::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jun 12, 2009

Pengumuman: Kepada semua pencari hati...


~Sesungguhnya Allah sayang kepada orang-orang yang bertaubat dan menyucikan dirinya~




Berkata Ibrahim Bin Adham:

"Barangsiapa yang menginginkan dirinya untuk bertaubat hendaklah ia keluar dari kezaliman dan meninggalkan orang-orang yang pernah ia pergauli jika tidak ia tidak akan mendapatkan apa yang ia inginkan.

Berhati-hatilah terhadap dosa., sesungguhnya dosa itu adalah kemalangan, akibat-akibat yang ditimbulkannya sangatlah keji, dan hukuman yang ditimbulkannya pun sangatlah menyakitkan.

Hati-hati manusia yang sangat mencintainya akan sangat menderita, keselamatan hati darinya adalah sebuah kemenangan, kesihatan tubuh kerananya tidak akan memberi erti, sedangkan menikmati kehancuran bersama-samanya apalagi setelah menjelang usia uzur, adalah bencana besar."


"Ketaaatan kepada Allah adalah usaha terbaik hamba

maka taatlah kepada Allah dan jangan menderhakaiNya

kehancuran jiwa hanya akan berawal dari kederhakaan

hindarilah apa yang terlarang dan jangan berdekatan

jika pada satu hal kehancuranmu berawal

hendaknya jiwamu yang harus engkau kawal."


Diserukan di sini, "Wahai orang yang hatinya hilang, carilah hatimu di majlis -majlis zikir semoga engkau kembali mendapatkannya. Wahai orang yang sakit hatinya, bawalah ia ke majlis zikir semoga ia mendapatkan ubatnya."

::Dari buku 100 Cara Menjadi Kekasih Allah
Oleh: Umar bin Musa Hafiz::



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Jun 9, 2009

Selamat Hari Bapa, Ayah...




(1)

Dah lama Adik tak jumpa Ayah. Adik tanya pada Mak, "Kenapa Ayah tak tinggal dengan kita?"

Mak jawab, "Mak dah berpisah dengan Ayah."

"Kenapa?" Tanya Adik lagi. Walaupun baru berumur 4 tahun lebih, Adik suka sangat bertanya.

"Ayah ada isteri lain." Balas Mak.

"Kenapa Mak tak pisahkan Ayah dengan isteri dia?" tanya Adik lagi. Ingin tahu.

"Adik, kalau orang pisahkan Mak dengan Ayah, Adik suka tak?" tanya Mak lembut.

"Tak suka." jawab Adik.

Lepas tu, Adik tak pernah lagi tanya soalan macam tu pada Mak.

Tapi, hari-hari yang lain, bila Adik rindu Ayah, Adik tetap tanya pada Mak tentang Ayah. Kadang-kadang sampai Mak naik penat layan soalan Adik.

(2)

Bila dah besar sikit, Adik pun mula main sama kawan-kawan. Tapi Adik selalu sedih bila kalau bergaduh, kawan-kawan suka kata: "Balik nanti kita bagitahu ayah kita".

Adik simpan dalam hati. Adik tak ada Ayah nak ngadu. Ayah, kenapa tinggalkan Adik?


(3)

Dah bertahun-tahun Adik masuk sekolah rendah, baru Adik dapat jumpa Ayah. Itupun masa di Mahkamah. Mak kata nak tuntut nafkah belanja untuk Adik. Wang RM50 sebulan tak cukup untuk belanja Adik yang semakin membesar ni. Ayah bukan orang sebarangan. Mak kata Ayah kaya, Ayah ada banglo, kereta banyak, takkan itu pun tak dapat bagi cukup duit pada Adik.

Adik diam saja. Waktu tu, Adik tak rasa pun nak benci Ayah. Adik cuma nak tengok wajah Ayah saja. Dah lama tak jumpa Ayah. Asyik tengok Ayah dalam gambar lama je.

Dalam Mahkamah, Adik jumpa Ayah akhirnya. Ayah cium dahi Adik. Adik rasa macam nak nangis.


(4)

Masuk sekolah menengah, Mak dah ada pengganti Ayah. Waktu tu, Adik rasa sunyi sangat. Adik cari jalan nak hubungi Ayah. Adik syukur sangat sebab dapat cakap dengan Ayah, dengar suara Ayah. Ayah kata nak lawat Adik nanti di sekolah.

Setiap hari Adik tunggu. Tapi Ayah tak muncul-muncul juga. Ayah lupa janji Ayah ke? Sampai hati Ayah mungkir janji pada Adik.


(5)

Bila masuk universiti, Adik tetap ingat Ayah lagi. Adik harap Ayah akan sedar kesilapan Ayah dan anak Ayah ni. Tanpa putus asa, Adik hubungi Ayah lagi. Bila ada hari-hari penting macam Hari Bapa atau perayaan, Adik akan hantar ucapan melalui khidmat pesanan ringkas pada Ayah.
Adik gembira sangat bila Ayah balas. Harap Ayah masih sayang Adik lagi.

Satu hari, Adik ajak kawan bawa kereta lalu depan rumah Ayah. Sebab Adik rindu Ayah. Teringin sangat tengok wajah Ayah. Tak sangka bila lalu, Ayah terus pandang kereta yang dipandu tu. Agaknya adakah naluri Ayah mengatakan sesuatu pada Ayah?

Ayah, Adik rindu Ayah.

Tapi, entah kenapa, beberapa bulan lepas tu, Ayah dah tak balas pesanan khidmat ringkas Adik lagi. Ayah tak sihat ke? Atau Ayah dah tak nak hubungi Adik lagi?

Ayah, Adik harap dapat jumpa Ayah lagi. Biarpun kali terakhir.

Adik tak pernah benci Ayah.

Selamat Hari Bapa, Ayah...

Jun 6, 2009

Cerita Ketam Dalam Baldi



~Islam menyeru ke arah keadilan dan menolak kezaliman. Membawa kepada persamaan sesama manusia dan hanya dibezakan dengan nilai iman dan takwa.~

Kamus Dewan Ketiga mendefinisikan 'diskriminasi' sebagai perlakuan membeza-bezakan warna kulit, keturunan dan sebagainya.

Diskriminasi bukan bermula ketika manusia sudah bertamadun. Bahkan, ia telah dimulakan oleh Iblis laknatullah terhadap manusia pertama diciptakan iaitu Nabi Adam a.s. Dan ia terus berlanjutan hingga ke hari ini.

Jika disingkap sirah Nabi Muhammad s.a.w, baginda sendiri berdepan dengan pelbagai karenah manusia yang berdiskriminasi terhadap baginda dan orang-orang mukmin. Namun, Allah selalu memberitakan ayat-ayatNya yang memberi ketenangan dan ganjaran bersabar pada baginda dan golongan yang mengikuti.

Salah seorang sahabat saya bertanya tentang sebab diskriminasi yang kami berpeluang untuk merasakannya sendiri. "Kita peliklah kenapa orang perlu dengki dan iri hati." ujarnya lagi.

Saya sendiri tidak dapat menjawab mengapa perasaan begitu perlu ada. Mohon juga hati ini tidak berpenyakit sebegitu hari ini dan di kemudian hari.

Teringat cerita 3 kelompok ketam di dalam baldi.


Baldi 1
Ketam-ketam yang ada berebut-rebut untuk keluar dari baldi dan berlumba untuk jadi siapa dulu menjadi ketam pertama yang naik ke atas baldi. Namun, pergaduhan tercetus kerana semuanya bergaduh untuk jadi ketam pertama.

Baldi 2
Ketam-ketam yang ada sudah bersetuju untuk melantik ketam mana yang ke atas dahulu. Namun, masih ada ketam-ketam lain yang tak berpuas hati. Sewaktu kumpulan awal ketam yang naik hendak sampai ke puncak, ada pula ketam yang sengaja menarik ketam di atas dari bahagian dasar baldi. Lalu, jatuhlah semua ketam yang sedang naik ke atas.

Baldi 3
Semua sudah berpakat dan bersetuju untuk melantik siapa yang layak dan berkebolehan untuk naik ke atas dahulu. Dan ketam-ketam yang atas berjanji untuk membantu ketam-ketam di bahagian dasar baldi sekiranya mereka sampai dahulu. Tidak seorang pun memungkiri janji. Semuanya berjaya keluar dari baldi.


Lantas, di manakah kita? Emm....

May 24, 2009

Berilah Selagi Mampu...



~Hati ini milik-Nya. Pemilik hati punya kunci kepada semua hati-hati di dunia dan alam semesta.~

2 minggu terakhir bulan Februari, kumpulan saya ditugaskan ber'posting' di Maternal Child Health Klinik di Poliklinik Beserah. Alhamdulillah, rasanya saya sudah semakin jatuh cinta dengan 'nursing'. Bagi saya, ia bukannya satu kerjaya namun, ia lebih berupa satu kepuasan. Kepuasan dalam memberi sesuatu yang ummah ini perlukan.

"Eh, awak ni dulu praktikal di HTAA kan?" tanya seorang pesakit antenatal (ibu mengandung) kepada saya. Sewaktu itu ibu muda itu baru sahaja duduk di hadapan saya untuk mendapatkan pemeriksaan. Saya tercengang seketika.

"Di mana ye?" Saya cuba bertanya. Mencari gambaran wajahnya dalam memori saya tapi tidak saya temui.

"Wad 7c."jawabnya.

Seingat saya, baru seminggu sebelum itu saya praktikal di HTAA kembali, tapi di wad psikiatrik! Semenjak tahun kedua, praktikal saya sudah tidak lagi di HTAA. Sudah beralih ke Hospital Temerloh.

"Saya hanya praktikal di 7C waktu saya tahun pertama dulu. Sekarang saya sudah tahun ke 3.", terang saya pada beliau. Anggapan saya mungkin agaknya ada orang lain seiras saya. Lagipun, ramai adik-adik junior yang juga praktikal di Hospital Besar Kuantan itu.

"Tidak. Betul akak ingat awak. Awak yang selalu betulkan cadar akak dan tolong akak dulu. Memang akak masuk wad dulu dah lama. Beberapa tahun dulu." Puan itu cuba meyakinkan saya.

Saya masih tercengang lagi. Ya, memang pada tahun 1 dulu, tidak banyak prosedur kejururawatan yang saya boleh lakukan. Hanya mampu membetulkan atau menukar cadar pesakit, memeriksa tekanan darah, suhu dan membantu mereka dalam aktiviti seharian; ADLs (activities daily living) apa yang kami termampu.

Tatkala itu, saya bukanlah pakar bedah yang berjaya membuat pembedahan jantung padanya. Bukan juga seorang jururawat yang sudah competent dalam setiap prosedur kejururawatan. Waktu itu, saya hanyalah seorang pelajar tahun 1 kejururawatan yang masih banyak lagi perlu saya pelajari.

Mungkin pada saya apa yang saya lakukan bukanlah sebesar mana, namun ia memberi makna yang cukup berbeza pada bekas pesakit yang saya jumpa sebentar tadi. Hati saya bukan tersentuh untuk rasa dikagumi, tetapi dek kagumnya dengan kuasa Tuhan untuk manusia merasakan sentuhan di hati walau dengan sekecil pertolongan sekian lama masa berlalu.

Slogan Ustaz Hasrizal, 'erti hidup pada memberi' terngiang-terngiang di telinga saya.


Kembali saya menyelusuri sirah nabi. Tatkala seekor burung layang-layang yang berusaha memadamkan api Nabi Ibrahim dengan air yang diambil menggunakan paruh kecilnya. Katanya, walaupun ia tahu api yang membakar itu tidak akan padam dengan jumlah kuantiti air itu, ia tetap berusaha sedayanya. Kerana di akhirat kelak, Allah tidak memandang natijah dari usaha, bahkan usaha itu sendirilah yang menjadi kayu ukurnya.

Wahai hati, berilah selagi mampumu. Berilah dengan hati. Kerana kepuasan memberi erti yang cukup bermakna.

May 23, 2009

Peluru Berpandu Iran dan Masa Depan Asia Barat



Semalam, sewaktu dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur, sempat saya mendengar berita dari corong radio ikim.fm.

Memetik ulasan akhbar dari utusan online:

22 Mei 2009

Peluru Berpandu Iran Lebih Canggih

WASHINGTON, 21 Mei - Peluru berpandu yang dilancarkan dalam ujian terbaru oleh Iran adalah peluru berpandu pendorong pepejal dengan jarak yang paling jauh pernah dicatatkan demikian menurut seorang pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Ia sekaligus menimbulkan kebimbangan mengenai teknologi peluru berpandu yang dilihat semakin meningkat.

Pegawai AS yang enggan dikenali ketika membincangkan perincian teknikal program peluru berpandu Iran, menyatakan bahawa Teheran sebelum ini hanya mempunyai peluru berpandu jenis itu untuk jarak yang dekat.

Roket yang menggunakan pendorong pepejal menjadi kebimbangan kerana ia boleh dihasilkan sebelum disimpan atau disorok berbanding roket menggunakan pendorong cecair yang perlu dilancarkan segera selepas bahan api diisi, seterusnya menjadikan ia lebih mudah dipantau atau dipatahkan.

Namun menurut Setiausaha Pertahanan, Robert Gates, yang semalam memberikan pengesahan pertama AS berhubung ujian peluru berpandu oleh Iran, menyatakan yang peluru berpandu milik negara itu mampu terbang sejauh 2,000 hingga 2,500 kilometer.

Ini bermakna ia mampu mengenai Israel, pangkalan-pangkalan AS di Asia Barat dan sebahagian dari Eropah Timur.

"Maklumat tersebut menunjukkan ujian tersebut adalah berjaya," kata Gates kepada House Appropriations Committee, lapan jam selepas ujian itu diumumkan oleh Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad. - AP

*****

Selesai mendengar berita tersebut, saya tersenyum sendiri. Seandainya itulah kebenarannya, maka, saya melihat langit cerah bakal memayungi Gaza dan seluruh Palestina.

Teringat ketika mendengar cerita dari kuliyyah seorang daie' suatu ketika. Betapa jauhnya beza kekuatan hati dan jiwa mujahid/ah di Palestin dan juga rejim Zionis. Dikatakan apabila roket Qasam untuk jarak dekat dilepaskan oleh HAMAS jatuh ke sempadan negara Zionis itu, maka 'alarm'nya akan berbunyi memberi amaran kepada kepada seluruh rakyat jelata untuk bersembunyi di terowong di bawah tanah.

Ketika itu, anak-anak Zionis tidak akan pergi ke sekolah, orang dewasa tidak akan bekerja dan meneruskan rutin seharian mereka. Mereka bersembunyi di bawah tanah berjam-jam lamanya sehingga ada pemberitahuan oleh pihak atasan tentang keselamatan yang sudah terjamin.

Roket yang dilancarkan HAMAS bukanlah seperti roket Zionis yang meletupkan bangunan-bangunan secara semberono dan nyawa-nyawa manusia tanpa perikemanusiaan. Bahkan ada antara roket yang dilancarkan oleh HAMAS tidak meletus dan lebih berupa serangan psikologi terhadap Zionis.

Kini, tentunya kewujudan peluru berpandu canggih ini lebih menggetarkan hati musuh-musuh Islam, Insya Allah. Agaknya apakah pula muslihat Zionis dan sekutu-sekutunya selepas ini? Sesungguhnya janji Allah itu pasti datang dan Palestin pasti merdeka satu hari nanti.

May 17, 2009

'Mentari di ufuk barat'...






Cerita 1


Dialog saya bersama seorang sahabat ketika melihat 'shout out'nya di YM:

"Kenapa letak mentari di ufuk barat? Kan sekarang ni waktu tengah hari?" tanya saya kepadanya. Saya menjengahkan kepala sedikit ke luar tingkap. (Sewaktu itu, saya singgah sebentar di biliknya.)

"O, semua pun tanya saya benda yang sama. Awak rasa apa?" tanyanya kepada saya kembali.

"Entah." jawab saya ringkas sambil menjungkit bahu.

"Maksudnya umur yang semakin meningkat menghampiri mati." jawabnya bersahaja.

Saya hanya membisu mendengar jawapannya. Namun, dalam diam, saya bersetuju dengan kata-katanya itu biarpun kematian itu datang tidak mengenal usia.

-Tamat-


"Selamat Hari Lahir!"

Entah mengapa ucapan itu cukup menggetarkan hati. Bukan kerana sudah tidak muda atau sudah tidak cantik lagi. Namun, rasa masa pantas berlalu pergi, dan mati semakin menghampiri.

Bertambahnya usia sepatutnya bertambahlah amal.

Namun, bagaimana dengan diri ini? Apakah sudah cukup amal kebajikan untuk menghadap Ilahi andai tiba-tiba Izrail datang menjemput diri?

Persoalan demi persoalan datang bertubi-tubi. Apakah hambaMu ini akan pergi dalam keadaan husnul khatimah seperti yang dicita-citakan setiap insan?

Adakah sudah berat timbangan amal kebajikan iaitu pahala berbanding beratnya timbangan dosa?

Bagaimana pula nanti diriku ini ketika di titian siratMu? Kagumnya aku pada mereka yang melintasinya sepantas kilat. Apakah aku bisa melepasi biarpun hanya dapat merangkak sehingga ke hujungnya?

Ya, Allah, sesungguhnya hambaMu ini terlalu banyak khilafku. Entah berapa kali dalam hela nafas ini aku terlupa padaMu, pada Yang Menciptakan diriku, pada Yang Sentiasa Mengingati hambaMu.

Wahai Tuhan, janganlah Kau biarkan diri ini merasa hebat dengan diriku sendiri walhal segalanya adalah milik-Mu jua. Golongkanlah diri ini dalam kalangan hamba-hambaMu yang senantiasa bersyukur. Jadikanlah diri ini hamba yang menggunakan barang pinjaman milik-Mu hanya di jalan yang Kau redhai, dan bukan jalan yang Kau murkai.

Peliharalah diri hambaMu ini, Ya Rabbi. Jadikan hambaMu ini mencintaiMu sehingga ke akhir nafasku nanti.

Ameen...

Dari Opick:
~Bila waktu tlah memanggil, teman sejati hanyalah amal, Bila waktu tlah terhenti, teman sejati tinggallah sepi...~

May 15, 2009

Usrah Rasa Hati...



Beberapa ketika saya mendengar siaran ikim di waktu petang.


Rancangan yang menarik. Disertai sekali oleh pengarah radio ikim berkomentar di udara.

Tentang kesan deria yang lima kepada hati. Sebab itu ada pepatah melayu selalu menyebut 'dari mata turun ke hati' kan?


Nak hati yang sihat tentulah perlukan suasana yang sihat kan? Ibarat nak tanam pohon yang subur, tentulah bebas dari lalang dan semak samun, dapat cahaya matahari yang segar, suhu yang sesuai dan tanah yang subur.

Segmen apa ni ye? Hati saya sudah terpikat.

Kemudian saya mendengar pula sebuah segmen berbentuk usrah pada hari Rabu yang lalu.

Sambil merehatkan diri di bilik sesudah balik dari praktikal, saya memasang telinga.

Kali ini, ia membincangkan tentang respons yang diterima dari pendengar untuk dibincangkan.

Baru saya tahu, rupanya ia segmen Rasa Hati di ikim.fm setiap Rabu bermula pukul 6.15 petang.

Sebuah segmen berbentuk usrah... Bagus, bagus, bagus!

Kenali hati, baiki dan bersihkan hati, jaga 'maintenance' si Raja Hati supaya dapat cintai Ilahi....

Alhamdulillah, saya bersyukur sebab terpilih juga untuk mendengar.
Semoga dapat baiki hati yang sentiasa berbolak- balik ni...

Jom dengar sama-sama juga.

~ Acuan input-input yang baik akan diproses menjadi ouput yang terbaik. Begitulah sebaliknya.
Sama-samalah kita berusaha menjaga deria kita =) ~

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino