::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jun 28, 2012

Baitul Muslim: Jujur Dengan Matlamat


~Apabila kita jujur dengan Allah terhadap matlamat kita, Dia pasti menunaikannya. Pasti.~
-Salim A. Fillah-

~Insya Allah~

Komentar

"Kenapa ramai orang muda hari ini kahwin awal tetapi ramai yang bercerai lepas tu? Baik kahwin lambat."

Seorang sahabat berkomentar selepas pergi ke pejabat kadi daerah.

Saya terdiam sejenak.

"Mungkin tak diniatkan nak berkahwin tu nak redha Allah." Hanya meneka.


Jujur Dengan Matlamat Perkahwinan

Mengejutkan lagi apabila saya pergi ke suatu seminar mendengar bahawa ada pasangan-pasangan yang berkahwin yang duduk di atas jalan dakwah dan tarbiah ini menghadapi masalah. Baitul Muslim yang dibayangkan indah itu bergolak di awal usia bahtera perkahwinan.

Wal iyaudzubillah.

Apakah kerana bahtera perkahwinan itu tidak mempunyai matlamat atau tujuan yang sama?
Atau adakah kerana meletakkan 'expectation' yang terlalu tinggi kepada bakal pasangan?

Wallahu'alam.

Saya tidak mampu berkomentar lebih. Hanya mampu meletakkan teori semata-mata tanpa praktikaliti tidak ke mana.

Alhamdulillah, banyak tunjuk ajar dan pengalaman yang dikongsikan oleh makcik-makcik tersayang. Yang saya anggap seperti ibu-ibu sendiri. Pengalaman itulah sebenarnya yang sangat-sangat berharga.

Contohnya, tahun pertama perkahwinan itu sebenarnya adalah tahun perkenalan atau tahun bertaaruf dengan pasangan kita.

Namun, yang paling penting, ketahuilah ke mana arah tujunya perkahwinan itu.

Kerana bahtera perkahwinan tidak akan ke mana-mana jika penumpang dan nakhodanya mempunyai destinasi yang berlainan.

Kapal tentu sukar mula berlayar jika ada orang yang ingin menuju ke utara dan yang lain ingin menuju ke selatan dunia.


Moga Allah merahmati kita semua untuk sampai kepada-Nya.

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahwa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu perasaan kasih sayang dan belas dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."

(Ar-Ruum; 30:21)

~Perkahwinan bukan matlamat. Ia adalah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kita kepada Allah~
 

Jun 26, 2012

Ikhlas: Muhasabah Kerana Allah


~Ikhlas; mencari keburukan dalam kebaikan diri sendiri~

Ikhlas , suatu perkataan yang mudah.
Tetapi ianya ibarat semut hitam di atas batu hitam dalam malam yang kelam.

Renungan buat diri ini juga.

Menjadi manusia yang menyampaikan kebaikan tetapi kadang-kadang malu dengan kebajikan dan amalan oleh diri sendiri.

Moga Allah menetapkan hati ini untuk terus istiqamah melakukan kebaikan ini kerana Allah.

Moga Allah menetapkan hati kita semua di atas jalan kebaikan semata-mata berhajatkan cinta dan redha Allah.

Kupasan tentang ikhlas daripada Ustaz Ebit Lew yang walaupun 10 minit, moga bermanfaat menjadi muhasabah diri bersama.
 

~Ikhlas, perhitungan antara hamba dan Tuhan-Nya~



Jun 11, 2012

Belajar Akhlak Islami Dari Bukan Islam


~Setiap hari ada pelajaran dalam kehidupan. Tinggal kita saja ingin membiarkannya pergi atau mengambil pelajaran~

~Kebaikan itu diberi untuk menyucikan  hati dan menenangkan jiwa~

 Pelajaran Kehidupan

Hari ini seorang pelajar bukan Muslim datang bekerja di tempat kerja saya. Dan hari pertama beliau datang bekerja sebagai satu latihan praktikalnya, saya (mungkin juga kami) dapat sesuatu.

Tatkala saya sedang berbincang tentang hal kerja bersama rakan setugas, seorang lagi rakan saya hampir ditimpa fail di sudut bilik pensyarah. Dan ketika kami sedang kecoh terkejut melihatnya, pelajar yang juga kini rakan baru sekerja kami itu dengan segera datang membantu.

Saya malu sendiri. Ada yang saya perlu belajar daripada akhlak seorang bukan beragama Islam. Kesediaannya untuk membantu dan tidak pentingkan diri sendiri mengajar saya sesuatu.

Saya yang sudah lama mengenali rakan saya yang hampir ditimpa fail itu hanya memandang dari jauh dan bertanya. "Awak okay?"

Sedangkan orang yang baru pertama kali bertemu lebih mudah membantu berbanding rakan yang sudah bertahun lama berkenalan.


Belajar Akhlak Islam Dari Orang Bukan Islam

Ia bukan satu perkara baru. Ramai orang bukan Islam di luar sana yang berakhlak Islami. Dan ramai orang Muslim yang sebaliknya pula.

Tidak perlu merujuk mereka di luar sana. Tetapi hari ini saya merasakan bahawa Allah sedang menegur diri ini. 

Hari ini saya malu sendiri. Betapa saya merasakan diri ini sendiri belum cukup menumbuhkan sepenuhnya nilai-nilai Islam itu di ladang hati.

Lihat kebaikan yang dilakukan. Dan bandingkan pula kebaikan yang kita pandang pada orang lain dengan diri kita yang lemah ini. Betapa ramai orang yang lebih baik daripada diri kita ini pada hari ini. Kita masih hamba yang lemah dan perlu banyak perbaikan terhadap diri.


~Moga Allah melimpahkan nikmat Iman dan Islam pada mereka yang penuh kebaikan dan suka kepada kebaikan~

May 22, 2012

Syukur: Yang Selalu Kita Lupakan


~Di waktu kita mengharapkan pelangi yang belum kunjung tiba, kita lupa untuk mensyukuri tiap titis hujan yang jatuh ke bumi memberi sumber penerusan kehidupan di atas muka bumi Tuhan. ~


~Tiap titis hujan adalah rahmat dan tiap sinar mentari yang menembus bumi adalah nikmat. Maka nikmat manakah lagi yang mampu kita dustakan?~
Nikmat 'Hari Yang Biasa-Biasa'

"Bagaimana hari ini?"

"Biasa-biasa saja."

Kita mengharapkan akan datang hari yang luar biasa kepada kita seperti datangnya rezeki bak durian runtuh yang menyinggah ke dalam hidup, atau kita dinaikkan pangkat atau mendapat anugerah, kereta atau rumah baru dan seumpamanya.

Kita menilai erti kebahagiaan untuk disyukuri dengan kehadiran material ataupun sesuatu yang baru hadir dalam hidup kita.

Tetapi kita terlupa bahawa hari-hari yang datang tanpa sesuatu yang baru itu yang kita kenal dengan 'hari-hari yang biasa' adalah suatu yang amat berharga dalam kehidupan kita.

Syukur; Yang Selalu Kita Lupakan

Ramai manusia mampu bersabar apabila ditimpa musibah tetapi tidak ramai yang mampu bersyukur atas nikmat kurniaan-Nya.

Kita terlupa di waktu pagi di kala kita masih upaya bangun dengan sendiri tanpa bantuan fizikal orang lain adalah suatu yang patut disyukuri.

Kita lupa tatkala mata kita mampu melihat alam ciptaan-Nya, telinga kita masih berfungsi untuk mendengar burung yang berkicau girang, mulut yang masih boleh berkata-kata dan anggota badan yang boleh bergerak seperti sedia kala adalah satu nikmat.

Kita lupa untuk bersyukur atas kurniaan daripada Allah iaitu ibu bapa kita, sahabat-sahabat kita dan teman-teman yang berukhwah dengan kita kerana-Nya.

Dan banyak lagi nikmat yang Allah beri bermula daripada diri kita dan alam sekeliling kita untuk kita refleksikan.

Dan banyak lagi nikmat yang tidak terhitung.
Kita kadang kala terlupa untuk bersyukur atas segala nikmat ini.

'Hari-hari biasa' yang kita kenal itu penuh dengan kenikmatan yang belum lagi ditarik oleh Pencipta. Itulah nikmat yang tidak pernah terhitung.

Terutama nikmat Iman dan Islam.
Alhamdulillah, hari ini kita masih punya nikmat terbesar ini.
Tanpanya, hilanglah ketenangan dan kemanisan dalam kehidupan.

Kita selalu bersyukur dengan apa yang baru datang dalam hidup kita tetapi tidak ramai antara kita yang bersyukur dengan apa yang dipunyainya.

Ramai bersedih dengan apa yang tiada pada diri mereka dan tidak ramai yang berbahagia dengan apa adanya.

'Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat."
(Ibrahim; 14:7)

Moga kita menjadi hamba-hamba yang sentiasa mensyukuri nikmat Allah walaupun hanya sesuap nasi di kala lapar atau seteguk air di tengah panas matahari ataupun dalam setiap hela nafas.

Moga Dia melimpahkan kebahagiaan dan ketenangan kepada kita atas segala nikmat dan rahmat.

~Bersyukurlah atas hari-hari biasa yang kita lalui, kerana pasti Allah akan menghadiahkan hari-hari dengan kebahagiaan yang pasti indah atas syukur yang kita beri~

Apr 20, 2012

Jadikan Diri Pahlawan Sejati


 ~Hati adalah tempat jatuhnya pandangan Allah. Maka, kita adalah penjaga kepada hati ini agar tetap suci dan kitalah pahlawan yang akan sentiasa mempertahankannya hingga bertemu Allah di negeri abadi~

~Hati ini perlu dipelihara~


Muhasabahkanlah Hatimu

Tatkala hatimu gundah dan resah bagai ada puing-puing bertiup kencang di dalam hati, maka muhasabahkanlah hatimu.

Apakah kerana resah itu datang kerana hati itu terpedaya dengan bisikan syaitan yang menipu?
Atau apakah gundah itu datang hanya kerana dunia itu telah menawan jiwamu?

Tatkala ada goresan luka di hatimu dek dunia mahupun kata-kata oleh temanmu sendiri lalu ada bisikan yang mengulang-ulang peristiwa yang menyakitkan dirimu, maka muhasabahkanlah dirimu.

Muhasabahkanlah dirimu.

Adakah bisikan syaitan itu berjaya menyalakan api di dalam hati, lalu kau merasakan seluruh jiwa dan hatimu panas dek lintasan-lintasan ini?

Muhasabahkanlah dirimu tatkala kau merasakan ada ajakan untuk membalas kembali kepedihan yang kau alami sebelumnya di hati.

Katakan tidak kepada ajakan itu.

Jika tidak, kau akan tewas di tangan syaitan dan hawa nafsumu sendiri,

Berlindunglah kepada Allah dari kejahatan diri yang sedang menunggu waktu.

Jadilah Pahlawan Sejati 

Ini masanya bermujahadah.
Ini masanya berjuang melawan bisikan panas itu.

Ini masanya diri kita untuk benar-benar menjadi pahlawan yang sejati. Bukan di hadapan manusia tetapi menjadikan Allah sebagai saksi kepada perjuangan ini.
Kerana pahlawan sejati bukanlah mereka yang menang menghunus pedang, tetapi mereka yang mampu menundukkan nafsu amarahnya.

Hati; ia sering diserang oleh nafsu amarah bis-suu' iaitu nafsu yang mengajak kepada perbuatan buruk dan kejahatan. Ia datang dalam bentuk-bentuk lintasan-lintasan hati yang mungkin terngiang-ngiang di telinga kita.

Maka, sebagai peminjam hati yang telah diamanahkan oleh Allah kepada kita yang mulanya datang hati ini dalam keadaan yang suci, kita bertanggungjawab untuk memulangkan kembali hati ini kepada Pencipta dalam keadaan sepertimana ia mula-mula diberikan kepada kita.

"Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan serta ketakwaannya, sungguh beruntung orang yang menyucikan jiwa itu, dan sungguh rugi orang yang mengotorinya."
(Asy-Syams; 91: 7-10)

Hati adalah tempat pandangan Allah. Marilah kita bermohon agar Allah sentiasa menjaga hati ini agar terus suci daripada titik-titik noda. Moga Allah sentiasa melindungi diri kita dan memberi kita kekuatan untuk terus berjuang (bermuhajadah).

Tiada siapa yang tahu apa yang tersimpan di dalam hati melainkan kita dan Allah. Moga kita mempertahankannya dari lintasan-lintasan nafsu amarah serta panahan-panahan syaitan ke dalam hati ini.

Moga kita sentiasa berjuang dan berjaya menjadi seorang pahlawan sejati.
Insya Allah. 


"Adapun yang takut kepada kebesaran Tuhannya, dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sungguh, Syurgalah tempat tinggalnya."
(An-Nazi'at; 79: 40-41)


~Moga kita sentiasa berusaha menjadi pahlawan sejati. Bermujahadahlah, andai rebah, bangunlah kembali untuk kita dekat kepada Allah~



Apr 16, 2012

Kami Mahu Bulatan Gembira



~Di sudut setiap hati insan, semuanya mahukan ketenangan, kegembiraan dan kebahagiaan. Dan ketenangan, kegembiraan dan kebahagiaan yang hakiki adalah apabila kasih sayang Allah itu menaungi diri~

"Ketika kita mengetahui bagaimana cara mendidik pemuda, mengajak, dan mengarahkan mereka, maka ketika itu kita mengetahui bagaimana cara kita menjadi da'i."
-Dr. 'Aidh Al-Qarni-

Kami Mahu Bulatan Gembira

Prolog

Seorang guru menunjukkan video ini kepada para pelajarnya.


Selesai video itu ditayangkan, semua murid-murid bertanya;
"Bulatan gembira tu apa, Cikgu?"

"Bulatan gembira sama macam apa yang dikatakan dalam video ini. Kita bersama-sama berkumpul buat bulatan dan ingat mengingati kerana Allah. Sama macam sesi tazkirah yang cikgu selalu buat ni cuma bulatan gembira tu dalam bulatan dan jumlah ahlinya lebih kecil."

"Kenapa sini kita takde bulatan gembira? Cikgu, kami nak bulatan gembira."

Dan hati guru itu juga amat berbunga gembira mendengarnya.

Ramai tahu Allah itu Pencipta mereka tetapi sedarkah kita ramai yang tidak mengenal sifat-sifat Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya.
Sedihnya, ramai manusia mudah putus asa pada mereka yang tidak pernah mengenal atau kenal secara sipi-sipi sahaja Allah dalam hidupnya.

"Tak payahlah buang masa ajak orang macam tu. Takkan diendahkannya."

"Hati keras macam batu, macammana kau nak cairkan?"

Tidak sedikit sekali yang berkata begitu.

Mengapa dengan tanpa usaha kita sudah meletakkan natijahnya?
Bukankah tugas manusia adalah untuk berusaha dan sentiasa bersangka baik terhadap apa yang telah kita usahakan.

Bersangka baiklah.

Fikirkan - bagaimana mereka ingin MAHU kembali kepada Allah sekiranya mereka TIDAK TAHU?
Dan bagaimana mereka DAPAT TAHU jika tiada yang memBERI TAHU?

Hati-hati itu perlu dididik untuk tahu dan mahu seterusnya mampu melakukan perubahan untuk mengubah arah mereka lebih jelas mendekat kepada Allah.

Dan siapakah di antara kita yang akan dan bersedia mengajak mereka untuk menjadi TAHU, MAMPU dan MAMPU?

Ayuh, Allah sedang memerhatikan kita!

Lembutkan Hati Itu Dengan Kasih Sayang

Saya pernah mendengar tentang kisah seorang guru tuisyen yang berada di Negeri Sembilan. Para pelajar yang meminta untuk bertuisyen dengannya sangat ramai. Dan hampir setiap orang yang menjadi pelajarnya mendapat keputusan cemerlang.

Lantas, terdapat seseorang mengajukan kepadanya apakah rahsia kecermelangannya itu.

Jawab guru itu adalah; dia mengajar mereka dengan kasih sayang. Itu sahaja.

Lihat saja bagaimana Rasulullah mendidik para sahabat. Didikannya penuh dengan kasih sayang.

Kasih sayang itu umpama air yang mampu melembutkan batu.

Jika ada yang bertanya bagaimana mampu untuk melembutkan sekeping hati yang tidak mengenal Allah sebagai tuhannya?

Jawapannya; ambillah kasih sayang yang telah dilimpahkan oleh Allah pada diri kita ini untuk kita lembutkan hati itu dengan kasih sayang Penciptanya agar dia kenal cinta-Nya tidak pernah bertepi.

Dan yakinkanlah hati itu bahawa Allah, tuhan mereka dan kita amat menyayangi mereka melebihi ibu mereka menyayangi diri mereka sendiri. Dan Allah itu sentiasa ada ketika mereka memerlukan-Nya dan sentiasa menunggu kepulangan hati-hati yang menjauh daripada-Nya untuk pulang mendamba cinta Pencipta.

Setiap hati menginginkan cinta Ilahi bertakhta di hati mereka. Buktinya, jika cinta kepada dunia dan seisinya itu memenuhi hati itu sekalipun, ia tidak dapat memenuhi seluruh hatinya melainkan cinta Allah di dalam dirinya.

Itulah keimanan.
Yang dicari-cari oleh setiap insan yang diciptakan di atas muka bumi ini.

Percayalah, jauh di sudut setiap hati-hati yang berada di dunia ini, mereka mahukan untuk berada di dalam tautan bulatan keimanan yang menggembirakan.

"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku."
(Al-Fajr; 89; 27-30)

Epilog

"Cikgu, saya sayang cikgu." salah seorang anak murid berteriak dari sudut kelas ketika guru iu sedang memadamkan papan hitam bagi mengakhiri sesi kelas.

Tanpa berpaling kepada murid-muridnya, guru itu hanya tersenyum sambil membalasnya di dalam hati;
"Saya juga sangat sayang pada kamu semua."

~Sayangilah mereka, kerana kita mahu bersama-sama mereka merasai nikmat Iman dan Islam ini hingga kita sama-sama menyaksikan kecintaan kita kepada-Nya hingga ke Syurga~

Apr 6, 2012

Ceritera: Memimpin Atau Dipimpin?


~Faiza 'azamta fatawakkal ala Allah~

~Dan  Dialah yang menciptakan pasangan dari jenis kamu sendiri~
"Allah tidak selalu beri apa yang kita inginkan tetapi Dia akan berikan apa yang kita perlukan."

Kata-kata Sa'ida benar-benar terngiang-ngiang di telinganya semenjak pertemuan tadi. Hinggakan sepanjang pemanduan tadi, seolah-olah separuh mindanya saja yang berada di situ.

"Ya Allah, sesungguhnya hanya kepada-Mu, aku menyerahkan diriku dan takdirku."

Ceritera:

"Ya Allah, solehnya Faiz Mukhsin ni." Ayani Nasihah menyapu ubun-ubun Faiz Mukhsin yang baru berusia 2 tahun yang menghulurkan tangan menyalaminya. Afiq Mukhlis, suami kepada Sa'ida mengangkat Faiz Mukhsin ke pangkuannya.

"Tu lah, tak sabar betul nak tunggu giliran Ayani."

"Insya Allah, doakanlah." kata Ayani Nasihah. Sedikit tersipu malu.

"Bila? Ke nak kami tolong carikan?" Sa'ida mengusik.

"Sa'ida dengar sahabat kita, Umar Mukmin menolak lagi lamaran. Senang-senang Ayani dengan dia sajalah. Rasanya dia menolak tu, sebab dah suka orang depan matanya." Sa'ida mula memancing jawapan daripada Ayani.

"Hish, jangan!" kata Ayani. Entah kali ke berapa dia mendengar cadangan ini.

"Apa salahnya. Kalau ok, kami boleh tolong uruskan." sambut Afiq Mukhlis. Kedua-dua pasangan itu memang sepadan dan banyak persamaan. 

Umar Mukmin, seorang pemuda yang memang dikenali dengan sifat-sifatnya yang terpuji. Benar, tiada siapa dapat menafikannya peribadinya itu.

Di reunion dahulu pun, ada juga yang mengusik.

'Senang-senang Umar Mukmin dengan Ayani Nasihah sajalah. Tak payah cari jauh-jauh.'
Kata seorang sahabat menyeloroh. Yang lain turut menyambut tawa.

"Eh, jangan. Takut jadi isteri nusyuz."
Ayani berseloroh kembali. Namun, dia mengharapkan isinya dapat difahami. Baginya, mereka berdua sangat kontra.

"Belum cuba belum tahu." Umar Mukmin menyambut.


Terasa seriau seluruh hatinya. Ayani Nasihah mengharapkan itu juga adalah gurauan bersahaja daripada Umar Mukmin tanpa ada mesejnya.

Ayani Nasihah sering berinisiatif dan Umar Mukmin sering menjadi pelaksana dalam apa-apa program. Dan seringkali Ayani Nasihah seakan merasa seperti dia yang memberi arahan kepadanya dan Umar Mukmin sentiasa menuruti arahannya pula.

Dia sentiasa mengimpikan seorang suami yang memimpin ; soleh dan menyolehkan dan dia akan menjadi isteri yang ingin menuruti dan dipimpini. Tetapi akan tercapaikah impian itu?

"Ayani, Allah tidak selalu beri apa yang kita inginkan tetapi Dia akan berikan apa yang kita perlukan." Kata Sa'ida di akhir pertemuan mereka. Mereka bersalaman di parkir kereta.

Ayani Nasihah memerhatikan sahabat kesayangannya berlalu. Melihat anak soleh; Faiz Mukhsin; begitu mirip meniru tingkah laku ibu dan bapanya. Cara makannya, cara dia berjalan dan berkomunikasi benar-benar mengikut tingkah laku ibu dan bapanya.

Sangat menyejukkan mata melihat keluarga mereka.


Benar kata-kata Hasan Al-Banna: "Anak-anak membesar bersama kamu dan dia melihat apa yang kamu lakukan."

~Jadilah soleh atau solehah sebelum mencari yang solehah atau soleh, kerana pasti kamu akan jatuh hati kepada diri kamu sendiri~


 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino