::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Aug 23, 2011

Yakin Walau Lelah


~ For You I would take on any trial, and I would walk on through fire. You give me strength enough to face it all. You make me feel invisible.  Cos I would do anything for You - Sami Yusuf- ~






Ada kalanya rasa amat kelelahan. Menjadi manusia 'multitasker', membahagikan tugas antara memberi dan juga menerima.

Memberi untuk mereka yang memerlukan pertolongan. Untuk mereka yang memerlukan cahaya petunjuk menuju-Nya. Memberi untuk meringankan beban mereka. Memberi untuk memakmurkan bumi dan menjadi khalifah-Nya yang memegang amanah.

Menerima. Itu amat perlu. Kerana air yang mengalir keluar itu pasti ada punca mata airnya. Kerana setiap yang diberi perlulah dengan hati. Dan pemberian dengan hati yang diterima-Nya adalah daripada hati yang suci, hati yang bening sentiasa mengharapkan keredhaan-Nya.

Adakala ingin menangis sendiri apabila terasa kelelahan. Namun, dengan segera hati mengingatkan bahwa kelelahan inilah yang akan dibayar dengan Syurganya nanti.

Untuk membeli Syurga yang terlalu mahal dan kekal selamanya itu, perlukan pembelian seluruh jiwa, harta dan diri ini.

Dan di kelelahan ini mungkin mengingatkan bahawa hati belum cukup mendapatkan sumber kekuatan. Kekuatan untuk terus menyucikan hati. Kekuatan untuk terus berlari dan terus berpijak di bumi. Kekuatan untuk menjadi seperti pohon yang tinggi menjulang ke langit tetapi akarnya masih terus menghujam jauh ke dalam bumi Keimanan.

Tiada siapa yang mampu memberi kekuatan melainkan Allah.
Tiada siapa yang mampu mengerti kelelahan yang tersemat di hati melainkan Allah.
Tiada siapa yang mampu meringankan kaki untuk terus bangun daripada tersungkur jatuh melainkan Allah.
Tiada siapa yang mampu mengerti kepenatan di sebalik senyuman.

Namun, yakinlah Allah akan memberi erti yang bermakna pada senyuman itu.
Yakinlah bahawa Allah akan sentiasa membantu.
Yakinlah bahawa Allah akan sentiasa membukakan pintu memudahkan.
Yakinlah bahawa Allah sentiasa gembira melihat hamba-Nya yang berpenat lelah kerana-Nya.
Yakinlah bahawa Allah sentiasa menitipkan kasih sayang pada hamba-hamba-Nya yang sedang mengejar redha-Nya.
Yakinlah bahawa apabila Allah mencintai seorang hamba, maka seluruh makhluk di Bumi dan di Langit juga akan mencintainya.

Yakin dan percaya.
Kerana sesungguhnya orang-orang beriman itu sentiasa percaya kepada Penciptanya.

'Wahai orang-orang beriman! Apabila dikatakan kepadamu, "Berilah kelapangan di dalam majlis-majlis," maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan, "Berdirilah kamu, " maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan.'
(Al-Mujadilah; 58: 11)

~Wahai Tuhan, sesungguhnya diri ini amat lemah. Tiadalah kekuatan bagi diri yang kerdil ini melainkan apa yang telah Engkau kurniakan.~

Aug 19, 2011

Senyuman Keimanan


~Senyumlah seperti Rasulullah. Senyumnya bersinar dengan cahaya. Senyum itu tanda ketenangan. Senyumlah dengan seikhlas hati, senyumlah dari hati  -Raihan-~


~Senyumlah dengan keimanan~
"Dan bahwa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya. Dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya). Kemudian, akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna. Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah kesudahannya (segala sesuatu). Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis."
(An-Najm; 53: 39-43)




Hidup mesti sentiasa terseyum
Walau ada air mata  yang mengalir
Senyumlah atas segala takdir

Hidup perlu sentiasa ceria
Tanda syukur mukmin bahagia
Walau kadang dilanda derita
Yakinlah tanda Allah sayang pada hamba-Nya

Hidup ini perlu redha
Jadi Muslim berserah diri sepenuhnya
Walau tiada ganjaran dunia
Pasti ketemu nilaian Syurga

Hiduplah dengan nilaian takwa
Pengharapan kepada Allah tidak pernah pudar
Usaha dan berdoa
Allah melihat dan mendengar setiap kata

Hiduplah dengan keimanan
Nescaya yang duka dan gembira itu adalah ujian
Nescaya setiap yang datang itu adalah kebahagiaan

Seorang insan berserah diri sepenuhnya
Mengharap redha Allah pada dirinya
Percaya, percaya dan terus percaya
Kepada Allah tiada putus asa
Allah Maha Pengasih pada setiap hamba
Walau tidak dilahirkan jiwa, Dia tetap Pendengar setia
Senyumlah mengharap keredhaan-Nya
Akan datang kemanisan di dalam hati
Manisnya Iman untuk dibawa berjumpa-Nya nanti


~Bekalkan hati dengan Taqwa di sepanjang bulan ini agar kita mampu tersenyum dengan keimanan hingga ketemu Ramadhan lagi, Insya Allah~

Aug 11, 2011

Cintaku Kerana Cinta Yang Tertinggi


~Akan terus ku jejak cinta yang tertinggi hingga tiada lagi umurku di dunia ini~


"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu.
Jika hilang agamamu, maka hilanglah cintaku padamu."
-Imam Nawawi-

~Kita mencintai-Nya dan takut mengecewakan-Nya~
Hanya Kerana Cinta Yang Tertinggi

Islam meletakkan cinta yang tertinggi itu adalah kepada Pencipta Yang Maha Satu.

Hatta pada semua rasa yang tumbuh dari dasar hati pinjamannya ini perlulah kerana Dia. Baik cinta, rindu, benci kasih, takut perlulah kerana Allah s.w.t semata. Tidak kerana yang lain.

Cinta pada manusia tiada makna andai tidak didasari Allah sebagai dasarnya. Mudah saja ia roboh dan runtuh tanpa Dia. Suka pada dunia adalah hanya kerana cita-cita kita untuk membawa bekal berjumpa dengan-Nya. Dunia adalah tempat kita bercucuk tanam akan seluruh kebaikan kita.

Hatta pada setiap tingkah laku dan gerak-geri kita, gelak tawa kita, tangis kita - kita mahu Allah itu sentiasa bersama. Kita mahu Allah mendengar setiap luahan hati kita. Kita mahu berkongsi semuanya bersama Dia. Kita mahu Allah sentiasa bersama kita. Kita mahu Allah menyertai kita. Ke mana saja kita pergi, kita mahu Alah itu kita bawa di dalam hati.

Maka, apakah ada cinta yang lebih tinggi dan lebih mulia dari ini?

Apabila Allah menjadi cinta yang tertinggi di dalam hati kita, kita akan melakukan semuanya untuk Dia. Kita akan takut untuk melakukan sesuatu yang mengundang marahnya pada kita. Kita takut untuk melakukan sesuatu yang menjauhkan kekasih hati Yang Tertinggi ini dari kita.

Kita tak mahu Dia meninggalkan kita. Kita akan takut kehilangan Dia. Kita akan takut mengecewakan Dia. Kita akan takut jika Dia tidak mengendahkan kita.

Kita akan sentiasa berhati-hati dalam setiap langkah dan gerak-geri kita, kerana kita mahu Dia sentiasa gembira melihat kita, sentiasa mahu Dia meredhai kita.

Dan inilah yang dinamakan taqwa.

Dan orang-orang yang menjauhi Taghut (iaitu) tidak menyembahnya dan kembali kepada Allah, mereka pantas mendapat berita gembira; sebab itu sampaikanlah khabar gembira itu kepada hamba-hamba-Ku., (iaitu) mereka yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal sihat. 

Maka, apakah engkau hendak mengubah nasib orang-orang yang telah dipastikan mendapat azab? Apakah engkau (Muhammad) akan menyelamatkan orang yang berada dalam api neraka? Tetapi, orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya, mereka mendapat kamar-kamar (di Syurga), di atasnya terdapat pula kamar-kamar yang dibangun (bertingkat-tingkat) yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. (Itulah) janji Allah, Allah tidak memungkiri janji(-Nya).
(Az-Zumar; 39: 17-20)

Ada Apa Di Hati Setelah 10 Hari?

Setelah 10 hari Ramadhan berlalu, mari kita tinjau menerobos ke taman hati kita. Bagaimana keadaan pohon-pohon taqwa yang tumbuh di dalam hati? Sudah cukupkah dibajai dengan tadabbur Al-Quran, bangun di sepertiga malam memohon keampunan dan rahmat bagi diri yang serba kekurangan, sedekah dan segala macam kebaikan yang menyuburkan rasa taqwa ini?

Adakah kita merasakan kita semakin menghampiri-Nya?

Adakah kini cinta kita semakin menebal kepada-Nya?

Lakukanlah tiap sesuatu itu dengan sepenuh hati.

Hanya untuk-Nya, hanya untuk redha-Nya, hanya untuk gapai cinta-Nya.

Di dalam kebun hati kita, adakah sudah kita bersihkan rumpai-rumpai dan lalang-lalang jahiliyyah yang mengganggu kesuburan pohon cinta kita kepada-Nya? Kerana pohhon-pohon yang kita tumbuhkan selain daripada itu akan mengganggu pertumbuhan pohon taqwa. Maka, perlulah kita tebas dan cabut ia dari hati kita. Usah biarkan lalang-lalang jahiliyyah dan pohon cinta Ilahi tumbuh bersama-sama.

Peliharalah ia.

"Apakah engkau tidak memperhatikan, bahawa Allah menurunkan air dari langit, lalu diaturkannya menjadi sumber-sumber air di bumi, kemudian dengan air itu ditumbuhkan-Nya tanaman-tanaman yang bermacam warnanya, kemudian menajdi kering, lalu engkau melihatnya kekuning-kuningan, kemudian dijadikan-Nya hancur berderai-derai. Sungguh, pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal sihat."
(Az-Zumar; 39:21)

1/3 Ramadhan telah berlalu. Bagaimana pencapaian kita hari ini? Tanyakan pada diri kita sendiri. Ukurlah ia dengan melihat ke dalam hati kita.

~Cintaku adalah ingin bersama-Mu setiap waktu. Redhailah diriku~

Aug 9, 2011

Jadikan Buah Lemon Itu Minuman Yang Manis


~Wahai hati, bertabahlah. kerana dunia hanya tempat mengutip kepahitan untuk ditebus dengan manisnya Syurga~
~Tambahkan masam dengan yang manis agar ia menjadi nikmat  yang dapat ditelan - itulah rencah kehidupan~

Sekadar perkongsian yang diharapkan bermanfaat bersama. Petikan dari La Tahzan, karangan Dr. Aidh al-Qarni.

Orang cerdik akan berusaha merubah kerugian menjadi keuntungan. Sedangkan orang yang bodoh akan membuat suatu musibah menjadi bertumpuk dan berlipat ganda.

Ketika Rasulullah s.a.w diusir dari Makkah, beliau memutuskan untuk menetap di Madinah dan kemudian berhasil membangunnya menjadi sebuah negara yang sengat akrab di telinga dan mata sejarah. 

Ahmad Ibnu Hambal pernah dipenjara dan dihukum dera, tetapi kerananya pula ia kemudian menjadi imam salah satu mazhab. Ibnu Taimiyyah pernah dipenjara, tetapi justeru di penjara itulah ia banyak melahirkan karya. As-Sarakhsi pernah dikurung di dasar sumur bertahun-tahun, tetapi di tempat itulah ia berhasil mengarang buku sebanyak 20 jilid. 

Begitulah, ketika tertimpa suatu musibah, anda harus melihat sisi yang paling terang darinya. Ketika seseorang memberi anda segelas air lemon, anda perlu menambah sesendok gula ke dalamnya. Ketika mendapat hadiah seekor ular dari orang, ambil saja kulitnya yang mahal dan tinggalkan bahagian tubuhnya yang lain. Ketika disengat kala jengking, ketahuilah bahwa sengatan itu sebenarnya memberikan kekebalan kepada tubuh anda daripada bisa ular. 

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu.
(Surah Al-Baqarah: 2;216)

Nota Tambahan:

Ya, entah kenapa kadang-kadang terfikir sendiri bahawa saya suka minum air sirap limau yang seimbang masam dan manisnya. Limau tanpa gula akan hanya ada masamnya, namun, kitalah yang menjadikan ia manis dengan menukar rasa masam menjadi sesedap minuman bersama gula.

Lalu, marilah kita kembali kepada-Nya. Kerana kita hanya bahagia bila Allah bersama kita. Biarpun seluruh dunia ingin memusuhi kita, tidak akan ada walaupun satu jarum sekalipun yang mampu mencederakan kita tanpa izin Allah. Dan pasti apa yang dikehendaki oleh-Nya atas kita ada hikmah yang tersembunyi.

Dan yakinlah serta percaya bahawa orang-orang yang diuji itu adalah orang-orang yang dicintai oleh Rabbnya.

Dan apabila Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan mendatangkan cubaan ke atas mereka. Dan barangsiapa redha dengan ujian itu, maka dia akan memperoleh keredhaan-Nya, dan barangsiapa membencinya, maka Dia akan memperoleh kebencian-Nya."
(Hadith Riwayat At-Tirmidzi)
Maka, apakah kita tidak suka jika Allah mengingati kita? Apakah kita tidak suka jika Allah mencintai kita? Tanyalah sedalam-dalamnya pada hati.

~Wahai Tuhan kami, cukupkan hati ini dengan-Mu~

Aug 7, 2011

Apabila Pintu-Pintu Syurga Dibuka


~Ramai mahukan Syurga, tetapi tidak ramai yang menempuh jalan menuju-Nya~


~Ramadhan; hari yang nyaman.~
Duduk di luar rumah sewaktu langit sudah pekat membiru seperti tidak lama lagi hujan akan turun ke bumi. Tiada kilat yang kelihatan namun, hanya sesekali bunyi guruh kedengaran. Bunyi daun-daun bergemersik apabila angin yang sesekali keras dan lembut, tenang dan sejuk datang. Ketenangan dan kedinginan tidak hanya menyentuh kulit bahkan menyelinap terus ke hati.

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda; "Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu Syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekalian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat."
(H.R Bukhari & Muslim)
Puasa Di Bulan Ramadhan Itu Istimewa

Ramadhan ini, pintu-pintu Syurga dibuka dan pintu-pintu neraka yang penuh bara yang tiada tertahan dek manusia dikunci.

Dan tika ini membuatkan saya terfikir sejenak akan kenyamanan dan ketenteraman di bulan ini. Sememangnya tidak sama dengan hawa di bulan-bulan yang lain.

Seorang rakan serumah kami berkata sewaktu sedang mengadap hidangan berbuka.
"Puasa di bulan Ramadhan ni dengan puasa di bulan lain memang tak sama rasanyakan."

Saya hanya tersenyum sambil mengangguk-angguk tanda setuju.

Ya, walaupun hakikatnya dalam puasa itu kita menahan lapar dan dahaga, kita masih cuba meninggalkan perbuatan tidak baik ketika berpuasa dan berkata 'Sungguh  aku berpuasa' apabila berdepan mehnah mencabar, namun, tetap berpuasa di bulan ini memberi erti yang berbeza. Puasa di bulan Ramadhan punya keistimewaannya.

Seolah-olah di bulan Ramadhan ini, kita diletakkan di tempat asing di dunia atau di suatu planet yang lain.

Ketika Pintu Syurga Dibuka

Ramadhan, ia memberi motivasi untuk sesiapa yang ingin mempertingkatkan diri untuk menjadi hamba-Nya yang diredhai. Ramadhan, ia bulan yang tenang dan penuh rasa nyaman. Hinggakan ia membuat saya terfikir adakah kerana semua pintu Neraka ditutup dan semua pintu-pintu Syurga dibuka, maka hembusan angin kenyamanan dan ketenteraman yang keluar dari pintu-pintu Syurga itu bertebaran hingga sampai kepada kita di dunia?

Waallahu'alam. Hanya Dia yang mengetahui.

Namun, jika benar begitu.
Apakah kita tidak mahu untuk terus merasakan kenyamanan dan ketenteraman ini bahkan yang lebih hebat lagi di akhirat nanti?

Rasulullah s.a.w dan para sahabat amat gembira dengan kedatangan Ramadhan, dan juga amat bersedih apabila hendak diinggalkan Ramadhan. Moga kita turut sama merasakannya.

~Sungguh, Ramadhan adalah suatu nikmat kepada hamba yang tidak terhitungkan.~

Aug 6, 2011

Kebahagiaan Itu Milik Dia


~Bahagia di jiwa; suatu nikmat dari Pencipta yang sering kita lupa untuk mensyukurinya~


~Bunga kebahagiaan perlu disyukuri agar ia subur di hati~



Kebahagiaan itu datang dari hati.

Kebahagiaan itu datang bersama ketenangan.

Kebahagiaan itu datang bersama jiwa yang lapang.

Kebahagiaan, sentiasa menyusul bersama hati yang tenang dan jiwa yang sentiasa lapang menghadapi rencah kehidupan.

"Sungguh menakjubkan urusan orang seorang Mukmin. Sungguh seluruh urusannya adalah baik. Dan hal itu tidak dimiliki seorangpun kecuali oleh seorang Mukmin. Jika ditimpa kesenangan ia bersyukur, maka hal ini baik baginya. Dan jika ditimpa musibah ia bersabar. Maka hal itu juga baik baginya. "

(Hadith Riwayat Muslim dan Shuhaib Ar-Rumi)

Perlumbaan Mengejar Bahagia

Hakikatnya, kebahagiaan yang ingin dikecapi setiap manusia adalah kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan yang ingin kita nikmati di dunia sampai Syurga nanti.

Ramai manusia berusaha untuk bahagia. Namun, tidak ramai yang mengecapi nikmatnya. Ramai manusia mencari bahagia di celahan wang ringgit dan kumpulan harta; kereta yang mewah sebagai koleksi, rumah yang bertingkat-tingkat tidak cukup dengan satu, pakaian yang berjenama setiap bulan dibeli baru. Ada juga yang mencari bahagia dengan pangkat, gelaran dan nama. Ada yang ingin bertemu bahagia apabila namanya popular disebut-sebut manusia.

Mungkin, kebahagiaan yang dijumpai itu hanya sekejap waktu andai ia tidak disandarkan kepada Yang Maha Kekal, iaitu Allah, Tuhan sekalian alam.

Kebahagiaan itu hanya bersifat hakiki apabila ia disuburkan dengan bajaan Iman dan Islam. Apabila hati sentiasa beroleh ketenangan bersama Tuhan. Kebahagiaan tanpa ada Allah di hati ibarat suatu nikmat yang hanya datang seperti angin lalu. Hanya sesekali singgah menyapa. Namun, tidak dapat digenggam oleh hati. Biarpun, manusia berlumba mengejar kebahagiaan yang hakiki, ia tidak akan dapat digapai ketika hilang Allah sebagai Ilah, ketika keimanan tidak menjadi baja yang menyuburkan bunga-bunga kebahagiaan.

Kebahagiaan adalah suatu nikmat yang tidak terhingga. Kebahagiaan hakiki adalah kebahagian yang berakar umbi dari hati. Ia umpama bunga-bunga yang tumbuh mekar di kebun hati yang tenang, di sisinya adalah kolam jiwa yang lapang.

Kebahagiaan Yang Akan Kita Bawa

Kebahagiaan bersama Allah adalah cerminan kebahagiaan hakiki yang ingin kita kekalkan apabila kita bertemu Allah di hari akhir nanti. Suatu kebahagiaan yang ingin kita bawa ke negeri yang abadi. Teringat komentar Ustaz Pahrol Juoi pagi tadi di siaran Mukmin Professional di Ikim.fm bahawa kebahagiaan hari ini adalah cerminan kebahagiaan di akhirat nanti. Ya, mana mungkin rumahtangga yang porak peranda membawa kebahagiaan Baiti Jannati hingga ke Syurga nanti. Mana mungkin hati yang penuh rasa dengki dan iri hati punya sifat kebahagiaan dan ketenangan. Mana mungkin hati yang resah mengejar kebahagiaan dunia saja mampu membawa kebahagiaan yang kekal hingga akhirat.

Kebahagiaan hati beserta keimanan di dunia ini adalah bekalan kebahagiaan yang ingin kita bawa hingga hari akhirat nanti. Kebahagiaan hakiki yang kita ingin kecapi.

Kebahagiaan itu datangnya dari Dia, Pencipta kepada segala rasa.

Oleh itu, marilah kita bermohon terutama di bulan mulia ini agar kebahagiaan yang hakiki itu akan selalu ada di hati.

Moga kita menjadi orang yang sentiasa bersyukur apabila diberi Allah untuk merasa nikmat bahagia di hati.
Moga kita menjadi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur apabila Allah beri ketenangan hati yang tiada tandingan dengan nilaian dunia.
Moga kita sentiasa berdoa agar kita dikurniakan kelapangan jiwa dalam apa jua turun naik hidup kita.

Ya Allah, peliharalah kebahagiaan dan ketenangan di dalam hati kami hingga kami berjumpa dengan-Mu di akhirat nanti. Dan jadikanlah kami ini hamba-Mu yang senantiasa bersabar dan bersyukur atas nikmatmu. Ampunilah kami atas kealpaan kami, Ya Rabbi.

~Ya Allah, peliharalah bunga kebahagian, ketenangan kebun hati yang disuburkan iman serta kelapangan dada kami~ 

Aug 2, 2011

Menyemai Benih Pohon Berakar Iman


~Semoga benih-benih keimanan yang tersebar ibarat debunga-debunga dandelion yang diterbangkan angin ke serata tanah yang subur melata~

Tegakkanlah Islam di dalam diri kamu, lalu akan tertegaklah Islam di watanmu.
-Syeikh Hassan Hudaibi-


Sejarah 

Saya masih teringat bagaimana mulanya saya ingin masuk ke UIAM.

Sewaktu masih di sekolah menengah, senior-senior saya amat mempengaruhi untuk kami sama-sama ke sana.
Lalu, beberapa orang rakan-rakan turut bercadang untuk pergi bersama.

Mengapa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang menjadi pilihan?
Kerana biah atau suasananya.
Saya yang pada ketika itu ibarat lalang hanya bertahan pada tempatnya tetapi masih meliuk-lentuk ke kanan dan kiri dibawa angin. Lalu, saya jadikan ia sebagai nazar saya sekiranya saya mendapat sekian keputusannya dalam peperiksaan SPM.
Ya, niat saya adalah untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik.

Alhamdulillah, ternyata saya amat tenang sepanjang 6 tahun saya bergelar mahasiswanya.

Kini, saya telah keluar ke dunia yang lebih nyata. Dunia ini jauh berbeza dari dunia yang saya kenali.

Saya tahu bahawa kini tidak lagi hanya boleh bersuka ria dan bersenang-lenang bersama rakan-rakan yang sama-sama punya matlamat sebuah kehidupan yang hakiki. Ini kerana hakikatnya hati ini menjadi amat sedih apabila melihatkan mereka di luar sana yang masih tidak jelas tujuan kehidupannya diciptakan di dunia.

Apakah penciptaan kita di dunia ini hanya sia-sia dan permainan belaka?

Harapan Ramadhan Ini

Ramadhan ini, mungkin saya terlalu meletakkan harapan dan jangkaan terlalu tinggi pada mereka yang bergelar Muslim.

Berfikir bahawa di bulan mulia ini, semua Muslim akan berubah dari mendengar lagu-lagu yang melalaikan dan menggantikan dengan bacaan Al-Quran. Saya berfikir di bulan ini, semua Muslim akan berlumba-lumba ke masjid untuk solat berjemaah bagi mengutip sebanyak-banyak bekalan untuk dikutip dalam kehidupan ini yang mungkin tidak punya usia yang panjang. Saya berfikir mungkin seteruk-teruknya sekiranya mereka yang meskipun tidak berpuasa akan hanya makan sorok-sorok; tetapi sebaliknya di tempat terang-terangan anak-anak muda ini minum tanpa langsung ada rasa keaiban.

Ternyata harapan itu hanya hampa.

Inilah gelanggang dunia yang sebenar. Sekiranya semasa di UIAM, mungkin amat sedikit sekali saya menemui negatif pada jangkaan-jangkaan ini.

Namun kini, saya hanyalah golongan minoriti; asing dan dagang.

Menyemai Benih Pohon Berakar Iman

Wahai diri, saksikanlah bahawa umat ini amat memerlukanmu untuk kau bantu mereka. Untuk ditunjukkan bahawa kehidupan yang sebenar adalah untuk mengabdikan diri kepada Tuhan yang satu. Hanya Allah saja. Bukan nafsu, bukan dunia berupa wang, harta atau pangkat semata.

Lihatlah, betapa hati meruntun pilu melihat pohon-pohon diri yang nampak teguh tetapi hakikatnya lompong batangnya, rantingnya rapuh dan daun-daun yang kekeringan apabila akarnya bukan lagi bertunjangkan iman. Tiada lagi Ilah di dalam hatinya. Kerana dunia telah mengambil tempat di hatinya. Kehidupan di dunia sungguh memikat hatinya hingga buta pada cinta yang sebenarnya. Hingga pandangan kehidupan ini hanya sementara sudah tiada. Hingga ingatan bahawa Syurga dan Neraka itu sudah seperti dongengan belaka. Lupa akan ada kehidupan yang hakiki selepas kematian di dunia ini.  Lupa bahawa setiap amalan di dunia ini pasti akan diperhitungkan.

Mendidik atau mentarbiyah diri dan hati untuk kembali mempertuhankan Allah di hati tidak mengambil masa yang singkat. Ia perlukan kesabaran yang berlipat ganda. Ia perlukan kepada usaha yang berterusan atau istiqamah.

Mendidik dan membentuk hati untuk cintakan Allah sebagai cinta yang tertinggi adalah ibarat menyemai benih-benih keimanan. Perlu siraman yang konsisten, perlu baja yang baik dan secukupnya, perlu dijaga dengan rapi dan penuh kasih sayang agar ia menumbuhkan pohon yang teguh berakarkan keimanan kepada Penciptanya. Dan benih-benih ini juga tidak akan terus tumbuh dalam sesingkat waktu. Perlahan-perlahan tetapi pasti ia akan tumbuh segar suatu hari nanti.

Menyemai benih pohon berakar iman ini adalah satu perjuangan. Agar umat ini tidak hanya menjadi buih-buih di lautan.

Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan.
-Hasan Al-Banna-

~Menjadi agen perubah memang tidak pernah mudah kerana Syurga itu hanya untuk mereka yang bersusah payah~



 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino