::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Feb 18, 2016

Pengajian: Di Sebalik Kesulitan Ada Kemudahan


~Perjuangan ini tidak akan berhenti. Ia belum selesai. Semoga Allah sentiasa meredhai dan menuntuni perjuangan ini~


~Ya Allah, jadikan ilmu kami ilmu yang bermanfaat~


Alhamdulillah,  alhamdulillah,  alhamdulillah. 
Di sebalik kesulitan pasti ada kemudahan.  Bukan hanya kata-kata manusia tetapi janji Allah yang Maha Kuasa seperti yang dinukilkan di dalam Surah Insyirah ayat 5 dan 6. 

"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan." (Insyirah; 5-6)

Selesai sudah pengajian Sarjana saya. Agak lama sehingga 3 tahun setengah, boleh lepas sijil ijazah  sarjana muda. Maha Suci Allah yang memudahkan segala urusan. Berjauhan dari suami bersama anak kecil yang masih bergantung pada umminya, bekerja, belajar, berusrah; rasa tak cukup masa 24 jam sehari yang Allah bagi, kerdilnya saya di sisi-Nya.

Bukan Superwoman

Saya bukan superwoman, yang boleh lakukan kesemua tanggungjawab itu dengan sempurna walau hakikatnya saya ingin semuanya sempurna.

Keadaan teruji lagi apabila kerjaya mencapai kemuncak kesibukan, apabila si kecil demam berminggu-minggu hingga terpaksa dimasukkan ke wad, apabila pelajaran menuntut tugasan dan mendekati dateline tesis yang perlu disiapkan.

Orang mungkin kata ini menjadikan kita lebih independent. Tapi tidak pada saya!
Saya berubah menjadi lebih dependent!

Saya lemah, saya tak kuat. Saya tak tahu nak bergantung pada manusia mana lagi. Saya hanya ada Allah.
Waktu di titik kelemahan itu, Tuhan menanti-nanti saya mendongak padaNya.

Tiada superman yang boleh membantu saya tatkala itu. Waktu hujung malam menghabiskan baki penulisan tesis untuk dihantar keesokan hari, mujahid kecil saya demam lagi. Menangis-nangis ingin menemani umminya membuat tesis.

Allah lebih Mengetahui, betapa saya menghantar tesis itu dalam ketidaksempurnaan. Impian untuk membuat yang terbaik mungkin hanya angan-angan kosong. Namun, hanya itulah yang terbaik yang mampu saya lakukan walaupun saya tahu bukan itu yang terbaik.

Ya, impian untuk menjadi pakar dalam bidang keilmuan seperti yang dituntut. Seperti kata penulis Solikhin dan Kang Puji Hartono dalam buku Spiritual Problem Solving bahawa:

"Batas menjadi kekuatan kerana kita tidak bisa menjadi yang terbaik dalam segala hal yang kita lakukan. Kita mesti menentukan bidang yang kita kuasai dengan baik sehingga bisa menjadi yang terbaik di bidang kita. Lebih baik menjadi nombor satu di bidang kita yang sesungguhnya, daripada menjadi nombor dua di bawah sukses orang lain".

Sedih dan syukur.
Sedih kerana hanya itulah keterbatasan saya sebagai manusia yang lemah.
Syukur, akhirnya saya mengakhiri jua episod perjalanan ini.

Keajaiban Milik Tuhan 

Namun, hujan yang disangka turun kerana mendungnya awan tidak menjadi. Segala puji bagi Allah.
Memang kemampuan manusia tidak mampu berfikir lebih dahulu untuk menentukan natijah pada perjalanan hidup kita sendiri.

Keputusan yang saya terima di luar jangkaan. Maha Suci Allah atas segala kekuasaanNya.
Terima kasih pada pemeriksa dan supervisor serta pensyarah-pensyarah yang memberi dorongan.

Pada Allah yang sentiasa mendidik diri, ucapan syukur tidak terhingga dan doa untuk sentiasa menjadi hamba yang diredhaiNya diharapkan. Pada zawj yang sering menyalakan kembali impian yang sering malap, terima kasih. Pada anak ummi yang soleh dan musleh, terima kasih kerana sentiasa menjadi peneman dan penghibur hati ummi. Pada ibu bapa dan ahli keluarga yang tidak berhenti mengutus doa, dan pada sesiapa saja yang mendoakan yang terbaik, semoga Allah memberi kebaikan yang lebih banyak untuk semua.

~Benar, natijah pada setiap usaha bukan kita yang tetapkan. Kita perlu usaha dan usaha dan bertawakkal. Biarpun ia selalu disebut, dalam keadaan tertentu, ia mungkin sukar untuk di amalkan. Doa, doa dan doa semoga Allah berikan kekuatan~

Dec 9, 2015

Ujian: Pahit Yang Sihat


~Katakan Allah itu Tuhanku, yang menyayangiku, dan apa yang diberiNya dan dipilihNya untukku adalah hanya untuk kebaikanku semata. Maha Suci Allah~
"Sebanyak dan segelap pekat apa pun awan yang hitam, sederas apa pun hujan yang turun, sedasyat apa pun guntur dan kilat yang menggelegar, kita belum pernah menjumpai badai yang tidak pernah reda."

-Spiritual Problem Solving; Kang Puji Hartono & Solikhin Zero to Hero-

~Ujian: Ingatan kasih sayang Tuhan~

Pahit Itu Ubat

Orang-orang zaman dahulu sukakan ulam-ulaman. 
Generasi muda hari ini  bukan setakat tidak gemarkan ulam malah ada antaranya sayuran tidak ada dalam menu makanan.  
Betul ke?  

Walaupun saya penggemar makan sayur-sayuran tetapi tetap kalah dengan sayur bernama Peria. 
Kepahitannya agak sukar untuk ditelan.  
Waktu balik kampung dan membuka peti ais nenek saya,  satu jug berisi air hijau pekat sedikit menarik perhatian.  Namun, apabila mengetahui ianya jus peria, mati terus nikmat di tekak saya. 

Orang tua-tua kata yang pahit itulah bagus, buat ubat!

Pahit Penawar Hati

Tak dapat dinafikan bila sebut ubat, rasanya pahit dan tidak sedap. Mungkin itulah fitrah yang tidak dapat dipisahkan. Bahawa ubat dan pahit itu saling berkaitan. 

Ujian kesusahan dalam kehidupan kita sebenarnya lebih pahit daripada peria atau apapun ubat yang pernah kita telan hingga hari ini. Ia tidak terasa di lidah, tetapi kepahitannya terasa hingga ke lubuk hati. 

Kepahitan itulah yang Allah ajar kita untuk menjadi penawar hidup kita ini. Penawar pada kita yang selalu lupa jaga diri, menjaga diri kita daripada melalui jalan-jalan Lupa Tuhan. Penawar untuk membaiki hati yang sakit. Pahit tetapi itulah ubatnya. 

Setiap kali kita menelan pahitnya ubat, kita berharap ia akan terus masuk ke dalam perut tanpa sempat lidah merasanya. Begitu juga dengan ujian kesusahan hidup, setiap kali kita melaluinya, kita berharap ia akan segera berlalu kerana kita tidak mampu lagi menampung pahitnya ujian itu. 

Dan tika kita telah melaluinya, tidaklah ia berlalu melainkan dengan izin Allah s.w.t.  Kita rasa kita tak mampu menanggung bebannya, namun, bila ia berlalu, kita rasa seolah sekejap saja ia berlaku. 

Segala Puji Bagi Allah yang memberi kemudahan untuk kita. 

Pahit Itu Ingatan Sayang Tuhan

Allah memberi banyak nikmat untuk kita. Tidak terkira. 

365 hari setahun, hanya 30 hari saja mungkin kita tidak sihat. Selebihnya kita nikmati nikmat sihat kita. 
30 hari Allah beri sebulan pada kita, mungkin hanya 3 hari saja Allah uji dengan ujian berat pada kita. 

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
[Surah Ibrahim: 7]

Ibrah Pahit Untuk Diriku

Baru-baru ini, si mujahid kecil saya kurang sihat hampir sebulan. Dimasukkan ke wad akibat jangkitan paru-paru (pnuemonia). Seperti ibu-ibu lain, memang hati saya bersedih melihat keadaannya. 

Saya berusaha mengingatkan diri. 
Sepanjang saya menjaganya sendirian (berjauhan dari suami), Allah memberi sangat banyak kemudahan menjaga Khubaib. Tidak kira dari segi ragamnya atau kesihatan, Alhamdulillah mudah. Selepas hampir 8 bulan Allah beri nikmat sihat, Allah beri pula ujian. Takkan sebab ujian yang sedikit ini, nikmat yang sebelum ini saya nafikan.

"Mana nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu dustakan?"
[Ar-Rahman; 13]

Allahu Akbar, ini juga ujian buat si kecil mujahid serta kami sekeluarga. 
Dengan berbekal ilmu perubatan yang Allah beri, saya tabahkan hati. Melihat suami di sisi yang lebih halus jiwanya dari saya, saya memberi semangat.
"InsyaAllah, takda apa-apa."
Di saat saya juga mengumpul kekuatan dari hati... hanya pada Tuhan jua tempat menyandarkan hati. 

Pahit ujian ini. Namun, ini hanyalah sedikit berbanding mereka yang lain. 

Allah dah siap ukur kepahitan ini sesuai dengan si perasa. Takkan Allah bagi yang tidak mampu kita menanggungnya. 

Nikmatnya melebihi ujiannya. 
Ujian adalah tempat kita diuji.
Semoga kita kekal dalam redhaNya.

~Hati pun nak selalu kena bagi ubat agar ia boleh berfungsi dengan lebih baik. 
Wahai Allah, pandulah hati-hati kami hanya untukMu~

Nov 2, 2015

Hati Biar Jadi Antik, Bukan Jadi Usang


~Moga hati akan terus berjuang, berpegang teguh pada Deen sehingga menemui Tuhannya~

Lama sangat dah tak menulis. Menjadi usang nampaknya laman ini.
Kalau lama,  dibersihkan selalu tetap akan cantik dan dipanggil antik. 
Namun,  kalau lama dan tidak dibersihkan menjadi sarang  habuk dan pelbagai semak samun yang semakin menjalar,  maka yang cantik pun akan jadi usang.  

~Hold on tight, dear heart!~


Maaf.  Masih sedang berjuang.  Menjadi ibu kepada si pejuang kecil meneruskan hari-hari bekerja tanpa ditemani suami memerlukan jumlah masa dan tenaga besar. Ditambah lagi perjuangan sarjana yang belum selesai. Mohon doa semua,  moga ini adalah semester terakhir saya  sebelum mengkhatamkan kelas ilmu ini dengan segulung pengijazahan yang bermakna untuk ummah. 
Bukan itu sebenarnya isi mesej entri kali ini. Banyak idea untuk menulis namun mungkin cukup ringkas dan moga ia berisi kali  ini. 

Antik dan usang bukanlah hanya pada benda.
Kisah hati antik mengisahkan tentang hati yang boleh berusia lama mana jua namun sering  dibersihkan dengan peringatan-peringatan kepada Pencipta,  dibasuh dengan air mata khauf kepada Sang Khalik membuatkan ia menjadi antik. 

Hati yang antik tetap terus cantik.  
Nilai nya tetap tinggi walaupun mungkin dirinya sudah berusia lanjut.  
Mata akan tertumpu padanya kerana ia adalah manusia Allah yang unik di mataNya.  
Biarpun di telan zaman,  hati yang antik tetap asli dengan kesuciannya.  

Hati yang usang tidak perlu dikira usia.  
Yang baru pun boleh jadi usang jika dah banyak habuk yang bersarang.  Bukan saja tidak dikehendaki,  bahkan akan terus dijauhi.  

Hati,  jika tidak dibersih,  pasti ada zarah habuk yang melekat. Tidak ada cara terbaik melainkan dengan peringatan kepada Tuhan Yang Esa. Kita manusia memang selalu terlupa.  Jika lama tidak dibersihkan,  hati yang usang boleh jadi lupa diri.  

Peringatan,  pembersihan diri dan  hati bukan dibuat setahun sekali atau dibuat sambil lewa saja.  Lagi kuat dan kerap ribut dugaan yang mendatang,  lagi kuat lah lagi hati kita perlu berpaut pada Allah Rabbul Izzati.  Ingat,  nikmat itu pun ujian hati. 

Peringatan ini jua buat diri saya ini. Takut lupa diri,  hingga infaq diri dan hati pada Allah bukan lagi prioriti. 

Ya Rabbi,  tetapkan hati-hati kami di jalan-Mu.  

~Jalan ini penuh liku.. Doa, doa, dan doa.. Kekadang diri alpa.. tapi doa agar diri tidak lupa~

Aug 8, 2015

Di Bawah Cinta Sempurna-Nya


~Semoga dengan kita di bawah naungan-Nya, kita sentiasa berjalan di bawah bayang-bayang kesempurnaan-Nya walaupun hidup kita tidak sempurna, ketenangan jiwa bersama kita~

Kehidupan ada tangis, tawa, suka dan duka. 

La yukallifullah hu nafsan illa wus'aha.
Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
(Al-Baqarah; 2: 286) 

Hidup adalah ujian.. semua orang pasti tahu.
Namun, bila berdepan dengan ujian, kita selalu lupa yang kita sedang diuji.
Kita sering diuji dengan cerita ketidaksempurnaan hidup ini. Segala-galanya di sekeliling kita tidak pernah sempurna. Tatkala kita sedang mengukir senyum, ada saja episod yang menarik senyum di wajah kita dan menggantikan ia dengan duka. 

~Kita tidak pernah sempurna, namun kita belajar untuk baiki ketidaksempurnaan ini dengan petunjuk-Nya~

Untuk kita, tiada sesiapa pun sempurna termasuk diri kita, dan oleh itu Allah ajar kita menuntut ilmu untuk tarbiyah diri yang tidak sempurna ini. Bukan natijah menuntut ilmu atau tarbiyah diri untuk kita jadi sempurna, sebab kita memang tidak pernah akan dapat keputusan SEMPURNA itu. 

Kita tidak ada ibu bapa sempurna, tidak ada keluarga sempurna, tidak ada pasangan sempurna, tidak ada kawan-kawan sempurna. Ke mana-mana kita pergi kita akan jumpa ketidaksempurnaaan. Diri kita pun tidak sempurna. Itulah realiti. Namun ketidak sempurnaan inilah yang mengarahkan kita untuk mencari yang sempurna iaitu hanya Tuhan Yang Maha Satu. 

Saat kita kecewa dan sedih atas ketidak sempurnaan baik dari diri atau sekeliling kita, Allah suruh kita ingat Dia Yang Maha Sempurna. 
Saat kita rapuh dalam ketidaksempurnaan hidup ini, Allah suruh kita bersandar pada kesempurnaan keteguhan Dia. 
Saat kita merasa kita kurang kasih sayang, kita disuruh meminta kasih sayang yang Maha Sempurna.
Ketidaksempurnaan itulah yang mencetuskan hikmah kita untuk sentiasa melihat dan mencari Pencipta Yang Maha Sempurna. 

Semoga Allah cekalkan hati kita untuk mencontohi kekasihNya, Rasulullah Muhammad s.a.w, dan kita terus memperbaiki diri dengan sentiasa mendekatkan diri pada Dia yang sempurna. 

~Hanya Cinta Sempurna sahaja yang mampu menaungi ketidaksempurnaan hidup.~

Jul 16, 2015

Bila Ramadhan Melambai Pergi


Hari ini sudah 29 hari Ramadhan berlalu.
Ada yg gembira berlalunya Ramadhan kerana ketibaan hari raya. Ada juga golongan yg bersedih dengan pemergian Ramadhan.

Di saat-saat akhir Ramadhan ini, kita mengharapkan pengampunan Allah. Semoga perginya Ramadhan dalam kita tidak menyesali pemergiannya.

Terasa sangat singkat masa bersama Ramadhan. Dengan keterbatasan pertama kali menjadi ibu dan isteri jarak jauh, cabaran meraikan Ramadhan berbanding zaman bujang sangat berbeza.

Hanya kemudahan dariNya saja yang diharapkan. Di akhir Ramadhan ini, semoga Allah merahmati kita dengan anugerah ibrah dan bekalan yang berharga untuk 11 bulan akan datang jika ada umur lagi kita di dunia serta bekalan untuk alam yang lebih abadi.

Semoga Allah terima amalan kita semua dan berjumpa di Ramadhan akan datang.

Taqabbalallahu minna wa min kum...

Minal aidil wal faizin.

May 8, 2015

Mengapa Khubaib 'Adi?


~Cinta dia pada Allah dan Rasul amat saya kagumi. Moga cinta Muhammad Khubaib 'Adi pada Allah dan Rasul juga begitu~


Muhammad Khubaib 'Adi.
Ramai yang bertanya maksud nama mujahid kecil kami setelah kami memberitahu namanya.

~Hari pertama Khubaib 'Adi ke dunia~
Khubaib bin 'Adi adalah sahabat Rasulullah yang tidak ramai antara kita tahu tentangnya.

Semoga Khubaib 'Adi kami ini juga akan mencintai Allah dan Rasul seperti sayang dan cintanya para sahabat Rasulullah kepada baginda. 




~Hatiku diruntun sedih membaca kisahnya. 
Moga kamu anakku begitu juga. 
Cinta pada Allah dan Rasul lebih dari dirimu sendiri. 
Seperti dirinya yang mungkin tidak dikenal penduduk bumi, 
hingga Allah menjagamu sepertinya hingga akhir nanti~

Apr 26, 2015

Melahirkanmu: Ajari Diri Untuk Memberi


~Manusia fitrahnya saling bergantungan, mengharapkan dan diharapkan. Ia sesuatu yang tidak dapat dihindar. Pergantungan dan pengharapan yang paling ampuh adalah pada Tuhan seluruh alam.~

~Di fasa keibubapaan, Allah ajar erti kita rasa menjadi ibu bapa - medan memberi tanpa syarat~


Sejak kecil, kita perlu kasih sayang ibu bapa
Apabila meningkat remaja, kita semakin ingin kebebasan
Lalu tali pergantungan sedikit demi sedikit dilonggarkan
Ada masanya dengan Allah juga kita lalai 
kerana tali pergantungan pada Allah juga kita biar
Diketuk ujian, kita kembali pada-Nya

Fasa-fasa kehidupan umpama tingkat berlainan cabaran 
Ada nikmat juga ujian berlainan 
Firman Allah - manusia diuji untuk dilihat tingkat amalan
Moga fasa demi fasa kehidupan
Kita hidup dengan redha Allah 
Pengakhiran dengan keimananan

Fasa-Fasa Kehidupan

Memasuki alam perkahwinan, banyak ibrah yang saya belajar. Perkahwinan bukan saja penyatuan dua hati atau alam indah yang dinanti-nanti. Perkahwinan banyak mendidik diri. Alam yang Allah izinkan untuk tarbiyah hati. Alam untuk kita saling bertolak ansur, menerima seadanya pasangan yang tinggal bersama, mendidik diri untuk merendahkan ego, mentarbiyah hati untuk sentiasa berbalik kepada Allah Yang Maha Mengetahui dan Mendengar.

Alhamdulillah, Allah izinkan saya untuk memasuki alam keibubapaan. Walaupun baru beberapa hari Allah anugerahkan mujahid kecil ini, ia banyak mendidik diri. Alam ini bukan saja mengajar untuk bersabar. Namun, ianya adalah alam untuk memberi tanpa batas. Memberi, memberi dan memberi.


Fasa Menanti Kelahiran

Baru diri ini sedar betapa sukarnya menjadi ibu bermula dari mengandungkan si kecil - pelbagai karenah perlu dilalui. Alhamdulillah, proses mengandungkan mujahid kecil ini tidak seteruk mana. Kemudian proses melahirkan yang pertama kali ini merupakan pengalaman yang agak traumatik - bak kata sahabat saya, Mawaddah yang sudi meminjamkan masa mendengar luahan rasa. Ya, agak perit apabila melalui pengalaman uterine hyperstimulation  selepas  induction of labour walaupun saya telah mengalami kontraksi. Doktor yang saya beritahu bahawa saya telah mengalami kontraksi bermuka cuak dan mengatakan bahawa sejam selepas itu saya akan melalui pemeriksaaan Cardiotocograhpy (CTG). Namun, sejam berlalu, tiada siapa kembali memeriksa saya.

Hanya lima jam kemudian, doktor pakar dan dua orang pegawai perubatan yang lain datang ke katil saya. Terkejut doktor pakar apabila saya mengatakan jumlah kontraksi yang saya alami dalam 10 minit. Pelik kerana doktor pakar yang melihat graf CTG saya nampak kontraksi berlaku. Pegawai perubatan yang sebelum itu memberi laporan bahawa saya tidak mengalami kontraksi telah diarahkan untuk mengeluarkan ubat Prostin itu kembali. Peritnya, hanya Allah yang mengetahui.

Cukuplah hanya setakat itu perkongsian pengalaman saya.

Satu ayat selalu diulang zawj saya tatkala itu adalah "Ini bahagian masing-masing ".

Lama saya renung maksud itu. Dan tika itu baru Allah ingatkan saya bahawa :

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya"
(Surah Al-Baqarah ; 2:286)
Moga Allah bersihkan diri saya yang berdosa ini. Semoga dijadikan ibrah bersama.


Medan Memberi 24 Jam Sehari

Perjuangan memberi bukan saja di luar rumah bahkan ia bermula dari dalam rumah lagi. Peluang memberi tanpa meminta balas adalah medan di rumah ini. Hanya redha Allah yang diharapkan. Jika sebelum ini kita bukan orang yang penyabar, inilah medan kita didik diri untuk bersabar. Jika sebelum ini kita pentingkan diri, inilah medan kita mengutamakan yang lain lebih dari diri sendiri. Jika sebelum ini kita kurang menyelami pengorbanan ibu bapa membesarkan kita, inilah medan Allah beri kita menghayati pengorbanan tanpa syarat mereka. Jika sebelum ini kita sukar untuk memberi, inilah medannya kita untuk berjuang memberi di rumah sendiri - 24 jam 7 hari seminggu.

"Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu."
(Luqman; 31:14)


Pembungkus

Masih jauh lagi langkah ini sekiranya diizinkan Allah. Saya masih lagi bertatih bukan hanya setakat mendapat gelaran isteri dan ibu namun untuk menjadi isteri solehah dan ibu solehah pada keluarga untuk mendidik generasi hamba-Nya yang diredhai. Mampu atau tidak bukan soalnya. Ilmu dan usaha perlu ada, serta doa untuk terus istiqamah dan memohon kekuatan dari Allah. Kerana saya manusia yang lemah dan tidak berdaya melainkan pergantungan dan sandaran yang tidak berbelah bagi pada Allah yang Maha Kuasa.

Fasa kehidupan akan terus dilalui. Moga ibrah akan melekat di hati untuk mendidik diri.

~Melahirkanmu suatu pengalaman mendidik diri bahawa diriku lemah dan sentiasa perlukan Allah. Antara hidup dan mati, kelahiranmu tetap dinanti. Semoga Allah meredhai.~


 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino