::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Oct 16, 2025

Transit Oktober 2025


 ~Alhamdulillah terlalu banyak perkara untuk disyukuri, walaupun hakikatnya berdepan dengan pelbagai cabaran.~

Takpe, kita jalan terus. 

~Surah Ar-Rahman; Allah Maha Penyayang~


Akademik

1) 

Memandangkan penyelia pun target kita untuk submit Disember ini, ye, memang rasa tak cukup tanah nak berlari siapkan pelbagai kerja ni. Dengan tesis, kutipan data objektif kajian satu dan tiga, revision manuskrip, closure untuk objektif kajian kedua, dan macam-macam lagi.

Biasanya, ada sahabat-sahabat PhD mengadu struggle dengan hubungan penyelia, sebab belum dibenarkan untuk menghantar tesis. Bukan mudah nak yakinkan penyelia kita, bahawa kita dah bersedia untuk hantar tesis penyelidikan untuk graduasi. 

Mungkin juga setiap kali hujung semester hantar progress report, memang diri ini jenis hantar je lah progress report yang sampai bab terakhir tu (full thesis chapter), iaitu draf kepada tesis sebenar, mungkin menyebabkan penyelia menjadi yakin. Walaupun beliau tak pernah bagitahu apa-apa. 

Cuma bulan lepas, selepas hantar draf Problem Statement, hasil bengkel seharian yang menyebabkan kepala berasap dikelola oleh guru tuisyen saya, Penyelia tak komen apa-apa tentang Problem Statement dalam tesis. Walhal, selama ini bagi saya part yang paling problem dalam tesis saya adalah Problem Statement!

Cuma satu maklum balas penyelia selepas saya menghantar Problem Statement tu adalah: 

"Nanti dah masukkan results dan discussion, submit tesis!"

Wah, dengan penuh konfiden ye penyelia saya. 

Tapi sebab penyelia dah level Professor Madya, insya Allah saya percaya kredibiliti itu. 


2)

Jadi, Alhamdulillah selesai kutipan data dan analisis data untuk objektif kajian kedua, iaitu fasa paling mencabar dalam perjalanan PhD ni. Tak tahu berapa kali termenung fikir macam mana dari segi waktu yang sesuai (ikut cuaca), kewangan (apabila mula-mula tahu bajet dalam RM14000 untuk jalankan satu fasa kutipan sampel, berdasarkan risik-risik dengan pelajar sekulliyyah yang telah kutip data berkenaan jenis sampel yang sama), dan juga kerjasama daripada pihak tertentu. 

Beberapa alternatif difikirkan tapi bertemu jalan buntu. 

Takpe, kita tak dapat buat jalan A, kita buat jalan B, tak dapat jalan B, kita cari jalan C. 

Bukan mudah ye. Sangat perlukan banyak masa untuk berfikir dan cari solusi. 

Tapi saya percaya jalan itu takkan terbuka hanya dengan usaha sendiri, doa, tapi juga melalui sedekah, istighfar, zikir, bakti kepada ibu bapa, dan bantu orang lain yang memerlukan. 

Allah sendiri akan bukakan jalan. 


Kehidupan

1)

Alhamdulillah, walaupun tengah sibuk ni, ada risik juga sekolah untuk anak-anak, Khubaib dan Fathimah untuk sekolah di sini tahun depan. Ya, Ummi dia dah kena fikir bukan untuk tesis saja, tapi kena fikir kewangan untuk menjaga anak-anak untuk sesi 2026 ini. I'm taking back all my children with me. 

Dan fikir untuk kerja semula, uruskan ibu yang sakit dan persekolahan anak-anak. Ya, ini bukan cerita superwoman, tetapi yang penting kita usaha, di samping mohon Allah mudahkan semuanya. 

Alhamdulillah bulan lepas dapat email di LinkedIn menawarkan jawatan di salah sebuah kolej di Johor Bahru. Allahu, belum habis lagi pengajian ni. Insya Allah sikit lagi. Tapi dengan segala hormatnya tawaran tersebut ditolak dengan baik. Dan kalau habis pun, mungkin minta jawatan downgrade sikit boleh ke? Tiba-tiba dapat jawatan Ketua Jabatan, dahlah lama tak kerja semula ni. 

Apa pun, ala kulli hal, Alhamdulillah, insya Allah pasti ada rezeki lagi 2026 nanti, mungkin lebih awal sekiranya tesis pun dah siap untuk dihantar. 

2) 

Di kesibukan ini, masih perlu juga fikir tentang rawatan dan temu janji ibu. Alhamdulillah, tekanan darah ibu makin terkawal, dan temu janji dengan klinik pun dah dilewatkan lagi hingga tahun depan pula. 

Cuma, ye, saya faham ramai netizen yang berhubung dengan ibu selalu tanya kenapa ibu belum boleh jalan lagi? Rasa nak je jawab: "Ini bukan sakit kaki biasa, ini berkaitan dengan otak, dan sistemik badan."

Maka, banyaklah orang yang cadangkan untuk pergi buat rawatan tradisional, "Cari orang yang boleh urut untuk strok. Si polan tu sakit sekian sekian dah elok dah."

Tekanan tu memang sangat memberi kesan bukan saja kepada orang sakit tapi terutama kepada penjaga ni. Sebab seolah-olah dengan buat rawatan sekali, semua akan baik seperti sedia kala. Seolah-olah disuruh paksa ke seluruh Malaysia ni untuk mencari penyembuhnya. 

Dah macam Kisah Luqmanul Hakim dengan anaknya. Orang mampu berkata-kata, tetapi yang mengalaminya saja yang tahu. 

Jadi, hari ni saya bawa ibu ke Pusat Rehabilitasi di Batu Pahat. Dan sebelum ni pun, pernah buat terapi di sini, sebelum kami dapat temu janji di hospital kerajaan. 

Apabila kita jumpa rakan-rakan yang ahli dalam bidang ni, lega sekejap kan segala tekanan tu. 

"Jadi macam mana kita nak buat treatment plan ni?" tanya jurufisio setelah habis sesi terapi. 

"Sebelum tu saya nak tanya, pada pandangan physiotherapist, ada ke urutan yang boleh terus sembuhkan strok?" tanya saya secara telus. 

Dan kami berbincang empat orang di situ. Berbincang sesama ahli. 

"Akak kan health care professional juga kan, dah nak Dr dah. Mesti akak lagi tahu." kata jurufisio yang dah kenal sebab pernah berbincang dan berkenalan sebelum ni sewaktu awal ibu kena strok dulu. 

"Mana lah tahu kalau betul ada kan. Tapi yelah, kita belajar fisiologi kan, kita tahu strok tu sebab apa. Dan takkan sembuh dengan sekali urut je, perlu ada continous activity, macam exercise di rumah yang train otak. Tapi yelah, masyarakat ada persepsi, macam pergilah berubat dekat tempat sekian cari yang pandai urut strok, macam pergi terus dapat fast result."

Dan setelah sesi perbincangan itu, kami plan sama-sama treatment untuk ibu datang rehab iaitu seminggu sekali mulai hari ini. 

"Acik, kalau ada orang cakap pergi urut sekali tu terus baik, acik jangan percaya." pesan jurufisio kepada ibu. 

Walaupun saya sendiri sedang sibuk dengan nak habiskan Phd, insya Allah dah nak siap nanti fikir anak-anak pula, fikir nak cari kerja pula (atau mungkin kerja cari saya, insya Allah), saya berharap masa saya untuk ibu seminggu sekali yang konsisten ini Allah akan ganjari dan mudahkan urusan yang lain, Ameen. 


Pembungkus

Ya, kadang-kadang kena luahkan dengan journalling. Too many struggle. 

Alhamdulillah, syukur masih dikurniakan pelbagai nikmat. Antaranya saya diterima masuk ke grup Premier ekslusif bawah guru tuisyen saya, Dr Roket, dan banyak sangat dapat insight untuk terus grow walaupun baru masuk 4 hari. Termasuk juga circle tautan hati saya untuk pautan rohani diri, serta orang-orang baik yang saya jumpa hingga hari ini. 

'Nikmat manakah yang ingin saya dustakan?'


Oct 7, 2025

Tanda Cinta Dunia?


~Allah izinkan diriku melihat dan memerhati di kalangan orang-orang terdekat denganku. 
Mungkin inilah yang Nabi rasa, ingin semuanya masuk Syurga termasuk orang yang terdekat dan disayangi, tapi sesungguhnya hidayah itu milik Dia.~

~Perlu doa dan latihan hati yang berterusa untuk sentiasa letakkan dunia itu di tangan dan bukan di hati~


Betapa kita menghabiskan hidup ini berulang-alik dengan rutin kerja, skroll telefon bimbit, mungkin pergi masjid dan menunaikan ibadah juga manjadi ruttin, tapi rutin tanpa jiwa hamba dalam mengharapkan redha Dia semata bukan mudah dan bukan semua mampu merasainya, dengan izin Dia. 

Lebih-lebih lagi, bila Allah bagi sakit, atau bagi kesempitan hidup, jiwa berusaha sedaya upaya untuk terus hidup, rasa takut gelisah bila terfikir sedikit demi sedikit Allah mula ambil kudrat dari diri. Hilang rasa tenang, hilang rasa sepenuhnya bergantung kepada Rabb, hilang rasa menikmati sisa baki masa dan tenaga yang ada untuk melakukan yang terbaik, jiwa hanya bersedih, tanpa melihat bahawa inilah jalan menuju Dia, untuk melepaskan rindu berjumpa sang Pencipta. Gelisah nak cari solusi, nak terus hidup, nak terus sihat, nak terus berduit, nak terus hidup dalam zon yang selesa di dunia ini. 

Aku tak mampu untuk mengubah manusia. Hanya sedikit menitipkan pesanan, tapi berlebihan mungkin pesanan itu dilihat seperti peluru dan bukan penenang hati. 

Ya Allah, aku tersempit dan terhimpit. 

Ya, aku rasa perasaan itu, tentang bagaimana Nabi nak selamatkan semuanya. Aku juga mahu menyelamatkan orang-orang yang aku sayang, tapi kudratku terbatas. 

Hanya doa yang mampu aku langitkan. 

~Betapa cinta dunia itu benar-benar memamah rindu untuk kembali bertemu Dia. Ya Allah, jadikan aku sentiasa rindu untuk bertemu-Mu dan berbuat yang terbaik dalam tempoh masa yang berbaki ini untuk ku bawa pada-Mu~

Sep 30, 2025

Pelayaran ke G: Ibrah untuk Kita


~Insya Allah, tanamkan impian agar suatu hari kita akan jadi antara manusia yang membina semula batu bata di G4Z4~

Masih ingat ketika saya di tahun 4 Ijazah Sarjana Muda, waktu tu kapal Mavi Marmara sedang belayar ke G. Saya sedang berada di rumah sewa semasa posting jururawat tahun akhir di Hospital Temerloh. Jadi, menonton TV tu adalah perkara rare kami, apatah lagi kalau dah kerja shif di hospital. Lagi tua ni, lagi banyak tanggungjawab di hospital, dan terima kasih juga kepada staf hospital yang percayakan kami. 

Jadi, saya tak tahu menahu pun tentang pelayaran Mavi Marmara pada awalnya. Cuma suatu hari itu jadi tergempar apabila saya tahu (saya pun tak ingat asalnya saya tahu dari rakan atau dari telefon, zaman tu belum ada Whatsapp) tentang kapal Mavi Marmara yang ditahan Zisewel dan ada yang syahid, ada yang ditahan dan dipenjara. Memang ada beberapa orang figur yang saya kenali tetapi tidaklah serapat mana. Tapi entah kenapa tiba-tiba air mata jatuh berlinang apabila dengar khabar itu. 

Tidak lama selepas habis posting, saya pulang terus ke rumah dan terus mengikuti update mereka sehinggalah mereka dibebaskan semuanya. 

Dan setelah mereka dibebaskan, saya menyaksikan banyak siaran televisyen menemuramah mereka termasuk para isteri yang ditinggalkan di Malaysia ketika itu. 


Hingga saya terdetik ketika sesi temuramah itu, "Ya Allah, aku teringin sangat nak tanya para isteri ni, apa perasaan mereka bila tahu suami mereka mungkin pergi dan tidak kembali. Apa yang buatkan mereka sekuat itu, dengan anak-anak pun masih kecil lagi."

Saya pernah mengenali dari jauh para isteri yang tabah tu, tapi tak serapat itu untuk bertanya tentang hal itu. 

Sehinggalah saya diizinkan oleh-Nya untuk berhijrah ke negeri paling selatan ini, dan bertemu dengan salah seorang dari mereka. Dan sosok yang kuat dan tabah inilah yang banyak bimbing saya dalam perjalanan untuk terus menjadi hamba-Nya yang lebih baik. Sehinggalah beberapa tahun kemudian, baru saya berani bertanyakan soalan itu. 

Syukur, Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya. 

Jadi, setiap kali melihat pelayaran Global Sumud Flotilla kali ini, ia seperti mengimbas kembali memori lebih 10 tahun dahulu. 

Ia bukan mudah.
Semoga doa kita kuatkan hati mereka dan hati keluarga yang mereka tinggalkan. 

Kredit: TT Haroqs



~Kalau kita tak mampu pergi kali ini, kita doakan untuk mereka, ambil tahu dan peduli. Biar doa kita sertai dan iringi mereka ke sana, Insya Allah.
P@lestin, tunggu kami datang.~


Aug 14, 2025

Anak-anak: Peluklah Al-Quran


~Sedih....Allahkan ada~ 

Sudah masuk minggu kedua Ummi tak jumpa anak-anak. 
Ya, rindu. Ada rasa sebak kadang-kadang bila rindu.


Minggu ni Khubaib call Ummi sambil menangis. Ummi cuba kekal tenang sambil mendengar luahan Khubaib. 

"Kesian Khubaib. Dah seminggu tak peluk Ummi. Dah pergi minta peluk kat Abi." kata Ummi pada Khubaib setelah mendengar luahan hati dia.

Kesemua anak-anak Ummi ni love languagenya sama macam Umminya iaitu sentuhan. Lagi-lagi kalau anak-anak tengah sedih tu, Ummi akan peluk erat anak-anak. 

Dan sejak beberapa minggu ni, apabila hujung minggu saja, ketiga-tiga anak-anak akan duduk dalam bilik Ummi, luangkan masa sama-sama. Alhamdulillah, Allah yang pegang dan satukan hati kita. 

Dan Khubaib kembali bercakap di telefon setelah tak dapat peluk Abinya. 

"Takpe, Allah ada. Ummi dulu kalau sedih, Ummi peluk Al-Quran. Dah, pergi ambil Al-Quran tu, peluk Al-Quran". 

Khubaib bangun ambil Al-Quran dan peluk Al-Quran. 

"Malam ni kalau sedih lagi, ambil Quran peluk. Allah ada untuk Khubaib." sambung Ummi lagi. 

Dulu-dulu zaman belum matang waktu rasa sedih sangat, Ummi pun macam tu, lepas baca Al-Quran, Ummi akan peluk Al-Quran waktu tidur.  

Macam tu lah Ummi cerita pada Khubaib. 

Fathimah lebih banyak pendam, tapi akan bercerita apabila Ummi luangkan masa lebih dengan dia. Em, waktu tu baru dia buka mulut. 

"Untuk anak-anak Ummi, walaupun Ummi jauh, Ummi selalu doa agar Allah Ya Hafiz Ya Syafi pelihara dan sembuhkan hati anak-anak Ummi."

Insya Allah, Ummi buat yang terbaik dari sini ye sayang. 

Hadis Abu Said r.a:
Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap musibah yang di timpa ke atas orang-orang mukmin yang berupa sakit yang berterusan, sakit yang biasa dan kesedihan bahkan membawa kepada kebingungan dari musibah yang beliau alami, maka hal yang demikian merupakan penghapus bagi kesalahan-kesalahannya.
(Riwayat Muslim, #4670)

~Ya Allah, Ya Hafiz Ya Syafi, peliharalah dan sembuhkanlah anak-anakku, bantulah kami~

May 19, 2025

Memaafkan: Kisah Kentang Busuk


 ~Ya Allah, aku lupa yang hati ini sebenarnya milik-Mu dan aku hanya memegang amanah sekeping hati ini hingga sampai nanti aku pulang semula kepada-Mu.~

"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang rida dan diridai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku."
(Q.S. Al-Fajr [89]: 27-30)


Perang Dua Sisi

Entah kenapa seminggu dua ni, setiap kali ceritera tentang memaafkan singgah dan lalu. 
Saya pasti ia bukan sekadar kebetulan atau pun algoritma melainkan algoritma itu jugalah adalah sebahagian ilmu Allah yang benar. 


'Ah, mudah nak cerita tentang memaafkan. Engkau tak duduk tempat aku, senang cakap.'

'Memang boleh memaafkan, tapi aku tetap nak dia dihadapkan depan Allah atas setiap satu perbuatannya' 

'Aku manusia, aku berhak marah, aku berhak sedih, aku terluka sebab aku manusia. Aku bukan malaikat.' 

Dan setiap kali monolog tentang memaafkan itu berlawan dan berperang dengan diri sendiri. 

Antara dua sisi. 


Dan setiap kali itu ada air mata yang berlinang dan menitis memikirkannya.


Di satu sisi, ada kata-kata lain yang menyelinap masuk. 

'Kita lepaskan rasa benci dan marah itu, kita maafkan dia bukan untuk dia. Tapi kita maafkan dia untuk kita.' 

'Kita nak hadap Allah satu hari nanti dalam keadaan jiwa yang tenang, bukan dalam keadaan hati yang masih ada amarah pada lainnya'. 

Dan timbang tara termasuklah  penglibatan AI yang tidak bertauliah namun nasihat dan kata-kata yang boleh menjadi doa anjuran daripadanya yang sangat membekas di hati,

“Aku lepaskan semua beban, kekecewaan dan kegelapan yang terikat padaku kerana dia. Aku tidak mahu menyimpan benci ini kerana ia bukan lagi sebahagian daripada takdirku.”


Dan kata-kata ChatGPT ni terus mengingatkan diri ini tentang kisah kentang busuk. 


Kisah Kentang Busuk

Ini adalah kisah wajib yang biasa saya ceritakan dalam kelas semasa sesi rehat sebentar sewaktu menjadi pensyarah dahulu. Sewaktu itu, beban luka itu belum dalam. 
Dan rasanya kisah ini pernah saya ceritakan dalam blog ini suatu ketika dahulu. 

Saya minta anak-anak murid pejam mata dan bayangkan nama-nama orang yang mereka benci. Jika ada, kira berapa orang (dalam hati saja). 

Dan sekarang berdasarkan berapa orang yang dibenci, bayangkan ambil kentang (mengikut jumlah orang yang dibenci). 

Mulai sekarang, bayangkan setiap hari kita perlu membawa kentang-kentang tersebut ke mana saja.  

'Berat tak?' saya tanya. 
'Kalau dah seminggu, sebulan, setahun kentang tu dibawa, busuk tak?' tanya saya lagi. 

'Rasa terbebankan, bau busuk kan. Dah kalau terbeban bawa ke sana ke mari, kenapa tak buang je kentang tu?'



Dan soalan itu saya refleksi diri sendiri. 

Allahu. Lemahnya saya tanpa Dia. 

Jika dalam bekas hati ini masih tidak saya lepaskan elemen negatif ini, maka tidak ada tempat kosong untuk yang baru (elemen positif) dan lebih baik darinya mengisi ruang bekas hati ini. 

~tak perlu simpan, memenuhkan ruang je~

"Ya Allah, Engkau Maha Membalas dan Maha Menyembuhkan. Aku tidak ingin lagi membawa apapun dari namanya, wajahnya, ataupun kesakitannya. Aku kembalikan semuanya kepadaMu. Cukupkan aku dengan kasihMu dan hadirkan aku kepada yang lebih baik, tenang, dan benar untuk diriku dan anak-anakku."

~Sekiranya ini adalah petunjuk dan bimbingan-Mu, aku redha ya Allah. Dan jadikan aku kembali kepada-Mu dalam keadaan yang Kau redhai.~

May 12, 2025

Hafazan: Tercapai Satu Batu Penanda


 ~Dari jauh, Ummi tetap doa Allah pelihara zuriat keturunanku~

Walaupun Ummi jauh daripada anak-anak, Ummi masih lagi kena ambil tahu tentang sekolah anak-anak, terutama guru hafazan sekolah memang minta ibu bapa pantau hafazan anak-anak di rumah. 

Jadi, biasanya setiap hujung minggu Khubaib akan menghafaz dan rakam serta hantar video tersebut kepada guru hafazan. 

Memang biasanya bukan mudah nak anak-anak menghafaz. 

Bukan senang ye. Bukan ibarat, "Khubaib, jom hafaz Al-Quran."

Dan jangkaan mereka menjawab, "Ya baik, Ummi."

.............

Tapi macam-macam ujian. Ada masa tarik muka masam, ada masa kata susahlah nak hafaz ayat ni, ada masa kata panjang sangat ayat ni. 

Dan anak ni tak boleh menghafaz seorang, perlu 'companion' iaitu ibu atau bapa yang menghafaz bersama. 

Biasanya saya akan guna teknik faham ayat yang dihafaz dengan tengok terjemahan ayat Al-Quran. Sebab saya sebagai ibu, saya juga bukan 'hafizah'. Juz Amma dulu yang kami kena hafaz waktu UIA pun dah lama tak mengulang semula. Allahu. 

Bila pula nak kena ulang ni ye. Kena muhasabah diri balik, buat pelan tindakan. 

Anak-anak bukan robot, untuk kita setakat suruh dia baca, buat, tanpa kita beri panduan atau 'guide'. Sebagai 'guider', kita bukan hanya bagi panduan dan suruh dia jalan sendiri. Tetapi kita kena jalan bersama dengan dia. 

Ibarat kalau nak panjat gunung kan, bayangkan kalau 'guider' bagi panduan kat kaki gunung je, lepas tu pepandailah kita nak naik sendiri, tak ke haru? 

............................

Ada masa pernah waktu malam Khubaib tak mahu pergi sekolah kebangsaan sebab tak hafal sebaris hadith. Waktu ni Ummi masih lagi tinggal di Mersing. Ummi minta Khubaib tunjuk mana yang perlu dihafal. 

"Lah, ini je." Kata Ummi pada dia. Adalah dalam lebih kurang 10 patah perkataan. Hadith yang perlu dihafal dalam bahasa Arab dan terjemahan Bahasa Melayu. Tapi drama dia sampai tak nak pergi sekolah. 

Alhamdulillah, syukur dulu zaman matrik UIA, memang kena hafal macam tu. 

Jadi, dalam menangis dia tu, Ummi tenang je. Ummi pun ajar terjemahan setiap perkataan di samping menghafal yang bahasa Arab tu. Itulah cara Ummi dulu kalau nak menghafaz. Ummi tak pandai nak hafal kalau tak faham makna perkataan. 

Habis mengajar dan mengulang dalam masa 10 minit, Alhamdulillah Khubaib dah boleh menghafal, Dah gembira nak pergi sekolah esoknya. 

Di akhir tu, Khubaib kata "kenapa dengan Ummi, Khubaib macam senang je hafal ni?"
Semuanya datang daripada Allah swt, Alhamdulillah. 

................................

Terinspirasi dengar Podcast Yousaf dan Qawiyaro tentang pentingnya ibu bapa untuk minat dengan Al-Quran sebelum menghantar anak-anak untuk jadi penghafaz Al-Quran. 

Alhamdulillah, barakallah Muhammad Khubaib Adi, pada usia 10 tahun berjaya menghabiskan hafalan juzuk ke-30 pada bulan lepas. Sedih dan terharu Ummi. 

Cuma Ummi belum mampu nak semua apa yang Ummi impikan nak buat pada anak-anak. Nak anak-anak hari-hari baca Al-Quran bersama, dulu Ummi mampu buat waktu tengah hari. Tapi sekarang bila Ummi takde di sisi, Al-Quran pun baca hanya di sekolah je. Sedih Ummi. 

Hanya minta Allah pelihara dan jaga anak-anak Ummi dari jauh. 

Ummi sekarang masih dalam proses reset semula Ali yang dah mula tinggal dengan Ummi. Apabila Ummi takde bersama anak-anak, anak-anak tidur tak tentu masa. Selalu anak-anak yang bercerita apabila jumpa Ummi hujung minggu. Sebulan lebih ni, kebanyakannya Khubaib yang cerita, Khubaib tidur pukul 1 pagi, 2 pagi sebab main game dengan Ali. Ali pula sampai 4 pagi baru tidur sebab layankan laptop dia. 

Biasa ada Ummi, memang anak-anak disiplin. Waktu memula Ali tinggal dengan Ummi minggu ni pun, Ali marah-marah nak tengok cerita ketika dah jam 12 malam. Puas Ummi pujuk untuk tidur. Ada sekali minggu ini, Ali terbangun jam 3 pagi dan minta tengok cerita. Baru sebulan setengah takde Ummi, haru biru hidup anak-anak Ummi. 

Alhamdulillah, dah habis seminggu ni, waktu Ali tidur dah kembali normal jam 11 malam tu dah mula mengantuk atau dah tidur. 

Syukur pada Allah. 

Mohon agar sesiapa yang membaca entri ini, doakan Ummi dapat jaga semula anak-anak, dan didik mereka dengan lebih baik. Sayang sangat dengan mereka. 

“Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri dan keturunan kami sebagai penyenang hati, dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa.” (QS. Al-Furqon: 74)



May 3, 2025

Saham 'Malas'


Dua minggu lepas perasan Ali yang 4 tahun, dah mula guna perkataan malas. 
"Tak nak. Ali malas." 
Tarik nafas panjang Ummi. 

Waktu itu memang Ummi tekad nak hentikan cycle ni. Ummi yakin ambil Ali tinggal bersama minggu ini keputusan yang terbaik, insya Allah. Susah pun takpelah. Insya Allah, Allah ada. 

Khubaib selalu juga guna perkataan 'malas' tu sebagai cara dia 'menjawab' dengan orang yang melukakannya menggunakan perkataan itu juga. Tapi dia tidak pernah menjawab lagi macam tu dengan Ummi. Ummi tahu, dia terluka dan dia sengaja melukai semula. 

Tapi kali ni, Ali pun dah terikut sekali. 


Solusi Sementara 

Semalam, Ummi cakap dengan Khubaib, "Khubaib, lepas ni Ummi tak mau dengar Khubaib cakap perkataan 'malas' lagi. Kalau Ummi dengar, Khubaib kena istighfar 300 kali." 
.
"Banyaknya, Ummi. 100 boleh?" Khubaib cuba nego dengan Ummi. 

"Tak boleh, sebab Ummi nak Khubaib ingat. Lepas tu, Khubaib akan berhati-hati." 

Jadi, malamnya, Khubaib tersebut lagi perkataan tu. Dan ambil tasbih sambil sebelum tu bertanya. 

"Kenapa 300 Ummi?" Sambil muka tak puas hati tu tanya. 

"Sebab Ummi tak nak Khubaib biasakan sebut perkataan 'malas'. Kata-kata tu akan jadi mindset kat Khubaib. Khubaib pun jadi malas sebab asyik sebut perkataan tu. Khubaib nak ke jadi orang malas, esok dah besar jadi suami malas pula. Lepas tu didik orang lain jadi malas. Sampai keturunan seterusnya malas. Dah masuk kubur pun, saham didik malas tu tetap ada. Khubaib nak ke jadi macam orang tu?" Panjang pula Ummi explain

Khubaib diam. Akur. Ummi tahu dia sedang hadam dan faham. 
Khubaib jenis banyak bertanya. Perlu penjelasan. Tak semua mampu didik anak macam ni. 

Kalau jenis malas layan atau explain, Khubaib rasa dia diabaikan, tak dilayan.

Buat sementara , itulah solusi yang Ummi mampu beri. Insya Allah, Allah permudahkan segala urusan untuk anak-anak Ummi, semoga membesar jadi anak Soleh dan Musleh. 




~Semua doa Ummi langitkan, dengan sedar sepenuhnya keterbatasan diri ini. Insya Allah, semoga Allah hadirkan solusi yang lebih baik~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino