::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Apr 28, 2011

24 Jam Sehari; Sama Rata


~Allah bagi semua manusia 24 jam dalam sehari. Terpulanglah kepada kita untuk menguruskannya.~


Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.
(Al-Asr; 103: 1-3)



Seminggu dua ini beban kerja bertimbun sekaligus. Diibaratkan kerja-kerja itu adalah seperti ikan-ikan sardin yang semuanya perlu dimuatkan di dalam satu tin masa.

Alhamdulillah, Allah masih izinkan saya bernafas. Masih Allah beri waktu untuk kerja-kerja amal islami secara langsung. Masih Allah beri masa untuk saya mendidik diri dan hati saya walaupun agak payah benar meninggalkan kerja-kerja pejabat yang berlambak untuk disusun dan diselesaikan. Ya, ia juga ibadah selagi diniatkan bekerja kerana Allah.

Sehari 24 Jam

Dalam dunia ini, Allah bagi kita semua tempoh masa dalam sehari 24 jam. Semuanya sama. Hatta Rasulullah sendiri tidak diberi masa lebih daripada 24 jam sehari untuk menyampaikan risalah baginda. Allah jadikan masa atas dunia ini sama untuk semua. Adil dan sama rata. Masa juga adalah ujian. Tempoh yang Allah berikan untuk kita kaut amal kebajikan untuk kita bergerak ke sana.

"Tak cukup masa lah."
Atau "Tak ada masa lah."

Ramai manusia suka beri sebab-musabab kerana masa.

Apa salah masa jika Allah hanya peruntukkan waktunya 24 jam saja sehari untuk kita?

Ada manusia boleh berjaya walaupun Allah beri masa 24 jam sehari pada mereka. Dan ada juga sebaliknya.

Bukan salah masa. Sebab Allah bagi manusia semuanya sama rata. 60 saat bersamaan seminit. 60 minit bersamaan 1 jam. Dan 24 jam bersamaan sehari.

Pengurusan Masa dan Kerja

Masa akan terus meninggalkan kita. Dan kita tidak akan dapat mengejar kembali masa lalu yang telah pergi. Soal Imam Ghazali kepada anak muridnya; Apakah yang paling jauh dari kita?
Jawapan sebenar yang dikemukakan Imam Ghazali ialah masa. Ya, masa yang telah berlalu itulah yang paling jauh dari kita. Akan terus pergi dan pergi. Yang ada hanyalah masa yang ada sekarang bersama kita dan yang akan datang kepada kita, InsyaAllah. Pepatah Arab mengatakan; "Masa itu umpama pedang. Jika kita tidak menggunakannya untuk memotong, pedang itu akan memotong kita."

Tidak dinafikan kepala saya berserabut apabila diberi tugas bertimpa-timpa (hendak meletakkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa program juga tidak dibenarkan) sehinggalah sampai ketika saya membuat jadual perkara yang saya perlu selesaikan dalam masa seminggu dua ini. - perancangan, waktunya, tarikh datelinenya (untuk diri saya) dan sebagainya. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberi ilham kepada saya, hamba yang lemah.

Saya teringat ketika menjadi fasilitator program, ketika membuat aktiviti latihan dalam kumpulan supaya  ahli-ahli kumpulan saya boleh meloloskan diri di dalam sehelai kertas A4. Aktiviti itu mengajarkan bahawa setiap manusia punya masalah. Dan masalah yang bertimbun itu perlu diselesaikan satu demi satu.

One step at a time. 

InsyaAllah, setiap perkerjaan akan lebih teratur dan lebih mudah diselesaikan walaupun dalam jangka masa yang singkat dan padat. Dan pohonlah kepada-Nya untuk segalanya dipermudahkan.




~Hari ini sempat menikmati keindahan alam hampir sejam. Melihat burung-burung berterbangan di langit tinggi di hujung petang sambil mendengar alunan zikir alam yang mengasyikkan. Meditasi diri yang mendamaikan.~



Apr 14, 2011

Solat: Ampunkan Kecuranganku


~Wahai Tuhan, leraikanlah ikatan dunia itu dari hatiku~

Tertunduk malu. Memikirkan kecuranganku. Bukannya Kau tak tahu.



Tika Waktu Bicara

Adakalanya dalam pertemuan singkat bicaraku dengan-Mu, aku masih sempat mengingati yang selain dari-Mu. Dalam takbirku, rukukku, sujudku, masih hati ini tidak hanya teruntuk pada-Mu. Masih ada tandingan dalam ingatanku. Dunia ini berebut-rebut menarik hatiku. Hinggakan dalam persembahan dariku kepada-Mu sesingkat waktu, disibukkan lagi ingatan dan fikiran hati pada dunia. Masih tertumpah hatiku pada bujukan si wanita tua bergelar dunia.

Wahai Tuhan, wahai Kekasih yang tidak pernah berhenti Mengasihi, ampunkan atas segala kecurangan diri. Diri ini sering bercita-cita mencintai-Mu sepenuh hati. Namun, nyata hati sering tewas merealisasi mimpi.

Solatku - pertemuan aku dengan-Mu; adalah perkara pertama dihisab nanti. Mampukah aku menyaksikan betapa banyak kecurangan hati walau hanya 5 kali sesingkat waktu dari 24 jam yang diberi aku gagal menumpu pada-Mu sepenuh hati? Jasad berdiri tegak, rukuk dan sujud kepada-Mu, mulut ini memuji asma-Mu, berikrar bahawa ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk-Mu, memohon kepada-Mu dalam surah Al-Fatihah; walhal hatiku seakan menipu. Mencuri keluar ke dunia hanya dek pesona wanita tua di hujung usia.

"Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintai-Nya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah..."
(Al- Baqarah; 2:165)

Wahai Tuhan, lepaskanlah ikatan dunia di kakiku ini yang memberatkan langkahanku menuju-Mu. Ya Allah, tetapkan tempat singgahsana hati ini hanya untuk-Mu, kurniakanlah aku kemanisan kekusyukan solatku; iaitu pertemuanku dengan-Mu sebelum pertemuan sebenar di Hari Pertemuan itu.

Wahai Allah, Tuhanku, ampunkan diri ini.


~Wahai Tuhan, jangan Kau biarkan perjumpaanku dengan-Mu nanti dalam keadaan aku tertunduk malu atas kecuranganku ini.~

Apr 4, 2011

Musim-Musim Kelana Hati


~Sering melupakan-Mu saat rebah diri, wahai Tuhan, ampunkan hamba-Mu ini~

Kadang-kadang apa yang kita kata, Allah akan uji kita dengan apa yang kita kata. Apa yang kita nasihatkan orang lain, ia berbalik semula kepada diri kita. Seolah-olah nasihat itu berbalik kepada kita kemudiannya. Hingga kadang-kadang rasa takut menyatakannya. Takut ia akan kembali mendatangi diri kita.


Musim-Musim Kelana Hati





Wahai diri, 
Allah tidak akan menguji,
Andai bahumu tidak mampu dibebani, 
Dia tidak akan memberi, 
Andai kau tidak mampu menjalani.

Wahai hati, 
Setiap dugaan adalah ujian, 
Hingga kau mampu melepasi, 
Ujian itu pasti datang lagi,
Hingga imanmu bertambah dan terbaiki.

Berulang-ulang seperti musim berganti, 
Menguji pohon hati, 
Adakah segar atau mati. 

Hatikan selalu teruji, 
Selagi kaki masih di bumi, 
Menjalani hari-hari iman diuji, 
Oleh indah mahupun sedih saat menghadiri, 
Hatikan terbuncah sepi sesejuk salji, 
Jua tika terlupa hakikat diri di musim semi, 
Dalam apapun jua detik-detik dan hari hari dilalui,
Ku mohon Tuhan, agar Kau sentiasa di sisi, 
Usah biar kelanaku sendiri.


~Ku mohon, Allah, agar Kau sentiasa di sisi. Usah biar kelana hati ku bersendiri tanpa Engkau menemani. Ku serahkan pada-Mu hatiku ini. ~

Mar 27, 2011

Memiliki Dengan Paksa: Adakah Bahagia?


~Kebahagiaan itu hanya dari Allah. Ketenangan itu juga dari-Nya. Redha atas segala perkara juga membuat hati bahagia~






Memiliki Dengan Paksa

Sedih apabila banyak kejadian-kejadian yang terjadi dalam masyarakat hari ini sanggup mengorbankan orang yang dicintai semata-mata tidak mahu dimiliki oleh orang lain. Ada yang sanggup mencederakan mahupun membunuh orang yang dikatakan sebagai kekasih hati. Ada juga yang menggunakan perantara selain Allah iaitu kehadiran jin dan syaitan semata-mata kerana mahu memiliki.

Bukan Milik Kita

Sedarkah kita bahawa tiada apa-apa pun di dunia ini yang menjadi milik kita. Hatta pada apa yang terdapat pada diri kita sendiri. Inikan pula kita mahu menjadikan makhluk lain mahupun kebendaan lain seolah-olah hak mutlak milik kita.

Apakah kita tidak mengerti bahawa kehidupan dunia ini hanya sebentar waktu, dan mungkin esok, lusa atau seketika lagi pengakhiran hidup kita di dunia yang sementara? Mengapa kita memilih untuk menjadi ego, sombong dan takbur ingin meletakkan takdir itu sebagai kekuasaan kita? Walhal kita tahu bahawa hanya Allah saja yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Betapa kita masih ingkar dan sombong kiranya kita memilih untuk melanggar ketentuan dan ketetapan-Nya.

Kembalilah Pada Dia

Kembalilah kepada Allah. Masih belum terlewat dan terlambat. Lepaskanlah segala-segala yang telah berlaku. Dan terimalah qada' dan qadar-Nya dengan redha. Pasti hidup akan menjadi tenteram. Pasti hati akan lebih tenang. Terimalah bahawa pasangan yang anda impikan itu bukan milik anda. Serahkanlah segala-galanya kepada Dia.

Jika memang benar itu jodoh kita, tiada apa yang dapat menghalang. Namun, jika diri masih memaksa dengan menggunakan pelbagai cara yang tidak mengikut syarak apatah lagi menyekutukan-Nya, nescaya kebahagiaan memiliki itu tidak akan kekal lama. Percayalah pada janji Allah. Usah diikutkan hati hingga ke mati. Kelak mati nanti terseksa diri. Kerana dosa mempersekutukan Allah, mengharapkan bantuan selain dari Allah untuk memiliki adalah antara dosa besar.

"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."
(Surah Luqman: 34)

Dan apakah sebenarnya erti kecintaan itu dengan memaksa bahagia di satu pihak sahaja? Sedangkan pasangan itu akhirnya hanya menjadi boneka untuk kita. Atau adakah berpuas hati menjadi Romeo dan Juliet yang membunuh diri  dan terbunuh bersama-sama, sedangkan kita punya Tuhan yang ada untuk kita sandarkan setiap harapan dan pergantungan.

Maka, apakah masih kita rasa sangat berkuasa ingin menentukan takdir diri sendiri dan takdir orang lain bersama kita? Walhal kelak di akhirat kita pasti berjumpa Tuhan, kita pasti disoal jawab oleh Allah dan malaikat. Hujung usia bukan hanya di dunia tetapi terus kekal hingga hari akhirat. Dan di waktu itu adakah kita mampu mengheret pasangan kita itu bersama-sama?

Kebahagiaan itu adalah apabila melihat diri mereka yang dicintai itu bahagia.

Buat Mangsa

Yakinlah bahawa Allah itu sentiasa ada bersama-sama. Tingkatkan amal soleh. Perlindungan diri kita hanya dengan Tuhan iaitu Allah yang Maha Satu. Usah dicari selain dari itu.

Walau sesibuk mana diri sekalipun, bawa Al-Quran bersama untuk dibaca. Amalkan ma'thurat untuk diri kita. Berlindunglah dari syaitan dan mereka-mereka yang punya penyakit tersembunyi di dalam hati.

~Ingatlah Allah itu Maha Berkuasa. Lepaskanlah andai diri bukan milikmu~



Mar 25, 2011

Memilih Hidup Di Bawah Cahaya


~Ucapkan syukur pada-Nya, tunjukkan syukur buat-Nya, kerana dengan dua nikmat ini kita berjalan disuluh cahaya.~





"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran itu benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?"


(Fussilat: 53)




Kita dilanda banyak ujian dalam hidup. Ada yang kehilangan. Ada yang kedukaan.
Namun, ingatlah selagi kita tidak hilang nikmat keimanan dalam hati kita, kita masih bahagia. Selagi Allah masih belum menarik nikmat Islam dalam diri kita, kita harus gembira.

Ada manusia yang Allah kurniakan mereka harta kekayaan yang melimpah ruah, kejayaan hidup yang besar,dikenali seluruh dunia tetapi Allah tidak beri mereka kedua nikmat yang paling berharga ini.

Nikmat Iman dan Islam. Suatu nikmat hidup yang merasakan indahnya hidup bertuhan. Bertuhankan Allah yang satu, Yang Hanya Satu, sentiasa mendengar, sentiasa memandang, sentiasa memberi, sentiasa kaya, sentiasa mengabulkan, sentiasa sibuk tetapi tidak pernah menghampakan.

Allah, Dia Yang Maha Adil, memberi hidayah kepada mereka yang mencari. Apabila manusia cuba menyandarkan harapan kepada perkara-perkara bersifat fana dan sementara, mereka tahu tidak akan dapat kekuatan yang tegar dari semua itu. Hanya daripada Allah saja, manusia akan kuat. Hanya dengan bergantung pada Allah saja, manusia akan tabah. Hanya dengan Allah saja, manusia akan mampu melangkah.

Nama-nama dan wajah-wajah di dalam video di atas adalah antara insan-insan terpilih oleh Allah dan memilih untuk hidup bersama Allah. Mari hidup bersama Allah. Mari hidup di bawah suluhan cahaya-Nya. Agar jalan-jalan yang kita lalui di dunia ini lebih terang. Agar jalan yang kita lalui bukan menuju ke jalan mati. Agar jalan yang diterangi ini mampu mengelakkan kita dari isi dunia penuh duri. Agar jalan yang diterangi ini membawa kita terus menuju Ilahi.

Mari memilih hidup di bawah cahaya.



~Memilih hidup bersama Allah bererti memilih hidup di dalam terang di bawah naungan cahaya-Nya~

Mar 24, 2011

Sahabat: Ku Pohon Pada-Nya Untukmu


~Buat sahabat tersayang, moga Allah sentiasa mewarnai hidupmu seperti indahnya pelangi di langit~



Ku Pohon Pada-Nya Untukmu

Sahabat, 
Ku tahu dirimu payah, 
Riak suaramu mengatakan tiada, 
Walhal hatimu resah, 
Jiwa dilanda duka. 

Aku hamba yang lemah, 
Tiada kudrat mengubah payah, 
Namun, ku pohon dan ku pinta, 
Dari Dia yang Maha Kuasa, 
Agar kau kembali ceria dan bahagia, 
Seperti burung gagah mengepak sayapnya. 

Aku pohon pada-Nya, 
Berbekal kekuatan doa, 
Dengan sepenuh hati, 
Menjadi wakil mengadap Ilahi, 
Agar sayapmu kuat seperti dahulu, 
Terbang gah di angkasa biru,
Mengukir senyum seperti selalu. 

Aku pohon pada-Nya, 
Makhluk di langit dan di bumi berdoa sama,
Hingga ia menembus Arasy, 
Doa itu berjumpa Dia,
Dan doa itu pun bersungguh meminta. 

"Wahai Tuhanku, 
Bahagiakanlah sahabatku, 
Janganlah Kau timpakan dia ujian yang tidak mampu dihadapinya.

Wahai Tuhan, 
Berilah dia kegembiraan, 
Janganlah Kau ambil nikmat darinya yang telah Kau beri, 
Hingga tidak mampu untuk dibebani.

Wahai Tuhan, 
Yang Maha Mengasihani, 
Berilah sahabatku ini kebahagiaan, 
Berilah dia kegembiraan,
Luputkanlah duka di hatinya, wahai Tuhan. 

Wahai Tuhan,
Perkenanlah doa ini.
Ya Rabbi, 
Perkenankanlah doa ini.
Kerana hanya dengan izin-Mu semata segalanya terjadi. 
Amin, Amin, Amin. "



Nukilan khas buat sahabat tersayang, 
Teman Sebilik M4.8, 
Mahallah Maimunah,
UIAM '06-'10
Dari yang menyayangimu.

~Moga Dia Yang Sentiasa Mendengar akan mengabulkan doa ini buat sahabatku~

Mar 21, 2011

Syukur: Ikatkanlah Hatiku


~Bertanya pada diri, apakah diri ini benar-benar bersyukur?~~


Syukur Dan Nikmat

Kalau ditimpa bencana, biasanya ia dikatakan sebagai suatu peringatan dari Tuhan. Agar kita manusia tidak lupa siapa diri kita. Hanya manusia kerdil dan lemah tidak berdaya melainkan kekuatan yang diberikan oleh-Nya kepada kita.

Bercerita pula tentang nikmat.
Ia hanya pinjaman. Sementara. Boleh jadi platform atau medium untuk mencapai bekal amal soleh di dunia sebanyak-banyaknya oleh mereka yang mensyukuri nikmat-Nya. Boleh juga jadi lupa, leka dan lalai dengan nikmat-Nya.

Nikmat yang pelbagai; fizikal seperti paras rupa, suara, kesenangan dan harta kekayaan, kelapangan masa, kesihatan, ketenangan, kasih sayang, kepandaian dan bermacam-macam lagi kelebihan dan nikmat yang ada pada diri seorang hamba.

Ada yang merasa bangga dengan kelebihan dan nikmat seolah-olah semua itu miliknya semata. Namun,masih ada juga yang merasakan bahawa segala kelebihan dan nikmat yang diberikan adalah milik dari Allah Yang Maha Kuasa.

"Dan demikianlah telah Kami uji sebahagian mereka (orang-orang kaya) dengan sebahagian  mereka (orang-orang miskin) supaya (orang-orang kaya itu) berkata "Orang-orang semacam inikah di antara kita yang diberi anugerah oleh Allah kepada mereka?" (Allah berfirman), "Tidakkah Allah lebih mengetahui tentang orang-orang yang bersyukur kepada-Nya".
(Al-An'am; 53)

Bagaimana Menjadi Orang Yang Bersyukur?

Kita berdoa agar segala nikmat pemberian Allah kepada diri kita yang sememangnya lemah ini dapat mengikat hati kita lebih erat kepada Allah s.w.t. Agar dengan nikmat ini, tali ikatan dengan Allah ini menjadi semakin kuat. Agar kita sentiasa beringat bahawa nikmat yang Allah datangkan kepada kita sama ada yang kita minta atau tidak daripada Allah ini bila-bila sahaja akan ditarik kembali dalam sekelip mata. Tidak kiralah dari sekecil-kecil perkara hingga ke sebesar-besar perkara. Dari adanya nikmat kesihatan hingga tiada, mahupun dari amannya sebuah negara boleh menjadi huru-hara dan ditimpa bencana.

Lalu, bagaimana caranya mengajar diri ini menjadi hamba yang lebih dekat kepada Allah apabila diberi pelbagai nikmat?

Para ulama mengatakan ada tiga rukun syukur. Atau dalam erti kata lain; syukur itu dalam 3 bentuk atau 3 cara.

Pertama, syukur qalbi atau syukur dengan hati. Kita mengakui bahawa segala nikmat-nikmat ini adalah hak milik Allah dan kita mencintainya. Kita patut rasa gembira kerana Allah dah beri kita nikmat ini. Sedangkan ada manusia lain tidak pernah dapat mengecapinya.
Ada manusia dapat nikmat rupa yang sempurna tapi selalu mengherdik dirinya kerana kurang cantik atau kurang putih. Ada yang mendapat nikmat suara tapi ada juga yang membenci suaranya sendiri kerana dikatakan tidak cukup merdu.

 "Ala, suara ni bukannya sedap sangat macam si polan. Buat malu je nanti." Adakah pernah terdetik sebegini di hati?

Kedua, syukur lisan atau syukur dengan perkataan. Segala puji bagi Allah atau Alhamdulillah adalah kata-kata pujian bagi Tuhan yang telah memberi kita nikmat dan kelebihan.

Ketiga, syukur jawarih atau syukur dengan anggota tubuh. Menggunakan nikmat Allah untuk beroleh keredhaan-Nya dan jauh dari kemurkaan-Nya. Apakah agaknya kita pernah rasa malu menggunakan nikmat yang Allah bagi pada tempat yang tidak sepatutnya? Lihat sahaja tubuh badan kita. Ke mana kaki kita melangkah; adakah ke arah kebaikan, keredhaan atau kealpaan atau kemurkaan-Nya? Mata kita, tangan kita dan macam-macam lagi. Itu baru anggota tubuh. Bagaimana pula dengan nikmat lain yang Allah beri sehingga tidak terhitung oleh kita? Adakah kita bawa ia ke jalan redha dan jauh dari murka-Nya?

Setelah menghayati ketiga-tiga rukun syukur ini, apakah kita benar-benar mempraktikkan ketiga-tiganya dalam kehidupan kita?



Berhati-hati Dengan Musuhmu


Allah berfirman:

"Dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur."
(Ali Imran: 145)

Realiti manusia mudah leka dengan nikmat dunia. Syaitan, musuh terang-terangan ini amat mencemburui manusia dengan sifat syukur yang dijanjikan Allah s.w.t dengan ganjaran-Nya. 

Dan mereka (syaitan) berikrar:
"Kemudian kami akan mendatangi mereka dari depan dan belakang, dari kanan dan kiri mereka. Dan Engkau  tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur."
(Al-A'raaf: 17)

Ikatkan Nikmat Dengan Syukur

Kata Umar bin Abdul Aziz: "Ikatlah nikmat-nikmat Allah dan bersyukur kepada-Nya."

"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu mengingatkan 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih."
(Ibrahim: 7)

Abul Mughirah apabila ditanya,

"Bagaimana keadaan anda pagi ini?"

Maka dia menjawab, 
"Pagi hari ini kami dalam keadaan tenggelam dalam kenikmatan sehingga kita tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkan syukur itu. Allah telah melingkupi kita dengan kecintaan-Nya yang besar, padahal Dia tidak bergantung kepada manusia, sebaliknya kita sering berbuat sesuatu yang membuat-Nya marah, sedangkan diri kita selalu bergantung kepada-Nya."

Wahai Tuhan,
Pemberi kepada apa yang dipinta,
Memberi tanpa disangka-sangka,
Ikatkanlah hati kami kepada-Mu,
Erat-erat,
Agar kami sentiasa beringat,
Bersama syukur dan nikmat,
Agar dari-Mu kami peroleh redha,
Hingga ke Syurga yang selamanya.



~Wahai Tuhan, atas segala nikmat yang Kau berikan, eratkanlah lagi ikatan hatiku kepada-Mu~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino