::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jan 24, 2013

Rasulullah: Ekspresi Cinta Kita


~Cintaku padamu  moga bukan hanya ekspresi kata. Ya Allah jadikanlah kami ini hamba yang mencintai-Mu dan mencintai Rasul-Mu~

12 Rabiulawal: Maulidur Rasul

 12 Rabiulawal datang lagi. Suatu masa dahulu, kelahiran inilah yang di nanti-nanti. Cahaya rahmat yang menerangi seluruh alam.

"Katakanlah (Muhammad), 'Jika kamu mencintai kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.' Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."
(Ali-'Imran: 3:31)


Apakah Ekspresi Cinta Kita?

Cinta bukan hanya sekadar lafaz di bibir, tetapi dibenarkan oleh hati dan dibuktikan dengan amalan.

Bila cinta, kita akan sentiasa ingin mengikuti kesukaan orang yang kita cintai dan menjauhi perkara yang ia benci.

Bagaimanakah ekspresi cinta kita?

Moga Allah menggolongkan kita ke dalam hamba yang diredhai-Nya dan dirindui oleh Baginda Rasulullah s.a.w sebagaimana kita jua merindui Baginda.

~Selawat dan salam atas junjungan baginda Rasulullah, para sahabat dan keluarganya; Cahaya seluruh alam.~

Jan 21, 2013

Fenomena 'Listen, Listen, Listen' : Suatu Introspeksi


 ~Mari mengintrospeksi diri sendiri melalui fenomena ini.~

~Berhikmah: Kasih sayang adalah rahmat dari-Nya~

Fenomena Listen, Listen, Listen 2013

Seminggu ini, hangat di media maya memperkatakan tentang fenomena listen, listen, listen and let me speak hatta di laman web, imej mahupun video-video yang diadaptasi ceritanya.

Saya tidak mahu berkomentar tentang siapa benar mahupun siapa yang salah ataupun siapa yang patut begini atau siapa yang patut sebegitu. Terlalu banyak sudah mereka yang berkomentar di media maya.

Melihatkan video yang sangat luas ditayangkan secara percuma di media maya, usah lihat siapa di dalamnya. Tetapi mari kita melihat fenomena ini dengan memuhasabah diri. Kerana sebenarnya situasi ini bukanlah yang julung kali berlaku di dunia mahupun di Malaysia ataupun pertama kali di kalangan mahasiswa. Tetapi ia sebenarnya berlaku di sekeliling kita, mungkin melibatkan kita sendiri.

Apa Sebenarnya Berlaku?

Apa isunya? Apa akar umbi sebenar yang diperkatakan?

Ia adalah berkenaan adab ataupun akhlak.

ADAB. AKHLAK.

Ya, akhlak yang semakin hilang dalam diri kita. Kita mungkin berakhlak dalam sesuatu urusan sahaja tetapi dalam urusan lain, akhlak kita itu hilang.

Bagi seorang Muslim, akhlak adalah buah kepada pohon keimanan.

"Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan Syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa, (yaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. 

Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan, dan juga orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri (segera) mengingat Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui."

(Ali-Imran; 3:133-135)

Antara Dua Darjat

Saya mempunyai anak murid di mana mereka adalah remaja dan anak-anak muda. Majoritinya sekitar usia 18 hingga awal 20-an.
Yang jiwanya penuh dengan gelora dan semangat yang membara.
Yang emosinya masih lagi perlu dibimbing seadanya.

Saya juga mepunyai anak murid yang hampir sebaya, seusia mahupun menjangkau usia 40 tahun. Dan saya amat merasa rendah diri tatkala tangan ini dikucup oleh mereka.
Malu.

Dua golongan ini wujud di sekeliling saya. Dan saya tidak pernah membezakan mereka sewaktu pembelajaran di dalam kelas.

"Give respect if you want to be respected."

Saya selalu mendengar dan mengingati slogan itu.

Itu juga yang diajar oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam akhlak baginda.
Indah bukan?

Saya juga pernah melalui pelbagai situasi melibatkan anak-anak murid yang masih muda. Ada juga kadang-kadang ia agak mengguris hati.
Hentikan sebentar aliran emosi itu.
Zahirkan ia hanya pada tempatnya. 

Tapi sebagai seorang Muslim, lihatlah ini sebagai satu potensi untuk membimbing mereka yang kita sayangi ke arah yang benar.
 
Ia Ada Dalam Peribadi Rasulullah

Rasulullah banyak mengajarkan kita melalui kehidupannya. Moga sirahnya bukan setakat bacaan tetapi untuk kita uli-ulikan hati supaya mencontohi akhlak agung baginda ini.

Memang kita tidak akan pernah sempurna. Tetapi kita boleh mencontohi yang sempurna. 
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah."

(Al-Ahzab; 33:21)
Di tahap mana pun ilmu kita berbeza dengan orang lain, kita masih perlu hormat menghormati hamba-hamba-Nya.

Di usia manapun beza kita dengan mereka, kita masih lagi perlu mengasihi hamba-hamba-Nya.

Di golongan manapun kita, kita semua masih hamba-hamba-Nya.

Hormat dan menghormatilah.
Kasih mengasihilah.
Sayang menyayangilah. 
Kerana kita semua hanya hamba-hamba-Nya.

Bertanyalah dengan hikmah.
Menjawablah dengan hikmah.
Berinteraksilah dengan hikmah.

Usah biarkan kata-kata kita dipengaruhi oleh emosi dan amarah.
Kerana kata-kata berisi amarah akan berpotensi mencetuskan balasan amarah.

Asuhlah kata-kata untuk berisi kelembutan dan kasih sayang.
Kerana kata-kata berisi kelembutan dan kasih sayang akan menyampaikan mesej 'saya berkata begini kerana menyayangi kamu kerana Allah.'

Suatu Introspeksi Diri

Biasakan diri menghadapi situasi emosional ini dengan berkata lembut atau diam.

"Dan jika engkau berpaling daripada mereka untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lemah lembut."
(Al-Isra': 17:28)
 Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata akan yang baik atau diam."
 (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
 Saya juga masih perlu banyak belajar mengawal diri dan menjaga hati.

"Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi."
(Al-A'raf; 7: 23)
Semoga Allah memelihara hati dan memberi petunjuk kepada kita semua.
Ameen.


~Kekerasan hanya akan menjauhkan dan kelembutan itu bisa mendamaikan~

Dec 16, 2012

Bila Dunia Melelahkan Jiwa


~Siapakah yang mampu menolong tatkala kamu menemui kebuntuan, kesakitan, kesusahan? Sungguh, hanyalah pada Allah penawar segala kesukaran, gelisah dan kebuntuan.~

Tiada Kekuatan Melainkan Daripada-Nya

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberikan nikmat Iman dan Islam, dua nikmat yang paling bermakna dalam kehidupan seorang hamba.

Allah, Dialah pemberi nikmat untuk terus bernafas, memberi nikmat kesihatan walau jadual hidup selalu terisi ke sana ke mari, Dialah yang memberi tenaga ketika diri diperlukan untuk terus bekerja sebagai khalifah-Nya.

Maha Suci Allah, yang menjadi sumber kekuatan kepada insan yang serba lemah ini.
La haw lawala quwwata illa billah.

Benar, ada masa-masa ingin menangis sepuasnya, terasa penat dan lelah merajut dada. Namun, segala-gala dengan izin-Nya jua, Mungkin, inilah masanya yang tepat untuk menangis dengan penuh harap kepada Tuhan Penguasa Alam Semesta. Agar hamba yang lemah ini tidak pernah melupakan Pencipta-Nya.

Wahai Allah, ampunilah diri ini.

Dia Pemegang Segala Urusan

Tinggal seminggu lagi kelas semester 1 di UTM akan berakhir. Alhamdulillah. Kelas awal semester untuk mengajar pula sudah bermula 2 minggu dan minggu ini bertungkus lumus menjadi ahli jawatankuasa bagi kursus para peserta termasuk dari pihak CEO hinggalah ke kakitangan sebuah syarikat pembekal instrumen hospital dan medikal.

Allah... berturut-turut semuanya. Minggu depan bersedia pula untuk menerima kedatangan MQA dan penghantaran tugasan sarjana yang bagi 2 subjek.

Alhamdulillah, meminta daripada-Nya agar dipermudahkan segala urusan. Dan Dialah yang memberi ilham apabila hamba-Nya memerlukan. Alhamdulillah, sudah hampir 50% tugasan yang pertama siap dalam masa beberapa jam ini.

Maha Suci Allah. Maha Suci Allah. Maha Suci Allah.

Adakan masa untuk Allah dan Allah akan memberi masa kepada kita.
Jagalah Allah dan Allah dan Allah akan menjaga kita.

Wahai dunia,
Jangan engkau mengejarku dengan permintaanmu
Kerana permintaanmu
Takkan pernah cukup dari satu
Akan sentiasa meminta waktu
Dari diriku

Wahai Allah
Jangan biarkan dunia itu mengikat hatiku
Hingga terisi hati dengannya
Bukan dengan diri-Mu yang sesungguhnya

Wahai Allah
Hamba hanya akan kuat
Dengan diri-Mu
Jangan biarkan hamba jauh
Dan meninggalkan-Mu
Kerana sesungguhnya nikmat hidup itu
Ada apabila hatiku dekat pada-Mu

"Dan bersabarlah engkau (Muhammad) bersama orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia; dan janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya telah kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti keinginannya dan keadaannya seudah melewati batas."
(Al-Kahf; 18: 28)
Moga Allah sentiasa menjaga hati ini.


Lagu Hamza Namira- Hansa
(untuk terjemahan inggeris, klik pada kotak putih di bahagian bawah video)
Sesungguhnya kebahagiaan hakiki itu hanya akan hadir dengan adanya Dia di hati,
Bukan dunia yang mengisi.
Moga tertaut hati tetap pada-Nya,
Bukan pada dunia
Yang sentiasa meminta dan menggusarkan.

~Tatkala dirayu dunia dengan pelbagai cara, meneduhkan hati dibawah rahmat dan kasih-Nya benar-benar pengubat jiwa yang berkesan di kala kelelahan dikejar dunia yang penuh permintaan~

Dec 4, 2012

Ukhwah: Antara Masam, Pahit dan Payau


~Sudut pandang tawadhuk seorang hamba; moga kita sentiasa bertaubat dan beristighfar kepada-Nya~

~Warna warni ukhwah~

Pesan baginda Rasulullah s.a.w:
"Alangkah baiknya orang yang sibuk dengan aib mereka sendiri dengan tidak menyibukkan diri dengan mengaibkan orang lain."
(H.R A-d-Dailami)

Ceritera 1:

Teringat apabila menjadi orang tengah secara mengejut bagi menyelesaikan konflik dua rakan.
Perbualan berlaku antara keduanya dan keadaan semakin panas apabila isu ungkit mengungkit berlaku.
Lalu dengan pantas orang tengah yang kurang pengalaman ini bersuara.

"Boleh tak kalau dua-dua tak ungkit-ungkit pasal masalah-masalah dulu. Kalau nak cerita pasal tu, sampai bila tak selesai. Sekarang ni, patutnya fikir macammana nak selesaikan masalah, bukan tambah masalah."

Fuh, lega akhirnya dapat meluahkan perasaan ketika pertengkaran kecil berlaku.

Kedua-dua 'defendan' dan 'plaintif' terdiam. Mungkin sedang merenungkan kembali isi ayat dan matlamat sebenar perbincangan.

Alhamdulillah. Akhirnya mereka kini bahagia dengan rahmat-Nya dan izin-Nya.

Ibrah:

Kata Ustaz Cahyadi Takariawan:
'Tak penting mencari dan mengesan siapa yang salah. Perkara yang penting adalah mencari siapa yang terlebih dahulu bersedia meminta dan memberi maaf. Mengesan siapa yang salah hanya perlu sekiranya kita di mahkamah."

Dalam hubungan atau ukhwah kerana Allah dalam bentuk apa sekalipun; adik-beradik, keluarga, suami isteri mahupun persahabatan, indahnya jika ia dipraktiskan sebegitu.

Ukhwah, adakalanya manis bila wujud pelbagai rasa. Seperti bangunan, ia tidak ampuh bila dibina hanya dengan satu jenis bahan sahaja. Tetapi ia akan lebih kukuh apabila ada banyak bahan campuran bersama. Begitu juga kehidupan, spesifiknya di sini hubungan silaturrahim. Ada masam, pahit dan payau. Tetapilah semua itulah yang memaknai sebuah kemanisan atas dasar perhubungan kerana Allah.

Apabila ada kemanisan, ia mengingatkan kita kepada Allah. Dan ada waktu-waktu kepahitan, kemasaman mencuka dan kepayauan hati, mereka yang berukhwah itu juga tetap kembali kepada Allah. 

Maka benarlah firman Allah:

 "Teman-teman karib pada hari itu sebahagiannya akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka yang bertaqwa." 
(Az-Zukhruf; 43:67)
~Ukhwah yang terindah adalah apabila ia dibina hanya kerana Allah~


~Moga ikatan yang terbina adalah daripada talinya yang paling ampuh ; yaitu atas dasar keimanan dan ketaqwaan kepada-Nya~


Nov 13, 2012

Terapi Untuk Kelelahan Hati


~Allah tidak membawa kita sejauh ini hanya untuk meninggalkan kita. Dia sebenarnya sedang meningkatkan keimanan hamba-Nya untuk menambahkan lagi rahmat dalam kehidupan kita~

~Allah tidak membawa kita sejauh ini hanya untuk meninggalkan kita. Dia sebenarnya sedang meningkatkan keimanan hamba-Nya untuk menambahkan lagi rahmat dalam kehidupan kita~

Bergelar pelajar, pekerja dan dai sememangnya sangat mencabar di awal adaptasi diri ini.
Alhamdulillah, tinggal lebih kurang empat minggu saja lagi pengajian semester 1 akan berakhir. Tugasan sarjana yang membawa lebih daripada separuh markah perlu disiapkan segera. Jika di zaman belajar ijazah sarjana muda dahulu cukup hanya 10 muka surat sahaja tetapi semakin bertambah ilmu yang ingin digali bertambah lagi cabarannya sebagai pencari ilmu.

Begitu juga dengan beban kerja dengan sistem pekerjaan yang ada. Tidak harus diketepikan begitu saja.

Apatah lagi tuntutan dakwah dan tarbiyah diri yang menjadi kewajipan utama. Kerana dakwah dan tarbiyah adalah tanggungjawab utama umat Islam dan ia bukanlah hobi di masa lapang.

Ya, kerja-kerja yang bertimbun ditambah dengan semuanya diperlukan dengan segera. Hingga kadang-kadang memikirkan ia menyesakkan dada. Seakan-akan masa 24 jam itu tidak cukup untuk bekerja.

Ketika Hati Terasa Sesak

"Allah..." keluh hati tiap kali terasa sesak  di dada.

"La yukallifullah hu nafsan illa wus'aha."

Wahai diri, tidak akan Allah timpakan ujian ini melainkan sesuai dengan kesanggupanmu.

Maka, dengan itu diri digagahkan lagi untuk memikul tanggungjawab ini.

Setiap kali memberi motivasi kepada rakan-rakan, diri selalu menyebutkan, "Hidup ini jalannya memang susah, kerana untuk mendapatkan Syurga itu tidak pernah mudah."
Tetapi untuk memotivasikan diri sebenarnya memerlukan banyak pendekatan untuk terus bertahan.

Waktu-waktu hati terasa sesak dan mengharapkan ketenangan dicampakkan oleh Tuhan ke dalam hati ini, teringat kata-kata Sir Rosdi Baharom ketika Konvensyen Belia Relawan Haluan beberapa minggu lalu tentang kata-kata Ibnu Mas'ud:

"Kalau kamu  ingin tahu bagaimana kamu mencintai Allah adalah bagaimana kamu mencintai Al-Quran."

Begitu juga yang dinukilkan oleh Ibnu Qayyim,

"Adapun mencintai Rabb tidaklah sama dengan keadaan mencintai selainNya. Dengan mencintai Allah akan mententeramkan hati, mnghidupkan roh, menyinari akal dan menyenangkan pandangan. Maka tidak ada yang lebih dari segalanya bagi hati yang bersih, ruh yang baik dan bagi akal yang suci daripada Allah dan rindu untuk bertemu denganNya."
Inilah terapi untuk kelelahan hati.

Introspeksi Diri

Kadang-kadang apabila dalam keadaan tekanan sebegini, hampir saja tiada air mata untuk ditangiskan. Adakah hati sudah menjadi keras? Ataukah sebenarnya pertemuan dengan Allah ketika solat juga terganggu oleh hal-hal keduniaan hingga hati merasa tidak keruan?

Kepayahan dan kesusahan  hati ini adalah suatu isyarat daripada Tuhan untuk mengintrospeksi diri.

Semakin besar kesusahan dan cabaran, sebenarnya patutlah lebih kuat pautan hati hamba pada Tuhannya, kepada Tuhan Yang Memegang Segala Urusan dan Yang Berkuasa memudahkannya.
Cabaran dan dugaan adalah ujian keimanan daripada Tuhan. Diadakan-Nya untuk hamba-hamba-Nya untuk semakin kita mendekati Tuhan Yang Menguasai Alam Semesta. 

Mencintai Allah dan cinta kepada Al-Quran; dan hati kita dibentuk oleh apa yang banyak dibaca oleh diri kita.

Moga hati menjadi acuan Al-Quran dan bukan sebalik daripada-Nya.

Kiriman kalam dari-Nya:


"Dan bersabarlah engkau (Muhammad) bersama orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan senja hari mengharapkan keredhaan-Nya ; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia; dan janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti keinginannya dan keadaannya sudah melewati batas."
(Al-Kahf; 18: 28)




~Di saat sesaknya hati dan lelahnya jiwa ini, diri mengharapkan hanya udara cinta-Nya yang menghidupkan hati~

Oct 20, 2012

Kemboja Pusara Ayah



~Kematian adalah peringatan dan nasihat terbaik untuk yang masih menghirup nafas di bumi Allah~

levinet.deviantart.com
~Moga diri ini kekal menjadi amal yang tidak terputus untukmu selagi dizinkan hidup di muka bumi~

"Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada kami."
(Al-Anbiya'; 21: 35) 

Mengunjungi Pusara Ayah

Hujan Jumaat yang turun rintik-rintik  menjadi teduh apabila kami masuk ke kawasan tanah perkuburan. Di bawah khemah kecil, masih merah lagi tanah yang dikambus bersama dengan bunga-bunga yang masih segar menghias di antara dua nisan itu.

Abang yang diikat dengan pertalian darah yang baru ditemui pertama kali membentangkan tikar untuk kami duduk. Ayat-ayat alunan Quran dibacakan untuk'nya' bersama turunnya titisan air mata yang tidak tertahan. Seketika itu aroma harum menerpa.

"Ayah tunggu Nadiah datang." kata-kata Makcik ketika bertemu di rumah arwah tadi masih terngiang-ngiang.

Dan air mata semakin laju meluncur di pipi.

Masa Tidak Menunggu dan Tidak Kembali

Masa tidak akan dapat diputar kembali. Dan masa yang telah berlalu akan menjadi perkara yang amat jauh dari kita,

Tiada lagi kata, "sekiranya aku dulu..." dapat menjadi makna. Hanya tinggal menjadi iktibar untuk menghargai mereka yang ada di sisi kita.

Tiada lagi kiriman SMS mampu dikirimkan apabila rindu kepada mereka. Hanya kiriman doa mampu dikirim melalui-Nya.

Moga menjadi anak yang soleh yang doanya kepada ibu dan bapa yang telah pergi akan dikabul oleh Ilahi.

'Ayah, biarpun kita tidak sempat bertemu di sini, moga berjumpa di akhirat nanti. Moga di Syurga kita dipertemukan nanti,'

"Apabila mati anak Adam, putuslah semua amalannya, kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya."
(Hadith Riwayat, Bukhari, Tirmizi dan An-Nasai)
~18 Oktober adalah hari lahirmu. Namun, Allah mengambilmu sebelum sempat ku beri ucapan itu~


~Mengingati Tahun Dukacita Rasulullah s.a.w menjadi pengubat hati. Moga setabah kekasih Ilahi~

Oct 10, 2012

True Believers: Keep Smiling In Every Way


~Smile is a therapy~

~Keep smiling through happy and difficult times~

( 1)

A:   "You look cheerful and happy. Surely you have finish everything."

B:   "Erk..." (I'm still working on it.)




When I’m smiling
It doesn’t mean everything goes my way
Cause I’m just adapting to the environment
Hoping that smile would put my worries away

When I’m not frowning
Doesn’t mean all my work is done
And that everything is going as planned
Crying in the prostration is my routine
To Him all I give myself in
Asking for the Great Plan from Him.

When I’m not crying
Doesn’t mean I’m heartless
Times that I fell down are countless
Few times I may complain
“I’m not a superman
Why is my burden increasing?”
The same time, my heart said,
“Hey, look up high to the sky,
Allah would never burden you
Unless He knows you are able to do.”


"Do people think that they will be left alone because they say "We believe," and will not be tested. And We indeed tested those who were before them. And Allah will certainly make known those who are true, and certainly make known those who are liars."
(Al-Ankabut: 2-3)

 
 ~Life is like a question booklet. Gets tougher page by page. The test will end when this Life question booklet ends. May Allah guides us to the true path.~



 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino