanlah kepadanya, niscaya akan mengukuhkan kasih sayang antara kalian."
Lalu ia bangkit dan memberitahukan: "Sungguh saya mencintai anda kerana Allah."
Maka orang ini berkata: "Semoga Allah mencintaimu, yang engkau mencintaiku kerana-Nya."
(HR Ahmad)


Cintailah mereka kerana Allah, maka Allah juga akan mencintai kita. Jujurnya, ada golongan manusia yang sukar mengungkap rasa tapi belajarlah. Mungkin kita lebih suka menunjukkkan dengan perbuatan bahawa kita mencintai teman-teman kita kerana Allah. Hakikatnya, apa yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w itu tentu ada keberkatannya. Baginda menganjurkannya kerana baginda cinta akan perbuatan itu, lalu contohilah baginda, nescaya Allah juga pasti akan mencintai kita.

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda:
Sesungguhnya ada seseorang akan berkunjung ke tempat saudaranya yang berada di desa lain. Kemudian Allah taala mengutus malaikat untuk mengujinya. Setelah malaikat itu berjumpa dengannya, ia bertanya: "Hendak ke manakah kamu?"
Ia menjawab: "Saya akan berkunjung ke tempat saudaraku yang berada di desa itu."
Malaikat bertanya lagi: "Apakah kamu merasa berhutang budi padanya sehingga merasa perlu mengunjunginya?"
Laki-laki itu menjawab: "Tidak. Aku mengunjunginya semata kerana Allah ta'ala.
Malaikat kemudian berkata: "Sesungguhnya saya adalah utusan Allah untuk menjumpaimu, dan Allah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah."
(HR Muslim)


Saya merasakan cinta yang terikat dengan iman ini sangat dalam kerana apabila sahabat menangis dan bersedih, saya juga turut merasa pedihnya. Kebahagiaan mereka adalah kebahagiaan saya. Teman-teman yang amat dikasihi dan dicintai, ana uhibbukunna fillah. Saya sayang dan cinta kamu kerana Allah.


~Moga ikatan hati-hati dengan iman ini mendapat redha-Nya jua~

Feb 26, 2010

Rasulullah, Dirimu Begitu Istimewa



~Malu rasanya mengatakan cinta kepada dia kekasih Allah, kerana dia insan mulia sedangkan diriku insan biasa~

Selawat dan salam atas Nabi junjungan, Muhammad s.a.w, ahli keluarganya serta para sahabat baginda.

Pagi 12 Rabiulawal Tahun Gajah, hening subuh bercahaya menerangi seluruh alam. Kelahiran seorang bayi yang dinanti-nanti. Ribuan tahun nyalaan api sembahan Majusi juga terpadam. Itulah istimewanya kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Biarpun tidak pernah melihatnya, sesiapa saja yang mengenali personalitinya, yang membaca sirahnya pasti akan terpesona dengan watak dan akhlaknya. Semua sifat-sifat mahmudah itu ada padanya. Padanya ada suri tauladan. Pada baginda itu ada qudwah hasanah untuk diteladani umat sepanjang zaman.

Jika tidak kerana pengorbanan dan perjuangan Nabi Muhammad, serta limpahan air mata dan darah baginda serta para sahabat, tentu sekarang ini tiada nikmat Iman dan Islam yang dikecapi oleh diri ini.

Rasa malu dengan diri sendiri. Sekiranya Rasulullah masih ada di sini dan melihat umatnya begini, maka apakah perasaan baginda Nabi?

Kalimat terakhir dari mulut Rasulullah sebelum menghembus nafas terakhir adalah "Ummati, ummati, ummati..." iaitu umatku, umatku, umatku. Betapa istimewanya kita pada diri Rasulullah yang amat mencintai umatnya. Sekiranya kesakitan maut itu juga boleh digalas oleh Nabi untuk semua umatnya pun baginda masih sanggup. Hanya saja Allah yang tidak mengabulkan permintaannya.

Saya juga bertanya pada diri. Sejauh mana kita kata kita cinta pada Nabi Muhammad s.a.w dan kita benar-benar menjunjung cinta itu? Sejauh mana kita benar-benar ingin menjadi pewaris perjuangan Nabi? Sejauh mana kita benar-benar mengingati baginda dalam tiap hari yang kita lewati?

Ya Rasulullah, maafkanlah kami. Kami berasa malu terhadap diri kami setelah begitu banyak limpahan keistimewaan yang Allah beri kepada kami hanya kerana kami ini umatmu, ya Rasulullah.

Ya Nabi Allah, kami punya banyak kelemahan diri. Pohon agar kami tetap menjadi ummatmu, menghargai nikmat Iman dan Islam yang kami miliki dengan limpahan darah dan air matamu. Sesungguhnya engkau Muhammad utusan Allah, menjadi tauladan sepanjang zaman. Tiada yang dapat mengganti keistimewaanmu pada kami ya Rasulullah. Kami adalah ummatmu dan kami ingin kembali menemuimu kembali di negeri abadi. Kerana kami cinta padamu. Kerana kami rindu bertemu denganmu.

Semoga Allah melimpahkan rahmat atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan sahabat baginda.

Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.
(Ali-Imran; 3:31)


~Rasulullah, kau begitu istimewa~

Feb 24, 2010

Jalan Hidup Penuh Hikmah



~Dia Maha Tahu. Serahkan hatimu pada-Nya. Yakinlah!~

22. Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa diri kamu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah.

23. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri,

24. Yaitu orang-orang yang kikir dan menyuruh orang lain berbuat. Barangsiapa yang berpaling (dari perintah-perintah Allah), Dia Mahakaya, Maha Terpuji.
(Al-Hadid; 57:22-24).


Segala puji bagi Allah yang mengurniakan nikmat Iman dan Islam, bahkan banyak lagi kenikmatan yang tidak dapat ditulis dengan pena.

Saya cuma nak berkongsi suatu cerita untuk kita fikir-fikirkan.

Cerita Si Pengembara

Al-kisah seorang pengembara merentasi sebuah negeri. Si pengembara merancang untuk meneruskan pengembaraan ke seluruh pelusuk negeri yang luas ini.

Oleh kerana si pengembara ini masih asing di negeri itu, maka, didatanginya pusat perkhidmatan pelancongan bagi memandu arah si pengembara tadi. Lalu, datanglah 3 orang penduduk negeri tersebut yang ingin menawarkan perkhidmatannya sebagai pemandu pelancong kepada si pengembara.

Pada mulanya, datang si pemandu pelancong yang pertama. Entah mengapa, setelah dilihatnya dari pandangan pertamanya, ternyata si pengembara tadi sukar mempercayai pemandu pelancong ini.

Kemudian, pengembara bertemu pula pemandu pelancong yang ke-2 dan ke-3. Ketua pusat pelancongan ini tiba-tiba meminta si pengembara menerima pelawaan pemandu pelancong yang ke-3. Dengan keyakinan yang telah diberi oleh ketua pusat pelancongan itu, maka, si pengembara bersetuju mengikut pemandu pelancong yang ke-3.

Ketiga-tiga pemandu pelancong ini membawa 'client' masing-masing melalui jalan yang berlainan.

Pemandu pelancong yang ke-3 ini membawa si pengembara melalui kawasan hutan. Pemandangannya sangat indah. Pohon-pohon tumbuh segar dan liar. Namun, tidak semena-mena, si pengembara tadi terpijak duri di atas jalan. Lalu, berjalanlah dia dengan kaki yang terhincut-hincut. Baru separuh perjalanan bermula, pemandu pelancong yang ke-3 itu terpaksa menghantar pulang si pengembara tadi.

"Kalau aku ikut pemandu pelancong yang ke-2 tadi atau pun yang pertama tadi mesti tak jadi macam ni." Getusnya sendiri.

Setelah pulang dari perjalanannya dan berpatah balik, si pengembara ingin segera mengadukan masalah tersebut kepada ketua pusat pelancongan tadi. Dalam hatinya tertanya-tanya mengapa ketua pusat pelancongan meminta dia memilih pemandu pelancong yang ke-3 tadi.

Lalu, sementara menunggu ketibaan ketua pusat pelancongan, maka ketemulah si pengembara dengan orang-orang yang mengikut pemandu pelancong pertama dan ke-2 tadi yang juga ingin mengadukan hal mereka.


Cerita orang yang mengikut pemandu pelancong yang pertama:

Pelanggan itu dibawa menikmati keindahan pantai di negeri itu. Kemudian, datang seorang kapten kapal mewah yang berlabuh menawarkan pekerjaan baru yang lebih lumayan gajinya kepada pemandu pelancong pertama. Pemandu pelancong pertama langsung menerima tawaran itu dan membiarkan pelanggannya sendiri di situ.

Cerita orang yang mengikut pemandu pelancong ke-2:

Pelanggan pemandu pelancong yang ke-2 pula dibawa jauh ke hujung negeri. Katanya, ada kawasan yang lebih menarik di situ. Rupa-rupanya, di situ pelanggan itu dirompak oleh pemandu pelancong tadi. Kemudian, dia melarikan diri.

Si pengembara termenung sebentar... Rupa-rupanya ada hikmah mengapa dia disuruh mengikuti pemandu pelancong yang ke-3 ini.

Hikmahnya?

Kadang-kadang kita rasa kita sudah melalui jalan yang cukup berliku. Tapi mungkin inilah jalan yang paling kurang durinya yang Allah mahu bagi pada kita.

Jika kita berhadapan dengan kesusahan setelah memilih satu-satu jalan dalam hidup setelah bertawakkal kepada Allah, kita harus yakin pada Allah.

Bila berhadapan dengan ujian atau masalah, kita mungkin fikir alangkah bagusnya jika dulu aku buat begini. Atau alangkah bagusnya jika dulu aku tak pilih jalan ini. Tidak perlu mengeluh. Bila kita sudah minta petunjuk Allah, kita sudah yakin pada Allah, kita perlu tawakkal.

Kadang-kadang mungkin kita tak tahu sebenarnya Allah nak selamatkan kita daripada bencana yang lebih besar. Sebab itu Allah beri bencana yang kecil sebagai tanda kasih dan sayang-Nya pada kita.

Allah sebenarnya sangat sayangkan kita. Hatta lebih dari sayang kita pada diri sendiri.

Bila kita belum nampak hikmahnya, bersabarlah. Suatu hari, insyaAllah, Allah akan tunjuk kepada kita hikmah dalam setiap apa yang telah kita serahkan kepada Allah.

Jika kita serah sepenuhnya takdir kita pada Allah, kita harus percaya bahawa Dialah pengatur terbaik dalam hidup kita. Dia tahu apa berada pada waktu semalam kita dan Dia juga Maha Tahu apa yang berada nun jauh di hadapan kita. Seluruh langit, bumi dan isinya ini adalah dalam genggaman-Nya.


~Wahai Tuhan, syukurku pada-Mu...~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino