~Dan Dialah yang menciptakan pasangan dari jenis kamu sendiri~ |
"Allah tidak selalu beri apa yang kita inginkan tetapi Dia akan berikan apa yang kita perlukan."
"Ya Allah, sesungguhnya hanya kepada-Mu, aku menyerahkan diriku dan takdirku."
Ceritera:
"Ya Allah, solehnya Faiz Mukhsin ni." Ayani Nasihah menyapu ubun-ubun Faiz Mukhsin yang baru berusia 2 tahun yang menghulurkan tangan menyalaminya. Afiq Mukhlis, suami kepada Sa'ida mengangkat Faiz Mukhsin ke pangkuannya.
"Tu lah, tak sabar betul nak tunggu giliran Ayani."
"Insya Allah, doakanlah." kata Ayani Nasihah. Sedikit tersipu malu.
"Bila? Ke nak kami tolong carikan?" Sa'ida mengusik.
"Sa'ida dengar sahabat kita, Umar Mukmin menolak lagi lamaran. Senang-senang Ayani dengan dia sajalah. Rasanya dia menolak tu, sebab dah suka orang depan matanya." Sa'ida mula memancing jawapan daripada Ayani.
"Hish, jangan!" kata Ayani. Entah kali ke berapa dia mendengar cadangan ini.
"Apa salahnya. Kalau ok, kami boleh tolong uruskan." sambut Afiq Mukhlis. Kedua-dua pasangan itu memang sepadan dan banyak persamaan.
Umar Mukmin, seorang pemuda yang memang dikenali dengan sifat-sifatnya yang terpuji. Benar, tiada siapa dapat menafikannya peribadinya itu.
Di reunion dahulu pun, ada juga yang mengusik.
'Senang-senang Umar Mukmin dengan Ayani Nasihah sajalah. Tak payah cari jauh-jauh.'
Kata seorang sahabat menyeloroh. Yang lain turut menyambut tawa.
"Eh, jangan. Takut jadi isteri nusyuz."
Ayani berseloroh kembali. Namun, dia mengharapkan isinya dapat difahami. Baginya, mereka berdua sangat kontra.
"Belum cuba belum tahu." Umar Mukmin menyambut.
Terasa seriau seluruh hatinya. Ayani Nasihah mengharapkan itu juga adalah gurauan bersahaja daripada Umar Mukmin tanpa ada mesejnya.
Ayani Nasihah sering berinisiatif dan Umar Mukmin sering menjadi pelaksana dalam apa-apa program. Dan seringkali Ayani Nasihah seakan merasa seperti dia yang memberi arahan kepadanya dan Umar Mukmin sentiasa menuruti arahannya pula.
Dia sentiasa mengimpikan seorang suami yang memimpin ; soleh dan menyolehkan dan dia akan menjadi isteri yang ingin menuruti dan dipimpini. Tetapi akan tercapaikah impian itu?
"Ayani, Allah tidak selalu beri apa yang kita inginkan tetapi Dia akan berikan apa yang kita perlukan." Kata Sa'ida di akhir pertemuan mereka. Mereka bersalaman di parkir kereta.
Ayani Nasihah memerhatikan sahabat kesayangannya berlalu. Melihat anak soleh; Faiz Mukhsin; begitu mirip meniru tingkah laku ibu dan bapanya. Cara makannya, cara dia berjalan dan berkomunikasi benar-benar mengikut tingkah laku ibu dan bapanya.
Sangat menyejukkan mata melihat keluarga mereka.
Benar kata-kata Hasan Al-Banna: "Anak-anak membesar bersama kamu dan dia melihat apa yang kamu lakukan."
~Jadilah soleh atau solehah sebelum mencari yang solehah atau soleh, kerana pasti kamu akan jatuh hati kepada diri kamu sendiri~
0 comments:
Post a Comment