::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

May 3, 2013

PRU-13 Kali Ini


~Undi bukanlah hanya satu perkataan sambil lewa, undi itu adalah cakna kita kepada rakyat, masyarakat dan pimpinan negara serta pembinaan generasi seterusnya~

~5 Mei 2013: Hari yang bermakna buat rakyat Malaysia~

Fenomena Ini Kalilah

Fenomena 'Ini Kalilah' dilihat di mana-mana di laman sesawang mahupun laman sosial.

"Pelik ye. Kenapa semua sebut 'ini kalilah'?"  suara memecah kesunyian di pejabat.

Seorang rakan berbangsa Cina berkata,"Naddy, kamu ada di negara mana sekarang?"

Rakan-rakan yang lain kemudian menyampuk sama.

"Ini kalilah kita ubah!" Kedengaran kata mereka dalam keadaan yang tak berapa serentak.


Pilihan Raya ke -13 (PRU 13) 

'PRU13 ini adalah PRU yang mencatat sejarah', kata seorang wanita dipanggil dengan gelaran nenek di kampung. Tidak pernah sesengit ini.

Bukan saja kempen PRU13 dipaparkan dengan pemasangan bendera dan poster di jalan. Bahkan asal buka televisyen saja, kempen terus berjalan baik dengan berita, dokumentari mahupun dendangan lagu yang pelbagai. Begitu juga dengan kempen di laman sesawang yang tak kurang hebatnya.

Mari Mengundi

Saya juga pernah jadi anak muda ; awal 20-an. Seingat saya, waktu PRU12, saya baru saja melepasi tarikh lahir saya dan beberapa minggu kemudian, parlimen telah dibubarkan. Tetapi waktu tu perasaan untuk mengundi tidak secakna ini.

Namun, setelah menjadi seorang pekerja yang sepenuhnya menguruskan sumber kewangan sendiri, yang telah lebih banyak melihat fenomena-fenomena yang terjadi dengan mata yang lebih terbuka, SATU UNDI itu AMAT BERMAKNA.

Marilah mengundi. Tunaikan hak kita bersama,

Pembungkus 

Masih ada dua hari lagi sebelum pilihanraya. Undi, usaha dan doa, doa dan doa.

Semoga Allah memberi kemenangan kepada pihak yang benar dan membenarkan Islam tertegak di atas muka bumi Malaysia ini, InsyaAllah.

~Allah ingin mendengarkan rintihanmu meminta pertolongan-Nya, wahai rakyat Malaysia!~

Apr 20, 2013

Diam Itu Tanda Sabar?


~Diam dan sabar itu adalah saling terkait; merupakan seni jiwa yang halus yang perlu dipelajari oleh diri dan hati yang dahagakan cinta dan redha Ilahi.~

`
~Silence is a hidden gold~


Pesanan ketika di bulatan gembira terngiang-ngiang di fikiran:

"Perlu bercakap dengan kebaikan. Jika percakapan atau berdiam itu sama saja kesannya, pilih untuk diam."

'Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.'
(H.R. Bukhari dan Muslim)

Iman vs Nafsu dan Syaitan

Pesanan itu ringkas. Mudah difahami. Tapi untuk melaksanakannya bukan suatu yang mudah. Apatah lagi dalam keadaan-keadaan tertentu seperti dihina dan direndah-rendahkan.

"Ah, sukarnya untuk mencontohi budi pekerti Rasulullah s.a.w."

Tatkala itu pertempuran berlaku dalam diri.

Iman vs Nafsu dan Syaitan.

"Ah, tunjukkan padanya bukan dia saja yang pandai berkata-kata. Mengata orang padahal 'koyak kain'nya pun tidak disedarinya." Bisik sebelah pihak di hati.

"Istighfar. Orang yang bijak itu adalah orang yang sabar. Sesungguhnya perniagaan yang lebih menguntungkan adalah pahala kesabaran yang berpanjangan." Terdengar bisikan di pihak satu lagi.

 Si polan melangkah pergi. Pilih untuk melangkah dengan amarah sambil hatinya menyumpah seranah atau melangkah dengan penuh kesabaran dan keyakinan bahawa Allah Maha Mengetahui segala yang tersembunyi di dalam hati.

Pilihan itu ditentukan oleh hatinya. Yang mana yang lebih kuat, dialah yang akan menang; Iman yang lebih kuat atau bisikan syaitan yang mengapi-apikan.

Budi Pekerti

Banyak paparan ibrah dari kisah sirah Rasullah s.a.w yang boleh diteleadani. Bukan hanya namanya yang perlu diingat dalam selawat bahkan setiap perbuatannya yang dicontohi oleh umatnya itu adalah sunnah baginda Rasulullah s.a.w.
Sabar dan diam.

Diam tidak bermakna kita kalah. Bahkan pilihan untuk diam itu lebih baik sekiranya itu sama saja bercakap atau tidak;  atau bercakap menambah burukkan lagi keadaan, maka cukuplah dengan Allah sebagai Maha Penghitung.

"Sekarang Allah telah meringankan kamu kerana Dia mengetahui bahwa ada kelemahan padamu. Maka jika di antara kamu ada seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus (orang musuh); dan jika di antara kamu ada seribu orang yang sabar , nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu dengan seizin Allah. Allah beserta orang-orang yang sabar."
(Al-Anfal; 8:66)

Sabar itu adalah bentuk bantuan dari-Nya.

 "Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar."
(Surah Al-Baqarah; 2:153)

~Apakah yang paling tajam di dunia? Ia adalah lidah. (dari Imam Al-Ghazali)~



Seni Jiwa Yang Halus

Diam dan sabar itu adalah saling terkait. Ia adalah seni halus yang perlu dipelajari oleh diri dan hati yang dahagakan cinta dan redha Ilahi. Biarpun ia sukar. Tetapi seni jiwa yang halus inilah yang mencantikkan budi pekerti.

Biarpun tidak gah di mata manusia, cukuplah menjadi pandangan indah pada pandangan Pencipta.

~Hati itu akan menjadi lembut dan halus dengan iman dan keras serta tidak sensitif apabila gersang dengannya~

Mar 24, 2013

Selagi Teguh Taliku Pada-Nya




~Aku mahu menjadi seteguh karang di lautan. Biarpun dilanda tsunami yang besar sekalipun, ia tetap teguh di tempatnya~ 

~Moga seteguh karang di lautan pegangan ini pada-Nya~
 Seteguh Karang 

Sebegitu juga menjadi seorang manusia di mana hatinya itu ibarat gelodak buih-buih air mendidih yang turun naik. Imannya berkurang dan bertambah. Faktor-faktor luaran sentiasa menerjah dalam bentuk ujian dan dugaan. 

Insan, hanyalah hamba yang lemah. Mana mungkin hati tidak langsung digugat lemah ditimpa mehnah, mana mungkin kadang-kadang air mata tidak menitis di pipi menghadapi segalanya.
Namun, manusia yang lemah itu nescaya akan menjadi kuat hatinya seteguh karang di lautan biarpun dilanda tsunami dugaan yang entah keberapa kali gelombang melanda. 

Ia hanya akan kuat dengan pergantungan yang kejab dan kemas dengan Pencipta-Nya. 

Teguh Hati Dengan-Nya

Mana mungkin ada yang lebih kuat peliharaannya daripada peliharaan Allah, Tuhan alam semesta. 

Makhluk vs Tuhan.
Siapakah yang menciptakan makhluk? Siapakah yang lebih berkuasa? Mana siapakah yang akan menang dalam pertempuran ini?
Yang manakah akan menang, makhluk tanpa Allah atau makhluk bersama Allah?

Tiada yang lebih hebat tanpa Allah.
La hawlawala quwwata illa billah.
Tiada daya dan kekuatan (untuk menolak sesuatu kemudaratan dan mendatangkan suatu yang manfaat) selain Allah SWT.


Rasulullah SAW bersabda : “Siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa billahi, maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan”.

(Hadis Riwayat Tabrani)


Semua Berlaku Dengan Izin-Nya

Setiap yang berlaku kepada mana-mana makhluk hatta sekecil zarah sekalipun adalah dengan izin-Nya. Dan sekiranya kemudharatan diizin oleh-Nya, maka tiada apapun yang dapat menghalangnya. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan untuk seseorang, maka tiada siapapun yang mampu menahannya. 

Sungguh, bagi orang-orang yang beriman yang memegang teguh tali-Nya dan keimanan sentiasa bersemayam di hatinya, Allah tidak akan pernah meninggalkannya. 


Firman-Nya:
"Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah niscaya dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu. "
(Surah At-Taghabun; 64:11)


Walau sukar perjalanan ini
Tidak akan gentar ku menghadapi
Sekiranya telah tertulis oleh Ilahi Rabbi
Rela ku diuji
Kerana ku tahu kasih-Nya kepada diri

Tiada yang mampu menggugat diri
Melainkan Allah mengizinkan
Tiada yang mampu menggugat bahagia
Yang ingin kugapai hingga ke negeri akhirat
Kerana ku tahu selagi nama-Nya ku dakap erat
Hanya dengan-Nya diriku selamat

Bahagia diriku tidak akan dapat ditampan
Selagi dihatiku masih ada Allah yang pertama sebagai Tuhan.
Tidak akan ada kamu
Yang mampu merampas bahagiaku
Kerana hanya dengan ketenangan hati
Yang telah dikurnia Ilahi
Mampu beri bahagia hakiki

~Sekeping hati dibawa berlari jauh melalui jalanan sepi. Jalan kebenaran indah terbentang di depan matamu para pejuang. -Saujana-~

Feb 26, 2013

Akhlak Mulia: Sejenak Ke Ambang Pilihan Raya


~Di mana pun posisi kita, jadilah insan yang berakhlak mulia. Akhlak adalah buah kepada pohon keimanan.~


~Di mana pun posisi kita, jadilah insan berakhlak mulia sepanjang masa~


Walaupun kesibukan dengan fail-fail dan silibus-silibus yang perlu diperkemaskan untuk kelulusan ISO yang bakal datang ke institusi, saya masih lagi sempat meluangkan masa melihat-lihat keadaan dan situasi luar hingga ke Muka Buku yang semakin hangat dengan isu-isu ambang pilihan raya.

Menjadi pemerhati dan mengutip pengalaman untuk undian pertama dalam hidup ini, saya memerhati akhlak insan-insan terutamanya di laman atas talian.
Terlintas terus satu perkara di minda saya ketika melihatnya; semoga kita menjaga akhlak dan adab sesama kita.

Hanya satu saja yang mampu saya katakan berkesimpulan daripada pemerhatian sejenak di ambang pilihan raya ke -13 ini dan saya juga berpesan kepada diri saya sendiri:

"Sungguh, Islam itu datang dalam keadaan dagang dan akan kembali dagang. 
Keimanan ibarat pohon yang jelasnya pohon bermula dari akarnya iaitu aqidah.
Usah dicantas ranting-ranting kering dan daun-daun yang rosak di mata untuk menyelesaikan masalah pohon yang berpenyakit. 
Periksalah dari akar umbinya.
Sucikanlah ladang hatinya; tempat tumbuh pohon keimanan.
Kembalilah kepada menyelesaikan permasalahan yang sebenarnya yang sudah berakar. 
Medically, don't just treat the symptoms but try to cure the underlying pathology or causes of it.
Insya Allah, moga Allah memberi hidayah dari kita semua."

Mari jadikan sirah Rasulullah s.a.w sebagai tauladan kepada kita.
Di mana pun posisi kita, jadikan akhlak yang baik sebagai penyeri diri sepanjang masa sebagaimana baginda Rasulullah s.a.w yang sentiasa berakhlak mulia walau apapun situasinya.
 
Berkata Ummul Mukminin 'A'isyah r.a ketika ditanya tentang akhlak Rasulullah s.a.w. Kata beliau:

"Akhlak baginda  adalah Al-Quran"
Kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Firman Allah s.w.t:

" Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah."
(Surah Al-Ahzab; 33:21)
Cukup dengan mengenali akhlak baginda sahaja, membuatkan kita cinta dan rindu pada-Nya.

~Akhlak mulia penambat jiwa, kadang-kadang tak perlu kata apa-apa~

Wallahu'alam.

Berpesan juga kepada diri.

~Sungguh pada sirah kehidupan baginda terlalu banyak pengajaran untuk kita, apakah kita tidak ingin menjadi generasi pewaris insan istimewa?~

Feb 20, 2013

Sakit Tak Selamanya Tak Berharga...


~Sakit tak selamanya tak berharga, kerana ia kadang datang keadaan yang amat berharga, untuk membawa hamba dekat kembali pada Pencipta-Nya~

Berkata Dr. 'Aidh Al-Qarni dalam bukunya La Tahzan:
"Rasa sakit tak selamanya tak berharga, sehingga harus selalu dibenci. Sebab, mungkin saja rasa rasa sakit itu akan mendatangkan kebaikan kepada seseorang."

~Sakit datang dalam keadaan Dia menyayangi~



Bila kesakitan datang, 
Hati menjadi lunak, 
Butir air mata yang mengalir,
Turunnya bak mutiara yang jatuh ke bumi, 
Sucinya datang dari hati 
Yang mengharapkan Ilahi setulus hati. 

Bila sakit mendera, 
Tasbih terucap setulus kata, 
Jiwa mengharap hanya pada-Nya, 
Terasa diri tiada punya apa, 
Segala-galanya disandar kepada Dia. 

Bila dada menjadi sempit, 
Terasa nafas menjadi perit, 
Ia menjadi satu ingatan,
Singkatnya akan kehidupan, 
Bukan dunia selamanya menjadi teman, 
Hanya menunaikan sisa yang ada, 
Sebelum esok yang tidak pasti tiba masanya. 

Kesakitan, 
Muhasabah diri, 
Melunakkan hati sebagai hamba, 
Mentuluskan hati dengan doa dan air mata, 
Bahawa aku hanya insan biasa, 
Tiada kudrat walau terhadap diri sendiri, 
Hanya bergantung sepenuh pada-Nya, 
Pencipta yang selalu ku lalaikan Dia. 

Wahai Tuhanku, 
Ampuni hamba, 
Andai kesakitan penawar jiwa, 
Andai ia penghapus dosa, 
Dan aku rela menanggungnya, 
Demi untuk mendekati-Mu semula. 

Setulus doa aku panjatkan
Agar diri masih beroleh keredhaan, 
Tuhan,
Jangan pandang aku dengan kemurkaan, 
Sungguh cinta dan keampunan-Mu aku dambakan. 


~Sihat adalah nikmat,
cinta-Nya dan redha-Nya adalah kenikmatan yang tiada nilainya~

~sambil mendengarkan lagu nyanyian Edcoustic:
Aku ingin mencintai-Mu setulusnya sebenar-benar aku cinta dalam doa, dalam ucapan, dalam setiap langkahku, 
Aku ingin mendekati-Mu selamanya sehina apapun diriku. 
Ku berharap untuk bertemu dengan-Mu, Ya Rabbi.
~yang telah lama tidak ku dengari~
~"Biasanya ketulusan sebuah doa muncul tatkala rasa sakit mendera. Demikian pula ketulusan tasbih yang sentiasa terucap saat rasa sakit terasa."- Dr. Aidh Al-Qarni-~

Jan 24, 2013

Rasulullah: Ekspresi Cinta Kita


~Cintaku padamu  moga bukan hanya ekspresi kata. Ya Allah jadikanlah kami ini hamba yang mencintai-Mu dan mencintai Rasul-Mu~

12 Rabiulawal: Maulidur Rasul

 12 Rabiulawal datang lagi. Suatu masa dahulu, kelahiran inilah yang di nanti-nanti. Cahaya rahmat yang menerangi seluruh alam.

"Katakanlah (Muhammad), 'Jika kamu mencintai kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.' Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."
(Ali-'Imran: 3:31)


Apakah Ekspresi Cinta Kita?

Cinta bukan hanya sekadar lafaz di bibir, tetapi dibenarkan oleh hati dan dibuktikan dengan amalan.

Bila cinta, kita akan sentiasa ingin mengikuti kesukaan orang yang kita cintai dan menjauhi perkara yang ia benci.

Bagaimanakah ekspresi cinta kita?

Moga Allah menggolongkan kita ke dalam hamba yang diredhai-Nya dan dirindui oleh Baginda Rasulullah s.a.w sebagaimana kita jua merindui Baginda.

~Selawat dan salam atas junjungan baginda Rasulullah, para sahabat dan keluarganya; Cahaya seluruh alam.~

Jan 21, 2013

Fenomena 'Listen, Listen, Listen' : Suatu Introspeksi


 ~Mari mengintrospeksi diri sendiri melalui fenomena ini.~

~Berhikmah: Kasih sayang adalah rahmat dari-Nya~

Fenomena Listen, Listen, Listen 2013

Seminggu ini, hangat di media maya memperkatakan tentang fenomena listen, listen, listen and let me speak hatta di laman web, imej mahupun video-video yang diadaptasi ceritanya.

Saya tidak mahu berkomentar tentang siapa benar mahupun siapa yang salah ataupun siapa yang patut begini atau siapa yang patut sebegitu. Terlalu banyak sudah mereka yang berkomentar di media maya.

Melihatkan video yang sangat luas ditayangkan secara percuma di media maya, usah lihat siapa di dalamnya. Tetapi mari kita melihat fenomena ini dengan memuhasabah diri. Kerana sebenarnya situasi ini bukanlah yang julung kali berlaku di dunia mahupun di Malaysia ataupun pertama kali di kalangan mahasiswa. Tetapi ia sebenarnya berlaku di sekeliling kita, mungkin melibatkan kita sendiri.

Apa Sebenarnya Berlaku?

Apa isunya? Apa akar umbi sebenar yang diperkatakan?

Ia adalah berkenaan adab ataupun akhlak.

ADAB. AKHLAK.

Ya, akhlak yang semakin hilang dalam diri kita. Kita mungkin berakhlak dalam sesuatu urusan sahaja tetapi dalam urusan lain, akhlak kita itu hilang.

Bagi seorang Muslim, akhlak adalah buah kepada pohon keimanan.

"Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan Syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa, (yaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. 

Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan, dan juga orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri (segera) mengingat Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui."

(Ali-Imran; 3:133-135)

Antara Dua Darjat

Saya mempunyai anak murid di mana mereka adalah remaja dan anak-anak muda. Majoritinya sekitar usia 18 hingga awal 20-an.
Yang jiwanya penuh dengan gelora dan semangat yang membara.
Yang emosinya masih lagi perlu dibimbing seadanya.

Saya juga mepunyai anak murid yang hampir sebaya, seusia mahupun menjangkau usia 40 tahun. Dan saya amat merasa rendah diri tatkala tangan ini dikucup oleh mereka.
Malu.

Dua golongan ini wujud di sekeliling saya. Dan saya tidak pernah membezakan mereka sewaktu pembelajaran di dalam kelas.

"Give respect if you want to be respected."

Saya selalu mendengar dan mengingati slogan itu.

Itu juga yang diajar oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam akhlak baginda.
Indah bukan?

Saya juga pernah melalui pelbagai situasi melibatkan anak-anak murid yang masih muda. Ada juga kadang-kadang ia agak mengguris hati.
Hentikan sebentar aliran emosi itu.
Zahirkan ia hanya pada tempatnya. 

Tapi sebagai seorang Muslim, lihatlah ini sebagai satu potensi untuk membimbing mereka yang kita sayangi ke arah yang benar.
 
Ia Ada Dalam Peribadi Rasulullah

Rasulullah banyak mengajarkan kita melalui kehidupannya. Moga sirahnya bukan setakat bacaan tetapi untuk kita uli-ulikan hati supaya mencontohi akhlak agung baginda ini.

Memang kita tidak akan pernah sempurna. Tetapi kita boleh mencontohi yang sempurna. 
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah."

(Al-Ahzab; 33:21)
Di tahap mana pun ilmu kita berbeza dengan orang lain, kita masih perlu hormat menghormati hamba-hamba-Nya.

Di usia manapun beza kita dengan mereka, kita masih lagi perlu mengasihi hamba-hamba-Nya.

Di golongan manapun kita, kita semua masih hamba-hamba-Nya.

Hormat dan menghormatilah.
Kasih mengasihilah.
Sayang menyayangilah. 
Kerana kita semua hanya hamba-hamba-Nya.

Bertanyalah dengan hikmah.
Menjawablah dengan hikmah.
Berinteraksilah dengan hikmah.

Usah biarkan kata-kata kita dipengaruhi oleh emosi dan amarah.
Kerana kata-kata berisi amarah akan berpotensi mencetuskan balasan amarah.

Asuhlah kata-kata untuk berisi kelembutan dan kasih sayang.
Kerana kata-kata berisi kelembutan dan kasih sayang akan menyampaikan mesej 'saya berkata begini kerana menyayangi kamu kerana Allah.'

Suatu Introspeksi Diri

Biasakan diri menghadapi situasi emosional ini dengan berkata lembut atau diam.

"Dan jika engkau berpaling daripada mereka untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lemah lembut."
(Al-Isra': 17:28)
 Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata akan yang baik atau diam."
 (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
 Saya juga masih perlu banyak belajar mengawal diri dan menjaga hati.

"Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi."
(Al-A'raf; 7: 23)
Semoga Allah memelihara hati dan memberi petunjuk kepada kita semua.
Ameen.


~Kekerasan hanya akan menjauhkan dan kelembutan itu bisa mendamaikan~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino