::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jan 31, 2010

Berteduh di Payung Redha




~Ya muqollibal qulub, tsabbits qalbi ala dinika...~

Alhamdulillah, malam tadi 15 Safar 1432 H.

Bulan purnama yang memancar menerangi alam sangat indah, Subhanallah.

Lihat dengan mata kepala, kita hanya nampak bulan yang terang menyuluh jalan.

Tapi lihat dengan mata hati, sungguh, ciptaan Dialah Yang Maha Sempurna. Tanda Kekuasaan dan KebesaranNya.

Manusia buat apapun tiada yang sempurna, kerana hakikatnya manusia memang tidak sempurna melainkan berusaha untuk memperbaiki dirinya sendiri.

Lihatlah alam dengan jiwa dan hati yang tenang. Di situ ada nasihat, ada pengajaran dari Allah buat hamba-hamba yang mahu berfikir.

Dari transit hidup yang sebentar ini, izinkan saya melakar puisi yang terbit dari hati...

Berteduh di Payung Redha

Ini bukan yang pertama
Bukan kedua atau ketiga
Hujan panas berselang seli
Lebat, gerimis, kemarau
Sudah ku alami
Payung sudah sedia di sisi
Temani saat cuaca berubah lagi

Aku hanya hamba
Cinta-Nya lah yang ku damba
Selagi bernyawa
Perasaan manusia adalah dari-Nya
Hanya mampu ku subur
dalam redha dan restu Pencipta

Dalam hujan tiada henti
Sering pasti ku tunggu pelangi
Biar hari ke-1000 dinanti
Kerana janji-Nya itu pasti

Berkali-kali dicuba
Ku tahu
Dia mahu cinta hamba pada-Nya
Ujian ini menagih redha
Dan payung redha sudah ku sedia

Aku hanya hamba
Dugaan datang bergelombang
Berpaut pada tali-Nya
Agar tidak hanyut dibawa dunia

Hari itu nanti pasti
Hanya dengan redha-Nya
Tetap ku nanti
Takdir Tuhan tertulis
Ketika cintaku bertasbih
Di dunia atau di syurga
Moga jadi wanita hiasan dunia
Yang bidadari cemburu padanya....
InsyaAllah.


'Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Maka apabila Dia hendak menetapkan sesuatu urusan, Dia berkata, "Jadilah!" Maka jadilah sesuatu itu.'
(Al-Mu'min; 40:68)

Jan 28, 2010

Tabib Hati




~Sesungguhnya Allah rindu pada hamba-hamba yang merintih padaNya.~

"Ada dua mata yang tidak akan disentuh api neraka, yaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang semalaman berjaga di jalan Allah."
(Riwayat Tirmidzi)

Ingin berkongsi dua cerita yang saya baca dari buku Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni : Hidupkan Hatimu. Dipinjam sebentar dari Perpustakaan Mini sempena Islamic Education Week. Harapnya ia dapat menjadi penghibur hati dan memberi pengajaran pada diri.


Cerita 1:

Abu Bakar As-Siddiq sakit. Para sahabat bertanya. "Apakah sakit yang engkau rasakan?"

Abu Bakar menjawab: "Aku mengeluh kerana dosa-dosaku."

Mereka (para sahabat) bertanya: "Bolehkah kami penggilkan tabib untukmu?"

Abu Bakar menjawab: " Tabib telah melihatku."

Mereka bertanya: "Apakah yang telah dikatakan oleh tabib kepadamu?"

Abu Bakar menjawab: "Sesungguhnya Aku berbuat apa yang Ku kehendaki."

Pantaskah aku mengadu kepada Tabibku apa yang ku derita padahal apa yang menimpaku justeru dari Tabibku?

Cerita 2:

'Umar berdiri pada hari Jumaat di atas mimbarnya berkhutbah kepada kaum Muslim, sedang ia telah mengirimkan pasukan tenteranya untuk berjihad di daerah utara arah negeri Khurasan. Saat itu juga dibukakanlah hijab jarakbagi 'Umar, sehingga 'Umar dapat melihat pasukannya terkepung pada hari Jumaat saat ia sedang berkhutbah kepada kaum Muslim (di atas mimbarnya di Madinah.)

'Umar berkata: " Hai Sariyah, naiklah ke bukit itu! Hai Sariyah, naiklah ke bukit itu!"
Sariyah adalah salah seorang nama komandan pasukan 'Umar.

Para sahabat merasa aneh, lalu mereka bertanya: "Apakah yang telah engkau lihat?"

'Umar menjawab: "Aku khuatir bila Sariyah dan pasukannya dikepung. Oleh kerana itu, aku panggil dia."

Sebulan kemudian datanglah Sariyah, lalu kaum muslim bertanya kepadanya: "Apakah engkau telah melihat sesuatu?"

Sariyah menjawab: "Kami hampir saja binasa pada hari Jumaat, lalu kami mendengar suara 'Umar yang tidak asing lagi bagi kami menyeru kami, maka kami berlindung kepada Allah, kemudian kami mengambil posisi strategik di atas bukit. Akhirnya Allah menolong kami.

(Jaami'ul Ahaadits wal marasiil, No1114-117; Misykatul Mashaabih Juz 5 Hlmn 60, Hadits No. 6053, Ad-Durarul Muntatsirah Hlm.482 & Al-Bidaayah wan Nihaayah Juz 6 No.331).


~Hati manusia bila meminta tolong kepada Yang Maha Pencipta, Dia akan menolongnya di dunia dan akhirat; dan bila berpaling dari Allah, maka nescaya akan tergelincir dan terhina serta terputus dari pertolongan Allah. -Dr.'Aidh Abdullah Al-Qarni-~

Jan 26, 2010

Entri 'Dalam Perigi'



Suara sudah beransur sengau bunyinya. Kepala juga sedikit berat. Hidung juga tidak lancar menghidu nafas. Harapnya ia masih bukan penghalang untuk menaip entri ke sini.

Blog ini semakin sepi. Adakah lantaran kesibukan kempen pilihanraya kampus sepanjang minggu lalu? Atau kerana sedang menghadapi peperiksaan pertengahan semester yang hanya 3 subjek saja kali ini? Em, sebenarnya saya rasakan semenjak tahun 2010 ini bermula, blog ini kian kelam dan diam.

Banyak yang terbuku di hati. Banyak juga tekanan yang dilalui hingga saya rasakan diri ini semakin mendiamkan diri. Kurang ceria berbanding dulu walau masih cuba bergurau senda dengan rakan-rakan namun rasanya berlainan.

Mungkin juga kehilangan anak teman saya memberi kesan besar pada diri. Walaupun, seringkali saya cuba mendiamkan perasaan, namun hakikatnya hati pedih bila mengenangnya. Begitu juga dengan lain-lain ujian, memang berat hati memikul beban. Tapi tetap saya mahu bertahan.

Mengikut teori John Gray, wanita selalu mengalami seolah-olah mereka rasa hopeless (tiada harapan), dalam dunia kegelapan seolah-olah masuk ke dalam sebuah perigi yang dalam. Apakah benar? Apakah sehingga kerap sekali saya 'terjun ke dalam perigi' akhir-akhir ini?

Saya tahu saya tidak pandai berkata-kata meluahkan perasaan. Banyak yang disimpan. Banyak yang ditahan. Secara psikologinya, saya tahu manusia perlu meluahkan perasaannya. Ventilate their feelings. Tapi yang diluahkan pasti bukan kesemua.

Inilah dunia. Hanya sebagai platform ujian untuk hamba-hambaNya. Wahai diri, letakkan dunia itu di luar hatimu. Pasrah segalanya pada Tuhan setelah kamu berusaha sedayamu.

Dari Mustaurad bin Syaddad al-Fihri, bahawa Nabi s.a.w bersabda:

"Tidaklah dunia ini dibandingkan akhirat kecuali seperti sesuatu yang apabila salah seorang di antara kamu memasukkan jarinya ke dalam sungai, maka lihatlah apa yang tersisa ketika ia mengeluarkannya?"
(Hadith Riwayat Muslim)

Jan 24, 2010

Al-Quran Penawar Hati


~Membacanya, ia akan mengingatkan. Membacanya, ia menyentuh hati untuk menangisi diri kita, si peminjam hati~


Kadang-kadang adakalanya hati kita merasa sempit. Rasa susah untuk lapang. Bila solat juga, rasa bagai ada tembok yang memisahkan kita berbicara dengan Tuhan.

Carilah penawar. Mungkin hati sedang sakit. Mungkin hati sedang gering. Sebelum lebih parah, carilah penawar. Penawarnya ada pada Al-Quran. Andai sakit, ia bisa menyembuhkan. Andai keras, ia bisa melembutkan. Agar sempit, ia bisa melapangkan.

Sekadar berkongsi bacaan Al-Quran ini, bacaan Syeikh Abdurrahman Sudais. Moga ia bisa menenangkan jiwa yang sedang kacau. Agar ia menambah ketenangan pada hati yang mendamba cinta pada Tuhannya.



Teringat cerita Umar Al-Khattab yang terkenal dengan kegarangannya sebelum Islamnya sahabat baginda itu. Insan yang hatinya tampak seperti batu akhirnya lembut dengan sentuhan bacaan Al-Quran oleh adiknya sendiri. Al-Quran, itulah tinggalan Rasulullah pada umat akhir zaman.

~Mari kembara mencari HATI yang fitrahnya suci... Jadikan ia pendamping di setiap langkahmu.~

Jan 20, 2010

Sebuah Pesanan Cinta




Wahai saudaraku,

Renungilah kata-kata As Syahid Hassan Al Banna:

"Betapa inginnya kami agar umat ini mengetahui bahawa mereka lebih kami cintai daripada diri kami sendiri. Kami berbangga jiwa-jiwa kami gugur sebagai penebus bagi kehormatan mereka, jika memang tebusan itu yang diperlukan atau menjadi harga bagi tegaknya kejayaan, kemuliaan dan terwujudnya cita-cita mereka, jika memang itu harga yang harus dibayar. Tiada sesuatu yang membuat kami bersikap seperti ini selain rasa cinta yang telah mengharu biru hati kami, menguasai perasaan kami, memeras habis air mata kami dan mencabut rasa ingin tidur dari pelupuk mata kami. Betapa kami menyaksikan bencana yang mencabik-cabik umat ini, sementara kita hanya sanggup menyerah kepada kehinaan dan pasrah oleh keputusan. Sungguh kami berbuat di jalan Allah untuk kemaslahatan seluruh manusia, lebih banyak dari apa yang kami lakukan untuk kepentingan diri kami. Kami adalah milik kalian wahai saudara tercinta, sesaat pun kami tidak pernah akan menjadi musuh kalian."


~Sebuah Pesanan Kerana Cinta Buat Saudara~

Jan 19, 2010

Tasik Hati


~Fitrah hati itu umpama tasik indah yang terbentang luas...~


Pesanan itu saya simpan dalam-dalam untuk selalu diingatkan pada diri:

Wahai hati,

Hati itu umpama tasik.

Setiap deria kita umpama mata air yang mengalir ke dalam tasik.

Iman dan taqwa menjadi penapis setiap deria, memproses setiap inputnya.

Pepatah selalu berkata: "Dari mata turun ke hati."

Namun, bukan sahaja mata menjadi saluran penglihatan, bahkan telinga menjadi saluran pendengaran, tangan menjadi saluran sentuhan, hidung menjadi saluran hidu dan lidah menjadi saluran rasa.

Mata air deria inilah yang menjadi punca jernih atau keruhnya tasik hati.

Itulah mata air deria yang masuk ke tasik hati...

Hargai mata air deria amanah kurniaan yang Allah bagi pada kita, yang mungkin tiada pada hamba lainNya.


"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah (Al-Quran) dan melaksanakan salat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang kami anugerahkan kepadanya dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perdagangan yang tidak akan rugi, agar Allah menyempurnakan pahalanya kepada mereka dan menambah kurnia-Nya. Sungguh Allah Maha Pengampun, Maha Mensyukuri."
(Fatir; 35: 29-30)
~Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu~

Jan 17, 2010

Kerana Kita Sama-Sama Muslim


~Sesungguhnya Engkau tahu bahawa hati ini telah berpadu berhimpun dalam naungan cintaMu, bertemu dalam ketaatan, bersatu dalam perjuangan menegakkan syariat dalam kehidupan...~



Sahabat,
Kerana kita sama-sama Muslim,
Hati ini bersedih untukmu,
Alir air mataku,
Sayang padamu,
Nasihatimu.

Sahabat,
Kerana kita sama-sama Muslim,
Aku pedulimu,
Aku teguri dirimu,
Moga ia kesilapan tiada sengaja.

Sahabat,
Kerana kita sama-sama Muslim,
Berulang kali kau ulangi,
Hingga hati parah sekali,
Kerana membiar dan menyaksi,
Seolah tiada kudratku lagi.

Sahabat,
Tiada yang kumahukan,
Melainkan untuk kebaikanmu,
Menegakkan yang hak,
Bukan untuk mengaibkanmu,
Hanya kerana aku sayang padamu dan agamaku.

Sahabat,
Aku bukan kabilahmu,
Kasihanilah aku,
Seperti Ansar dan Muhajirin,
Kerana kita sama-sama Muslim.

Sahabat,
Hanya kerana,
Kita tidak sebangsa,
tidak satu kaum,
tidak sama rasa,
tidak satu jalan,
tapi destinasi kita sama,
Kalimah mulia;
Tiada Tuhan Selain Allah,
Muhammad itu Pesuruh Allah.
Kerana kita sama-sama Muslim.

Sahabat,
Ini teguran,
Bukan permusuhan,
Kerana kita sama-sama Muslim.

Sahabat,
Dengarkan dengan hati,
Kerana kita sama-sama Muslim,
Aku peduli,
Kerana kita sama-sama Muslim,
Dirimu ku sayangi.


~Friendship isn't how you forget, but how you forgive,
Not how you listen, but how you understand,
Not how you see, but how you feel,
Not how you let go, but how you hold on!~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino