::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jan 26, 2014

Baitul Muslim: Jadi Seperti Lebah dan Bunga


~Ibarat lebah dan bunga saling melengkapi. Lebah berbisa menghirup madu dengan tenang lalu bunga terus mekar berkembang~

Alhamdulillah, hari ini berkesempatan meluangkan masa mendengar pengisian berkenaan rumahtangga oleh Ustazah Nohafizah Musa di radio ikim.

Sekadar perkongsian bersama di blog ini, sekaligus mengingatkan diri yang menulis ini tentang apa yang ditulis.



http://www.wired.co.uk/news/archive/2013-02/22/bee-electric-flowers
~ Bunga menarik sang lebah melalui komunikasi cas-cas elektriknya agar bunga berkembang mekar dan lebah dapat manisnya~


Lebah dan bunga

Satu perumpamaan indah yang dinukilkan oleh Ustazah di ikim.fm.

Lebah dikenali sebagai serangga yang kuat dan berbisa.
Namun, apabila ia hinggap di kelopak bunga tidak secarik pun kelopak itu dirosakkannya. Madu dihirup tenang bahkan bunga kian mekar berkembang.

Ketenangan, kesabaran dan  lemah lembut amat penting dalam rumahtangga. Secara amnya, menjadi seorang Mukmin sememangnya  perlukan ketiga-tiga ciri ini.

Alhamdulillah, walaupun masih baru lagi berada di Universiti Baitul Muslim dan masih sekelumit pelajaran yang dikutip sepanjang menjadi pelajar baru ini, saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dikurniakan seorang suami punyai ketiga-tiga ciri ini.

Sungguh, biarpun jodoh saya tidak seawal sahabat-sahabat lain, segala puji bagi Allah, saya tahu kesabaran atas penantian ini tidak akan Allah sia-siakan.



Walaupun begitu, masih banyak perkara yang kami perlu belajar. Pada awal-awal perkahwinan, banyak ralat kami dalam berkomunikasi.  Ralat ini kami baiki dengan izin-Nya sedikit demi sedikit. Alhamdulillah, Allah lah memberi petunjuk kepada hamba-hamba-Nya yang tidak putus harap meminta kepada-Nya.


"(Ingatkanlah peristiwa) tatkala serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami"
(Al-Kahf; 18: 10)

Moga kelebihan dan kekurangan itu menyeimbangkan. Suami dan isteri saling lengkap melengkapi ibarat hidup sang lebah bersama bunga.

"...Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?"
(Al-Mulk; 67: 3)


4 Pola Bicara Cinta Sang Lebah dan Bunga

InsyaAllah, sedikit perkongsian kutipan-kutipan mutiara ilmu di corong radio pagi ini.
Kaulan Sadida, Kaulan Karima, Kaulan Baligha, Kaulan Maisura (istilah-istilah dalam Bahasa Arab, jika ada kesilapan, harap dapat betulkan).

Ini adalah panduan pola bicara dalam rumahtangga.

Kaulan Sadida:

Kata-kata yag penuh komitmen, benar dan ada asas.
Kata-kata yang penuh sunguh-sungguh. Jika kita katakan sesuatu itu, ia adalah sesuatu yang benar. Jika kita menasihati pasangan dan anak-anak, kita juga mengaplikasikan ia dalam diri kita, InsyaAllah.

Kaulan Baligha:

Kata-kata yang mendalam dan menyentuh.
Kata-kata seorang wanita yang dinukilkan dahulu kepada suaminya, "Wahai suamiku, bertakwalah kepada Allah, kami boleh sabar dengan kelaparan tetapi kami tidak boleh sabar dengan panas api neraka."

Kaulan Karima:

Kata-kata yang keluar dari hati yang mulia dan memuliakan pasangan atau anak-anak yang mendengar.

Kaulan Maisura:

Kata-kata yang memudahkan.
Contoh: Suami memudahkan kerja isteri apabila lihat isteri kepenatan bekerja. "Takpelah, biar abang buat."

Pembungkus

Rumahtangga yang bahagia dalam redha Allah adalah rumahtangga yang penuh mawadaah (kasih sayang), rahmah (rahmat) dan sakinah (ketenangan).

Ia rumahtangga yang meletakkan Allah dan Rasul sebagai ikutan, Al-Quran dan Sunnah menjadi kompas pelayaran rumahtangga yang berkemudi di lautan kehidupan menuju kehidupan akhirat yang abadi iaitu kampung halaman Syurga yang menanti.

Moga Allah memberikan kekuatan dalam pelayaran.

Semoga rumahtangga yang didirikan kerana meraih redha Allah adalah rumahtangga yang bercahaya menghidupkan sunnah-sunnah Nabi tanda cinta  jua wasilah meraih redha dan cinta-Nya.

~Wahai Tuhan, persatukan kami selamanya dalam rahmat dan kasihMu hingga ke SyurgaMu~

Jan 6, 2014

2014: Hadapi Dengan Senyuman


~Persekitaran semakin menjadi negatif di sekitar 2014, semoga kita menjadi insan-insan yang positif meneutralkan keadaan alam Tuhan yang semakin terancam~

Reflection 

Keterbatasan masa untuk membuka laman sesawang.

Dah lama tak buat reflective thinking di sini. Memandangkan coverage internet di rumah sangat slow. Boleh mengambil masa hingga ke pagi untuk membuka sesebuah laman sesawang (itupun jika diizinkan). Biasanya tidak.

InsyaAllah, semoga dengan kedatangan 2014 ini akan lebih meriah dengan entri-entri baru. Juga akan mempamerkan mungkin tambahan penulis baru dalam blog ini; iaitu zawj tercinta fillah.

Tidak pernah paksa zawj untuk menulis di blog ini. Cuma, kesudian dan kerelaan untuk berkongsi menulis di laman yang sudah bertahun-tahun ini amat dihargai.

~Alangkah indah urusan orang mukmin~


Panas, sejuk, mendung, ribut sepanjang tahun-tahun lalu (moga) dijadikan pedoman untuk tahun ini.

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai keabikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat hidayah" 
(Al-Baqarah; 2: 155-157)


Lembaran 2014

Moga kita akan sentiasa dalam rahmat Allah, di bawah lembayung malaikat-malaikat yang suka pada pada orang-orang bersyukur dan bersabar.

Benar sabar itu bukan mudah. Hingga ada yang berkata : "Saya sudah habis sabar!"

Sabar dalam sabar dalam sabar. Hingga sabar itu telah habis, ibarat minyak pada kereta yang telah kering, tentulah perlu ditambahkan lagi.
Hingga sabar telah habis, tambahilah lagi.
Dengan doa yang bersungguh-sungguh kepada Allah, membaca dan menghayati Al-Quran, berusaha untuk terus positif, memandang dengan hikmah.; semoga Allah meredhai.

Jalan ke Syurga tidak pernah mudah. Maka, hari ini kita perlu bersusah payah utuk meraih kemanisan di penghujung kehidupan yang kekal abadi.

Oleh itu, mari kita amalkan satu usaha pada diri untuk sentiasa tersenyum dengan bahagia dan meneruskan usaha kita sebagai hamba-Nya.

~ Apabila kita ingin redha Allah, Allah pasti memudahkan ia untuk menjadi insan diredhai-Nya~

~Wahai Allah, tetapkanlah hati kami untuk terus menjadi mukmin yang bersabar dan bersyukur pada-Mu~


Oct 19, 2013

Korban Kerana Cinta-Nya


~Allah menerima korban Habil kerana keikhlasannya. Maka hari ini, bagaimana pula dengan kita?~

~Berhati-hati dengan dunia. Moga ia tidak memasuki hati. Biar saja ia di tangan.
Dan hanya di hati kedudukan untuk Allah sebagai Tuhan~


Eid Adha
"Dan mengapa kamu tidak menginfakkan hartamu di jalan Allah, padahal milik Allah semua pusaka langit dan bumi? Tidak sama orang yang menginfakkan (hartanya di jalan Allah) di antara kamu dan berperang sebelum penaklukan (Mekah). Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang yang menginfakkan (hartanya) dan berperang setelah itu. Dan Allah menjanjikan kepada masing-masing mereka (balasan) yang lebih baik. Dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan. 

Barangsiapa meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan mengembalikannya berlipat ganda untuknya, dan baginya pahala yang mulia."
(Surah Al-Hadid; 10-11) 

Islam ini adalah seluruh bentuk kehidupan. Merangkumi semua aspek kehidupan.
Sebelum Islam tertegak di bumi ini, maka ia haruslah tertegak di dalam diri. Iaitu Islam merangkumi kehidupan individu. Islam pada seorang Muslim. 

Hari Raya Aidiladha telah pun berlalu.
Ramai yang telah pun berkorban wang untuk korban lembu, kambing, unta dan sebagainya.
Mungkin ada yang tidak mampu, semoga Allah memberi pahala atas setiap niat yang mulia. 
Bagi yang berkemampuan sederhana, mungkin boleh bermuhasabah berkenaan pengurusan kewangan sebagaimana kita menguruskan kewangan untuk pembelian baju raya, rumah, perbelanjaan raya dan sebagainya. 
Mungkin kita boleh mulai menguruskan wang untuk tahun hadapan bermula dengan tabungan tahun ini. 

Saya juga bermuhasabah diri. 

Korban Di Jalan Allah

Allah menjadikan kita cukup. Dunia menjadikan kita haus.
Harta kita bukan sepenuhnya milik kita. Ada hak orang lain atasnya. 
Tenaga kita bukan sepenuhnya untuk kita. Ada hak orang lain di dalamnya. 
Kelapangan masa kita bukan kita yang sepenuhnya mengawalnya. Ada hak orang lain ke atasnya. 

Segala-galanya bukan milik kita. Ia hanya pinjaman dari Allah untuk kita. 

Tapi berapa peratuskah nilai Islam itu sudah ada pada diri kita sebagai Muslim?
Saya juga memuhabah diri. 

Selalu terasa jauh dari jalan warisan Nabi. Terasa jauh dari sudut tingkah laku dan peribadi insan yang dikagumi. 

Kita mahu bersama-sama dengan Nabi s.a.w di Syurga nanti, namun adakah amalan kita sekarang ini mencerminkan bahawa kita benar-benar ingin bersama-sama dengan baginda?

Adakah kita benar-benar mencontohi peribadi baginda?
Adakah kita sedang menjejak jalan-jalan perjuangan yang ditempuh oleh baginda?
Adakah kita kini menjadi umat akhir zaman yang disebutkan Rasulullah kepada para sahabat baginda ketika disebutkan bahawa bergenang air mata baginda Rasul merindui saudaranya umat di akhir zaman?
Adakah apa yang kita lakukan pada waktu ini menggambarkan bahawa kita benar-benar mencintai baginda Nabi s.a.w?

Menjadi soleh  dan dicintai Allah sepanjang masa bukan suatu perkara yang mudah. 
Perlukan pengorbanan. 
Ia perlukan pengorbanan. 
Lalu, adakah kita sedia untuk berkorban demi Allah dan Rasulnya?

Yang disukai belum tentu baik dan yang dibenci belum tentu jelek. 

~Ya Allah, tetapkanlah kami untuk berada di atas jalan-Mu biarpun ia menuntut pelbagai pengorbanan demi redha dan cinta-Mu~



Sep 25, 2013

Bila Langit Menangis: Jatuh Bangun


~Duhai Tuhan, tetapkan hati kami untuk terus menjadi saksi keimanan dan kecintaan kepadaMu hingga ke hari yang abadi~

~Cinta utama adalah cinta pada Yang Esa~


Firman Allah dalam Surah Yunus ayat 21-23:

"Dan apabila Kami memberikan suatu rahmat kepada manusia, setelah mereka ditimpa bencana, mereka segera melakukan segala tipu daya (menentang) ayat-ayat Kami. Katakanlah, "Allah lebih cepat pembalasannya (atas tipu daya itu)." Sesungguhnya malaikat-malaikat Kami mencatat tipu dayamu. 

Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di darat dan (berlayar di) lautan. Sehingga ketika kamu berada di dalam kapal, dan meluncurlah (kapal) itu membawa mereka (orang-orang yang ada di dalamnya) dengan tiupan angin yang baik., dan mereka bergembira kerananya; tiba-tiba datanglah badai dan gelombang menimpanya dari segenap penjuru, dan mereka mengira telah terkepung (bahaya), maka mereka berdoa dengan tulus ikhlas kepada Allah semata. (Seraya berkata,) "Sekiranya Engkau menyelamatkan kami dari (bahaya) ini, pasti kami termasuk orang-orang yang bersyukur."

Tetapi ketika Allah menyelamatkan mereka, malah mereka berbuat kezaliman di bumi tanpa (alasan) yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya kezalimanmu bahayanya akan menimpa dirimu sendiri; itu hanya kenikmatan duniawi, selanjutnya kepada Kamilah kembalimu, kelak akan Kami kabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan."




Jatuh Bangun - INTEAM

Duhai Tuhanku
Jatuh bangun ku menghambaMu
Kadang cinta, Kadang ku melupa
Tega ku meyeksa hidup sendiri

Duhai Tuhanku
Untuk yang kesekian kali
Hati yang dipijar indah cintaMu

Tuhan

Aku tanpa Mu, hidup ku menderita
Sunyi hati, kelam jiwa bagai terpenjara

Tuhan...
Biarkan kini, aku dalam rahmatMu
Meski jatuh dan terbangun
Ku tetap bertahan



Bila Langit Menangis

Langit menangis lagi
Hujan turun membasahkan bumi
Air mata gembira dan sedih
Turun menyampaikan cinta
Pada seluruh makhluk-Nya
Menyamankan hawa kepanasan
Memberi makna pada kehidupan

Langit menangis lagi
Bersama hibanya hati
Rahmat-Nya turun ke bumi
Tetap tegar Dia menyayangi
Walau dosa hamba menggunung tinggi

Langit menangis lagi
Kadang ia membanjiri bumi
Mungkin murka atau kasih pada hamba
Ingatan bahawa dunia ini hanya fana
Bersama dentum bunyi di langit misteri
Moga tumbuh takut dan harap tetap pada-Nya

Langit menangis lagi
Tanda kasih Tuhan tiada henti
Harap agar hamba kembali 
Ke dakapan cinta dan kasih Ilahi
Mengingat kembali
"Bukankah Aku Tuhanmu?"
"Benar, kami menjadi saksi."

Langit menangis lagi
Bersama sendu di hati
Duhai Tuhan
Benarkan kami terus menjadi saksi
Keimanan yang berpaksi di hati
Agar tidak luput cinta ini
Infiniti

~Tuhan, aku tanpaMu, hidup ku menderita. Biarlah aku menjadi pengemis kasihMu selama-lamanya.~

Sep 18, 2013

Tragedi Kemalangan 12 September


~Moga kesakitan ini gugur bersama dosa-dosa dan menjadi permulaan kembali penyucian jiwa dan pembersihan hati~



"Dan musibah apa pun yang menimpa kamu adalah perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (dari kesalahan-kesalahanmu)."
(Asy-Syura; 42:30)



12 September 2013

Hari Khamis, saya dan dua orang lagi sahabat sepejabat pulang daripada kuliah Pasca Siswazah kami di UTM Skudai. Sekitar 8.20 malam Allah mengizinkan kami terlibat dalam tragedi kemalangan jalan raya di Lebuhraya Senai Desaru. Kami dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi dengan ambulan.

Kasihan sahabat saya; Ismi yang belum lagi habis waktu berpantang dan Sarah juga yang trauma di bahagian muka dan meleleh darah pekat keluar dari hidungnya.

Ambulan singgah di Klinik Kesihatan Sungai Mas untuk menghantar sahabat saya itu ke satu lagi ambulan di mana jururawat berkepakaran perbidanan ditugaskan untuk menjaganya di dalam kenderaan itu. Maka, dua ambulans membawa kami ke Hospital.

Ismi dibawa ke bahagian Obstetrik. Saya dan Sarah dibawa ke Bahagian Kecemasan di zon Kuning. Kekurangan katil menyebabkan proses pemeriksaan sedikit lambat. Alhamdullliah, sekitar jam 3 pagi 13 September 2013 kami dimasukkan ke wad.

Ibrah

Moga musibah ini mendekatkan diri kepada-Nya.

"Tidak ada suatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
(At-Tagabun; 64: 11)

 Wahai Allah, berilah petunjuk kepada hati-hati kami agar kami menjadi dekat pada-Mu.

"Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon-pohon yang menggugurkan daun-daunnya."
(Hadith Riwayat Muslim)

Moga diri ini boleh bermula dengan hati yang sebersih-bersihnya untuk menjadi hamba yang diredhai.
Moga dengan musibah ini, hati kami menjadi lebih lembut dan mencintai Engkau dan menyayangi mereka yang menyayangi kami.

Jazakumullahu Khairan Kathira

Terima kasih murabbi, Dr. Fauzanah yang bergegas ke tempat kejadian, menemani kami hingga ke hospital. Begitu juga sahabat dan sahibah; 'Atiqah, Ustaz Suheil dan Cikgu Khairi.

Terima kasih buat zawj yang ku cintai kerana Allah; Mohd Razif yang sanggup datang dari Mersing bersama keluarga mentua dan menemani diri sesampainya di unit kecemasan hingga ke pagi dan menjaga diri ini sebelum berjauhan semula demi tanggungjawabnya. Begitu juga ibu mertua yang setia menemani di sisi di dalam wad sepanjang malam hingga keesokan harinya.

Terima kasih buat Ma dan Abah yang sudi menjaga diri yang kurang upaya ini siang dan malam hingga ke hari ini, menjaga makan, minum, ubatan dan bantuan pergerakan.

Juga terima kasih kepada insan-insan yang tidak dikenali yang telah membantu kami serta kawan-kawan yang setia memberi sokongan.

Semoga Allah membalas jasa dan kebaikan kalian semua dengan sebanyak-banyaknya.

Tragedi Sepintas Lalu

Sepantas kilat semuanya berlaku. Kereta yang berpusing hilang kawalan kemudiannya terperosok masuk ke tebing tepi lebuhraya. Seakan mimpi. Ya, seakan mimpi yang pernah muncul dalam tidur saya dulu.

Saya terlihat ada darah di beg udara yang telah kempis di depan saya. Lidah saya merasakan ada sesuatu mengalir di bibir. Darah. Darah daripada gigi depan.

"Naddy, apa kita nak buat ni?" tanya sahabat selaku pemandu kereta.

"Ok, jom kita keluar."
Saya cuba membuka pintu kereta. Alhamdulillah, dapat dibuka sedikit. Tapi kemudiaannya menjadi sukar dibuka. Mungkinkah tersekat?

"Naddy, pintu kita tak boleh buka." Sahabat tadi bersuara.

'Bismillahirrahmanirrahim', bisik saya lalu menendang pintu kereta supaya terbuka.

Alhamdullillah, segala kekuatan datang dari-Nya.

"Sarah, keluar ikut pintu ni." Sekeluarnya saya dari kereta itu, saya mencari seorang lagi sahabat yang duduk di belakang. Ternyata pintu belakang sudah terbuka dan terlihat beliau terduduk di tanah.

"Naddy, apa yang dah jadi ni?" Tanya beliau sedikit keliru.

Tidak lama kemudian, orang ramai datang memberikan bantuan.

Begitulah sedikit rentetan tragedi 12 September 2013.
~Ampunilah kami, Ya Allah~

~Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami.~

Aug 21, 2013

Revolusi Mesir 2013: Fattah As-Sisi dan Firaun


~Sungguh, kami peduli. Keperitanmu mencuit rasa sakit di hati kami. Kemenangan itu sedang menghampiri~

~Ukhuwwah itu bukan sekadar madah~


Mesir bergolak lagi. Revolusi 2011 tidak tamat begitu sahaja.

2013 menjadi tahun bersejarah yang tidak akan dilupakan bukan saja oleh rakyat Mesir bahkan menjadi kesaksian seluruh dunia.

Dulu kisah Hosni Mubarak. Kini diganti Fattah As-Sisi.


Persamaan Fatah As-Sisi dan Firaun

Menurut Sejarawan Mesir; Dr. Raghib Sarjani berkata bahawa terdapat persamaan antara apa yang dilakukan oleh As-Sisi dengan Firaun Laknatullah termasuklah episod kekejaman yang dilakukan oleh Fatah As-Sisi.

Episod pertama, menurut Dr. Raghib Sarjini pernyataan As-Sisi apabila merespon tuntutan rakyat Mesir pada 30 Jun 2013 sama dengan apa yang telah diceritakan di dalam Al-Quran apabila Firaun berkata:

"Semoga kita mengikuti para pesihir itu, jika mereka adalah orang-orang yang menang."
(Asy-Syu'ara': 26:40)

Episod kedua terdapat persamaan dalam peristiwa yang berlaku dalam surah Al-Mu'min (40:26) iaitu;

"Dan Firaun berkata (kepada pembesar-pembesarnya), "Biar aku yang membunuh Musa dan suruh dia memohon kepada Tuhannya. Sesungguhnya aku khawatir dia akan menukar agamamu atau menimbulkan kerusakan di bumi."

As-Sisi meminta para penyokongnya turun ke jalan-jalan untuk membubarkan demonstrasi dengan kekerasan untuk meluruskan revolusi dengan alasan kerana Presiden Mursi telah membuat kerusakan.

Episod ketiga adalah apabila As-Sisi mengancam untuk membubar kerajaan demokrasi dengan paksaan. Namun, sehingga As-Sisi beberapa kali mengancam, demonstrasi pendokong Mursi menjadi semakin besar.

"Dia (Firaun berkata)... Maka sungguh, akan ku potong tangan dan kakimu bersilang , dan sungguh akan ku salib kamu pada pangkal pohon kurma dan sungguh, kamu pasti akan mengetahui siapa di antara kita yang lebih pedih dan lebih kekal seksaannya."
(At-Taha; 20:71-72)

Episod keempat iaitu ketika pembantaian. Menurut Dr. Raghib, orang-orang yang dikepung oleh kekejaman Mursi dengan tiada senjata sama peristiwa yang diceritakan dalam ayat dalam surah Asy-Syu'ara (26:61);
apabila pengikut-pengikut Nabi Musa terkepung oleh tentera Firaun:

"Maka setelah kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa, "Kita benar-benar akan tersusul."

Episod kelima pula menurut sejarawan ini iaitu keselamatan orang-orang beriman. Namun, keyakinan kepada Allah ditunjukkan oleh pemimpin yang mengatakan kepada pengikut-pengikutnya sama seperti peristiwa dalam ayat seterusnya dalam surah Asy-Syu'ara.

"Dia (Musa) menjawab, "Sekali-kali tidak akan (tersusul); sesungguhnya Tuhanku bersamaku, Dia akan memberi petunjuk kepadaku."

Maka datanglah pertolongan Allah.

"Dan Kami tenggelamkan golongan yang lain itu."
(Asy-Syu'ara; 26:66)

Rujukan: Dakwatuna : Kekejaman As-Sisi Dalam Episode Kisah Firaun



Puisi buat Saudara-Saudara yang Ku Cintai
Tragedi 2013 Masihi

Saudara-saudaraku dibantai
Tanpa ada rasa belas kasihan

Hanya Recep Tayyip Erdogan
Pemimpin Muslim yang berani suarakan kebenaran
Yang lain tenggelam dalam ketakutan
Tak kurang yang menyokong kezaliman

Saudara-saudaraku dizalimi
Betapa hiba hati kami

Tiada peluru mampu kami kirimkan
Buat manusia yang lebih zalim daripada haiwan
Hanya doa mampu kami tembakkan
Moga diterima oleh yang Maha Kuasa
Melindungi kamu saudaraku semua

Saudara-saudara kami yang dikasihi
Kami menangis di dalam hati

Menerima berita peritmu tiap hari
Perit kamu menambah sakit hati kami
Benarlah sabda Nabi
Kamu dan kami satu anggota badan
Kamu yang jauh, kami terasa kesakitan
Walau keperitan itu pasti tidak sama
Dengan kamu di negeri anbiya' sana

Saudara-saudara kami
Betapa kami mencintaimu
Kami peduli
Yakin dan pasti
Kemenangan itu sedang menghampiri
Janji-Nya pasti
Allahu Akbar
Hasbunallah wa nikmal Wakeel 

Allah sedang menguji
Siapakah yang terbaik amalnya
di dunia sementara ini

(Saudaramu, 
Nadiah Shamsuddin, 
Malaysia)


Aug 15, 2013

Syam, Mesir dan Palestin: Ingatan Daripada Saudara Untuk Kita


~Gerabak keretapi perjuangan akan terus berjalan. Ia tidak akan menunggu mereka yang leka, dan beruntunglah bagi mereka yang tegar untuk duduk di dalamnya hingga sampai destinasi kemenangan yang dijanjikan~


~Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami yang sering leka. Ingatkan lah kami untuk terus mentaati-Mu dan menegakkan kalimah-Mu~
"Wahai orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang yang kafir yang akan menyerangmu, maka janganlah kamu berbalik membelakangi mereka (mundur)."

"Dan barangsiapa mundur pada waktu itu, kecuali berbelok untuk (siasat) perang atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan lain, maka sungguh, orang itu kembali dengan membawa kemurkaan Allah. Tempatnya ialah neraka Jahanam, dan seburuk-buruk tempat sekali."

"Maka (sebenarnya) bukan kamu yang membunuh mereka, melainkan Allah yang membunuh mereka, dan bukan engkau yang melempar ketika engkau melempar, tetapi Allah yang melempar. (Allah berbuat demikian untuk membinasakan mereka) dan untuk memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin, dengan kemenangan yang baik. Sungguh Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui."
(Al-Anfal; 8:15-17)

Pesanan Zawj Pada Ulangtahun Bulan Kedua


"Sekarang dah dua bulan walimah, sudah tidak ada masa untuk bermain-main. Sekarang perlu fikir hal ummah. Kerja-kerja dakwah dan tarbiyah yang Nadiah kata masih banyak perlu dilakukan.", zawj mengingatkan.

Kerja-kerja agar Islam tertegak di atas muka bumi ini semakin banyak . Masih banyak isu-isu ummah yang perlu diambil kira. Hidup bukan sekadar berenak bersantai, makan, tidur, bekerja demi sesuap nasi hingga mati menjemput kita.

Kita adalah khalifah yang telah dipilih. Tugas memakmurkan bumi itu telah digalas di atas bahu ini semenjak kita lahir ke bumi.

Kata-kata murabbi terngiang-ngiang bahawa perjuangan ini akan terus berjalan. Islam pasti akan mendapat kemenangan. Ia ibarat gerabak keretapi yang akan terus berjalan. Dan maka beruntunglah mereka yang bersama-sama untuk terus berada di dalamnya.

Perjuangan Negeri Syam dan Sekitarnya

Selepas Syria, kini Mesir menjadi mangsa kebatilan. Setiap hari semakin ramai yang menemui-Nya kerana merindukan syahid. Mereka adalah orang-orang rindukan kebenaran dan cintakan kebatilan.

Gerabak keretapi perjuangan akan terus berjalan dan berjalan. Barangsiapa yang meninggalkannya akan diganti dengan mereka  yang lebih baik. Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang berada di dalamnya.

Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang beruntung.

Abdullah ibn 'Amr ibn Al-Ash meriwayatkan dari Nabi s.a.w bersabda (bermaksud):
"Akan datang suatu masa ketika semua orang beriman pasti akan pergi ke Syam."
(Al-Hakim, Al-Mustadrak 'ala Shahihain 4:457. Az-Zahabi menyepakati sebagai hadith shahih berdasarkan syarat Al-Bukhari dan Muslim)

Negeri Syam adalah Palestin, Lubnan, Jordan dan Syria.

Hadith diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa Nabi s.a.w bersabda:
"Akan sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama-sama kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya. Mereka tetap dalam keadaan demikian."
Maka para sahabat bertanya:
"Di manakah mereka ya Rasulullah?"
Jawab Rasulullah:
"Di Baitul Maqdis dan sekitarnya."



Firman Allah s.w.t:
Di sanalah Zakaria berdoa kepada Tuhannya. Dia berkata, "Ya Tuhanku, berilah aku keturunan yang baik dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar do'a."
(Surah Ali-'Imran; 3:38)

Semoga Allah menjadikan kita dan seluruh keturunan kita sebagai golongan orang-orang yang beruntung dan diberkahi-Nya.

~Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami yang sering leka. Ingatkanlah kami untuk sentiasa mentaati-Mu dan menegakkan kalimah-Mu di atas bumi ini~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino