::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Mar 26, 2020

Hikmah COVID-19: Antara Bait Nasyid Yang Menjadi Nyata



Alangkah indahnya hidup ini
Pemimpinya adil, mengasihi rakyat
Ibu bapa mendidik dengan penuh kasih sayang
Anggota masyarakat tolong menolong 

Allah diagungkan, disembah dan ditaati 
Sunnah Rasulullah dihayati bersama
Kasih sayang sesama makhluk menjadi budaya
Maaf bermaafan menjadi tradisi

Para ulama berbintang-bintang bergemerlapan
Menjadi pedoman musafir di perjalanan
Mereka dipandu menuju ke destinasi 
Menghindar dari gangguan dan kesesatan

Tidak ada kasta-kasta di dalam masyarakat 
Setiap orang mendapat tempat masing-masing
Tidak ada yang terbiar dan tersisih 
Tanpa sangsi manusia terpelihara

Sewaktu di sekolah menengah dulu, saya sangat suka waktu petang-petang apabila mendengar alunan nasyid dimainkan di pembesar suara sekolah. Begitu juga pada hari minggu dan hari program sekolah. 

Walaupun saya sekolah sains, tetapi bab agama sangat di titik beratkan di sekolah. 

Saya bersyukur Allah hantar saya ke sekolah ini. Walaupun, pada mulanya saya enggan dan ingin bersekolah di sekolah King George V di Seremban, hajat itu ditentang oleh ahli keluarga. Saya diberi pilihan samada bersekolah di Kuala Lumpur atau di Kuala Pilah. 

Dengan berat, saya memilih bersekolah di Kuala Pilah, sekolah saya yang saya sayangi setelah itu. 
Benar kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. 

Baiklah berhenti sebentar bercerita tentang itu. 

Bait Lagu Yang Diimpikan

Antara lagu nasyid yang lekat di minda dan hati saya adalah lagu yang "Alangkah Indahnya Hidup Ini" nyanyian lagenda kumpulan-kumpulan nasyid seperti Hijjaz, Saujana, Saff-One. 

Selalu sangat saya dengar lagu ini dimainkan di corong pembesar suara. 

Ya, alangkah indahnya hidup ini, jika kepimpinan negara yang adil dan mengutamakan rakyat, sesuai dengan perintah Allah dan Rasul. 

Ya, alangkah indahnya apabila setiap anggota masyarakat menjaga lisan dan perbuatan daripada menyakiti orang lain. 

Ya, alangkah indahnya ibu bapa mendidik anak-anak dengan kasih sayang. 

Ya, alangkah indahya apabila ulama-ulama dijadikan panduan dan rujukan oleh masyarakat khususnya masyarakat Muslim. 

Semua itu adalah angan-angan indah bagi saya pada masa itu. Entah bilalah semua itu akan menjadi kenyataan. 

Yang pastinya, setelah pemerintahan kuku besi dan prophecy yang pelbagai berkenaan ujian dan fitnah, barulah Islam menang dan hadirnya pemerintahan yang adil. 

Saya tidak pernah secara spesifik berdoa untuk dapat pemimpin yang adil dan bertakwa dalam doa saya. Tetapi doa itu hadir sejak melihat situasi pemerintahan negaraku ini yang kian meruncing.


~Seorang mukmin itu tidak pernah tiada apa-apa, kerana padanya sentiasa ada doa sebagai kekuatan memohon daripada Tuhannya~

25 Mac 2020

Setelah pelbagai cubaan dan dugaan melanda dunia dan negara khususnya, hari ini saya benar-benar percaya dan keimanan Surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6 itu tersingkap sedikit demi sedikit.

Firman Allah s.w.t:
"(Sekali lagi ditegaskan ): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."

Hari ini saya semangat mendengar perutusan khas pada pukul 1 tengah hari, sesudah masak di dapur. Saya sudah memanggil suami, "Jom dengar perutusan khas."

Saat hingga ke akhir perutusan saya mendengar anjuran Perdana Menteri menganjurkan untuk semua rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan negara. Oh, itu masih biasa didengar di mana-mana perutusan. 

Kemudian, diikuti ucapan "Al-Fatihah". Aik, ada al-fatihah - hati saya terusik sendiri. Tapi saya ikutkan tanpa menadah tangan. 

Kemudian, disambung dengan doa oleh beliau. Tangan saya tadahkan. 

Allah, terdiam saya. Allahu, sentiasa saya impikan pemimpin negara sendiri mengimami doa kami. 

Doa terus dibaca dan hati saya menjadi sebak. Melalui bait-bait doa yang diucapkan, air mata mengalir tanpa rasa paksa.

Dalam keadaan yang sukar ini, Allah titipkan impian itu sedikit sebanyak menjadi kenyataan. Semoga ini adalah khabar gembira untuk kemudahan yang bakal Allah titipkan setelah kesukaran. Sepertimana bulan Rejab ini ada Israk Mikraj, hadiah daripada Tuhan yang diberi kepada Rasulullah s.a.w yang telah melalui tahun dipulau dan tahun duka kehilangan orang-orang kesayangan baginda.

Semoga Allah memberkati kami. Semoga Allah mengangkat keburukan dari wabak ini daripada kami dan seluruh umat Islam dan dunia umumnya yang sedang bergelut dengannya.

Semoga kebaikan dan hikmah daripada wabak ini akan kekal bersama. 

~Doa itu senjata, jika kita tiada apa pada kita, pandanglah pada doa sebagai usaha kerana janji Allah; setiap kesulitan pasti disertai kemudahan~

Mar 15, 2020

Kegundahan Yang Terjawab


~Cukup Allah hantar sekecil-kecil makhluk saja untuk mengkucar-kacirkan dunia, tidak perlu Dia menghantar sebesar-besar makhluk sebagai bala tentera. Maha hebat Allah tetapi kita selalu rasa diri kita sudah paling hebat!~


~Simptom bawaan  si kecil virus Corona~

Maaf, sudah dua bulan saya tidak mencoret di blog ini. Ada yang saya tuliskan tetapi tidak disiar. Entah kenapa. Saya gundah sejak beberapa hari sebelum tahun 2020 hinggalah tahun baru itu menerjah kita. Dalam erti kata lain -tak sedap hati-.

Kegundahan itu berterusan. Tanpa saya tahu apa sebab yang sebenarnya.

Masih saya simpan draf coretan bulan Januari itu di bawah ini.

Januari 2020

Beberapa hari sebelum tiba tahun baru Masihi, langit cerah dan mentari terik menyinar di kepala. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah.

Kami di negeri Johor ini baru sudah melalui hari-hari hujan dan mendung sehingga banjir melanda di sini dan kawasan sekitar. Ramalan cuaca akan adanya gelombang banjir kedua memang sedikit sebanyak merisaukan. Keadaan hari-hari yang panas kemudiannya menamatkan ramalan tersebut.

Masuk saja ke tahun baru 2020 ini, hari mendung sepanjang hari. Hujan mula turun tetapi tidak selebat dan selama seperti kejadian bah kelmarin. Angin masih kuat bertiup. Entah mengapa hati ini gundah menghadapi tahun baru ini.

Ibarat masuk ke rumah baru tetapi membawa masalah yang lama.

Tahun Baru Masalah Dibawa

Saya tidak tahu adakah kerana saya sudah dewasa dan dapat melihat permasalahan yang melanda hari ini yang sememangnya lumrah hidup bermasyarakat atau ia sememangnya sesuatu konflik masyarakat yang semakin parah.

Jika tahun baru masalah dibawa, semoga tahun baru ini kita sama-sama cari solusi. Dan bukannya tahun baru ini yang ada yang membawa dan menambah masalah.

Coretan Mac 2020

Hari ini kegundahan saya yang lama terperuk di hati itu terjawab.

Satu demi satu.

Bermula dengan masalah kepimpinan negara yang semakin meruncing dan kucar-kacir

Kini, masalah pandemik Covid-19 yang merisaukan seluruh dunia. Ekonomi, sosial, mental, semuanya terganggu.

Hari ini saja, Malaysia mencatatkan ranking tertinggi jangkitan Covid-19 di Asia Tenggara dengan jumlah 428 kes.

Semoga setakat ini sajalah jawapan itu terhenti. Kerana saya takut sendiri, kiranya jawapan kepada kegundahan ini terus dijawab oleh Yang Maha Mengetahui dengan rentetan peristiwa yang tidak mampu kita tangani.

Mesej Dari Dia

Firman Allah kepada kita:

"Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan kepada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."
[Al-Baqarah; 2:155]

Apa sajalah di dunia ini milik kita?

Harta sudah tak bererti bila kita terlantar kesakitan. Kesihatan tubuh badan boleh diikhtiarkan tetapi kesakitan dan kematian itu datang dengan izin-Nya jua.

Rasa takut dan rasa tenang itu juga bukan milik kita. Keamanan dan kekucar-kaciran dalam hidup mahupun dalam masyarakat tidak mampu kita jamin dalam genggaman.

Sebab sesungguhnya segalanya tidak mampu dijual beli. Tidak mampu ditebus dengan nilai segunung emas.

Kerdilnya manusia. Itupun masih kita sibuk mendabik dada bahawa kita punya segalanya dengan kuasa.

Sedangkan kuasa itupun pinjaman dari Dia Yang Maha Kuasa.

Hatta ketenangan dalam hati pun kita perlu meminta kepada Tuhan. Miskinnya kita sebenarnya.

Dunia Yang Sedang Diuji

Pesan Nabi junjungan yang kita cintai agar selalu membaca surah ini bukan saja sebagai pelindung di kubur nanti tetapi ingatan ketika kita masih belum dikuburkan.

Dalam Surah Al-Mulk ayat 1 dan 2;

"Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah ia Maha Kuasa atas- tiap-tiap sesuatu; Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). 

Kita semua sedang diuji dengan perkara yang sama pada kali ini. Banyak negara yang terkena tempiasnya, dan berbagai-bagai solusi dan pencegahan yang dilaksanakan tiap-tiap negara.

Kita semua sedang diuji. Namun, sejauh manakah kita meletakkan pengharapan kita pada Dia. Sekerap manakah kita menadah tangan memohon dan meminta serta sedalam manakah rasa harap kita pada Dia untuk mengangkat semula wabak ini dari dunia ini serta memberi pelindungan kepada hamba-Nya yang kerdil ini?

Allah uji kita semua bukan untuk saja-saja dan suka-suka.

Ini ujian untuk kita. Untuk lihat siapakah yang lebih amalnya.
~Jaga diri, semoga Allah juga menjaga kita~
Jangan lupa menjaga diri dan orang-orang yang disayangi.

Selain ikhtiar untuk sama-sama menjaga diri, jom kita sama-sama doa pada Allah kerana kita tidak pernah tahu doa siapakah atau waktu bilakah permintaan kita akan diijabah.

Dalam ujian ini, Allah sedang melihat kita.
Usaha dan kemudian bertawakkallah!

~Sabar, syukur, takut dan harap; semuanya kita bergantung pada Allah Yang Maha Segalanya.~

Nov 10, 2019

Katakan Sollu Ala Nabi


~Semoga anak-anak kecil kita membesar dengan besarnya cinta mereka kepada Allah dan Rasul serta meneladani baginda s.a.w~

Khubaib memang selalu bertanya soalan trivia sejak kecil. Akhir-akhir ini soalannya dah macam kuiz agama atau ujian lisan agama kepada Ummi.

Kadang-kadang sambil dia menyanyi lagu-lagu yang di pelajari di sekolah, dia akan berhenti sebentar untuk bertanya maksudnya.

"Ummi, Islam tu apa?"
"Ummi, hamba-hamba yang Soleh tu apa?"
"Ummi, malaikat dicipta dari cahaya. Cahaya lampu ke cahaya matahari?"

Kena pula Ummi dia cerita sekali beza cahaya lampu dan cahaya matahari tu macam mana.

Dan banyaklah lagi soalan menguji minda yang keluar daripada mulut seorang anak 4 tahun ni.

12 Rabiul Awwal 1441H
Katakanlah (wahai Muhammad) "Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Ali Imran: ayat 31)

Malam tadi selepas Maghrib, Khubaib berkata pada Ummi.

"Ummi, ceritakan pada Khubaib tentang Nabi Muhammad pesuruh Allah."

Amboi, penuh ayat dia.

Jadi, Ummi pun ceritalah sinopsis kisah Nabi Muhammad s.a.w daripada baginda mula dilahirkan sehingga baginda berkahwin dengan Siti Khadijah r.a.

Masuk waktu Isyak, kami berhenti bercerita.

"Kita sambung esok je lah ye." Kata Ummi pada Khubaib yang duk teruja tu.
"Alah, Ummi cerita lah lagi."
"Okay, lepas solat Isyak nanti, Ummi sambung cerita, boleh?"
"Yeah, yeah, Ummi nak cerita. Bestnya!" Suka Khubaib.

Teruja betul dia nak dengar cerita tentang Nabi Muhammad s.a.w.
Ummi sewaktu besar Khubaib bahkan lebih besar dari Khubaib dulu pun tak teruja sebegitu.

Allahu. Ummi kenal budi pekerti Nabi Muhammad s.a.w ni sebagai suri teladan pun apabila dah besar. Lewat tumbuh rasa cinta itu.

"Dah, malam ni tidur awal. Nak ikut Abi pergi selawat atas Nabi esok tak?"
"Nak! Nak!"

Teringat Ummi, kalau di masjid, apabila jemaah habis solat  dan mereka berselawat dalam saf sambil bersalaman, Khubaib memang teruja nak bersalaman. 

Kalau Abi takde dalam saf pun, dia tak malu untuk beratur dalam saf bersalam sambil selawat.

Banyak lagi cerita kami kongsi tentang susuk tubuh insan mulia itu. 

Semoga Khubaib bukan saja suka dengar cerita tentang baginda Rasul bahkan mencontohi akhlak Nabi Muhammad Rasul Allah s.a.w.



Sollu Ala Nabi!

~Selawatlah ke atas Nabi dan contohilah dia. Suri tauladan untuk kita berkelakuan seeloknya dalam kehidupan ini menuju kehidupan seterusnya. ~

Sep 23, 2019

Jerebu Di Mata Kasar Dan Mata Hati


~Istighfar; solusi jerebu yang kelihatan di mata kasar dan mata hati~


Jerebu melanda beberapa tahun sekali tetapi kesannya berpanjangan dan membimbangkan. 

Tak perlulah rasanya saya menulis tentang bacaan indeks pencemaran udara (IPU) yang semakin membimbangkan ataupun kesan-kesan jerebu kerana ramai antara kita sudah maklum. 

Jerebu ini terjadi ada punca dan pasti ada penyelesaiannya. 

Rengsa juga mata saya selepas keluar seketika pergi ke kedai membeli barang-barang keperluan. Tak tahu bacaan di daerah Mersing ini kerana tidak ada pembaca IPU di sini. Hanya mengharapkan bacaan IPU daerah-daerah berdekatan seperti Kluang dan Rompin sebagai penanda aras tahap keselamatan kami di sini. 

Jerebu ini bukan setakat merengsakan mata bahkan kalau memandu boleh jadi mata yang melihat pemandangan sangat tak selesa. 

Itu baru cerita pemandangan yang kabur terhalang oleh partikel-partikel halus. Bagaimana pula kalau terjadi jerebu di mata hati?

Jerebu Mata Hati

Waktu jerebu yang berpanjangan, ada masjid-masjid yang mengadakan solat sunat meminta hujan ; solat sunat istisqa'. Dianjurkan juga agar setiap kita memohon keampunan daripada Allah dengan memperbanyakkan Istighfar seperti firman Allah s.w.t dalam Surah Nuh, ayat 10-12: 

"maka aku berkata (kepada mereka), "Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, sungguh, Dia Maha Pengampun, nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat kepadamu, dan Dia memperbanyak harta dan anak-anakmu, dan mengadakan kebun-kebun untukmu dan mengadakan sungai-sungai untukmu."

Hebatkan Istighfar.. Bukan saja nak bagi meredakan jerebu dengan turunnya hujan dan berbagai rezeki lagi yang Allah akan bagi. 

Mohon ampun daripada Allah bukan saja redakan jerebu di mata kasar tetapi sekaligus meredakan jerebu di mata hati. 

Segala masalah dan solusi untuk kehidupan dan ketenangan hati, Allah dah bagi dalam satu pakej. 

Hujan Di Bumi Mersing

Ketika saya menulis entri ini, hujan baru saja berhenti di bumi Mersing, setelah beberapa hari tiada hujan yang turun.
Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. 

Syukur pada Allah. Terima kasih Allah beri hujan pada kami.

Sewaktu angin yang bertiup dan awan hitam kelihatan di kaki langit setengah jam yang lalu, keadaan gelap dan anginnya agak menakutkan. Saya mengajak Khubaib bersama-sama membaca doa meminta hujan yang bermanfaat. 

"Allahumma soyyiban nafia'. Ya Allah, berilah kami hujan yang bermanfaat."

Inilah doa rasa takut dan harap hamba-hambaNya. Kami mengharapkan hujan yang memberi kebaikan dan bukan awan gelap yang membawa berita duka yang melanda umat-umat ingkar Nabi terdahulu. 

Setelah hujan gerimis bertukar menjadi hujan renyai-renyai, saya melihat ada burung-burung yang sama di pokok-pokok di berdekatan yang tidak pergi berteduh semenjak dari tadi. Dok terfikir juga, tak takutkah mereka jika ada ribut, angin yang kuat ini menerbangkan mereka atau bunyi guruh dan petir yang bila-bila boleh menyambar?

~Nikmat manakah yang mampu aku dustakan?~


Alangkah hairan, bahkan burung-burung ini menyanyi-nyanyi dan berterbangan berpusing-pusing bersama-sama di sekeliling pokok. Tentu hujan ini sangat dinantikan mereka. MasyaAllah hebatkan burung-burung ciptaan Tuhan. Seperti begitu teruja dengan kedatangan nikmat Sang Pencipta. 

Ingatan buat diri kita khasnya saya sendiri, agak-agak bila hujan turun waktu jerebu ni, ingat tak kita ucap syukur pada Allah? Terujakah kita menerima nikmat yang Allah Maha Kaya kurniakan untuk kita hamba yang serba miskin ini?

Terima kasih duhai burung-burung yang menjentik hati!



Aug 31, 2019

Merdeka: Sudut Pandang Seorang Isteri


Hari Kemerdekaan 2019 ini saya di Mersing. Pagi-pagi ini tidak apa yang mengujakan.

Alhamdulillah dapat menghirup udara segar. Tanpa ada huru-hara di negara ini.

Alhamdulillah semoga terbebas dari belenggu jiwa dan nafsu dan cukup menjadi hamba Allah yang satu.



Merdeka Seorang Isteri

Hari ini saya masih menghitung hari berbaki seminggu menunggu suami saya pulang daripada bumi barakah.

Sangkaan saya bahawa saya akan baik sahaja tanpa diselubungi rasa rindu pada suami sepanjang tempoh 40 hari. Yalah, jadi suri rumah dan kadang-kadang apabila suami pergi kursus berhari-hari di luar daerah ibarat alah bisa tegal biasa.

Tetapi perasaan dan rindu ini bukanlah satu perkara di bawah kawalan saya. Tatkala Allah datang menghantar ia ke dalam hati, saya rasa sedih sendiri. Kerdilnya saya ini.

Sangka saya ini kuat tetapi Allah Maha Hebat. Entah apa doa suami saya untuk isterinya ini di tanah Mekah, hanya Allah saja yang Mengetahui dan pastinya Allah sedang memakbulkan doa suamiku itu.

Setiap hari tak pernah lepa saya menerima mesej WhatsApp dari suami. Tak tinggal gambar-gambar yang dikirim ketika di sana.

Kemerdekaan dari pengertian sudut pandang seorang isteri adalah untuk berada di sisi suaminya. Untuk menjadi seorang isteri yang diredhai suami selagi dalam redha Allah SWT. 

Merdeka seorang isteri bukanlah membebaskan diri dari izin seorang suami. 

Ketaatan pada suami bukanlah satu belenggu dan penjajahan. Ketaatan seorang isteri pada suaminya adalah satu usaha untuk menjadi hamba Allah yang mendamba cinta dan syurga Allah.

Harmoni Malaysia ku

Selamat hari kemerdekaan buat semua rakyat Malaysia. Semoga Allah menghadiahkan kita keharmonian dalam kehidupan ini sebagai seorang individu, pasangan hidup, ibu bapa mahupun jiran tetangga.

Semoga keharmonian dan keselamatan mampu kita berikan pada mereka yang duduk bersama kita. Harmoni dari segi fikiran, tutur kata dan perbuatan.

Selamat Hari Kemerdekaan ke-62! Sayangi Malaysia ku.

Jul 30, 2019

Abi Naik Haji


~Semoga kita juga sampai di sana suatu hari nanti~

Ketika entri ini ditulis kurang 36 jam Abi akan bertolak dari lapangan terbang KLIA menuju ke Tanah Suci.

~update 1 Ogos dari Abi: semoga kita juga sampai di sana nanti~

Berkali-kali Abi mohon maaf semenjak dapat tawaran haji sebab tak bawa Ummi sekali. Yelah, terutama bila ramai bertanya 'kenapa tak bawa isteri sekali?'.

Keterujaan Abi semenjak 2013 untuk pergi menunaikan haji akhirnya Allah jemput kali ni. Kalau musim kursus haji, dialah orang yang setia pergi setiap minggu walaupun namanya tak tersenarai untuk pergi tahun itu. 

Bertahun dia begitu, gigih pergi menimba ilmu sampaikan kalau kami travel pun, isterinya lah jadi setiausaha tukang survey tempat kursus haji di kawasan sekitarnya.

Benarlah kata-kata orang mahupun penceramah di kaca TV:
"Allah tak jemput mereka yang berkemampuan tapi Allah memampukan mereka yang dijemput."
"Pergilah kursus haji walaupun kita rasa mungkin lambat lagi nak dapat giliran pergi sebab kadang-kadang jemputan Allah ke Tanah Suci memang tidak dapat disangka."

~Semoga menjadi Dhuyufurrahman yang mendapat kemabruran~

Saya sendiri tidak buat persediaan untuk menunaikan haji sebagaimana bersungguh-sungguhnya suami saya membuat persediaan. Macam tu juga waktu zaman nak dilamar dulu, selepas kali kedua pertemuan sesi taaruf dan selepas kami berdua beroleh keputusan, terus katanya ibu dia nak datang jumpa saya ( terus cerita pasal majlis perkahwinan dan testing cincin), dan kali keempat kami bertemu adalah ketika hari saya dilamar. Beza pertemuan kali ketiga dan keempat itu hanyalah seminggu!

Kesungguhan terhadap sesuatu yang sangat jarang ditemui.

Antara Takut Dan Harap

Tentunya sesiapa saja gembira apabila dijemput menjadi tetamu Allah. Namun, apabila semakin dekat waktu, katanya rasa gementar seperti antara hidup dan mati. Adakah benar perasaan para Dhuyufurrahman yang lain begitu?

Apapun, semoga perjalanan haji Abi baik-baik saja dan mendapat haji mabrur yang dicita-citakan. Semoga Allah permudahkan segala urusannya. 

Kami menunggu kepulangan Abi. Ada lagi janji Ummi pada Abi yang belum Ummi tunaikan.

Semoga Ummi juga di sini akan baik-baik saja. Tetapi yang paling terkesan tentunya Khubaib sebab rapat dengan Abi.

Rutin hampir setiap hari, dialah yang bangun awal pagi pergi ke masjid untuk Solat Subuh bersama Abinya. Termasuk waktu Maghrib dan Isyak.

Walaupun adakalanya dia bersolat jemaah, adakala dia bersolat separuh rakaat dan separuh lagi bermain atau terbaring lalu tertidur terus di masjid, tetapi tak mengapalah, tetap Alhamdulillah.

Sekurang-kurangnya kata orang, biar anak-anak berlari di masjid, jangan lari dari masjid.

Nampaknya nanti sekali sekala Ummi kena bawa Khubaib solat di masjid buat lepas rindunya.

Allah SWT berfirman:
"Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan binatang-binatang korban, dan kalong-kalong binatang korban itu. Yang demikian itu, supaya kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
(QS. Al-Ma'idah 5: Ayat 97)

"Abi pergi Kaabah tapi Khubaib tak nak Abi pergi Kaabah." Kata Khubaib.

Semoga baik-baik saja nanti Khubaib di Kompleks Tabung Haji menghantar Abi seawal 3-4 pagi nanti. Harap tak meraung macam di tempat parkir tempoh hari ketika kami menghantar Abi naik bas ke kursus perdana haji peringkat negeri Johor. Habis menjadi tatapan dan tumpuan umum.

~Allahuma yassir wa la tu assir.~

Jul 3, 2019

Cita-Cita: Apabila Jalan Itu Panjang Dan Menduga



Cita-cita adalah jalan kejayaan, 
kesungguhan adalah kenderaannya. 
~Dr. 'Aidh Al-Qarni~

Semua orang ada kemahuan. Ada yang betul-betul mahu, ada sekadar berangan, ada yang berusaha dengan ilmu.

Dicapai atau tidak, itu semua ketentuan Allah. Di situlah wujudnya tawakal atas segala yang telah kita usahakan. 

Apa yang telah anda cita-citakan dan telah dicapai?
Ada yang sedang anda usahakan tapi belum tercapai?
Semoga Allah merahmati usaha kita.

Ada cita-cita kita sekadar dalam masa singkat, ada juga yang perlukan masa dan usaha berpanjangan.

Nadwah: Cita-Cita Yang Kesampaian

Antara cita-cita saya yang boleh dikatakan diuji dengan jalan yang panjang dan ujian yang menduga adalah keinginan saya untuk pergi ke Nadwah Kepimpinan Islam Sekolah Berasrama Penuh.

Nadwah Kepimpinan Islam SBP ini adalah perhimpunan sebahagian para pelajar Badan Dakwah atau Persatuan Kebajikan Pelajar Islam daripada seluruh sekolah berasrama penuh.

Sewaktu Tingkatan 1, apabila tengok kakak-kakak naqibah balik daripada Nadwah, saya menyimpan hasrat untuk pergi ke sana. Bertemu dengan orang-orang yang hebat sahsiahnya seperti kakak-kakak naqibah saya, walaupun saya tahu itu bukanlah jaminan untuk saya sebab saya pun bukannya baik sangat. Ketika itu yang saya tahu, saya juga nak jadi baik dan bertemu dengan orang-orang yang baik.

Setiap tahun dari 1999 sehingga 2001 itu, saya tatapkan kakak-kakak yang dapat pergi dan pulang dari Nadwah, dengan harapan agar saya dapat juga ke sana nanti.

Perjalanan untuk menjadi baik selama 4 tahun itu bukanlah satu jalan lurus. Ia jalan yang berliku dan penuh menduga dan menggoda. Zaman remaja baru nak naik, bak kata orang.

Rekod sahsiah dan rekod istilah bersih daripada ber'couple' dalam atau luar sekolah semestinya perlu dipertahankan.

Hampir-hampir juga saya tergelincir di waktu Tingkatan 3. Waktu Tingkatan 3 ini jugalah pemilihan naqibah dijalankan oleh kakak-kakak senior.

Zaman ketika itulah jugalah zaman 'chatting' generasi saya di mIRC dan hampir terpengaruh dengan ajakan-ajakan kawan sehingga jadi peneman di KLCC  buat pertama kali dan terakhirnya pada tarikh 14 Februari.

Tetapi Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, segala kejahilan yang datang tidak melekat di hati dan Allah jumpakan orang yang baik saja dalam tahun ketiga itu. Mungkin juga nama kalium_sulfat dan kuprum_sulfat yang saya gunakan di mIRC itu agak nerd bunyinya.

Terima kasih Allah.

Tawaran Menarik Terakhir Di Ambang Nadwah 

Habis ujian-ujian hebat selama tiga tahun itu, akhirnya saya boleh menarik nafas lega apabila hampir tiba tarikh untuk pergi ke Nadwah Kepimpinan Islam ketika saya di Tingkatan 4.

Kali itu, sebelum Nadwah, Allah uji lagi tekad hati saya.

Allah datangkan tawaran-tawaran menarik melalui guru-guru saya ketika saya dipanggil ke bilik guru.

Tawaran pertama;

"Nadiah, awak nak tak pergi Pertandingan Sajak di Radio 1 RTM?"

Tawaran kedua;

"Nadiah, awak nak pergi Pertandingan Debat PROSTAR Kebangsaan?"

Kedua-dua tarikh tersebut bertindan dengan tarikh Nadwah Kepimpinan Islam yang akan diadakan di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang. Salah sebuah sekolah yang memang lama sangat saya nak kunjungi.

Tawaran yang sangat menarik itu terpaksa saya lupakan. Saya ajukan nama sahabat-sahabat saya yang saya rasakan kriteria mereka sangat menepati kelayakan tawaran daripada guru-guru saya. Terima kasih cikgu atas kepercayaan cikgu pada saya.

~Awal tahun tingkatan 4 sebelum Nadwah, masih dalam proses untuk berhijrah yang belum serius tapi berusaha melabuhkan tudung melepasi bahu~


Nadwah;  Impian Titik Pelaras Kehidupan

Saya berharap saya boleh berjumpa dengan orang-orang yang hebat sahsiah dan akhlak mereka di situ. Saya berharap juga saya akan jadi insan yang lebih baik di pandangan Allah.

Allah uji tekad dan kesungguhan saya semenjak saya cita-citakan untuk ke Nadwah. Kerana setiap ujian itu tentulah untuk menguji kesungguhan hati dan jiwa hambaNya.

Kalau kita kata nak berubah, Allah akan uji, sungguh-sungguhkah kita nak berubah demi Allah?

Kalau kita kata kita cinta Allah, Allah akan uji kata-kata kita. Adakah sekadar kata-kata atau kerana kita betul-betul sayangkan Allah?

Kalau kita kata kita inginkan Syurga, adakah kita sedang berusaha dengan amalan untuk layak ke Syurga?

Kalau saya kata saya benar-benar ingin ke Nadwah kerana Allah, adakah saya benar-benar bersungguh atau hanya sekadar kata-kata saja?

Cita-cita ke Nadwah banyak mengajar saya tentang kehidupan.

Ketika di Nadwah, saya rasa aman dengan suasana Islamiah, bersama-sama mereka dengan berbudi pekerti, bersama-sama dengan mereka yang dah baik atau nak baiki diri seperti saya.

Sejak itu, saya berharap saya akan ke Syurga bersama dengan mereka yang Soleh dan Solehah. Hati saya sangat terkesan dengan asbab ke Nadwah. Saya rasa tenang.

Balik daripada Nadwah, saya berkongsi cerita dengan sahabat-sahabat saya yang juga pulang daripada pertandingan debat dan sajak. Saya bersyukur biarpun pertandingan yang lain tidak kurang hebat dan menarik tetapi saya tetap yakin bahawa saya tidak salah memilih.

Saya percaya bahawa penantian dan tekad saya selama 4 tahun untuk ke Nadwah bukanlah satu yang sia-sia. Bahkan ia membawa saya ke haluan yang lebih jelas tentang makna sebuah kehidupan.


Blog Hatiku Milikmu 

Ia rentetan perjalanan cerita kehidupan bertitik tolak daripada cerita pengguna blog bernama Raudhatul Nadwah yang terinspirasi daripada Nadwah Kepimpinan Islam SBP 2002.

Sebab itu jugalah asal nama e-mel saya adalah nad_wah dan kemudian terpaksa ditukar kepada nad_wahh sebab sewaktu tingkatan 5 dah lama tak buka e-mel sampai tak boleh buka dan kena buat akaun baru. Mohon maaf saya pinta pada sahabat saya di KISAS sebab tak dapat baca dan balas emel ketika saya di tingkatan 5. Semoga Allah balas segala jasa kebaikan yang diberikan sahabat saya itu. Sekurang-kurangnya saya bersyukur sahabat saya dah mencapai cita-citanya untuk berbakti di atas awan. 

Al-maklumlah zaman belajar di asrama, dapat keluar asrama pun kadang-kadang sebulan dua kali. Buka e-mel apabila waktu outing sahaja. Apabila dah tingkatan 5, lebih banyak program sekolah hujung minggu, lebih kurang peluang untuk keluar outing. Saya juga sudah terlebih fokus pada pelajaran pada ketika itu.

Saya juga belajar sesuatu dari itu iaitu fikirkan tentang orang lain dan jangan anggap orang lain faham tentang keadaan kita selagi belum kita sampaikan.
Kerana hanya Allah saja yang Maha Tahu.

Benar, kehidupan adalah satu proses pembelajaran.

Ibrah Nadwah Dan Sirah

Banyak yang telah saya perkatakan seperti di atas.

Saya teringat sirah Rasulullah s.a.w apabila baginda ditawarkan dengan harta yang banyak, pangkat yang besar bahkan dipujuk sendiri oleh Abu Talib bapa saudara baginda untuk menghentikan dakwah Islam; baginda bersabda:

"Wahai bapa saudaraku, seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, aku tidak akan meninggalkannya hingga aku binasa."

Inspirasi dan motivasi sepanjang zaman.

Kenapa Entri Nadwah?

Apa yang menyebabkan saya termotivasi untuk menerbitkan entri ini?

Saya juga ada menyimpan impian. Berusaha. Doa. Solat istikharah, hajat.

Hingga sampai beberapa minggu lepas saya katakan pada suami yang saya sudah putus asa untuk itu.

Saya rasa dah penat dan semakin tua.
Suami saya ikutkan saja.

Antara lain yang tidak saya katakan adalah saya selalu terdengar motivasi untuk menuju ke arah impian itu tetapi saya buntu. Rasa seperti tidak nampak jalan keluar.

Rasa macam jauhnya nak habiskan acara larian 800m. Walaupun pernah juara tapi macam dah tak mampu lagi. Ambil sajalah acara 100m walaupun mungkin hanya dapat nombor tiga. Mungkin itulah analoginya.

Semalam ketika bercakap dengan seorang Profesor selama lebih 20 minit di telefon membuatkan saya merenung kembali kecekalan hati ini. Merenung kembali impian yang sering saya sasarkan.

Saya berharap saya akan kembali cekal dan tabah seperti saya suatu ketika dahulu yang beriya dan berhajat sangat untuk ke Nadwah.
Berusaha!


 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino