::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jul 30, 2009

Kami berlindung dengan-Mu




"Kami berlindung dengan Mu ya Allah! Tuhan yang memiliki keagungan dan kekuasaan, kami berpaut pada-Mu Ya Allah, Tuhan pemilik sekelian alam yang ghaib, dan kami bertawakkal kepada Mu Ya Allah, Tuhan yang hidup lagi tidak mati. Wahai Tuhan kami, jauhkanlah kami dari wabak ini, lindungilah kami darpada kebinasaan yang dasyat, dan peliharalah kami dari segala penyakit yang berjangkit, taun dan bala bencana, dengan ihsan-Mu, wahai Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya Mu Ya Allah, Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Selawat dan salam ke atas junjungan penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarganya, serta sahabat-sahabatnya. Segala pujian bagi-Mu, Ya Allah Tuhan pemilik sekelian alam."

Doa di atas merupakan bingkisan doa yang berikan oleh seorang rakan sekelas ketika slot tazkirah sebelum sesi pembelajaran kami bermula.

Ramai antara adik-adik sekuliyyah yang melalui screening H1N1 kerana ada outbreak of fever sebaik sahaja selesai program motivasi yang lalu. Hati ini berdoa agar ianya bukan disebabkan virus tersebut. Mungkin sahaja akibat susah payah bermandi lumpur sewaktu kem motivasi hari itu.

Pada rakan saya yang sudah demam setakat ini dan tidak dapat hadir ke kelas, maafkan saya andai saya tidak mempedulikan 'chief complaint' yang diberikan kelmarin.

"Nadiah, aku demam ni, kau tak peduli pun." kata rakan sekelas saya itu.

"Tak nampak macam demam pun. Pergilah klinik." jawab saya acuh tak acuh.

Maafkan saya andai berkata begitu, kerana saya tidak pandai untuk berlemah lembut dengan berlainan jantina dari saya. Hanya saya mohon agar Allah memelihara rakan-rakan saya, keluarga serta semua insan-insan yang ada dari kemudharatan dan kebinasaan.

Maafkan saya, insan yang terlalu kecil dan lemah ini.

Jul 27, 2009

Muhasabah Diri


"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan."
-Hasan Al-Banna-



Slot Muhasabah Diri yang diselitkan dalam Kem Motivasi di Pantai Balok Jumaat lalu bersama adik-adik Tahun 1 Kulliyyah of Nursing, alhamdulillah, berjalan lancar. Terkesan atau tidak, saya sendiri tidak mampu memberi jawapan yang pasti pada pertanyaan buat hati yang bukan saya miliki.

Jazakkallah khairan kasira pada Khamisah, Hafizah, Kak Marlina, Ria Izzati, Nizam, Jadulhaq dan Firdaus atas kerjasama kalian menjayakan slot yang dikendali pelajar-pelajar kejururawatan tahun akhir ini. Terima kasih atas nasihat dan peringatan yang diberikan sepanjang proses perbincangan. Biarpun wasilah kita berbeza, namun, matmalat mencari redha dan cintaNya tetap sama. Begitu juga pada adik-adik sekuliyyah yang memerah keringat dan memberi kesempatan pada kami yang datang bertandang.

Memuhasabahkan diri orang lain tidak bererti bahawa kita sudah cukup sempurna. Namun, ia lebih pada sebuah perkongsian, peringatan untuk saling berpesan-pesan ke arah kebaikan, juga berpesan pada diri yang selalu alpa. Tidak bermakna juga bahawa seorang senior yang telah dewasa umurnya itu sudah cukup dewasa juga pemikirannya. Umur bukan kayu pengukur untuk sebuah kematangan dan ukuran nilaian iman.

Jul 24, 2009

Istiqamah Bentuk Hati


"Cuba lukiskan satu bentuk hati di atas kertas dengan menggunakan titik-titik dakwat yang kecil." Kata saya pada seorang sahabat ketika kami sama-sama bersembang dan meluah rasa. Entah bagaimana kata-kata itu keluar dari kotak minda. Ya, segala-galanya adalah dari Dia.


Mungkin agak sukar untuk bentuk lukisan hati yang cantik dengan menggunakan titik-titik dakwat itu, kerana perlu sentiasa hati-hati dan penuh sabar menghasilkannya. Begitulah juga dengan diri kita ketika membentuk sepotong daging yang telah Allah beri ini. Itulah hati. Hati ini perlu dididik dan dibentuk sebaik-baiknya; perlu cermat dalam setiap tingkah laku, perlu sentiasa bermujahadah mendidik jiwa dan perlu istiqamah.

Membentuk dan mendidik hati perlukan satu usaha yang berterusan. Untuk mendapatkan yang terbaik, perlu sabar dan konsisten dalam penghasilan suatu ciptaan.

Berikan input pada hati. Biarkan ia diproses dengan bajaan iman, taqwa, rasa kehambaan dan kecintaan padaNya. Mungkin ia tak bisa terlihat pada esok harinya. Tapi bentuk hati dan jiwa yang murni akan terlihat nanti, bila ketenangan itu seolah-olah sudah berada di kerajang jiwa dan semayam hati yang memerintah diri. Pasti hati yang dibentuk itu sendiri akan menyuarakan keimanannya pada dirimu...

"Ingatlah di dalam jasad manusia itu ada sepotong daging, tatkala sepotong daging itu baik, baiklah jasad keseluruhannya dan tatkala rosak (sepotong daging itu), maka rosaklah jasad keseluruhannya. Ingatlah dia itu hati."
-Hadith-

Jul 22, 2009

Futsal: Saling Melengkapkan


~Setiap ilmu itu datangnya dari Allah..~



Alhamdulillah, Ahad lalu meluangkan masa bersama bersama sahabat-sahabat sekuliyyah di 'Interbatch Futsal Sister'. Salah satu program yang dianjurkan Nursing Students Society (NurSS) bagi menjalin dan merapatkan ikatan ukhwah dengan adik-adik Tahun 1 yang baru masuk sesi Julai ini.

Syukur kepada Allah, dengan izinNya, sudah masuk tahun ke-4 saya berada dalam team futsal. Ada kelainan di dalamnya. Permainan ini bukan setakat suka-suka, bahkan boleh boleh menjadi satu bentuk tarbiyah bagi diri yang benar-benar ingin mengerti.

Selama mula-mula berada dalam satu pasukan, ibarat mula-mula membina sebuah keluarga. Pemain-pemain perlu mantapkan skill, setiap ahli perlu tahu malaksanakan peranan masing-masing seperti defendant, midfield, striker dan goalie, serta berusaha membina keserasian atau chemistry. Ibarat sebuah keluarga, semuanya saling memerlukan dan saling kuat-menguatkan. Tiada yang lemah atau tiada yang lebih kuat dalam sebuah pasukan.

Andai ada lompong di barisan pertahanan, maka pemain di bahagian tengah akan turun membantu. Begitulah juga sebaliknya. Semuanya saling bertolak ansur dalam membina sebuah kejayaan dan kepuasan dalam permainan. Setuju saya dengan kata-kata penulis Saifulislam.com; usah fikirkan tentang hak, tetapi fikirkan tentang peranan kita. Ini bukan sahaja formula untuk berkeluarga, bahkan boleh jadi formula untuk menjadi seorang yang bahagia dan sentiasa berlapang dada.



Jul 21, 2009

Ketika Cinta Bertasbih: Renungan Hati



Ketika Cinta Bertasbih...



Sebuah novel islami karya Habiburrahman Al- Shirazy yang sudah dibaca di beberapa penggal dahulu.


"Ketika cinta bertasbih, nadiku berdenyut merdu, kembang kempis dadaku merungkai bukti cinta, garis tangan tergambar tak bisa aku menentang, sujud syukur padaMu atas segala cinta." - sebahagian lirik lagu dari soundtrack filem 'Ketika Cinta Bertasbih' yang insyaAllah, menjanjikan sebuah filem yang benar-benar islami yang mendidik jiwa dan menyentuh hati.


Renungan dan bisikan buat hati:


Andai masih mencari-cari, ingatlah bahawa Allah selalu ada bersamamu. Janganlah kau gusarkan apa yang belum pasti pun menjadi milikmu. Segalanya atas ketentuan Allah. Dan seharusnya engkau bersyukur kerana apa yang ditentukan buatmu pastinya yang terbaik untuk dirimu. Bingkisan cinta yang telah Allah beri untuk dihargai; pada keluarga, sahabat handai, dan alam jagat ini. Hargailah kasih sayang yang bersarang di hatimu yang telah Allah kurniakan. Kerana engkaulah insan-insan terpilih mendapat rahmat dan kasih sayang dariNya, Tuhan Yang Maha Pencinta.



"Adapun orang mukmin itu sangat hebat cintanya kepada Allah"


(2:165)




Jul 18, 2009

Denai Cinta Berduri




~Aku ingin mencintaiMu Ya Rabbi setulusnya, sebenar-benar aku cinta...~




Teman, menangislah di bahuku. Andai itu dapat meluputkan resah di hatimu

Teman, buat kesekian kali, dengarkan kataku. Kuatkan hatimu dengan iman dan taqwa. Usah kau tempuh lagi denai yang penuh berduri itu. Marilah jalan seiring denganku di jalan ini.

Teman, biarpun berulang kali tetap kau ulangi, meninggalkan aku demi cintamu yang terlarang, ingatlah, bila kau bersedih dan mencari Tuhan, aku kan tetap setia menanti kepulanganmu di sini.

Teman, berkali-kali kuungkapi, usah kerahkan si raja hati ke taman cinta larangan. Kelak kau kan merasa bahana cinta buatanmu sendiri.

Usah kau terlalu menjadi 'si pemurah' memberi segenap hati pada insan yang bukan mahrammu, kerana ia bukan jaminan sebuah kebahagiaan menuju jalan ke syurga.

Teman, rasakan cinta pada Tuhanmu. Cinta padaNya lebih hebat dan manis dari dunia dan seisinya.

Ku berdoa kepadaNya agar satu hari nanti kau akan merasai cinta yang lebih hebat ini.

Cinta padaNya tidak pernah melukakan, tidak pernah meragukan dan tidak akan pernah meninggalkanmu. Kembalilah teman...


~Jadilah wanita seindah mawar yang berduri...~

Jul 10, 2009

Untukmu Teman, Bingkisan Rinduku


~Khas buat sahabat-sahabatku...~



"Sudah pastilah kecintaan-Ku itu untuk orang-orang yang saling ziarah-menziarahi kerana Aku. Sudah pasti pula kecintaan-Ku untuk orang-orang yang saling mencintai kerana Aku,sudah pasti pula kecintaan-Ku pada orang-orang yang saling bantu-membantu kerana Aku. Juga sudah pastilah kecintaan-Ku untuk orang yang saling tolong-menolong kerana Aku."
(Riwayat Ahmad dan Hakim)



Tika aku melihat bintang,

Aku merenung langit Ilahi,

Sepinya bintang andai menyeri seorang diri.

Tentu lebih indah dan tampak terang di kaki langit andai ada bintang-bintang lain yang menemani.

Sahabat, tika itulah aku terkenangkan dirimu.

Sepanjang hayatku,

Aku menemui sahabat sejati mahupun teman yang sama-sama tabah berjuang dalam kehidupan ini.

Syukur padaNya kerana aku dikurniakan nikmat ditemukan dengan intan dan permata yang tak mungkin ku dapati di mana-mana toko emas sekalipun walaupun dengan ukuran wang ringgit yang berjuta.

Sahabat, ada kalanya kita ketawa dan menangis bersama. Sekali sekala juga kita menjauh hati andai tersilap kata atau terguris perasaan.

Namun, sahabat, sedarkah dikau, andai kita selalu merasakan yang manis dalam hidup tanpa ada kepahitan, pasti nikmat manis itu tidak sehebat mana bila kita hanya merasa satu saja perisa dalam kehidupan.

Tapi, Allah kurniakan kita ujian dan dugaan dalam persahabatan agar kita menghargai waktu-waktu indah masa bersama. Sungguh, aku sayang padamu teman.

Semoga rasa kasih dan cintaku ini pada sahabatku akan bercambah menjadi pohon kasih nan mekar. Moga ia kekal ke akhirnya, hatta hingga ke negeri abadi. Moga persahabatan dirahmati atas dasar iman dan taqwa kepadaNya.

Teman, hanya Dia yang tahu betapa di kala ini aku sangat merinduimu.

Saat bersama-sama dalam waktu suka mahupun duka.

Salam sayang teristimewa buatmu dari hati yang merindu...



 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino