~Di sudut setiap hati insan, semuanya mahukan ketenangan, kegembiraan dan kebahagiaan. Dan ketenangan, kegembiraan dan kebahagiaan yang hakiki adalah apabila kasih sayang Allah itu menaungi diri~
"Ketika kita mengetahui bagaimana cara mendidik pemuda, mengajak, dan mengarahkan mereka, maka ketika itu kita mengetahui bagaimana cara kita menjadi da'i."
-Dr. 'Aidh Al-Qarni-
Kami Mahu Bulatan Gembira
Prolog
Seorang guru menunjukkan video ini kepada para pelajarnya.
Selesai video itu ditayangkan, semua murid-murid bertanya;
"Bulatan gembira tu apa, Cikgu?"
"Bulatan gembira sama macam apa yang dikatakan dalam video ini. Kita bersama-sama berkumpul buat bulatan dan ingat mengingati kerana Allah. Sama macam sesi tazkirah yang cikgu selalu buat ni cuma bulatan gembira tu dalam bulatan dan jumlah ahlinya lebih kecil."
"Kenapa sini kita takde bulatan gembira? Cikgu, kami nak bulatan gembira."
Dan hati guru itu juga amat berbunga gembira mendengarnya.
Ramai tahu Allah itu Pencipta mereka tetapi sedarkah kita ramai yang tidak mengenal sifat-sifat Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya.
Sedihnya, ramai manusia mudah putus asa pada mereka yang tidak pernah mengenal atau kenal secara sipi-sipi sahaja Allah dalam hidupnya.
"Tak payahlah buang masa ajak orang macam tu. Takkan diendahkannya."
"Hati keras macam batu, macammana kau nak cairkan?"
Tidak sedikit sekali yang berkata begitu.
Mengapa dengan tanpa usaha kita sudah meletakkan natijahnya?
Bukankah tugas manusia adalah untuk berusaha dan sentiasa bersangka baik terhadap apa yang telah kita usahakan.
Bersangka baiklah.
Fikirkan - bagaimana mereka ingin MAHU kembali kepada Allah sekiranya mereka TIDAK TAHU?
Dan bagaimana mereka DAPAT TAHU jika tiada yang memBERI TAHU?
Hati-hati itu perlu dididik untuk tahu dan mahu seterusnya mampu melakukan perubahan untuk mengubah arah mereka lebih jelas mendekat kepada Allah.
Dan siapakah di antara kita yang akan dan bersedia mengajak mereka untuk menjadi TAHU, MAMPU dan MAMPU?
Ayuh, Allah sedang memerhatikan kita!
Lembutkan Hati Itu Dengan Kasih Sayang
Saya pernah mendengar tentang kisah seorang guru tuisyen yang berada di Negeri Sembilan. Para pelajar yang meminta untuk bertuisyen dengannya sangat ramai. Dan hampir setiap orang yang menjadi pelajarnya mendapat keputusan cemerlang.
Lantas, terdapat seseorang mengajukan kepadanya apakah rahsia kecermelangannya itu.
Jawab guru itu adalah; dia mengajar mereka dengan kasih sayang. Itu sahaja.
Lihat saja bagaimana Rasulullah mendidik para sahabat. Didikannya penuh dengan kasih sayang.
Kasih sayang itu umpama air yang mampu melembutkan batu.
Jika ada yang bertanya bagaimana mampu untuk melembutkan sekeping hati yang tidak mengenal Allah sebagai tuhannya?
Jawapannya; ambillah kasih sayang yang telah dilimpahkan oleh Allah pada diri kita ini untuk kita lembutkan hati itu dengan kasih sayang Penciptanya agar dia kenal cinta-Nya tidak pernah bertepi.
Dan yakinkanlah hati itu bahawa Allah, tuhan mereka dan kita amat menyayangi mereka melebihi ibu mereka menyayangi diri mereka sendiri. Dan Allah itu sentiasa ada ketika mereka memerlukan-Nya dan sentiasa menunggu kepulangan hati-hati yang menjauh daripada-Nya untuk pulang mendamba cinta Pencipta.
Setiap hati menginginkan cinta Ilahi bertakhta di hati mereka. Buktinya, jika cinta kepada dunia dan seisinya itu memenuhi hati itu sekalipun, ia tidak dapat memenuhi seluruh hatinya melainkan cinta Allah di dalam dirinya.
Itulah keimanan.
Yang dicari-cari oleh setiap insan yang diciptakan di atas muka bumi ini.
Percayalah, jauh di sudut setiap hati-hati yang berada di dunia ini, mereka mahukan untuk berada di dalam tautan bulatan keimanan yang menggembirakan.
"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku."
(Al-Fajr; 89; 27-30)
Epilog
"Cikgu, saya sayang cikgu." salah seorang anak murid berteriak dari sudut kelas ketika guru iu sedang memadamkan papan hitam bagi mengakhiri sesi kelas.
Tanpa berpaling kepada murid-muridnya, guru itu hanya tersenyum sambil membalasnya di dalam hati;
"Saya juga sangat sayang pada kamu semua."
~Sayangilah mereka, kerana kita mahu bersama-sama mereka merasai nikmat Iman dan Islam ini hingga kita sama-sama menyaksikan kecintaan kita kepada-Nya hingga ke Syurga~
0 comments:
Post a Comment