::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-
Showing posts with label isu semasa. Show all posts
Showing posts with label isu semasa. Show all posts

Sep 30, 2025

Pelayaran ke G: Ibrah untuk Kita


~Insya Allah, tanamkan impian agar suatu hari kita akan jadi antara manusia yang membina semula batu bata di G4Z4~

Masih ingat ketika saya di tahun 4 Ijazah Sarjana Muda, waktu tu kapal Mavi Marmara sedang belayar ke G. Saya sedang berada di rumah sewa semasa posting jururawat tahun akhir di Hospital Temerloh. Jadi, menonton TV tu adalah perkara rare kami, apatah lagi kalau dah kerja shif di hospital. Lagi tua ni, lagi banyak tanggungjawab di hospital, dan terima kasih juga kepada staf hospital yang percayakan kami. 

Jadi, saya tak tahu menahu pun tentang pelayaran Mavi Marmara pada awalnya. Cuma suatu hari itu jadi tergempar apabila saya tahu (saya pun tak ingat asalnya saya tahu dari rakan atau dari telefon, zaman tu belum ada Whatsapp) tentang kapal Mavi Marmara yang ditahan Zisewel dan ada yang syahid, ada yang ditahan dan dipenjara. Memang ada beberapa orang figur yang saya kenali tetapi tidaklah serapat mana. Tapi entah kenapa tiba-tiba air mata jatuh berlinang apabila dengar khabar itu. 

Tidak lama selepas habis posting, saya pulang terus ke rumah dan terus mengikuti update mereka sehinggalah mereka dibebaskan semuanya. 

Dan setelah mereka dibebaskan, saya menyaksikan banyak siaran televisyen menemuramah mereka termasuk para isteri yang ditinggalkan di Malaysia ketika itu. 


Hingga saya terdetik ketika sesi temuramah itu, "Ya Allah, aku teringin sangat nak tanya para isteri ni, apa perasaan mereka bila tahu suami mereka mungkin pergi dan tidak kembali. Apa yang buatkan mereka sekuat itu, dengan anak-anak pun masih kecil lagi."

Saya pernah mengenali dari jauh para isteri yang tabah tu, tapi tak serapat itu untuk bertanya tentang hal itu. 

Sehinggalah saya diizinkan oleh-Nya untuk berhijrah ke negeri paling selatan ini, dan bertemu dengan salah seorang dari mereka. Dan sosok yang kuat dan tabah inilah yang banyak bimbing saya dalam perjalanan untuk terus menjadi hamba-Nya yang lebih baik. Sehinggalah beberapa tahun kemudian, baru saya berani bertanyakan soalan itu. 

Syukur, Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya. 

Jadi, setiap kali melihat pelayaran Global Sumud Flotilla kali ini, ia seperti mengimbas kembali memori lebih 10 tahun dahulu. 

Ia bukan mudah.
Semoga doa kita kuatkan hati mereka dan hati keluarga yang mereka tinggalkan. 

Kredit: TT Haroqs



~Kalau kita tak mampu pergi kali ini, kita doakan untuk mereka, ambil tahu dan peduli. Biar doa kita sertai dan iringi mereka ke sana, Insya Allah.
P@lestin, tunggu kami datang.~


Dec 5, 2024

Generasi Strawberi dan Bah!


~Didiklah anak-anakmu sesuai dengan zamannya~

Aduan Anak-Anak

Tengahari tadi, Umminya ni ambil anak-anak dari sekolah, sambil menyaksikan muka Fathimah atau nama panggilan di rumah Amami; yang tidak senyum masuk ke dalam kereta. Sebabkan sambil drive tadi video call dengan nenek anak-anak ni bermula dari rumah sampai balik semula ke rumah, jadi nampaklah Fathimah dok pendam perasaan dia tu. Tunggu masa nak luah kat Umminya. 

Masuk je rumah, dia dah mula menangis. 

"Kenapa ni?" Tanya Ummi. 

"Ain tu (bukan nama sebenar)...." Fathimah mula meluah sambil menangis. Al-kisahnya rakan yang agak rapat dengannya mengambil buku 'mencari benda tersembunyi' daripada dalam beg sekolahnya, dan mencari benda-benda tersembunyi tersebut menggunakan pen marker pula, dan hanya meninggalkan satu saja lagi muka surat yang belum dibuat, tanpa kebenarannya. 

"Dahlah Amami pakai duit Amami sendiri."
Al-kisahnya Ummi pun baru tahu dia beli buku tu pakai duit belanja dia sendiri, dan Ummi dia ni pun tak tahu dia beli tu. 

Fathimah ada sedikit karakter perahsia ye, dan yang ni lah yang Ummi dia nak kena selalu pantau. Berbanding Khubaib yang lebih berterus terang dengan Ummi. 

Dah habis menangis-nangis sambil Ummi peluk dia, tapi masih juga tak reda-reda tu, datanglah abang dia tanya kenapa, dan kemudian minta adik dia 'pukul' je kawan dia tu tadi. 

"Takkan sebab tu je nak pukul." tegur Ummi. 

"Kadang-kadang common sense orang tak sama macam kita. Cakaplah dengan dia, yang saya tak suka awak ambil barang saya tanpa izin saya. Pernah cakap?" tanya Ummi. 

Mengajar anak-anak supaya berani meletakkan sempadan (boundaries) pada perkara-perkara yang tak disukai. 

"Kalau kita tak cakap, orang tak tahu. Orang ingat kita tak kisah. Nanti hari Ahad nanti (sekolah), Ummi nak Fathimah cakap dengan Ain, boleh?" sambung Ummi. 

Tapi tangisan Fathimah masih tak reda. "Amami tak nak. Nak Ummi cakap dengan ibu dia." berulang kali disebutnya tu. 

"Amami, ibaratnya yang gaduh 2 orang je daripada 2 buah negara. Takkan pula kerana 2 orang tu yang gaduh, negara-negara ni nak baling bom, berperang. Ummi nak ajar Amami selesaikan sendiri kat sekolah. Cakap dengan dia sendiri. Sampai bila semuanya nak mak ayah masuk campur dalam konflik sendiri." 

Al-kisahnya, tangisannya tetap makin kuat. Tak puas hati atas cadangan Umminya. 

Disebabkan azan Zohor pun dah berkumandang, Ummi pun bangun nak solat. "Dah, pergi mandi, lepas tu solat. Sabar dan solat." 

Sampailah Ummi habis solat, dia masih menangis tapi dah berkurang. Setelah persiapkan diri untuk solat, Fathimah, tak menangis lagi. 


********

Selepas solat, sambil Ummi menghidangkan makanan di meja makan, Khubaib bersuara. 

"Ummi, boleh tak petang ni Khubaib tak nak sekolah?"tanya Khubaib. 

Sejak semalam lagi Khubaib dan Fathimah minta tak nak pergi sekolah. Sambil memberikan pelbagai alasan.

Aduan semalam:

"Ummi, kenapa cikgu pilih kasih? Kat perempuan, cikgu tak denda pun." 

"Ummi, Khubaib dah tak nak buat 3S dah... yang Senyum, Sapa, Salam. Bila kelas Khubaib bising, tapi Khubaib tak bising pun, Khubaib senyum je, Cikgu dari kelas sebelah datang kelas Khubaib, lepas tu cakap dengan Khubaib, apa sengih-sengih? Khubaib tak nak senyum dah."

"Ummi, Amami tak nak pergi sekolah petang sebab berat lah kena berdiri bawa beg waktu perhimpunan. Cikgu-cikgu tak payah bawa beg pun."

"Ummi, esok ada bacaan Yassin kat sekolah tapi cikgu-cikgu pun tak baca Yassin. Ada tu yang bercakap-cakap, jalan sana sini je." 

"Ummi, cikgu tu kat koperasi suruh kita buat barisan tapi dia tak payah pun berbaris, terus bayar je kat depan."

"Ummi, esok bukan ada ngaji pun. Asyik takde ngaji je, sebab kena bebel, kena bebel, kena bebel."

Dan macam-macam lagilah ketidakpuas hatian mereka tu. Sambil berkaca-kacalah mata Khubaib meluahkan perasaan dia tu. 

Tapi Umminya masih tak bagi jawapan untuk meng'iya'kan cuti mereka pada hari Khamis. Ummi hanya bagi nasihat terutama waktu lepas sesi doa usai solat berjemaah solat Zohor semalam. 

Jadi, hari ni mereka meminta lagi izin untuk tak bersekolah tetapi macam dah kurang beremosi berbanding semalam. 

"Khubaib, Amami, kat mana-mana je kita akan ada jumpa orang yang menguji kita. Hidup ni tak perfect. Yang perfect tu kat Syurga je."

"Nanti dah besar pun, akan jumpa juga. Kat tempat kerja. Takkan sebab ada bos yang bermasalah, kita tak nak pergi kerja. Asyik nak cuti je. Belajar untuk hadap masalah tu. Jangan lari daripada masalah."

"Bina daya tahan diri tu. Sampai bila nak Ummi masuk campur konflik dalam hidup awak. Ummi boleh guide, bagi nasihat. Tapi diri sendiri kena belajar macammana nak urus konflik tu."

Sambung Ummi panjang lebar sambil ulang alik ke dapur dan meja makan. 

Kedua-duanya sambil makan tu mengiyakan kata-kata Ummi. Sambil Ummi sambung pula tentang cerita Allahyarhamah Moyang Nyenyet (panggilan Ummi pada nenek saudara) iaitu kakak kepada Moyang mereka, seorang yang sangat positif, happy go lucky, walaupun nampak je hidup dia susah, tapi dia tak mudah stress, sentiasa senyum je. Ada je rezekinya. Tak pernah tengok dia marah. Itulah juga pengasuh pertama Umminya waktu baby di Kuala Lumpur dulu. 

*****

~Ibu bapa Strawberi dan anak-anak Strawberi~ 


Generasi Strawberi

Hari ini kebetulan terjumpa istilah ini dalam Facebook. Ingatkan ada Gen Z je, rupanya dah ada generasi buah-buahan ye sekarang. Ke sebab abjad tu dah habis? 

Jadi, sambil menggoogle apa itu definisi sebenar generasi strawberi, terjumpa juga "Strawberry Parents" yang melahirkan generasi strawberi ni. 

Antaranya sifat 'over protective', asyik nak tolong anak sampaikan anak terlalu bergantung kepada ibu bapa, selalu nak kabulkan permintaan anak-anak, dan tak ada 'punishment' untuk kesalahan anak. 

Terus muhasabah keadaan diri anak-anak dan realiti anak-anak zaman sekarang. Nak jadikan anak-anak berdaya tahan bukan mudah, di samping kerisauan ibu bapa kepada isu-isu semasa yang mungkin mengganggu gugat keselamatan anak-anak. 

Walaubagaimanapun, setiap kerisauan ibu bapa dan intervensi tidak boleh dipukul sama rata. Ada masa perlu tegas, ada masa perlu ditunaikan mengikut keperluan, ada masa jadi 'protective'. Ibu bapa kena rajin menilai situasi, tanpa mudah memberikan solusi yang sama untuk semua perkara. 

Bah!

Kebetulan tadi terbaca tentang Generasi Strawberi ini berkaitan isu banjir dan pelajar-pelajar SPM, di mana pelajar-pelajar calon SPM perlu menduduki SPM walau dalam keadaan banjir. 

Em, isu banjir hujung tahun ni bukan perkara baru. Dah lama. Penat nak cerita perkara sama, setiap tahun berlaku, apakah perancangan yang sepatutnya diberikan untuk anak-anak ni menghadapi peperiksaan dalam situasi yang lebih baik. Tolong jangan samakan dengan keadaan anak-anak di G4za, di mana ia situasi yang tidak dapat dielakkan, tidak dapat dijangkakan bila serangan-serangan dilakukan. Sedangkan kita mempunyai banyak resources, penambahbaikan, kepakaran, dan jangkaan ramalan tentang bencana yang bakal berlaku. 

Baru je cakap dengan anak-anak di meja makan tadi, "Ummi ni buat kajian tentang membina daya tahan anak-anak, mengurangkan risiko dan meningkatkan faktor perlindungan untuk anak-anak supaya berdaya tahan. Jadi, anak-anak Ummilah yang akan jadi hasil kajian pertama untuk Ummi didik."

Risiko boleh dinilai. Dan faktor perlindungan yang mana perlu ditingkatkan juga perlu dinilai untuk kurangkan kesan kepada mereka yang bakal terkesan. Isu saban tahun, sepatutnya bukan lagi kerisauan jika semua yang ada sumber ilmu kepakaran, dana dan sebagainya memberikan sumbangan. Sebab semua dah dalam jangkaan. Bukan hari ini kita tinggal di bumi, semalam kita tinggal di Marikh. 

~Terus teringat waktu PMR dulu, tiba-tiba diberitahu bekalan air tiada pada hari peperiksaan. Pukul 3 pagi, mungkin orang lain tengah ulangkaji atau tengah tidur lena. Tapi kami dok pergi bilik air sambil beratur menadah air dalam baldi untuk bersiap esok pagi sebelum pergi menghadapi peperiksaan di pagi hari. Alhamdulillah, result keluar dengan sebaiknya.~

Jul 22, 2024

Kawal Diri: Satu Sudut Pandang Yang Menggumamkan


Sebenarnya tak tahu nak letak ini tajuk apa. 



Al-kisahnya, ini ialah dialog minggu lepas tentang kes 302 yang sedang dalam siasatan yang melibatkan Allahyarhamah yang berusia 25 tahun. 

Dan saya bercerita serba sedikit tentang kes Allahyarhamah apabila ditanyakan oleh seseorang yang berlainan jantina dengan saya. 

Dan setelah bercerita, I'm quiet surprised with the response given. 

"Mungkin dia tak sengaja, waktu gaduh-gaduh tu ke."

Tidak sengaja tidak mengawal amarah, atau tidak mampu mengawal diri, tidak sengaja untuk tidak tenang, apakah? 

Jadi, apakah jika itu berlaku, insan ini juga akan tidak tersengaja boleh buat begitu? 

Sejujurnya inilah respon pertama kali yang mengejutkan (sekaligus menakutkan saya). 

Allahu, I'm speechless...

Kepada Allah saja saya serahkan segala urusan ini untuk Dia tadbir dan pelihara dengan sebaik-baiknya. 


Jul 6, 2024

Kerana Dia dan Mendekati-Nya


~Hidup ini bukan saja kerana Allah, tetapi hijrah daripada titik bawah ke titik yang lebih mendekati Allah s.w.t.~

Alhamdulillah saya bersyukur atas nikmat dikurniakan sahabat-sahabat dan orang sekeliling yang saling mengingatkan saya dengan Pencipta. 


Kata-kata seorang kakak tautan hati yang selalu memuji saya banyak membaca kerana sambung belajar walhal sebenarnya saya juga rasa macam saya banyak baca bahan-bahan berkaitan tesis saja, berbanding bahan bacaan yang lain. Saya rasa kakak tersayang saya itu yang juga seorang ustazah mestilah lebih banyak bacaan tentang keagamaan sebab beliau di bidang tersebut berbanding saya. Tidaklah lebih mana saya berbanding beliau, semoga Allah rahmati kami. 


Alhamdulillah, asbab berada di jalan ini, ketika ada tugasan atau perlu memimpin adik-adik usrah, saya rasa itu adalah satu tanggungjawab, amanah bukan saja untuk pimpin orang lain, bahkan sebenarnya untuk memimpin diri ini sendiri. 


Jadi, beberapa hari lepas, saya memberi penyampaian tentang hadith pertama iaitu 'Niat dan Ikhlas' dalam Hadith 40, selain makna, termasuklah dari segi istilah dan bahasa. 

Teringat zaman matrikulasi dulu, ada dengar lagu nasyid untuk senang hafal hadith pertama ini, tetapi saya lupa nama penyanyinya. 


Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab radhiallahuanhu, dia berkata,

“Saya mendengar Rasulullah shallahu`alaihi wa sallam bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan  (tergantung niatnya). Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan.

Siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya.

Dan siapa yang hijrahnya karena menginginkan kehidupan yang layak di dunia atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.”

[Hadith Riwayat Bukhari]


Dan seperti biasa, sebelum penyampaian, saya akan buka dan baca dulu apa yang perlu disampaikan. Bahkan ada kalanya, saya perlu rujuk 2-3 buah buku untuk topik berkenaan untuk lebih faham dan tak tersasar apa yang ingin saya sampaikan. 


Namun, ketika penyampaian hadith tentang niat semalam sebenarnya banyak mengetuk pintu hati sendiri.Tentang niat iaitu tujuan dan tindakan, serta keikhlasan. 

Menariknya, kita selalu buat sesuatu itu kita niat nak buat KERANA ALLAH. Namun, kelainannya dalam hadith hijrah ini, hijrah itu KEPADA ALLAH dan juga KERANA ALLAH. 

~Ke mana kita nak bawa hidup kita ini sebenarnya?~


Kita nak buat sesuatu bukan hanya kerana Allah, tetapi juga sebab kita nak pergi dekat kepada Allah. 

Adakah perkara yang kita nak buat itu atau sedang buat itu bawa kita kepada Allah? 


Saya yang memberi tahu ini pun menghela nafas panjang, terdiam dan merenung diri sendiri. 

Bukan setakat yang amal yang bernama ibadah khusus, seperti solat, puasa, bahkan dalam makan, minum, mendidik anak, perkahwinan, dan semua aspek hidup ini perlu ada niat kerana Allah dan untuk bawa kita dekat kepada Allah.


Contohnya:


Jika dalam konteks mendidik anak, adakah kita sentiasa upgrade diri kita menjadi ibu bapa yang baik? Adakah kita sentiasa upgrade ilmu kita untuk besarkan anak meingkut masanya? 

Hatta, membela ayam pun kita perlu ada ilmu, bermula anak ayam, hingga ke ayam dewasa. Masakan menjadi ibu atau bapa dengan amanah yang besar ini (bukan setakat membela) bahkan membina sebuah legasi pembentukan batu bata ummah, kita buat sambil lewa? 

Begitu juga dengan isu childfree. Mulanya saya tidak terfikir sangat isu ini. Tetapi ia terlintas apabila saya membaca hadith ini.

Apa sebenarnya tujuan kita berkahwin?
Kita nak bawa ke mana sebenarnya perkahwinan ini, untuk seronok-seronok saja menikmati cinta berdua?
Atau kita nak bawa cinta dalam perkahwinan kerana Allah dan kepada Allah?

Ramai di antara kita nak upgrade banyak perkara dalam hidup ini, termasuk rumah, kerjaya, anak, tetapi apabila kita sedang pikul amanah Allah, di mana keinginan kita untuk upgrade kemampuan kita menggalas amanah ini? 

Pembungkus

Tiada kita yang sempurna dalam dunia ini. Kita tidak mengejar sempurna. Kita mengejar untuk buat yang terbaik untuk Pencipta kita. 

~Ya Allah, kami ini adalah pendosa. Kami nak rebut cinta-Mu. Kami nak masuk Syurga dengan redha-Mu~



Feb 26, 2024

Anak-anak: Duniaku dan Dunia Luar



Tengah Ummi layan Ali main helikopter dia yang baru beli di kedai Petronas beberapa hari lepas (dalam keadaan Ali bertukar fikiran nak beli mainan lain setelah sampai pintu keluar kedai dan disertai drama Ali dan Ummi di tengah pintu kedai tu...haha #tb), Khubaib pun bercakap dengan Ummi. 

"Ummi, kalau ikutkan hukum fizik sepatutnya kipas helikopter yang atas ni..."

~Helikopter Ali~

Em, dalam hati Ummi, 'sekarang dia dah main hukum fizik pula'. Huhu. 

Ok, yang ni Ummi dia memang speechless. Ada yang memang boleh bawa bincang, ada yang Ummi pun tak boleh nak terang sebab tak ada ilmu, dan hanya mampu dengar dan tanya je.  

Macam Khubaib juga, ada benda dia boleh sembang ilmiah dengan Ummi saja.

Contoh, satu soalan Fathimah tanya Khubaib, dan Khubaib pun jawab dengan adik dia, "Sebab boleh, dik." 

Tak tahu samada itu jawapan menyakat adik dia, atau sebab dia malas nak layan. 

Soalan yang sama, Fatimah tanya Ummi pula. Ummi jawab dan kemudian Khubaib pun sibuk jawab sekali. 

"Tadi kata tak tahu." Marah Fathimah pada Khubaib. 

Topik Mendalam 

Ada juga topik yang Ummi sembang baru ni dalam kereta dengan anak-anak tentang Gaza, bermula dengan pertanyaan Fathimah, "Kenapa Isnoreal nak sangat Gaza?" 

Selepas tu perbincangan itu melanjut ke arah isu Haikal Sulaiman, sumber gas asli, Mahkamah Antarabangsa, Afrika Selatan, Presiden Nelson Mandela, wabak di Ireland, hingga lah kepada kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyah yang tahun ini 100 tahun kejatuhannya. Bersangkut paut isu international relation yang berkaitan geo-politik dunia dengan sejarah dunia. 

Untuk orang dewasa pun ada yang mungkin tak berminat dengan isu ini. Atau mungkin isu ini agak berat untuk dihadam. Atau mungkin kata kalau dah fikir tentang ni nanti rasa penat, atau asyik nak fikir je lagi, ada juga ke? 

Alhamdulillah syukur, anak-anak sebesar 7 dan 8 tahun minat nak tahu dan bincang tentang isu-isu ini. 

"Ummi, kenapa kerajaan lain tak sokong Palestin?" Antara soalan susulan Fathimah. 

Hakikatnya Ummi pun betul-betul minat nak tahu pun tentang semua ini apabila libatkan diri dalam debat sekolah. Baru rasa dunia ni bukan dalam cangkerang kita saja. Impak kepada sosial, ekonomi, dan politik dunia dan lokal memang selalu dibincangkan.

Semoga Allah kurniakan kebaikan dan petunjuk hidayah atas setiap ilmu kurniaan-Nya.  


Doa

Doa titipan Rasulullah s.a.w untuk Ibnu Abbas: 
Allahumma faqihhu fiddeen wa 'alimhu takwil. 
Ya Allah, berikanlah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir Al-Quran). 

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino