Mar 30, 2025
Nota Ramadhan-Syawal 1446H: Catatan Yang Sukar Dilupakan
Feb 10, 2025
Tak Perlu Belajar Kemahiran Komunikasi?
~"Komunikasi pun nak kena belajar ke? Cakap dan dengar je pun nak belajar?"~
![]() |
| ~Doa mohon kelancaran berbicara~ |
Apabila ada sesuatu yang kita dah biasa buat, kita tak tahu pun dan tak ada kesedaran untuk menambah baik rutin kerja yang kita lakukan.
Mungkin sebab kita rasa dah biasa. Dah biasa buat. Jadi, buat apa nak belajar kan?
Tetapi kita lupa, orang yang berlumba lari pun perlu tahu teknik betul untuk berlumba. Orang yang biasa bermain bola pun perlu tahu teknik betul untuk bermain bola.
Satu kebiasaan bukan sentiasa betul. Tetapi yang betul itu yang perlu kita biasakan.
Jadi, bercakap dan mendengar ni ada cara betul ke dan tak betul ke?
Berlatih Cakap Apa Yang Perlu
Kali pertama, saya belajar untuk berkomunikasi atau menyampaikan sesuatu sewaktu dalam arena perdebatan.
Saya hanya ada 7 minit saja, untuk pengenalan, membalas apa yang telah disuarakan oleh pihak pembangkang, menegakkan semula pendirian kami, dan bentang baki 2 poin utama kami, dan buat kesimpulan ringkas. Tujuh minit saja ye, pandai-pandailah nak buat semua. Kemudian, jadi penggulung di akhir sesi debat, memang pandai-pandailah nak cakap secara 'tepat dan singkat'.
Kali pertama cakap depan cermin, tak cukup masa nak cakap semua. Meleret-leret, banyak bebel entah hapa-hapa. Berkali-kali praktis, tengok macammana cara pembahas yang hebat-hebat bercakap dan struktur mereka berbahas, akhirnya cukup masa.
Nak bercakap pun kena berstruktur ye.
Cakap dan Dengar
Sewaktu masuk tahun pertama ijazah kejururawatan dahulu, ada satu topik Effective Communication in Nursing atau Komunikasi Berkesan dalam Kejururawatan dalam subjek Fundamentals of Nursing.
Waktu tengok course outline tu rasa macam, "ini pun kena belajar ke?" kan...huhu.
Alhamdulillah tetapi pensyarah-pensyarah kami jadikan subjek ini lebih menarik sebab kami banyak kena buat 'role-play' dan banyak ye tugasan yang memerlukan kami mengasah bakat menjadi pelakon, produser, pengarah, penerbit, penyunting video untuk menghasilkan video berkualiti. Kumpulan saya mempunyai 5 orang ahli, 4 perempuan dan seorang lelaki.
Alhamdulillah, di hujung semester perlu bentang hasil lakonan kami di depan pensyarah dan Dekan fakulti, dan ada pensyarah-pensyarah termasuk yang menitiskan air mata melihat lakonan kami. Saya pun tak ingat saya berlakon watak apa kali itu (yang penting bukan watak utama).
Cuma, ia hanya sekadar lakonan tetapi kami perlu tahu apa perlu kami 'cakapkan', bila waktunya perlu kami jadi 'pendengar', dan bila waktunya perlu kami 'sampaikan'.
Nampak macam 'simple' kan? Tetapi tidak semudah itu.
Hatta, soalan-soalan sebegini banyak ditanya di dalam soalan Peperiksaan Lembaga Jururawat Malaysia atau versi peperiksaan kejururawatan antarabangsa National Council Licensure Examination (NCLEX). Bagi saya sendiri, soalan-soalan ini bukanlah soalan yang mudah.
![]() |
| ~Contoh soalan tentang komunikasi, agaknya apa jawapannya?~ |
Selepas belajar, baru perasan sebenarnya semua ini banyak mengajar saya untuk berkomunikasi dalam hidup ini.
It's a lifetime lesson.
Kadang-kadang apabila saya marah sesuatu pada anak-anak, dan kemudian jadi ibu 'normal' semula, anak-anak akan tanya dan pelik.
"Tadi kan Ummi marah." Tanya anak-anak.
"Waktu bila patut marah memang kena marah, lepas tu dah habis, sabar dan move on. Tak payah emo-emo." Jawab saya.
Ya, marahlah pada tempatnya. Nasihat pada tempatnya.
Bercakap dan mendengarlah pada tempatnya.
Saya belajar bercakap supaya orang faham poin apa yang saya nak sampaikan.
Saya belajar diam untuk mendengar. Dan bukan bangun dan pergi ketika orang sedang luahkan perasaannya pada saya.
Saya belajar untuk tidak tiba-tiba memotong percakapan atau membela diri sendiri atau terus bersifat judgmental dalam perkataan.
Jadi...
Jadi, perlu ke atau tidak sebenarnya belajar berkomunikasi?
Ya, belajar lah buat sesuatu dengan betul. Hatta dalam mendengar dan bercakap yang kononnya kita dah sangat mahir bertahun-tahun tu.
Kadang-kadang kita marah, kenapa orang tak dengar apa yang kita cakap?
Tapi pernah tak kita tanya diri kita, kenapa orang tak dengar apa yang kita cakap?
Sebab cara kita berkomunikasi ke, atau ada sebab yang lain?
Belajarlah.
Doa untuk orang faham perkataan kita pun sering kita baca sejak zaman sekolah, kan?
Bagaimana Nabi s.a.w bercakap dan dalam keadaan apa pun banyak sebenarnya contoh dalam sirah Nabi? Dalam situasi bagaimana, apa nak cakap, dan perlu cakap apa...
~Tetapi kadang-kadang kita manusia terlalu ego untuk melihat sendiri kelemahan diri kita. Semoga Allah tunjukkan jalan sebaiknya kepada kita untuk mencontohi baginda Rasulullah s.a.w dalam tutur kata dan perbuatan~
Feb 6, 2025
Fokus dan Jaga Emosi!
~Saya sedar saya makhluk yang ada hati dan perasaan. Dan hati dan perasaan tu adalah amanah untuk saya menjaga dan mengurusnya~
Matlamat Besar
Insya Allah tahun 2025 ini, saya ada matlamat besar untuk diri saya, keluarga, ummah dan untuk dapatkan redha Allah.
Dan matlamat itu adalah satu perkara yang besar.
Saya sedar emosi mempengaruhi tindakan saya.
Salah satu ilmu daripada mentor pengurusan tesis yang saya pegang: Emotion affects Motion.
Sebelum ni saya sedar tentang itu tetapi mungkin tak berapa yakin dengan fakta itu. Dan bila ada mentor yang mengvalidasikannya, saya lebih yakin tentangnya.
Bersinar atau Hilang Dari Radar?
Bukan senang kan nak jadi manusia sebab kita ada hati dan perasaan yang kita perlu jaga. Emosi kita tak selalunya dalam kadar stabil. Kita tak mampu kawal perkara yang mencuit hati dan perasaan kita.
Tapi kita boleh pilih cara kita untuk bereaksi dengannya.
Berapa ramai yang telah kecundang dek kerana emosi yang tidak terkendali, walhal mereka dahulu merupakan pemegang cita-cita dan impian besar?
Saya menyaksikan perkara itu berlaku di kalangan sahabat dan kenalan. Yang antaranya dahulu menjadi tauladan untuk saya jejaki mereka. Tahun demi tahun berlalu, ada yang terus bersinar, dan ada yang terus hilang dari radar.
"Sikit lagi Nadiah. Kau dah nak sampai dah. Sikit lagi, jangan putus asa dan bersedih dengan apa yang terjadi. Jalan terus."
Ah, terus saya teringat ketika zaman akhir-akhir tahun ijazah pertama. Bertimpa-timpa ujian datang. Sampai baca buku pun menangis, tengok cerita pun menangis, makan pun menangis, nak tidur pun menangis. Dua minggu saya tak boleh tidur baring, sebab rasa sesak nafas, dan perlu tidur separa duduk (45 darjah dari katil). Tapi Alhamdulillah saya buat comeback untuk jadi lebih kuat. Saya teruskan training dalam futsal, dan dapat bersama pasukan UIA Kuantan dapat tempat kedua di Pertandingan Sukan IPT Pantai Timur. Semester yang sama dapat jadi antara penerima Anugerah Dekan. Saya nak tamatkan zaman pelajar ijazah saya dengan momen yang indah.
Waktu tu walaupun diri masih belum betul-betul matang, saya katakan 'kalau itu pun saya telah dapat lalui, kenapa bukan kali ini?'
Dan berapa banyak lagi episod setelah itu terutama perkara-perkara besar yang mengganggu emosi ini yang telah saya hadap dengan baik dengan izin ALLAH swt.
Memang saya lemah tapi saya ada Allah sebagai tempat saya mengadu dan berharap.
Tugas Hari Ini
Hari ini, saya ada tugas yang lebih berat dari kelmarin.
Syukur, zaman ijazah pertama, saya masih ada kawan-kawan sekuliyyah, dan luar universiti yang boleh distract kesedihan saya. Dan zaman sarjana, saya ada rakan-rakan sekerja yang juga sama ambil sarjana di tempat yang sama untuk kongsi rasa. Dan Alhamdulillah, untuk habiskan Phd kali ni, Allah kurniakan lebih ramai orang-orang positif di sekeliling saya, tambah lagi ada mentor dan proses untuk saya terus belajar.
"Nadiah, kau nak capai benda besar dan masa dah hampir ke garisan penamat. Jangan sampai emosi negatif tu hancurkan momentum kau. Kau dah nak sampai. Kalau kau berhenti dan layan sedih kau, momentum kau akan jadi perlahan, jatuh. Kau kena laju sebab waktu tak tunggu kau."
Kalau boleh memang kita nak cakap, boleh tak jangan uji perasaan aku waktu ni?
Tapi saya sedar semua orang berhadapan dengan ujian. Itu tanda Allah sayangkan?
![]() |
| ~Yakin, insya Allah, hari tidak selalu cerah, tapi akan datang hari-hari indah~ |
Dec 5, 2024
Generasi Strawberi dan Bah!
~Didiklah anak-anakmu sesuai dengan zamannya~
Aduan Anak-Anak
Tengahari tadi, Umminya ni ambil anak-anak dari sekolah, sambil menyaksikan muka Fathimah atau nama panggilan di rumah Amami; yang tidak senyum masuk ke dalam kereta. Sebabkan sambil drive tadi video call dengan nenek anak-anak ni bermula dari rumah sampai balik semula ke rumah, jadi nampaklah Fathimah dok pendam perasaan dia tu. Tunggu masa nak luah kat Umminya.
Masuk je rumah, dia dah mula menangis.
"Kenapa ni?" Tanya Ummi.
"Ain tu (bukan nama sebenar)...." Fathimah mula meluah sambil menangis. Al-kisahnya rakan yang agak rapat dengannya mengambil buku 'mencari benda tersembunyi' daripada dalam beg sekolahnya, dan mencari benda-benda tersembunyi tersebut menggunakan pen marker pula, dan hanya meninggalkan satu saja lagi muka surat yang belum dibuat, tanpa kebenarannya.
"Dahlah Amami pakai duit Amami sendiri."
Al-kisahnya Ummi pun baru tahu dia beli buku tu pakai duit belanja dia sendiri, dan Ummi dia ni pun tak tahu dia beli tu.
Fathimah ada sedikit karakter perahsia ye, dan yang ni lah yang Ummi dia nak kena selalu pantau. Berbanding Khubaib yang lebih berterus terang dengan Ummi.
Dah habis menangis-nangis sambil Ummi peluk dia, tapi masih juga tak reda-reda tu, datanglah abang dia tanya kenapa, dan kemudian minta adik dia 'pukul' je kawan dia tu tadi.
"Takkan sebab tu je nak pukul." tegur Ummi.
"Kadang-kadang common sense orang tak sama macam kita. Cakaplah dengan dia, yang saya tak suka awak ambil barang saya tanpa izin saya. Pernah cakap?" tanya Ummi.
Mengajar anak-anak supaya berani meletakkan sempadan (boundaries) pada perkara-perkara yang tak disukai.
"Kalau kita tak cakap, orang tak tahu. Orang ingat kita tak kisah. Nanti hari Ahad nanti (sekolah), Ummi nak Fathimah cakap dengan Ain, boleh?" sambung Ummi.
Tapi tangisan Fathimah masih tak reda. "Amami tak nak. Nak Ummi cakap dengan ibu dia." berulang kali disebutnya tu.
"Amami, ibaratnya yang gaduh 2 orang je daripada 2 buah negara. Takkan pula kerana 2 orang tu yang gaduh, negara-negara ni nak baling bom, berperang. Ummi nak ajar Amami selesaikan sendiri kat sekolah. Cakap dengan dia sendiri. Sampai bila semuanya nak mak ayah masuk campur dalam konflik sendiri."
Al-kisahnya, tangisannya tetap makin kuat. Tak puas hati atas cadangan Umminya.
Disebabkan azan Zohor pun dah berkumandang, Ummi pun bangun nak solat. "Dah, pergi mandi, lepas tu solat. Sabar dan solat."
Sampailah Ummi habis solat, dia masih menangis tapi dah berkurang. Setelah persiapkan diri untuk solat, Fathimah, tak menangis lagi.
********
Selepas solat, sambil Ummi menghidangkan makanan di meja makan, Khubaib bersuara.
"Ummi, boleh tak petang ni Khubaib tak nak sekolah?"tanya Khubaib.
Sejak semalam lagi Khubaib dan Fathimah minta tak nak pergi sekolah. Sambil memberikan pelbagai alasan.
Aduan semalam:
"Ummi, kenapa cikgu pilih kasih? Kat perempuan, cikgu tak denda pun."
"Ummi, Khubaib dah tak nak buat 3S dah... yang Senyum, Sapa, Salam. Bila kelas Khubaib bising, tapi Khubaib tak bising pun, Khubaib senyum je, Cikgu dari kelas sebelah datang kelas Khubaib, lepas tu cakap dengan Khubaib, apa sengih-sengih? Khubaib tak nak senyum dah."
"Ummi, Amami tak nak pergi sekolah petang sebab berat lah kena berdiri bawa beg waktu perhimpunan. Cikgu-cikgu tak payah bawa beg pun."
"Ummi, esok ada bacaan Yassin kat sekolah tapi cikgu-cikgu pun tak baca Yassin. Ada tu yang bercakap-cakap, jalan sana sini je."
"Ummi, cikgu tu kat koperasi suruh kita buat barisan tapi dia tak payah pun berbaris, terus bayar je kat depan."
"Ummi, esok bukan ada ngaji pun. Asyik takde ngaji je, sebab kena bebel, kena bebel, kena bebel."
Dan macam-macam lagilah ketidakpuas hatian mereka tu. Sambil berkaca-kacalah mata Khubaib meluahkan perasaan dia tu.
Tapi Umminya masih tak bagi jawapan untuk meng'iya'kan cuti mereka pada hari Khamis. Ummi hanya bagi nasihat terutama waktu lepas sesi doa usai solat berjemaah solat Zohor semalam.
Jadi, hari ni mereka meminta lagi izin untuk tak bersekolah tetapi macam dah kurang beremosi berbanding semalam.
"Khubaib, Amami, kat mana-mana je kita akan ada jumpa orang yang menguji kita. Hidup ni tak perfect. Yang perfect tu kat Syurga je."
"Nanti dah besar pun, akan jumpa juga. Kat tempat kerja. Takkan sebab ada bos yang bermasalah, kita tak nak pergi kerja. Asyik nak cuti je. Belajar untuk hadap masalah tu. Jangan lari daripada masalah."
"Bina daya tahan diri tu. Sampai bila nak Ummi masuk campur konflik dalam hidup awak. Ummi boleh guide, bagi nasihat. Tapi diri sendiri kena belajar macammana nak urus konflik tu."
Sambung Ummi panjang lebar sambil ulang alik ke dapur dan meja makan.
Kedua-duanya sambil makan tu mengiyakan kata-kata Ummi. Sambil Ummi sambung pula tentang cerita Allahyarhamah Moyang Nyenyet (panggilan Ummi pada nenek saudara) iaitu kakak kepada Moyang mereka, seorang yang sangat positif, happy go lucky, walaupun nampak je hidup dia susah, tapi dia tak mudah stress, sentiasa senyum je. Ada je rezekinya. Tak pernah tengok dia marah. Itulah juga pengasuh pertama Umminya waktu baby di Kuala Lumpur dulu.
*****
![]() |
| ~Ibu bapa Strawberi dan anak-anak Strawberi~ |
Generasi Strawberi
Hari ini kebetulan terjumpa istilah ini dalam Facebook. Ingatkan ada Gen Z je, rupanya dah ada generasi buah-buahan ye sekarang. Ke sebab abjad tu dah habis?
Jadi, sambil menggoogle apa itu definisi sebenar generasi strawberi, terjumpa juga "Strawberry Parents" yang melahirkan generasi strawberi ni.
Antaranya sifat 'over protective', asyik nak tolong anak sampaikan anak terlalu bergantung kepada ibu bapa, selalu nak kabulkan permintaan anak-anak, dan tak ada 'punishment' untuk kesalahan anak.
Terus muhasabah keadaan diri anak-anak dan realiti anak-anak zaman sekarang. Nak jadikan anak-anak berdaya tahan bukan mudah, di samping kerisauan ibu bapa kepada isu-isu semasa yang mungkin mengganggu gugat keselamatan anak-anak.
Walaubagaimanapun, setiap kerisauan ibu bapa dan intervensi tidak boleh dipukul sama rata. Ada masa perlu tegas, ada masa perlu ditunaikan mengikut keperluan, ada masa jadi 'protective'. Ibu bapa kena rajin menilai situasi, tanpa mudah memberikan solusi yang sama untuk semua perkara.
Bah!
Kebetulan tadi terbaca tentang Generasi Strawberi ini berkaitan isu banjir dan pelajar-pelajar SPM, di mana pelajar-pelajar calon SPM perlu menduduki SPM walau dalam keadaan banjir.
Em, isu banjir hujung tahun ni bukan perkara baru. Dah lama. Penat nak cerita perkara sama, setiap tahun berlaku, apakah perancangan yang sepatutnya diberikan untuk anak-anak ni menghadapi peperiksaan dalam situasi yang lebih baik. Tolong jangan samakan dengan keadaan anak-anak di G4za, di mana ia situasi yang tidak dapat dielakkan, tidak dapat dijangkakan bila serangan-serangan dilakukan. Sedangkan kita mempunyai banyak resources, penambahbaikan, kepakaran, dan jangkaan ramalan tentang bencana yang bakal berlaku.
Baru je cakap dengan anak-anak di meja makan tadi, "Ummi ni buat kajian tentang membina daya tahan anak-anak, mengurangkan risiko dan meningkatkan faktor perlindungan untuk anak-anak supaya berdaya tahan. Jadi, anak-anak Ummilah yang akan jadi hasil kajian pertama untuk Ummi didik."
Risiko boleh dinilai. Dan faktor perlindungan yang mana perlu ditingkatkan juga perlu dinilai untuk kurangkan kesan kepada mereka yang bakal terkesan. Isu saban tahun, sepatutnya bukan lagi kerisauan jika semua yang ada sumber ilmu kepakaran, dana dan sebagainya memberikan sumbangan. Sebab semua dah dalam jangkaan. Bukan hari ini kita tinggal di bumi, semalam kita tinggal di Marikh.
~Terus teringat waktu PMR dulu, tiba-tiba diberitahu bekalan air tiada pada hari peperiksaan. Pukul 3 pagi, mungkin orang lain tengah ulangkaji atau tengah tidur lena. Tapi kami dok pergi bilik air sambil beratur menadah air dalam baldi untuk bersiap esok pagi sebelum pergi menghadapi peperiksaan di pagi hari. Alhamdulillah, result keluar dengan sebaiknya.~
Nov 21, 2024
Hanya Tuhan Yang Tahu: Bertahan Menuju Cahaya
~Hidup ni penuh dengan struggle, tapi yang susah pasti Allah sertakan nikmat kesenangan bersamanya.~
Hidup dan Ujian
Tiada manusia dalam dunia ini yang tidak diuji.
Ada yang diuji dengan keadaan keluarga, ada yang diuji dengan kesibukan kerja, ada yang diuji dengan kesihatan, ada yang diuji dengan perasaan, ada yang diuji dengan cabaran kewangan dan pelbagai lagi ujian yang Allah hadirkan.
Kadang-kadang hidup rasa gelap, kadang-kadang hidup rasa bersinar bahagia, kadang-kadang ada mendung, kadang-kadang hidup ini seperti ada pelangi.
Inilah kehidupan dunia.
Penat, cabaran bersilih ganti dengan kebahagian akan datang dalam hidup ini.
Asbab untuk kita menuju cahaya-Nya menuju ke taman Syurga yang abadi.
Golongan yang Sedikit
Tak ramai yang mampu untuk terus bertahan. Tak ramai yang mampu untuk terus duduk dalam jalan kebaikan berliku ini. Ada yang malu dan terus meninggalkan sahabat-sahabat yang positif kerana cabaran dalam hidup, dan memilih untuk menyendiri. Bak kata mentor saya di kuliah Subuh minggu lalu, bukan mudah ye nak menjadi 'golongan yang sedikit' ini.
Kita lebih suka berehat dan duduk dalam 'comfort zone' di dunia yang hakikatnya ladang untuk kita bekerja menanam amalan, dan untuk kita diuji.
"Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun."
(Surah Al-Mulk: 2)
Sedalam mana pun lubang kegelapan tempat kita jatuh bila diuji, atau seberapa banyak kali pun kita jatuh tersembam, tersungkur atau tergolek sekalipun, jangan mudah menyerah.
Menangislah saat kita sangat penat dan lelah. Teresaklah dalam doa kita kepada Allah. Kerana yang mampu memberikan kita kekuatan adalah Allah.
Kita berhentilah sejenak untuk kita rawat dan rehat, tapi jangan berhenti daripada meneruskan langkah menuju cahaya-Nya.
![]() |
| ~Ibrah kisah 3 sahabat dalam buku yang sedang dibaca "Cerita untuk Jiwa dalam AQ", dengan tagline '...tetaplah bertahan, kerana kita hidup berTuhan...'~ |
Muhasabah Diri
Ini bukanlah untuk orang lain, tetapi juga untuk diri sendiri. Yang sangat selalu rasa kecewa dengan diri sendiri saat belum mampu jadi hamba-Nya yang terbaik.
Hanya pada Dia diri ini mengadu segala kekurangan, keaiban, penat, lelah dan kebuntuan.
Kita semua hakikatnya sama, sedang diuji hingga saat kita tak boleh lagi menanam amal di ladang dunia ini.
~Di mana pun posisi kita, jangan pernah kita putus asa dengan rahmat Allah.~
Nov 13, 2024
Cerita: Kuasa Minda Separa Sedar
![]() |
| ~Kuasa minda; salah satu bukti ciptaan-Nya yang sangat hebat~ |
"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"(Surah Ar-Rahman; 55:13)
Alhamdulillah.
Oct 29, 2024
Nikmati Rasa Sakit Itu











