::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-
Showing posts with label cerpen hati. Show all posts
Showing posts with label cerpen hati. Show all posts

Oct 11, 2024

Ceritera Cermin Nan Pecah (Bahagian 1)


~Cermin yang dihempas berkali-kali walaupun tidak pecah berderai pasti retak seribu, dan takkan mampu memantulkan biasan imej yang  indah seperti dulu.~


"Suami awak ni ada anxiety." Kata tuan doktor. 

"Baiklah." Kata Zahra. Akur dengan tahap kesihatan suami yang baru dikahwini tidak sampai beberapa bulan. 

Ada masanya dia melihat suami banyak termenung dan bersendiri. 

Dia cuba sedaya upaya ambil tahu tentang anxiety, penyebab dan rawatan di rumah untuk membantu suaminya. 

Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, suami Zahra makin pulih akhirnya. Badan yang sangat kurus kini sudah nampak semakin berisi. 

Dan kini mereka bukan berdua lagi. 

Alhamdulillah. Mereka sudah berempat. Ada Ali dan Aminah. Mereka hanya selang setahun saja. 

Tapi yang menghairankan Zahra ialah suami Zahra masih suka bersendirian seperti dulu. Hanya bermain sebentar dengan anak-anaknya, dan kemudian bersendirian semula samada di sudut rumah atau di dalam bilik sambil membelek telefon bimbitnya. 

Apabila anak-anak cukup riuh bermain di kelilingnya, dia akan bangun meninggalkan mereka. Seakan tidak tahan dengan bunyi bising. 

Semakin anak-anak membesar dalam lingkungan 2-3 tahun, anak-anak sudah mula tantrum atau bergaduh, terutama Ali si abang yang sangat kuat menangis. 

Tangisannya yang kuat seakan begitu mengganggu suami Zahra. 

Suami Zahra cuba menghentikan tangisan anaknya dengan lisan, tetapi Ali semakin kuat menangis. 

Suami Zahra menarik tangan Ali dengan keras menuju ke pintu rumah. Ali yang sedang menangis diheret ke luar rumah, dan pintu dikunci. Dan Ali dibiarkan menangis beberapa minit di luar rumah. Setiap kali si suami ingin merotan Aminah pula, Aminah akan menangis ketakutan sehingga terbuang air kecil. 

Zahra seperti terkesima. 

Berkali-kali Zahra terdiam. Terpaku melihat keadaan itu dan seolah rasa tidak berdaya. 

Seolah merasakan mungkin suaminya ada rasional sendiri, tetapi semakin hari dia merasakan itu bukanlah satu tingkahlaku yang normal. 

Setiap kali Zahra ingin menyuarakan tentang itu, ia tidak berhujung dengan baik. 

"Boleh tak jangan marah anak-anak macam tu?" Kata Zahra. 

"Mana ada marah. Awak je yang rasa saya marah. Saya tak marah." Begitulah acap kali jawapannya. 

Zahra merasa sangat keliru. Adakah hanya dia saja yang bersangka buruk? 

Kemudian, Zahra menemukan padanan tanda-tanda high functioning autism pada suaminya seperti kurang empati, tidak suka pada kebisingan, mahupun tiada intimasi emosi, tetapi mempunyai sebahagian ingatan memori yang sangat kuat.

Zahra bertahan hingga bertahun-tahun, dengan meyakinkan dirinya tentang mungkin suaminya memang dilahirkan begitu. 

Akhirnya, Zahra bertemu dengan kaunselor untuk membicarakan tentang hal ini. Mendengarkan kata-kata kaunselor, dia mempunyai hak untuk melangkah sekiranya rumahtangga ini mendatangkan kemudaratan dan tidak menjaga Maqasid pernikahan. Namun, semuanya masih dirahsiakan daripada pengetahuan keluarganya. 

Zahra pernah menyuarakan serba sedikit perkara ini pada sahabat karibnya yang juga telah berkahwin tetapi nasihat sahabatnya bahawa 5 tahun perkahwinan adalah kebiasaan pasangan di tahap ini. 

Setelah 5 tahun bertahan dan suami Zahra sudah semakin agresif, sehingga sanggup membaling kerusi kecil milik anak berhampiran dengannya sewaktu dia sedang marah,  Zahra merasakan ini sudah cukup bagi dirinya dan anak-anak. Mungkin akan datang, kemudaratan yang lebih teruk lagi. 

Zahra perlu dapatkan pekerjaan, dan bawa anak-anak jauh daripada suaminya. 

Bersambung...


Jul 7, 2024

Penyelamat Sebenar


 ~Episod-episod dalam hidup ini mengandungi pelajaran dan hikmah untuk sesiapa yang ingin mengambilnya~

Ketika Aufa di Tahun 3 di sekolah rendah, dia mula dibuli, apabila dua orang rakan karibnya berpindah sekolah yang lain. Rasa sunyi, dan membawa diri sendiri. Ada rakan-rakan perempuan yang mula membuli meminta wang darinya hanya kerana dikatakan dia budak bandar yang bersekolah di kampung.

"Kau mesti banyak duitkan? Sebab mak ayah kau kan kerja KL." kata mereka. 

Dalam kumpulan di kelas, pelajar-pelajar lelaki mula membulinya, bahkan seorang pelajar lelaki yang paling pandai dan terkenal dalam kelas, yang juga duduk sekumpulan dengannya sering menggunakan kaedah 'starlight' di dahinya. Entah kenapa dia menjadi mangsa. 

Sampai di Tahun 4, Allah takdirkan seorang lagi pelajar lelaki yang baru pindah daripada bandar dan masuk ke kumpulannya mula menggunakan pelbagai gangguan lisan terhadapnya. 

Dalam keadaan itu, Aufa masih jauh dari Allah, mungkin ketika itu didikan keluarganya tidak menekankan mengenal Allah sejak kecil. Hanya tahu Allah sebagai Tuhan, tetapi bukan Islam sebagai cara hidup. Islam hanyalah seperti dilihat sebagai adat di matanya. 

Keadaan itu semakin menyeksakan emosinya. Pergi ke sekolah ibarat bersedia untuk pergi berperang. Hanya ada masanya rakan perempuan sekumpulannya yang lebih ramah sering membelanya daripada diganggu pelajar lelaki itu. 

~Siapa penyelamat sebenar kita?~


Maha Mendengar

Hingga suatu ketika, Aufa menadah tangan berdoa supaya Allah pindahkan pelajar lelaki itu daripada sekolahnya, dan jauh daripadanya. 

Dan Allah Maha Mendengar. 

Suatu hari, pelajar lelaki itu tidak lagi datang ke sekolah. Dan dia telah pun berpindah balik kepada keluarganya di kota, setelah datuknya terlibat dengan kemalangan. 

Allahu, dia tidak menyangka doanya itu membawa ia sehingga ke situ. Apapun, baginya itu adalah takdir Allah. 

Di situ, keyakinannya bahawa Allah itu Maha Mendengar semakin tinggi. 

Dan sekali lagi Aufa meminta agar Allah jadikan dia menjadi lebih berani dan ditakuti oleh pelajar-pelajar yang lain. 

Dari situ berlakulah sebuah transformasi. Daripada seorang Aufa yang diam, merasa kerdil, berubah menjadi lebih yakin, lebih berani untuk bersuara. Dia tidak lagi dibuli oleh rakan-rakan perempuannya.


Ujian Lagi 

Ujian itu tak berakhir di situ, di awal Tahun 5, ada seorang lagi pelajar lelaki yang berpindah sekolahnya. 

Ketika sedang menelaah pelajaran di saat tiada guru di kelas, seorang pelajar lelaki datang memberitahunya bahawa pelajar lelaki yang baru itu menyukainya, sedang pelajar lelaki yang baru itu juga sedang melihatnya tidak jauh daripada mereka. Dan Aufa diam. Itu bukan kali pertama dia mendengarnya semenjak di Tahun 4. 

"Singa, 'kuda' suka kau." 
"Singa betina!"
"Lioness!" 


Seringkali panggilan itu kedengaran di waktu senggang, waktu rehat, mahupun di luar kelas. 
Waktu senggang di antara kelas dan sesi ko-kurikulum waktu petang merupakan waktu yang tidak disukainya. Hinggakan telefon rumah sering berdering di hujung minggu kerana gangguan rakan-rakan sekolahnya. 

Jika ada budak-budak perempuan yang mengidamkan disukai oleh lelaki seperti ini, bukan dia orangnya. 

Tidak lama selepas itu, dia dan dua orang rakan karibnya ditanya oleh seorang abang senior yang baru berpindah juga ke sekolah itu untuk dijadikan adik angkat. Aufa melihat ini satu peluang untuk mendapatkan perlindungan kerana melihat akhlak abang senior yang baik dan dihormati oleh pelajar-pelajar lain, serta menjadi kegemaran guru-guru. 

Hidupnya aman semula tanpa gangguan yang serius. Masih ada tetapi tidak keterlaluan. Menjadi adik angkat kepada ketua murid sekolah menyebabkan dia rasa terbela. 


Tidak Kekal

Namun, semua itu hanya sementara. 

Allah beri pengalaman itu untuk Allah ajar Aufa, bahawa pergantungan pada manusia tidak akan kekal lama. Habis Tahun 5, bermaksud tamat juga persekolahan abang angkatnya di sekolah itu. 

Walaupun kini, dia sendiri mempunyai status di sekolah sebagai pelajar Tahun 6 dan ada ramai rakan-rakan perempuan bersamanya, Aufa semakin kerap diganggu. 

Ada suatu masa, ketika sedang duduk menelaah di tepi kolam bersama sahabanya, dia melihat sekumpulan pelajar-pelajar lelaki yang sedang berkumpul di astaka.  Beberapa pelajar lelaki dari kelas sebelah dipanggil oleh mereka di astaka. Kelihatan mereka berkata-kata sambil wajah mereka memandang ke arah Aufa dan rakannya. 

Entah apa pula rancangan mereka kali ini. 

Tidak lama, seorang lelaki dari kelas sebelah di astaka itu datang ke arah Aufa dan sahabatnya, menyatakan sesuatu kepadanya. Sambil itu kedengaran sekumpulan pelajar-pelajar lelaki itu tertawa. 

"Jom bangun," ajak Aufa kepada sahabatnya segera. 

Suatu hari, salah seorang pelajar lelaki yang juga mempunyai pertalian darah dengannya datang kepada Aufa dan sahabatnya selepas habis waktu sekolah. 

"Aufa, aku nak beritahu sesuatu. Budak-budak ni ada rancangan yang tak baik untuk kau." kata saudaranya itu. 

"Rancangan apa?"tanya Aufa. 

"Aku pun tak sanggup nak bagitahu. Aku rasa kau pun tak payah tahu. Jaga diri. Jangan duduk seorang-seorang." 

Aufa menelan air liur. 
Perancangan apakah sehingga sampai ke tahap itu. 

Apakah salahnya? Kenapa dia?

Menjadi berani dan ada rakan-rakan yang rapat dan berpengaruh bukan lagi jaminan keselamatan untuk nya. 

Semenjak itu, setiap pandangan mata mereka kepada Aufa, Aufa merasakan ia satu ancaman untuknya. Sekolah bukan lagi tempat selamat untuk belajar. Dia harap dapat habiskan cepat. Dapat melalui peperiksaan besar dengan aman tanpa gangguan. 



Cukuplah!

Waktu makan tengaharinya bersama sahabatnya sementara menunggu sesi petang dirasakan waktu yang lebih terancam. Terutama jika sekumpulan pelajar lelaki itu duduk berdekatan. 

Hingga satu tahap, apabila mereka semakin menghampiri, Aufa segera mengambil penyapu dan letak batang penyapu itu di leher salah seorang daripada mereka. 

"Kau datang dekat lagi kat sini, kau siap!" jerit Aufa.

Mereka segera meninggalkan Aufa. Salah seorangnya berlari menuju ke ketua murid sekolah yang tidak jauh dari situ dan mengadukan perihal itu. Kelihatan dia hanya memandangnya tanpa berbuat apa-apa. 

Keadaan reda hinggalah peperiksaan besar telah habis. Berbaki lagi beberapa hari sesi sekolah habis, dua orang pelajar lelaki daripada sekumpulan pelajar itu yang mengganggunya dulu mula mengganggu lagi. Kini lebih agresif, apatah lagi melibatkan cubaan gangguan fizikal. 

Air matanya tumpah. Sahabat-sahabat Aufa menggesa Aufa membuat aduan kepada guru, dan Aufa menyetujuinya. 

Ia tidak berakhir di situ. 

Suatu hari, ketika di astaka, sahabat-sahabatnya bertelingkah dengan seorang pelajar Tahun 5. Aufa hanya diam kerana dia baru saja sampai di tempat kejadian itu. Tidak tahu menahu apakah punca pertelingkahan yang berlaku. Dia melihat renungan tajam pelajar itu kepada dia dan sahabat-sahabatnya ketika mereka meninggalkan tempat kejadian. 

Di pengakhiran sesi persekolahan itu, sewaktu habis aktiviti perkhemahan di hujung padang sekolah, Aufa menawarkan diri untuk mengambil sabun cuci pinggan di bilik pra-sekolah untuk membantu mengemas peralatan memasak. Dia tidak menyedari ada mata yang sedang memandangnya ke situ. 

Ketika sedang mengambil sabun di dapur bilik itu, kedengaran bunyi kuakan pintu. Aufa rasa cemas. Tidak sedap hati. Dia segera keluar dari dapur. 

Kelihatan pelajar Tahun 5 di hari kejadian beberapa hari lalu itu di depan pintu yang hampir tertutup. 

"Kau nak apa?" tanya Aufa. 

Pelajar itu hanya diam, tetapi riak wajahnya sudah cukup menyebabkan hati Aufa berkata bahawa dia perlu keluar segera dari situ. 

Aufa berlari keluar pintu, namun, tangannya sempat ditangkap oleh pelajar itu. Sangat kuat hingga sukar untuk melepaskannya. Aufa menendang pintu seluasnya dan menjerit meminta pertolongan ketika melihat ada kelibat pelajar Tahun 5 lain yang berdekatan. 

Namun, itu hanya sia-sia. Aufa tahu pelajar Tahun 5 ini agak ditakuti oleh pelajar-pelajar Tahun 5 yang lain. 

Aufa menarik tangannya hingga dia berjaya keluar melangkah daripada bilik pra-sekolah. Dengan menggunakan sebelah tangan yang masih memegang sabun, Aufa menumbuk bertubi-tubi pelajar lelaki itu dan dalam masa yang sama menendang kakinya. Dengan kuasa Allah, tangannya terlepas daripada genggaman pelajar itu, dan dia menyepak kasutnya ke dalam longkang sebelum segera berlari semula ke tapak perkhemahan. 

Syukur, akhirnya tamat sesi persekolahan di situ. Cukuplah! 

Di sekolah menengah, hidup Aufa lebih aman. Aufa memilih untuk lebih low-profile. Aufa tak mahu dikenali, hatta, sanggup mengorbankan status sebagai pelajar top 3 di dalam kelas supaya tidak dikenali dan diambil tahu lagi oleh pelajar-pelajar lain.

Aufa mahu lebih kenal Allah sebagai Tuhan dan pelindung-Nya yang mutlak. 
Waktu antara Asar dan Mahgrib, Aufa akan menelaaah kitab tafsir di musolla sekolah, dan datang lebih awal ke musolla untuk solat berjemaah. 

Makin kenal Allah, makin rasanya itulah panggilan yang dinanti-nanti, dan tidak ada sesiapa yang boleh melindunginya lebih kebal daripada perlindungan Allah kepadanya. 


Mar 14, 2024

Anak-Anak: Bina Bahagia Semula


 Epilog: 


"Aku dulu doa supaya dapat suami yang boleh mendekatkan aku dengan Allah. Memang Allah bagi dari awal perkahwinan aku dekat dengan Allah." 

Mungkin aku tersilap minta agaknya. Tak sangka dengan cara macam ni. 

Alhamdulillah 'ala kulli hal, aku tahu aku tahu Allah sayang aku.'


*****************************

Aku dah tak macam dulu. 

Aku sedih sebab tak dapat jadi isteri yang baik, seperti apa yang aku impikan. 


"Mulut jahat. Aku menyesal kahwin dengan kau. Sampai anak aku pun mulut jahat macam kau."

Sara menghempas bantal di depannya. 


Kecederaan emosi telah dilihat pada anak-anaknya. 

Kelakuan anak lelakinya mula agresif. Apabila ada konflik dengan adik beradik, anak lelakinya buat aksi seakan nak memukul si adik, sepertimana yang ayahnya selalu lakukan pada dia. 

"Kenapa nak pukul adik ni? Nak tunjuk samseng macam ayah juga ke ha? Berani macam samseng depan anak-anak je." sempat Sara marah anaknya, sebelum kejadian tak diingini berlaku. Dan suami yang hampir bersuara di sebelahnya terdiam. Ye, selama berpuluh tahun kahwin ini memang Sara diam. Bersangka baik. Tapi kesan pada anak-anak buat hatinya makin sakit. 

Anak perempuannya pula mula semakin kerap tunjukkan ketajaman kata-kata sepertimana yang dia dan adik beradiknya selalu lalui. 

"Mak ambilkanlah. Dah kata ambil, ambillah." kata anak perempuan dengan nada yang sedikit tinggi pada ibunya. 

"Cuba cakap elok-elok boleh? Ni kan cakap dengan ibu. Dengan kawan-kawan pun, kena cakap elok-elok." Selalu itu yang Sara pesan pada anaknya. 

Namun, ayat-ayat seperti itulah yang selalu diulang-ulang oleh ayahnya, seperti menanam benih dalam minda anak-anak. 

'Dah kata buat tu, buat jelah.'


**********

'Jangan lama sangat, takut awak menyesal nanti. Ambillah  masa untuk fikirkan, solat hajat 2 minggu ni. ' Terngiang-ngiang kata-kata peguam syariah, Puan Aisyah itu padanya. 

Sara diam. Dia belum mampu lagi untuk keluar daripada perkahwinan itu asbab kebergantungan kewangan. 

Kini, dia nampak rasional Puan Aisyah mengapa keputusannya untuk melangkah itu terlalu lambat. Yang dia tahu, dia perlu selamatkan anak-anaknya daripada terus cedera, dan juga dirinya sendiri, yang selama ini selalu dia korbankan.

Insya Allah, Allah Maha Mendengar, dan pasti ada jalan keluar.

**********

~Mereka mungkin jarang melakukan apa yang dinasihatkan, tetapi mereka sentiasa melihat apa yang dilakukan~


Pembungkus: 

Menurut Profesor Michael Rutter, yang terkenal dalam kajian resilience atau ketahanan kepada anak-anak, bahawa terma resilience sebelum digunapakai secara luas adalah invulnerable (tidak goyah). Tapi Prof Rutter menyangkal penggunaan terma ini kerana adalah mustahil untuk setiap kanak-kanak tidak lut terhadap sebarang pengalaman yang melukakan jiwa mereka sewaktu kecil. 

Semua orang sewaktu kanak-kanak berhadapan dengan pelbagai pengalaman suka duka. Ada yang bertahan lebih lama, dan ada yang kurang bertahan. Namun, masa demi masa berlalu, manusia di ajar untuk belajar, termasuklah merawat duka dan luka yang telah mereka lalui sewaktu kecil. 

Ada yang ingin belajar untuk grow kan diri, namun, ada yang masih hanyut tanpa dapat melihat tempat untuk berpaut. 

Cukup kita belajar dengan kisah para sahabat Nabi s.a.w. Ada di antara mereka yang lahir di kalangan ibu bapa mereka adalah musuh Rasulullah s.a.w, tapi mereka mampu keluar daripada kegelapan kepada cahaya. Hakikatnya resilience dan untuk build back better diri sendiri itu bukan terletak pada masa silam kita, tapi pada masa sekarang, apakah yang kita sedang dan ingin capai dan lakukan? 


~Apabila kita rasa hilang tempat berpaut ketika dilanda ombak badai, berdoalah dan tetapkan hati pada-Nya, mungkin ombak badai itu akan menghempaskan kita ke pulau yang lebih indah dengan izin Allah~

Jul 23, 2013

Ceritera Maaf: Takkan Pernah Ada Kita Yang Sempurna


~Takkan pernah ada kita yang sempurna di dunia, maafkan dan memohon kemaafan serta teruskan kehidupan yang sementara ini untuk menjadi hamba yang terbaik di sisi-Nya. Semoga kekhilafan lalu menjadikan kita lebih celik melihat hikmah dari-Nya~


~Kehidupan sentiasa bermula dengan sangka baik kepada Tuhan agar kita terus melihat hikmah walau di mana kita berada~
Ceritera: 
5 Ramadhan.

Satu mesej masuk tertera di telefon bimbit seorang gadis yang sedang menghayati makna-makna surat dari Tuhannya. Selesai bacaannya, Hasna menekan butang kekunci.
Mesej dari rakan seperjuangannya, Aini, semasa di kelas Sarjana Ijazah Muda dahulu dibacanya.

'Hasna, Ramadhan ini, sahabat-sahabat sekelas A-Level ajak kita iftar sama-sama. Reunion jom!'

Waktu di kelas A-level memang tidak lama. Tetapi memori di sana memberikan kenangan yang terkesan.

Hasna teringat kekhilafannya ketika di sana.

'Maaf, sahabatku. Mungkin tak dapat hadir.' Hasna membalas. Bacaannya diteruskan. Semoga Allah memberkati setiap tingkah lakunya untuk menjaga setiap hati-hati yang hadir nanti.


12 Ramadhan

Aini menghirup udara segar dan kemudian duduk di sisi Hasna. Peluh-peluh kesan berjoging sebentar tadi menitik dari dahi dan badan mereka.

Keduanya memerhatikan keindahan  panorama alam yang indah, matahari masih malu-malu menyerlah di balik awan, air tanpa ombak di taman Wetland, Putrajaya benar-benar menyebabkan keduanya tidak habis memuji-muji kebesaran-Nya.

"Tak nak pergi iftar reunion minggu depan?" Aini memecah keheningan.

Hasna hanya menggelengkan kepalanya.

"Kenapa? Sebab Thalhah?" Aini menantikan jawapan dari sahabatnya. Mereka rapat. Berkenalan semenjak di bangku sekolah sehingga sama-sama menuntut ilmu di Edinburgh.

Lama Hasna mendiamkan diri.

"Cukuplah hanya ingin menjaga hati."

Aini sedikit terkejut.

"Eh, ada hati ke sakit hati? Kata dulu dah maafkan dia. Lupakanlah cerita lama." Pujuk Aini.

"Aini, manusia ni jika dia dapat Alzheimer atau penyakit nyayuk baru boleh lupa tau." Kata Hasna sedikit berseloroh.

"Em, betul juga. Jadi apa isu utamanya?" Tanya Aini lagi.

"Maafkan tak semestinya lupa. Pernah dengar tak tentang kisah Wahsyi Ibn Harb?" Hasna bertanya.

Aini hanya mencebikkan bibirnya.

"Wahsyi adalah hamba Jubair yang ditugaskan membunuh Saidina Hamzah. Jadi, apabila Wahsyi memeluk Islam, Rasulullah enggan melihat wajah Wahsyi."

"Kenapa? Rasulullah tak maafkan dia ke?"

"Rasulullah maafkan Wahsyi cuma dia minta Wahsyi berada jauh darinya sebab apabila terlihat wajah Wahsyi, baginda akan terkenang Saidina Hamzah."

"Tapi Hasna boleh usaha lupakan? Semua manusia pernah buat salahkan." Aini mengggenggam tangan Hasna.

"InsyaAllah, usaha itu ada. Tapi biarlah kita teruskan kehidupan kita masing-masing. Kekhilafan lalu terlalu pekat. Betul, semua orang tidak maksum cuma rasa yang paling pahit itu untuk hilangnya dari deria rasa ambil masa yang lebih lama. Harap Aini faham."

Aini mengangguk.

"Jom!" Hasna bangkit dari tempat duduk di tepi tasik itu. Mentari semakin terik. Hanya awan komulonimbus yang memayungi mereka.

Aini melihat Hasna berlalu. Ada ibrah yang didapati hari ini untuknya. Ibunya juga begitu. Sudah lama berpisah dengan ayah. Walaupun, ibu benarkan mereka adik beradik berjumpa ayah, ibu masih enggan berhadapan dengan ayah sehingga ke hari ini.

Benar, apa yang sering dikatakan pepatah moden: ' jangan sekali-kali mengetuk paku ke dinding hati kerana walaupun ia telah dicat dan dibaiki, bekas ketukan masih tetap ada.'

Benar, memaafkan itu lebih mulia. Semoga Allah menjadikan kita orang-orang kuat kesabaran dan keimanannya.  Semoga kekhilafan lalu menjadikan kita lebih celik melihat hikmah dari-Nya.

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu, Allah menyediakan Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. Yaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya baik di lapang atau sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain, Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan."
(Sural Ali-Imran: 133-134) 

Semoga Allah menerima amalan kita semua yang mengharap keredhaan-Nya.

~Kehidupan ini sentiasa dimulakan dengan sangka baik kepada Tuhan agar kita mampu melihat hikmah dari-Nya menerusi mata hati walau di mana kita berada~

Jul 6, 2012

Mencari Penawar: Yakin Yang Tidak Pudar


~Moga yakin kita kepada Maha Pencipta tidak akan pernah pudar kerana kita adalah orang-orang yang percaya dan membulatkan hati kepada-Nya~

~Pertolongan Allah itu pasti datang bila tiba waktunya~


"Saya dah puas mencari penawarnya. Bertahun lamanya. Saya rasa seperti macam ingin putus asa pun ada." Ujar Nublah. Hatinya sebak.

"Jangan putus asa. Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Insya Allah." Insyirah, rakan serumahnya memujuk.

Nublah tersenyum sendiri. Moga benar apa yang dikatakan oleh Insyirah kerana dia juga yakin begitu. Semua penyakit pasti ada penawarnya kecuali mati.

"Kes adik ni lain sikit. Tapi Alhamdulillah, adik masih boleh mengawalnya. Amalkan baca ayat-ayat Al-Quran ini dan zikir-zikir munajat. Insya Allah, lama kelamaan akan sembuh." Kata ustaz yang entah orang ke berapa ditemuinya.

"Ustaz memang tak dapat nak tolong ubatkan. Caranya; hanya dengan amalan awak saja." Kata ustaz lain pula.


Allah.. bergetar hatinya mendengarnya.

Ya, perlu yakin. Setiap apa yang diizinkan oleh Allah ini pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah mahu dia sendiri menjaga dirinya, tidak lalai dan alpa daripada mengingati Allah.

Tidak akan Allah buat sesuatu perkara itu sia-sia.

"Insya Allah, awak kuat orangnya." kata rakannya.

'Insya Allah', desis hati kecil Nublah.

Ayat-ayat Matsurat (himpunan ayat Al-Quran dan doa yang dikumpul oleh Hassan Al-Banna) sudah menjadi ayat hafalannya. Zikir-zikir munajat sentiasa berkumandang di gegendang telinganya dan dia hanya pastikan hanya perkara yang baik sahaja akan menjadi halwa telinganya.

Doa dan tawakal.
Itu sahajalah yang mampu dilakukan ketika ini beserta amalan setiap hari.

"Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa:) "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada oranga-orang sebelum kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."
(Al-Baqarah; 2: 286)

"Nublah, ada berita gembira!" Panggil Kak Iffah dari jauh. Kak Iffah jugalah yang sentiasa menyokong dan membantu Nublah dalam hal-hal sebegini.

"Tadi akak jumpa Ustaz Faiz, kataya ada Ustaz di Pahang yang boleh ubatkan, Insya Allah. Kata Ustaz Faiz, cara ustaz tu mengubat memang mengikut syarak." tambah Kak Iffah dengan nada yang teruja. Terhangut-hangut dia menarik nafas selepas menyampaikan khabar gembira.

Ya, bukan semua pengamal perubatan mengamalkan pengamalan Islam sepenuhnya. Ada segelintir yang mengambil kesempatan atau beramal di luar syarie.

"Alhamdulillah, betul ke ni?" Nublah, antara percaya dan tidak.

Allah... terasa seperti rintihan doanya kepada Allah ini seperti sudah dikabulkan.
Terasa ia seperti hadiah besar yang turun dari langit.

'Mungkin sudah sampai masanya.
Ya, mungkin sudah tiba masa doanya dikabulkan oleh Dia', bisik hatinya sendiri. 

Dia sentiasa yakin Allah itu Maha Mendengar. Yakin itu tidak pernah malap dari hatinya. Bahkan keyakinan itu sentiasa bersinar terang tanpa kenal putus asa. Kerana dia tahu Allah takkan pernah menghampakan hamba-Nya.
Setiap sesuatu itu pasti terkandung hikmahnya.

Bahkan para Nabi menghadapi kesulitan dan ujian yang lebih besar daripada ini, dan dengan pertolongan Allah ujian-ujian besar itu seolah-olah menjadi kecil di hadapan mereka.

Pertolongan Allah itu pasti datang.

Dan mungkin kini sudah tiba masanya. Dan dia memohon doa dari semua yang ada di langit dan di bumi ini, kerana Allah; Pencipta alam ini juga bersamanya.


Nublah tidak pernah bersendiri.
Yakin pada-Nya tidak pernah pudar.

~Mana mungkin yakin pada-Nya menyirna apabila setiap hari diri disimbah cahaya cinta-Nya~

Setiap manusia diberi ujian yang berbeza-beza. Moga Allah memberi kita penawar terhadap setiap permasalahan yang kita hadapi dini hari dan agar kita terus percaya kepada-Nya.

~Mana mungkin yakin pada-Nya menyirna apabila setiap hari diri disimbah cahaya cinta-Nya. Yakin pada-Nya tidak pernah pudar~


Apr 6, 2012

Ceritera: Memimpin Atau Dipimpin?


~Faiza 'azamta fatawakkal ala Allah~

~Dan  Dialah yang menciptakan pasangan dari jenis kamu sendiri~
"Allah tidak selalu beri apa yang kita inginkan tetapi Dia akan berikan apa yang kita perlukan."

Kata-kata Sa'ida benar-benar terngiang-ngiang di telinganya semenjak pertemuan tadi. Hinggakan sepanjang pemanduan tadi, seolah-olah separuh mindanya saja yang berada di situ.

"Ya Allah, sesungguhnya hanya kepada-Mu, aku menyerahkan diriku dan takdirku."

Ceritera:

"Ya Allah, solehnya Faiz Mukhsin ni." Ayani Nasihah menyapu ubun-ubun Faiz Mukhsin yang baru berusia 2 tahun yang menghulurkan tangan menyalaminya. Afiq Mukhlis, suami kepada Sa'ida mengangkat Faiz Mukhsin ke pangkuannya.

"Tu lah, tak sabar betul nak tunggu giliran Ayani."

"Insya Allah, doakanlah." kata Ayani Nasihah. Sedikit tersipu malu.

"Bila? Ke nak kami tolong carikan?" Sa'ida mengusik.

"Sa'ida dengar sahabat kita, Umar Mukmin menolak lagi lamaran. Senang-senang Ayani dengan dia sajalah. Rasanya dia menolak tu, sebab dah suka orang depan matanya." Sa'ida mula memancing jawapan daripada Ayani.

"Hish, jangan!" kata Ayani. Entah kali ke berapa dia mendengar cadangan ini.

"Apa salahnya. Kalau ok, kami boleh tolong uruskan." sambut Afiq Mukhlis. Kedua-dua pasangan itu memang sepadan dan banyak persamaan. 

Umar Mukmin, seorang pemuda yang memang dikenali dengan sifat-sifatnya yang terpuji. Benar, tiada siapa dapat menafikannya peribadinya itu.

Di reunion dahulu pun, ada juga yang mengusik.

'Senang-senang Umar Mukmin dengan Ayani Nasihah sajalah. Tak payah cari jauh-jauh.'
Kata seorang sahabat menyeloroh. Yang lain turut menyambut tawa.

"Eh, jangan. Takut jadi isteri nusyuz."
Ayani berseloroh kembali. Namun, dia mengharapkan isinya dapat difahami. Baginya, mereka berdua sangat kontra.

"Belum cuba belum tahu." Umar Mukmin menyambut.


Terasa seriau seluruh hatinya. Ayani Nasihah mengharapkan itu juga adalah gurauan bersahaja daripada Umar Mukmin tanpa ada mesejnya.

Ayani Nasihah sering berinisiatif dan Umar Mukmin sering menjadi pelaksana dalam apa-apa program. Dan seringkali Ayani Nasihah seakan merasa seperti dia yang memberi arahan kepadanya dan Umar Mukmin sentiasa menuruti arahannya pula.

Dia sentiasa mengimpikan seorang suami yang memimpin ; soleh dan menyolehkan dan dia akan menjadi isteri yang ingin menuruti dan dipimpini. Tetapi akan tercapaikah impian itu?

"Ayani, Allah tidak selalu beri apa yang kita inginkan tetapi Dia akan berikan apa yang kita perlukan." Kata Sa'ida di akhir pertemuan mereka. Mereka bersalaman di parkir kereta.

Ayani Nasihah memerhatikan sahabat kesayangannya berlalu. Melihat anak soleh; Faiz Mukhsin; begitu mirip meniru tingkah laku ibu dan bapanya. Cara makannya, cara dia berjalan dan berkomunikasi benar-benar mengikut tingkah laku ibu dan bapanya.

Sangat menyejukkan mata melihat keluarga mereka.


Benar kata-kata Hasan Al-Banna: "Anak-anak membesar bersama kamu dan dia melihat apa yang kamu lakukan."

~Jadilah soleh atau solehah sebelum mencari yang solehah atau soleh, kerana pasti kamu akan jatuh hati kepada diri kamu sendiri~


Oct 17, 2009

Mencari Cinta Dalam Lelah




Suatu hari, seorang pemuda yang miskin diutus oleh ibunya untuk berlayar bersama bapa saudaranya yang merupakan seorang saudagar pelayaran. Ramai yang turut menumpang bapa saudaranya itu untuk ke destinasi mereka. Namun, dia mendapati ada yang tidak enak berlaku di sekitarnya, ada saja laporan kehilangan barang-barang mereka.

"Pakcik, apa yang pakcik buat tu?" soal si pemuda kepada pakciknya ketika melihat dia menyelongkar barang-barang penumpangnya tadi.

"Eh, pakcik ambil sikit je. Lagipun, kita bukan minta bayaran pun kat dia yang kita tumpangkan ni. Yang penting kamu janganlah tiru pakcik ye. Mereka ni kaya-kaya, bukan orang susah pun. " Bapa saudaranya memberi alasan. Ingin saja si pemuda itu menegur kelakuan pakciknya itu, tetapi teringat pesanan ibunya dulu:

"Nanti, bila dah kita ni menumpang tempat orang, banyakkan sabar. Jangan cari fasal. Yang penting, apa yang tidak baik, kita buat jadi sempadan. Ingat, kita ni miskin. Menumpang pula tu. Kena buat cara menumpang."

Pemuda itu termenung sendiri di hujung dek kapal itu. Rasa ingin saja dia menegur, tapi siapakah dia.
Ingin juga dia lari saja dari sini, namun, ke manakah dia mahu pergi.
Seperti tak mampu untuk mengubah apa-apa yang mungkar di depan mata.
Lemah, tak berdaya.

Dia menadah tangan ke langit. 'Ya Allah, tolonglah aku...'



Ya Allah,
HambaMu ini rasa lelah.
Lemah diri untuk menongkah,
Patutkah ku turutkan arus deras ini.

Bagai dihempas ombak keras,
Tuhan, kucari tempat untuk berpaut,
Tak mahu terus hanyut
Menurut sesak manusia ke gemerlap kaca dunia.

Tuhan, aku ingin bernafas dalam cintaMu,
Dalam diri yang semakin lelah
Tercungap-cungap menghela nafas cinta yang berbaki,
Tuhan, selamatkan aku.........

Oct 9, 2009

Redha Allah Pilihan Solehah





"Solehah, boleh Hajar bercakap dengan Solehah sekejap? Sibuk?" Hajar mengintai dari tirai pintu bilik rakannya.

"Boleh...Boleh... Masuklah." Solehah meletakkan penanda buku di tempat bacaan tadi sebelum menutupnya rapat. Mengemas buku-buku di tepinya untuk memberi Hajar ruang duduk di sebelahnya.

"Hajar nak sampaikan sesuatu. Rasanya setakat ni Solehahlah orang yang paling sesuai." Solehah hanya mendiamkan diri.

'Sesuai? Tentang apa?' Monolog Solehah sendiri.

Menanti butir-butir kata yang keluar dari mulut rakan sebiliknya. Wajahnya penuh tanda tanya.

"Kawan suami Hajar minta tolong suami Hajar carikan calon isteri untuknya melalui Hajar. Hajar tak nampak calon lain lagi selain Solehah." Ujar Hajar.
Menarik nafas di hujung kata-katanya. Merah padam muka Solehah. Serta merta terasa malu hingga menyebabkan mukanya terasa panas.

"Oh, orang mana?" Solehah cuba menutur kata.

"Tengah menuntut di Mesir. Tahun Akhir." Sambung Hajar lagi.

Solehah hanya diam membisu. Tidak tahu untuk berkata apa. Hanya kedengaran bunyi kipas menemani luahan hati yang tidak terluah.

"Solehah masih belum dipinangkan?" Hajar cuba meneka di balik kebisuan Solehah.

Lama Solehah mendiam diri.

"Belum."

Solehah melihat kembali dirinya selama ini. Mengenali lelaki yang hanya memberi setakat isyarat-isyarat cinta belum membuktikan apa-apa apatah lagi jika tidak pernah ditutur sendiri kepada tuan empunya hati mahupun walinya. Belum pun berkhitbah lagi. Biarpun hati sudah berkenan namun dipendam rapat. Takut-takut ia sekadar fatamorgana perasaan.

Dia melihat antara rakan-rakannya, ada yang hanya menunggu si jejaka biarpun tidak dilafazkan oleh lelaki yang memberi bunga-bunga harapan padanya. Lelaki yang sanggup menunggu untuk pulang dari kelas bersama. Hampir segala-galanya ingin dilakukan bersama. Bersungguh-sungguh si jejaka menunjukkan rasa cinta dan pengorbanannya. Namun, si jejaka tidak pernah mengucap kata-kata untuk menikahinya. Tup.. tup... Apabila berjauhan si jejaka sudah ada lain pasangan. Hampir sahaja mengatakan bahawa dia tidak pernah memberi apa-apa harapan. Tentu saja Solehah tidak mahu menjadi seperti itu.

Solehah tahu hanya dengan peraturan Allah sahaja cinta yang fitrahnya suci boleh dimurnikan dengan undang-undang mengurus fitrah. Agar ia terus kekal bersih dan suci. Sungguh senang untuk menutur kata ingin menjejak langkah Khadijah, ingin menauladani Fatimah, namun, liku-likunya amat terasa.

"Solehah, Hajar ingin ceritakan pada Solehah kisah seorang laki-laki ketika dia menghadap Hasan bin Ali, dia bertanya, "Wahai Hasan, puteriku akan dipinang, kepada siapakah aku harus menikahkan?" Hasan bin Ali menjawab, "Nikahkanlah puterimu dengan orang yang bertakwa. Sebab bila ia mencintainya pasti akan menghormati dan memuliakannya, dan bila ia tidak mencintainya pasti tidak akan menzalimi puterimu."
Hajar serahkan pada Solehah ye. Jika Solehah dah bersedia, beri tahulah Hajar. Solatlah Istikharah dan mohon pada Allah. Moga Allah permudahkan urusan. Allah tahu apa yang terbaik untuk Solehah."

Hajar memegang erat tangan Solehah. Sentiasa cuba memberikan sokongan pada sahabatnya.

Solehah hanya mengangguk-angguk tanda faham. Tanda faham bahawa kehidupan ini hanya kerana Allah dan untuk Allah. Cinta kerana Allah dan kerana ingin redha Allah.


~Ya Allah, jadikanlah cintaku kepadaMu menguasai seluruh yang aku cintai. Dengarlah permohonan hambaMu wahai Yang Maha Mendengar. Jangan Kau biarkan ku sendiri walau sekelip mata pun menentukan takdir untuk diriku. Ameen~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino