::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Nov 30, 2009

Pemberian dan Pengorbanan



Rasulullah s.a.w berpesan: "Beri-memberilah sesama kamu, nescaya kamu akan cinta-mencintai sesama kamu."
(Hadith Riwayat Malik)

Hadith itu dinukilkan oleh Imam Al-Ghazali dalam bukunya Adab Pergaulan, Persaudaraan dan Persahabatan dalam Bimbingan Mukmin; begitu juga dinukilkan oleh Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah dalam buku Cinta dan Rindu kepada Allah.

Pemberian dan pengorbanan itu jalannya seiring. Untuk memberikan sesuatu, kita perlu berkorban. Untuk mendapatkan cinta dan redha Allah, kita perlu meninggalkan nikmat dunia yang melalaikan dan apa yang Allah tak suka tapi manusia suka.

Begitu juga dengan lain-lain pemberian dan pengorbanan yang kita lakukan sehari-hari dalam kehidupan. Untuk seorang suami itu memberi nafkah (wang) kepada keluarganya, maka dia akan berkorban masa dan tenaga untuk bekerja. Untuk seorang pemimpin itu memberi yang terbaik kepada rakyatnya, maka dia juga perlu berkorban banyak perkara.

Bacalah Al-Quran dan hayatilah sirah. Betapa banyak pengorbanan yang dilakukan baginda Muhammad s.a.w dan Nabi-Nabi sebelum baginda untuk memberi peringatan dari Tuhan kepada umat-umatnya.

Pengorbanan ini dilakukan untuk memberi sesuatu. Juga untuk mendapatkan sesuatu sebagai timbal balik. Namun, tak selamanya pengorbanan itu menghasilkan apa yang diharapkan. Pengorbanan sinonimnya dengan memberi, dan hanya dengan izin Allah saja kita dapat timbal balik atas pemberian itu.

Biarlah Dia saja menjadi hakim pemerhati kita di dunia ini.

Dari Ibnu Abbas, "Pada kesabaran atas apa yang engkau tidak sukai itu, banyak kebajikan."
(Hadith Riwayat Tirmidzi)


Cinta itu juga perlukan pengorbanan. Mencintai dunia; harta, pangkat, kekayaan dan materi duniawi dengan meninggalkan cinta Allah itu hanya akan mengorbankan diri sendiri, mengorbankan redha Allah dan pandangan Allah pada diri. Juga turut menghilangkan rasa ketenangan hati, kebahagiaan dan kemanisan nikmat iman yang sejati.

Cinta kepada Allah itu sentiasa bersambut dan bersahut. Bahkan berkorban demi cinta Allah, Dia akan memberi dunia itu pada kita. Cinta kepada Allah, dunia yang akan datang kepada kita. Mencintai Allah menjadikan kita antara hamba-hamba yang dicintai penghuni langit meskipun bukan penghuni bumi.

Berilah selagi mampu. Berilah dengan sedekah, senyuman, doa dan nasihat sesama kita meskipun bukan dengan kebendaan. Moga redha Allah sentiasa bersama kita.

Pengorbanan dan pemberian itu suatu kemanisan. Kemanisan yang hadir lebih-lebih lagi dengan cinta Allah sebagai landasan dan matlamat akhir kehidupan.


~Nikmat kemanisan iman, ketenangan hati dan kebahagiaan sejati itu hanya akan dirasai oleh orang-orang mukmin yang punya rasa cinta kepada Allah~

Nov 29, 2009

Aidiladha: Kirimkan walau sekadar khabar


~"Apabila tibanya eiduladha, ramai tertanya-tanya apa yang patut dikorbankan? Sesungguhnya tidak cukup sekadar binatang ternakan, kita patut korbankan apa yang kita sayang untuk Islam."- Hasan Al-Banna-~

"Wan, hari ni hari apa?" tanya saya pada nenek sambil meraba-raba kayu api untuk dibakar.

"Hari Khamis. Tak ingat ke?"

"Khamis dah? Esok raya?" Saya memandang sekeliling rumah. Sunyi dan sepi. Semacam tak seperti akan ada perayaan esok harinya. Memandangkan beberapa keluarga saja yang akan balik ke kampung selepas 'office hour' nanti.

Biarpun suasana perayaan Hari Raya Qurban itu tidak terasa tetapi erti pengorbanan itu menyelinap ke jendela hati. Terfikir-fikir oleh saya ketika bersendirian di kampung halaman.

Sebelum itu hayatilah iklan Telekom di bawah ni.



Di zaman yang serba canggih ini, SMS biasanya menjadi pengganti diri. Maka, di perayaan Aidil Adha ini juga kiriman SMS dengan ucapan 'selamat hari raya aidiladha dan selamat berkorban' memenuhi peti 'inbox'.

Namun, apakah cukup dengan hanya kiriman ucapan tanpa penghayatan?

Senario

Seorang ibu tua termenung sendirian, tertanya-tanya apakah anaknya akan balik di hari raya ini. Diamnya tanpa sebarang berita.

Tiada sebarang panggilan telefon, telegram mahupun apa-apa berita disampaikan oleh anaknya.

Kali terakhir berjumpa, anaknya hanya memberikan alasan dan sebab musabab mengapa seringkali si anak diam membisu tanpa berita. Alasan sibuk, banyak kerja, suami tidak mengizinkan menelefon dan sebagainya diberi.

Si ibu tua hanya terdiam membisu.

Namun, hatinya itu selalu rindu pada anaknya yang di kejauhan. Rindu untuk mendengar berita, bertemu muka dan mendengar suara. Lalu, si ibu yang tua itu dengan mata yang sudah banyak rabunnya berusaha mencari nombor telefon anaknya di dalam buku yang disimpan nombor-nombor telefon pentingnya.

"Kenapa Mak telefon?" Anaknya bertanya tatkala mendengar suara ibunya di hujung talian.

Ibunya sekadar memberi sebab sekadar ingin bertanya khabar.

"Lain kali, tak payahlah telefon. Telefon bila mustahak je."

Hati ibu itu sukar memahami. Kata-kata anaknya seperti menghiris-hiris hatinya yang mudah rapuh bila silap disentuh.

Namun, di dasar hatinya dia mengharapkan anaknya kembali padanya. Kembali ke pangkuannya seperti dia masih kecil di mana si anak tidak mahu ibu hilang walau sekejap dari matanya.

Renungan

Itu hanya sekadar melihat erti pengorbanan pada mata seorang anak untuk kedua orang tuanya. Belum lagi saya sentuh untuk yang lebih jauh dari itu. Belum lagi untuk disentuh apa yang perlu kita korbankan demi Islam dalam konteks yang lebih luas.

Berkorbanlah selagi masih kita dikurniakan keringat olehNya, selagi diberi nikmat 5 perkara pada diri kita dan orang-orang kesayangan kita; hidup sebelum mati, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan sihat sebelum sakit.

Pengorbanan yang besar bermula dari pengorbanan yang dilihat tampak kecil. Namun, dari pengorbanan yang nampak kecil itulah kita belajar untuk berkorban ke arah yang lebih besar.
Semuanya lillahitaala.

Kita melatih diri untuk melihat ruang lingkup yang kecil supaya yang kecil ini terurus di daerah hati. Dan ruang-ruang hati kecil yang terurus itu bisa membentuk ruang di hati yang lebih besar.

Pengorbanan Nabi Ibrahim a.s juga melibatkan pengorbanan kasih sayang dan kekeluargaan. Keluarga yang merupakan unit-unit kecil individu yang bersatu dan membentuk hati-hati masyarakat yang berpadu.

Semuanya yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan keluarganya adalah dilakukan atas dasar iman.

Bila iman bertakhta di hati, ia akan membisik sendiri kepada kita. Biarpun kadang kala kita terlepas pandang akan sebuah kebenaran, iman itulah yang akan berbisik menunjuk jalan.

Hayatilah pengorbanan bukan hanya setakat di Hari Raya Qurban. Berkorban kerana Allah tidak perlu resah dan susah. Allah sudah janji pada kita bahawa ganjaran akan kita perolehi; jika tidak di dunia pasti di akhirat sana. Percayalah padaNya.

Peringatan juga buat diri sendiri...

~Kata Kak Atiq, senior saya di dalam mesejnya: Hidup ini tak berseri tanpa pengorbanan. Atas apa yang dikorbankan, jika ada niat untuk mendapat redha Ilahi, pasti ganjaran besar menanti. Pengorbanan tak pernah mudah because no pain, no gain. -terima kasih ukhti-~

Nov 22, 2009

Salam Aidiladha 1430 H



Salam Aidiladha ingin saya dahulukan walaupun belum sampai waktunya. Maaf, andai blog ini akan diam seketika kerana perlu kembali ke kampung halaman esok hari. Selamat Hari Raya Korban. Maaf sekali lagi dari diri yang banyak khilafnya ini.

Semoga tetamu Allah yang berkunjung ke Tanah Suci mendapat haji mabrur yang dicita-citakan. Semoga yang pergi selamat pulang ke tanah air kembali. Moga pengorbanan yang dibuat di musim Korban ini tidak hanya terhenti di musim ini saja, bahkan menjadi seorang Muslim itu pengorbanan kerana mencari redha dan kasih Allah menjadi satu kemestian selagi mana kita masih bernyawa.

Di kesempatan ini, ingin berkongsi beberapa mutiara kata yang dipetik dari buku yang dibeli 5 tahun dulu sewaktu matrikulasi: 1001 Mutiara Hikmah & Kata Nasihat. Moga berhasil menjadi peringatan diri sendiri dan teman-teman.

Kebahagiaan

Orang yang berbahagia itu ialah orang yang dapat menguasai hatinya, sebab orang yang dapat memerintahkan hatinya sendiri, lebih besar faedahnya daripada orang yang menaklukkan sebuah negeri. (Hukamak)

Keimanan

Iman menanamkan pandangan hidup, bahawa manusia ini mempunyai kemuliaan di sisi Allah s.w.t, dipandang mulia oleh malaikat dan menjadi pemimpin pada alam ini. Maka timbullah rasa harga diri dalam hati orang yang beriman dan terasa ada hubungannya dengan alam semesta. Lenyaplah perasaan rendah diri dan kekosongan jiwa dalam dirinya.
Orang yang beriman itu merasa bahawa seluruh alam ini berkhidmat kepadanya, para malaikat sentiasa mengawalnya, dan Tuhan penguasa alam ini selalu bersamanya. (Yusuf Al-Qardawi)


Ilmu

Wahai anak kesayanganku, carilah ilmu, kerana apabila engkau menjadi fakir maka ilmu itulah hartamu, akan tetapi kalau engkau kaya, ilmu itu menjadi perhiasan dirimu. (Lukmanul Hakim)

Budi Pekerti

Perkataan yang lemah lembut dan ikhlas itu melembutkan hati yang lebih keras dari batu, perkataan yang kasar itu mengasarkan hati yang lebih halus daripada sutera. (Hukamak)

Kasih Sayang

Walaupun perasaan cinta dan kasih sayang itu daripada Allah s.w.t, tetapi kita perlu sedar bahawa keabadian cinta itu tidak akan diperolehi sebagai salah satu anugerah tanpa diiringi usaha dan susah payah. (Abul Islami).


Kematian

Masa lalumu jadikanlah sebagai guru.
Suatu hari akan berganti dan menjadi saksimu.
Apabila hari semalam perbuatanmu adalah bisu.
Segeralah dengan kebajikan dan terpujilah kamu.
Berbuat baik jangan besok ditunggu.
Mungkin besok engkau akan beku. (Hukamak)


Taubat

"Wahai hambaKu, kamu telah mencintaiKu, maka Aku pun mencintai kamu, kamu meninggalkan Aku, maka Aku pun meninggalkan kamu, dan kamu telah durhakai Aku, maka masih Aku tunda siksa untukmu, maka kalau engkau kembali kepadaKu, tentu Aku akan menerimamu. (Hadith Qudsi).


~Selamat Hari Raya Aidiladha 1430 Hijrah...Semoga Allah menerima pengorbanan kita keranaNya.~

Nov 21, 2009

Wahai Diri: Renungan Hati


~Wahai diri, dengarkanlah...~

Moga ia berhasil menyentuh hati biarpun hanya sekelumit rasa..



credit to BEliaCergAs & Koleksi Video Tarbawi

~Wahai diri, ingatlah kembali siapa dirimu. Siapakah kau di mataNya?~

Nov 19, 2009

Semalam, Hari Ini dan Esok...


~Bekerjalah kamu seolah-olah kamu hidup seribu tahun lagi, dan beribadahlah kamu seperti kamu akan mati esok hari...~

Hari ini saya sekadar nak bercerita sambil santai. Mungkin disebabkan 'mood' saya yang amat baik pada hari ini. (Em, walaupun kawan-kawan saya kata saya ni tiap-tiap hari pun gembira je.
Ini bertepatan dengan gelaran The Most Jovial Person yang saya dapat waktu hari Grand Dinner Tingkatan Lima dulu. )

Tak sangka sekarang saya dah hampir habiskan pengajian saya. Tinggal satu semester saja lagi. Rasanya setiap transit hidup saya semuanya ada kenangan manis belaka.

Semalam

Di matrikulasi UIAM, saya duduk di Aisyah College berhadapan Abu Bakar College. Boleh kata Aisyah College ni paling jauh sekali dari kelas pengajian (walhal jauhnya lebih kurang 10 minit saja berjalan kaki) dan boleh dikatakan yang paling kurang cantik dari luarannya.

Teringat saya perbualan dua orang rakan lelaki sekelas saya waktu itu.
"Aisyah College tu yang mana?"
"Yang paling hujung."
"Yang mana?"
"Yang atas bukit sikit tu."
"Yang mana?"
"Alah, yang paling buruk tu."
"Oh, yang tu ke?"

Sabar jelah saya mendengarnya. Tapi saya suka duduk di kolej tu terutama tempat makannya yang murah dan tiada pelajar lelaki; tempat lepak saya dengan Mawaddah (sewaktu dia masih single dulu.)

Saya juga ada banyak kenangan manis dengan roomates saya tahun pertama. Sayang sangat pada semua. Kami ada berlapan sebilik. Saya seorang saja yang ambil bidang bio science waktu itu. 3 roomates saya dari bidang English & Literature (eh, betul ke nama penuh bidangnya ye?) dan 4 lagi roomates saya dari bidang Ilmu Wahyu. Kawan-kawan saya pun waktu tu lebih ramai di kalangan non-sciences daripada sciences. Kalau nak cerita pasal kenangan manis kami, seminggu cerita pun rasanya tak habis. Tapi saya sangat sangat dan amat rindukan saat itu.

Di main campus Kuantan, kulliyyah of nursing IIUM, saya tak kenal sangat pun rakan-rakan nursing. Sebabnya ramai daripada kami sebenarnya daripada bidang-bidang lain yang masuk ke nursing (termasuk saya) sebab waktu itu bidang nursing ni dipromosikan pada kami setelah 2-3 minggu kami masuk matrikulasi. Ada yang daripada bidang bio science, engineering, human science, ICT, dan architecture (itu saja yang setakat saya tahu).

Susah jugaklah nak mencari keserasian tu waktu mula-mula jumpa. Masing-masing baru nak kenal dan menjalin ukhwah. Di bawah ni ada video sewaktu dah masuk Tahun 2 nak masuk Tahun 3.

video

Akhirnya, bila dah lama-lama, baru kita rasa kita ni tetap ada keserasian duduk satu kelas walaupun ada perbezaan. Lama-lama dah boleh get along juga.
Waktu tu, baru rapat dengan senior. Senior kami yang baru graduate ni sangatlah rapat dan baik dengan kami. Sekarang ni, apapun minta pendapat mereka je kalau nak minta future prospect untuk kerja.

Itu cerita semalam... Semalam yang penuh indah dengan kenangan. Walaupun ada kenangan yang pahit, cukuplah jadikan ia pengajaran. Tak larat nak kenang dah.

Hari Ini

Setakat ni, isu yang selalu kami sembangkan adalah tentang proskpek kerjaya. Nak menghadapi hari esok, persediaan kenalah dibuat hari nikan? Walaupun kita tak tau adakah esok Allah masih bagi lagi nikmat kesihatan dan pernafasan untuk kita.

Bagi yang sudah berkeluarga, tentulah perancangan dibuat bersama suami untuk kerjaya masa hadapan. Bagi yang bakal berkahwin selepas graduate ni pun, dah ada perancangan mereka sendiri. Kalau nak sewa serumah nanti pun, mesti nanti kena cari kawan serumah yang lain pula.

Beberapa hari lepas, saya berjumpa dengan salah seorang pensyarah saya untuk membincangkan tentang hal projek research kami. Di akhir perbincangan saya sempat bertanya tentang prospek kerjaya padanya sebab beliau seorang professor yang dah banyak pengalaman bekerja di luar negara. Beliau berkata kepada saya (saya terjemahkan ke bahasa melayu):

"Selepas ijazah sarjana muda, sekiranya awak belum kahwin mintalah kerja sebagai volunteer di UN (United Nation). Carilah pengalaman." Kata Prof saya yang berasal dari Myanmar itu dengan bersungguh-sungguh.

Kembali saya dari pejabat beliau, saya menceritakan peluang itu kepada rakan saya.
Kemudian, rakan saya membalas jawapan ini kepada saya:

"Diorang ajak pergi Abu Dhabi."
"Pergi Abu Dhabi? Bestnye. Siapa lagi?"
Adalah beberapa nama yang disebutkan. Tapi semuanya yang single seperti saya.
"Boleh..Boleh.."
Saya teringat ada senior-senior saya yang dapat interview ke Abu Dhabi. Tentu ada peluang juga untuk kami fresh graduate ni.

Esok?

Namun, semuanya itu hanyalah perancangan. Saya pun tak tahu jalan sebenar yang saya akan lalui selepas ini.

Saya suka tengok sebuah drama kekeluargaan Jepun tentang pemilihan cita-cita dan keluarga. Banyak pengajarannya. Saya bukanlah manusia yang terlalu ambitious. Andai belum ada takdir saya lagi selepas ini, saya akan fokus pada kerjaya dan beramal bakti. Segala-galanya fleksibel bagi saya. Apapun, yang penting saya dan orang-orang sekeliling saya bahagia bersama mencapai redha Allah dalam hidup saya.

Saya redha pada segala ketentuanNya dan saya letakkan takdir saya lebih daripada 100% kepada Tuhan saya. Sebab Dia saja Tuhan yang Maha Tahu apa yang terbaik untuk saya.
Saya letakkan seluruh kepercayaan saya pada Dia...
Saya akan redha pada apa saja yang ditentukanNya untuk masa hadapan saya.
Saya bersedia mencuba segala apa yang tersedia di hadapan saya asalkan masih dalam jalan yang diredhaiNya.

Usaha di tangan kita, natijah milik-Nya.


Credit to Syafiza169

"Hanya kuharapkan ketenangan
Melayari hidup sendirian
Dalam mengejar impian
Moga tertakdir rahmat di Tuhan

Ku kan tetap bersama menuju impian dicita
Ke puncak kegemilangan yang tiada tara
Saat waktu kitakan pasti bersua akhirnya
Kita tetap bersama dalam mengejar cita"


Nov 18, 2009

Nikmat Di Kala Hujan Dan Panas


~Lihatlah alam. Nescaya ia mengajakmu berfikir...~

"Dan sesungguhnya Kami berikan cubaan kepada kamu dari ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang bersabar, iaitu orang-orang yang ditimpa bencana, mereka mengucapkan: sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
(Al-Baqarah; 155-156)


Di kala saya sedang mendrafkan penulisan saya ini, iaitu beberapa jam yang lalu, di tempat saya ketika itu air yang turun dari langit mencurah-curah lebatnya.

Tempias air itu terasa sejuk di tangan. Dedaunan tampak segar ditimpa titisan hujan dan disapa angin lembut. Emm... Segarnya rasa.

Ada juga yang tidak sukakan bila hujan turun. Ada yang mahukan panas sepanjang hari, melihat sinar mentari menyinari alam.

Cuba bayangkan jika setiap hari sepanjang tahun cuaca panas. Tiada langsung hujan yang turun. Pasti waktu itu kita akan rindukan titisan hujan yang jatuh ke bumi. Rindu pada harumnya rumput dan tanah yang mewangi.

Bayangkan pula jika hujan pula turun setiap hari sepanjang tahun, pasti waktu itu pula kita merindui sinarnya mentari. Rindu pada pelangi yang terbit antara celahan titisan hujan dan sinarnya mentari.

Hujan dan panas, semuanya diaturkan Tuhan, agar alam ini dapat saling menyeimbangi.

Begitu juga dalam kehidupan. Kita pasti melalui saat kesusahan dan kesenangan, waktu kebahagiaan dan kesedihan. Namun, adanya kedua itu saling melengkapkan bagi menyempurnakan keindahan hidup insan.

Jika kita dalam kesusahan dan kesedihan, pasti kita rindukan detik-detik kebahagiaan dan kesenangan.

Jika kita sedang senantiasa dalam kesenangan dan kebahagiaan, pasti kita akan teringat-ingat saat kesedihan dan kepayahan.

Jika sekarang kita sedang berpanas, nikmatilah rasa sinar mentari yang memancar.
Jika sekarang kita sedang berhujan, syukurilah tiap titisan hujan yang jatuh ke bumi.

Semua itu adalah nikmat. Nikmat Allah dalam kehidupan. Nikmat yang boleh juga berupa ujian dan rahmat.

~Sedang membaca buku "Saatnya Untuk Menikah" yang sangat bermanfaat dan menginsafkan. Terima kasih buat sahabat yang menggalakkan saya untuk membacanya.~

(Buku ini seolah-olah bertanya: Sudah siapkah kita?)

Nov 16, 2009

Usah Biar Hatimu Serapuh Kaca


~Allah, pimpinlah diriku untuk bangkit semula, meneruskan langkah perjuangan ini. Cekalkan hati dan semangatku, kurniakan ketabahan...~


~Moga dirimu mekar bak jambangan bunga yang akan kekal seri dan harumnya.~

Mudahnya manusia berubah untuk menarik hatimu. Dan akhirnya apabila hatimu sudah tertarik padanya, dia merubah dirinya kepada yang dulu.

Mudahnya manusia sedaya upaya cuba menonjolkan diri untuk dikenali olehmu. Dan akhirnya dia berkata kepada sahabatmu: "saya tidak pernah mengenalinya."

Mudahnya manusia memberikan harapan dengan kesungguhan perbuatan. Dan kemudian, dia mengatakan kepada dirimu: "sejak bila saya bagi awak harapan?"

Mudahnya manusia mengatakan "you'are my only one" dan kemudian dia meninggalkanmu bersama wanita lain ketika dirimu dalam penantian.

Duhai wanita, jangan biarkan hatimu serapuh kaca. Usah biarkan hatimu seperti berlian palsu yang mudah retak dan hilang serinya. Jadilah wanita ibarat mutiara yang bersinar dan memberi sinar pada yang lain.

Andai kau kecewa, pandanglah ke langit. Langit yang luas seolah-olah memberi harapan. Moga redhaNya bersamamu.

Usah biarkan sejarah silam berulang kembali. Jangan biarkan dirimu jatuh ke lubang yang sama lagi. Berhati-hati dalam melangkah. Andai kau jatuh, bangunlah dan usah mudah mengalah.

Terus kuatkan hatimu kerana Allah sentiasa berada di sisimu untuk memberi kekuatan hati dan jiwamu. Percayalah, Allah amat menyayangimu dan kerana itu Dia menguji cintamu padaNya.

Namun, jangan membenci. Doakan kebahagiaan dan petunjuk untuk jadi lebih baik dan terbaik padanya. Kerana hati wanita itu tidak akan bersinar bahagia dengan adanya benci sesama saudaranya di dalam hatinya.

Gapailah terus cintaNya. Nescaya Dialah yang pasti akan memberi bahagia pada dirimu selamanya. Kerana Dialah yang tidak pernah salah atau tidak pernah lupa.

Dia (Musa) menjawab, "Pengetahuan tentang itu ada pada Tuhanku, di dalam sebuah kitab (Lauh Mahfuz), Tuhanku tidak salah ataupun lupa;
(Taha; 20:52)

~Ungkapan cinta pada lelaki yang bukan mahram itu tidak akan pernah ada pada diri seorang muslimah sebelum ijab dan kabul kerana ia hanya tercipta bagi yang haknya sahaja.~

Impak Komunikasi Pada Dunia



~Communication problem is like malignant cancer cells that if it is untreated at early stage, it will metastasise to other parts of the body till you only have little chance to survive~

Komunikasi sangat penting dalam kehidupan. Sesuatu yang diperlukan manusia sebagai fitrah untuk kelangsungan hidup. Antara elemen komunikasi ialah penghantar, penerima, mesej dan respon / feedback daripada penerima mesej.
Komunikasi juga boleh disampaikan secara asynchronous dan synchronous.

Synchronous communication bererti komunikasi yang berlaku di mana penerima dan penghantar terlibat dalam waktu yang sama semasa komunikasi sedang berlaku. Contohnya semasa perbualan, panggilan telefon, chat, dan sebagainya. Manakala asynchronous communication pula berlaku ketika mesej yang dihantar pada bila-bila masa dan data mesej yang diterima oleh penerima boleh berlaku kemudian atau waktu berlainan daripadanya. Contohnya seperti email, surat menyurat dan sebagainya.

Seorang pensyarah saya, yang mengajar Health Information System bertanya pada kami semua pelajar nursing dan allied health sciences ketika itu - "yang manakah lebih baik bagi anda; asynchronous atau synchronous?
Pelbagai jawapan didengari dari kami. Bagi saya kedua-duanya ada pro dan kontra tersendiri, bergantung kesesuaian keadaan dan situasi.

Komunikasi mempunyai pelbagai saluran, sama ada melalui auditory (pendengaran), visual (penglihatan) mahupun kinestetik (sentuhan).

Ada beberapa tahap pemprosesan data komunikasi. Ini termasuk tahap yang paling mudah (simplest level), tahap seterusnya (next level) atau tahap yang paling tinggi (highest level).

Pada tahap yang paling rendah seseorang akan melaporkan apa yang ia nampak, dengar atau sentuh sahaja. Tahap seterusnya ialah apabila seseorang itu akan mengolah dan mengstruktur sesuatu informasi dan input yang didapati dan akan diintegrasikan bersama stimulus (peransang). Kemudian, di tahap yang paling tinggi data dan informasi yang diterjemah dan diintegrasikan itu akan membawa kepada sebuah pandangan, pendapat mahupun terjemahan.

Beberapa skill atau kemahiran dalam komunikasi ialah attending, responding, clarifying dan confronting.

Dalam attending, penerima mesej perlu menjadi seorang pendengar yang setia. Bukan jasadnya saja yang ada tetapi hatinya juga perlu berada di situ.

Responding pula bermakna respon atau feedback daripada penerima mesej itu tadi. Ini termasuk questioning dan rephrasing - bertanya atau cuba menyimpulkan kembali mesej yang disampaikan dalam bentuk respon kepada penghantar mesej.

Clarifying juga termasuk pertanyaan, menyatakan kembali atau menyimpulkan mesej itu kepada penghantar mesej agar ia menjadi jelas dan terang.

Confronting pula amat diperlukan apabila sesuatu konflik atau masalah berlaku.

Impak komunikasi bukan hanya diri individu sahaja. Ia boleh melibatkan keluarga, masyarakat, negara mahupun dunia.

Komunikasi yang kurang berkesan atau tidak baik boleh melumpuhkan hubungan atau sesebuah institusi dan organisasi. Kerana komunikasi yang tidak baik, hubungan persahabatan menjadi renggang, institusi kekeluargaan berantakan, masyarakat hidup dalam keadaan tidak aman, negara bermusuhan antara satu sama lain.

Besarnya impak komunikasi kepada dunia. Komunikasi boleh menciptakan sebuah atmosfera kedamaian atau penyebab kepada sebuah kehancuran. Ia tidak harus dipandang enteng dan remeh sahaja.

Masalah komunikasi yang tidak dirawat semenjak dari mula boleh menyebabkan masalah yang lebih besar. Ia umpama kanser sel yang jika tidak dirawat semenjak di peringkat awal akan menyebabkan kanser itu merebak ke seluruh badan dan seterusnya melumpuhkan pertahanan sistem badan. Kemudian, di tahap yang kritikal, kelangsungan hidup menjadi semakin tipis.


Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar.
(Al-Ahzab: 70)


Nov 14, 2009

Harga Sebuah Persahabatan



~Sahabat yang baik umpama permata bersinar anugerah dariNya. Hargailah ia.~

Semalam saya mengemas bilik setelah selesai minggu peperiksaan berlangsung. Apabila saya mengemas buku-buku, saya terjumpa diari lama saya yang dicoret semenjak di tingkatan 3 dahulu.

Rasa sebak menerpa apabila membaca nukilan sebuah perjalanan persahabatan yang banyak membantu saya erti mencari redha Tuhan dan makna kehidupan. Hilangnya sahabat yang banyak bersabar dengan saya yang masih banyak kurang sabarnya. Sebuah persahabatan yang telah saya sia-siakan.

Lantaran diri yang penuh keegoan tika itu, tidak sekali saya mengucapkan kata penghargaan untuknya. Hanya indirect ucapan dan perbuatan saja yang saya lahirkan agar ia dapat dibaca. Namun, manusia diciptakan bukan perterjemah fikiran dan perasaan yang tepat dan jelas melainkan hanya Allah yang mengetahui segala isi hati. Kurangnya penjelasan hanya membawa kepada pelbagai andaian. Andaian itu mungkin hampir tepat atau jauh sekali dari mesej yang ingin disampaikan.

Manusia juga suka memilih untuk lebih indirect daripada direct ketika menjelaskan sesuatu. Terlalu banyak lapisan juga boleh menghilangkan ketulenan sesuatu yang hendak disampaikan.

Saya tahu pasti ada hikmah yang tersembunyi dari semua ini.

Sahabat yang baik itu sukar dicari. Mungkin harga nilaiannya tidak terbanding dengan kata-kata. Namun, andai benar kita hargai, maka ucapkanlah kata-kata penghargaan itu padanya.

Sahabat yang salih itu ibarat penjual minyak wangi, bila engkau tidak mendapat minyak wangi darinya, maka engkau akan mendapatkan harumnya. Dan sahabat yang jahat itu ibarat tukang besi, bila engkau tidak terkena percikan apinya, maka engkau akan terkena asapnya.

(Hadith Riwayat Abu Daud)

Nov 10, 2009

Mencari Sudahnya Sebuah Episod



~Hakikat manusia itu amat lemah dan tiada kekuatan melainkan yang diberikanNya kepada hamba-hambaNya~

Adakalanya kita ingin lihat episod semalam yang pedih dan melukakan hanya akan tinggal sejarah. Sejarah yang tidak mahu diulang tayang. Ceritanya persis sebuah cerpen kisah sedih tentang harapan sebuah kehidupan yang membahagiakan, namun, tidak semua itu menjadi, lantas hanya ditakdirkan sebagai ujian buat kita.

Apa yang akan kita lakukan jika ia berulang kembali?

Andaikan dalam cerita itu kita seorang detektif, watak utama dalam kes penyiasatan pembunuhan dan perlu mencari jalan penyelesaiannya termasuk pesalah dan motifnya sebenar. Namun, akhirnya kita tersilap membuat perkiraan. Gagal menemukan jalan penyelesaian.

Kini, jika kes yang hampir sama berlaku lagi dan situasi itu seolah-olah menyerupai keadaan yang telah kita lalui, apakah kita masih dihantui dengan kegagalan tadi? Mungkin underlying assumption yang dibina dalam episod ini juga sama seperti yang sebelumnya. Setiap helaian cerita seolah-olah menuju arah yang sama. Apakah kita masih ingin memilih jalan penyelesaian yang dulu pernah menemui jalan gagal atau pilih jalan lain yang tidak diketahui natijahnya?

Mungkin dalam soal ini, kita boleh melakukannya. Boleh mengambil langkah berani berhadapan sekali lagi dengan kes ini dan ambil risiko atau boleh saja undur diri dan serahkan saja pada yang lain mengendalikannya.

Ya, kehidupan itu memang tidak semudah yang disangkakan perjalanannya. Dan kerana banyak pilihan jalan dalam kehidupan, neraka dan syurga diciptakan. Pilihan itu ditangan kita. Kita yang memilih buruk dan baiknya.

Saya juga tidak pakar dalam mencari jalan yang terbaik untuk diri sendiri. Kadang-kadang kita mampu menuturkan nasihat pada yang lain tetapi gagal mencari jalan yang terbaik untuk diri sendiri kerana tidak tahu apa yang terbaik ditakdirkanNya untuk diri kita.

Kadang-kadang hanya mampu berserah diri padaNya apabila jalan penyelasaian hanya menemui jalan buntu.

Saya juga manusia. Adakalanya timbul perasaan mahu lari dari perkara-perkara yang tidak mampu saya tangani. Namun, seringkali juga lupa bahawa Dialah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Lupa untuk percaya dengan rukun iman dalam hafalan; untuk beriman (percaya) pada Qada' dan QadarNya.

Sesungguhnya, hati ini milikNya.

Tiada kekuatan pada diri hamba melainkan apa yang diberikan kepada kita.

Allah, hanya Dialah sebaik-baik Pelindung...


"Dan mengapa ketika engkau memasuki kebunmu tidak mengucapkan "Masya Allah, la quwwata illa billah" (Sungguh, atas kehendak Allah, semua ini terwujud,) tidak ada kekuatan kecuali dengan (pertolongan) Allah...." (Al-Kahf; 18:39)



Nov 7, 2009

Haruman Taman Larangan



Bicara tanpa kata
Madah tanpa suara
Hampir serupa nilaian dan pujangga

Hati menafsir
Tak pasti
Ku tunggu lagi dalam perhati.

Jalan-jalan kulalui
Ada harum singgah di hati
Kuntuman mawar segar mewangi

Taman ini
Empunya siapa?
Adakah untukku indahnya?
Bertamu indah dalam jalanan suasana

Takut singgahku di sini
Andai taman larangan berduri
Nanti tangan luka kembali
Kedua kali

Kelu lidah tanpa kata,
Patutkah derap langkah berlalu?
Tinggal indahnya tanpa bertanya,
Dari ku nanti pasti.

Atau hanya konklusi sendiri
Yang harumnya hanya singgah di jalanku ini
Ditiup bayu berlalu pergi.


Nov 6, 2009

Usaha vs Natijah Di Medan Juang Ilmu



~Setiap hari aku memiliki kebiasaan. Bila ia jahat kepadaku, aku bersabar dan bila ia membahagiakanku, aku bersyukur.~
-Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni-

Minggu peperiksaan masih sedang berjalan. Rata-ratanya para pelajar UIAM Kuantan sudah melalui beberapa kertas peperiksaan.

Sejauh mana pun usaha kita, harus diingat bahawa semuanya adalah di tangan Allah jua. Manusia tiada upaya untuk mengawal sesuatu pun sebenarnya tanpa izin-Nya.

Ramai yang berusaha melakukan persediaan tapi jangan dilupa bahawa ketika dalam jihad itu nanti, Dialah pembantu kita. Tawakkal kepada Allah setelah usaha adalah sebaik-baiknya. Berserahlah dan mohon padaNya.

Peperiksaan juga menjadi medan muhasabah diri.

Renungi keadaan pada pejuang Islam yang berjuang dengan jumlah yang sedikit dan kelengkapan yang serba tidak sehebat mana, namun keteguhan hati dan tawakkal pada Allah mengharap pertolonganNya amat tinggi.

Mari kita ambil iktibar dari kisah-kisah perjuangan dan peperangan Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabat baginda agar kita yang berjihad menuntut ilmu tidak terlepas pandang pada kuasaNya yang Maha Berkuasa atas segala tiap-tiap sesuatu.

Usaha itu di tangan kita, natijah adalah milik-Nya.

Kembali padaNya, agar kita selalu menjadi hamba yang bersyukur dan meletakkan hujung usaha itu kembali pada Tuhan yang Maha Penentu.

Jangan bersedih atas apa yang telah berlaku. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar.


~Berfikiran positif dan optimislah anda bila suatu hari nanti semua urusan anda terlihat amat buruk, kerana hal itu merupakan pertanda akan datangnya hari lain yang dekat waktunya, yang semuanya dipenuhi kegembiraan dan keceriaan.~

-Jangan Bersedih, Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia-
-Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni-

Nov 4, 2009

Yang Paling Ditakuti



Dari Umar Al-Khattab r.a mengisahkan 'Ketika datang rombongan tawanan perang ke hadapan Rasulullah s.a.w, tiba-tiba salah seorang di antara mereka (tawanan wanita), lari untuk menyusui bayi yang tergeletak di antara para tawanan.
Maka Rasulullah s.a.w bersabda: "Lihatlah, sanggupkah wanita ini melemparkan bayi itu ke dalam api?"
Kami serentak menjawab, "Demi Allah, tidak mungkin!"
Baginda kemudian bersabda lagi: "Bahkan Allah sendiri lebih menyayangi hambaNya yang beriman melebihi kasih sayang wanita itu pada si bayi."
(Muttafaq 'Alaih)


Perkara yang paling saya takuti dalam hidup ini adalah tercabutnya nikmat yang paling besar dalam diri iaitu nikmat Iman dan Islam. Tanpanya, tak mungkin saya merasakan kasih sayang Allah meliputi diri, tak mungkin saya bertafakkur pada alam meneliti kebesaran ciptaanNya, tak mungkin saya menikmati nikmatnya hidup menjadi seorang Muslim dan dambaan menjadi hamba pada Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Tidak ada fitnah yang lebih besar dari fitnah seorang wanita di akhir zaman. Juga perkara yang paling saya takuti jika diri tergolong menjadi wanita yang membawa lelaki kepada dekatnya api neraka daripada dekatnya ke gerbang syurga.

Juga saya takut andai pengakhiran hidup saya dalam keadaan 'su'ul khatimah', mati dalam keadaan murkaNya Dia pada saya, hilang redhaNya pada diri, dan mati dalam keadaan amal yang sia-sia. Umpama abu-abu yang diterbangkan angin yang bertiup kencang.

Lihatlah setiap apa yang Allah datangkan pada kita dengan pandangan dan teguran kasih sayang dariNya. Setiap ujian, cubaan dan musibah itu didatangkan bukan dengan Dia menghendaki keburukan bagi orang-orang yang beriman kepadaNya, walhal Dialah sebenarnya yang amat menginginkan kebaikan untuk kita. Bersangka baiklah pada Allah.

Saya juga takut jika saya kehilangan pandangan kasih sayang Allah dalam setiap derap langkah, dalam setiap buah fikiran dan lontaran kata-kata. Tidak mahu timbul rasa bersangka buruk padaNya sedang Dialah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba ciptaanNya.

Ingin saya telusuri sirah-sirah Nabi yang penuh suri tauladan dan hikmah bagi yang ingin mengerti.

Kisah Nabi Nuh yang hidupnya mencapai usia ratusan tahun, tidak pernah mengeluh dan berputus harap pada rahmat Allah biarpun di hujung dakwahnya hanya sedikit sahaja bilangan manusia yang ingin mengikutinya. Nabi Nuh dengan taat dan gigih membina kapal yang diarahkan. Sekalipun ramai yang mencaci, menghina dan mengeji, Dia sabar dalam mengerjakan perintah Tuhan. Dan akhirnya itulah sebenarnya yang menyelamatkan diriNya dan orang-orang beriman tika Allah membinasakan kaumnya yang ingkar dengan banjir yang besar.

Kisah Ibu Nabi Musa juga penuh dengan rasa penyerahan hati dan diri pada Allah tatkala ingin menyelamatkan anaknya dan melepaskan anaknya mengikut arus Nil. Hilangnya anak itu hanya sementara. Dan Allah jugalah yang mengembalikan anaknya ini kembali pada si ibu untuk disusui. Allah jugalah memelihara anaknya itu, Nabi Musa a.s di dalam istana Firaun yang kejam.

Begitu juga dalam banyak kisah-kisah Nabi dan Junjungan Mulia; Nabi Muhammad s.a.w. Kisah-kisah yang penuh tawakkal pada Allah, redha dengan ketentuanNya, berusaha dan meletakkan harapan yang tinggi pada Allah yang Maha Memerhati. Semuanya memandang hidup ini dipenuhi dengan kebaikan yang Allah hadiahkan pada mereka yang benar-benar percaya dan beriman. Tidak mungkin seorang Kekasih yang benar-benar mencintai akan menzalimi cinta yang diberikan kekasihnya. Begitulah Dia.

Saya benar-benar berharap perkara yang saya takuti ini tidak akan pernah terjadi kerana saya takut kehilangannya; kehilangan nikmat Iman dan Islam, amal yang berpanjangan hingga ke akhir hayat, pandangan kasih sayang terhadap Tuhan dan hilangnya malu seorang wanita. Saya juga berharap perkara yang sama tidak akan terjadi buat sahabat-sahabat saya dan sesiapa saja.

Percayalah setiap cubaan yang datang pada diri adalah kerana Dia menguji sejauh mana teguhnya cinta hamba pada Dia. Sungguh, beruntunglah diri orang-orang merasa cintaNya dan merasa bahawa setiap teguran Allah adalah untuk mengembalikan dirinya pada jalanNya yang benar; menyuci setiap titik dosa di hati.

~Moga Allah memimpin setiap hati-hati yang dimiliki (hakikatnya adalah milikNya) kembali pada fitrah yang suci dan murni.~


"Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Az-Zumar: 53)

Nov 1, 2009

Indahnya Sabar (Beautiful Patience)



Dan orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara sembunyi atau secara berterang-terang dan mereka pula menolak kejahatan dengan kebaikan; orang itulah mendapat tempat kesudahan (yang baik), (yaitu) syurga-syurga 'Adn, mereka masuk ke dalamnya bersama dengan orang yang saleh dari nenek moyangnya, pasangan-pasangannya dan anak cucunya, sedang malaikat masuk ke tempat mereka dar semua pintu; (sambil mengucapkan), "Selamat sejahtera atasmu karena kesabaranmu." Maka alangkah nikmatnya tempat kesudahan itu.
(Ar-Ra'd; 13: 22-24)


Allah s.w.t mempunyai 3 jawapan pada Doa':

Pertama: Ya

Kedua: Ya, tapi bukan sekarang

Ketiga: Ada perancangan yang lebih baik untuk dirimu


Tidak ada yang 'tidak', teruskan berusaha dan berdoa.
Wahai hati, percayalah pada-Nya...

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino