::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Aug 31, 2009

Anak Merdeka


~Ramadhan, bertitik tolak memerdekan diri dari belenggu-belenggu dunia yang melekat di cerminan jiwa~

Hari ini bertarikh 31 Ogos 2009 / 10 Ramadhan 1430 H, sahabatku Mawaddah selamat melahirkan little mujahid Subuh tadi. Little mujahid nampaknya amat istimewa; lahir pada bulan umat Islam menyambut Ramadhan dan warga Malaysia menyambut Hari Kemerderkaan ke 52 tahun.

Semoga kelahirannya dalam bulan yang mulia menjadikan little mujahid seorang anak yang soleh dan musleh; dan kelahirannya pada Hari Kemerdekaan menjadikan little mujahid seorang anak yang merdeka dari belenggu-belenggu dunia yang memesongkan.

Rindu rasanya nanti sebab little mujahid tidak lagi dibawa ke kelas oleh uminya setiap hari. Rindu juga pada sahabatku yang sudah mula bercuti. Cuti hilang sementara 'geng' kami di kelas.

Moga kemerdekaan dan Ramadhan ini bukan saja memberi seribu erti buat sahabatku sekeluarga. Malah, erti merdeka jiwa dan hati yang memekarkan iman 'in conjunction with' Ramadhan memberi 2 kali ganda makna yang lebih mendalam pada umat Islam.

Alhamdulillah, sambutan kemerdekaan di Malaysia tahun ini rasanya lain sekali. Tiada bunga api yang kedengaran di malam hari kerana sambutan memeriahkan malam Ramadhan tu lebih hebat lagi. Tiada juga sambutan contohnya di KLCC dan diganti dengan majlis kesyukuran di masjid dan surau -surau. Merdeka kali ini disambut dengan pengabdian kepada Tuhan yang memberi nikmat keamanan dan kedamaian. Semoga sambutan merdeka kali ini 'lebih suci' berbanding tahun-tahun sebelumnya.


~Indahnya Ramadhan ini...~


-little mujahid Mawaddah & Hafiz-

Aug 30, 2009

Malu Mahkota Diri


~Malumu mahkota yang tidak perlukan singgahsana, tetapi ia berkuasa menjaga diri dan nama. Tiada siapa yang akan boleh merampasnya melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri.~


Lirik lagu Hijjaz itu begitu menyentuh perasaan ketika saya masih lagi berada di tingkatan. Benar, malu itu memang amat berkuasa. Tanpa rasa malu, wanita hanya seperti buah strawberi yang sudah lisut dan dijual secara lelong di pasaraya.

Malu itu sebahagian dari iman. Malu juga bertempat. Tidak berlebihan dan tidak terlalu kurang. Tidak sampai malu untuk berucap mahupun tidak terlalu kurang hingga merendahkan maruah dan martabat diri.

Wanita merupakan fitnah besar di akhir zaman. Peliharalah dirimu sebaiknya. Batasi pergaulan mengikut apa yang telah Islam gariskan. Andai diri pernah menjadi Zulaikha yang mengejar Yusof maka kembalilah menjadi Zulaikha yang menangisi dosa-dosanya pada Pencipta. Kerana cinta manusia semata itu hanya indah pada gelodak nafsu dan jiwa yang tidak cukup subur dengan baja iman dan taqwa.

Jadilah wanita yang membawa lelaki kembali menjadi pemimpin Islam dan mujahid yang sebenar dengan ikatan pernikahan yang terbina. Usah menjadi penggoda yang Maha Hebat untuk menunjukkan kecantikan, kelembutan, kebaikan dan segala kelebihan pada lelaki yang bukan ditakdirkan menjadi suami atau mahrammu.

Buat para daie, baik lelaki mahupun wanita yang seringkali tidak terlepas dari cubaan cinta berlampiaskan nafsu, hati-hati menjaga diri dan hati. Setiap cubaan yang datang menunjukkan Allah sedang menguji keteguhan singgahsana iman di hati. Semoga Allah memelihara insan-insan yang sentiasa memohon perlindungan dengan-Nya.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, dia berkata Rasulullah s.a.w bersabda:
'Cubaan selalu menimpa seorang mu'min, baik lelaki mahupun perempuan, baik hal itu terhadap dirinya, anaknya mahupun hartanya, sehingga dia menemui Allah dan tiada lagi kesalahan padanya."

Bayi Ramadhan



Sudah 10 tahun usia perkenalan dan persahabatan ini. Mawaddah dan Hafiz; semenjak di bangku sekolah hinggalah di ijab qabul kan dan sekarang menanti untuk menimang cahaya mata pertama.

Jumaat lalu, baru saja berseloroh dengan Mawaddah, "aku rasa little mujahid ni lahir 31 Ogos la Mawaddah."

"Aku pun harap macam tu. Biarlah minggu ni," jawabnya.

Penggunaan 'kau aku' hanya digunakan apabila kami bersembang berdua dan tidak digunakan dengan sahabat-sahabat lain yang menggunakan 'saya awak'.

Selalu saja kami bersembang tentang little mujahid mahupun pahit manis menjadi seorang ibu mengandung.

Selesai kelas, kami berpisah. Menuju untuk balik ke rumah masing-masing minggu ini. Sempat saya berseloroh kembali ketika bersalam dengannya, "Selamat bersalin Mawaddah."

Alhamdulillah, malam tadi mendapat berita yang Mawaddah sudah ada tanda-tanda untuk bersalin. Dah ada 'bloody show' (turun darah). Bukaan rahim sudah 1 cm. Nampaknya little mujahid sudah bersedia untuk melihat dunia.

Syukur kepada Allah. Semoga Allah membantu urusanmu, Mawaddah dan Hafiz. Buat Mawaddah dan Hafiz, setelah 9 bulan menunggu, kini masanya hampir tiba. Penantian untuk melihat little mujahid yang mula mewarnai hidup kalian berdua sudah hampir sampai masa.

Buat little mujahid, makcik juga tertunggu-tunggu kelahiran little mujahid. Tentu little mujahid sudah biasa mendengar suara makcik bila bersembang dengan umi kan. Semoga little mujahid menjadi anak yang soleh dan musleh, menjadi khalifah Allah di muka bumi dan hamba yang dicintaiNya. Juga menjadi penyejuk mata dan pententeram jiwa ayahanda dan bonda. Ameen.

"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: 'Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh daripada isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertaqwa'."
(Surah Al-Furqan, 74)

Aug 26, 2009

Pelangi untuk Ibu



~Bebunga kembang di hatimu melahirkan aromanya ke taman hatiku~

Seminggu dua ini, ibu nampaknya sangat bahagia. Ibarat berbunga kembang di taman hati. Saya menumpang gembira. Hampir tiap malam kami bersembang. Bersembang seperti sahabat sejati yang tidak pernah renggang.

Ibu, tika dulu hujan lebat membasahi daerah hati, dirimu turut terasa tempiasnya. Turut basah bersama anakmu biarpun cuba ku payungi setiap jalanmu bersamaku. Biarpun cuba ku tunjukkan betapa anakmu ini gagah menghadapi lopak air di jalanan, tetap dirimu memapah diri ini bersama merentasi tiap detik berjalan.

Ibu, kini anakmu berharap agar sinar mentari yang persis memancar dari awan yang berbalam bisa mendamaikan hatimu. Agar cahaya yang bersinar membias melalui titik-titik air hujan yang berbaki bisa menjadi pelangi bahagia dalam tiap hari-harimu. Semoga cahaya yang berserak itu bukan ilusi mahupun fatamorgana yang disalah tanggap diri.

Ibu, biar hujan lebat, musim kemarau mahupun musim bunga dalam tiap hari yang tiba, anakmu ini akan tetap tabahkan hati, menempuh jalan bersama denganmu. Biarpun setiap musim yang berganti bukan dalam jangkauan diri.

Ibu, moga pelangi yang tiba ini bukan kerana rabunnya pandangan, namun atas anugerah kebahagiaan dariNya untukmu...


~ Moga bukan pelangi sementara di taman hatimu~

Aug 25, 2009

Surau di Tepi Sungai


~Hilangnya saat itu membekas di hati. Namun, manisnya setiap Ramadhan yang datang memberi diri seribu erti.~


Beberapa hari lalu saya menelefon ke kampung, menanyakan khabar nenek tercinta. Selesai menelefon, rasa rindu yang teramat untuk berpuasa Ramadhan di kampung seperti di waktu zaman kecil dulu.

Sejak kecil lagi, saya suka bila tibanya Ramadhan. Rasa meriah menyelubungi kampung halaman dan juga sewaktu di zaman persekolahan.

Apabila Ramadhan sudah mula menampakkan tirainya, saya akan bertanya pada nenek akan bila kami akan bergotong-royong mengemas dan membersih surau untuk bertarawikh bersama ketika Ramadhan nanti. Surau di tepi sungai itu sudah lama. Berdirinya di situ semenjak saya masih sangat kecil lagi. Entah bila dibina saya pun tidak tahu. Yang saya tahu, saya sudah dibesarkan dengan kehadiran surau itu yang hanya berjarak 200m dari rumah.

Apabila tiba waktu bergotong-royong, rakan-rakan kecil saya juga akan turun padang membantu jiran-jiran yang bertandang. Rasa seronok bagi kanak-kanak kecil seperti kami; mengelap cermin tingkap, membantu mengangkat 'carpet' surau, membasuh pinggan mangkuk dan sebagainya. Kehadiran Ramadhan bagi kami ketika itu benar-benar terasa.

Tidak banyak kenangan berpuasa saya ketika di sekolah. Hanya yang saya ingati setiap kali di sekolah, guru-guru akan bertanya kepada kami tentang siapakah yang berpuasa pada hari itu.

Adakalanya di bulan Ramadhan itu demi menyelesaikan urusan-urusan tertentu, nenek dan saya akan ke bandar menaiki bas dari pekan kecil yang jauhnya 4 km dari rumah kecil kami. Dari pekan ke bandar mengambil masa 15 minit. Setiap kali kami berjalan jauh di sekitar bandar untuk membayar bil elektrik, air, atau ke bank, nenek akan bertanya kepada saya adakah saya mahu berbuka puasa atau tidak kerana melihatkan cucunya ini sudah nampak keletihan.

Saya juga masih rindu untuk bersolat terawikh di kampung seperti waktu kecil dahulu. Rindu untuk bersahur dan berbuka puasa dengan nenek. Rindukan waktu bergotong-royong bersama-sama seperti dulu. Namun, surau lama di tepi sungai itu sudah tidak digunakan lagi. Semakin usang namun masih menyimpan seribu kenangan.

Aug 24, 2009

Hypoglycaemic Day in Early Ramadhan



Hari ini hari pertama berpuasa sewaktu pembelajaran kembali bermula setelah cuti hujung minggu. Ditambah dengan assignment yang agak banyak untuk dihantar minggu ini, rakan-rakan sekelas kelihatan resah gelisah, terutama apabila berusaha sedaya upaya untuk menyiapkan presentation proposal quantitative research bermula esok hari.

Menjelang kelas petang, hanya tinggal beberapa orang yang stay di kelas untuk menyiapkan assignment dan mencari sumber dari internet.

Salah satu tanda-tanda 'hypoglycaemic' yang jelas kelihatan adalah ketika majoritinya mengalami confusion dan restlessness menjelang petang. Ada yang tidak keruan, wondering around, repetetive speech and behaviour dan macam-macam lagi.

Apa-apa pun, semoga kita semua selamat bermujahadah biarpun penat lelah bertungkus lumus di siang hari dan usaha berjaga di malam hari.

Salam mujahadah buat semua. Bersahurlah kerana terdapat keberkatan padanya.

Madrasah Ramadhan


"Apabila tibanya Ramadhan, terbukalah segenap pintu syurga, tertutup rapatlah segala pintu neraka dan syaitan dibelenggu kesemuanya."
Riwayat Bukhari dan Muslim

Pagi 1 Ramadhan itu, embun dan titisan hujan masih membasahi bunga-bunga dan dedaunan. Menyegarkan pepohon yang kehausan setelah berbulan berpanas di bawah terik mentari. Langit dan awan redup memayungi. Nyamannya alam terus menerjah ke hati.

Fizikalnya, kedatangan Ramadhan hadirnya begitu indah. Ramadhan ini memberikan harapan, membuka luas pintu rahmat dan keampunan buat hamba-hamba yang mendambakan kasih dan sayangNya.

Pembukaan Ramadhan ini ibarat sekolah tarbiyah bagi umat Islam dan menunjukkan bahawa Allah tidak pernah meninggalkan hamba-hambaNya begitu sahaja di dunia tanpa 'complete training' yang diadakan setiap setahun sekali ini. Madrasah ini menyediakan berbagai ujian, galakan dan mata pahala berganda bagi yang melepasi setiap ujian ibadah yang diberi.

Ramadhan ini mengajak manusia kembali kepada fitrah membersihkan hati, akal dan nafsu. Proses pembersihan ini menyahkan kotoran serta habuk-habuk dunia yang melekat di cerminan jiwa.

Semoga kita tergolong dalam kelompok manusia yang bisa keluar lulus dengan taqwa cemerlang di hujung persekolahan ini nanti.


"Solat fardhu lima waktu, Jumaat ke Jumaat berikutnya dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya adalah merupakan penghapus dosa bagi dosa yang berada di antara keduanya selagi mana seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar."
Riwayat Muslim

Aug 19, 2009

Harapan Ramadhan



~Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat kulalui dengan sempurna~

Ya Allah,
Ramadhan hanya berada di hadapanku di perjalanan ini
Namun, apakah sempat aku menggapai bulan Ramadhan yang dijanjikan
Biarpun hanya beberapa tapak lagi dari perjalanan

Aku hanya menunggu hari
Menyambut rindu kekasih yang bertamu
Apakah masih sempat aku bertemu Ramadhan yang dirindui?

Andai masih ada Ramadahan untuku kali ini
Harapanku agar pertemuan dengannya akan benar-benar aku hargai
Tidak layak aku menyiakan
Waktu suntuk yang teruntuk bagi kami
Tidak layak aku menzalimi sebuah pertemuan suci yang diberkati Ilahi

~Ramadhan, semoga diriku masih dipertemukan denganmu. Semoga diriku sentiasa menghargai detik pertemuan denganmu, Ramadhan...~

Aug 18, 2009

Cinta Sejati Khadijah



"Di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir."
(Ar-Rum; 30:21)


Setelah membeli buku Kisah Cinta Sejati Khadijah lewat semester lalu, akhirnya baru dapat membacanya bila masuk ke semester ini. Alhamdulillah, sudah dihabiskan dan semoga ia dicernakan dalam ingatan serta terkesan di hati dan iman.

Membaca sirah tentang Khadijah binti Khuwailid Ibnu Asad melahirkan rasa cinta untuk mencontohinya. Mencontohi pengorbanan dan ketabahan seorang wanita pertama yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Semoga diriku dan sahabat-sahabat juga berusaha menjadi sepertinya.

Khadijah merupakan wanita yang dihormati dan punya perdagangan sendiri memilih Muhammad bin Abdullah sebagai suami kerana kecantikan akhlak dan budi pekerti dan bukan atas dasar harta mahupun keturunan bangsawan.

Khadijah menjadi pendamai rumah tangga Rasulullah. Menjadi isteri penyejuk mata dan pententeram jiwa. Tatkala Rasulullah gementar ketakutan setelah menerima wahyu pertama di Gua Hira', Khadijahlah orang yang sedaya upaya mententeramkannya. Cuba menghilangkan ketakutan dan resah gelisah suami yang tercinta.

Khadijah, seorang isteri yang menghormati keputusan Rasulullah. Biarpun usia baginda lebih muda dari Khadijah, tidak ada halangan bagi Khadijah untuk mentaati dan menghormati keputusan suami. Khadijah tidak memandang remeh setiap keputusan yang dibuat oleh Rasulullah kerana kepercayaan yang telah dibina untuk nakhoda bahtera rumah tangganya.

Sebelum wahyu diturunkan, 2 puteri Khadijah, Ruqayyah dan Ummu Kulthum dipinang oleh Abu Lahab untuk puteranya, Utbah dan Utaibah. Biarpun kedua mereka dikenali dengan budi pekerti mulia, Khadijah masih ragu-ragu dan curiga atas rombongan peminangan disebabkan oleh sifat Ummu Jamil, isteri Abu Lahab yang kurang disenangi. Namun, Khadijah tidak menyuarakan kebimbangannya pada Rasulullah. Dia mengimbangi pertimbangan emosi diri, menyerahkan keputusan kepada suami dan yakin kepada Tuhan yang Melindungi.

Khadijah, seorang ibu yang berjaya mendidik anak-anaknya untuk menjadi insan berguna, taat pada ibu bapa dan agama. Rumah tangga Khadijah dan Rasulullah benar-benar berkemudi bahagia.

Tika dakwah Rasulullah semakin mendapat tentangan, Khadijah tetap sedia menemani. Memberi kata-kata semangat kepada suami. Khadijah yang terkenal dengan sifat pemurah, mengorbankan hartanya untuk Islam, membantu dakwah suaminya agar umat manusia kembali kepada mengesakan Allah dan kesejahteraan alam.

Diri ini sendiri sangat mengaguminya. Mengagumi pengorbanan, keyakinan, penghormatan yang diberikan kepada suami serta sifat-sifat mulia yang dimilikinya. Khadijah, seorang wanita mulia dimana Allah juga membangunkan sebuah rumah yang indah untuknya di syurga.

Khadijah, contoh ikutan isteri solehah. Isteri yang paling dicintai Nabi Muhammad s.a.w hingga ke akhir hayat baginda selalu menyebut-nyebut namanya. Sehingga baginda sendiri pernah bersabda:

"...Demi Allah, aku tidak pernah mendapat pengganti yang lebih baik daripada Khadijah. Dia yang beriman kepadaku ketika semua orang ingkar. Dia mempercayaiku ketika semua orang mendustakanku. Dia yang memberiku harta pada saat semua orang enggan memberi. Dan darinya aku memperoleh keturunan- sesuatu yang tidak kuperoleh dari isteri-isteriku yang lain."
(H.R. Ahmad)



~Ya Allah, jika dia benar untukku, dekatkanlah hatinya dengan hatiku. Jika dia bukan milikku, damaikanlah hatiku dengan ketentuan-Mu.
(Permata Yang Dicari-DeHearty-)~

Aug 16, 2009

Berserah Diri



Bila hatimu berdepan dengan ketidakpastian, maka adukanlah ia kepada Tuhan. Menjadi hamba yang sentiasa berserah diri padaNya. Semoga hatimu tenang menghadapi setiap persoalan dalam kehidupan.

(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepadanya (Ibrahim), "Berserahdirilah!" Dia menjawab, "Aku berserah diri kepada Tuhan seluruh alam."
(Al-Baqarah; 2:131)

Berserah dirilah. Sesungguhnya Dia mengetahui segala isi hati dan mengetahui segala yang tersembunyi.

"Ya Tuhan kami, jadikanlah kami orang yang berserah diri kepada-Mu, dan anak cucu kami (juga) umat yang berserah diri kepada-Mu....."
(Al-Baqarah;2:128)

Aug 14, 2009

Ramadhan Terakhir?


~Kematian bila-bila masa berlaku, kita tunggulah kematian dari nafas ke nafas, agar kita tidak ada angan-angan yang melalaikan, hendak membangun membangunlah, tapi ingatlah waktu itu boleh mati, hendak maju majulah, tapi kematian boleh berlaku pada waktu itu, hendak kejar kekayaan kejarlah, tidaklah salah selagi halal, tapi ingatlah mati, ingatlah mati di dalam sebarang hal, agar kita tidak lalai, jiwa sentiasa takut dan gentar dengan Tuhan, bila jiwa takut dengan Tuhan kita takut hendak membuat dosa dalam sebarang hal. ~
("Kenapa Allah Murka"- Muhammad Qayyum A. Badaruddin)



Hari itu sudah masuk Ramadhan ketiga. Biasanya selepas kelas sesi pagi, para pelajar akan ke gerai-gerai berdekatan untuk 'brunch'. Mengisi perut untuk kelas tengahhari nanti. Namun, rutinnya berubah bila tiba bulan puasa.

Ramai antara mereka menghabiskan waktu yang tersisa di perpustakaan. Membaca suratkhabar yang diletakkan di sudut bacaan untuk hari itu.

Haidan menyelak akhbar di tangannya. Sekadar 'scanning' dan hanya singgah lama di berita-berita penting di laman akhbar. Dia terpana di satu tajuk segmen akhbar di bahagian perkongsian agama; tajuknya: "Pengalaman Koma". Dia tertegun sebentar. Membaca setiap huruf yang termaktub hingga ke hujungnya.

"Ajaibnya pengalaman orang yang koma ni ye. Menginsafkan!", monolognya sendiri. Rakan-rakan disebelahnya hanya mendengar. Tidak ambil pusing kerana masing-masing juga tekun membaca akhbar.

"Eh, teringin pulak nak rasa koma sekejap." tambah Haidan lagi. Ucapan itu terluncur begitu sahaja dari mulutnya. Mungkin dek kerana terlalu kagum dengan cerita yang dibaca.

"Astaghfirullah! Tak eloklah cakap macam tu." Seorang rakan yang menangkap percakapannya segera menegur.

"Eh, tak boleh ke? Sekejap je tapi menginsafkan." Wajah Haidan sedikit keliru.

"Eh, mintak jauh." rakan yang seorang lagi menambah.

Haidan hanya membisu. Dalm hatinya masih lagi mengagumi keajaiban yang Tuhan berikan pada insan-insan yang terpilih ini. Tentunya ia memberi kesan yang mendalam pada iman, fikirnya sendiri.

Masuk Maghrib Khamis itu, 5 Ramadhan menjelang. Assignment yang sekian banyaknya perlu dihabiskan selesai solat berjemaah tarawikh di masjid dilaksanakan.

Haidan meninggalkan dahulu kerja yang masih tidak dapat disiapkannya di atas meja belajar. InsyaAllah, masih ada esok untuk meneruskan sisa kerja yang tinggal. Lagipun, selesai kelas Jumaat esok hari, dia akan balik ke rumah. Berjumpa dengan ibu ayah. Haidan dah berjanji dengan ibu dan ayahnya untuk sama-sama berbuka puasa dan bertarawikh bersama pada minggu pertama Ramadhan kali ini.

Sebelum melelapkan mata, dia mengambil wuduk. Mengerjakan solat sunat.

Seketika kemudian setelah terlena, dia melihat dirinya berada di suatu tempat. Di sebuah bilik yang luas. Dia melihat juga melihat rakan-rakannya. Semuanya tidur kelenaan.

Kemudian, dia melihat ada tetamu yang berkunjung di pintu. Tetamu yang tidak diundang itu wajahnya sedikit luka. Namun, masih menghulurkan senyum manisnya. Haidan dan tetamu itu berjabat salam.

Seketika kemudian, dia melihat dirinya di sebuah tempat yang lain. Mungkin di sebuah bangunan. Gelap. Dia merasakan kepalanya diketuk kuat. Haidan melarikan diri. Menuju ke tangga. Dadanya merasa penat dan lelah.

"Allah, mana nak pergi ni?"

Dia melihat pintu-pintu yang sangat banyak di tingkat atas. Namun, dia terlalu takut untuk berhati-hati. Seolah-olah ada sesuatu yang mengejar. Dia perlu pantas membuat keputusan. Dia terus meluru ke sebuah pintu. Dikuaknya pintu itu dan terus merasakan dirinya jatuh dari tempat tinggi.

"Allah!"

Haidan tersedar. Dia melihat siling di atas kepalanya. Namun, satu perasaan aneh datang. Seolah-olah dia tidak melihat dengan matanya. Ya, dia tidak merasakan kelopak matanya berkelip. Dia seakan-akan tidak melihat dengan anggota badannya. Adakah dia hanya melihat dengan rohnya sahaja? Pandangan itu tidak seterang dengan pandangan anak mata.

"Ya Allah, aku dah mati ke? Allah, hari ni Jumaat. Allah, aku dilahirkan bulan ini. Adakah aku juga dipanggil kembali bulan Ramadhan ni? "
Dia teringat pada kata-kata ibunya. Ya, dia dilahirkan pada bulan Ramadhan. Adakah dia akan pergi berdekatan waktu dia datang ke dunia ini? Adakah ini Ramadhan terakhir buatnya?

"Ya Allah, baru hari ni aku nak balik rumah untuk jumpa mak ayah. Allah, adakah jasad aku saja yang akan sampai pada mereka pada hari ni?"
Haidan teringat janji pada ibu bapanya. Bagaimana kalau hari esok hanya jasadnya saja diusung balik ke rumah. Haidan masih ingin sekali lagi peluk dan cium orang tua kesayangannya.

"Allah, aku masih belum mintak maaf pada semua orang. Aku tak tahu sama ada aku ada menyakitkan hati mereka atau tidak?"
Teringat pada sahabat-sahabatnya. Dia gemar mengusik dan menyakat. Adakah mereka pernah terasa hati dengannya?

"Ya Allah, ampunilah aku. Kembalikanlah aku ke dunia sekali lagi, ya Allah."

Hatinya menangis tapi tanpa air mata. Kerana dia bukan lagi di jasadnya.

Beberapa ketika kemudian, dia merasakan pandangannya mula terang. Kelopak matanya dapat dibuka.

"Terima kasih ya Allah, syukur padaMu..."

Haidan bangun dari pembaringannya. Kakinya terasa kebas hingga ke paras pinggang. Hujung kakinya terasa sejuk.

"Ya Allah, apakah benar perasaan ku tadi bahawa engkau sudah hendak memanggilku?"
Dia segera bersujud. Sujud syukur atas kurniaan Allah padanya. Juga atas kesalahan yang telah dia perbuat. Dia merintih sedih. Terasa amat dunia ini terlalu kecil nilainya. Hanya amal kebajikan menjadi segala-galanya untuk menjadi bekal menghadap kembali dia pada Pencipta.

Allah berfirman lagi: "Di bumi itu kamu hidup dan di situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan pada hari kiamat)."
(Al-A'raff; 7:25)

Aug 12, 2009

Tak Seperti Bintang Di Langit



"Tak seperti bintang di langit, tak seperti indah pelangi, Kerna diriku bukanlah mereka, ku apa adanya. Wajahku kan memang begini, sikapku jelas tak sempurna, ku akui ku bukanlah mereka, ku apa adanya. Menjadi diriku atas segala kekurangan, menjadi diriku atas kelebihanku. Terimalah aku seperti apa adanya. Daku hanya insan biasa. Tak mungkin sempurna..."
(Menjadi Diriku- Edcoustic)

Teringat kisah Luqmanul Hakim dan anaknya.

Saya mungkin diibaratkan seperti kotak. Nampak sama dari semua sisi. Mungkin tidak nampak kecenderungan yang jelas pada halatuju dan matlamat dunia bagi sesetengah manusia yang melihat dari luarannya. Semua seginya sama rata. Tiada yang cenderung mana-mana.

Namun, tahukah isi kandungan kotak itu tak mampu diperlihatkan keseluruhannya. Tidak semuanya harus diluah dan diceritakan andai ia hanya mencetus sifat mazmumah si pencerita.

Andai ia adalah matlamat dan cita-cita, biarlah ia menjadi rahsia dalam kotak misteri ini. Tidak semua kejayaan besar dan pencapaian dalam hidup perlu diceritakan andai hanya mengundang rasa kagum pada diri sendiri. Tidak semua matlamat dan cita-cita tinggi melangit dalam hidup yang cukup jelas, lengkap dan terancang perlu diwar-warkan andai hanya berasa ingin dikenali dan dikagumi. Maka, tidak semua yang berada di luaran itu jelas menggambarkan dalamannya melainkan ia adalah lutsinar.

Biarlah bicara hati itu lahir dengan perbuatan. Dan kata-kata yang bermanfaat itu lahir ditutur lisan. Perancangan dalam hidup lahir dalam langkah perbuatan dan bukan sekadar ucapan madah untuk masa depan.

Biarpun begitu, saya hanya insan biasa. Punya kekurangan yang perlu dibaik pulih setiap masa. Namun, masih yakin dan jelas dengan tujuan hidup sebagai hamba-Nya.

Cukuplah hanya Dia menjadi saksi.


Ingatan buat diri,
"Jadilah pohon yang rendang, biarpun dilempar dengan batu, ia tetap berbuah lebat."

"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari kemudian, maka hendaknya ia berkata yang baik atau diam".
(Hadith Riwayat Abu Hurairah)

Komunikasi Dari Hati


~Yang merah itu saga, yang kurik itu kendi, yang indah itu bahasa, yang cantik budi pekerti...~


Sejak dari Tahun 1 hingga Tahun 4, rasanya dah banyak belajar tentang subjek komunikasi. Teori. Namun, praktikal dan amalinya komunikasi dilakukan setiap hari. Sejak dari dalam kandungan ibu hingga sekarang.

Banyak teori dikeluarkan oleh ramai orang tentang komunikasi. Namun, sedar tak sedar komunikasi itu sama ada berkesan atau tidak harus bermula dari hati. Tanpa adanya kehadiran atau kesediaan hati untuk berkomunikasi, maka pastinya komunikasi yang diberi kurang memberi kesan mendalam.

Masih teringat sewaktu Tahun 3 dulu ketika melawat rumah warga emas di Triang, Pahang. Penghuninya terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa. Selesai 'briefing' kami diberi kebenaran untuk berinteraksi dengan warga rumah. Saya dan seorang kawan menghampiri seorang wanita berpangkat nenek barbangsa Cina. Dengan ilmu tentang bahasa cina yang terhad, saya memulakan sapaan.

"Popo, ni hau ma?"

Nenek itu beralih kepada saya. Dia menjawab dengan nada sedih. Kemudian, menyambung lagi dengan menggunakan bahasa Cina yang tidak saya fahami. Rupanya dia mula bercerita. Ceritanya menggambarkan kesedihan seolah-olah menceritakan peristiwa malang yang menimpa diri. Saya hanya mampu menggunakan 'therapeutic touch' bagi memujuknya. Tidak dinafikan ceritanya itu , biarpun disempadani oleh bahasa, ianya amat menyentuh hati. Berdekatan kami ketika itu, ada seorang kakitangan rumah tersebut yang juga 'tourist guide' kami tadi. Lelaki berbangsa Cina itu menghampiri.

Dia kemudiannya memujuk nenek itu tadi. Kemudian, katanya pada kami;

"Nenek ini baru masuk sini 2 minggu. Anaknya halau dia keluar dari rumah."

Kemudian, nenek itu berbicara lagi. Cuba menyampaikan sesuatu. Saya dan kawan yang berdiri mula duduk di sebelahnya. Sambil bercerita, dia menangis. Rasanya waktu itu, kami turut ingin menangis bersama-sama.

Mesej yang disampaikan mungkin melalui susunan kata yang berbeza. Namun, dengan kesediaan dan kehadiran hati dalam komunikasi dua hala, susunan kata itu dapat diterjemahkan dalam 'binary code' bahasa hati.

Dengarlah dengan hati dan sampaikan dengan hati. Bila berbicara dengan Tuhan juga harus dengan hati. Kerana hanya dengan hadirnya raja hati, bahasa itu lebih mudah diterjemah dan dicerna menteri akal fikiran serta rakyat anggota tubuh lebih mudah dikerah untuk tindakan susulan.

Biarpun tanpa lisan, pandangan, mahupun salah satu means of communication, bahasa hati yang mempunyai 'binary code' yang sama itu pasti mengerti.

"Tempat bagi khusyuk ialah di hati, dan kemudiannya ia mempengaruhi dan mengawal pandangan mata serta menenangkan anggota badan."
-Imam Hasan Al-Basri-

Aug 9, 2009

Lapangkan Hati Seluas Laut Membiru


~Sesungguhnya aku benar-benar berharap kepada Allah, sehingga dengan kesabaran yang baik seakan-akan aku dapat melihat apa sahaja yang telah dilakukan oleh Allah untukku...~
Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni


Lapangkan hatimu umpama seluas sebuah tasik yang besar mahupun laut membiru yang terbentang luas. Kiranya hatimu yang luas itu dicurah sebekas hempedu, maka kau mungkin tidak akan merasakan kepahitannya. Namun, kiranya hatimu secetek air di dalam gelas, maka kepahitan itu pasti memenuhi hatimu hingga engkau sukar untuk bernafas.

Kekadang manusia memandang masalah dihadapannya umpama seketul batu besar yang diletakkan di atas pundaknya yang perlu dibawa ke mana-mana. Wajahnya melukiskan seribu satu kepayahan. Senyumnya terasa sangat akan kepahitan hatta pada mata yang memandang.

Hatinya merintih, "Mengapakah aku menjadi manusia 'bertuah' memikul beban ini? Mengapakah aku tidak menjadi seperti si polan dan si polan. Hidupnya sentiasa gembira."

Walhal di hati seorang mukmin yang zahirnya terlihat kegembiraan masih ada ujian dan dugaan yang ditimpakan. Cuma bagi seorang mukmin itu, ujian adalah suatu keperluan yang perlu dihadapi dalam kehidupan. Ia bukan masalah yang membebankan. Ia adalah cabaran untuk menguji ketahanan hati dan jiwa yang berisi iman. Menguji sejauh mana rasa kesyukuran pada nikmat yang dikurniakanNya.

Ujian dan cabaran tidak akan menyebabkan seorang Muslim itu merungut pada Tuhannya. Kerana dia tahu masih ada ingatan dari Tuhan yang Mencipta itu pada diri hambaNya yang sangat kerdil itu.

Seorang Muslim yang bersyukur akan memandang semua ujian terkandung hikmah. Semua ujian itu datang kerana dirinya dikasihi Allah. Dia masih berada pada pandangan Allah yang Maha Besar.

Jadilah kita manusia yang sentiasa bersyukur. Merintih dan menangislah ketika kita bersamaNya. Pasti Dia yang Maha Mendengar mendengarkan rintihan itu kerana Dia adalah Allah yang amat menyintai hamba-hamba yang menghambakan dirinya pada Tuhan yang Maha Mencipta.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap-siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung."
(Ali-Imran; 3:200)




Aug 6, 2009

Kisah Abul Ash dan Diriku


~“Yaa muqollibalquluub tsabbit qolbiy alaa diinika” Wahai Dzat yang membolak-balik hati, kukuhkan hatiku tetap berada di atas agamamu.~


Kenalkah anda dengan Abul Ash? Seorang lelaki yang berbudi pekerti mulia.

Beliau adalah menantu sulung pertama Rasulullah s.a.w dan srikandi Khadijah. Suami tercinta buat Zainab, puteri sulung baginda.

Saya menelusuri 'Kisah Cinta Sejati Khadijah' dan menemukan kisah Abul Ash di dalam buku ini. Abul Ash dikatakan oleh Ibnu Ishaq sebagai seorang pemuda yang kaya, jujur serta berjaya dalam berdagang. Dikenali juga sebagai seorang yang amanah dalam berdagang. Anak saudara Khadijah ini juga disukai oleh ibu saudaranya kerana sifat-sifatnya yang mulia.


Sewaktu mula dakwah Nabi secara terang-terangan di Mekah, orang kafir Quraisy diketuai Abu Jahal merancang untuk mengacau-bilaukan dakwah baginda dan meminta suami-suami kepada puteri-puteri baginda menceraikan isterinya. Dengan harapan bahawa Rasulullah akan mengalihkan tumpuannya daripada dakwah kepada hal anak-anaknya.

~Kisah Cinta Sejati Khadijah yang menyentuh hati~
Maka, orang-orang kafir Quraisy berjumpa Abul Ash. Mereka menjanjikan beliau dengan wanita Quraisy yang lain untuk dikahwininya. Namun, kerana cintanya pada Zainab dan sanjung hormatnya pada Rasulullah dan Khadijah biarpun berlainan aqidah, Abul Ash menolak pelawaan kaum kafir Quraisy. Maka, pergilah mereka dengan hampa.

Walaupun, pada waktu itu, Abul Ash belum lagi beriman kepada Allah dan Rasulnya, pendirian tegas Abul Ash dipuji oleh Rasulullah.

Namun, Abul Ash memeluk Islam di belakangan kerana bertegas untuk duduk dalam gelap jahiliyah. Beliau masih berada di pihak kafir sehingga berlakunya Perang Badar dan ditawan oleh tentera Islam. Namun, setelah melihat kebaikan bapa mentuanya sendiri kepada beliau dan tawanan yang lain, maka hatinya dibuka oleh Tuhan Pemilik Hati untuk menerima Islam.


Maka, apakah kaitannya pemuda bernama Abul Ash ini dengan diri saya?

Apabila saya membaca kisah Abul Ash, ia mengingatkan tentang diri sendiri ketika sekolah menengah dahulu. Sekitar tingkatan tiga. Di kala hati masih lesu dengan iman dan berlalangkan jahiliyyah.

Teringat ketika temuduga pemimpin pelajar yang terpaksa saya hadiri kerana nama-nama 'short listed' oleh guru-guru.

"Saya memang tak nak jadi." ujar seorang pelajar perempuan angkuh di hadapan anggota-anggota Majlis Tertinggi Pemimpin Pelajar (MT) yang seramai 6 orang itu; 3 putera dan 3 puteri. Semuanya adalah orang-orang yang saya kagumi bakat kepimpinan mereka.

"Kawan baik awak juga seorang 'prefect'kan? Apa salahnya kalau awak pun jadi pemimpin pelajar?" salah seorang abang MT bertanya.

"Rambut sama hitam, hati lain-lain." jawab pelajar perempuan itu lagi.

Setelah penat bersoal jawab, salah seorang anggota lelaki MT bertanya, "Macam nilah, andaikan sekarang ni awak sebenarnya dah lulus pun temuduga ni, tinggal nak pakai baju pemimpin pelajar saja. Adakah awak terima?"

"Tidak." Jawapan ringkas tapi agak berbisa.

Kakak-kakak anggota MT hanya mendiamkan diri sepanjang proses temuduga. Bukan kerana tidak pandai berkata-kata, namun, terkejut dengan jawapan yang diberikan adik junior yang agak baik dengan mereka.

Ya, itulah saya. Tegas seperti Abul Ash. Namun, tegas dengan pendirian saya yang tidak bertempat. Minda yang tidak dicernakan dan ditarbiyah dengan iman tidak mampu berfikir jauh ke hadapan. Jawapan yang diberikan hanya mengikut kata hati yang sakit, yang hilang pertimbangan terhadap keperluan insan dan ihsan .

Namun, akhirnya semua adalah ketentuan Tuhan. Dia Perancang Yang Maha Baik. Sebaik manapun perancangan manusia, pasti akan kalah dengan perancangan Pencipta. Saya akhirnya dilantik dalam keadaaan terpaksa. Dengan kuasa dan takdirNya, saya diletakkan sebilik di asrama bersama kakak-kakak anggota Majlis Tertinggi BADAR dan Kepimpinan Pelajar. Di situlah saya mula bertatih belajar menjadi hamba. Bukan hamba kepada dunia dan seisinya tetapi hamba kepada Pencipta.

Terima kasih buat Frau Farah Juita dan sahabat-sahabat yang sentiasa berada di sisi.

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan olehNya untuk merasai nikmat iman dan islam dalam kehidupan. Hati yang berlalang jahiliyyah kini mula menumbuhkan rimbunan pohon iman dan taqwa, disuburi mata air cinta kepadaNya.


Sungguh, Dialah Pemilik segala hati di dunia ini...

Teringat kata-kata ibu bahawa anaknya ini punya ketegasan seperti tegasnya seorang lelaki.
Semoga ketegasan ini hanyalah untuk kebaikan dan hanya kerana-Nya.


~Usahlah berputus asa mengajak orang lain pada kebaikan. Kerana kita tidak tahu bila titiknya petunjuk Allah itu tiba dalam setiap ajakan kita kepadanya...~

Aug 5, 2009

Ibrah Rentetan Kesakitan


~Saya perlu sentiasa diuji kerana saya adalah hambaNya...~


30 Julai 2009

Kelas Dr. Laith yang sepatutnya bermula sesi petang dibatalkan secara tiba-tiba. Kelas untuk esok harinya juga dibatalkan. Dengar kata ekoran ramai daripada nursing students yang demam secara beramai-ramai adalah antara punca bahawa pihak kuliyyah meminta kami untuk terus balik berehat di bilik dan berkuarantin. Ketua kelas yang selalu menjadi 'mangsa buli' oleh pelajar-pelajar perempuan ni pun tak hadir akibat demam hari ini. Rasa bersalah dan tak sedap hati terbit di hati.

Pada petangnya ada rasa loya dan pening-pening dirasa. Yang pastinya ia bukan simptom 'morning sickness'. Hidayah, sahabatku sudah terlantar kelesuan di katil. Suhu badannya tinggi. Panas sangat, berhaba satu bilik. Ingatkan nak bawa saja ke Emergency Department. Namun, akibat masalah pengangkutan, kami menunggu hingga ke malam. Alhamdulillah, demamnya makin reda.

31 Julai 2009

Rakan-rakan sekelas yang juga merangkap jiran-jiran sebelah menyebelah bilik ramai yang pulang ke rumah masing-masing. Cuti selama empat hari itu dimanfaatkan sebaiknya. Badan ini juga makin panas. Rasanya terpaksa saja menolak pelawaan sahabat dari kulliyyah lain untuk menyertai team futsal ke tournament di UIAM Gombak petang itu mahupun membatalkan penyertaan ke ESQ hujung minggu ini andai penyakit yang tidak diketahui berjangkit atau tidak ini semakin menaikkan suhu badan.

Petangnya, saya menelefon Mak yang sudah pulang dari pejabat. Sekadar mahu bertanya adakah saya perlu balik di hujung minggu ini. Takut-takut jika Mak dan Abah ada program lain. Mak kata akan menjemput balik ke rumah esok kerana anaknya ini sudah demam, sakit tekak, sakit badan dan pening-pening. Ya, tidak lama kemudian, Mak menghantar khidmat pesanan ringkas, akan menjemput saya malam itu juga. Ya Allah, kasihan sangat pada Mak dan Abah yang menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk menjemput anaknya yang banyak karenah ini.

1 Ogos 2009

Kami tiba di rumah pada pukul 3 pagi. Kasihan Abah sebab penat memandu lama. Pagi itu, selesai sarapan, terus ke hospital berdekatan. Ya Allah, ramainya orang di hospital. Rasanya ramai ada simptom yang sama. Setelah diperiksa, blood pressure : 142/88 mmHg, heart rate: 112 beats/min dan suhu: 39.7'C. Alhamdulillah, hanya viral fever. Dapatlah mengurangkan kerisauan di hati Mak dan Abah. Namun, di situ juga terserempak dengan rakan lama yang pernah benar-benar menguji hati. Anggapkan saja ia seperti angin lalu.

2 Ogos 2009

Alhamdulillah, hari-hari yang dilalui semakin Allah kurniakan nikmat kesihatan kembali kepada diri.

Pembungkus

Entri kali ini sedikit panjang. Hanya memetik kronologi ataupun rentetan peristiwa 'suspected H1N1' ini sebagai satu suri tauladan yang mendidik hati. Rentetan peristiwa di sebalik hari-hari yang saya lalui kali ini terasa sarat dengan hikmah buat diri.

Saya melihat bagaimana pengorbanan dan huluran kasih sayang ibu bapa yang tidak pernah kenal penat lelah dan susah payah demi anaknya. Begitu juga pada jagaan sahabat-sahabat yang sentiasa mengambil berat biarpun di kala suka mahupun duka. Ana uhibbu antum fillah, terima kasih atas segalanya. Pun begitu jua pada pertemuan yang disuratkanNya tempoh hari, saya anggap ia juga hikmah. Hikmah bagi menguji ketahanan dan keampuhan benteng pendirian hati yang dibina di atas teras kekuatan iman dan taqwa.

Alhamdulillah, kesakitan yang diberi ini mendidik hati dan naluri insani untuk lebih menghargai kasih sayang ibu dan ayah dan belajar untuk meneladani insan-insan yang terbaik ini. Ia juga mendidik hati untuk lebih telus dan suci dalam melihat alam dan kejadian yang telah ditentukan. Kesakitan ini mendidik hati untuk terus bermujahadah, menggagahkan diri untuk berbicara dengan Allah, menghargai nikmat-nikmat kesihatan yang diberikan Tuhan dan menjadi hamba yang senantiasa bersyukur pada Pencipta.


Terima kasih atas peringatan buat hambaMu ini, Ya Rabbi...

Terima kasih semua... ~

Aug 3, 2009

Epilog Kapal Kertas



Hampir ku lemas dalam keputus asaan diri
tatkala kapal kertas bercoret janji setia dihempas ombak keras

Untuk kali ini
Izinkan aku bernafas di pulau kehidupan yang baru
Usah kembali jemput aku di sini
Kerana dikau bukanlah nakhoda kapal yang kupercayai

Izinkan aku kembali bernafas segar di pulau harapan Rabbi
Setelah bertahun lama aku terdampar di pantai kedukaan

Izinkan aku mengorak langkah
Menjejak lakaran perjalanan kebahagiaan buat diriku ini
Menemukan takdir yang tercipta buat sekeping hati

Andai kita masih bertembung di perjalanan,
Daku hanya serpihan memori di ingatan



Epilog

Sebulan bercuti di semester lalu seolah-olah seperti di 'brain washed' oleh medium-medium yang ada. Baik dari sahabat-sahabat, ibu abah sendiri mahupun segenap bicarawara di televisyen.

Tambahan pula, membaca bab 'Jodoh tidak datang bergolek' dalam buku "Bercinta Sampai ke Syurga" seolah-olah merelakan panahan-panahan yang tepat terus menusuk ke hati. Rasa seolah-olah ditampar-tampar pun ada.

"Nanti adalah tu."

"Tapi kalau tak buka hati, mana mungkin semuanya terjadi. Awak kenalah usaha." ujar seorang sahabat.

"Nak usaha macam mana? Tunggulah nanti. Kalau ada jodoh tak ke mana..."

Adakah ucapan itu lahir kerana hati masih belum terubat atau kerana diri sendiri yang masih mahu menyendiri, atau kerana benar-benar yakin dengan ketentuanNya?


Credits to Ismilida Abd Aziz, sahabat permata hati...
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino