::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jun 18, 2010

Klinikal 'Posting' Terakhir



~Apabila tengok posting Khamisah tentang paediatrik, seperti menarik rindu ke sana semula.~

Kali pertama dapat tahu kena buat clinical replacement paediatrik, rata-ratanya semua mengeluh. Sebab jumlah minggu clinical posting dah lebih dari jumlah maksimum yang dikehendaki Lembaga Jururawat Malaysia.

Tetapi sebenarnya, bila dah duduk dalam wad paeds, rasa bahagia sangat. Mungkin ini wad yang saya paling suka selama ni.

Mungkin kerana kanak-kanak suci dari dosa, dikelilingi mereka ni rasa bahagia. Walaupun, susah nak buat prosedur dan kena pujuk betul-betul untuk teruskan rawatan. Memang sangat comel.

Posting kali ni, saya dan group saya bersama Kak Mar, Kak Am, Kak Lin, Syazana dan Hasan, bergabung dengan group Hidayah, Khamisah, Sakinah, Alia, Jadul, Zeeniroh di HoSHAS.

It just like that you can feel the love environment around you in paediatric ward.

Mungkin ada juga yang tak biasa dengan kanak-kanak, tetapi di wad ni lah tempatnya kalau nak biasakan diri. Teringat seorang houseman yang macam inferiority complex je bila tengok kita communicate dengan kanak-kanak. Waktu tu dia pun nampak macam garang. Tetapi, jika kita mahu, kita boleh belajar. Dan hari-hari seterusnya nampak ada kemajuan houseman tu untuk mesra dengan pesakit kat situ.

It is never too late to learn.

Dalam kehidupan ini, kita akan bertemu dengan pelbagai manusia dalam kehidupan. Dan paling membahagiakan adalah kita dapat meninggalkan sesuatu dalam kehidupan insan lain atau dalam kehidupan kita sendiri sebagai pengajaran dan bekalan.

~Masih belum terlambat untuk belajar tentang kebaikan dan mengamalkannya dalam kehidupan.~

Jun 17, 2010

Kepulangan


~Wahai Tuhan, bimbinglah kami ke jalan-Mu yang lurus~

Sudah lama blog ini menyepi. Berbulan laman sesawang ini benar-benar bersawang. Hingga masuk ke dalam mimpi saya ada rakan yang datang meminta supaya terus menulis. Mungkin tindakan subconscious minda.

Segala puji bagi Allah.

Saya meletakkan kewajipan saya untuk mencoret di blog ini sewaktu dulu.
Namun, atas sebab-sebab tertentu saya meninggalkannya. Lama kelana saya mencari jalan kekuatan hati ini.

Wahai Allah, maafkan hamba-Mu yang lalai ini.

Lupa sebentar bahawa blog ini bertujuan bukan saja mengajak insan lain ke arah kebaikan bahkan lebih lagi untuk mengingatkan diri yang serba kekurangan ini. Istiqamah walaupun sedikit. Mujahadah diri untuk istiqamah dalam sentiasa melakukan kebaikan dan hindari diri dari kemungkaran.

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hasan Al-Banna-

Apr 18, 2010

Tuliskan Ia Di Hati



~Alangkah indahnya hidup ini andai hanya segala yang indah saja yang menjadi ingatan~

Kehidupan adalah satu pentas ujian. Ada ujian yang berbentuk kesakitan, dan ada juga nikmat yang berupa ujian buat manusia.

Dalam hidup ini, kita bertemu ramai manusia yang mungkin silih berganti datang dan pergi, ataupun mungkin menjadi teman sejati kita selama-lamanya hatta hingga ke syurga.

Tiada ukhuwwah yang sentiasa indah dan tidak diuji. Pelangi tidak terbentuk tanpa ada hujan renyai sebelumnya. Ada manis dan ada pahitnya.

Namun, kitalah manusia. Sering cepat melihat satu titik hitam di atas kertas putih yang bersih. Kita lupa melihat banyaknya ruang yang masih putih.

Begitu juga ibaratnya dengan orang di sekeliling kita. Kita sering melihat sebaris catatan kesalahan mereka berbanding berhelai-helai kebaikan mereka kepada kita.

Hargailah mereka yang pernah hadir dalam hidup kita, kerana setiap kehadiran mereka di dalam hidup ini pasti memberi makna dan hikmah yang tersembunyi.

Ia pasti memberi kelapangan dan kebahagiaan pada sekeping hati.

~Moga setiap kesalahan itu ibarat tertulis di atas pasir, ditiup angin lalu mahupun dibawa ombak biru. Moga setiap kebaikan seperti dipahat di atas batu, dan kekal terus dikenang selalu.~

Apr 15, 2010

Allah Itu Dekat




"Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa' apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi perintah-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka beroleh kebenaran."
(Al-Baqarah; 2:186)


~Allah itu dekat. Kita sentiasa berada dalam pandangan-Nya.~

Apr 4, 2010

Dinding Hati Bersimen Baru




Alhamdulillah, baru selesai hantar 'report research finding' hari ini. Sangat memenatkan. Masih ada tugasan lagi yang berbaki. Esok, menghantar 'slide research presentation' dan kemudian lusa tiba waktu membentangkan projek kajian tahun akhir ini. Semoga semua berjalan lancar. Di kesempatan hari-hari yang berlalu, sempat juga menaip sesuatu. Semoga cerita 'Dinding Hati Bersimen Baru' ini dapat memberi iktibar dan manfaat bersama.


Dinding Hati Bersimen Baru
(1)

Bilik 413 meriah. Nasi beriyani buatan ibu Insyirah dimakan penuh selera. Khalisa, Hani dan Hajar memuji-muji keenakan nasi beriyani Johor yang dibawa pulang dari rumah Insyirah. Afra yang tinggal di bilik bersebelahan turut dijemput memeriahkan suasana. Baru saja tiba membawa bersama pinggan dari biliknya.

"Insyirah, mana Uzma? Tak ajak sekali ke?" Afra yang baru tiba memaculkan soalan.

"Dah pergi kat bilik dia tadi. Berkunci." Insyirah membalas.

"Khalisa, awakkan sahabat baik dia. Takkan tak tau mana dia pergi?" Afra bertanya lagi.

"Entah." Khalisa menjungkit bahu. Wajah Afra tidak dipandangnya. Hajar dan Insyirah berpandangan sesama sendiri.

(2)

Air tasik yang tenang itu sesekali berkocak. Mungkin ada ikan atau hidupan yang hidup di habitat itu yang mengocaknya, atau mungkin juga sesekali tiupan angin kuat menggetarkan zarah-zarah cecair. Khalisa duduk berseorangan di hujung tasik. Bertemankan burung-burung yang berterbangan rendah sambil dia menyaksikan panorama mentari terbenam di ufuk barat.

"Seorang je?"

"Allahuakbar!" Khalisa tersentak. Terkejut dengan kehadiran Insyirah yang tidak disedari.

"Assalamualaikum. Maaf, maaf." Insyirah tertawa kecil.

"Waalaikumsalam. Tau je awak saya kat sini." Khalisa mengalihkan sedikit kedudukannya ke bahagian tepi bangku. Memberi ruang duduk pada Insyirah.

"Inikan tempat 'favourite' awak."

Kedua-dua mereka diam seketika. Menikmati keindahan alam ciptaan-Nya.

"Awak tau tak kenapa kita makin tak nampak matahari tu?" Insyirah memecah sunyi.

"Sebab matahari tenggelam." Cepat Khalisa meneka.

"Kurang tepat, lagi?" Insyirah menggeleng-gelengkan kepala.

"Awak nak jawapan saintifik ke sastera?"

"Baiklah, kita sekarang berada pada satu titik bumi yang sedang berputar. Apabila pandangan kita ditutup oleh permukaan bumi yang sedang berputar pada paksi yang menjauhi matahari, matahari akan hilang dari pandangan. Matahari kelihatan tenggelam, kita semakin kegelapan. Awak dan Uzma, okay?"

Khalisa memandang tepat wajah Insyirah.

"Tadi cerita fasal matahari, sekarang Uzma pulak. Apa kaitan?"

Insyirah mengukir senyum.

"Saya harap sangat awak dan Uzma berbaik semula. Saya tak rasa gembira bila awak dan Uzma berkelahi."

"Tak berkelahi pun. Biasa je." Khalisa mengalihkan pandangan ke tasik.

"Saya rasa awak dan Uzma salah faham."

"Saya salah faham?" Suara Khalisa sedikit berubah.

"Ikhlas itu umpama semut hitam di atas batu hitam dalam kelam malam, Insyirah." Sambung Khalisa.

"Mungkin dia emosional masa tu. Khalisa, apa yang penting sekarang bukan siapa yang salah. Berbaiklah semula. Bermaafanlah."

"Insyirah, hati saya ni dah macam dinding yang kena paku. Paku dah dicabut, tapi kesannya masih ada. Cukuplah Insyirah. Saya tak mahu cerita fasal ini lagi." Ada rasa sebak yang muncul di dadanya.

"Khalisa, apabila kita tutup ruang kita pada sesuatu, kita akan rasa sempit. Rasa sempit dan gelap kerana kurang ruang cahaya yang masuk ke hati kita. Awak fikirkan ya? Kalau awak tak mahu berbaik dengan dia kerana dirinya, berbaiklah dengan dia kerana Allah. Bukalah kembali ruang tu."

Khalisa diam membisu.

(3)

Insyirah yang sedang sibuk membuat 'assignment'nya tersenyum sendiri mengenangkan pertemuannya dengan Khalisa di surau, Maghrib tadi.

"Insyirah, tolong bagi Uzma ye." Khalisa menghulurkan kotak kecil kepada Insyirah.

Insyirah terpaku. "Betul ke ni?"

"Yelah." Jawab Khalisa. Tersipu-sipu.

"Hati awak macammana?"

"Alhamdulillah, dah makin lapang. Makin banyak cahaya masuk. Dinding hati pun saya dah simen baru."

Kedua-duanya tertawa kegembiraan.

~Semoga Allah sentiasa memberi cahaya petunjuk-Nya menerobos ke ruang hati.~

Mar 24, 2010

Dilema Graduasi



~Hanya Allah yang Maha Tahu~

(1)

Kata rakan saya, akhir-akhir ini saya asyik termenung. Ya, ramai pelajar-pelajar tahun akhir juga sudah banyak yang termenung.

Ramai yang sudah menghantar resume, cuma saya saja yang baru nak menghantarnya. Hanya sudah menyiapkan resume yang diisi di laman jobstreet saja. Baru tadi, saya hendak memohon kerja untuk ke Timur Tengah. Mana tahu, jika ada rezeki di sana.

Saya bertanyakan pendapat sahabat saya.

"Awak, awak nak pergi seorang?" soalannya buat saya terkejut.

"Tak. Ajak Puteri (bukan nama sebenar) sekali."

"Awak tak kahwin lagi, nak pergi?"

"Tak boleh ke?"

Setelah beberapa minit perbahasan berlangsung, nampaknya permohonan itu saya tangguhkan buat sementara waktu. Akan saya fikir-fikirkan selepas ini.

(2)

Selepas habis menjawab kertas peperiksaan yang kedua, saya dan 2 orang sahabat saya makan bersama. Kemudian, kami bercerita tentang perancangan yang kami selepas graduasi ini.

Saya banyak mendengar, sebab saya mungkin ada cita-cita tetapi cita-cita ini perlu ada banyak pelan A, B dan C nya; perancangan apabila sudah berkeluarga atau perancangan ketika masih single.

Di fasa akhir, saya menyuarakan keinginan dan hala tuju saya ini. Kemudian, balas sahabat saya;

"Naddy kena tunggu ada suami dulu kot. Mana tau kalau minat suami lain pulak."

Saya diam kembali. Menarik nafas panjang.


*****

Ada lagi peristiwa lain yang bersangkutan dengannya, tetapi nampaknya biarlah hanya itu saja yang dapat saya coretkan. Saya sayangkan ilmu kejururawatan ini. Memang sayang. Namun, saya harus fikir panjang.

Saya mahu ada banyak masa dengan keluarga, ada masa untuk agama dan penyebarannya.

Dua tiga hari ini, saya pening-pening. Apabila malam rasa macam sesak nafas dan rasa nak muntah. Rasa macam nak keluar semua 'gastric juice' dari perut saya. Baru saya tahu, rupa-rupanya saya terlalu banyak fikir. Simptom-simptom ini saya pernah alami waktu saya di Tingkatan 5 dulu.

Ya, saya fikir sekarang saya usaha minta kerja mana-mana dahulu, jika di mana Allah tetapkan rezeki untuk saya selagi mana ia halal dan sesuai bagi saya sebagai seorang Muslimah, insyaAllah, saya akan terima.

Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.
(Al-Insyirah; 94:5-6)

Mar 16, 2010

Hidupku, Matiku Hanya Untuk-Mu



~Sesungguhnya Dia amat dekat, maka pohonlah kepada-Nya.~

Cerita 1

Gelap. Sekujur tubuh lemah di sudut dinding itu dirapati Nur Imtiyaz.

"Pergi! Biarkan aku" Di genggaman tangan lembaga genit itu ada serpihan kaca tajam.

"Ira, ingat Allah. Jangan bertindak terburu-buru." Nur Imtiyaz cuba menenangkan.

"Tiada siapa pun lagi yang perlukan aku di dunia ni. Aku hidup pun tak guna."

"Siapa kata tak ada orang yang perlukan awak. Awak hidup untuk Allah, Ira. Awak ada Allah dan awak ada saya."

"Aku rasa dah tak mampu, Nur. Aku lemah. Lihatlah serpihan kaca ini. Begitu lemahnya aku, sampaikan ia terlalu kasihankan aku dan tak nak melukakan aku." ujar Ira. Dia ketawa kecil diikuti esak tangis.

Nur Imtiyaz bergerak beberapa langkah perlahan menghampirinya.

"Allah sayangkan awak, Ira."

"Sayang?" Air matanya yang bergenang jatuh berlinang di pipi.

Tangannya terkulai ke sisi. Serpihan kaca di genggaman jatuh ke lantai.

Melihatkan Ira yang sudah kurang bertindak agresif, Nur Imtiyaz segera memaut dan memeluk sahabatnya itu. Pelukan Nur Imtiyaz tiada balasan. Ira hanya kaku memandang kosong ke lantai.

"Allah bagi aku ujian, tapi mengapa Dia tak bagi aku lenyap darinya?" Ira bersuara perlahan. Antara dengar dan tidak.

"Kita ada Allah, Ira. Dia mahu kita dekat dengan-Nya. Dia saja cukup untuk kita."

Titisan air mata mereka berguguran di situ.


Hidup kita, mati kita untuk-Nya

Pernahkah kita rasa seolah-olah hidup ini sudah tiada maknanya? Pernahkah merasa kesusahan, kesedihan dan ujian datang bertimpa-timpa tanpa batas masa? Pernahkah kita merasa amat lemah hingga kita rela terbaring lemah dari cuba untuk bangun semula menghadapi sisa hari-hari pendek yang Allah beri ini?

Begitu ruginya kita andai cuba mengakhiri sebuah kehidupan yang singkat in dengan mengambil jalan pintas untuk terus luput dari direktori dunia. Mudahnya manusia berputus asa tanpa mahu membangkitkan diri melihat hikmah di sebalik ujian dan dugaan hidupnya. Mudahnya manusia memilih untuk hidup di neraka Allah yang lebih panas membakar dari cuba untuk menghadapi ujian yang sementara dengan balasan dan ganjaran lumayan dari Allah sebagai timbal baliknya.

Jika di dalam cerita-cerita Barat mahupun bukan, kita seringkali ketemu atau mendengar ungkapan "I cannot live without you", ataupun "hidup ini tidak bermakna tanpamu".

Walhal, siapakah sebenarnya yang mampu mengizinkan mudarat ataupun memberi kebaikan kepada kita?

Semuanya hanya berlaku dengan izin Allah semata.

Manusia meletakkan pergantungan hidup kepada manusia lain dan isi-isi dunia yang bersifat sementara. Apakah ada kekuatan atau akan datang kekuatan jika sesuatu yang rapuh bersandar pada sesuatu yang sama sifat rapuhnya?

Kita hanya hidup untuk Allah. Dari Allah kita datang dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Mengapakah pergantungan dan sandaran kita lebih besar kepada isi-isi dunia yang bersifat sementara lebih daripada pergantungan kita kepada Allah yang sifatnya kekal abadi yang Maha Kuasa yang telah menciptakan sekalian alam ini?

Kita diciptakan untuk menjadi hamba kepada-Nya. Hamba yang diberi nikmat yang tidak pernah terhitung. Dan kita tidak diciptakan untuk mengabdikan diri kita selain daripada Allah semata.Mengapa kita mahu bergantung dan bersandaran pada yang lemah sedangkan kita ada Allah yang Maha Perkasa di sisi kita?

Dia sentiasa bersama hamba-hamba-Nya.

Hidup kita ini adalah untuk-Nya. Dan jika kita mati, mati kita itu juga untuk Dia. Untuk mencari redha-Nya dan kerana cinta kepada-Nya.

~Kita tidak dapat mengubah keadaan tetapi kita boleh mengubah persepsi kita dan diri kita kepada keadaan. Semuanya perlukan kekuatan. Dan kekuatan itu hanya datang bila kita bersama-Nya.~

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino