::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Oct 31, 2009

Peperiksaan Hujung Semester



Semester pertama tahun 4 sudah hampir sampai ke penghujungnya. Posting management di Temerloh selama 4 minggu dan posting di ICU seminggu sebelumnya sudah selesai. Banyak pengalaman dan ilmu baru yang didapati. Terima kasih pada semua staf ICU dan staf wad surgical male HOSHAS yang memberi banyak tunjuk ajar dan kepercayaan kepada kami.

Buat sahabat-sahabat surgical team (Hidayah, Kak Lin Baby, Khamisah, Kak Marlina, Sakinah, Alia, Amalina, Kak Amria, Syazana, Jadulhaq dan Hasan) aka housemates di Temerloh (except Hasan dan Jadul), being with you all, make such a great team, thank you so much!

Apapun, tentunya penghujung semester ini kami akan diuji...dengan peperiksaan.

3 Nov (Tues) Issues in Nursing
4 Nov (Wed) Health Economics
7 Nov (Sat) Nursing Management in Hospitals and Health Clinics
9 Nov (Mon) Oncology Nursing
11 Nov (Wed) Research Methodologies in Nursing
13 Nov (Fri)
Critical Care Nursing

Alhamdulillah atas CAM (carry marks) Critical Care Nursing dan Issues in Nursing yang telah dilihat pada notis semalam. Terima kasih pada semua tenaga pengajar. Tahniah, buat sahabat-sahabat sekelas. Rata-ratanya semua mendapat A hingga B+, dan tidak ada yang kurang dari itu. Semoga Allah memberkati usaha kita semua.

Saya juga masih ingin menghabiskan baki research proposal berkenaan Child and Adolescent Mental Health. InsyaAllah, moga siap sebelum esok hari.

Pada teman-teman semua yang bakal menghadapi atau sedang menghadapi peperiksaan, selamat menghadapi peperiksaan!; bittaufiq wannajah fil imtihan!; good luck!; viel gluck!




Oct 29, 2009

Bahagia Itu Cukup Bagiku


Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku dan masuklah ke dalam syurgaMu. ~
(89; 27-30)




Bahagia itu singgah di hati
tatkala kau tatap senyum sahabatmu

Bahagia itu dirasai
tatkala kau dirikan jambatan kebaikan pada orang-orang di sekelilingmu

Bahagia itu terkesan
tatkala mereka gembira atas nasihat agamamu
bawa cahaya yang dikongsi
membias pelangi pada hati-hati yang lain

Bahagia itu
bila obor dinyala
digenggam di tangan
di sebuah terowong gelap penuh penghuni
bahagianya bila cahaya itu dikongsi

Bahagia itu
bila titian kasih dan cinta terbina
dari menanti rapuh dan roboh
ku tampung cinta mereka selagi daya

Bahagia itu
terlalu subjektif
sukar diukur dan ditimbang
hanya neraca hati bisa membaca
mengimbas rasa

Bahagia itu cukup bagiku
bila Satu Cinta tetap di hati
Satu Cinta dicari kutemui

Sungguh
biar kutatap senyuman
jambat kebaikan dalam binaan
titian cinta kasih terus ampuh
dan masih ku di sini
lihat hari bahagia mereka dari jauh
bahagia itu cukup bagiku...


~~Engkau Satu Cinta yang selamanya aku cari... tiada waktu kutinggalkan demi cintaku kepadaMu...Walau seribu rintangan yang menghadang dalam diri, ku teguhkan hati ini hanya padaMu kupasrahkan....~

Oct 27, 2009

Resepi Perubahan



Kita adalah agen perubahan. Agen untuk menjadikan bumi Allah diselaputi keselamatan dan kesejahteraan.

Lalu, bagaimana untuk berubah dan melakukan perubahan bagi mencapai keredhaan Allah?

Langkah-langkahnya:

Pertama: Jiwa bersih + Aqidah yang benar = Iman yang sempurna

Kedua: Kesatuan hati + Cinta dan kasih sayang = Ukhwah yang mantap

Ketiga: Ikhlas = Rela berkorban

Kemudian, campurkan semua ramuan ini hingga sebati.
Moga, resepi perubahan dan anjakan paradigma kita akan berhasil bagi menggapai keredhaan-Nya.

Selamat mencuba!


-Doa rabithah-
~Ya Allah, Engkau telah mengetahui hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu. Hati-hati ini telah memikul janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu. Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini. Tunjukkanlah kepada hati-hati ini akan jalannya yang sebenar.
Penuhilah hati-hati ini dengan cahaya-Mu yang tidak akan pudar, lapangkanlah dada kami dengan limpahan iman terhadap-Mu, juga dengan tawakkal
kepada-Mu.
Jika Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik-pemilik hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan
sebaik-baik penolong, Ya Allah. Perkenankanlah permintaan ini. Ameen ya rabbal 'alamin...~

Oct 26, 2009

Kembara Ilmu Kerana Allah?


~Apabila sesuatu perkara dilakukan kerana dunia, maka ia hanya bersifat tidak kekal dan sementara dan apabila sesuatu dilakukan kerana Allah, maka ia akan bersifat teguh dan ampuh.~


Persoalan

Seringkali apabila saya ke ceramah-ceramah mahupun ke kuliah agama dulu, selalu saja diberitahukan bahawa menjadi seorang pelajar Muslim, kita kena belajar kerana Allah. Alhamdulillah, di situ pendengar diberi kesedaran bahawa belajar tu kena diniatkan kerana Allah.

Namun, apa yang berlegar di fikiran seorang yang dulunya jahil seperti saya adalah:

"Macammana nak belajar kerana Allah? Cukup ke dengan hanya niat 'aku nak belajar kerana Allah' setiap kali berdepan dengan buku atau ke kuliah walhal sebenarnya diri dan hati nak belajar sebab nak dapat A, lulus periksa atau dapat jadi pelajar cemerlang untuk kepuasan diri saja. Atau sebenarnya belajar sebab nak dapat kerja yang bagus, gaji yang besar dan kehidupan yang selesa bila dah kerja."

"Ke kena baca bismillah dulu sebelum buka buku? Macam tu ke?"

Soalan-soalan itu tidak pernah diluah. Hanya berlegar-legar di kotak fikiran.

Banyak orang tidak memberitahu mekanisme sebenar ataupun 'the exact pathway' pada kejayaan hakiki ini. Ibarat meminta seseorang ke suatu tempat tapi tidak menunjukkan jalan mahupun memberi peta bersama. Lama-lama bila tak jumpa tempat dituju, si polan yang sudah sesat itu berputus asa atas permintaan rakannya.

Hidup saya dahulu sebagai seorang pelajar, boleh dikatakan banyak sangat penyakit menuntut ilmu; study last minute, belajar sambil lewa dan tak bersungguh-sungguh langsung. Bahkan dalam peperiksaan besar seperti SPM juga, saya baru merangkak-rangkak membuka buku 2 bulan sebelum exam bermula. Sebelum itu, saya menyibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti sekolah yang lain, dalam kelas pun tidur, homework saya pun jarang yang siap. Aktiviti-aktiviti kokurrikulum selalu dijadikan lesen untuk meloloskan diri dari kehadiran dalam kelas. Alasannya; training. Berjaga malam untuk baca buku jauh sekali.

Ibulah manusia yang paling risau dengan saya bila menjelang PMR dan SPM.
'Nadiah boleh buat ke ni?" Tanya ibu.
Tapi anaknya ini tidak pernah risau sampailah hari peperiksaan semakin menghampiri. Tercungap-cungap menghela nafas mengejar hari yang berbaki. Belum lemas saja lagi.

Waktu itu, masih kabur dengan matlamat. Sehinggalah tiba ke alam matrikulasi.

Kadang-kadang bila Allah bagi kelebihan, kita ambil kesempatan atas apa yang Allah kurniakan. Tak selami pun hikmah yang tersembunyi. Pandai bukan untuk tunjuk diri hebat, bukan juga bermalas-malas atau ambil kesempatan berjoli sakan tatkala orang lain sibuk menelaah pelajaran. Segala kekurangan dan kelebihan adalah untuk disyukuri dan dihargai. Kelebihan itu perlu dimanfaatkan atas jalan Allah.

Dahulu, apa yang saya fikir adalah saya tak suka kepada persaingan. Saya tak suka berlumba-lumba dengan orang lain untuk dapat bagus. Rasa lelah kalau berbuat begitu. Jadi, saya hanya belajar ikut sesedap rasa. Yang penting bahagia. Namun, apa yang saya buat bukan juga kerana Allah.

Lalu, bagaimana untuk belajar kerana Allah? Akhirnya, saya jumpa peta jawapan itu apabila diberi penjelasan dan kefahaman di suatu seminar yang dianjurkan.

Jawapan

Ini perkongsian dari apa yang saya faham. Sukar juga untuk diterangkan tapi saya cuba. Boleh tambah perisa dan rencah jika ada kurang rasanya.

Belajar kerana Allah ialah apabila kita sedar bahawa setiap apa yang kita lakukan hanya kerana Dia.

Kita diciptakan sebagai hamba dan juga Khalifah di bumi Allah. Sebagai Khalifah, kita memikul tanggungjawab dalam memakmurkan bumi ini. Iaitu dengan menyebarkan kesejahteraan dan keselamatan yang telah digariskan agama yang luhur budi pekerti; Islam.

Mengapa Allah mahu kita menjadi seorang yang berilmu? Dan mengapa dikatakan bahawa dengan ilmu itu, tinggilah darjatnya?

Ini kerana, dengan ilmu kita mampu membantu ummah. Dengan ilmu dan kepakaran kita juga, kita seolah-olah mendapat kelebihan dan mandat untuk mengajak orang lain kepada kebaikan. Dengan kepakaran ilmu, kita dapat mengembalikan ilmu yang telah disekularkan menjadi ilmu yang benar-benar tulus dan suci dari Tuhan.

Selalu juga kita alami bila pergi ke tempat-tempat tertentu, kita tak jumpa bangunan yang cukup lengkap prasarana dan kemudahan untuk Muslim. Surau jika ada pun terlalu sempit. Kemudahan untuk saudara yang kurang upaya juga tiada. Ada juga kes bangunan-bangunan yang mudah retak, tidak kukuh dan sebagainya. Ia lahir daripada kurangnya sifat amanah pembina dan pemaju. Kita tak nampak ia satu amal kebaikan untuk ummah bila kita buat sesuatu untuk kepentingan diri sendiri. Hanya nampak keuntungan dan kepuasan diri untuk dunia.

Alangkah indahnya jika semuanya itu bersandarkan kerana Allah dan untuk Allah. Jika seorang Jurutera Muslim mempunyai kepakaran dan ilmu membuat bangunan, dan ia dibuat kerana Allah dan untuk Allah, tentu dia mengambil jalan ini untuk berbuat pahala dan mendatangkan kebaikan kepada siapa saja.

Banyaknya kelebihan menuntut ilmu dan pakar dalam ilmu.

Namun, harus diingat bahawa ia bukan wasilah (jalan) untuk jadikan diri kita megah atau hebat. Kita hanya khalifah. Kita perlu memakmurkan bumi ini dengan ilmu Allah. Ilmu adalah wasilah yang sangat berkesan untuk menegakkan Islam di bumi Allah.

Semuanya hanya kerana Dia. Semuanya hanya kerana memenuhi permintaan Sang Kekasih yang mahukan kesejahteraan meliputi segenap maya. Jadi, kitalah agennya.

Saya juga masih dalam proses membaiki diri. Masih bermujahadah membaiki diri dan hati yang sudah sebati dengan penyakit menuntut ilmu ini. Mungkin masih dalam proses rehabilitasi. Moga penyakit yang beransur pergi akan terus meninggalkan diri dan hati.

~Jom, sama-sama bermujahadah!~

Oct 25, 2009

Alam Juga Ubat Penenang


Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin, orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(An-Nuur; 24: 22)

Lailahaillaillah
Tidak akan adanya dunia ini
Tidak akan kita ada di sini
Jika tidak kerana Allah
Yang Maha Kuasa

Dia Tuhan Yang Maha Esa
Tidak ada yang serupa denganNya
Ia wujud dengan sendiriNya
Tanpa memerlukan sesiapa

Sesungguhnya Allah Yang Maha Pengasih
Sesungguhnya Allah Yang Maha Pengampun
Sesungguhnya Allah Yang Maha Pemurah
Sesungguhnya Allah Yang Maha Penyayang

Lailahailallah
Kau yang jadikan siang dan malam
Kau hiasi dengan dengan suria, bulan dan bintang
Kau turunkan hujan, rezki, laut dan hutan
NikmatMu tak terkira
Tak terkira

Aku insan yang amat lemah
Aku hamba yang pelupa
Kita asal dari Allah
Dan kan kembali padaNya



Lagu nasyid ini saya kenal waktu di sekolah menengah dulu. Berkumandang melalui corong-corong radio bermula waktu pagi di hujung minggu sama ada dibuka oleh kakak-kakak naqibah mahupun dibuka melalui sistem speaker sekolah oleh pelajar lelaki.

Saya masih rindukan saat itu.

Nasyid ini memberitahu betapa agungNya Allah, kuasaNya Dia mencipta kita, dan kerdilnya kita sebagai hamba melalui penghayatan terhadap penciptaan alam semesta. Sesuai dengan kehidupan sekolah ketika itu yang lokasinya di dalam kampung, dikelilingi belukar dan pohon-pohon yang tumbuh segar.


Kini, saya bersyukur tinggal di UIA Kuantan. Masih dikelilingi alam semulajadi. Jika saya rasa tertekan sama ada disebabkan oleh kerja, exam dan sebagainya, tasik di depan mahallah (kolej kediaman) kamilah tempat saya menghabiskan sisa petang yang masih berbaki untuk diri.

Di situlah saya cuba melapangkan dada yang sempit. Apabila melihat langit seolah-olah keluar segala yang bercelaru di fikiran. Melihat burung-burung yang bermain dan berkicau di pepohonan, saya rasa bahagia. Ya, alam itu kekuasaan Tuhan. Sebagai petunjuk bagi mereka yang mahu berfikir.

Saya rasa tenang. Ia terus menyusup ke jiwa.

Adakalanya diri perlu di 'recharge' kembali. Bagi saya, ini adalah salah satu cara yang dapat me'recharge' diri saya. Saat itu juga saya rasa seolah-olah saya dekat dengan Dia. Saya dapat berfikir kembali dengan sewarasnya.

Sewaktu praktikal, saya sukar mendapat peluang itu. Ramai rakan-rakan juga balik ke rumah dengan harapan dapat mengurangkan stress. Saya juga semalam, sambil menunggu abah ke parkir kereta, sempat duduk di bawah pohon rendang berdekatan. Sekejap pun jadilah. Jika dalam perjalanan jauh juga, ambil kesempatan melihat alam yang sangat indah ciptaanNya.

Segala-galanya kembali kepada Allah. Dan hanya dengan mengingati Dia, jiwa hamba akan rasa ketenangannya.

~Saya insan yang amat lemah. Perlu kepada penambahbaikkan diri setiap waktu. Andai ada khilaf, maafkan saya.~

Oct 23, 2009

Hubungan Perlu Sempadan


Prevention is better than cure.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Dah terhantuk baru nak terngadah.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

~Pepatah orang lama serta Inggeris juga dah beritahu kita lam
a. Dah berpesan dengan kita. Allah juga dah berfirman minta kita selalu jaga hati dan diri kita. Cuma kita saja yang sering lupa.~


Sunnatullahnya Allah jadikan setiap makhluk di dunia ini harus mengikut peraturan. Tiada yang boleh dibuat sesuka hati. Setiap perkara itu ada had dan batas yang telah ditetapkan. Namun, tetap diberikan kita pilihan dan alternatif agar tidak memilih sempadan batasan yang telah digariskan.

Sebab apa? Sebab Allah tahu apa yang terbaik untuk hamba ciptaanNya.

Fitrah manusia itu hidup tidak bersendirian. Perlu pada masyarakat. Kita perlu meneruskan kelangsungan hidup. Perlu beraktiviti, menuntut ilmu, bekerja dan mengajak orang pada kebaikan. Namun, semuanya ada batasan. Agar fitrah yang suci tidak bertukar menjadi fitnah.

Seorang pekerja perlu berhubung dengan rakan sekerja bagi menyelesaikan tugasannya. Seorang daie perlu mengajak orang lain tidak mengira siapa untuk diajak kepada kebaikan, supaya cahaya yang didapatinya boleh dikongsikan bersama dengan yang lain. Seorang pelajar juga perlu berhubung dengan rakan sekelasnya apabila perlu menyiapkan tugasan berkumpulan. Semua ini perlukan batasan apabila berhubungan dengan yang berlainan jantina.

Kadang-kadang bila pemandu kereta sudah biasa membawa kereta di jalan raya, sedar tidak sedar membawa keretanya melebihi had laju yang dibenarkan di lebuh raya. Atau mungkin mahu lebih cepat sampai ke destinasi, kereta dibawa macam nak bawa kapal terbang atau helikopter. Bukankah dah kata had laju yang dibenarkan itu hanya sekadarnya? Tentu ada rasional di sebalik nombor yang tertera. Jika tidak beringat, tentu ditangkap oleh speed trap atau pun berubah menjadi punca kemalangan jiwa.

Letakkan hubungan itu bersama sempadan. Sempadan yang harus selalu ditengok-tengokkan. Agar sempadan yang ketat tidak menjadi longgar. Agar anasir-anasir yang tidak diingini tidak menyusup masuk ke hati. Kita sering memandang remeh pada hubungan. Menghalalkan sesuatu dengan alasan. Alih-alih sebenarnya virus-virus sudah menyerang masuk ke hati.

Hubungan dengan sempadan yang tiada kawalan mengundang berbagai musibah. Awas, musuh-musuh sering menanti peluang. Merosakkan sistem hati yang kurang 'alert'nya pada diri.
Akibatnya, yang dah berkeluarga berantakan. Hubungan si isteri dan suami yang masing-masing tidak menjaga sempadan diri disebabkan kurangnya kawalan sistem hati yang susah nak kesan virus yang sudah merosakkan sistem pertahanan badan. Juga ada kes sehingga sanggup bunuh tunang sendiri akibat cemburu melihatkan sempadan hubungan tunang yang sudah rapuh menanti patah.

Da'wah, kerjaya, persahabatan dan apa-apa saja perhubungan antara berlainan jantina harus sentiasa dalam pemerhatian.

Sistem hati perlu terus memantau sempadan kawalan diri agar yang fitrah tidak menjadi fitnah...
~Moga diri menjadi seperti pohon semalu yang tetap kuat mencengkam bumi, terkuncup malu bila disentuh, berduri mempertahankan diri dan kuncup sendiri bila senja menjelang. Ya Allah, tetapkanlah hati-hati kami di jalan-Mu.~

Oct 17, 2009

Mencari Cinta Dalam Lelah




Suatu hari, seorang pemuda yang miskin diutus oleh ibunya untuk berlayar bersama bapa saudaranya yang merupakan seorang saudagar pelayaran. Ramai yang turut menumpang bapa saudaranya itu untuk ke destinasi mereka. Namun, dia mendapati ada yang tidak enak berlaku di sekitarnya, ada saja laporan kehilangan barang-barang mereka.

"Pakcik, apa yang pakcik buat tu?" soal si pemuda kepada pakciknya ketika melihat dia menyelongkar barang-barang penumpangnya tadi.

"Eh, pakcik ambil sikit je. Lagipun, kita bukan minta bayaran pun kat dia yang kita tumpangkan ni. Yang penting kamu janganlah tiru pakcik ye. Mereka ni kaya-kaya, bukan orang susah pun. " Bapa saudaranya memberi alasan. Ingin saja si pemuda itu menegur kelakuan pakciknya itu, tetapi teringat pesanan ibunya dulu:

"Nanti, bila dah kita ni menumpang tempat orang, banyakkan sabar. Jangan cari fasal. Yang penting, apa yang tidak baik, kita buat jadi sempadan. Ingat, kita ni miskin. Menumpang pula tu. Kena buat cara menumpang."

Pemuda itu termenung sendiri di hujung dek kapal itu. Rasa ingin saja dia menegur, tapi siapakah dia.
Ingin juga dia lari saja dari sini, namun, ke manakah dia mahu pergi.
Seperti tak mampu untuk mengubah apa-apa yang mungkar di depan mata.
Lemah, tak berdaya.

Dia menadah tangan ke langit. 'Ya Allah, tolonglah aku...'



Ya Allah,
HambaMu ini rasa lelah.
Lemah diri untuk menongkah,
Patutkah ku turutkan arus deras ini.

Bagai dihempas ombak keras,
Tuhan, kucari tempat untuk berpaut,
Tak mahu terus hanyut
Menurut sesak manusia ke gemerlap kaca dunia.

Tuhan, aku ingin bernafas dalam cintaMu,
Dalam diri yang semakin lelah
Tercungap-cungap menghela nafas cinta yang berbaki,
Tuhan, selamatkan aku.........

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino