::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Sep 30, 2009

Suratan-Nya Memanggil Kembali


~Masih ingat lagu Raihan?
Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara...
Kaya sebelum Miskin, Muda sebelum Tua, Lapang sebelum Sempit, Sihat sebelum Sakit, Hidup sebelum Mati~
Sudah hampir empat tahun saya menjadi pelajar kejururawatan, pengalaman sebagai 'health care provider' sudah dapat diselami sedikit demi sedikit. Terlalu banyak untuk diceritakan. Itu baru menjadi seorang pelajar. Bagaimana pula pada 'health care providers' yang sudah bertahun-tahun lama menimba pengalaman. Tentu lebih banyak lagi hikmah dari setiap kejadian yang dilalui dan dilihat dengan mata dalam kehidupan.

Saya tidak pernah terfikir akan mengambil 'course nursing' ini sebelum masuk ke universiti. Tidak pernah ada dalam 'checklist' cita-cita ketika masih menjadi pelajar sekolah dulu. Apatah lagi saya masih pening-pening dengan bau hospital suatu ketika dulu. Namun, setelah berada sebahagian dari keluarga kejururawatan ini, saya melihat kehidupan dan kematian silih berganti, saya belajar sesuatu. Begitu dekatnya kita pada kematian. Begitu pantas masa yang berlalu, seolah-olah seperti baru semalam kita masih terdaya berjalan dan berlari, namun, kini, diri melihat tubuh yang tak berdaya terbaring lemah. Semuanya satu peringatan buat hamba yang sering lupa bahawa satu hari nanti kita pasti 'ke sana'. Seperti sabda Nabi Junjungan Mulia, Muhammad s.a.w; ingat 5 perkara sebelum 5 perkara.

Pengalaman pertama saya ketika menjaga seorang pesakit berketurunan India. Saya berjumpa dengannya ketika 'posting' pertama dan kedua saya iaitu pada semester pertama dan kedua, di wad yang berbeza. Mungkin sudah ditakdirkanNya untuk saya menjaganya lagi hingga ke hari-hari terakhir 'dia' dijemput pergi. Pada hari terakhir bersamanya, saya dan rakan melakukan nursing care yang sepatutnya. Dia nampak girang dan juga ramah ketika berbual bersama. Nampak masih sihat lagi. Keadaannya belum nampak deteriorate ketika itu. Tidak terlintas bahawa dia akan 'pergi'. Namun, selepas kembali ke hospital setelah cuti hujung minggu, saya tercari-cari di manakah pesakit itu.

"Makcik tu dah takda". Kata seorang jururawat terlatih ketika saya bertanya kepadanya.

"Oh, dah keluar ke?" saya bertanya kembali. Ingin mendapatkan kepastian. Mungkin makcik itu sudah dibenarkan keluar wad oleh doktor.

"Tak, dah meninggal malam Sabtu." Balas jururawat itu.

Saya masih tidak berpuas hati. Saya bertanya kenapa dan bagaimana ia terjadi. Seolah-olah saya tidak dapat menerima bahawa orang yang sihat yang kita jaga selama ini sudah pergi. Saya seolah-olah cuba menyalahkan situasi yang menjadi asbab pada kematian itu.

Mungkin benar seperti yang diterangkan oleh Elisabeth Kubler-Ross dalam Kubler-Ross model; terdapat 5 peringkat 'grieving' : denial, anger, bargaining, depression and acceptance. Saya juga turut merasainya.

Kini, saya sudah menyaksikan beberapa kematian di depan mata. Hari ini saja saya melihatnya lagi, namun, dengan cara yang berbeza. Sukar untuk dihuraikan dengan kata-kata sebuah perasaan. Namun, heningnya amat terasa apabila 'dia' perlahan-lahan dilepaskan dari pergantungan pada alat pernafasan dan juga ubat-ubatan. Hakikatnya, Dia sudah memanggil hambaNya. Detik demi detik melihatnya pergi, melihat roh yang dipinjamkan sementara ke dalam jasad sudah diambil Tuan Empunya. Moga Allah mencucuri rahmat ke atasnya. Ameen.

Teringat pesanan seorang daie. Moga kami yang belajar di bidang perubatan dan yang berkaitan dengannya ini, yang melihat kematian sering kali berlaku di hadapan mata ini akan terus mengambil pengajaran pada setiap kejadian itu. Mohon agar hati sentiasa tersentuh dengan peristiwa seperti ini. Mohon agar usah hati ini menjadi keras seperti alah bias tegal biasa pada setiap kali melihat roh yang terpisah dari jasadnya.


~"Dari Dia kita datang dan kepadaNya kita kembali."~

Sep 28, 2009

Jadi Hamba Yang Bersyukur


Pernahkah kita mendengar dialog sebegini:

"Mahalnya makan kat sini. Bukan sedap sangat pun. Kalau tau macam ni, mesti tadi dah pergi makan kat sana je."

"Takpelah, ini rezeki kita hari ni."


Ramai manusia tahu berterima kasih sesama manusia walaupun masih ada segelintir yang tidak tahu beradab demikian. Namun, bagaimana pula adab kita menerima suatu hadiah dari Tuhan yang menciptakan? Rata-rata, ramai manusia lupa untuk bersyukur tanda terima kasih kepada Tuhan yang memberi nikmat tidak terkira pada hambaNya, namun, hamba-hambaNya ini bukan sahaja ada yang lupa daratan bahkan ada yang turut menyalah gunakan nikmat kurniaan Tuhannya.

"Dan Ia telah memberi kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya."
(Surah Ibrahim: Ayat 34)

Nikmat yang Allah bagi bukan hanya pada anggota badan yang sempurna yang kita gunakan setiap hari. Rasa bahagia, rasa tenang, kesenangan, dan terlalu banyak lagi perkara yang tersurat mahupun tersirat di sebalik hikmah sebuah kehidupan yang semuanya merupakan nikmat dari Tuhan.

Namun, adakah kita benar-benar bersyukur? Adakah kita benar-benar menghargai setiap sebesar zarah pun apa yang Allah kurniakan?Mungkin kadang-kadang kita terlepas pandang pada sekecil-kecil perkara dalam hidup kita. Mungkin juga sangkaan kita, itu adalah hasil penat titik peluh kita sedangkan semuanya adalah dengan izin Allah jua.

Lalu, nikmat yang teragung yang perlu kita ingati selalu adalah dengan nikmat Iman dan Islam yang telah Allah kurniakan.

"...pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan telah Aku redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu..."
(Surah Al-Ma'idah: Ayat 3)


Moga kita menjadikan Islam yang bukan hanya pada nama ini sebagai nikmat yang paling besar dalam hidup. Moga agama yang membawa kesejahteraan ini benar-benar kita manfaatkan bagi membawa kebahagiaan kepada kita, kesejahteraan dan keselamatan di dunia dan di akhirat.

Mari bertafakkur, berfikir sejenak, renung-renungkan ke dalam diri kita dan sekeliling kita. Betapa banyak nikmatNya yang tidak terhitung oleh diri yang kerdil ini. Kita hanyalah hamba. Bukankah kita hamba yang paling beruntung dikurniakan bermacam-macam perkara dalam hidup ini oleh Tuan yang telah Menciptakan kita? Bersyukurlah padaNya, dan hargailah ia. Gunakan nikmat yang Allah beri pada tempatnya dan sebaik-baiknya.

Ada seorang yang bertanya kepada Abu Hazim.
"Bagaimanakah cara kita mensyukuri nikmat atas kurniaan mata ini?"

Dijawab oleh Abu Hazim: "Jika kamu melihat yang baik, maka ceritakanlah dan jika melihat yang buruk, maka simpanlah untuk dirimu sendiri."

Ditanyakan lagi tentang cara mensyukuri nikmat dua telinga, maka dijelaskan, bila mendengar perkataan atau ucapan yang baik, boleh diterima, tetapi bila hal itu buruk, harus ditolak. Selanjutnya cara yang benar untuk mensyukuri nikmat dua tangan ialah dilarang mengambil sesuatu yang bukan milik diri sendiri dan tidak pula mengalih hak Allah yang ada pada keduanya.
Sedangkan mensyukuri nikmat perut, iaitu hendaknya mengisi di bahagian bawah perutnya dengan makanan dan bahagian atasnya dengan ilmu pengetahuan."

Kemudian ditanyakan pula tentang mensyukuri nikmat alat kemaluan. Abu Hazim menjawab:
" Perhatikan firman Allah, "...dan (orang-orang yang beruntung) ialah orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali kepada isteri-isteri mereka atau hamba-hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barangsiapa mencari di balik yang itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." (Al-Mu'minun: 5-7)

Lalu ditanya tentang nikmat mensyukuri dua belah kaki. Ia menjawab: "Jika engkau tahu ada orang meninggal, yang perlu engkau iri adalah amal-amal baiknya. Maka segeralah langkahkan kakimu untuk melakukan amalan sebagaimana perilaku yang baik dari orang tersebut. Sedangkan perbuatan-perbuatan buruk yang ditinggalkan, jangan kamu tiru, dan bersyukurlah kepada Allah atas petunjukNya kepadamu. Adapun orang yang hanya bersyukur di bibir sahaja dan tidak ditunjukkan dengan perilaku sehariannya, maka orang yang seperti itu ibarat orang yang mempunyai sehelai kain panjang, namun ia hanya memegang hujungnya dan tidak memakainya. Kerananya, sia-sialah ia memiliki kain tersebut, sebab seluruh tubuhnya tidak dilindungi dari sengatan terik matahari, dinginnya malam dan hujan."


~Ayuh diri, mari kembali menjadi hamba...~

Sep 27, 2009

Teruskan Usaha!


"Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kesedihan dan kedukaan. Aku berlindung kepadaMu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepadaMu dari sifat bacul dan kikir. Aku berlindung kepadaMu dari beban hutang dan penindasan orang."


Alhamdulillah, sampai juga saya ke UIA Kuantan untuk meneruskan kembali pengajian setelah bercuti raya sekaligus 'mid term break' kami.

Berakhirnya Ramadhan bermakna selesai juga silibus kami. Tiba masa menabur amal dan bakti juga mengaplikasikan segala teori. Maka, bermula esok petang saya dan rakan sekelas akan memulakan 'clinical posting' di ICU dan CCU. Dan saya terpilih ke ICU. Memang mendebarkan bagi diri yang tidak menjejakkan kaki ke situ. Persediaan? Em...

Walaupun begitu, masih ada beberapa lagi 'assignment' yang perlu disiapkan. Masih mencari 'sources' dan 'reference' yang perlu.

Semoga masih sempat lagi berkongsi sesuatu di kala 'clinical posting' ini. Hujung minggu ini masih ada jemputan walimah dari rakan sekolah, juga mungkin ada kelas persediaan hari Sabtu sebelum 'posting nursing management' untuk 4 minggu seterusnya nanti. InsyaAllah...

Pernah Rasulullah ditanya, "Pekerjaan apakah yang terbaik?"
Baginda s.a.w menjawab, " Pekerjaan yang terbaik ialah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua urusan jual beli yang dianggap baik (diredhai).
(Hadith Riwayat Ahmad, Baihaqi).



Sep 26, 2009

Hakikat Cinta


Katakanlah (Muhammad), "Aku tidak kuasa mendatangkan manfaat mahupun menolak mudarat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Sekiranya aku mengetahui yang gaib, nescaya aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan tidak akan ditimpa bahaya. Aku hanyalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira bagi orang-orang beriman."

(Al-A'raf; 7:188)


Tika aku melihat langit,
Ku lihat kebesaranMu yang sentiasa memayungiku.

Apabila ku menunduk ke bumi,
Ku pijak tanah yang Kau beri untuk ku huni.

Aku melihat pohon dan dedaunan yang bergerak selagu irama bayu yang membisik merdu,
Aku mendengar bisikan pujian dan cintanya kepadaMu.

Wahai Tuhan,
Kebesaran-Mu yang manakah lagi mampu kudustakan?
Kecintaan manakah lagi yang utama aku tuluskan hatiku ini?

Wahai Tuhan,
Pemilik segala hati.
Ingin kutundukkan hatiku padaMu
Jauh dari berhala cinta dunia dan seisinya.

Wahai Tuhan,
aku takut pada cinta yang bukan sejatinya milikku,
pandulah aku,
tunjukkan arah redhaMu padaku,
agar ia tidak sesat dan menyesatkan...

Wahai Tuhan, dengarkan rintihan hatiku...

~Hakikat cinta yang sejati adalah milikNya yang abadi~

Sep 25, 2009

Lebih Baik Dari Batu Belah Batu Bertangkup


~Dialah permata yang jika hilang tidak akan dapat dicari ganti. Hargailah ketika adanya dia dalam hidupmu....~


Alhamdulillah, rasa sangat beruntung dikurniakan ibu yang sanggup berkorban berkali-kali ganda lebih dari ibu dalam cerita 'batu belah batu bertangkup'.



Ibu, Mama, Umi, Ma, Bonda, Omma atau apa sahaja panggilan kepadanya tetap menggambarkan itulah wanita yang melahirkan kita.

Dialah yang sebenarnya melebihkan anak-anaknya dari dirinya sendiri. Beruntunglah anak yang sentiasa menghargai ibunya seperti kisah Uwais Al-Qarni , pemuda miskin yang sentiasa setia menjaga ibunya yang lumpuh dan tua hingga dijanjikan syurga oleh Allah dan dipuji baginda Rasululllah.

Berkata Rasulullah pada para sahabat (Saidina Umar ra. dan Saidina Ali r.a), "Suatu ketika apabila kalian bertemu dengan dia, maka minta do'a dan istighfarnya. Dialah penghuni langit dan bukan penghuni bumi."

Walaupun sebenarnya masih ada ibu-ibu yang lebih dasyat lagi dari ibu 'batu belah batu bertangkup', mengorbankan diri anaknya yang baru dilahirkan ke tempat-tempat pembuangan, moga Allah menunjukkannya jalan pulang, seperti pulangnya Umar r.a kembali kepada Islam.

Ibu yang mengasihi sanggup berlapar demi anaknya, turut bersedih kerananya, turut gembira juga untuknya. Hatinya penuh tulus menyaksikan setiap gerak geri anaknya, cepat tersentuh dengan kata-katanya, punya intuisi hati yang tinggi buat anak yang dikandungkannya. Dialah wanita yang dikurniakan Allah sebagai permata yang tidak mungkin dapat dijual beli dengan nilaian harga infiniti.

Abu Hurairah r.a berkata:

Seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya:

"Siapakah manusia yang berhak aku layan sebaik-baiknya?"

Baginda menjawab: "Ibumu."

Dia bertanya, "Kemudian siapa?"

Baginda menjawab: "Ibumu."

Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"

Baginda menjawab: "Ibumu."

Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"

Baginda menjawab: "Ayahmu."

(Hadith Riwayat Bukhari)

~Maafkan anakmu ini yang sering mengundang deras angin resah di hati. Moga dapat ku lakar pelangi setiap hari dalam sapaan angin lembut kasih di taman hatimu, ibu...~

Sep 23, 2009

Pelita Hati


"Allah (pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya-Nya seperti lubang yang tidak tembus yang didalamnya ada pelita besar.Pelita itu di dalam tabung kaca, (dan) tabung kaca itu bagaikan bintang yang berkilauan, yang dinyalakan dari minyak yang diberkahi, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di timur dan tidak pula di barat, yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah memberi petunjuk kepada cahaya-Nya bagi orang yang dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan bagi manusia. Dan Allah mengetahui segala sesuatu."
(An-Nur; 24:35)




Wahai hati,
jadilah seperti hati-hati orang-orang mukmin,
yang dilimpahi cahaya Al-Quran dan Iman ke atasnya.

Wahai hati,
hidupkan Iman itu di sumbu pelita hatimu,
moga memancar terang ke seluruh pelosok diri,
moga menjauh segala muslihat yang berselindung di sebalik gelap.

Wahai hati,
Ramadhan yang sudah mengisi minyak Taqwa nyalaan pelita,
harapannya agar terus terang bertahan.

Wahai hati,
hidupkan terus pelita di hatimu itu,
moga sinar terang yang terpancar menerangi turut menghidupkan hati-hati di sekelilingmu,
umpama berkilaunya bintang menerangi alam.

Teruskan menghidupkan pelita di hati.

Andai bekalan minyak Taqwa kehabisan, carilah jalan mendekatkan diri pada Empunya Cahaya Atas Segala Cahaya.
Mohonkan cinta dan kasihNya,
agar cahaya petunjukNya bisa melimpahi kembali segenap hati yang kau pinjam itu, moga kegersangan dan ketandusan hati kembali hidup dilimpahi rahmat kasih dan sayang-Nya.

Ameen...

Salam Aidilfitri 1430H



~Salam Aidilfitri. Sepanjang tahun, semoga anda beroleh kebaikan. Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu. Semoga dapat meraikannya lagi dan berjaya.~

Moga masih tidak terlambat untuk mengucapkannya di hari raya Aidilfitri yang keempat ini. Masih ramai lagi yang sehingga hari ini kunjung mengunjungi ke rumah sanak saudara mahupun ke rumah terbuka Aidilfitri.

Hari raya adalah hadiah dari Allah, merayakan kemenangan melalui madrasah tarbiyyah selama sebulan yang diadakanNya setahun sekali. Banyakkan bersyukur padaNya; bertasbih, bertahmid dan bertakbir. Semoga kita juga bakal selamat di hari perhitungan di sana.

Hari raya ini juga berkumpulnya semua sanak saudara di dalam 'extended family' setelah lama tidak bersua muka dan bertanya khabar. Di kesempatan ini juga, ahli keluarga saling bermaaf-maafan andai ada khilaf mahupun krisis antara hati-hati yang pernah melanda. Waktunya menjernihkan air yang keruh. Ibarat kiambang bertaut kembali, barakah Syawal ini mengikat kembali rasa cinta dan kasih bersaudara. Begitu juga dengan insan-insan tersayang yang telah pergi. Kasih dan sayang yang dicerminkan dengan ziarah dan bacaan kalimah suci di pusara pasti memberi erti pada mereka di alam abadi.

"Dulu boleh angkat tangan. Sekarang dah tak boleh. Badan pun dah rasa makin sejuk sampai ke tulang. Allah dah tarik nikmat sikit-sikit." Ujar datuk saudara yang terlantar sakit di atas katil. Ada air mata di hujung kelopak matanya.

Ziarah menziarahi juga mengajar kita untuk mengambil berat tentang insan-insan di sekeliling. Apakah makin sihat, atau makin susah menempuh hidup? Bahkan hari raya ini, Islam mengajar untuk saling mengambil peduli.

Moga barakah Syawal mengiringi diri biar di mana kita berpijak di bumi ini. Ampun dan maaf andai ada khilaf dari hambaNya yang hina ini.


"Cepatnya Kak Long nak balik. Tak best la. Tak naklah kawan Kak Long lepas ni." Ujar adik sepupu yang semakin membujang dengan loghat Kelantannya. Nadanya sedikit merajuk.

Saya hanya tersenyum sendiri. Entah bila agaknya kami akan berjumpa lagi. Hari raya ini begitu mendekatkan kami. Namun, biar jauh asal dekat di hati.
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino