::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Feb 24, 2012

Usah Ungkitkan Kebaikan Itu


~Mungkin dulu kita pernah berkorban nikmat yang kita kecap atau perkara yang kita hajat, tetapi mujahadahkanlah hati untuk tidak menyebut-nyebut kembali apabila pengorbanan itu tidak dihargai~

"Ah, menyesal bagi peluang dulu, sudahnya macam ini balasannya."

"Buat baik pun, sekarang dibalas tuba."

~Berbuatlah kebaikan walaupun diri disakiti~


Usah ungkitkan pengorbanan yang pernah dilakukan,
apabila pengorbanan itu tidak dihargai. 
Usah ungkitkan nikmat yang pernah dikorbankan, 
apabila kini dicaci dan dimaki.
Usah ungkitkan peluang yang telah diberi, 
apabila hati telah dilukai. 

Babak-babak di dalam kehidupan, 
memang penuh dengan dugaan. 
Kita bukan hidup di Syurga, 
Tempat di mana hanya ada bahagia. 
Kita hidup dengan manusia, 
Penuh warna dan ragamnya. 

Kadang-kadang mahu lari, 
Dari manusia sebegini. 
Kadang-kadang mahu hanya mengalah, 
Namun, hati bertanya sampai bilakah?
Kadang-kadang mahu mengungkit, 
Tapi ia hanya menambah sakit. 

Ingatlah, 
Syaitan itu sedang memburu, 
Meracun hati bersama nafsu, 
Untuk keluarkan kata-kata sehebat peluru, 
Biar terngadah telinga menadah, 
Biar tertembak segala yang di pundak. 

Namun, 
Hati hamba dengan iman, 
Ingin menurutkan Allah dan bukan syaitan.
Mahu menjadi seperti Rasulullah, 
Membalas kejahatan dengan kebaikan, 
Ya, ia perlukan mujahadah, 
Kerana jalan mendapat Syurga bukannya mudah.

Diri hanyalah hamba. Punya hati dan rasa. Segala dugaan, kita mohon agar Allah berikan hati ketabahan. Agar Allah berikan hati kekuatan untuk berhadapan dengan manusia di dunia. Apabila terasa hati ingin menjerit, carilah Tuhan. Biarlah kebaikan itu tidak dilihat manusia. Cukuplah Allah sebagai saksinya. Biarlah pengorbanan dahulu tidak diungkit, moga Allah memberi penawar  kepada hati yang sakit.

~Wahai Allah sebaik-baik saksi, maka saksikanlah segala kebaikan ini dan berilah ketenangan kepada hati walaupun hati disakiti.~



Jan 30, 2012

Ibrah Kasih Nenek Tercinta


~Diri ini manusia biasa, yang perlu diingatkan selalu dan kadang-kadang perlu diberitahu andai diri terleka dan alpa~

~Kasih nenek tidak kurang hebatnya~
-Source-
Ibrah Cuti Tahun Baru Cina

"Nadiah tak balik cuti Raya Cina?" ibu menelefon beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina.

"Tak balik kot."

Memikirkan bahawa saya sudah lewat membeli tiket ditambah kerja yang perlu dihantar sesudah cuti dan faktor-faktor lain seperti belum gaji dan sebagainya, maka, saya bercadang untuk pulang pada cuti Maulidur Rasul dan Thaipusam.

Tanpa mengetahui bahawa nenek saya sakit di kampung hingga sukar nak bergerak hatta untuk memasak.

Panggilan telefon dari ibu sesudah cuti Raya Cina mengejutkan saya. Lalu, nenek di kampung yang telah membesarkan saya selama ini saya hubungi.

Pada awal perbualan, nenek tenang saja tetapi ada bunyi sedih pada nadanya di tengah perbualan.

"Bulan dua ni pun tak balikkan?" Nenek saya bertanya.

"Balik, Maulidur Rasul nanti Nadiah balik."

"Nanti Nadiah balik awal ye. Nadiah balik Sabtu." sambung saya.

"Takpelah, kerjalah. Wan dah baik dah." Bunyinya seperti merajuk. Comel. 'Wan' ganti nama panggilan nenek di kampung saya.

"Takpelah, nanti Nadiah balik, Nadiah masak bubur untuk Wan ye. Masak sup sedap-sedap." Memujuk. Suaranya mengiyakan seperti anak kecil.

Ya, saya akaui juga kesilapan saya. Sepanjang cuti Tahun Baru Cina tempoh hari, ada ibu mengingatkan saya untuk menelefon nenek. Tapi saya hanya beranggapan tentu nenek saya sibuk dengan kehadiran keluarga makcik-makcik saya yang pulang ke kampung.

Kasih Nenek

"Nadiah tak sama macam anak Wan yang lain." Ibu mengingatkan saya.

Ya, bila fikir-fikir semula memang saya sendiri merasakan bahawa nenek sayang saya secara uniknya.

Teringat suatu ketika dahulu apabila makcik saya yang bongsu menelefon saya.

"Nadiah, bila nak balik? Wan kata nak belanja ikan bakar kat Melaka."

"Wah, 'best'nya!" Saya teruja. Beza umur kami tidak jauh beza. Macam adik dan kakak.

"Balik cepatlah. Wan kata nak tunggu kau balik baru Wan nak belanja."

Jika waktu musim buah dahulu pun, jika saya tidak balik, Wan pernah kata nak gadai pokok buah di belakang rumahnya.

Comel.

Tetapi rupa-rupanya kasih Wan tak pernah berubah.  Hingga kini.

Dunia Bekerja & Beramal

Saya akui jadual saya sering penuh atau saja saya penuhkan dengan kerja-kerja pejabat mahupun kerja luar sebagai daie.

Hingga kadang-kadang saya lupa bahawa orang-orang yang rapat dan sayang pada saya masih memerlukan kehadiran ini.

Saya bukan saja ada ibu dan bapa yang saya perlu jaga hati mereka. Namun, saya juga ada nenek yang amat menyayangi diri ini.

Dunia bekerja dan beramal tidak hanya pada orang-orang yang kita kenali tetapi lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga yang kita sayangi. Kita sering nak menggembirakan orang lain di luar lingkungan keluarga kita tetapi kita lupa ahli keluarga yang menyayangi kita.

Hatta Uwais Al-Qarni juga meminta kebenaran ibunya untuk meninggalkan ibu yang tercinta sebentar bagi menemui Rasulullah. Dan beliau tidak menunggu lama apabila tidak berjumpa baginda, sebaliknya pulang segera menemui ibunya kembali.

Silap saya bahawa kadang-kadang saya menganggap orang lain seperti saya. Menabahkan hati untuk terus sendiri.

Silap saya bahawa saya ini sering bersangka bahawa orang tidak memerlukan diri saya ini kerana diri saya sendiri yang melatih hati ini untuk menjadi begitu.

Ya, hari ini saya menulis tentang kesilapan saya.

Rupanya hati ini kering. Saya tidak perasan perkara itu.
Ya, kadang-kadang saya ini kata orang 'LamPi' atau lambat pick up. Mungkin bukan kadang-kadang tetapi selalu.

Alhamdulillah, baguslah apabila Allah ketuk hati ini.

Daripada Abdullah Ibnu Mas'ud r.a:'
Aku telah bertanyakan pada Nabi s.a.w;
"Apakah amalan yang paling dicintai oleh Allah taala?"
Nabi s.a.w bersabda: "Solat pada waktunya,"
Aku bertanya lagi: "Apa lagi wahai Rasulullah?"
Baginda bersabda: " Kemudian berbuat bakti kepada ibu bapa,"
Kemudian, aku bertanya lagi "Apa lagi wahai Rasulullah?"
Baginda bersabda: "Berjihad di jalan Allah."
Kemudian Rasulullah berkata kepada aku, "Andai kamu bertanya lagi, nescaya akan aku menjawabnya."
(H. R Bukhari & Muslim)

~Nenek di tengah-tengah bertudung coklat dikelilingi sebahagian anak-anak dan cucu-cucu~


~Wahai Allah, ketuklah hati ini selalu agar ia tidak membeku. Berilah hidayah pada diri ini agar menjadi manusia yang lembut hati di jalan-Mu~

Jan 17, 2012

Derita Kita Berbeza


~Derita kita tak sama, kerana Allah tahu kemampuan hamba-Nya~

Jika ada seribu manusia yang bercerita, tentu ada seribu cerita derita yang tak sama. Tetapi Allah itu Maha Penyayang, walaupun diberinya derita, Dia tetap ilhamkan bahagia apabila insan mendekat kepada-Nya.

"Dan Dialah yang menurunkan hujan sesudah mereka berputus asa dan menyebarkan rahmat-Nya. Dan Dialah yang Maha Pelindung lagi Maha Terpuji."
(Asy-Syura; 42: 28)


Derita kita
Tidak sama tiap manusia

Derita kita
Dan derita dia
Mungkin berbeza

Derita kita
Allah beri mengikut kemampuan diri

"Arrrgghh! Akulah manusia paling derita di dunia ini"
Tapi mungkin ada yang merasa pedihnya lagi

Jalan hidup kita
Semuanya ada liku berduri
Ada yang datang melintang
Ada yang menerpa terbang
Tapi Allah tahu
Tiap kita ada kemahiran pertahanan diri
Kekuatannya Allah titipkan dari hati
Rahmat itu tertanam di sanubari

Derita kita
Mungkin jalannya berbeza
Derita kita adalah ujian
Juga jadi rahmat
Sebab Allah nak kita makin dekat dan makin rapat

"Ada mereka, tiada liku, tiada derita, mengapa?"
Ujian itu adalah rahmat
Tapi ingat! Nikmat juga adalah ujian
Kepada hamba-hamba-Nya dalam kehidupan

Adilkan?
Derita atau nikmat
Ia wasilah
Allah beri untuk kita dekat kepada Allah
Terpulang pada kita saja
Untuk memilih jalan yang mana

Kehidupan ini ujian
Nikmat atau derita
Jika dekat dengan Pencipta
Allah akan bagi hidup bahagia

Bila cerita tentang derita
Masuk Syurga Allah
Semua cerita akan jadi lupa
Sebab indahnya nikmat Syurga
Dapat tinggal bersama sekalian makhluk yang diredhai-Nya

Bila bahagia hanya di dunia
Neraka akan melupakan semua nikmat
Andai manusia lupa Allah sebagai Tuhan pemberi rahmat

Jangan bersedih,
Derita ini sementara,
Syurga itu selamanya,
Insya Allah, nikmat bahagia dengan Allah,
Moga dapat kita bawa sampai ke sana.

Baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat serta keluarga baginda juga pernah derita. Dan merekalah insan-insan  yang dekat dengan Allah.

"Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mereka tertimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan berbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata: 'Bilakah datangnya pertolongan Allah?' Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat."
(Al-Baqarah; 2: 214)

Sepanjang hidup ini Allah kurniakan terlalu banyak nikmat pada kita; daripada oksigen, perjalanan darah dalam badan, mata yang boleh melihat, kaki yang boleh bergerak dan yang paling penting; nikmat Islam dan Iman.

Dan derita ini hanya sedikit cubaan dan ujian. Allah telah beri terlalu banyak talian hayat kepada kita. Insya Allah, dengan talian hayat yang ada; petunjuk kebahagiaan daripada Allah, insan-insan yang sentiasa membawa kita ke arah keredhaan-Nya, anggota badan yang cukup lengkap sempurna pada kita dan infiniti pertolongan Allah kepada kita.

Semuanya Allah bantu untuk kita harungi derita ini.

Dilemparkan kita ke dalam lautan derita. Tetapi Allah beri kita pelatih untuk kita belajar berenang di dalamnya. Allah beri kita jaket keselamatan untuk kita mengapungkan diri.

Semuanya kerana Allah sayangkan kita.
Bahkan, Allah sayang kita melebihi seorang ibu menyayangi anaknya.

"Katakanlah (Muhammad), "Bagaimana pendapatmu, jika Allah menjadikan untukmu malam itu terus menerus sampai hari Kiamat. Siapakah Tuhan selain Allah yang akan mendatangkan sinar terang kepadamu? Apakah kamu tidak mendengar?" Katakanlah (Muhammad), "Bagaimana pendapatmu, jika Allah menjadikan untukmu siang itu terus menerus sampai hari Kiamat. Siapakah tuhan yang akan mendatangkan malam kepadamu sebagai waktu istirehatmu? Apakah kamu tidak memperhatikan?"
(Al-Qasas; 28:71-72)


~Derita adalah suatu ujian agar kita berlepas dari ujian ini dan beroleh sijil ketaqwaan serta beroleh penghargaan keredhaan Allah atas tiap kesabaran dan kesyukuran~

Ajaib: Sebab Allahkan Ada


~Alangkah indahnya hidup apabila sentiasa merasa kebersamaan Allah dalam tiap detik hidup kita. Bahagianya apabila rasa: 'Allah kan ada'~

~Indahnya hidup bagi orang-orang yang benar-benar yakin dan percaya kepada-Nya~

Tiap detik dan ketika, Allahkan ada bersama kita. Insya Allah, hidup akan sentiasa bahagia sebab Allah sentiasa menerangi jalan yang kita lalui untuk bergerak menuju-Nya. Indahnya hidup bagi orang-orang yang benar-benar yakin dan percaya.

Kes 1)
Apabila dalam kesusahan, buntu mengharapkan penyelesaian.
Hati tetap bulat dan percaya kepada-Nya dengan mengatakan;

"Jangan gusar Allah kan ada. Pasti Dia tunjukkan jalan keluar-Nya."

Hari demi hari, hati jadi lapang. Allah dah menampakkan jalan keluar-Nya. Kan betul, Allah kan ada.

Kes 2)
Apabila duit kekurangan untuk menampung bekalan makanan untuk sehari dua lagi, hati tetap percaya kepada-Nya.

"Insya Allah, ini pasti cukup untukku. Allah itu ada."

Seorang rakan datang menghulurkan duit. Oh, rupa-rupanya duit yang dipinjam beberapa hari lalu. Alhamdulillah, Allah yang menggerakkan hatinya.
Allah kan ada.

Kes 3)
Tatkala hanya tinggal beberapa jumlah wang berbaki pada diri, dan ada yang datang memohon bantuan kecemasan. Apakah akan diberikan wang sedikit yang masih berbaki?

"Jangan risau. Allah kan ada. Membantu orang di jalan Allah, Allah pasti akan membantu kita", kata hati.

Apabila sampai di mesin ATM, hati seolah tertanya-tanya, bagaimana duit baki masih ada banyak lagi, sedangkan rasanya hari itu masih hanya tinggal RM100 saja hingga untuk menunggu ke akhir bulan.

Ajaibkan? Sebab Allah kan ada.

Kes 4)
Apabila hujan turun mencurah-curah, tatkala ingin keluar ke stesen minyak mengisi angin tayar kereta.

"Insya Allah, moga Allah teduhkan sedikit hujan ini. Allah kan ada."
Dan keajaiban itu datang dengan tanpa setitis hujan turun apabila ingin mengerjakannya.

Ajaibkan? Sebab Allah itu ada.

Kes 5)
Apabila hati disakiti, hati merayu-rayu dan meminta-minta kepada-Nya. Hanya Dia yang Maha Mengetahui segala isi hati.

"Allah kan ada. Biarlah diri ini mengadu sepuas-puasnya pada Dia."

Dan Allah tetap beri senyuman dan ketabahan pada diri.
Tak semua mampu tersenyum tapi Allah kan ada.
Allah itu penawar segala duka. Allah itulah punca hati bahagia.
Ajaibkan?
Apapun yang terjadi, bila ada Allah, hati ceria kembali.

Kes 6)
Apabila menjadi manusia yang memaafkan bukan suatu perkara yang mudah. Tetapi ajaibnya bila hati tahu;

"Allah kan ada. Allah suka orang yang pemaaf. Oleh itu, nak usaha jadi orang yang dicintai Allah."

Ajaibkan? Bila tahu Allah ada, rasa marah bertukar menjadi ramah. Rasa duka bertukar menjadi suka. Sebab nak raih redha Allah.

"Senyumanmu kepada saudaramu adalah sedekah,
anjuranmu untuk melakukan kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran adalah sedekah,
pentunjukmu terhadap orang yang tersesat jalannya adalah sedekah,
kamu mengosongkan isi bekasmu untuk kamu berikan ke bekas saudaramu adalah sedekah,
kamu menunjukkan jalan bagi orang yang buta adalah sedekah,
dan sedekah yang paling besar adalah seorang suami menyuapi isterinya walaupun hanya satu suapan."
(Hadith Qudsi)

Kebaikan dalam bentuk apa pun, ia adalah sedekah. Bukan hanya dengan ringgit saja. Cukup dengan merasakan: Allah kan ada.
Senyum saja pun boleh; ibarat menyalakan pelita di dalam gelita. =)

~Hidup ini indah bila rasa 'Allahkan ada'.~

Dec 29, 2011

Tuhan, Berikanku Pedoman


~Tuhan, berikan pedoman. Tunjukkan aku arah jalan yang Kau redhai
-Nora feat Voices of Ummi-~

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: "Berdoalah kepada Allah dalam keadaaan yakin akan dimakbulkan, dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa dari  hati yang lalai (tidak mengingat Allah."
(Hadith Riwayat Tirmidzi)


~-Pedoman- Nora feat VOU~

Wahai Tuhan,
Jangan pisahkan diriku dengan-Mu,
Jangan biarkan diri ini hidup dengan murka-Mu.

Wahai Allah,
Tuhan Pencipta alam ini,
Bentangkan perjalanan kami dengan petunjuk dan hidayah-Mu,
Usah biarkan kami tersalah arah,
Usah biarkan kami menjauh dari-Mu,
Kerana hanya cinta-Mu yang kami damba tiap waktu.

Biarpun dunia ini berpisah daripada isinya,
Usah biarkan kami berpisah dari-Mu,
Walaupun sekelip mata.

Kami pohon
Agar Kau sentiasa menemani
Hingga hari pertemuan diri dengan-Mu nanti.
~Allah, Tuhanku, kami pohon petunjuk dari-Mu~

~Biar pun dunia ini bercerai dari isinya, satu perkara yang kita mohon agar hati kita tidak akan bercerai dari redha-Nya walau sekedip mata.~

Dec 20, 2011

Ada Apa Dalam Kabus


~Perhatikan betul-betul ada apa dalam kabus kehidupan~

"Tidakkah kamu memerhatikan bahwa Allah telah menundukkan apa yang di langit dan apa yang ada di bumi untuk (kepentingan)mu dan menyempurnakan nikmat-Nya untukmu lahir batin. Tetapi ada manusia yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan"
(Q.S Al-Luqman; 31:20)


Qawiyul Jismi

Gambar ini saya ambil sewaktu kami mendaki Gunung Pulai buat kali kedua. Tetapi kali ini saya membawa rakan-rakan serumah dan sepejabat untuk berekreasi di sini.

Menyahut salah satu 10 muwasafat tarbiyah; Qawiyul Jismi iaitu fizikal yang kuat; Insya Allah moga ini jadi satu rutin setiap sebulan atau 2 bulan saya. Allah menyukai Muslim yang kuat berbanding Muslim yang lemah. Sedih juga bila menyaksikan hampir 98% pendaki gunung ini terdiri daripada kaum Cina. Suatu fenomena yang perlu direnung-renungkan oleh kita sebagai Muslim.

Ada Apa Dalam Kabus

Tertarik saya untuk bertanya soalan ini. Lihat dalam gambar betul-betul, ada apa di dalam kabus?

Kita tak nampak jika kita tidak perhati betul-betulkan?

Ya, jika nampak, Alhamdulillah.

Ia kelihatan seperti menara. Ya, menara Telekom.

Satu pengajaran yang terlintas di fikiran saya ketika itu ialah kita tidak nampak sesuatu kalau kita tidak benar-benar memerhatikannya.

Banyak sebenarnya pengaplikasiannya dalam kehidupan.

Kita tidak lihat orang-orang yang kita sayang dan menyayangi kita amat penting dalam hidup kita jika kita tidak benar-benar memerhatikannya.

Kita ada ibu dan bapa, tetapi berapa ramai yang benar-benar menghargai mereka?

Kita punya adik beradik, datuk dan nenek tetapi berapa ramai yang benar-benar menghargai kehadiran mereka?

Kita punya sahabat-sahabat yang kasih sayang kerana Allah amat hebat. Tetapi adakah kita menyedarinya?

Setiap hari Allah beri kita nikmat dalam kehidupan, apakah kita benar-benar memerhatikannya dan mengambil pelajaran?

Antara lain ialah ujian dalam hidup. Kita nampak kabus itu seperti menyekat pandangan. Anggapkan kabus itu ujian. Dan kita tidak akan nampak hikmah ujian itu jika kita tidak benar-benar memerhatikannya.

Allah ini Maha Adil.

Saya juga adakala tersilap percaturan dalam hidup.
Dan kadang lupa percaturan Allah itu Maha sempurna.
Dan saya juga kadang-kadang tidak nampak orang-orang yang masih menyanyangi saya.
Lupa untuk menghargai, menyedari dan mensyukuri.

Allah mengetuk saya hari ini untuk melihat di hadapan mata dengan sebenar-benarnya.
Bak kata pepatah,
"Gajah di depan mata tidak nampak, tetapi nyamuk di seberang laut nampak."

Moga Allah jadikan kita manusia yang memandang setiap sesuatu dengan hikmah.

"Maka nikmat  manakah lagi yang harus kau dustakan?"
(Ar-Rahman; 55:13)


Hidup ini Allah yang atur.
Cantiknya susunan Allah.

~Lihat dan perhatikanlah di balik kabus itu dengan hikmah. Sungguh, Allah itu Maha Penyayang.~

Dec 16, 2011

Tuliskan Impian Itu


~Bermimpilah dan berlarilah ke arah impian di minda di atas jalan keredhaan-Nya~

~Memasang impian dalam redha~
Semalam, saya berhasrat berkongsi cara-cara mencatat impian kepada para pelajar. Terinspirasi oleh sebuah video yang dihasilkan oleh seorang saudara dari Indonesia, maka saya cuba menyampaikannya kepada anak-anak murid kesayangan ini.

Walaupun tanpa kehadiran eletrik (black out ketika itu), kesempatan itu diambil bagi sesi motivasi ini. Ya, di samping itu ia memotivasikan juga diri saya.

Tuliskan Impian Itu


Setiap orang punya cita-cita dan impian. Ketika kita memasang impian itu di dalam minda, ia bukan hanya setakat angan-angan kosong tetapi ia adalah keinginan yang ingin dicapai oleh makhluk yang bernama insan. Saya pasti semenjak kecil, semua orang punya impian.

Pada usia 18 tahun, saya mula belajar menulis impian itu di atas kertas berbanding hanya dengan memikirkannya di minda. Alhamdulillah, daripada 3 impian yang ingin saya capai pada tahun itu, saya berjaya merealisasikan 2 antaranya.

Ya, benar. Impian itu perlu dituliskan. Untuk dibaca setiap hari bagi memotivasi diri. Bukan setakat impian besar, bahkan boleh juga tuliskan impian yang mungkin nampak kecil tetapi bermakna. Impian yang mungkin nampak kecil tetapi sangat besar kesannya pada hati dan jiwa; contohnya, menghabiskan satu juzuk Al-Quran setiap minggu bermula pada tahun ini.

Impian Yang Diredhai


Setiap manusia punya impian. Dan impian itu perlu tidak lari dari tujuan hidup penciptaan kita sebagai manusia kepada-Nya. Iaitu ber'ubudiyyah' atau mengabdikan diri kepada Allah. Menyukai apa yang disukai-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Impian yang bermakna adalah impian yang diredhai oleh Allah. Yang diimpikan bagi mendapatkan hujan rahmat dari-Nya. Impian yang digantung tinggi bagi mendapatkan kesukaan dan kecintaan-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Itulah impian yang diredha.

Barangsiapa yang diredhai oleh Allah, maka, dia akan sentiasa mendapat pertolongan-Nya.

Itu adalah sesuatu perkara yang tidak akan diragui lagi.

Impian dan Usaha

Mungkin daripada 100 impian yang ada, hanya 20 yang mampu dicapai. Tetapi itu bukanlah penentu untuk menamatkan usaha. Impian dan usaha ibarat langit dan bumi yang tidak dapat dipisahkan.

Impian dan usaha adalah milik hamba tetapi natijah adalah milik Pencipta.

~Orang yang percaya kepada Tuhannya tidak akan pernah kecewa dengan takdir-Nya kerana redha dan tenang itu telah ada dalam tawakal setelah usaha.~


 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino