::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-
Showing posts with label baitul muslim. Show all posts
Showing posts with label baitul muslim. Show all posts

Jan 30, 2024

Mengkayakan Pengalaman Kanak-Kanak


 ~Marriage is not about two opposite genders who agree to be legally bound to live together under the same roof and give offspring. It is about making a legacy, an ummah, and not just a financial investment.~

Beberapa hari lepas sambil duk di dapur, terdengar ada orang tengok youtube di TV ruang tamu tentang perbezaan Porche dan enjin kereta apa entah. Sangat informatif bunyinya. (Youtube pun pilih premium, jenis takde iklan).

Tengok rupanya Khubaib di depan TV dan Fathimah pun ada sekali. Tengah menunggu Abi untuk tolong hantar pergi sekolah petang. Biasa jika Abi tiada kelas, Abi akan hantar. Jika Abi ada kelas tengah hari atau kokurikulum, Ummi akan hantar. 

"Khubaib tengok channel siapa ni?" tanya Ummi. Biasa kalau suara channel Faktaw, Ajar, Roblox, SpaceDollah atau satu lagi ahli saintis daripada Indonesia tu Ummi macam biasa dengar. 

"Em.. Hasbullah." jawab dia. 

"Hasbullah?" Ummi tahu pengacara Hasbullah Awang je. Huhu. 

Ummi pun minta pinjam sekejap tengok empunya channel tu; Hasbullah Syarah. Sebab macam informatif sangatkan, tapi boleh menarik minat budak-budak sekolah rendah macam ni untuk tengok. 

Oo, pensyarah kejuruteraan IPTA. Patutlah videonya sangat bagus. Nadiah Shamsuddin ni pun bercita-cita juga nak buat macam tu. Masukkan sikit-sikit info hasil kajian atau kajian lepas dalam bidang yang sama dalam video, tapi belum mampu buat. Rasa time constraint nak buat semua tu. Dahlah jenis nak buat video tak mahu masuk muka kan. 

Sambil tu borak-borak dengan Khubaib, bila dia mula tengok channel ni, macam mana dia jumpa. Sambil dia nak keluar pintu tu. 

Semoga lebih ramai lagi orang-orang yang cerdik pandai dan ilmuwan boleh influence anak-anak dengan cara macam ni. 

***

Ada masa-masa memang Ummi tak mampu nak berkepit dengan anak-anak. Cuma bila Ali tak ada kat rumah lah (di rumah pengasuh), dan Khubaib dan Fathimah balik sekejap ke rumah sebelum sekolah petang, itulah masa kualiti nak sembang dengan mereka berdua. 

Dua minggu lepas, Khubaib bercerita dengan Ummi nak buat games di Roblox, nak minta tolong Ummi. Manalah Ummi dia pandai kan. 

Lepas dia dapat buat, Fathimah pun sibuk nak buat juga. 

Yang bagusnya, sebab anak-anak dah belajar bukan sahaja nak jadi user, tetapi dah mula nak jadi developer. 

Pernah tengok juga iklan programming dan coding termasuk untuk anak-anak yang main Roblox di internet. Tetapi belum sempat nak tengok secara mendalam. 

Ummi suka anak-anak ada rich experiences zaman kanak-kanak ni. Biarlah mereka belajar main catur, main Roblox, atau berminat dalam programming dan coding.

Nak cari alternatif involvekan dalam sukan / aktiviti fizikal, tapi merentas desa pun setahun sekali je pula. Kelas silat sekolah ada, pada hari sekolah waktu malam. Sebelum ni macam kesian nak masukkan kelas silat sebab risau anak-anak tak mampu. Sampai rumah daripada sekolah tahfiz pun nak dekat jam 7 malam dah. 

Insya Allah, berdasarkan pengalaman sendiri waktu zaman sekolah hingga sekarang, memang lebih baik sibukkan diri dengan kebaikan. Itu juga yang biasa disebut dalam kitab-kitab yang masyhur kan. 


~Membina legacy yang sibuk dengan kebaikan, insya Allah~

Jun 7, 2023

Baitul Muslim: 10 Tahun Kita


Sejujurnya saya suka orang yang simple dan tidak banyak bermain emosi, sebab sebagai INFJ saya rasa penat apabila berhadapan dengan manusia sekeliling yang banyak bermain emosi. Ia mengambil energi saya. 

****

~2 Jun 2013~

10 tahun lalu....

"Saya tak nak pakai baju macam tu, saya nak yang macam..." mesej itu saya baca daripada telefon. 

Nasiblah nak pakai baju apa pun, yang penting pakai baju. Haha. Jawab saya sendiri. 

Sahabat yang bersama saya ketika itu, yang telah lama menjadi BFF bertanya kepada saya (dan saya percaya BFF saya ni type INTP), secara ringkas saya ceritakan tentang mesej daripada tunang saya ketika itu berkenaan persiapan perkahwinan. Yelah, saya bukan kisah sangat bakal suami nak pakai baju apa pun waktu tu. Yang penting tutup aurat. 

"Ok, yang penting tutup aurat." balas saya sesimple mungkin. 

****

Kami kenal tak lama. Cuma sebelum kenal saya dah pernah bertanya rakan sekerjanya bagaimana bakal suami saya tu nanti. 

Ketelitian dia tu memang saya jangkakan. 

Oklah. Boleh lah melengkapkan diri saya yang simple ini.

Sehingga kini, hiasan rumah, pattern langsir, kasut, memang saya tanya dia. Haha. Sebab saya seorang yang simple je. Yang penting ia memenuhi fungsi sesuatu perkara tersebut. Kalau tak ada fungsi, tak perlu beli. 

Dan saya juga jarang nak beremosi. 

Cuma bila dah emosi, macam botol air gas yang penuh, kocak-kocak, sampai boleh meletup. 

Saya percaya menjadi tenang tu bagus dalam setiap perkara. Dan saya cuba sedaya upaya untuk kekal tenang. 

Dalam pelayaran bahtera kami, saya lebih suka kekal mendengar cerita-cerita suami saya. Anak-anak juga lepas je balik sekolah, penuh bercerita sampai ikut mak dia pergi sana sini nak bercerita. Kadang-kadang dalam kereta terutama perjalanan yang jauh, berebut anak-anak dengan bapanya nak cerita pada ibunya ni. Hu. 

****

Cuma seminggu dua ini, saya perlu siapkan banyak task berkaitan tesis untuk mengejar dateline proposal defense, dateline menghantar abstrak untuk konsferens, di samping suami pula pergi outstation dan anak-anak juga di rumah sebab cuti sekolah. 

Ya, saya seketika meletakkan diri saya sebagai pesilat superwoman di rumah. Alhamdulillah, sempat menulis tesis, kemas rumah, masak, join dua seminar secara atas talian sepanjang tempoh itu. 

Tiada daya dan upaya melainkan daripada Allah semata.

Selepas suami saya balik, esoknya suami saya tanya satu soalan.

"Ummi, ada gosok baju pergi masjid Abi?"

Saya memandang suami saya. "Tak sempat nak gosok....bla bla bla bla." Dan saya penuhkan jawapan kepada suami saya berperenggan-perenggan termasuk lah kerja-kerja tesis saya, dan keadaan bersama anak-anak di rumah.

Suami saya tergelak-gelak. Katanya tanya satu soalan, jawab ya atau tidak je. Tapi panjang betul jawapan saya bagi. 

Haha. Yelah, sebenarnya isteri ni nak certita luahan hati ni. Habis tu, nak cerita kat siapa lagi. 

Malam suami balik saya tak cerita apa-apa sebab tahu dia pun dah penat, dan tengah teruja bercerita keadaan dia sepanjang outstation.

****

Dan biasanya apabila suami saya bercerita, suami tak suka dengar saya bagi solusi terutama yang kontra dengan pandangan dia (kecuali jika suami kata 'apa pendapat Ummi...'). Dan saya dengar je lah seperti biasa. Cuma adalah kadang-kadang tu saya nak menyakat juga, nak bagi solusi juga, lepas tu tengok dia annoying dengan saya. Huhu.

Begitulah 10 tahun kami bersama. 

Syukurlah atas segala-galanya. Itulah belahan jiwa pasangan Allah ciptakan untuk kita. Dan Dia Maha Mengetahui apa yang tidak kita ketahui.

~Wahai Allah, rahmatilah kami dan masukkan kami ke dalam Syurga yang Engkau redhai~

Jan 29, 2023

Nak Kurus Atau Nak Sihat


~ Nak kurus atau nak sihat?~ 

Rasa dah sebulan suami minta surveykan grup untuk sihat dan kurus untuk dia. Mula-mula ingat, tapi selepas tu sibuk dengan urusan sendiri dan rumahtangga, terus lupa. Tambahan lagi, memang tak tahu sangat tentang grup-grup berkaitan ni. Jadi, kurang motivasi untuk search. Jadi, suami pun teruskan lah dengan aktiviti jogging dia hujung minggu. 

Namun, katanya, macam tak keluar peluh. Dan saya pun speechless. Hanya bagi motivasi sajalah untuk terus konsisten jogging. 

Ha, yang bagi motivasi ni macam mana pula? 

Biasalah, alasan kan. Kena tunggu anak-anak termasuk si kecil ni kat rumah lah. Kena tunggu Ali yang paling kecil ni besar sikit lah. Lepas tu, bagi alasan Ummi ni dah halus dah pun. Nak masuk geng underweight dah. Huhu. Bila jumpa orang kata dah kurus, lagi kurang semangat nak bersenam tu. Haish, tebal betul alasan tu. 

Baru-Baru Ini

Seminggu ni, hujan aje. Jadi, encik suami pun tak dapat keluar jogging. Tak nampak pula raut sedih atau kesal dia tu sebab tak dapat jogging. 

Suatu hari, nampak dia bersenam sambil tengok handphone. Ha, dah kenapa pula kan. Haha. 

Kalau dulu-dulu sebelum mengandungkan baby ketiga sebelum Ali, saya selalulah tengok handphone (guna apps) untuk bersenam. Anak-anak pun suka join sekali. Alhamdullillah completelah cabaran bersenam 30 hari dalam aplikasi tu. Anak-anak memang suka terutama Khubaib, kalau tak ajak, merajuk dia. Bila dah habis senam, ambil gambar bersama mereka untuk letak dalam kolum achievement aplikasi tu. 

Waktu tu memang bersungguh nak ada baby dan jaga berat badan. Berat dah cecah 54 kg masa tu, dah lah diri ni petite je. Siap ada aplikasi Healthify dalam telefon lagi untuk trace kalori makan. 

Cuma encik suami tak joinlah. Encik suami lebih suka pergi bersukan petang-petang. Cuma katanya, susah sangat nak keluar peluh. 

Dan kali ni, rasa terkejut juga apabila tengok dia bersenam sambil tengok handphone. Ha, keluar habis peluh-peluh. Haha. 

Apabila tengok suami bersenam, terus teringat, 'Eh, ni senaman yaang aku selalu buat dulu ni.'

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjtDOTAi3GvQwjFbKMzW-hOJK7FQcq0Ko2AH3_EJsobE49AWsuxjBAdb1fuJtJ8jM9ycsB1S9krYqkSn97hqLefsKImuYukBr09KEhHXkDUONf1ZUwQ-pCVJ3O28kgBK0LlKJGfEugaXvdQ/s1600/7-tips-hidup-sihat.jpeg
~Semoga Allah berikan kita kekuatan untuk hidup sebaiknya dan menjaga amanah tubuh badan ini seperti yang dicontohkan oleh baginda Rasulullah s.a.w~
credit gambar: ibuberbicara.blogspot.com


Jentik Hati

Suami ada kata, dan perkataan tu terus menjentik hati dan minda saya ni. 

"Bersenam ni bukan saja untuk nak kurus, tapi untuk kita nak fit juga. Kalau kurus pun masih kena fit. Senang nak buat ibadah." Lebih kurang macam gitulah katanya. 

"Ye, betul-betul". Jawab saya. 

Lepas tu, saya dok terfikir kat diri sendiri. 'Ni Allah nak dok ingatkan aku lah ni agaknya.' 

Yalah, sebagai orang yang ada sedikit ilmu tentang perubatan, bukannya saya tak tahu bersenam tu sangat bagus untuk tubuh badan dan bukan untuk kurus je. Cuma ada ilmu tapi tak nak praktis kan. Atau ada ilmu tapi tak sedar pun ilmu tu pernah ada dalam otak ni. Nak buat atau tidak je. 

Ramai je yang tahu tapi tak mahu. 

Jadi, hari ni saya cabar diri sendiri. Nak kalahkan rasa malas tu dan macam-macam alasan tu. 

Sebab saya tahu apabila badan kita sihat, insya Allah perkara-perkara negatif daripada badan dan minda kita akan keluar. Dan badan kita sedang buat perkara yang positif iaitu perkara kebaikan, yang ikut sunnah Nabi s.a.w. 

Pagi ni saya bersenam Tabata je untuk beginner. Salah satu high intensive interval training (HIIT) yang saya selalu buat dulu. Bertahun dah tinggal. Saya suka senaman Tabata ni sebab ada variety senaman dan masa yang diambil pun sekejap je. Sesuai lah untuk orang-orang yang ada komitmen dan sibuk. 

Em, baru buat satu pusingan pun dah semput. Lama sangat tak buat. Hu. Insya Allah next senaman kita tambah pusingan kedua. Untuk sesiapa yang ada isu / masalah kesihatan, boleh tanya nasihat doktor dulu ye sebelum buat. 

Alhamdulillah, kali ni tengok suami bersungguh nak turunkan berat badan dan sihat. Siap ada coach lagi. Well done Abi!

Ok, selamat menyihatkan diri semua. 

~Jom ikut sunnah, insya Allah dapat berkah~


Aug 30, 2022

Ummi, Khubaib Dan Trofi Tak Tersangka


~Nikmat manakah yang ingin ku dustakan~

Ummi bersyukur Ummi memilih menjadi sebagai surirumah sejak tahun 2016 walaupun ada masanya tidak sepenuh masa. 

Alhamdulillah Ummi bersyukur Allah izinkan Ummi jadi surirumah dalam tempoh 5 tahun pertama anak-anak membesar. Cuma Khubaib je satu tahun pertama Ummi berkerjaya, dan Khubaib duduk di rumah pengasuh, ada kalanya sampai malam disebabkan Ummi ulang alik UTM sewaktu sarjana dulu. 

Perlu Ke Semua Orang Jadi Surirumah? 

Menjadi surirumah bukanlah penyelesaian atau pilihan terbaik untuk semua orang. 

Pelbagai faktor perlu setiap wanita fikirkan sebelum menjadi surirumah. 

Sebelum jadi surirumah, Ummi dan Abi buat pertimbangan daripada segi kewangan. Perbezaan sebelum dan selepas menjadi surirumah. 

Keduanya, perjanjian dengan Abi, sebab Ummi ada tanggungan lain, komitmen kewangan seperti hutang pinjaman pelajaran dan rumah yang Ummi dah ada sejak Ummi bujang lagi. 

Ketiganya, faktor kesihatan Abi masa tu yang menyebabkan Ummi rasa bertanggungjawab untuk jadi isteri dengan ilmu kejuruwatan dan sedikit ilmu perubatan pada Ummi untuk Ummi berbakti di sisi suami dan akhirkan PJJ kami. 

Yelah waktu tu terfikir, 'aku ni jadi jururawat, ajar orang lain untuk rawat orang lain, tapi takkan tak nak gunakan sepenuhnya ilmu itu untuk suami sendiri?'

Inilah tiga faktor utama. Faktor-faktor lain masih banyak lagi. Tetapi ini yang terkuat untuk Ummi resign daripada bekerja sebagai pendidik anak-anak bangsa dan berubah menjadi pendidik si kecil di rumah. 

Surirumah Inspirasi 

Waktu mula-mula terinspirasi jadi surirumah ni zaman sekolah menengah dulu. 

Rakan sekolah saya, dengan adiknya sekali Naqib dan Pemimpin Pelajar sekolah. Dan adik beradik nya memang terkenal dengan akhlak yang baik, ilmu agama, dan kepimpinan. Apabila dapat tahu ibunya seorang surirumah lepasan Universiti Oxford, saya rasa sangat kagum kepada ibunya yang mendidik. Masya Allah didikan ibunya di rumah mencetak generasi anak-anak yang hebat. 

Tak lupa juga ada rakan-rakan yang saya kenali sejak zaman sekolah dan universiti, ibu mereka menjadi surirumah dan bekerja semula apabila anak-anak telah besar sedikit. 

Surirumah Berilmu

Jadi apa-apa saja pun kita perlukan ilmu. Baiki diri dan tingkatkan kualiti kerja kita. 
Termasuk lah jadi surirumah. 

Pengurusan masa:
Yang ni ilmu yang memang sangat penting. Tak ada siapa yang nak susun jadual kita di rumah. Surirumah perlu sangat belajar pengurusan masa. 

Self-care:
Self-care, penjagaan diri atau me-time ni memang sangat penting. Sebelum kita berfungsi dengan baik, kita perlu pastikan tangki spiritual, fizikal, sosio-emosional dan mental kita dalam keadaan yang baik. 

Dalam jadual kita sebagai surirumah, berapa peratus dalam seminggu kita peruntukkan untuk kita isi, baik pulih semua tangki-tangki ni? 

Ilmu keibubapaan, perkahwinan, dekorasi, memasak dan lain-lain seumpama nya adalah ilmu dan skil yang akan kita gunakan dengan baik jika kita dah servis 4 tangki tadi. 

Kejayaan-kejayaan Anak-anak

Hari ini saya menitiskan air mata. Melihat satu demi satu kejayaan anak-anak. Mungkin kecil bagi orang lain tetapi besar bagi seorang ibu. 

Dan saya masih belajar menjadi ibu yang baik. Menjadi surirumah yang baik. Menyibukkan diri untuk misi saya tanpa perlu disibukkan oleh orang lain. 

Hari ini menjemput Khubaib dari sekolah tahfiznya. Khubaib bawa balik trofi Johan Pertandingan Azan tahap 1. 

Terkejut Ummi dan Abi. Memang macam tak percaya. 

Minggu Khubaib ke Pertandingan Azan tu, Abi pergi kursus luar daerah. Tak dapat praktis Azan dengan Khubaib. 

Jadi, Ummi kelam kabut juga. Minta Khubaib praktis dengar azan di laptop. Kemudian minta dia azan depan Ummi. Ada macam pitching lari. 

Seminggu sebelum pertandingan,  Khubaib bercerita, masa latihan ada ramai lagi abang-abang yang masuk pertandingan azan. Ada seorang abang darjah 6, suara dia sedap sangat. Khubaib seorang je Tahun 1 yang masuk pertandingan Azan. 

Ummi cakap, "Tak apalah, tu kira pendedahan awal untuk Khubaib. Tak dapat nombor 1 pun tak apa. Khubaib belajar lah dulu daripada abang-abang tu."

Melihat kejayaan akademik dan kepimpinan anak-anak; Khubaib yang jadi ketua darjah di sekolah kebangsaannya, diberi kepercayaan ajar rakan-rakan mengeja dan membaca, jadi Johan Pertandingan Azan sekolah tahfiz, Fathimah antara dua pelajar dalam kelas yang tak perlu hadir ujian membaca sebab exempted, Fathimah tak lokek dengan kawan-kawan dan boleh mengaji dengan baik, dan Ali yang suka tengok buku - semua ini adalah dengan izin-Nya memberi motivasi untuk Ummi.

Di sebaliknya pasti ada cabaran dalam mendidik, ada tangis, ada ketawa.


Sahabat-sahabat dan kenalan saya yang di luar sana yang sama-sama berkerjaya sebagai surirumah seperti saya, berpendidikan, yang mungkin juga pernah berhadapan soalan seperti sindiran, dan kini mungkin sedang melihat hasil pengorbanan kami ini tentu merasai nikmat sebegini apabila melihat kejayaan-kejayaan anak-anak samada akademik, kokurikulum, kepimpinan dan akhlak. 

Sesungguhnya semua hanya kerana Allah dan dengan izin Allah.

Alhamdulillah infiniti syukur kepada-Nya. 

Nota 30 Ogos 2022. 
Ibu merdeka yang berusaha mendidik anak-anak merdeka dengan acuan-Nya. 

~Selamat Hari Merdeka ke-65 buat semua.~

Aug 18, 2022

Perkahwinan: Bukan Cerita Fairytale


~Happy ending hanya apabila kita tiba di Syurga~

Bukan Cinderella

Kisah perkahwinan atau spesifiknya berumah tangga ini bukan kisah perkahwinan dalam cerita dongeng Disney zaman kanak-kanak yang kita tengok dulu. Yang kisahnya melalui kepahitan, cubaan dan cabaran hidup akhirnya tamat apabila kita disatukan dalam medan perkahwinan. 

Waktu awal perkahwinan dulu, masih PJJ dengan suami, tanya seorang kakak dalam kelas Master saya kepada saya: 

"Dah berkahwin ke?"

"Dah, baru kahwin, masih dalam proses berkenalan lagi." Jawab saya sambil tersenyum. 

"Proses berkenalan dengan suami bukan awal perkahwinan saja tetapi di sepanjang proses perkahwinan." Katanya. 

Terdiam saya sejenak. Satu pencerahan yang baru untuk saya. 

******

Sekali Air Bah, Sekali Pantai Berubah 

Waktu itu belum melalui fasa itu. Ye lah. Masih dapat ilmu secara teori. 

Kini apabila telah lebih 9 tahun usia perkahwinan, sangat bersetuju dengan statement ini. Sangat relatable

Kita berkahwin dengan manusia yang dinamik. Manusia yang suka perubahan dan akan ada perubahan pada dirinya walaupun sedikit, selari dengan berubahnya (bertambahnya) digit usia kita. 

Tanggungjawab dan cabaran hidup kita  menggugah jiwa-jiwa kita. Maka, apa yang kita lihat, dengar dan baca setiap hari membentuk diri dan hati kita. Maka, tangki jiwa kita yang diisi secara pasif (daripada persekitaran) dan aktif (daripada inisiatif input kita sendiri) mempengaruhi setiap tindakan dan perlakuan kita. 

People are constantly changing. 
We are what we decide what we want to be. 

Kita sendiri yang memilih kita nak berubah jadi yang lebih baik atau sebaliknya. 

Walaupun banyak kajian mengatakan resilience iaitu daya tahan dipengaruhi oleh cabaran hidup sewaktu kecil, tetapi resilience setiap anak-anak daripada ibu bapa yang sama juga berbeza hingga mereka membesar dan menjadi pasangan hidup individu lain.

Macam berat pula nak cerita tentang resiliencecy atau daya tahan diri seseorang itu, insya Allah mungkin di lain entri boleh sambung lagi.

*******
Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang

Benar, personaliti seseorang dikaitkan dengan masa silamnya. Tetapi ada juga mereka yang berjaya keluar daripada rantaian adversity of childhood  life (zaman gelap kanak-kanak) mereka. 

Sewaktu zaman sekolah di STJ dulu, beberapa rakan saya yang hebat juga datang daripada broken family atau ibu bapa yang telah berpisah. 

Mereka pilih untuk berubah, take the challenge dan jadi orang yang hebat. Semuanya dengan izin Allah. Allah tak pernah kejam. Allah Maha Melihat. Dan Allah Maha Melihat apa yang kita usahakan untuk perbaiki diri kita dan Dia ada menemani langkah kita. 

~Kredit kepada sahabat amazing saya, Puan Maznah Ibrahim atas perkongsian gambar ini~


Stop blaming and move on. Percayalah Allah pilih kita untuk lihat kita berusaha meningkatkan darjat kita di sisi-Nya. Semakin kita dekat dengan Allah dan isi jiwa dan hati kita dengan perkara yang betul dan tindakan yang Allah redha, kita akan lihat cahaya di lorong gelap yang sedang kita lalui.

Ha, apa pula kaitan dengan perkahwinan pula kan? 

*******
Manusia Bukan Robot

Suami atau isteri kita bukan robot. Kita tak boleh kawal suami atau isteri kita. Kita tak boleh kawal dia nak isi masa dia dengan tengok handphone, tengok social media yang mana atau main mobile legend sebab dia adalah orang dewasa. 

Berikan suami atau isteri me-time mereka atau buat apa yang mereka suka selagi masih dalam landasan syarak atau selagi tidak melampaui batas. Kalau dia nak bersukan, sokonglah minatnya. Kalau mereka nak berjumpa rakan-rakan sambil 'mengeteh', berikanlah ruang untuknya. Begitu juga dengan suami kepada isteri.

Isikan sama-sama dalam rumah kita perkara bermanfaat untuk buat bersama. 

Kalau ada yang kita tak berkenan, cakap baik-baik dan elakkan bertekak terutama depan anak-anak. 

Betul, the struggle is real. Orang kata, 'cakap senanglah.'
Tak ada satu penyelesaian yang sama untuk semua isu dan konflik dalam rumahtangga. 

Perlukan tolak ansur dua manusia yang bernama suami dan isteri. Usahakan selagi mampu. Jika tak mampu, ambillah langkah-langkah penyelesaian yang lain.
Move on, jangan terlalu makan hati sampai kita sendiri tertekan, depress. Jika langkah terakhir, melepaskan itu lebih baik, kita serahkan kepada Allah, istikharahlah dan solat hajat agar Allah tunjukkan dan mudahkan jalan yang terbaik. 

Kita hanya mampu ubah diri kita dan doa kepada Allah agar pasangan kita juga berubah menjadi lebih baik. 

******
Panjang pula entri ini. 
Semoga ia bermanfaat. 

Manusia sentiasa ada perubahan. 
Mari kita ubah jadi lebih baik bermula dengan diri sendiri dulu. 
Baiki hubungan kita dengan Allah, dan Allah akan baiki kehidupan kita, insya Allah. 

Oct 1, 2021

Berqasidah Di Syurga


~Selawat bukan sekadar kata. Ia menzahirkan rindu dan cinta kepada Yang tidak pernah ditemui tetapi senantiasa dikagumi.~

Qasidah

Qasidah adalah terma yang agak asing bagi saya. Tahu pun apabila ketika menginjak dewasa.  Tetapi apabila sebut tentang berzanji, itu adalah perkara biasa sejak kecil. Kalau tanya berzanji tu apa, yang saya tahu berzanji dahulu di kampung dengar golongan makcik-makcik mengalunkan selawat ke atas Nabi terutama ketika kenduri meraikan bayi-bayi kecil selepas lahir. Itulah definisi berzanji berdasarkan pengalaman hidup ini. 

Setelah pandemik ini, lama sangat tak dengar orang berzanji. Kalau di Johor, orang tempatan dilazimi dengan kebiasaan bermarhaban sebelum pandemik. 

https://cdn.wallpapersafari.com/30/85/DzByCJ.jpg
~Berselawatlah, kerana baginda akan tahu siapa yang menyampaikan salam kepadanya~

Dodoi 

Nak mendodoikan tidur anak-anak ni memang nak kena cuba jaya. Guna macam-macam cara. Macam-macam surah Al-Quran, zikir tidur nak mendodoikan mereka. Khubaib dan Fathimah dulu, pernah berkali-kali bacakan surah Al-Mulk tapi tak tidur juga. Keluar macam-macam lagu zikir tidur, tapi masih tak boleh tidur. Ibunya yang terlelap-lelap. Akhirnya bacakan satu surah Al-Waqiah, baru berjaya ditidurkan. Alhamdulillah. 

Kalau baby Khuzaimah pula lain caranya. Suka dia dengar selawat. Sekali Umminya buka selawat qasidah di TV Al-Hijrah tu, senang tidurnya. Mungkin waktu mengandungkan Khuzaimah dulu selalu buka audio selawat. Dah menjadi halwa telinga semenjak dalam perut. 

Apabila buka qasidah ni dan dihayati, Allahu, terasa rindu menebak dalam hati. Rindu pada Rasulullah.  Teringat kisah ketika Nabi Muhammad s.a.w datang ke Madinah, orang-orang Madinah teruja nak tengok siapakah Rasulullah yang diceritakan itu. Macam-macam gaya mereka nak tengok Rasulullah. Apabila Rasululah sampai, mereka mengalunkan selawat menyambut tibanya baginda Nabi. 

Agak-agak nanti apabila di Syurga, tentu penghuni Syurga yang selama ini terutama umat Nabi Muhammad yang rindu sangat-sangat dengan Nabi sangat teruja dapat melihat kekasih Allah yang dicintai ini. Berselawat melahirkan rasa cinta pada Nabi. Angan-angan saya yang menjadi impian suatu hari nanti di Syurga. 

InsyaAllah, semoga kita sama-sama letak impian nak masuk Syurga Allah. Nak beramal dengan amalan ahli Syurga. Mulakan dengan niat, doa, kemahuan dan usaha. Semoga Allah bimbing kita, insya Allah. 

"Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, dan mensyukuri nikmat-Mu serta mampu beribadah dengan baik kepada-Mu."

(Hadith Riwayat Ahmad)

Sep 16, 2021

Pewaris: Anak Keempat Kami


Alhamdulillah 7 Ogos 2021 lalu, Allah kurniakan kepada kami seorang lagi pewaris kami, semoga jadi pewaris Syurga anak Soleh dan musleh Ummi dan Abi yang memakmurkan bumi Allah ini.  


~Muhammad Khuzaimah Ali~

Setiap kali nak bersalin, bagi Ummi ia ibarat berjuang antara hidup dan mati. Kesakitan itu pelbagai. Ada saat melahirkan yang datang sangat menyakitkan, ada yang biasa-biasa boleh ditahan lagi. Walaupun anak-anak lahir daripada ibu yang sama, tetapi setiap kelahiran, jangka masanya, tahap sakitnya, durasinya, semuanya berbeza. 

Allah izin kelahiran kali ini dipermudahkan seiring dengan doa Ummi. Cuma kali ini Ummi  tak doa secara spesifik untuk bersalin secara normal seperti Fathimah dulu. 

Ummi masuk labor room lebih kurang jam 11 pagi. Kata Doktor, dah dalam 4-5 cm bukaan serviks. Situasi di kala dalam labour room selepas saja dipecahkan ketuban, bayi didapati dah berak dalam rahim. Dah 6 cm dah waktu tu. 

Sebagai ibu, walaupun memang hajat sangat kalau boleh bersalin normal, tetapi waktu itu hanya fikir nyawa bayi dalam rahim. Jantung bayi pun dah semakin lemah (bradycardia). Tak apalah jika perlu Ummi dibedah, fikir Ummi.

Sebaik saja azan Zohor berkumandang, Ummi dibawa masuk ke dewan bedah. Dalam dewan bedah, bukaan servik dah 8cm. Alhamdulillah semua doktor dan staf sangat baik pada Ummi, masih bagi peluang untuk bersalin normal sebelum dibedah di dalam dewan. Tapi sebab Ummi belum mampu teran bayi keluar dan memikirkan risiko pada bayi, pembedahan diteruskan. 

Ummi redha jika Allah bagi itu yang terbaik. 

Cara Allah permudahkan urusan kita bagaimana, mungkin tak seperti yang kita rancang dan fikirkan. 

Jam 1.35 petang, dengan takdir Allah, lahirlah anak keempat kami di dunia ini. Semoga menjadi pewaris yang memakmurkan bumi Allah dengan akhlak yang Soleh dan menyolehkan dan sentiasa menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh ikutan. 

Doa Untuk Semua Ibu

Pagi ini juga terlihat posting berkenaan Siti Sarah Raisuddin, seorang ibu yang telah bertarung melahirkan zuriat di musim pandemik ini dan kembali pulang menemui Pencipta kita semua sebelum Subuh tadi. 

Semoga Allah tempatkan Siti Sarah dan semua ibu-ibu yang terkorban disebabkan wabak ini dikalangan mereka yang diredhai Allah dengan Syurga yang telah disediakan olehNya untuk para Syuhada'. Begitu juga kepada mereka yang terkorban di masa pandemik ini. 

Dari Dia kita datang dan pasti kepada Dia kita kembali.

~Teringat sebelum ke Hospital juga hari tu, sempat Ummi berpesan pada Abi jika apa-apa jadi kat Ummi...~

p/s: maaf entri backdated. Dah 41 hari baru published =)

Jul 10, 2021

Solat Khalifah-Khalifah Kecil Ummi


 ~Anak-anak adalah permata. Untuk bersinar,  ia perlu digilap. Bukan sekejap, tetapi berkali-kali dan berterusan. Itulah proses didikan~

Setiap anak-aak ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Sebagai ibu bapa, kena yakin setiap anak-anak ada potensi cuma tinggal  perlu digilap saja. Kalau di Barat, ada teori Multiple Intelligence  atau Kepelbagaian Kecerdasan oleh ahli psikologi, Howard Gardner tahun 1983 yang mengatakan bahawa setiap manusia mempunyai pelbagai kecerdasan. Ada yang berbeza kekuatan potensi dari seorang individu kepada individu yang lain. Sedangkan dalam Al-Quran Tidak ada manusia yang diciptakan oleh Allah di dunia ini dilahirkan 'bernasib malang' atau tidak mempunyai potensi diri dan kecerdasan seiring dengan firman Allah:

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."

(Surah At-Tin; 95:4)

Khubaib dan Fathimah ada kelebihan dan kekurangan yang berbeza. Alhamdulillah, Khubaib ringan tulang mengerjakan solat 5 waktu. Waktu sekitar umur 4 tahun lebih bermula waktu PKP, mula-mula hanya ajak Khubaib solat bersama. Lama-lama dia suka solat sama-sama. Hingga satu hari, kalau tak ajak dia solat bersama, Khubaib akan merajuk. Termasuklah solat Subuh, kalau tidak dikejut solat Subuh, marah betul dia pada Ummi. Jadi, semenjak itu Khubaib solat 5 waktu hingga sekarang. 

Fathimah pula lebih suka dengan Al-Quran sejak kecil. Kalau mathurat Ummi tu selalu hilang dari tempat asalnya,  rupa-rupanya dia buat baca di ruang tamu, di bilik dan di mana-mana yang dia suka. Kalau ajar Iqra' waktu kecil, bila Ummi kata okay dah sudah, Fathimah pula sibuk nak baca lagi. 

Allah jadikan anak-anak ini saling lengkap melengkapi. Khubaib akan selalu ajak adiknya Fathimah solat bersama. Fathimah pula akan ajak abangnya untuk baca Iqra' bersama. 

"Amami nak baca Al-Quran." kata Fathimah. 

"Khubaib nak baca esok jelah." kata Khubaib. 

"Amami nak baca sekarang." Fathimah kata sambil mula merengek. 

"Yelah, yelah." Khubaib mengalah. 

Macam itulah anak-anak. Ada sikap toleransi dan saling melengkapi. 

Solat Tanpa Ummi

Kadang-kadang terfikir juga, kalau Ummi mereka tak bersama dengan mereka, adakah anak-anak boleh solat sendiri?

Suatu hari beberapa bulan lalu, anak-anak dan Abi mereka balik ke rumah nenek selama 2 hari. Disebabkan Ummi ada kerja urgent yang perlu disiapkan, maka Ummi tinggal di rumah saja. 

Waktu tu, Ummi mula risau sebab Abi mereka akan solat di masjid. Jadi, risau juga jika tiada siapa nak pantau dan ajak anak-anak solat. Mungkinkah mereka akan terlupa nak solat nanti?

Jadi, malam itu selepas Isyak, Abi memberi laporan tentang anak-anak pada Ummi. Terkejut juga sebab kata Abi, nenek ceritakan tentang anak-anak solat jemaah sama-sama bila telah masuk waktu. 

Allahu, terus hiba rasa hati. Sebagai ibu, hanya mampu usaha mendidik anak-anak dan berdoa seperti doa Nabi Ibrahim agar dikurniakan anak-anak yang soleh dan zuriat keturunan yang mendirikan solat. Sesungguhnya yang pelihara anak-anak adalah Allah. 

https://i.ytimg.com/vi/Xomk2Qy09Vc/maxresdefault.jpg


Pembungkus 

Ummi sendiri pun masih bertatih untuk memurnikan ibadah kepada Allah. Mendidik anak-anak ibarat mendidik sendiri. Nak solaat tepat waktu, nak solat khusyuk, semua itu masih menjadi continous struggle untuk diri sendiri. Kadang-kadang, anak yang ingatkan Umminya. 

~Anak-anak adalah cerminan diri. Semoga permata yang digilap insyaAllah akan terus bercahaya dalam rahmat-Nya disamping ibu bapa yang terus memperbaiki diri~

Jun 19, 2020

Pasca Keguguran: Dalam Musibah Ada Rahmah


~Sesungguhnya Allah Maha Penyayang, dan Allah tidak mendatangkan musibah melainkan dosa-dosa kita diampunkan-Nya~


~Dalam musibah ada kasih-Nya~

Dua hari lagi masuk 3 minggu saya berpantang. Berpantang tanpa bayi. Sedih tapi begitulah hakikat kehidupan.
InsyaAllah saya percaya ada hikmahnya.

Teringat juga ketika kunjungan pasca keguguran berjumpa doktor yang merawat saya dari awal, seorang Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi. Kata beliau, "Pasti ada hikmah." 

Tersenyum sendiri saya. Selalu beliau ingatkan saya tentang syukur.
Allah hantar saya berjumpa dengan beliau. Walaupun beliau Belum Muslim tapi kata-kata beliau sering mengingatkan saya tentang erti hidup menjadi seorang Muslim. 

Dalam Musibah Ada Rahmah

Alhamdulillah, dalam setahun kita hidup dengan rahmat dan nikmat daripada Allah, beberapa kali saja kita dilanda ombak ujian yang berganda. 

Nikmat manakah yang mampu kita dustakan? 

Terlalu banyak untuk disyukuri. 

Bulan Ramadhan ini antara doa yang rare dimohon secara bersungguh-sungguh ketika sihat adalah kesihatan tubuh badan yang baik. Suatu nikmat dan amanah yang perlu di jaga.

Kali pertama saya ke klinik akibat perdarahan, terkejut sendiri dengan bacaan tekanan darah. 

149/98 mmHg; tertera bacaan tekanan darah saya.

Dok fikir sendiri dalam kepala apakah sebabnya. Apa yang saya buat dalam hidup seharian sampai jadi begitu. Ke sebab nervous atau terkejut ke. Macam-macam yang difikirkan.

Musim PKP ni saya akui saya memang rancak memasak di dapur, cuba resepi itu dan ini. Sampai suami pun kata isteri dia dah macam Puan Sugu.

Siapa tak bahagia kalau tengok  makanan yang dimasak habis dimakan dan siap direquest lagi untuk dimasak lain kali? Itulah rasanya nature ibu-ibu ni. 

Sampai saya sendiri naik 2 kg berat badan dalam masa PKP.

Fasa Pemulihan 

Dua minggu pertama selepas keguguran, ada temujanji lagi dengan doktor untuk scan sekiranya terdapat tinggalan tisu yang berkaitan. Saya berdoa harapnya segalanya telah selesai dan tidak perlu melalui proses D&C. 

Dalam masa dua minggu itu juga, setiap hari saya bertungku. Dua kali sehari; pagi dan petang bagi memudahkan proses pengeluaran sisa darah beku. 

Alhamdulillah, sebelum temujanji dah bersih sepenuhnya. Segala puji bagi Allah. 

Dalam masa dua minggu itu, Alhamdulillah saya berjaya turunkan kembali 1.5kg berat badan. Terima kasih doktor yang banyak memberi nasihat dan sokongan. Walaupun doktor kata berat badan dah ok, cuma perlu workout tempat tertentu sahaja, Alhamdulillah, setelah masuk hari ke 19 hari ini saya berpantang, Allah izinkan saya turunkan berat sebanyak 3 kg.

Dan tekanan darah dah normal kembali, Alhamdulillah.

Menjaga Hak Badan

Sebelumnya saya abaikan menjaga hak badan. Biasanya sebelum PKP saya suka jogging padang sekolah atau tolak basikal anak dalam kawasan sekolah atau paling kurang pun bersenam dalam rumah. Tetapi kali ini, Allah nak ingatkan bahawa amanah Allah ini perlu dijaga.

Saya perlu pantau kalori semula, berapa banyak kalori diambil dalam satu hari.
Saya perlu bersenam semula.
Saya perlu makan makanan yang berkhasiat semula, makanan bukan saja perlu halal bahkan yang berkhasiat.
Saya perlu kurangkan makanan yang diproses dan cenderung makanan yang segar sahaja. 

Pembungkus Entri 

Saya percaya dalam musibah Allah bagi rahmah. 
Macam Allah janji dalam surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6.

"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan."

Hidup perlu keseimbangan.
Ada waktu kita tunaikan makanan perut, ada waktu kita tunaikan hak jasmani, ada waktu kita tunaikan hak jiwa dan hati dengan makanan spiritual, ada waktu kita tunaikan hak minda untuk pengisian ilmu pengetahuan. 

Fasa pemulihan ini adalah fasa untuk recovery fizikal, emosi dan hati. 


Jun 6, 2020

Keguguran: Aku Insan Terpilih


~Innalillahhi wa inna ilaihi rojiun. Allahuma' jurni fi musibati wa akhlifli khairon minha.~

Setiap kali saya membuka tingkap bilik yang menghadap pokok-pokok buah dan tanam-tanaman, saya lihat tanah yang kami gambuskan tidak jauh dari pokok pisang itu.

Di tanah itulah kami kebumikan "baby kecil" kami. Masih dalam kantungnya lagi tetapi dapat dilihat dengan jelas oleh Ummi dan Abi ketika diselubungi kantungnya itu.

Walaupun proses menguburkannya tidak perlu sempurna kerana masih dalam fasa 'alaqah', Ummi balutkan juga "baby kecil" dengan kain putih. (Boleh rujuk: https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/889-al-kafi-602-bagaimana-pengurusan-jenazah-janin-yang-gugur)

Ummi letak juga wangian kegemaran Ummi, wangian kasturi pada kain itu.

Alhamdulillah Allah bagi rasa sekejap 8 minggu dia di dalam rahim ini. Allah bagi peluang juga Ummi dengar degupan jantung "baby kecil" di bilik doktor hari tu.

Allah bagi Ummi rasa perasaan orang lain bagaimana di kasut orang lain yang pernah keguguran dan kehilangan. Rakan dan jiran-jiran terdekat di sini juga pernah kehilangan. Ummi dengar khabar mereka. Kali ini, Allah izin Ummi merasainya sendiri.

~Hadirnya suka dan duka pasti ada hikmahnya~


Nikmat Itu Hanya Pinjaman 

Pada bulan Ramadhan ini, terasa nikmat berganda Allah bagi.

Beribadah bersama keluarga di rumah , dan ditemani rasa bahagia bersama anggota rumah baru di dalam perut.

Biasanya apabila hamilkan anak-anak yang lain juga ada morning sickness tetapi alhamdulillah tidak sehebat mana. Tetapi kandungan ketiga kali ini, rasa penat atau fatigue itu memang tidak dapat disanggah lagi.

Kadang-kadang keliru antara penat berpuasa atau penat menyediakan ruang dan bekalan untuk si kecil di dalam perut. Lebih-lebih lagi bila solat terawih, mudah sangat mata ni terlelap.

Di hujung Ramadhan memang nak slowkan aktiviti di dapur sebab nak lebihkan tumpuan pada Ramadhan yang datang sekali setahun.

Allah lebih tahu. Memang lebih kurang sepuluh hari sebelum Syawal, badan rasa terover letih. Perut cramping semakin menjadi-jadi walaupun tidak hebat. Rasa sikit-sikit sakit perut dan sakit belakang tetapi hilang bila dapat baring di katil.  Cuma kekerapan sakit itu saja yang bertambah.

Syawal Yang Sayu

Genap seminggu bleeding bermula 30 Ramadhan. Allah lebih tahu apa yang terbaik.

Masih boleh tahan rasa sakit apabila mengeluarkan "baby kecil" sebelum Subuh itu. Tapi mudah, Alhamdulillah.

Malam sebelum tidur sewaktu sakit cramping datang, alunan Surah Maryam Ummi buka. Dengan niat semoga Allah permudahkan. Waktu tu nak baca Surah Maryam pun tak mampu, hanya mampu dengar saja.

"If the baby is healthy, the baby will survive". Itulah yang Ummi faham dan Ummi mohon Allah permudahkan segalanya.

Allah Maha Mengetahui apa yang tidak kita ketahui.

Sewaktu pertama kali bleeding dan  habis sesi di klinik pakar, tiga kali Abi tanya pada Ummi, "Ummi sedih?"

Jadi, Ummi katakan pada Abi, "Kalau baby sihat, insyaAllah baby akan survive. Tapi kalau dia tak sihat, Ummi redha."

💕💕💕

Alhamdulillah, setelah itu, Khubaib dan Fathimah pun faham yang "baby kecil" dalam perut Ummi dah tiada. Kami dah tanam "baby kecil" di sana, di kaki bukit halaman sebelah rumah.

Ummi katakan dengan Fathimah dan Khubaib hari tu "nanti kita tanam pokok sebelah "baby kecil", insyaAllah dan kita akan siram pokok sama-sama. "

Cukuplah rentetan Ramadhan dan Syawal 1441 Hijrah ini jadi kenangan terindah dan memori sayu yang terpahat di lubuk hati untuk Ummi.

~Dari Dia kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali~

Mar 23, 2019

Saya Nak Jadi Superman



Superman Acuan Al-Quran

"Khubaib nak jadi Superman lah." Kata Khubaib suatu ketika dulu.

"Superman tu apa?" Saja Ummi bagi soalan KBAT sikit.

Sambil Khubaib berfikir tu, Ummi mencelah.

"Superman tu manusia hebat. Khubaib tahu tak siapa manusia paling hebat kat dunia ni?"

"Tak tau". Katanya. Tulus je.

"Manusia paling hebat tu namanya Nabi Muhammad s.a.w. Kalau nak jadi Superman manusia hebat kena lah ikut macam Nabi Muhammad."

"Nak jadi manusia hebat tak? Boleh masuk Syurga. Khubaib kan suka masuk Syurga."

Panjang bebel Ummi.

Laluan Yang Panjang

Alhamdulillah, semalam genap Khubaib Adi 4 tahun.

Fathimah Raudhah pun dah usia dua tahun bulan 12 yang lalu.

Anak-anak sudah semakin membesar.

Masih teringat, ketika Khubaib masih kecil dan hanya boleh merangkak dahulu, Ummi menjaganya dan tinggal bersama kawan-kawan serumah.

Sebelum Subuh jika Ummi di bilik air, jika ada ketukan di pintu, biasanya itulah Khubaib Adi merangkak dari tilam dan ketuk pintu bilik air. 

Tak menangis pun.

Banyak coretan suka duka jaga Khubaib Adi. Jadi, apabila Khubaib lebih manja daripada Fathimah, Ummi faham.

Fathimah, banyak bermanja di rumah dengan Ummi. Tak pernah tidur bermalam tanpa Ummi. 

Tetapi Khubaib lalui hari-hari berjauhan dari Ummi semenjak Khubaib keluar dari perut Ummi dan masuk NICU. 

Tunggu Ummi pulang malam dari tempat belajar di UTM sampai tertidur di rumah Ibu pengasuhnya.

Sanggup bangun malam dengan muka gembira teman Ummi tulis tesis 2-3 pagi. Dan terpaksa Ummi tutup laptop lepas tu. 
 
Jika pergi kedai makan, makan bersama rakan serumah, ada saja pekerja kedai makan yang sanggup tolong jagakan Khubaib sewaktu Ummi makan.

Khubaib seorang yang lebih mudah tersentuh dan lebih sensitif. Maafkan Ummi ye sayang, jika dulu Ummi marah Khubaib tanpa kira perasaan Khubaib yang masih belum matang.

Mendidik dan Dididik Untuk Hebat

Sekarang, apabila Khubaib marah, Ummi pun dia tak nak.

"Khubaib dah tak nak dah Ummi." Sambil menitiskan air mata.

Tetapi bila dah tenang, dah minta maaf dengan Ummi, barulah Ummi ingatkan kembali cita-cita Khubaib tu.

"Kata Khubaib nak jadi manusia hebat, kenalah sabar. Nak masuk Syurga kena sabar. Tak mau lah asyik marah je."

Selamat hari lahir Khubaib Adi. Terima kasih menjadi anak Soleh Ummi. Dan bercita-cita untuk jadi manusia hebat seperti Nabi Muhammad s.a.w.

~Terima kasih Cikgu bagi hadiah Khubaib~


Ummi pun perlu banyak belajar sabar sebagai ibu, anak dan hambaNya.  Mendidik dan dididik untuk jadi manusia hebat seperti baginda Rasulullah s.a.w.

Apr 18, 2018

Tahun Ketiga Khubaib Adi


- Moga hadirmu mampu membantu Ummah, membantu Ummi dan Abi dengan dua' dan amal Soleh apabila kami tiada, dan jadi insan yang diredhai Allah-

Alhamdulillah genap tiga tahun sudah Muhammad Khubaib Adi dilahirkan.

Perjalanan sebelum, semasa dan selepas melahirkan anakanda Khubaib penuh dengan memori untuk Ummi.

Setahun Ummi menunggu cahaya mata. Namun, Ummi yakin Allah bagi tepat pada waktunya sekiranya ada rezeki zuriat Ummi di dunia ini.



Hadiah Ramadhan 1435 Hijrah

Waktu itu Ummi ambil keputusan untuk bercuti selama enam bulan dan berpindah ke Mersing daripada Bandar Penawar atas sebab-sebab tertentu.

Bulan Ramadhan yang baru saja tiba dan bermulalah proses berpindah. Alhamdulillah rezeki Allah bagi, diizinkanNya mohon lori 1 tan untuk bawa barang tetapi Tuan Lori yang baik hati bawa lori 3 tan untuk berpindah (dengan harga lori 1 tan). Besar sampai rasa boleh muat Kereta Waqiah (WUQ Viva Ummi) masuk sekali dalam lori. Semoga Allah membalas kebaikan Tuan Lori dengan kebaikan yang banyak, Insya Allah.

Ummi tolong juga angkat barang sikit-sikit naik ke rumah Tingkat 1 di kuarters. Barang paling besar dan paling akhir yang Ummi tolong bawa adalah mesin basuh untuk 6.5kg baju. Tanpa Ummi perasan, rupa-rupanya Allah dah bagi Khubaib dalam perut waktu tu. Maha Suci Allah, Dialah sebaik-baik penjaga.

Dua minggu kemudian, Ummi bersama-sama sahibah-sahibah yang dikasihi ke program tiga hari menimba ilmu membentuk jiwa-jiwa di Selangor. Ummi jadi tukang pandu juga waktu malam hari semasa pulang dari program menuju ke Johor semula. Masih lagi tak tahu rupanya ada Khubaib dalam perut Ummi.

Alhamdulillah, mengetahui kehadiran Khubaib di awal Ramadhan adalah antara hadiah paling indah yang Allah bagi.

Alhamdulillah.

Sarjana Dengan Khubaib

Tuntutan pengajian sarjana masih lagi diteruskan. Ummi pilih kelas hari Ahad, Rabu dan Khamis petang. Mersing ke Skudai jaraknya lebih kurang 160 km dan Ummi adalah antara pelajar yang paling jauh datang di antara lokaliti para pelajar yang lain.

Memang jalan Mersing ke Skudai bukanlah jalan yang best sebab banyak lori dan tiada lebuhraya. Jadi, Ummi bergantung harap bulat-bulat pada Allah s.w.t.

Ada masanya Abu Khubaib akan hantar Ummi pada hari Ahad manakala hari Rabu dan Khamis Ummi pergi sendiri. Setelah habis kelas petang Rabu yang memang biasanya habis pukul 7 petang, Ummi akan balik terus ke rumah Tok Wan dan Tok Bah Khubaib dalam 45 minit perjalanan daripada UTM. Biasanya Ummi memang singgah makan sorang-sorang di kedai mamak di berhampiran destinasi sebab asyik teringin makan nasi goreng mamak dan kuey teow goreng mamak. Esok harinya bertolak ke Skudai semula daripada rumah Tok Wan dan Tok Bah Khubaib.

Setelah habis kelas Khamis petang, Allah beri kekuatan untuk berusrah bersama tautan hati di Johor Bharu pula. Hari Jumaat pagi baru Ummi pulang semula ke Mersing.

Nomad hidup kita.
Khubaiblah peneman yang Ummi bawa ke mana saja pada waktu itu.

Khubaib dan Ummi Berdua

Setelah 6 bulan bercuti dari kerja, Ummi kembali semula bekerja dan perlu bersedia hamil jauh daripada Abu Khubaib. Perlu bersedia secara secara mental dan emosi.

Kali ini, Ummi pilih untuk tinggal serumah bersama kawan-kawan berbanding tinggal seorang seperti sebelum ini atas sebab keselamatan.

Ada ketikanya Ummi tidak sama hari kelas dengan rakan-rakan sepejabat belajar di UTM, Ummi tawakkal saja pada Allah untuk pergi sendiri belajar di Skudai dan balik Bandar Penawar pada waktu malam.

Kemalangan di Lebuhraya Senai-Desaru bulan 9, tahun 2013 masih lagi menyebabkan rasa berdebar-debar tiap kali nak memotong kenderaan mahupun pandu melebihi 100km/j. Namun, trauma itu perlu dihadapi.

Pada usia kandungan 34 minggu (8 bulan setengah) Ummi mengalami kontraksi semenjak pagi hingga petang ketika bekerja di pejabat.

Ummi tunggu Abu Khubaib datang dan terus ke Hospital Kluang. Allah izin Ummi bermalam di situ selama beberapa hari. Ummi pujuk Khubaib dalam perut supaya tunggu sampai masa bersalin 36 minggu dan ke atas.

Alhamdulillah menghampiri masa bersalin, Ummi cuti seawal 38 minggu. Dan Khubaib lahir pada minggu ke 40. Allah izin Ummi tak mengalami simptom mengandung yang teruk tetapi mungkin bahagian ujian masing-masing, diuji ketika melahirkan dan selepas kelahiran.

Disebabkan Ummi banyak travel sewaktu mengandung, kadang-kadang dengar Khubaib yang masih bayi macam buat bunyi brek kereta. Hehe.

Terima Kasih, Sayangku Muhammad Khubaib Adi 

Terima kasih Khubaib menjadi peneman Ummi tanpa berpisah selama 10 bulan dalam rahim dan jadi teman berdua selama setahun berjauhan dari Abu Khubaib serta jadi anak yang taat tanpa banyak ragam bersama Ummi.
Terima kasih kerana sanggup menunggu tanpa banyak karenah di rumah pengasuh hingga lewat jam 9 malam kerana menunggu Ummi pulang daripada pengajian.

Apabila Adik Khubaib lahir, Khubaib masih tetap manja sampai sekarang. Ummi tahu apa yang Khubaib lalui bersama Ummi dan Ummi terima kalau sekali sekala Khubaib meragam menebus perhatian yang Ummi kurang beri dulu.

Maafkan Ummi.

Semoga Khubaib akan jadi anak soleh dan menyolehkan dan menjadi hamba yang diredhai Allah dunia dan akhirat.

Ummi sayang Muhammad Khubaib Adi fillah.

Feb 9, 2017

Baitul Muslim: Ketidakadilan Ibu Bapa Yang Jadi Kebiasaan


~Menjadi ibu bapa ibarat menjadi pelukis seni, satu warna dan satu lakaran memberi impak besar pembentukan kanvas hidup anak kita~

Hari pertama dan kedua kedatangan Fathimah Raudhah ke dunia disambut baik oleh Khubaib 'Adi. Melompat-lompat keriangan apabila melihat adiknya di dalam baby cot sambil menyebut "Baby! Baby!". 

Namun, menjelang hari ketiga dan seterusnya, sikapnya yang suka bertukar macam singa. Asal dekat saja dengan Raudhah, dia akan memukul dan membaling mainan atau bantal pada si adik. 

Saya memahami andai ini ragam cemburu kedatangan orang lain yang seolah-olah jadi pengganti. 

Khubaib 'Adi sudah tidak tidur sebelah umminya lagi. Sudah tidur sebelah abi saja. Itupun jauh daripada umminya. Sebelah ummi sudah ada orang lain yang ummi selalu peluk dan susukan pula. Mungkin nampak seperti seolah-olah sayang ummi dah bertukar pada yang lain. 

Saya selalu katakan pada Khubaib setiap kali setelah temper tantrum nya berlaku, "Ummi sayang Khubaib 'Adi. Ummi sayang Raudhah. Dua-dua ummi sayang." 

Nampaknya hanya sekejap saja reda Khubaib. Setelah itu, marah pada adiknya datang lagi. 

~Menyatukan hati anak-anak adalah ujian ibu bapa dan saham masa depan~

Solusi
 
Balik berpantang di Mersing, saya membelek-belek buku Prophetic Parenting yang masih belum dihabiskan bacaan. Saya membaca di bahagian Bersikap Adil dan Menyamakan Pemberian untuk Anak.
Satu hadith yang riwayatkan oleh al-Baihaqi benar-benar menjentik hati saya. Mungkin inilah sebab Khubaib 'Adi berkecil hati. 

"Bahawasanya seseorang sedang duduk bersama Nabi s.a.w. Tidak lama kemudian datanglah anak lelakinya. Dia pegang, lalu cium, dan dudukkan di pangkuannya. Kemudian datanglah anak perempuannya. Dia pegang dan dia dudukkan di sampingnya. Nabi s.a.w bersabda, 'Engkau tidak berlaku adil terhadap mereka berdua.'"
(Hadith Riwayat Al-Baihaqi) 

Macam selalu nampakkan situasi di atas? 

Saya membaca dua kali hadith tersebut sebab macam tak nampak apa salahnya.
Selepas membaca huraian tulisan Dr. Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid, baru saya faham. 

'Kaedah pendidikan mana di dunia ini, dan sekolah guru mana di bumi ini yang sanggup mengingatkan tentang masalah 'remeh' tentang berlaku adil dalam ciuman dan duduk di pangkuan?? Tidak lain adalah dari cahaya kenabian'

Tulisan Dr Muhammad bukan setakat menjentik hati bahkan menampar-nampar diri saya. 

Kita biasa melihat situasi di atas di mana-mana hingga kita anggap itu satu perkara biasa. Sampai kita lupa kebiasaan itu adalah satu kesalahan. 

Refleksi 

Ya, mungkin di sebalik rasa excited, saya cium dan belai anak yang baru hadir ini sehingga lupa untuk buat perkara yang sama pada si abang. Sedangkan si abang melihat dan memerhati lalu berkecil hati. 

Pembentukan anak sememangnya bukan setakat daripada apa yang kita kata tetapi banyak daripada apa yang kita buat. 

Saya aplikasikan nasihat Rasulullah s.a.w sebaik saja hadith itu membuka mata hati saya.
Alhamdulillah Khubaib 'Adi sudah tidak macam tu lagi. Benar, temper tantrum nya tetap ada. Sebab lapar, penat, ataupun kecewa dengan mainannya. Namun, bukan kerana cemburu dengan adiknya. Itulah harapan saya. 

Kekadang sewaktu dukung si adik, Khubaib 'Adi juga minta didukung. Selepas waktu berpantang ni, saya masih berjaga-jaga supaya tidak bawa barang berat. Oleh itu, memandangkan permintaan si abang, saya duduk dan memangku kedua-duanya. 

Menjadi adil ni tidak susah sebenarnya, tetapi mungkin kita saja yang terlepas pandang untuk menjadi ibu bapa yang adil pada anak-anak.
Kita saja yang banyak khilaf dalam memerhati hal yang nampak remeh pada anak.
Kita mahu anak-anak kita bersatu hati tapi kita sendiri memecah belahkan hati-hati mereka tanpa kita sedari. 

Pendidikan Rasulullah Terbaik

Saya menghabiskan Sarjana Psikologi Pendidikan namun saya tidak jumpa tentang ini. Hal yang nampak remeh tetapi boleh membiakkan cemburu menjadi iri hati, lalu menjadi hasad dengki. Wal'iyadzubillah. Semoga dijauhkan kita dan anak-anak kita daripada perkara ini.

Nampak simple masalah adik beradik saling cemburu. Nampak common situasi memeluk dan mencium seorang anak tetapi tidak pada anak yang lain. Mungkin atas alasan yang kita cium tu masih bayi. Namun, hakikatnya kecil atau besar, mereka tetap anak-anak kita yang perlukan hak yang sama. 

Rasulullah s.a.w sememangnya pendidik yang terbaik. 

Jom, kita jadi ibu bapa yang adil hatta pada setiap dakapan pada setiap anak yang ada.
Meminjam tagline: betulkan yang biasa dan biasakan yang betul

~Hatta pada satu ciuman dan dakapan pada anak boleh memberi satu perbezaan persepsi sayang yang besar pada anak dengan anak yang lain~

Jan 14, 2017

Penawar 'Natural' Selesema Bayi Dan Anda


~Penawar semulajadi adalah hadiah penyembuhan Allah kepada manusia~
 
Menghidap selesema memang merisaukan. Apatah lagi kalau bayi kecil yang dapat selesema. Doktor manapun tidak akan syorkan ubat selesema pada bayi sebab boleh beri kesan sampingan kepada bayi.

Waktu anak pertama dulu, memang saya sangat risau. Memandangkan ia pengalaman pertama, barulah sibuk nak cari maklumat dan alternatif meredakan selesema bayi. Bagi wanita yang baru dapat gelaran ibu, macam-macam perasaan ada tika itu. Ada rasa sedih, risau, kecewa dan macam-macam lagi. 

Ubatan Alami 

Insya Allah sekadar nak berkongsi tips rawatan semulajadi. 

Cengkih, madu, kayu manis dan lemon. 

Ini adalah antara bahan-bahan semula jadi yang menjadi penawar selesema, dengan izinNya.
Pasti ramai yang tahu khasiat madu dan lemon, memandangkan madu yang banyak dijual di pasaran. Waktu zaman bekerja dulu pun, ramai kawan-kawan bawa air lemon dalam tumbler ke pejabat. 

Kayu manis adalah gandingan rapat madu sebab gabungan kedua-dua anugerah alami ini banyak meredakan pelbagai penyakit. Kayu manis adalah anti radang @ anti inflammatory serta anti histamin yang baik. Ubat selesema yang biasa kita makan pun tergolong dalam kumpulan anti histamin. 

Cengkih biasanya kita hanya guna dalam masakan. Sebenarnya cengkih juga berfungsi sebagai ekspektoran (expectorant). 

Apakah ekspektoran?
Ekspektoran adalah penggalak keluar kahak atau mukus berlebihan daripada salur pernafasan. Kalau di Barat, mereka sudah lama buat minyak cengkih kerana khasiatnya. Saya juga tak pernah sangka cengkih ada kuasa sebegini sebelum masuk ke alam rumahtangga. 

Masya Allah sangat hebat kuasa Allah yang mencipta. Cengkih bukan hanya penyedap rasa tetapi juga penawar penyakit. 


 
Kaedah Penyediaan 

Ini adalah berdasarkan pembacaan dan kajian saya. Mungkin ada orang lain yang tahu kaedah penyediaan yang lain.

Berikut adalah langkah-langkahnya:

Pertama: Masukkan dua hirisan lemon, dua batang kayu manis dan tiga bunga cengkih dalam cawan/mug. 

Kedua: Masukkan air panas dan tutupkan cawan/mug. 

Ketiga: Tunggu air suam dan masukkan satu sudu madu. Siap untuk diminum. 

Air ini diminum oleh ibu yang menyusu sekiranya bayi alami selesema sebab khasiatnya akan sampai pada bayi melalui susu ibu. Untuk ibu hamil pun boleh minum.
Semudah 1,2 dan 3.
Boleh diminum awal pagi dan sebelum tidur. 

Pengalaman saya selesema yang teruk atau hidung tersumbat beransur pulih dalam masa tiga hari. Ia diminum secara konsisten sehingga saya rasa lega dari selesema.
InsyaAllah kita hanya berikhtiar dan berdoa semoga Allah sembuhkan kita. 

"Dan apabila hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah, sesungguhnya Aku amat hampir. Aku perkenan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu . Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu supaya mereka menjadi baik dan betul." 
(Surah Al-Baqarah :2;186)

Apr 26, 2015

Melahirkanmu: Ajari Diri Untuk Memberi


~Manusia fitrahnya saling bergantungan, mengharapkan dan diharapkan. Ia sesuatu yang tidak dapat dihindar. Pergantungan dan pengharapan yang paling ampuh adalah pada Tuhan seluruh alam.~

~Di fasa keibubapaan, Allah ajar erti kita rasa menjadi ibu bapa - medan memberi tanpa syarat~


Sejak kecil, kita perlu kasih sayang ibu bapa
Apabila meningkat remaja, kita semakin ingin kebebasan
Lalu tali pergantungan sedikit demi sedikit dilonggarkan
Ada masanya dengan Allah juga kita lalai 
kerana tali pergantungan pada Allah juga kita biar
Diketuk ujian, kita kembali pada-Nya

Fasa-fasa kehidupan umpama tingkat berlainan cabaran 
Ada nikmat juga ujian berlainan 
Firman Allah - manusia diuji untuk dilihat tingkat amalan
Moga fasa demi fasa kehidupan
Kita hidup dengan redha Allah 
Pengakhiran dengan keimananan

Fasa-Fasa Kehidupan

Memasuki alam perkahwinan, banyak ibrah yang saya belajar. Perkahwinan bukan saja penyatuan dua hati atau alam indah yang dinanti-nanti. Perkahwinan banyak mendidik diri. Alam yang Allah izinkan untuk tarbiyah hati. Alam untuk kita saling bertolak ansur, menerima seadanya pasangan yang tinggal bersama, mendidik diri untuk merendahkan ego, mentarbiyah hati untuk sentiasa berbalik kepada Allah Yang Maha Mengetahui dan Mendengar.

Alhamdulillah, Allah izinkan saya untuk memasuki alam keibubapaan. Walaupun baru beberapa hari Allah anugerahkan mujahid kecil ini, ia banyak mendidik diri. Alam ini bukan saja mengajar untuk bersabar. Namun, ianya adalah alam untuk memberi tanpa batas. Memberi, memberi dan memberi.


Fasa Menanti Kelahiran

Baru diri ini sedar betapa sukarnya menjadi ibu bermula dari mengandungkan si kecil - pelbagai karenah perlu dilalui. Alhamdulillah, proses mengandungkan mujahid kecil ini tidak seteruk mana. Kemudian proses melahirkan yang pertama kali ini merupakan pengalaman yang agak traumatik - bak kata sahabat saya, Mawaddah yang sudi meminjamkan masa mendengar luahan rasa. Ya, agak perit apabila melalui pengalaman uterine hyperstimulation  selepas  induction of labour walaupun saya telah mengalami kontraksi. Doktor yang saya beritahu bahawa saya telah mengalami kontraksi bermuka cuak dan mengatakan bahawa sejam selepas itu saya akan melalui pemeriksaaan Cardiotocograhpy (CTG). Namun, sejam berlalu, tiada siapa kembali memeriksa saya.

Hanya lima jam kemudian, doktor pakar dan dua orang pegawai perubatan yang lain datang ke katil saya. Terkejut doktor pakar apabila saya mengatakan jumlah kontraksi yang saya alami dalam 10 minit. Pelik kerana doktor pakar yang melihat graf CTG saya nampak kontraksi berlaku. Pegawai perubatan yang sebelum itu memberi laporan bahawa saya tidak mengalami kontraksi telah diarahkan untuk mengeluarkan ubat Prostin itu kembali. Peritnya, hanya Allah yang mengetahui.

Cukuplah hanya setakat itu perkongsian pengalaman saya.

Satu ayat selalu diulang zawj saya tatkala itu adalah "Ini bahagian masing-masing ".

Lama saya renung maksud itu. Dan tika itu baru Allah ingatkan saya bahawa :

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya"
(Surah Al-Baqarah ; 2:286)
Moga Allah bersihkan diri saya yang berdosa ini. Semoga dijadikan ibrah bersama.


Medan Memberi 24 Jam Sehari

Perjuangan memberi bukan saja di luar rumah bahkan ia bermula dari dalam rumah lagi. Peluang memberi tanpa meminta balas adalah medan di rumah ini. Hanya redha Allah yang diharapkan. Jika sebelum ini kita bukan orang yang penyabar, inilah medan kita didik diri untuk bersabar. Jika sebelum ini kita pentingkan diri, inilah medan kita mengutamakan yang lain lebih dari diri sendiri. Jika sebelum ini kita kurang menyelami pengorbanan ibu bapa membesarkan kita, inilah medan Allah beri kita menghayati pengorbanan tanpa syarat mereka. Jika sebelum ini kita sukar untuk memberi, inilah medannya kita untuk berjuang memberi di rumah sendiri - 24 jam 7 hari seminggu.

"Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu."
(Luqman; 31:14)


Pembungkus

Masih jauh lagi langkah ini sekiranya diizinkan Allah. Saya masih lagi bertatih bukan hanya setakat mendapat gelaran isteri dan ibu namun untuk menjadi isteri solehah dan ibu solehah pada keluarga untuk mendidik generasi hamba-Nya yang diredhai. Mampu atau tidak bukan soalnya. Ilmu dan usaha perlu ada, serta doa untuk terus istiqamah dan memohon kekuatan dari Allah. Kerana saya manusia yang lemah dan tidak berdaya melainkan pergantungan dan sandaran yang tidak berbelah bagi pada Allah yang Maha Kuasa.

Fasa kehidupan akan terus dilalui. Moga ibrah akan melekat di hati untuk mendidik diri.

~Melahirkanmu suatu pengalaman mendidik diri bahawa diriku lemah dan sentiasa perlukan Allah. Antara hidup dan mati, kelahiranmu tetap dinanti. Semoga Allah meredhai.~


Feb 18, 2015

Baitul Muslim: Nikmat Dan Ujian Penantian


~Allah lihat air mata yang menitis dalam permohonan kepada-Nya. Allah kira setiap kesabaran yang dihitung dalam meniti ujianNya. Dan Allah tidak pernah leka mengira kesyukuran kita atas setiap nikmatNya. La tahzan, Innallaha maana~

~La tahzan, innallaha maana~


Alhamdulillah sudah hampir tahun kedua saya dipertemukan jodoh oleh Allah dengan Zawj (suami) yang dikasihi kerana Allah. 

Ujian Menanti Jodoh 

Saya bertemu zawj pada tahun 2012 dan bernikah pada usia saya 27 tahun di tahun seterusnya . Tatkala itu sudah ramai sahabat-sahabat seangkatan saya yang sudah menikah. Begitu juga adik-adik junior. Tak tinggal mereka yang menikah juga sudah punyai ramai anak.

Tidak dapat dinafikan perasaan sedikit sedih saya apabila soalan ‘bila nak berkahwin’ asyik diajukan bertalu-talu setiap kali berjumpa kawan-kawan lama atau pulang berjumpa sanak saudara sewaktu belum bernikah. 

Mungkin ada yang kata saya memilih. Benar, adakalanya saya memang perlu memilih siapa yang ingin menjadi bapa kepada anak-anak saya nanti. 

Ikhtiar dan usaha tidak diketepikan.
Saya yakin tentang jodoh dan ketentuan Allah.

Sepanjang hampir 7 bulan tempoh pertunangan, saya dan tunang juga diuji.
Allahlah tempat kami memohon segalanya. Tiada tempat lagi untuk kami berteduh dan berlindung daripada segala gangguan selain Dia.

Ujian Menanti Qurratu 'Ayun

Sesudah mendirikan baitul muslim, tentu saja setiap pasangan menanti-nantikan zuriat kurniaan Allah. 

Saya dan zawj juga tidak terlepas daripada ujian ini. Sekali lagi soalan “dah ada baby ke?” dan soalan seumpamanya adalah kelaziman bagi kami. 

Berbagai petua diamalkan termasuklah dari tradisional hingga ke makanan Sunnah. Dari cuba memakan tauge setiap hari hinggalah memakan rempah ratus dari negara anbiya' (rujuk susu al-khisbun). Dari doa dalam Surah Al-Anbiya', doa Nabi Zakaria dalam Surah Yusuf sehingga zikir asmaul husna menjadi amalan sebagai ikhtiar dan usaha.

Kemudian, genap setahun usia baitul muslim kami, saya membuat keputusan untuk mengambil cuti tanpa gaji dan tinggal bersama zawj. 

Kerana sebelum itu kami tinggal berasingan dek jarak tempat kerja yang agak jauh. Kami hanya berkesempatan untuk berjumpa hanya di hujung minggu, itupun cuti bekerja saya hanya pada hari Ahad manakala zawj bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu. 

Alhamdulillah, tidak sampai beberapa minggu saya bercuti di rumah, Allah beri kami anugerah zuriat yang dinanti.

Ujian dan Nikmat

Ada yang belum bertemu jodoh bermohon kepada-Nya untuk dipertemukan dengan pasangan yang Allah redha. 

Ada yang belum beroleh zuriat bermohon kepada-Nya untuk diberikan pewaris yang terbaik untuk agama dari keturunannya.

Ada yang sudah dikurniakan seorang anak dan masih belum dikurniakan yang kedua, bermohon untuk ditambahkan bilangan anaknya. 

Manusia lemah dan miskin. Sentiasa inginkan tambahan dari Allah untuk hidupnya.
Allah kaya dan kita hamba-Nya ini miskin. Kita sentiasa meminta sedangkan Allah serba cukup segalanya.

Pasangan suami atau isteri serta anak-anak adalah penyejuk mata dan pententeram jiwa. Mereka juga ujian buat kita - untuk kita bersyukur kepada-Nya, untuk kita manfaatkan amanah mendidik diri kita sendiri dan mereka menuju-Nya. 

Ada yang berkata ujian saya tidak lama. 
Ada yang diuji sehingga ke usia 40 belum lagi berkahwin, ada yang berumahtangga sehingga 10 tahun belum lagi mendapat cahaya mata. 

Benar, ujian saya tidak lama. Namun, saya sekurang-kurangnya telah berada di tempat tersebut walaupun tidak lama. Saya merasai perasaan bagaimana diajukan persoalan demi persoalan yang saya sendiri tidak dapat memberi jawapan tentang 'bila waktunya itu'.

~Masa akan terus berlalu, semoga Allah memberi kebahagiaan dan ketenangan dalam setiap detik kehidupan~


Saya juga berusaha berbagai cara dalam tempoh tersebut mengamalkan berbagai doa, petua, zikir bahkan ke pengamal perubatan Islam. 

Saya yakin Allah tidak lihat hasilnya sebab Dialah yang berikan keputusan pada kita, tetapi Allah bagi kita peluang untuk berusaha selagi kita tidak syirik pada Dia. 

Muhasabah

Ada pasangan juga akan diuji. Belum mendirikan baitul muslim juga akan diuji. 
Ada zuriat juga diuji. Belum punya zuriat juga akan teruji. 


"Dan ketahuilah bahwa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar."
(Surah Al-Anfal: 28)


Di mana jua kita berada di atas muka bumi Allah ini, kita pasti diuji. 


"Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih  baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun."
 (Surah Al-Mulk: 2)


Sewaktu ujian itu melanda, saya sering bertanya pada diri sendiri, mungkinkah amalan saya selama ini masih belum cukup untuk Allah memberikan apa yang dihajatkan kepada saya?


Bahawasanya seorang yang datang mengadap Nabi Saw dan berkata,
‘Wahai Rasulullah, aku tidak diberi anak dan aku tidak memiliki anak seorangpun.’ Beliau Rasulullah s.a.w bersabda : ‘Di mana kamu dengan banyaknya beristighfar dan bersedekah yang dengannya engkau akan diberi anak?’ Maka orang itupun memperbanyakkan sedekah dan istighfar. Diapun mendapat sembilan orang anak laki-laki.” 



Atau mungkinkah ini adalah kifarah dosa-dosa kelalaian saya kepada Allah dahulu?

Maka aku katakan kepada mereka : ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.”
(Surah Nuh : Ayat 10-12)


Atau mungkinkah Allah masih lagi menunggu hingga rintihan saya padaNya benar-benar ikhlas dan terkesan untuk menjadikan saya  hamba yang diredhai-Nya?
Mungkin saja hati ini belum bulat-bulat berserah pada-Nya. 

Banyak yang saya fikirkan - silapnya di sisi saya. Mungkin saja Allah ingin menyucikan saya sebelum saya mampu mendidik diri dan zuriat saya mengikut acuan Ilahi.

Secebis Pesanan 

Pada sahabat-sahabat atau sesiapa saja di luar sana yang belum ketemu jodoh atau dikurniakan zuriat, yakinlah Allah memandang setiap usaha kita yang penuh kesungguhan. Allah pandang setiap rintihan air mata kita dengan penuh kasih sayang. 

Yakinlah sepenuhnya pada Tuhan  yang menciptakan. 
Bila-bila saja Dia boleh mengatakan "Jadilah!" tapi tentu ada hikmahnya permohonan kita ini ditangguhkan untuk Dia hadiahi perkara yang lebih baik bagi kita yang mungkin saja kita belum jelas melihat hikmahnya. 

Saya juga masih menanti hari untuk melihat cahaya mata, dengan keizinanNya. Masih menanti dengan perasaan bercampur antara debar dan  gembira.

Segalanya bersandar hanya pada-Nya.

~Kita bersedih atas apa yang kita hajati belum Allah kurniakan. Namun, jangan kita lupa atas infiniti nikmat yang telah Allah beri pada kita hingga hari ini~

Apr 24, 2014

Baitul Muslim: Perkahwinan Jarak Jauh (PJJ)


~Perkahwinan dan percintaan selepas nikah jarak jauh memerlukan komitmen, kepercayaan, kejujuran dan ketabahan yang tidak sedikit. Semoga Allah memberikan kita semua kekuatan dalam Baitul Muslim ini~

Dengarkan...



Zaman Perkahwinan Jarak Jauh

Di zaman semuanya sibuk dengan kerjaya, ramai pasangan suami isteri yang terpaksa memilih untuk hidup berasingan dan berjauhan atas tuntutan ekonomi dan hidup yang semakin mencabar.

Ada yang sejauh merentasi lautan, ada yang jarak berjam-jam perjalanan, ada pula yang di utara-selatan, timur-barat.

Saya dan suami pula walaupun berjauhan tidak sampai ke luar negeri kami bermastautin, namun, kami hanya bersua di hujung minggu. Ditambah dengan masing-masing berlainan hari cuti, banyak tidak dapat dirancangkan bersama.

Hidup Bersama

Namun, perancangan kami bukanlah untuk berputus asa setakat ini. InsyaAllah, semoga Allah memudahkan usaha kami untuk hidup bersama sebumbung.

Tidak dinafikan, hidup bertemu dan kemudian berpisah setelah beberapa hari berjumpa meruntun hati pilu. Semoga Allah menganugerahkan kami ketabahan dan kesabaran.

Semoga Allah memudahkan perkara-perkara yang diredhai-Nya.

Kadang-kadang rasa sedih apabila melihat suami di musim cuti sekolah yang hanya perlu duduk di rumah sementara menantikan isterinya pergi bekerja. Jika tidak pun, encik suami meluangkan masa di masjid berdekatan sementara menjemput isterinya pulang dari tempat bekerja.

Maaf, duhai suamiku, diri ini belum mempunyai kudrat meluangkan masa bermanfaat yang panjang denganmu bersama-sama.

~Semoga Allah merahmati Baitul Muslim ini~


Cinta Selepas Nikah

"Isteri-isteri kamu itu adalah pakaian bagi kamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka."(Al-Baqarah; 2:187)

Sering zawj (suami) bertanya saya di awal perkahwinan dulu tentang perasaan saya. Disebabkan kami hanya berkenalan melalui orang tengah dan hasil istikharah serta izin Allah; kami bertemu, bertunang dan mendirikan rumah tangga.

Perasaan suka saya muncul di fasa pertunangan namun, perasaan cinta dipupuk dengan izin-Nya selepas pernikahan. Banyak lagi perkara yang kami belum terokai bersama. Purata kami hidup bersama dan saling mengenali masih dalam tempoh yang singkat berbanding usia perkahwinan kami sendiri.

Masih teringat sewaktu saya menanti suami di kuartersnya untuk makan bersama semalam. Suami saya balik membawa secawan jagung manis. Dan saya sangat teruja makan jagung manis tanpa disedari suami.

"Baru saya tahu rupanya isteri saya suka makan jagung." balas suami. Suka melihat isterinya makan dengan gembira.

"Dah dekat 8 bulan baru tahukan..." Saya tersenyum sendiri.

"Dah dekat setahun dah," sambung suami saya lagi.

(^___^)

Panjang lagi episod perkenalan ini.

Perkahwinan dan percintaan jarak jauh ini, moga ada hikmahnya.

Banyak lagi yang perlu kami baiki dalam hubungan menuju redha Ilahi. InsyaAllah, kami berusaha menjadi hamba-Nya yang patuh. Berusaha menjaga baitul muslim ini agar sentiasa dalam rahmat-Nya.

Buat suami isteri di luar sana yang sama-sama PJJ seperti kami, semoga Allah juga merahmati dan melindungi Baitul Muslim kalian semua.


~Dia yang ditakdirkan untukku dari-Mu, dan ku ketahui jua bahawa ia adalah hadiah dari-Mu untukku~

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino